Search This Blog

Wednesday, October 21, 2015

Askar cedera disengat tebuan


Kota Bharu: Dua anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) PARA Kem Sri Pantai, Terengganu cedera dipatuk ular dan disengat tebuan ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) murid Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang.

Kedua-duanya bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).


Ketua Kompeni Charlie 18 Rejimen itu, Mejar Rusydi Noh Ramli berkata, anggotanya tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden itu dan masih boleh meneruskan tugas selepas beberapa hari menerima rawatan.

“Minggu lalu, Lans Koperal Mohd Sayuti Mukhtar dipatuk ular tikus ketika di pusat operasi SAR di Pos Tohoi dan diberi rawatan awal sebelum dirujuk ke HGM.

“Dua hari dirawat di HGM dan dilaporkan stabil. Manakala, semalam (kelmarin) Koperal Mohamad Rahmat Mahmood pula disengat tebuan tanah sebanyak tiga ekor yang mengenai di kepala (dua) dan tangan.

“Dia ketika itu dalam perjalanan ke lokasi menunggu kenderaan untuk penarikan keluar berhampiran Sungai Jenera, namun sempat diberi rawatan awal dan kini dirawat di HGM,” katanya di sini, semalam.

Rusydi berkata, insiden itu dianggap biasa dan tidak sekali-kali mematahkan semangat anak buahnya untuk terus meneruskan operasi hingga seorang lagi mangsa ditemui.

Katanya, mereka masih menunggu arahan selanjutnya berhubung operasi itu dan akan terus mengekalkan kekuatan yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 10:18 AM

RUSYDI (kanan) melihat anggotanya diberi rawatan awal selepas disengat tebuan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86843#sthash.i8iyEmx1.dpuf

Dituduh bunuh ibu bapa angkat


Gua Musang: Seorang penganggur berusia 27 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap pertuduhan membunuh ibu dan bapa angkatnya, 7 Oktober lalu.

Tertuduh, Cha Woon Fui, 27, didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap Cha Mok Liong, 72, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72, jam 9 pagi di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Pulai, dekat Kampung Pulai, di sini.

Untuk itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof dan mahkamah menetapkan 20 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak kejam dengan memasang bahan letupan pada motosikal yang dinaiki ibu bapa angkatnya dengan niat untuk membunuh mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 9:51 AM

SUSPEK kes letupan motosikal akibat bom buatan sendiri ditahan reman tujuh hari.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86840#sthash.mq5nl1J8.dpuf

Tersengih dituduh perkosa budak


Kuala Pilah: Seorang pemandu lori sempat melemparkan senyuman selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, November tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Affifuddin Ismail, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sazlina Safie.


Dia dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kikir, Bahau.

Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa melahirkan bayi lelaki secara songsang di sebuah klinik kesihatan di Bahau pada jam 9 pagi, 8 Ogos lalu.

Bayi seberat lebih satu kilogram selamat dilahirkan dan mangsa dibawa ke Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Bagaimanapun, bayi terbabit meninggal dunia di HTAN akibat radang usus jam 4.40 pagi.

Selepas lebih sebulan menyembunyikan diri, tertuduh akhirnya ditahan polis di rumah keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan kes berkenaan sangat serius membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun, selain mengambil tempoh lama membolehkannya ditahan.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili Abdul Aziz Hamzah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Seremban memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan dia diikat jamin.

Sazlina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 daripada seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan, selain melarangnya mendekati mangsa atau keluarga hingga kes selesai.

Sazlina menetapkan 26 November untuk sebutan semula kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 9:51 AM

AHMAD Affifuddin tersenyum ketika hadir di mahkamah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86838#sthash.Pu7k8TBk.dpuf

Darurat di Riau dilanjutkan


Pekanbaru: Pemangku Gabenor Riau, Arsyadjuliandi Rachman memanjangkan status darurat pencemaran udara di wilayah itu sehingga 1 November ini.

“Keputusan ini dibuat kerana kualiti udara di Riau masih belum stabil dan wilayah ini masih menerima asap yang berpunca daripada kebakaran hutan di wilayah berhampiran,” katanya.


Menurutnya, beliau mendapatkan pandangan beberapa pihak termasuk agensi kerajaan, serta Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik.

Perintah darurat dilanjutkan selepas agensi meteorologi memberitahu kualiti udara belum stabil dan hujan dijangka turun pada awal November ini.

“Kami juga mengarahkan supaya perkhidmatan kesihatan ditingkatkan supaya tidak ramai penduduk sakit akibat jerebu,” jelasnya.

Ketika ini pencemaran udara di Riau masih di tahap bahaya dan jerebu tebal masih melanda bandar Pekanbaru serta menyebabkan penerbangan tergendala.

Jabatan kesihatan Riau memberitahu, dari 29 September hingga 18 Oktober lalu jumlah penduduk yang mendapat rawatan akibat jangkitan pernafasan, berpunca daripada jerebu mencecah 62,531 orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:00 AM

KEADAAN jerebu di Jambi, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86743#sthash.WKEJj5jJ.dpuf

Pistol hanya mainan tembak cicak di rumah - Amir Ukays

RABU, 21 OKTOBER 2015 @ 11:11 PM

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed rajamawar@bh.com.my KUALA LUMPUR: "Saya bukan penjenayah, pistol itu hanyalah mainan untuk tembak cicak di rumah. Alhamdulillah, saya didapati tidak bersalah dan dibebaskan pada petang tadi (semalam)," kata bekas vokalis Kumpulan Ukays, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 46. Amir terkejut apabila berita dan gambar senjata api dimilikinya menjadi viral selepas ditahan pihak polis dipercayai memiliki senjata api. Amir ditahan di kawasan letak kereta pangsapurinya di Sentul, di sini, kira-kira jam 1.45 pagi pada Rabu lalu. Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan Walther CP99 Compact dengan nombor siri 12L20520. Amir berkata, pistol berkenaan adalah pemberian seorang peminat padanya kira-kira lapan bulan lalu. "Saya tidak tahu menjadi kesalahan jika memiliki pistol mainan. Saya juga tidak tahu perlu memiliki lesen untuk memiliki pistol mainan. "Tidak dinafikan, pistol berkenaan menyerupai pistol, tetapi ia hanyalah pistol mainan. "Selalunya, saya letak pistol berkenaan di rumah untuk kegunaan menembak cicak, tetapi pada tengah hari semalam, anak saya membawa turun dan tertinggal dalam kereta. "Saya tidak sempat membawa naik semula kerana bergegas ke studio untuk latihan vokal program Gegar Vaganza2. "Bagaimanapun, saya kurang bernasib baik apabila ditahan sepasukan polis ketika berada dalam kereta di kawasan letak kereta di rumah selepas pulang latihan," katanya. Penyanyi lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu itu berkata, ketika ditahan, pistol berkenaan berada di tepi pehanya. "Ketika itu, saya baharu saja mahu mematikan enjin kereta, saya didatangi sepasukan polis. Apabila nak keluar dari kereta, mereka ternampak pistol berkenaan. "Saya mengakui pistol itu milik saya kerana saya tahu itu pistol mainan. Jadi, saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk soal siasat. "Alhamdulillah, saya dibebaskan tidak sampai 24 jam selepas disoal siasat. Berita saya ditahan reman tidak benar. "Saya memberi kerjasama kepada polis kerana saya tahu saya tidak bersalah, saya bukan perompak atau penjenayah. Tiada apa yang harus saya takutkan," katanya ketika dihubungi BH, malam tadi. Amir berkata, dia memaafkan mereka yang meviralkan gambar dan pistol miliknya itu. "Tidak mengapalah, saya sudah maafkan. Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan sudah melupakannya. "Saya kini sudah dibebaskan dan paling penting, pihak polis mempercayai keterangan saya, mengakui apa yang berlaku tidak menjejaskan tumpuannya pada program realiti, Gegar Vaganza2 yang disertainya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/90686

Rumah warga emas dibaling bahan letupan


Georgetown: Sebuah rumah didiami seorang warga emas di Solok Sungai Pinang, Jelutong, di sini, dibaling bahan letupan sehingga menyebabkan siling luar bahagian depan rumah jiran lelaki itu pecah dalam kejadian malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, mangsa berusia 77 tahun berada dalam rumahnya apabila terdengar letupan kuat dari luar rumah.

“Lelaki itu keluar untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati serpihan kertas bertaburan di atas jalan hadapan rumahnya serta serpihan bahan letupan di hadapan rumah pengadu dan jirannya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata warga emas berkenaan percaya perbuatan membaling bahan letupan di rumahnya itu dilakukan pihak tertentu berikutan masalah hutang anak lelakinya.

"Menurut mangsa, sebelum ini rumahnya pernah disimbah cat disebabkan masalah hutang anak lelakinya yang sudah melarikan diri dan tidak tahu di mana dia berada. Warga emas itu juga tidak tahu anak lelakinya berhutang dengan siapa," katanya.

Mior Faridalatrash berkata mangsa tidak nampak siapa yang membaling bahan letupan itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 9:18 PM


Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid. - Foto NSTP

Disamun dan dibelasah


 Oleh Nabihah Kamal

am@hmetro.com.my


Ampang Jaya: Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang dari menonton perlawanan bola sepak dibelasah dengan menggunakan topi keledar dan tali pinggang sebelum disamun oleh lima lelaki yang menunggang motosikal di Bukit Permai, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun memandu van untuk pulang ke rumahnya sebelum ditahan oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Bagaimanapun, selepas mangsa memberhentikan kenderaannya, dia didatangi empat lagi lelaki yang menunggang motosikal sebelum dia dibelasah menggunakan topi keledar dan tali pinggang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, pihaknya menerima laporan lima suspek warga tempatan menyamun seorang lelaki.

"Suspek membelasah mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu cedera di mata sebelum melarikan wang dan barangan elektronik yang dianggarkan bernilai RM2,000.

"Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 10:23 PM

Khairuldin sahkan terima laporan seorang lelaki disamun lima lelaki semalam. FOTO Nabihah Kamal
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/87013#sthash.7PiZG2Ev.dpuf

Terbabas akibat selekoh berpasir


Oleh Nabihah Kamal

am@hmetro.com.my


Kajang: Empat penunggang motosikal terbabas dan terjatuh apabila melalui selekoh yang dipenuhi pasir di susur keluar Kajang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.45 pagi, empat penunggang motosikal itu dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima satu laporan berkait kemalangan berkenaan.

"Seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Kajang mengenai keadaan jalan yang dipenuhi pasir.

"Bagaimanapun, buat sementara ini kami tidak menerima sebarang laporan berkait dengan tumpahan minyak di kawasan itu," katanya.

Susulan itu, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Serdang untuk dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 10:27 PM


Motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO Nabihah Kamal

3 ditahan disyaki tertembak kanak-kanak


MILWAUKEE: Tiga ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang terkena tembakan ketika sedang duduk menonton televisyen di atas riba datuknya.
Arlis Gordon, 23, dan Carl Barrett, 20, dituduh tersilap mensasarkan rumah hingga menembak Laylah Petersen ketika mangsa duduk di atas sofa pada November tahun lalu.
Kedua-duanya didakwa atas tuduhan membunuh darjah pertama disebabkan kecuaian dan turut mendakwa rakan subahat Paul Farr, 24, atas dua tuduhan membantu penjenayah.
Laylah yang digambarkan sebagai "kanak-kanak periang" terkena tembakan di kepala.
Mangsa kemudian meninggal dunia di hospital.
Sekurang-kurangnya lima lubang peluru dikesan ditembak menerusi tingkap sebuah rumah di North 58th Street di sini. -AGENSI

Polis buru pelancong berbogel di pulau dekat Semporna


21/10/2015 9:49pm




KOTA KINABALU – Perbuatan biadab pelancong asing berbogel di Sabah didakwa berlaku sekali lagi dengan gambar viral terbaharu dipercayai dirakamkan di sebuah pulau di Semporna di timur negeri ini.
Beberapa keping gambar yang memaparkan aksi beberapa pelancong asing lelaki dan wanita berbogel di tepi pantai mula tersebar di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu selepas menerima laporan daripada beberapa pihak.
Katanya, siasatan awal mendapati gambar-gambar tersebut telah dirakam di sebuah pulau di Semporna antara tahun 2014 dan sehingga dua minggu lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, perbuatan ini dipercayai telah dilakukan oleh sekumpulan pelancong dari China bagi tujuan simpanan peribadi mereka.
“Kemungkinan besar semua suspek telah pulang ke negara asal dan dengan itu kita akan cuba mengesan mereka termasuk mendapatkan kerjasama Jabatan Imigresen dan Interpol,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_31.htm#ixzz3pDQdmEa2 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu lori maut langgar belakang treler


21/10/2015 10:48pm




SUNGAI PETANI - Seorang pemandu lori maut manakala seorang pemandu treler cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 112.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Tikam Batu, dekat sini pada pukul 4.40 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Mohd. Zukir Mohd. Isa berkata, mangsa yang maut ialah Mohd. Zamari Mohd. Zahari, 35, sementara identiti pemandu treler belum dapat dikenal pasti.
"Kedua-dua kenderaan berada di lorong kiri dalam perjalanan dari Alor Setar menuju arah Butterworth sebelum dua tayar belakang treler terbabit pecah menyebabkan ia hilang kawalan.
"Lori itu yang berada di belakang treler tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan terbabit," katanya kepada Bernama, hari ini.
Pemandu treler berkenaan dihantar ke Hospital Kepala Batas manakala mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_32.htm#ixzz3pDPvke5S 
Hakcipta terpelihara 

Mangsa Culik Ditemui Dibunuh


Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 4:50 PM

PETALING JAYA: Seorang penjual aksesori telefon berusia 41 tahun yang diculik,  ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di Subang Jaya.
Mayat mangsa dijumpai dengan berlumuran darah di tempat duduk penumpang hadapan kereta beberapa jam selepas dia diculik oleh sekumpulan suspek pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa dari Taman Bukit Serdang bersama-sama seorang rakannya di Jalan SS15/2A semasa kejadian itu berlaku.
"Kami berjaya mengesan jejak mangsa melalui telefonnya.
"Selepas satu jam setengah mengawasi jika ada sesiapa yang datang berdekatan dengan kenderaan itu, kami memutuskan untuk bergerak," katanya.
Sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan turut ditemui pada tempat letak kaki penumpang belakang.
Yahaya berkata, satu laporan telah dibuat oleh saudara mangsa.
"Menurutnya, dia menerima panggilan daripada rakan mangsa yang mendakwa sekumpulan lelaki telah menculik adiknya. Pemanggil itu juga mendakwa dia telah ditikam dan dalam perjalanan ke hospital di SS12.
"Kami akan menyoal pemanggil itu yang mana kami percaya dia ada bersama dengan mangsa sebelum diculik.
"Motif kejadian belum diketahui. Kami akan mengesan suspek dahulu," katanya.
Beberapa kesan tikaman, termasuk di kepala ditemui pada mayat mangsa.
Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Akibat Pukul Pencuci Kereta, Ahli Perniagaan Didenda RM5,000


Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 3:40 PM

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dikenakan kompaun RM5,000 bagi kesalahan mencederakan seorang pekerja warga asing di premis cuci kereta di Kampung Baru Subang, minggu lalu.

Mohd Risamuddin Abdul Wahab, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap pekerja warga Bangladesh, Shaheb Ali.

Kompaun itu perlu dibayar kepada mangsa dan majikannya, Haziyati Abdul Hamid.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis cuci kereta, Master Clean Car, Kampung Baru Subang pada jam 12.45 tengah hari, 17 Oktober 2015.

Majistret Ellyana Razali mengarahkan tertuduh membayar kompaun itu selepas kedua-duanya mencapai persetujuan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Penyelesaian itu juga termasuk permohonan maaf secara terbuka Risamuddin kepada Shaheb.

Mohd Risamuddin yang berdiri di kandang tertuduh, memohon maaf atas perbuatannya sambil menghulur tangan kepada Shaheb.

Rakaman tindakan Mohd Risamuddin memukul Shaheb di premis cuci kereta berkenaan tersebar di media sosial sejak Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, Shaheb dikatakan cedera di hidung akibat dipukul Mohd Risamuddin yang tidak berpuas hati bahagian dalam keretanya kotor ketika dicuci.

Tags / Kata Kunci:

34 penerbangan di Langkawi batal akibat jerebu


LANGKAWI 06 October 2015. Keadaan jerebu di Dataran Helang, Pulau Langkawi yang tebal dan mencatatkan bacaan IPU tertinggi hari ini. NSTP/Eizairi Shamsudin
LANGKAWI: Jerebu kembali melanda Langkawi dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat mencecah 149 pada pukul 2 petang tadi, sehingga memaksa 34 penerbangan keluar masuk dibatalkan.
Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jefri Ramli berkata 12 lagi penerbangan masuk dan keluar di situ terlewat dari jadual berikutan jarak ketampakan yang rendah.
"Lapangan terbang ini masih tetap beroperasi dan keputusan membatalkan penerbangan dibuat syarikat penerbangan sendiri setelah mendapat maklumat dari DCA (Jabatan Penerbangan Awam)," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Marzuki Daud turut memaklumkan semua sekolah di pulau ini ditutup esok berikutan trend bacaan IPU tidak sihat yang semakin meningkat.
Jerebu yang semakin teruk mula dialami petang semalam dan ini adalah kali kedua Langkawi dilanda keadaan ini setelah masalah sama berlaku pada awal bulan ini. - BERNAMA

Peniaga didakwa selepas ancam meracun susu formula


Ahli perniagaan berusia 60 tahun itu dihadapkan di mahkamah di Auckland berhubung suratnya kepada syarikat tenusu gergasi, Fonterra dan NZ Farmer's Federation, November lalu.
Dalam suratnya itu, dia memberi amaran susu formula di pasar raya akan dicemari racun serangga kecuali tuntutannya dipenuhi.
Ia membimbangkan kesan kepada industri tenusu yang merangkumi satu pertiga eksport negara Pasifik Selatan itu.
Pesuruhjaya Polis, Mike Bush, berkata pihaknya melancarkan siasatan besar-besaran termasuk menyiasat 2,600 orang dengan lebih 60 kemungkinan suspek.
Katanya, operasi tamat apabila polis melakukan siri waran geledah dan menahan seorang lelaki Auckland.
"Penangkapan hari ini adalah hasil usaha siasatan selama beberapa bulan," katanya. AGENSI



Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush.

Gambar bogel pelancong didakwa di Semporna, jadi viral




Oleh Abdul Rahemang Taiming


GAMBAR dipercayai pelancong asing yang berbogel didakwa dirakam di Pulau Sibuan, Semporna.- Foto ihsan pembaca
SEMPORNA: Polis menjalankan siasatan berhubung penyebaran gambar bogel sekumpulan lelaki dan wanita, dipercayai pelancong yang didakwa dirakam di Pulau Sibuan, dekat sini, baru-baru ini. 
Menerusi beberapa gambar yang viral di aplikasi WeChat dan WhatsApp itu, beberapa lelaki didakwa pelancong dari China bergambar sambil berbogel di tepi pantai, manakala beberapa wanita dalam keadaan separuh bogel. 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Peter anak Umbuas, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penyebaran gambar itu beberapa hari lalu dan masih menyiasat sama ada foto terbabit dirakam di Semporna atau sebaliknya. 
Katanya, polis juga akan mendapatkan kerjasama pihak Taman-Taman Sabah (TTS) serta pengusaha pelancongan bagi mengesan identiti semua mereka yang terbabit. 
"Kita sedang menyiasat kesahihan gambar itu kerana ada juga dakwaan ia dirakam di luar negara, namun dimuat naik di Facebook kononnya berlaku di Sabah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Antara gambar yang tersebar ialah tujuh lelaki berbogel membelakangkan kamera sambil seorang wanita lengkap berpakaian menghadap kamera, selain tiga wanita dalam keadaan separuh bogel membelakangkan kamera dengan seorang lelaki berseluar pendek tersenyum. 
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Semporna, Dr Chaco Bullah, berkata beliau menerima maklumat itu daripada persatuan pelancongan di daerah ini dan meminta pihak TTS menjalankan siasatan. 
"Jika benar (pelancong berbogel di Semporna) perlakuan mereka menjejaskan imej daerah ini, selain bertentangan budaya masyarakat serta melanggar tata susila.
"Saya minta TTS membuat laporan polis supaya ia dapat disiasat serta diambil tindakan sewajarnya," katanya. 
Pada 30 Mei lalu, kira-kira 10 pelancong Eropah berbogel dan bergambar di puncak Gunung Kinabalu hingga menimbulkan kemarahan penduduk negeri ini.
Empat daripada mereka kemudian ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara tiga hari serta denda RM5,000 setiap orang. 
Mac lalu pula, dua wanita warga asing dirakam bermain pasir di Pulau Sulug di Kota Kinabalu dalam keadaan separuh bogel sehingga menimbulkan rasa kurang senang pengunjung lain.

Sekolah tahfiz Labuan hampir musnah terbakar


KIRA-KIRA 70 peratus bangunan Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran, di Jalan Tun Mustapha berdekatan Kampung Gersik, di sini, musnah selepas terbakar hari ini. - Foto BERNAMA
LABUAN: Kira-kira 70 peratus bangunan Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran, di Jalan Tun Mustapha berdekatan Kampung Gersik, di sini, musnah selepas terbakar hari ini.
Bagaimanapun, semua pelajar dan guru yang berada di situ selamat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, kebakaran membabitkan bangunan kayu dua tingkat berlaku pada pada 9.50 pagi, sebelum ia berjaya dipadamkan dalam tempoh 90 minit.
Katanya, asrama lelaki yang boleh menempatkan 20 pelajar lelaki berhampiran sekolah itu bagaimanapun tidak terjejas.
Sekolah agama yang didaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ini boleh menempatkan 50 pelajar dan adalah penempatan sementara sebelum bangunan baharunya siap di Kampung Sungai Lugu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menyiasat punca kebakaran. - BERNAMA

Tropika Koppu: Kematian meningkat jadi 39 orang


Tropika Koppu: Kematian meningkat jadi 39 orang

21 OKTOBER 2015
Tropika Koppu: Kematian meningkat jadi 39 orang Penduduk mula membersihkan rumah mereka di Cabanatuan, Filipina.

CABATUAN - FILIPINA. Angka kematian akibat ribut yang melanda  kepulauan Filipina meningkat ke 39 orang.

Ribut Tropika Koppu yang melanda memaksa lebih 100,000 penduduk terpaksa mencari perlindungan dan turut menyebabkan kemusnahan sawah padi.

Menurut biro cuaca kerajaan, ribut bertiup dari pulau utama Luzon pada hari Selasa dan berakhir di Selat Balintang hujung utara negara itu pada pagi Rabu, dengan angin berkelajuan 55 kilometer (34 batu) sejam.

Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dalam ribut, kebanyakannya disebabkan oleh lemas, tanah runtuh, pokok tumbang dan runtuhan dinding, kata pegawai pertahanan awam dipetik AP.

Sementara itu, beberapa orang turut  dilaporkan hilang dan lebih daripada 500,000 penduduk terjejas akibat ribut itu termasuk 107,000 orang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Dalam pada itu, agensi bencana berkata, tindak balas dari ribut terbabit menyebababkan beberapa kawasan di pergunungan mengalami banjir kilat dan terpaksa dipindahkan.

Anggaran kerajaan awal menunjukkan kerosakan kepada pertanian dan infrastruktur berjumlah sekurang-kurangnya 5.3 juta peso (RM4.8 juta).

Bekas vokalis kumpulan popular 1990-an ditahan miliki senjata api




Oleh Siti Azila Alias


PISTOL yang dirampas daripada seorang vokalis kumpulan popular tahun 1990-an awal pagi tadi.
KUALA LUMPUR: Seorang bekas vokalis kumpulan popular 1990-an ditahan kerana memiliki senjata api, awal pagi tadi.
Artis lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 1.45 pagi selepas polis menemui sepucuk pistol di dalam kereta jenis PROTON Gen2 dinaiki suspek ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Sentul.
Penahanan suspek disahkan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy ketika dihubungi BH, sebentar tadi.
Munusamy berkata, polis akan memohon perintah reman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Gempa kuat melanda Kepulauan Vanuatu

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan hari ini berkata, pusat gempa adalah 5,837 kilometer dari tenggara Tawau.
Gempa tidak membawa ancaman Tsunami, kata jabatan itu.
-- BERNAMA
Kepulauan Vanuatu.

Van jenazah terbakar di Batu Kurau



BEGINILAH keadaan van jenazah itu selepas pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 10 minit.


TAIPING – Seorang pemandu van jenazah warga emas, Zainuddin Mat Lazim sempat menyelamatkan diri bersama pengusung keranda ketika kenderaan yang dipandunya itu terbakar secara tiba-tiba di Batu 16, Relau, Batu Kurau di sini kelmarin.
Zainuddin, 60, berkata, kejadian pada pukul 2.45 petang itu berlaku semasa beliau memandu van jenazah tersebut yang baru dibaiki dari Kampung Air Hitam, Jelai ke Masjid Batu Kurau.
Katanya, semasa memandu, kenderaan tersebut mengeluarkan bau hangit sebelum diikuti kepulan asap tebal dari bahagian pemandu sehingga memaksanya memberhentikan van di tepi jalan untuk menyelamatkan diri.
“Saya panik selepas menghidu bau hangit dan melihat kepulan asap sebelum bertindak memberhentikan kenderaan di pinggir jalan dan keluar menyelamatkan diri.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan sejurus saya keluar, api mula membakar bahagian enjin serta bahagian pemandu. Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, hanya pengusung keranda yang berjaya diselamatkan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3pB3bI3lv 
Hakcipta terpelihara 

Pembantu Rumah Sembunyikan Mayat Bayi Di Rumah Majikan Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2015 11:00 PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 33 tahun yang menyembunyikan mayat bayinya yang telah meninggal dunia semasa dilahirkan di dalam sebuah laci di rumah majikannya, telah ditahan.
Insiden berlaku pada petang Isnin di rumah dua tingkat yang terletak di Lorong Ong Lye di Serangoon.
Menurut Shin Min Daily News, wanita tersebut yang berasal dari Indonesia mengadu kepada majikannya bahawa dia tidak sihat.
Dia dibawa ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK untuk pemeriksaan.
Doktor kemudiannya mengesyaki dia telah melahirkan anak baru-baru ini.
Berdasarkan siasatan lanjut, wanita itu mengakui telah melahirkan seorang bayi lelaki yang meninggal dunia ketika dilahirkan.
Malah dia mengakui menyembunyikan mayat bayi itu di dalam sebuah laci di bilik tingkat dua rumah majikannya.
Ketika dihubungi, seorang jurucakap polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira pukul 1.22 petang dan menjumpai mayat bayi tersebut di dalam laci.
Bayi itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, wanita tersebut ditahan kerana menyembunyikan kelahiran dan cubaan melupuskan mayat anaknya.
The Straits Times difahamkan bahawa bayi itu dilahirkan secara pra matang pada usia lima bulan.

Jerebu Semakin Teruk Di Singapura


Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2015 10:18 AM

SINGAPURA: Keadaan jerebu di republik ini merosot sejak kira-kira pukul 9 malam Isnin, kata Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Ini berikutan jerebu lebih tebal yang dibawa angin dari arah selatan-tenggara dari kawasan laut di sebelah selatan.
Pada pukul 11 malam Isnin, indeks standard pencemaran (PSI) 24-jam mencatat bacaan tidak sihat antara 104 hingga 152.
Sementara pada pukul 8 pagi hari ini, bacaan PSI 24-jam adalah pada kadar tidak sihat antara 105 hingga 171.
Jerebu dijangka berterusan sepanjang hari ini.

Filipina turut dilanda jerebu



AFP - GAMBAR yang disiarkan pada 6 Oktober lalu menunjukkan kebakaran hutan di Kalimantan Barat.


MANILA – Tiga buah bandar di Pulau Mindanao, selatan Filipina diselubungi jerebu tebal yang dipercayai berasal daripada kebakaran hutan di wilayah Kalimantan, Indonesia.
Seorang pegawai kaji cuaca, Gerry Pedrico memberitahu akhbar The Philippine Daily kelmarin bahawa asap pencemaran itu melitupi bandar Davao, Cagayan de Oro dan General Santos sejak Sabtu lepas.
Katanya, corak pergerakan angin akibat ribut tropika Koppu yang membadai utara Filipina sejak Ahad lalu dipercayai menyebabkan jerebu dari Kalimantan bergerak ke selatan Filipina.
Pada awal bulan ini, bandar raya Cebu di tengah Filipina dilitupi jerebu tebal selama seminggu.
Menurut beberapa saintis, ribut tropika itu menghasilkan laluan angin yang membawa jerebu sejauh 1,000 kilometer dari Kalimantan, bukan sahaja ke Cebu, tetapi ke beberapa kawasan di Mindanao.
Pedrico bagaimanapun memberitahu, jerebu yang melanda beberapa buah bandar di Mindanao itu tidak mendatangkan risiko kesihatan.
“Asap jerebu itu berada tinggi di udara dan tidak mendatangkan risiko kesihatan. Tiada sebab untuk orang ramai bimbang,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3pAzRNrol 
Hakcipta terpelihara 

Letupan besar di Rio de Janeiro



AFP - ANGGOTA bomba dan pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat selepas satu letupan di Rio de Janeiro kelmarin.


RIO DE JANEIRO – Satu letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada longgokan tong gas haram memusnahkan sebuah kejiranan di Rio de Janeiro kelmarin dengan sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dan sejumlah kediaman dan premis perniagaan musnah.
Rakaman di kawasan Sao Cristovao, utara Rio de Janeiro oleh stesen televisyen Globo menunjukkan anggota-anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api dan mencari mang­sa yang terselamat di bawah runtuhan besi serta konkrit.
Pihak bomba memberitahu agensi berita AFP bahawa tujuh orang cedera dengan enam daripada mereka masih dirawat di hospital. Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan lapan orang ce­dera dalam letupan kuat itu.
“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada letupan longgokan tong gas haram,” kata Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Paes.
Media tempatan melaporkan, tong-tong gas itu dilonggokkan di sebuah restoran piza di lokasi kejadian.
Lebih 20 bangunan dan kediaman, termasuk dua restoran dan sebuah farmasi musnah, lapor stesen Globo. Gelombang akibat letupan kuat itu turut menyebabkan cermin tingkap bangunan dan kediaman pada jarak beberapa ratus meter dari tempat kejadian pecah.
Pihak berkuasa turut menutup bekalan gas ke kejiranan tersebut bagi membantu anggota bomba memadamkan kebakaran.
“Gegaran letupan seperti gempa bumi. Semuanya runtuh tetapi kami sempat menyelamatkan diri,” jelas seorang penduduk, Dani Soares kepada Globo. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3pAvCNNXh 
Hakcipta terpelihara 

Kereta RM400,000 hangus



Anggota bomba memadamkan api yang marak membakar kereta mewah jenis BMW Z4 di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan nyaris maut apabila kereta mewah jenis BMW Z4 yang dipandunya tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum terbakar di Persiaran Jalan Kristal, Seksyen 7 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, pemandu berusia 39 tahun itu sempat keluar menyelamatkan diri sebelum api marak dan membakar hampir 90 peratus kereta yang bernilai lebih RM400,000 itu.
Lelaki itu yang berasal dari Klang dipercayai memandu dari arah i-City di sini menuju ke Seksyen 7.
Difahamkan kereta tersebut pada awalnya mengeluarkan asap pada bahagian depan di sebelah penumpang sebelum apinya merebak ke bahagian lain.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Mohd. Sufi Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.23 petang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3pAutBpPO 
Hakcipta terpelihara 

Wanita berseluar jeans teruk kena ganyang


WARTAWAN SINAR HARIAN
Wanita berseluar jeans teruk kena ganyang

20 OKTOBER 2015
Wanita berseluar jeans teruk kena ganyang Sedutan video yang viral hari ini.

SEBUAH video yang menunjukkan seorang wanita dipukul oleh dua wanita lain viral di laman Facebook hari ini.

Laman Facebook Friends of BN mendakwa, kejadian tersebut berlaku di Bachok, Kelantan.

Dalam video tersebut, seorang wanita berbaju ungu dan berseluar jeans dilihat dipukul beberapa kali di bahagian kepala dan badan.

Seorang wanita lain pula menendang kepala mangsa beberapa kali.

Terdapat beberapa saksi di dalam video tersebut yang dilihat hanya berdiri sambil merakam kejadian dan tidak berusaha untuk meleraikan pergaduhan berkenaan.

"Kes pukul perempuan sama perempuan, mohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) ambil tindakan," tulis laman itu.

Menurut Friends of BN, kejadian tersebut dikatakan akibat berlaku salah faham yang menyebabkan mereka yang terbabit bergaduh.

Hampir 10,000 pelayar menyaksikan video tersebut menggesa PDRM segera menyiasat kejadian berkenaan.

Dua ditahan kerana pakai vest polis


WARTAWAN SINAR HARIAN
Dua ditahan kerana pakai vest polis

20 OKTOBER 2015
Dua ditahan kerana pakai vest polis Foto yang dikongsi oleh laman Facebook Polis Selangor, semalam.

SHAH ALAM - Dua orang lelaki ditahan polis semalam bagi membantu siasatan mengenai perkongsian yang memaparkan seorang lelaki memakai vest polis yang viral di laman Facebook.

Menurut laman Facebook Polis Selangor, lelaki berumur 28 dan 30 tahun berkenaan ditahan di sebuah sekolah yang terletak di Putra Perdana pada jam 4.10 petang.

Pihak polis turut merampas 2 unit Vest Polis, 2 keping Kad Kuasa Kelab Anti Jenayah & Dadah Malaysia, serta 2 keping kad nama atas Kelab Anti Jenayah & Dadah Malaysia.

Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

Pemandu Uber bersalah rogol penumpang


Pemandu Uber bersalah rogol penumpang

21 OKTOBER 2015
Pemandu Uber bersalah rogol penumpang Yadav (tengah) berdepan penjara seumur hidup.

NEW DELHI - INDIA. Mahkamah Delhi semalam mendapati seorang pemandu teksi Uber bersalah merogol penumpang wanitanya, pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Kaveri Baweji menetapkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap, Shiv Kumar Yadav.

Yadav dituduh menyerang dan merogol mangsa berumur 25 tahun di dalam teksinya, di sebuah kawasan terpencil di ibu kota India.

Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup.

India sering digemparkan dengan kes rogol dan terbaharu, dua anak kecil berusia 2 setengah tahun dan 5 tahun dirogol dalam dua kejadian berasingan di barat Delhi pada minggu lalu ,lapor Indian Express.