![]() |
JOHN
|
NEW YORK – Bekas Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John Ashe, ditangkap kelmarin dan didakwa menerima rasuah AS$1.3 juta (RM5.5 juta) daripada beberapa ahli perniagaan China dalam skandal rasuah yang menggemparkan badan dunia itu.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, beliau terkejut dan amat bimbang berhubung dakwaan itu yang belum pernah berlaku sepanjang 70 tahun penubuhan PBB.
Ashe yang berkhidmat sebagai Presiden Perhimpunan Agung selama setahun dari September 2013 didakwa menerima suapan supaya menyokong cadangan pembinaan sebuah pusat persidangan PBB di Macau yang dipromosikan oleh taikun hartanah China, Ng Lap Seng.
“Selain rasuah lain, Ashe menerima wang tunai AS$500,000 (RM2.1 juta) daripada Lap Seng,” menurut kertas pertuduhan tersebut.
Polis New York menangkap bekas duta PBB untuk Antigua dan Barbuda itu di kediamannya di Dobbs Ferry di luar New York bersama tiga lagi yang ditahan di New York kelmarin.
Pendakwa raya AS, Preet Bharara berkata, Ashe menggunakan PBB untuk menjana keuntungan peribadi.
Ashe menyokong usul taikun China itu dalam sepucuk surat kepada badan dunia itu pada Mac 2012.
Dia yang memiliki kewarganegaraan Antigua dan menetap di AS, berkhidmat sebagai duta PBB sehingga November 2014.
Pada bulan lalu, Lap Seng ditangkap di New York bersama rakan perniagaannya, Jeff Yin kerana menyeludup wang tunai berjumlah lebih AS$4.5 juta (RM19.2 juta) ke AS sepanjang tempoh dua tahun.
Suapan kepada Ashe dipercayai dibayar dari tahun 2011 hingga Disember 2014.
Menurut kertas pertuduhan, Ashe telah membeli beberapa jam tangan Rolex berharga AS$54,000 (RM230,823), sebuah kereta BMW dan beberapa sut dari Hong Kong berharga AS$59,000 (RM252,195) serta mengubah suai kediamannya menggunakan wang rasuah. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3oAr5HNmw
Hakcipta terpelihara