Search This Blog

Saturday, October 17, 2015

Tiga maut, kemalangan enam kenderaan

 Oleh Asrizal Aris

am@hmetro.com.my

Simpang Pulai : Tiga maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 283, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Simpang Pulai, kira-kira 9.30 pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai bersama jentera ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan membabitkan empat kereta, lori dan motosikal dengan tujuh mangsa kesemuanya.

"Maklumat awal mendapati terdapat empat mangsa mengalami kecederaan dan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak petugas ambulans," katanya.

Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 12:08 PM

Kemalangan mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 283, Lebuhraya PLUS , arah selatan, berhampiran Simpang Pulai, kira-kira 9.30 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85870#sthash.kPjU3yBV.dpuf

Ditangkap jua akhirnya

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

am@hmetro.com.my


Jempol: Lelaki yang disyaki merogol budak perempuan berusia 11 tahun sehingga melahirkan bayi lelaki pada 5 Ogos lalu ditahan polis, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di rumah keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, ketika sedang tidur kira-kira 6 pagi.

Katanya, suspek sebelum ini sering bertukar lokasi tempat tinggalnya bagi mengelak ditahan polis apabila mengetahui dia diburu polis berhubung kes rogol terbabit.

"Bagaimanapun, hasil risikan polis, suspek berjaya diberkas dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu," katanya pada sidang media di IPD Jempol, hari ini.

Harian Metro pada 5 Ogos lalu melaporkan budak perempuan berusia 11 tahun melahirkan bayi lelaki di klinik swasta, di sini, selepas dibawa bapa saudaranya apabila dia mengadu sakit perut.

Bagaimanapun, bayi terbabit yang dilahirkan dengan satu kilogram itu meninggal dunia akibat radang usus pada usia lapan hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 1:29 PM

Gambar ketika Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar menziarahi budak perempuan 11 tahun yang melahirkan bayi perempuan, 5 Ogos lalu. FOTO Amran Yahya
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85878#sthash.QgZs7lz2.dpuf

61 warga asing ditahan

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

hadinata@hmetro.com.my


Shah Alam: Seramai 61 warga asing ditahan dalam Operasi Ikrar oleh Jabatan Imigresen bersama beberapa jabatan lain di tapak pembinaan Jalan Alam Suria, Puncak Alam dekat sini pagi tadi.

Dalam operasi dari 1.40 hingga 4.20 pagi itu 163 warga asing diperiksa dan 61 daripada mereka ditahan membabitkan 54 warga Indonesia, enam Myanmar dan seorang warga India.

Ketua Unit Tindakan Imigresen Bahagian Penguat kuasa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya Hazizan Abdullah berkata, operasi itu disertai 118 penguat kuasa membabitkan Jabatan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, pegawai Sistem Pendaftaran dan Penguatkuasaan Warga Asing (NERS) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pas lawatan sosial tamat tempoh serta pas lawatan kerja sementara palsu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.

"Mereka dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut dan ketika operasi tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 4:44 PM

Antara warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85894#sthash.ePHRhf3i.dpuf

2 budak kecil dirogol di New Delhi - Polis

SABTU, 17 OKTOBER 2015 @ 3:45 PM

SEORANG wanita India menjerit pada anggota polis semasa protes berhampiran rumah seorang perempuan yang telah dirogol di New Delhi. - Foto AFP.


NEW DELHI: Dua kanak-kanak perempuan India, masing-masing berusia dua setengah tahun dan lima tahun, dirogol dalam insiden berasingan di New Delhi, menurut polis. "Kami sudah melancarkan gerakan memburu suspek. Setakat ini tiada seorang pun yang ditahan," kata Ketua Polis Delhi barat, Pushpendra Kumar. Beliau juga berkata, kanak-kanak berusia dua setengah tahun itu dirogol sekurang-kurangnya sekali manakala kanak-kanak berusia lima tahun itu dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/89649

3 didakwa culik anak kontraktor


Kim Wen (kanan) memeluk erat Hanizan sebaik sahaja pemandu teksi itu dibebaskan oleh polis di Kompleks Mahkamah Kajang semalam.


KAJANG – Tiga lelaki terma­suk seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak berusia lima tahun berhampiran sebuah tadika di Sungai Chua di sini minggu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Siow Kek Keong, 44, seorang ahli perniagaan; Mohd. Saifulamry Jarkasi, 28, yang bekerja sebagai pemandu lori dan Riduansyah Yahya, 32, seorang buruh warga Indonesia me­ngangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Kek Keong, Mohd. Saifulamry dan Riduan­syah didakwa bersama-sama menculik kanak-kanak untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000 di tepi Jalan Seroja, berdekatan sebuah rumah Taman Setia, Sungai Chua pada pukul 9.26 pagi 9 Oktober lalu.
Kesemua tertuduh didakwa me­lakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3ovsuJ17y 
Hakcipta terpelihara 

LPT2 sudah jadi ‘kubur’ 73 orang




Anggota bomba mengeluarkan mayat yang rentung dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta KIA Spectra dengan sebuah lori sehingga mengorbankan empat nyawa di KM386.6, LPT2 pada 25 Mei lalu.


KEMAMAN – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang 184 kilometer (KM) kini ibarat lebuh raya maut apabila telah menjadi ‘kubur’ kepada 73 mangsa dalam lebih 300 kejadian kemalangan sejak ia dibuka dua tahun lalu.
Secara purata dalam tempoh dua tahun itu, LPT2 yang meng­hubungkan Jabor di Kemaman ke Gemuruh di Kuala Terengganu mengorbankan satu nyawa setiap 10 hari.
Bermula dengan kes Kamariah Ismail, 54, yang terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suaminya merempuh seekor lembu di KM337, berhampiran Paka, insiden maut di LPT2 seolah-olah tidak berkesudahan.
Terbaru Rabu lalu, enam sekeluarga maut selepas kereta yang dipandu oleh pengurus jualan kereta, Azaman Ramli, merempuh sebuah treler 20 tayar yang berhenti rehat di KM258.8 berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Perasing dekat Kemamam.
Malah, laluan LPT2 dari Ajil, Hulu Terengganu ke Kemaman disifatkan oleh pengguna sebagai laluan maut dan cukup berbahaya terutama jika memandu pada waktu hujan lebat.
Kerajaan negeri Terengganu dalam reaksi segera berkata, pihaknya akan memanggil wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia bagi membincangkan isu keselamatan di LPT2 dalam masa terdekat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Ir. Rosli Othman, mesyuarat tersebut akan membincangkan isu peningkatan kes kemalangan maut di lebuh raya tersebut sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna jalan raya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3ovsNyIQp 
Hakcipta terpelihara 

Broker tanah dibakar dalam tandas


Badan seorang broker tanah melecur teruk selepas dia dibaling dengan kain bercampur petrol yang dibakar di dalam tandas pusat beli-belah Prangin Mall, George Town malam kelmarin.


GEORGE TOWN – Seorang broker tanah melecur separuh badan selepas dibaling dengan kain dibasahi minyak petrol yang dibakar ketika lelaki berkenaan berada di dalam tandas pusat beli-belah Prangin Mall di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Ayob Sudin, 56, melecur pada kepala, muka, badan dan kaki selain sebahagian seluar serta baju yang dipakainya turut terbakar.
Difahamkan, mangsa semasa kejadian sedang membuang air kecil sebelum terkejut melihat objek berbentuk bulat dalam keadaan terbakar dibaling dari bahagian atas pintu tandas berkenaan.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Shah Irwan Othman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik me­nerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.08 malam.
Menurutnya, sebaik tiba di tandas berkenaan yang terletak di aras satu pusat-beli belah berkenaan, pihaknya menemui seorang mangsa lelaki berada dalam keadaan melecur separuh badan selain salah mangkuk tandas terdapat kesan terbakar.
“Kami dimaklumkan, mangsa berlari keluar dari tandas itu dalam keadaan terbakar dan menjerit meminta tolong daripada orang awam yang berada berhampiran.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3ovs4jP6t 
Hakcipta terpelihara 

Mayat Warga Malaysia Dibuang Dalam Tandas Di Lebuhraya Victoria


Diterbitkan: Sabtu, 17 Oktober 2015 7:20 AM

KUALA LUMPUR: Polis Australia mengenal pasti mayat lelaki yang dibuang di dalam sebuah tandas sebagai warga Malaysia yang menetap lebih masa di negara itu.
Akhbar Australia, The Age melaporkan mayat Lim Ewe Leong, 47, ditemui di dalam tandas awam yang terletak di Lebuhraya Murray Valley, Boundary Bend, Victoria, kira-kira pukul 9 pagi, 18 September lalu.
Polis percaya Lim meninggal di lokasi lain dan mayatnya dibuang di dalam tandas antara pukul 8.30 pagi dan 9 pagi.
Hasil bedah siasat selama sebulan mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat masalah kesihatan.
Detektif Siasatan Jenayah Robinvale percaya Lim memasuki Australia melalui Perth pada 28 November tahun lalu dan perlu meninggalkan negera itu pada 28 Februari tahun ini.

Tiga Maut Kemalangan Di Simpang Pulai


Diterbitkan: Sabtu, 17 Oktober 2015 1:24 PM
Antara kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa di Simpang Pulai, Sabtu.

IPOH: Tiga maut dalam kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di Kilometer 283, Lebuhraya Utara-Selatan di Simpang Pulai dekat sini, Sabtu.
Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi mengalami kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, kejadian arah selatan lebuh raya berkenaan itu melibatkan sebuah motosikal, empat kereta dan sebuah lori.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 pagi dan anggotanya dikerah ke lokasi kejadian.
Trafik berhampiran kawasan kemalangan antara plaza tol Simpang Pulai dan Gopeng mengalami kesesakan teruk akibat kejadian itu.

Polis Maut Kes Langgar Lari


Diterbitkan: Sabtu, 17 Oktober 2015 3:46 PM
Basil Gregory Anak Albert Likau.

SUBANG JAYA: Berkabung atas kematian seorang anggotanya, polis di sini menggesa saksi insiden langgar lari yang menggorbankan nyawa seorang lans koperal yang pulang dari tempat kerja pada Jumaat supaya tampil membantu siasatan.
L/Kpl Basil Gregory Anak Albert Likau baharu sahaja selesai kerja dan dalam perjalanan ke rumah dengan menaiki sebuah motosikal di Jalan Subang Kelana kira-kira pukul 5 pagi Sabtu apabila dilanggar sebuah kenderaan lain.
Motosikal Yamaha Ego LC milik mangsa rosak teruk dan L/Kpl Basil Gregory meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata jalan dua lorong itu berada dalam keadaan kering dan lancar semasa kejadian dan cuaca amat baik.
Terdapat kesan brek sepanjang lapan meter di laluan jalan raya itu.
"Mengambil kira kesan kerosakan pada motosikal, dia mungkin dilanggar kenderaan lain. Kami meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Mayat L/Kpl Basil Gregory dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum diterbangkan ke kampung halamannya di Miri, Sarawak.

Dua Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Dalam Kemalangan


Diterbitkan: Sabtu, 17 Oktober 2015 4:03 PM
Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas kenderaan mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Batu 18 Jalan Alor Setar-Sungai Petani dalam kejadian pada 1.30 pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Muhamad Halim Yatim berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mohammad Shukri Omar, 27, dari Kampung Batu 18 Sungai Baru, Guar Chempedak dan Mohd Syahir Zulkifli, 27, dari Taman Setia, Pendang.
Beliau berkata pembonceng motosikal iaitu rakan Mohammad Shukri, Mohamad Ridwan Mohamad Rasid, 25, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Yan.
Muhamad Halim berkata siasatan mendapati motosikal dinaiki Mohd Syahir dalam perjalanan dari Kota Sarang Semut ke Sungai Petani sebelum bertembung dengan motosikal dinaiki Mohammad Shukri yang datang dari Guar Chempedak.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga," katanya pada Sabtu.
Jelas beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Guru Ditumbuk, Ditendang Dan Dimaki Kerana Tegur Pelajar


Diterbitkan: Sabtu, 17 Oktober 2015 5:18 PM

SIBU: Seorang guru lelaki sekolah menengah di Jalan Teng Chin Hua di sini, lebam di muka dan cedera di perut selepas ditumbuk dan ditendang seorang pelajar, Jumaat.
Guru disiplin berusia 40-an itu turut dimaki pelajar lelaki berkenaan selepas dikatakan menegurnya ketika perhimpunan sekolah kira-kira pukul 7.30 pagi.
Beliau yang mengalami pendarahan pada hidungnya kemudian membuat laporan polis pada 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi yang dihubungi pada Sabtu mengesahkan menerima laporan itu dan berkata polis sudah mengenal pasti pelajar berkenaan.
Bagaimanapun Mohd Kamal berkata pihaknya masih belum menahan pelajar itu untuk membantu siasatan.-- Bernama

Pelarian Afghanistan Ditembak Mati Cuba Masuk Bulgaria


Diterbitkan: Jumaat, 16 Oktober 2015 3:27 PM

SOFIA (Bulgaria): Seorang lelaki warga Afghanistan ditembak oleh pegawai polis sempadan ketika cuba memasuki Bulgaria secara haram bersama sekumpulan pelarian dekat bandar Sredets di tenggara Bulgaria pada lewat malam Khamis.
Lelaki berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, kata ketua setiausaha kementerian dalam negeri, Georgi Kostov.
"Polis dan pengawal sempadan di kawasan itu telah menemui sekumpulan 50 orang yang memasuki ke negara ini secara haram," kata Kostov kepada radio tempatan.
Kostov berkata, kesemua pelarian itu berusia antara 20 dan 30 tahun, berasal dari Afghanistan dan ditahan dalam keadaan baik dekat Sredets, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Turki-Bulgaria.
"Mereka membuat penentangan semasa penahanan itu. Salah seorang pengawal melepaskan tembakan sebagai amaran, dan salah seorang daripada pelarian cedera akibat lantunan peluru berkenaan dan kemudiannya meninggal dunia," katanya.
Pihak pendakwa raya sedang menyiasat insiden itu, yang pertama sejak bermulanya kemasukan pelarian di bandar Balkan dua tahun lalu. - REUTERS

‘Spiderman’ kebas RM15,000


Seorang penjenayah ‘spiderman’ sanggup menggadai nyawa memanjat dapur tingkat 27 sebuah pangsapuri bagi membolehkan dia memecah masuk unit rumah berkenaan.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, suspek berjaya mengumpil jeriji besi di bahagian dapur rumah enam mangsa di Simfoni Height, Jalan Medan Selayang, Batu Caves, di sini.

Suspek berusia 20-an itu kemudian melarikan empat telefon pintar, dua komputer riba dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM15,000 tanpa disedari mangsa yang sedang tidur.

Mangsa, Muhd Azri Shahabudi, 25, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan lima lagi rakannya sedang nyenyak tidur sebelum menyedari barang berharga mereka dilarikan pada jam 6 pagi.

Katanya, suspek dipercayai mengumpil jeriji besi di bahagian dapur kediaman mereka sebelum memecah masuk rumah secara bersendirian.

“Kami kemudian membuat aduan berhubung kejadian itu kepada pengawal keselamatan pangsapuri itu. Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat membawa beg sandang selain beg komputer riba milik saya.

“Ini kejadian pertama menimpa kami sepanjang menetap di pangsapuri ini. Saya dan rakan-rakan lain membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:37 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85851#sthash.zppSdaSJ.dpuf

Noda dalam kereta


Seorang gadis sedang berjalan kaki ke tempat kerja sebaliknya diculik dua lelaki sebelum dirogol di dalam kereta berhampiran sebuah bangunan di Sunway di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun menunggu untuk melintas jalan di Salak Selatan di sini, sebelum ditarik suspek menaiki kereta.

Sumber berkata, kereta dinaiki dua lelaki tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum salah seorang daripadanya menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan itu.

“Mangsa kemudiannya dicabul di dalam kereta itu sebelum dibawa ke kawasan meletak kenderaan sebuah bangunan dalam pembinaan di kawasan Sunway,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudiannya dirogol di dalam kereta itu sebelum berjaya melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai.

“Mangsa dikatakan berjaya melarikan diri ketika suspek sedang bertukar tempat duduk dengan rakannya yang memandu kereta itu.

“Mangsa turut menjerit meminta tolong namun ketika kejadian tiada orang awam berada di lokasi kejadian. Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:37 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85850#sthash.rNRXBrYH.dpuf

Wanita diculik, diseksa 3 hari


Seorang wanita berdepan pengalaman ibarat dalam neraka selama tiga hari apabila diculik sebelum dikurung di sebuah rumah dan dipukul selain diseksa tanpa diberi makan serta minuman.

Malah, mangsa yang berusia 21 tahun itu hampir diperkosa dua lelaki yang menculiknya, selain telefon bimbit dan wang tunai miliknya dirampas.

Bagaimanapun, mangsa dibebaskan Rabu lalu selepas menjadi mangsa seksaan suspek tidak dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, mangsa keluar rumah pada Isnin lalu jam 9.30 malam untuk membeli makanan di Taman Keladi, di sini, dengan menaiki motosikal.

Menurutnya, ketika melalui satu lorong di taman itu, tiba-tiba datang sebuah van dan dua lelaki terus menahannya serta merampas telefon bimbit bersama wang tunainya.

“Suspek juga bertindak menampar mangsa sehingga pengsan sebelum dibawa lari ke sebuah rumah kosong.

“Sebaik mangsa sedar, dia terkejut apabila berada di dalam sebuah bilik yang tidak diketahui lokasinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:27 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85843#sthash.wMmfmQqo.dpuf

Besi pembunuh

 Oleh Yahya Awang

am@hmetro.com.my
Taiping: Seorang lelaki maut, manakala seorang parah apabila kereta yang mereka naiki dihempap muatan besi yang terjatuh dari sebuah treler yang terbabas di Batu 16, Jalan Taiping-Sitiawan di Trong, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, pemandu kereta, V M Muniandy, 44, pekerja kontrak Ladang Taiping Rubber Plantation (TRP) Trong, maut di tempat kejadian, manakala rakannya, M Gopi, 36, dari Taman Kota, Simpang, cedera parah dan dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler membawa muatan besi padu dari arah Taiping terbabas ketika melalui selekoh tajam lalu melanggar penghadang jalan dan terbalik ke laluan bertentangan.

“Kejadian itu mengakibatkan muatan dibawa terjatuh dan menghempap kereta Proton Saga dinaiki mangsa yang datang dari arah Sitiawan.

“Siasatan awal mendapati treler itu membawa muatan berlebihan daripada sepatutnya, mengakibatkan ia mudah terjatuh apabila hilang kawalan dan terbabas,” katanya di sini semalam.

Harrith Kam berkata, berikutan kejadian itu, kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk, sementara pemandu treler yang berusia 55 tahun hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam dan sebaik tiba di tempat kejadian berhampiran kawasan air terjun Trong, kereta yang dinaiki mangsa kemek akibat dihempap muatan besi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:40 AM

KEADAAN kereta yang remuk dihempap besi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85856#sthash.9hOji6k0.dpuf

Thailand haramkan filem Arbat


Bangkok: Pihak berkuasa Thai mengharamkan tayangan filem seram ‘Arbat’ kerana didakwa memalukan sami Buddha negara itu.

Filem terbitan Sahamongkol Film International itu sepatutnya mula ditayangkan di pawagam akhir bulan ini, namun Kementerian Kebudayaan melarangnya kerana bimbang mencetuskan kemarahan penganut Buddha.

Arbat yang bermakna kekejaman dalam bahasa Thai diarahkan Kanittha Kwunyook turut menunjukkan adegan sami minum arak, makan ubat terlarang, bertindak ganas dan berpeleseran dengan wanita.

“Beberapa adegan tidak menghormati sensitiviti penganut Buddha yang dianuti 67 juta penduduk negara ini,” kata kenyataan Badan Penapis Filem Thailand, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:59 AM

SATU adegan dalam filem Arbat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85815#sthash.Ha20MYuM.dpuf

Kembar terkutuk

 Oleh Mohd Hasbi Sidek

hmetroshahalam@hmetro.com.my
Kapar: Sepasang kembar bukan hanya mempunyai wajah seiras tetapi turut berkongsi ‘minat’ sama apabila ditahan kerana memiliki dadah seberat 11.20 gram di kediaman mereka di Kampung Perepat di sini, pagi kelmarin.

Malah, ujian air kencing yang dijalankan terhadap dua beradik berusia 32 tahun itu juga mendapati mereka positif dadah jenis morfin.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi itu oleh anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.

“Hasil penahanan di rumah suspek, kami menemui lima peket besar dan empat peket kecil plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 11.20 gram,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Ahmad Shafiki, pasangan kembar itu kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Klang Utara untuk tindakan lanjut.

“Saringan awal mendapati kedua-duanya positif dadah jenis morfin. Sehingga kini kami percaya dadah yang dirampas di kediaman mereka adalah untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:44 AM

DADAH dipercayai heroin seberat 11.20 gram dirampas dalam serbuan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85862#sthash.LYK4frVI.dpuf

Kerat jari, zakar budak ganggu tidur


Beijing: Seorang wanita dipercayai menghidap skizofrenia memotong alat sulit dan beberapa jari anak lelaki jirannya berusia enam tahun menggunakan gunting serta pisau kerana kanak-kanak itu menganggu tidurnya.

People’s Daily Online melaporkan, budak bernama Xiaoming kini dirawat di hospital manakala Liu ditahan polis.

Liu dilaporkan tinggal di rumah sepupunya di Shaodong pada 11 Oktober lalu dan Xiaoming masuk ke biliknya beberapa kali ketika wanita itu tidur menyebabkan dia marah.

Liu kemudian bangun mengambil pisau dan gunting di dapur sebelum menikam budak itu pada muka, jari serta alat sulitnya. Akibat serangan itu, beberapa jari dan kemaluan Xiaoming terputus.

Selepas itu, Liu tidur, tetapi kemudian melarikan diri dari tempat kejadian. Polis menahannya pada petang sama.

Doktor yang merawat mangsa di Hospital Xiangya berkata, kemungkinan besar Xiaoming tidak dapat menggunakan lagi anggota badan yang dikerat.

Polis juga belum menemui zakar Xiaoming yang dipercayai disorok Liu.

Kes itu masih disiasat dan Liu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:55 AM

Xiaoming dirawat di hospital.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85805#sthash.jsaGMGQV.dpuf

Pendatang maut ditembak


Sofia: Seorang pendatang Afghanistan ditembak mati oleh pengawal sempadan Bulgaria ketika cuba menyeberang dari Turki.

Dia kemudian mati dalam perjalanan ke hospital, menurut kenyataan kementerian dalam negeri.


Kejadian itu adalah yang pertama sejak krisis pendatang bermula yang menyaksikan ratusan ribu orang yang melarikan diri dari kemiskinan dan peperangan di negara masing-masing tiba di Eropah.

Ia juga berlaku sejurus selepas Kesatuan Eropah dan Turki mencapai kata sepakat untuk mengekang pengaliran pendatang.



Mangsa ialah antara sekumpulan 54 pendatang yang dikesan oleh pasukan peronda sempadan Bulgaria di Sredets, bandar di tenggara Bulgaria yang bersempadan dengan Turki.

“Dia tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti. Mereka tidak bersenjata tetapi cuba melawan,” kata jurucakap polis.

Ini kali pertama seorang pendatang atau pelarian mati ditembak ketika memasuki Eropah

Sebelum ini, lebih 3,000 daripada mereka terbunuh, kebanyakannya akibat mati lemas di laut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:53 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85799#sthash.u80ZRswP.dpuf

Seorang lagi mati kerana lembu


New Delhi: Polis di utara India berkata, seorang lelaki Muslim dipukul sekumpulan penduduk kampungnya manakala empat lain turut cedera selepas dituduh membawa lembu di dalam lori untuk disembelih.

Pegawai polis Somya Sambhasivam berkata, polis memburu penduduk kampung yang melarikan diri selepas menyerang empat lelaki Islam itu di Sarahan, sebuah kampung di negeri Himachal Pradesh.

Bulan lalu seorang lelaki mati dibelasah di Uttar Pradesh disebabkan khabar angin mengatakan dia sekeluarga makan daging lembu untuk hidangan makan malam.

Sementara itu, Ketua Negeri Haryana, negeri di utara Indian, semalam menggesa umat Islam India berhenti memakan daging lembu sebagai menghormati penganut Hindu negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:52 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85798#sthash.SFvrCT2E.dpuf

Sanggul rambut guna pisau

Beijing: Seorang wanita ditangkap selepas cuba menaiki pesawat dengan pisau diikat dalam sanggulnya.
Rakaman video di lapangan terbang itu menunjukkan wanita berkenaan beratur di tempat pemeriksaan keselamatan sebelum cepat-cepat menyimpulkan pisau dibawanya dalam sanggup itu dengan hulunya diperbuat daripada plastik terjulur.
Bagaimanapun, helahnya dihidu pengawal keselamatan selepas melalui mesin pengimbas besi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.
Wanita pertengahan umur itu mendakwa mahu menggunakan pisau berkenaan untuk memotong buah ketika di atas pesawat.
Pengawal keselamatan bagaimanapun tidak menerima alasannya dan merampas pisau itu. Tidak jelas sama ada wanita terbabit akan dikenakan sebarang tindakan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:58 AM


PISAU disorok dalam sanggul.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85811#sthash.WZnowAED.dpuf

Lelaki terbakar dalam tandas kritikal


PULAU PINANG 16 Okt. - Seorang broker tanah dari Tanjung Tokong di sini, terpaksa berlari keluar dari tandas awam di sebuah pusat beli-belah di sini, dalam keadaan badannya terbakar bagi mendapatkan bantuan dalam kejadian malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu, mangsa, Ayoob Sudin, 56, melecur 60 peratus di bahagian badannya setelah disambar api daripada kain bercampur petrol yang dilontarkan seorang lelaki tidak dikenali ketika menggunakan tandas aras bawah pusat beli-belah berkenaan.
Mangsa kemudiannya dibantu orang awam yang memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, mangsa yang dirawat di HPP kini tidak sedarkan diri akibat melecur di bahagian kepala, badan dan kaki serta dirawat di zon merah hospital berkenaan.
Katanya, daripada maklumat awal, mangsa sebelum ini memaklumkan tidak mengetahui mengapa menjadi sasaran dan punca kejadian itu.
“Mangsa juga memberitahu dia tidak melihat kelibat individu yang terlibat dalam kejadian itu kerana ketika kejadian, dia berada di dalam tandas yang pintunya ditutup.
"Namun, melalui penelitian ter­hadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, terdapat seorang lelaki memasuki tandas di pusat beli-belah berkenaan tiga minit lebih awal daripada mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Mior Faridalatrash, rakaman CCTV juga menunjukkan lelaki berkenaan meninggalkan tandas terbabit sebaik sahaja mangsa berlari keluar bagi mendapatkan bantuan selepas badannya terbakar.
"Lelaki yang juga suspek ini ketika keluar dari tandas terbabit dilihat memakai topi keledar dan membawa sebuah beg dipercayai milik mangsa.
"Siasatan lanjut sedang dijalakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-terbakar-dalam-tandas-kritikal-1.147212#sthash.AcsdjJM7.dpuf

Pencuri dibelasah dalam rumah mangsa


DUA suspek diikat tangan dengan wayar elektrik oleh penduduk selepas

DUA suspek diikat tangan dengan wayar elektrik oleh penduduk selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Kampung Parit Zing, Ledang, Johor, kelmarin.
LEDANG 16 Okt. – Alasan dua lelaki kononnya sedang mencari biawak semasa ditangkap dalam sebuah rumah di Kampung Parit Zing, dekat sini semalam, tidak dihiraukan penduduk yang berang dan membelasah mereka sebelum diikat dengan wayar elektrik.
Dalam kejadian pukul 6 petang, kedua-dua lelaki itu yang berusia lingkungan 30-an sebelum itu dilihat berlegar-legar di luar rumah berkenaan dengan membawa periuk besar.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kira-kira 20 penduduk kampung kemudian mengintip dan mengepung rumah itu sebelum menyerbu semasa kedua-dua mereka berada dalam rumah.
“Kedua-dua lelaki itu tidak sempat melarikan lari. Akibat panik, seorang suspek memberi alasan mahu mencari biawak. Jawapan itu tidak memuaskan hati kerana semasa diperiksa terdapat kesan yang mencurigakan.
“Kita dapati pagar di tepi rumah dipotong, bekalan elektrik dimatikan, beberapa alat pendingin hawa dan barang lain termasuk periuk besar dalam rumah hilang,” katanya ditemui hari ini.
Menurutnya, penduduk yang berang bertindak memukul kedua-dua suspek sebelum mengikat dan memaklumkan perkara tersebut kepada polis.
Dia berkata, pada awalnya kedua-dua suspek merayu supaya penduduk terbabit melepaskan mereka dan menyelesaikan perkara itu dengan cara baik tetapi tidak dipedulikan.
“Sebelum ini beberapa kejadian sama berlaku di rumah tidak berpenghuni di kampung ini. Sejak itu penduduk sentiasa berwaspada dengan individu tidak dikenali dan mencurigakan di kampung ini,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan direman untuk membantu siasatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pencuri-dibelasah-dalam-rumah-mangsa-1.147408#sthash.hSrQIuWn.dpuf

Sindiket seludup warga Bangladesh tumpas


Libatkan transaksi RM30 juta

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Satu rangkaian sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh yang telah mengendalikan transaksi melibatkan pembayaran di antara RM20 juta hingga RM30 juta berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi khas sejak tiga bulan lalu.
Khalid Abu Bakar
Sindiket penyeludupan itu difahamkan mempunyai kaitan dengan rangkaian serupa yang berpusat di Indonesia.
Malah migran Bangladesh yang masuk ke negara ini juga difahamkan diseludup masuk melalui laluan laut dari Dumai, Indonesia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan polis mendapati wujud kerjasama antara rangkaian penyeludupan manusia di Bangladesh dan Indonesia serta sindiket di negara ini yang berpangkalan di Selangor.
“Dalam tempoh 13 bulan sejak Ogos 2014 hingga September lalu, sejumlah 1,752 migran Bangladesh telah diseludup masuk ke Malaysia melalui rangkaian ini.
“Transaksi jenayah ini dikesan melibatkan jumlah pembayaran di antara RM20 juta hingga RM30 juta.
“Dengan tangkapan ini juga, PDRM berjaya melumpuhkan satu rangkaian penyeludupan manusia yang telah beroperasi sejak awal tahun lalu yang ahlinya mempunyai rantaian hubungan dengan rangkaian di Bangladesh dan Indonesia,” katanya dalam satu kenya­taan di sini.
Beliau memberitahu, antara 13 Ogos hingga 13 Oktober lalu, seramai 64 orang telah ditangkap dengan 13 daripada mereka merupakan warga tempatan yang bersekongkol menjadi penyeludup.
Katanya, lokasi tangkapan kesemua yang ditahan itu adalah di Negeri Sembilan dan Selangor.
“Seramai 13 daripada mereka adalah penyeludup tempatan, empat warga Bangladesh, seorang warga Indonesia dan 46 lagi adalah migran Bangladesh.
“Polis turut merampas empat kenderaan, wang tunai berjumlah RM23,100; 46 pasport Bangladesh; 55 telefon bimbit; rantai besi; sebatang rotan serta beberapa buku catatan,” ujarnya.
Jelasnya, tangkapan berkenaan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atip-Som)
“Sebanyak 46 migran dan seorang penjaga telah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 29 September lalu di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah dan dikenakan hukuman penjara enam bulan sebelum diusir.
“Selain itu, lapan lagi terma­suk enam rakyat tempatan telah dan akan dituduh di bawah Atip-Som 2007 atas pelbagai kesalahan manakala lapan lagi iaitu enam rakyat Malaysia, seorang Indonesia dan seorang Bangladesh telah dan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 2013) (POCA),” katanya yang turut menjelaskan, seorang lagi rakyat tempatan telah dibebaskan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-seludup-warga-bangladesh-tumpas-1.147427#sthash.Y9sUKJgA.dpuf

Anggota IS curi data AS ditangkap di Malaysia


Seorang lelaki dari Kosovo (tengah) ditangkap polis selepas didapati

SEORANG lelaki dari Kosovo (tengah) ditangkap polis selepas didapati terlibat dalam aktiviti menggodam pangkalan keselamatan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 15 September lalu.
KUALA LUMPUR 16 Okt. – Lelaki warga asing yang ditangkap Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman berhubung pembabitannya dalam kumpulan pengganas Negara Islam (IS), bulan lalu dikesan telah menghantar lebih 1,000 data serta maklumat peribadi (PII) anggota keselamatan Amerika Syarikat (AS) kepada IS untuk tujuan serangan keganasan di negara terbabit.
Perkara itu didedahkan dalam satu kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa, Ardit Ferizi, warganegara Kosovo telah membantu IS dengan menggodam pangkalan data pasukan keselamatan negara itu.
Sambil merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan Malaysia, jabatan itu turut mendedahkan suspek yang menggelar diri sebagai ‘Th3Dir3ctorY’ dalam dunia hackers dipercayai telah menggodam sistem komputer sebuah syarikat yang berpusat di AS dan mencuri beribu-ribu PII milik individu tertentu.
Ferizi yang merupakan ketua kumpulan penggodam Kosovo, Kosovo Hacker’s Security (KHS) dikesan telah menyalurkan maklumat berkenaan kepada salah seorang anggota IS, Junaid Hussain atau dikenali sebagai Abu Hussain al-Britani.
“Pada 11 Ogos lalu, Hussain melalui Bahagian Penggodaman IS (ISHD) telah memuat naik status bertulis NEW: U.S. Military AND Government HACKED by the Islamic State Hacking Division! termasuk pautan kepada dokumen 30 muka surat.
“Kandungan dokumen itu antara lain menyebut tentang ugutan berbunyi ‘kami berada dalam e-mel dan sistem komputer, memantau dan merakam setiap pergerakan kamu. Kami mempunyai nama dan alamat kamu. Kami ada dalam e-mel dan akaun media sosial kamu. Kami menyalurkan maklumat peribadi dan data sulit kamu kepada tentera khalifah yang kemudiannya akan mendapat kebenaran dari Allah untuk menyerang kamu di tanah kamu sendiri.
“Dalam 27 muka surat, dokumen itu mengandungi nama, alamat e-mel, kata laluan e-mel, lokasi dan nombor telefon seramai 1,351 anggota tentera AS termasuk kakitangan kerajaan lain,” kata kenyataan itu menerusi laman web rasmi www.justice.go semalam.
Jabatan Kehakiman memberitahu, penyebaran dokumen itu dipercayai bertujuan membolehkan serangan keganasan dilakukan terhadap individu yang didedahkan oleh penyokong IS di negara terbabit atau di tempat lain.
Utusan Malaysia hari ini me­laporkan, seorang pemuda berusia 20 tahun yang ditugaskan untuk menggodam pangkalan data pasukan keselamatan AS berjaya ditahan polis di ibu negara pada 15 September lalu.
Suspek difahamkan merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara dalam bidang Sains Komputer dan Komputer Forensik.
Dalam perkembangan sama, Penolong Ketua Peguam Negara, Jabatan Keselamatan Negara AS, John P. Carlin memberitahu, kes tersebut adalah yang pertama kali berlaku dan pihaknya akan ber­usaha memastikan Ferizi dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
“Ardit Ferizi adalah seorang penggodam keganasan yang menyediakan maklumat kepada IS dengan mencuri maklumat peri­badi milik anggota keselamatan AS dan kakitangan kerajaan yang kemudian akan digunakan untuk tujuan serangan keganasan.
“Kita tidak berkompromi dengan aktiviti pencerobohan komputer dan Ferizi akan didakwa kerana memperoleh maklumat peribadi milik tentera AS dan kakitangan kerajaan lalu menyalurkan kepada IS. Kami akan menyiasat dan menghukum penyerang siber ini dengan undang-undang yang ada,” katannya.
Carlin mengumumkan, pendakwaan itu akan dijalankan bersama Pejabat Peguam Negara Wilayah Virginia Timur, Dana J. Boente dan Penolong Pengarah Operasi Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
“Kerajaan AS juga akan memohon ekstradisi terhadap suspek untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/anggota-is-curi-data-as-ditangkap-di-malaysia-1.147435#sthash.7smmjUop.dpuf