Laman web kompas.com memetik Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan Barat, Inspektor Jeneral Pudji Hartanto Iskandar sebagai berkata, Pusat Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berjaya mengenalpasti tiga mangsa iaitu Nurul Fatimah, 25, dari Makassar, Rizal Armani, 30, dari Kendari, Sulawesi Tenggara, dan Sukris Winarto, 43, dari Papua.
Tujuh lagi mangsa sedang dikenalpasti.
“Proses memandi dan mengkafankan jenazah dilakukan pihak kami. Ahli keluarga tidak perlu membuka keranda lagi kerana semua telah disiapkan,”ujarnya.
Beliau memberitahu, ujian me­ngenal pasti mayat dibuat berdasarkan rambut, tulang, dan ba­­hagian-bahagian lain kerana kebanyakan mangsa rentung.
Sementara itu, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) semalam, mengesahkan pihaknya menemui kotak hitam milik pesawat Twin Otter ber­kenaan.
Ketua BASARNAS, Bambang Soelistyo menyerahkan kotak hitam dan serpihan pesawat berkenaan kepada Ketua Suruhanjaya Nasional Bencana Pengangkutan (KNKT), Soerjanto Tjahjono.
“Kami telah menyerahkan kotak hitam dan serpihan pesawat itu semalam kira-kira pukul 7.25 malam (waktu tempatan) dan pihak KNKT akan menyiasat punca utama kejadian itu berlaku,” ujarnya.
Katanya lagi, kotak hitam itu ditemukan dalam keadaan hancur dan tidak berfungsi, namun pihaknya akan bertungkus lumus mendapat maklumat daripada kotak hitam tersebut.
Pesawat Twin Otter milik syarikat penerbangan Aviastar yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui dalam keadaan hancur di kawasan di Bukit Pajaja, Kampung Ulu Salu, Daerah Luwu, Sulawesi Selatan, kelmarin.