Search This Blog

Wednesday, October 14, 2015

Enam sekeluarga maut kemalangan di LPT2

Enam sekeluarga maut kemalangan di LPT2

KEMAMAN - Enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki terbabas  sebelum berpusing dan terperosok bawah treler yang berhenti di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Pantai Fasa 2 (LPT2) dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.

Kesemua mangsa yang tersepit dalam remukkan kereta Toyota Camry meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut adalah Pengurus Pusat Servis Proton Bukit Kecil di Kuala Terengganu, Azaman Ramli, 49; isterinya, Noor Akmal Mohd Zail, 48; dan anak mereka, Alif Hateem, 16, dan Aliff Hakim, 12.

Turut maut, Noor Amira Syahirah Alias, 22; yang beralamat  di Kampung Raja, Besut dan anaknya, Aqeel Muslim Abdullah, 3.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Katanya, bagaimanapun pemandu treler yang berusia 35 tahun yang beralamat di Bachok, Kelantan tidak mengalami  kecederaan.

"Ketika kejadian pemandu treler muatan beras itu sedang tidur dalam kenderaannya dan tidak menyedari trelernya dirempuh dari belakang.

"Pihak polis berharap saksi kejadian tampil ke balai polis untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan lanjut kes ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azmi Abdul Rahim Ibrahim, berkata anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
  
"Ketika tiba di tempat kejadian, didapati hampir keseluruhan bahagian kereta itu terperosok di bawah treler berkenaan," katanya.
  
Katanya, seramai 25 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh serta Gambang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian 12.36 tengah hari.

Al-Fatihah.

Budak koma lepas tercekik anggur

Budak koma lepas tercekik anggur

HARTLEPOOL - UNITED KINGDOM. Seorang kanak-kanak lelaki koma selepas bergelut akibat tercekik sebiji buah anggur di restoran makanan segera, Pizza Hut, Jumaat lepas.

Memetik laporan portal antarabangsa, Jacob Jenkins yang berumur dua tahun disahkan mengalami kecederaan di bahagian otak akibat insiden tersebut.

“Kini Jenkins dan keluarganya sedang mengalami saat-saat genting setiap hari,” kata salah seorang dari ahli keluarga yang enggan dikenali.

Kanak-kanak itu dikejarkan pada sebuah hospital berdekatan pada awal insiden, bagaimanapun dia kemudiannya ditukarkan ke hospital yang lain.

Jenkins kini bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan dijadualkan akan melalui pemeriksaan rapi terhadap kecederaan di otak dalam masa 48 jam.

Ditetak Kerana Tegur Buat Bising


Diterbitkan: Selasa, 13 Oktober 2015 11:30 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda cedera parah akibat ditetak sekumpulan lelaki di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri, Kepong hanya kerana menegur jiran-jirannya yang dikatakan membuat bising.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, kejadian terjadi apabila mangsa yang berusia 23 tahun itu menegur sekumpulan lelaki yang sedang minum arak dan membuat bising di kawasan kejiranan tersebut kira-kira pukul 12.05 tengah hari tadi.
"Akibatnya mangsa ditetak dengan lima kesan tetakan di bahagian kepala dan tiga tetakan di tangan kiri serta kaki," katanya kepada Bernama.
Katanya mangsa yang dihantar untuk rawatan di Hospital Selayang telah menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Munusamy berkata berikutan kejadian itu polis kini mencari dua individu yang dikenali sebagai 'Gani' dan 'Aravin' bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun keseksaan.-- Bernama

Warga Thai Tersangkut Pada Pagar Sempadan Dengan Kesan Tembakan


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 1:01 PM
Kakitangan di Hospital Sultanah Bahiyah Hospital mengusung lelaki warga Thailand yang cedera terkena tembakan dan tersangkut pada pagar kawasan sempadan Malaysia-Thailand, pagi Selasa. -fotoTHESTAR

KANGAR: Seorang warga Thailand didapati tersangkut pada pagar kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan kesan tembakan pagi Selasa.

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata lelaki terbabit kemudiannya ditahan Pasukan Gerak Am (PGA).

Beliau berkata warga asing berkenaan dilihat bersama sekumpulan tujuh atau lapan orang yang berpatah balik ke kawasan Thailand melalui pagar sempadan yang dipotong, apabila mereka terserempak dengan anggota PGA di Pos 24 kira-kira pukul 5 pagi.

"Pada masa yang sama, empat das tembakan dilepaskan dari arah Thailand.Namun kita tidak pasti tembakan itu ditujukan kepada siapa. Anggota PGA tidak membalas tembakan tersebut dan tiada anggota kita yang terkena tembakan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Shafie berkata apabila keadaan menjadi tenang dan pemeriksaan dilakukan, didapati seorang lelaki tersangkut pada dawai pagar sempadan dengan kecederaan akibat tembakan di punggungnya.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Jitra dan kemudian ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk menjalani pembedahan.

Muhammad Firdaus, Remaja OKU Ditemui Terabai Meninggal Dunia


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 3:42 PM
Muhammad Firdaus (kiri) ketika ditemui di rumahnya di Taman Semarak, Nilai, Jun tahun lalu.

DIKEMASKINI
SEREMBAN: Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai, 21 Jun tahun lepas, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), tengah hari Rabu.
Pengarah HTJ, Dr. Ariffin Mohamad berkata, remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia pada pukul 1.15 petang dipercayai akibat diserang sawan ketika makan tengah hari di Rumah Sinar Harapan, Tunku Ampuan Najihah dekat sini.
"Ambulans tiba pada pukul 12.35 tengah hari dan resuscitation (pernafasan mulut ke mulut) dimulakan dalam perjalanan ke HTJ.
"Punca sebenar kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata ibu Muhammad Firdaus, Lolanopita Sadi menyerahkan kepada pihaknya untuk menguruskan pengebumian anaknya.
"Kami akan menguruskan jenazah dan pengebumiannya selepas bedah siasat dilakukan dan tempat pengebumian masih dalam perbincangan lagi," katanya.
Beliau berkata, ketika rondaan dilakukan oleh pengetua Rumah Sinar Harapan, Muhammad Firdaus dalam keadaan sihat.
"Ketika sedang makan tengah hari bersama-sama rakan-rakanya, arwah diserang sawan dan pihak kami terus memanggil ambulans.
"Mengikut rekod, Muhammad Firdaus dimasukkan ke Rumah Sinar Harapan pada 21 Ogos tahun lepas dan berat terkini arwah ialah 27 kilogram," katanya.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar berkata, kos pengurusan pengebumian Muhammad Firdaus akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
"Saya telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah dan terima kasih kepada pihak Rumah Sinar Harapan yang menjaganya dengan baik selama ini dan kita sememangnya terasa kehilangan adik istimewa ini," katanya.-- Bernama

Enam Terkorban SUV Bertembung Treler


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 4:08 PM
- Gambar hiasan

KEMAMAN: Enam orang terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler berhampiran kawasan rehat Perasing di sini.

Keenam-enam mereka, tiga lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kenderaan jenis Toyota, mati di tempat kejadian dalam kejadian pukul 12.15 tengahari Rabu, manakala pemandu treler melarikan diri tanpa kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohamad Said Ibrahim berkata pemandu SUV itu hilang kawalan, terbabas dan bertembung dengan treler yang diparkir.

Mohamad berkata, Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan pada kira-kira pukul 12.35 tengahari dan sepasukan tujuh anggota bomba dari Cheneh dekat sini telah bergegas ke tempat kejadian.

Mayat-mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

SPRM Tahan Tujuh Kontraktor Telekom Malaysia


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 4:46 PM

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh kontraktor pemasangan produk Telekom Malaysia (TM) dipercayai mengemukakan borang dan tuntutan palsu bagi mendapatkan kemudahan internet.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, kesemua suspek berusia antara 24 dan 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM kira-kira 10 malam tadi.
"Suspek disyaki mengemukakan borang permohonan pelanggan untuk melanggan perkhidmatan internet yang mengandungi butiran palsu kepada pihak TM melalui sebuah syarikat ejen jualan berdaftar dengan TM.
"Mereka melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan kebenaran TM untuk menikmati kemudahan telekomunikasi yang disediakan oleh TM," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.
Shaharom Nizam berkata, siasatan awal mendapati pemasangan tidak dibuat di alamat yang terdapat pada borang permohonan tersebut.
"Suspek juga disyaki membuat penipuan dengan menyatakan pemasangan dibuat terhadap alamat dalam borang permohonan sedangkan nama dan nombor kad pengenalan pemohon tidak wujud dan telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
"Siasatan awal juga mendapati ada penghuni alamat itu bukan nama pemohon sebenar seperti dalam borang permohonan dan tidak pernah ada pemasangan produk TM oleh mana-mana pihak setakat ini atas nama dalam borang permohonan," katanya.
Beliau berkata SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi, terhadap semua suspek selama lima hari bermula hari ini hingga Ahad. 
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-- Bernama

Operasi Mencari Mangsa Tanah Runtuh Guatemala Dihentikan


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 12:59 PM

GUATEMALA CITY: Selepas dua minggu bertungkus lumus melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh, akhirnya pasukan petugas memutuskan untuk menghentikan gerakan itu.
Setakat ini, angka kematian disahkan sebanyak 280 orang, manakala 70 lagi masih hilang.
Sepanjang tempoh operasi, pasukan penyelamat mengeluarkan timbunan tanah, batu dan pokok yang menimbus penduduk di kaki bukit pinggir bandar Santa Catarina Pinula, dekat bandaraya ini.
Beberapa hari selepas kejadian itu pada malam 1 Oktober, pihak berkuasa mengeluarkan beberapa angka anggaran korban tragedi itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa mengumumkan angka kematian sebanyak 253 orang dan 374 masih hilang. Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, mereka mengeluarkan angka baharu menggunakan data daripada pihak berkuasa tempatan, syarikat elektrik dan air, jiran-jiran dan sumber lain. - Reuters

13 Sekeluarga Termasuk Tujuh Kanak-Kanak Korban Tanah Runtuh Di Karachi


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 10:30 AM

KARACHI: Tujuh kanak-kanak termasuk yang berusia seawal enam bulan yang sedang tidur terkorban apabila pondok yang didiami tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sini, awal pagi Selasa.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Pesuruhjaya Karachi, Shoaib Siddiqui berkata, semua mangsa yang meninggal dunia adalah dari keluarga yang sama.
"Mereka dipercayai baru berpindah ke kawasan tersebut tiga hari lalu," katanya.
Sementara itu, pegawai kanan polis, Javed Jaskani berkata, kejadian sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) itu berlaku apabila batu dan tanah runtuh di kawasan setinggan dan menghempap tiga pondok di kawasan Gulstane Jauhar.
"Selepas hampir lima jam usaha mencari dan menyelamat dijalankan, 13 mayat mangsa ditemui dalam timbunan tanah runtuh," katanya.
Selain itu, Times of India melaporkan, usaha menyelamat juga sedang giat dijalankan kerana sekurang-kurangnya tiga lagi mangsa dipercayai masih terperangkap. - AFP

Mangsa Helikopter Terhempas Di Danau Toba Ditemui Masih Hidup, Berbogel


Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 9:45 AM
Anggota penyelamat Indonesia mengangkat mangsa helikopter terhempas di Danau Toba yang ditemui masih selamat, Selasa. -fotoAFP

SAMOSIR: Seorang lelaki Indonesia yang hilang ditemui hidup, dalam keadaan berbogel dan terapung di tasik gunung berapi, dua hari selepas helikopter yang dinaikinya terhempas.

Lelaki itu, yang dinamakan dalam laporan tempatan sebagai Fransiskus Subihardayan, dikejarkan ke hospital selepas didapati sedar tetapi sangat lemah, dan hanya memakai jam tangan hitam, di Danau Toba, lokasi di mana pesawat itu dipercayai jatuh terjunam, di pulau Sumatera Barat.

Dia yang berusia 20-an, adalah salah seorang daripada lima orang di atas helikopter Eurocopter EC-130 yang terselamat apabila ia hilang pada Ahad dalam penerbangan singkat dari pulau Samosir pulau, sebuah tempat pelancongan popular di tasik itu ke kota Medan.

"Lelaki itu ditemui oleh tentera laut kira-kira pukul 2 petang," kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat, Hisar Turnip, kepada AFP.

"Dia tidak berenang, hanya terapung. Dia ditemui tanpa pakaian, dalam keadaan bertelanjang bulat."

Dia memberitahu penyelamat bahawa dia merupakan penumpang helikopter dan memberikan beberapa butiran, tetapi berada dalam keadaan separa sedar ketika dibawa ke sebuah hospital tempatan, kata pegawai.

Keadaannya sekarang masih tidak diketahui.

Pegawai agensi mencari dan menyelamat Heronimus Guru berkata Subihardayan memberitahu penyelamat bahawa semua di atas kapal, termasuk dirinya sendiri, dua penumpang lain, seorang juruterbang dan seorang jurutera berjaya melompat dari helikopter ketika ia jatuh.

"Dia memberitahu kelima-lima mereka berjaya melompat keluar, dan berjaya untuk terus bertahan dengan berpaut pada 'water hyacinths' sehingga pukul 11 malam tetapi kemudian mereka terpisah," katanya.

Usaha menyelamat itu dibuat selepas kusyen helikopter ditemui di tasik itu lewat semalam.

Pasukan mencari masih memburu bangkai pesawat yang hilang, penumpang dan anak kapal.

Danau Toba terletak di tengah-tengah gunung berapi di kawasan yang sangat indah dan popular di kalangan pelancong asing dan domestik.

Ia adalah tasik gunung berapi terbesar di dunia dan terbentuk oleh letusan besar puluhan ribu tahun yang lalu.

Penjara padat dengan warga asing



PENINGKATAN warga asing yang menjadi banduan merupakan punca yang menyebabkan penjara-penjara di seluruh negara kini mengalami kesesakan.


KAJANG – Peningkatan bilangan warga asing merupakan punca utama yang menyebabkan penjara-penjara di seluruh negara menjadi sesak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ketika ini terdapat kira-kira 30 peratus daripada 51,946 banduan di 33 buah penjara di seluruh negara terdiri daripada warga asing.
Beliau berkata, statistik itu sekali gus menjadikan banduan warga asing sebagai penyumbang utama kesesakan di dalam penjara.
“Kapasiti maksimum banduan untuk 33 penjara di seluruh negara yang boleh dihuni adalah seramai 52,150 banduan.
“Setakat ini, cuma tinggal 204 kekosongan sahaja. Jika warga asing tidak menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kepadatan dalam penjara, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kadar penghuni di setiap penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Inspektor Penjara Siri 1/2015 di Maktab Penjara Malaysia di sini semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Adenan Ab. Rahman dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.
Mengulas lanjut perkara sama, Nur Jazlan berkata, KDN kini komited untuk mengurangkan jumlah banduan yang terdapat di dalam penjara.
“Kini, peranan penjara lebih kepada untuk memulihkan banduan dengan program-program kemahiran agar mereka diterima masyarakat bukan lagi sama seperti dahulu yang lebih terarah kepada menghukum (banduan),” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3oVOmiqiS 
Hakcipta terpelihara 

Penunggang motosikal maut bertembung Toyota Hilux




Abdullah tercampak di sebelah motosikalnya yang remuk selepas berlanggar dengan kenderaan Toyota Hilux dalam kemalangan maut di Kilometer 1.5, Jalan Jerantut - Maran kelmarin.


JERANTUT – Tidak sampai 24 jam setelah jenazah abangnya dikebumikan, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, Abdullah Sani Daud, 51, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 1.5 Jalan Jerantut-Maran berdekatan kawasan industri di bandar ini petang kelmarin.
Isteri mangsa, Hanisah Harun, 49 berkata, dia tidak menyangka arwah suaminya mengikut jejak abang i­parnya, Azmalizam Daud yang telah dikebumikan di Felda Ulu Jempol, Maran, Sabtu lalu selepas meninggal dunia akibat sakit jantung.
“Arwah suami masih kesedihan selepas pemergian abangnya ke rahmatullah dan hari ini (semalam) saya dan anak-anak pula diduga Allah dengan kehilangannya,” katanya kepada pemberita di bilik mayat Hospital Jerantut malam kelmarin.
Abdullah yang bekerja sebagai pemandu di Felda Agricultural Services Sdn. Bhd. maut setelah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3oVOW8IE6 
Hakcipta terpelihara 

Polis tumpaskan Geng Azhar


MAZLAN menunjukkan gambar dalang Geng Azhar yang masih diburu polis pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Polis berjaya menum­paskan Geng Azhar yang aktif melakukan kegiatan samun rumah sewa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dengan penahanan enam lelaki dalam dua serbuan berasingan.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi pada Ahad lalu, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Saifullah Rauf melakukan serbuan di sebuah ba­ngunan kedai di tepi Jalan Lama Machang - Pasir Puteh dengan menahan empat lelaki.
Hasil serbuan tersebut, polis turut merampas beberapa bara­ngan se­perti komputer riba, telefon bimbit, dokumen peribadi dipercayai hasil samun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, soal siasat ke atas empat suspek telah membawa kepada penahanan dua lagi lelaki di sebuah rumah di Machang kira-kira pukul 8 malam kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3oVOGXjEK 
Hakcipta terpelihara 

Penyamun kedai serbaneka tumpas


Gambar CCTV menunjukkan ahli kumpulan Geng Jude memakai topi keledar dan menggunakan pistol mainan untuk merompak kedai serbaneka.


SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan Geng Jude yang aktif menyamun kedai serbaneka dan restoran 24 jam di sekitar Shah Alam dan Klang selepas memberkas ketua kumpulan terbabit di Seksyen 32 di sini Khamis lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7.45 petang itu, ketua geng terbabit yang hanya dikenali sebagai Jude, 24, berjaya ditahan di sebuah rumah di Seksyen 32 bersama beberapa barang kes termasuk dua buah telefon bimbit.
Hasil soal siasat ke atas Jude, polis berjaya menahan dua lagi ahli kumpulan terbabit yang berusia antara 17 hingga 20 tahun di sekitar Shah Alam pada keesokan harinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kumpulan terbabit aktif melakukan jenayah samun sejak dua bulan lalu dan dua daripada mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah merusuh.
Menurutnya, modus operandi kumpulan terbabit adalah me­nyasarkan kedai serbaneka dan restoran 24 jam dengan memasuki premis terbabit dengan memakai topi keledar bagi mengelak ­indentiti mereka dikesan sebelum mengacukan pistol mainan dan parang.
“Mereka aktif melakukan jenayah samun pada awal pagi, sasaran mereka adalah merompak wang tunai dan barangan.
“Hasil siasatan ke atas suspek juga kita telah menemui semula lima buah telefon bimbit milik mangsa.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah pistol mainan dan dua bilah parang yang digunakan untuk melakukan jenayah samun,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.
Kata Shafien lagi, dengan tum­pasnya tiga penjenayah terbabit, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes sa­mun di sekitar Shah Alam dan Klang membabitkan kerugian hampir RM7,000.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3oVO7Ksk7 
Hakcipta terpelihara 

Berang dipenjara 14 tahun




TERTUDUH berjaya ditangkap semula ketika cuba melarikan diri selepas dijatuhi hukuman 14 tahun penjara dan tiga sebatan di Kompleks Mahkamah Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING – Seorang lelaki yang pada mulanya tenang selepas dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam tiba-tiba naik angin dengan bertindak menendang perut anggota polis dalam kejadian di Kompleks Mahkamah Kuching di sini pagi semalam.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Mohamad Hairi Kushairi, 29, turut melarikan diri sebelum berjaya diberkas semula oleh dua anggota yang bertugas di luar mahkamah dalam insiden pada pukul 10.55 pagi.
Terdahulu, Mohamad Hairi turut dihukum tiga sebatan oleh Hakim Timothy Finlayson Joel kerana terbabit dalam rompakan tanpa senjata di sebuah restoran di Jalan Sultan Te­ngah, Kuching pada pukul 10 malam, 10 Mac lalu.
Selesai sahaja prosiding, seorang anggota polis berpangkat koperal ingin menggari kedua-dua ta­ngan suspek ketika keluar dari kandang tertuduh, namun dia tiba-tiba bertindak agresif dengan menendang perut anggota terbabit sebelum berlari keluar dari kamar Mahkamah Sesyen 2.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3oVNulGHw 
Hakcipta terpelihara 

Perompak letup ATM kebas RM100,000




WANG kertas bertaburan di atas lantai selepas perompak bertindak meletupkan sebuah mesin ATM sebelum melarikan wang tunai lebih RM100,00 di AmBank Ayer Keroh Heights semalam.


MELAKA – Sekumpulan pe­rompak bertindak nekad apabila meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan bom paip buatan sendiri di AmBank Ayer Keroh Heights di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, kumpulan penjenayah yang dipercayai pakar dalam bidang ledakan bom hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit untuk mengebom salah satu daripada empat buah ATM di bank berkenaan.
Kumpulan penjenayah yang didalangi lebih daripada dua individu itu dipercayai melarikan wang tunai lebih RM100,000.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, perompak tersebut dipercayai memasang bom paip atau dikenali sebagai improvised explosive device de­ngan menyalurkannya ke dalam sebuah lubang iaitu tempat duit dikeluarkan.
“Hasil siasatan awal mendapati, bom paip yang digunakan kumpulan penjenayah ini merupakan bom berkuasa rendah dihasilkan daripada mercun yang menggunakan satu sumbu.
“Kesemua mereka mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk meletup dan melarikan wang daripada mesin ATM ter­babit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3oVNeOVbh 
Hakcipta terpelihara 

Nyaris maut kapal layar terbakar

 Oleh Hamzah Osman

am@hmetro.com.my

Langkawi: Dua pelancong asing nyaris maut apabila kapal layar yang mereka naiki terbakar berhampiran Pulau Lalang, di sini, 1.30 petang tadi.

Sejurus kebakaran, kedua-dua mangsa, Joseph Mc Donnell, 69, warga Australia dan Nancy Anita Pedersen, 50, dari Denmark dikatakan sempat memakai pelampung dan terjun ke laut.

Mereka kemudian diselamatkan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang segera ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Pengarah Operasi Maritim Wilayah Utara, Kapten Maritim Salim Ahmad berkata, kedua-dua mangsa diselamatkan anggota APMM dan berada dalam keadaan baik.

"APMM menerima panggilan kecemasan sejurus kebakaran sebelum mengarahkan sepasukan anggota bersama bot ronda ke lokasi kejadian berhampiran Pulau Lalang.

"Kapal layar itu terbakar dan kedua-dua mangsa ditemui terapung berhampiran kapal yang sedang terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:26 PM

Dua pelancong asing nyaris maut selepas kapal layar mereka terbakar petang tadi. FOTO ihsan APMM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/84873#sthash.Lr7WeUHr.dpuf

Serang hendap buka pagar

 Oleh Mohd Fadly Samsudindan Nabiha Kamal

am@hmetro.com.my
Kajang: Seorang penjenayah bertindak ganas memecah cermin kereta dipandu seorang wanita ketika mangsa baru tiba di rumahnya di Sungai Ramal di sini.

Dalam kejadian jam 9.52 pagi kelmarin, aksi penjenayah itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah berkenaan sebelum tersebar melalui media sosial.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa baru tiba di rumahnya sebelum keluar dari kenderaan untuk membuka pintu pagar.

Berdasarkan rakaman video CCTV berdurasi 1 minit 18 saat itu, mangsa didapati membuka pintu pagar secara manual.

Sebaik saja mangsa memasukkan kenderaan di kawasan anjung rumah, seorang lelaki dilihat memberhentikan motosikalnya di hadapan pagar kediaman itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:04 AM


RAKAMAN menunjukkan suspek melakukan rompakan di rumah mangsa di Sungai Ramal.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/84977#foto

Dicabul ketika keluar wang


Gombak: Seorang wanita menjerit selepas dicabul seorang lelaki gila seks ketika mangsa sedang melakukan pengeluaran wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) di sini.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa berusia 29 tahun itu menjadi mangsa serangan penjenayah ketika berada di sebuah bank di Taman Selayang Baru, di sini.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di ibu negara dikatakan bersendirian di bank berkenaan.

Sumber berkata, seorang lelaki memakai topi keledar tiba-tiba muncul sebelum berdiri di belakang mangsa.

“Mangsa ketika itu menyangkakan suspek turut mahu mengeluarkan wang di mesin ATM itu.

“Bagaimanapun suspek tiba-tiba memeluk mangsa dari arah belakang sebelum meraba payudara mangsa sekuat hati,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat wanita terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 7:06 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/84934#sthash.nH1wP5e7.dpuf

Hukum sebat 350 buat arak sendiri


London: Britain semalam menuntut pembebasan seorang rakyatnya berusia 74 tahun yang menghadapi hukuman 350 sebatan selepas ditangkap dengan wain buatan sendiri di Arab Saudi.

Karl Andree, 74, dipenjara 12 bulan pada Ogos tahun lalu, tetapi masih kekal dalam penjara sementara menunggu hukuman kedua kerana memiliki arak selepas polis menemui wain di dalam keretanya, kata keluarganya.

Anaknya Simon berkata: “Terdapat dua hukuman yang perlu dia jalani, penjara dan sebatan. Hukuman penjara sudah selesai Ogos lalu, tetapi yang kedua belum dilaksanakan.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku. Saya tidak mengkritik kerajaan Arab Saudi kerana itu undang-undang mereka. Tetapi bapa saya menjalani hukuman dan kesal dengan apa yang terjadi. Dia cuma mahu pulang ke pangkuan kami.”

Katanya, bapanya yang bekerja di sebuah syarikat minyak di negara itu selama 25 tahun tidak sihat dan pernah menghidapi barah tiga kali serta asma.

“Dia sangat lemah dan saya takut hukuman sebat itu mengorbankan nyawanya. Itu yang paling kami bimbangkan, sebab itu kami membangkitkan kes ini untuk membebaskannya. ” kata Simon.

Sementara itu, Pejabat Luar Britain berkata, kakitangan kedutaan mereka di Riyadh akan memeriksa kesihatan Andree dengan lebih kerap. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:34 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85007#sthash.QYyhE4tZ.dpuf

Semut hitam jadi makanan


Perth: Seorang lelaki berusia 62 tahun yang terkandas selama enam hari di kawasan gurun Australia tanpa air dan makanan, terselamat dengan memakan semut hitam.

Menurut polis, Reg Foggerdy, 62, hilang sejak 7 Oktober lalu, ketika dalam perjalanan ke sebuah kem memburu dekat Laverton di Goldfields, Australia Barat.

Keluarganya menghubungi polis yang kemudian menemuinya 15 kilometer dari destinasi tujuannya.

Pegawai polis di Goldfields, Superintendan Andy Greatwood, berkata Foggerdy duduk di bawah sebatang pokok selama dua hari tanpa makanan dan air.

“Dia selamat dengan memakan semut hitam. Kemahiran hidupnya mengkagumkan.

“Ketika ditemui dia mengalami kekurangan air yang serius, sedikit tidak waras sebelum pulih selepas rawatan kecemasan.

“Cuaca di kawasan itu amat panas dan kebanyakan orang berkemungkinan besar tidak akan selamat,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 4:56 PM

Reg Foggerdy, 62, terselamat dengan memakan semut hitam. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/84858#sthash.2vYAq9qa.dpuf