Search This Blog

Thursday, October 8, 2015

11 Wanita Filipina Dipercayai Mangsa Eksploitasi Seks Diselamatkan


Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 11:05 PM
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 11 wanita warga Filipina daripada terus dieksploitasi untuk seks dalam dua serbuan di Sabah.

Kejayaan dalam membanteras 'bentuk penghambaan moden' itu adalah hasil kerjasama PDRM bersama Polis Filipina yang membawa pihak berkuasa menyerbu sebuah apartment di Penampang dan sebuah hotel di Bundusan pada 12 tengah malam tadi.

Penolong Pengarah D7C Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeledupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Maszely Minhad berkata 11 wanita itu berumur antara 22 dan 36 tahun.

Wanita-wanita itu kini dihantar ke Rumah Perlindungan Khas Wanita di Likas, Sabah untuk perlindungan selepas mahkamah mengeluarkan perintah perlindungan sementara(IPO) selama 14 hari kepada mereka, katanya di sini Rabu.

Hasil serbuan itu, polis juga menahan tujuh suspek warga tempatan, berumur 20 sehingga 39 tahun, katanya.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," kata Maszely.

Nahas Bas Yong Peng: Dua Lagi Mangsa Meninggal Dunia


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 10:44 AM

JOHOR BAHARU: Dua lagi mangsa meninggal berikutan nahas di Yong Peng semalam menjadikan jumlah yang meninggal ialah lima orang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad berkata mereka ialah penumpang bas iaitu seorang wanita warga China dan pemandu lori tangki G.Gothandam, 46.
"Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat kira-kira pukul 8 malam tadi," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pihaknya masih mengenal pasti kesemua identiti mangsa yang terlibat.
Kemalangan pukul 5.30 petang itu melibatkan dua buah bas dan sebuah lori tangki di Km 94, Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke selatan berhampiran Yong Peng.
Sebelum ini tiga wanita warga China terbunuh.
Lori tangki yang datang dari arah Johor Baharu itu dilapor mengalami tayar pancit sebelum ia merempuh dua bas berkenaan yang dalam perjalanan menuju selatan.
Seramai penumpang lain bas itu yang kesemuanya wanita cedera.

Mayat Disahkan Kanak-Kanak Perempuan Orang Asli


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 1:00 PM
Sasa Sobrie

GUA MUSANG: Mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di perairan Sungai Perias dekat sini pada Rabu telah dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie berusia lapan tahun.

Dia adalah salah seorang daripada tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang lebih daripada enam minggu lalu.

Mayat mangsa dikenal pasti oleh bapa saudaranya di sebuah hospital di sini pada Khamis.

Mayat kanak-kanak yang sudah reput itu ditemui di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari asrama di Sekolah Kebangsaan POS Tohoi pada pukul 7 malam.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Anak, Bapa Maut Kenderaan Langgar Pokok


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 12:55 PM

JOHOR BARU: Seorang anak dan bapanya maut dalam nahas di Kampung Serom 6 berdekatan Ledang awal pagi Khamis apabila  kereta mereka dilapor melanggar pokok.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohamad Salleh Abd Razak berkata mereka dikenali sebagai Dolmat Omar, 56, dan anaknya Muhammad Danish Aiman, 5 tahun.

Turut maut ialah Fazillah Rashid, 33.

Beliau berkata kemalangan pukul 5,45 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Dolmat yang datang dari arah Sungai Mati menghala Bukit Gambir terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.

Pegawai MBPP Kena Jerit Kerana Kunci Tayar


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 3:09 PM
Dua lelaki cuba membuka tayar Perodua Myvi yang dikunci pegawai penguatkuasa MBPP, Rabu.

GEORGE TOWN: Dua lelaki sengaja menimbulkan kekocahan apabila bertindak menjerit kepada seorang pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) apabila tayar kenderaan mereka dikunci kerana meletak kenderaan di tempat tidak sah.
Salah seorang daripada mereka, dipercayai pemilik kenderaan itu meninggikan suara meminta supaya pegawai wanita itu membuka kunci pada Perodua Myvinya yang diletak pada garisan kuning berkembar di Lebuh Campbell sebelum denda dijelaskan.
Lelaki itu kemudiannya cuba membuka tayar kanan di bahagian depan kenderaan itu yang dikunci apabila pegawai itu enggan memenuhi permintaannya supaya membuka kunci itu.
“Wa bukan tak ada duit. Wa banyak duit. Lu buka dulu. Tak payah takut wa tak lari." 
Rakannya kemudian mengeluarkan wang kertas RM50 dan melemparnya ke lantai.
Pegawai itu tetap tenang, mengutip wang kertas itu dan kemudiannya membuka kunci pada tayar kenderaan itu.
Susulan kejadian pada petang Rabu itu, pegawai pihak berkuasa tempatan itu membuat laporan polis.
Klip video yang dirakam rakan pegawai penguatkuasa itu menjadi viral di Facebook dan ramai yang mengutuk perbuatan dua lelaki itu.
Ketua Polis Daerah George Town Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian itu dan berkata pegawai penguatkuasa terbabit menarik balik laporan yang dibuatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Awam dan Penguatkuasa MBPP, Dr Tan Kim Hooi dijangka mengadakan sidang media berhubung kejadian itu pada Khamis.

Rangka Kanak-Kanak Ditemui Di Gua Musang


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 8:29 PM
Sebahagian keluarga mangsa hadir di Hospital Gua Musang pada Khamis bagi membuat pengecaman selepas penduduk kampung menemui mayat seorang budak perempuan yang reput dalam Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi pukul 7 malam Rabu. Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran. Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11 berasal dari Kampung Gawin dan Penad Kampung Pos Tohoi. -fotoBERNAMA

GUA MUSANG: Rangka manusia dipercayai milik kanak-kanak Orang Asli yang dilaporkan hilang ditemui di tebing sungai berdekatan Pos Tohoi di sini, Khamis.

Pasukan penyelamat menemui rangka itu di tebing Sungai Perias, kira-kira pukul 5.30 petang, 800 meter dari lokasi mayat pertama dijumpai pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan perkara ini.

Rangka yang ditemui dibawa ke Hospital Gua Musang.

Motor Meletup Tiada Kaitan IS, Suspek Direman 14 Hari


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 8:58 PM
Seorang lelaki keturanan Cina direman tujuh hari oleh Mahkamah Majisteret Gua Musang, Khamis bagi mambantu siasatan kes letupan yang mengorbankan dua warga emas di kampung Pulai , Gua Musang, Rabu. -foto BERNAMA

KOTA BAHARU: Kematian sepasang warga emas dalam insiden motosikal meletup di Gua Musang pada Rabu, tiada kaitan dengan kumpulan militan IS, sebaliknya kes bunuh yang dilakukan anak angkat mereka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berusia 27 tahun itu berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan keengganan mangsa menjual kebun getah mereka.

Menurutnya hasil siasatan ke atas suspek mendapati bahan letupan berkenaan dibeli dengan harga RM300 dari Thailand dan dipasang di motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa sejak tiga hari lepas.

"Suspek berbuat demikian kerana mangsa enggan menjual kebun getahnya seluas 4.8 hektar bagi digunakan untuk membawa pulang isterinya seorang warga Laos.

"Isteri suspek sebelum ini telah diusir dari negara ini kerana datang secara tidak sah dan pemuda itu turut mempunyai masalah kewangan.

"Kes ini dianggap selesai dan polis menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS," katanya.

Mazlan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia  (SSPDRM) Zon Timur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini, Khamis.

Majlis yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Acryl Sani Abdullah Sani itu turut dihadiri kira-kira 300 pegawai dan anggota SSPDRM dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mazlan juga berkata Unit Pemusnah Bom Bukit Aman masih menyiasat bahan yang digunakan untuk membuat bom berkenaan.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, pasangan suami isteri masing-masing berusia 72 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka meletup di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kampung Pulai, Gua Musang.

Pesawat Terhempas: Mayat, Kotak Hitam Dibawa Keluar


Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 10:36 AM

MAKASSAR: Beberapa mayat dan kotak hitam milik pesawat Aviastar yang terhempas dibawa keluar dari kawasan Gunung Latimojong di selatan Sulawesi.
Pasukan penyelamat Indonesia yang menemui kedudukan pesawat Twin Otter itu berusaha mendapatkan kotak hitam yang mengandungi perakam data penerbangan untuk merungkai persoalan berhubung kejadian itu.
Kotak hitam itu ditemui di lokasi kejadian pada ketinggian 2,700 dari paras laut masih dalam keadaan baik dan diserahkan kepada pasukan penyiasat.
Pesawat Aviastar yang membawa tiga anak kapal dan tujuh penumpang termasuk seorang kanak-kanak dan bayi itu hilang selepas 11 minit berlepas dari Masamba menuju ke Makassar ketika cuaca baik pada Jumaat lalu.
Sumber berkata, empat mayat dibawa keluar dari lokasi nahas dengan menggunakan helikopter.
Sementara itu, jurucakap polis, Raden Harjuno berkata, pihaknya mendapatkan kerjasama 18 doktor untuk membantu proses pengecaman mayat penumpang pesawat berkenaan.
“Kami mengambil 12 doktor dari hospital Bhayangkara dan selebihnya adalah doktor dari beberapa hospital di Makassar,” kata.
Sebelum ini ada laporan mendakwa pesawat itu tidak mengikut laluan yang ditetapkan sebelum terhempas, tetapi dinafikan Aviastar.

MH17: Rusia Tahu Pesawat MAS Ditembak Peluru Berpandu BUK - Penyiasat Ukraine


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 9:25 AM
Serpihan peluru berpandu BUK didakwa ditemui pada mayat mangsa MH17, lapor penyiasat Ukraine.

SERPIHAN peluru berpandu ke udara (BUK) buatan Rusia dikatakan telah ditemui pada mayat mangsa nahas pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, lapor Mirror.co.
Dakwaan mengejutkan itu telah dibuat oleh seorang penyiasat warga Ukraine yang merupakan sebahagian daripada kumpulan penyiasat antarabangsa dalam insiden yang mengorbankan seramai 298 penumpang dan anak kapal pada tahun lalu.
Laporan rasmi mengenai nahas berkenaan daripada Lembaga Keselamatan Belanda dilapor akan dikeluarkan pada minggu depan.
Vasyl Vovk turut mendakwa bahawa peluru berpandu itu telah digunakan oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia untuk menembak jatuh pesawat MAS yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
"Bukti menunjukkan bahawa BUK itu telah ditembak oleh pengganas - ahli politik Rusia dan pegawai kanan tentera turut mengetahui. Ianya telah dibawa ke Ukraine pada Julai lalu, bertujuan menembak jatuh pesawat.
"Pengangkut senjata seperti BUK itu dari Rusia - mustahil jika tembakan dilakukan tanpa pengetahuan orang atasan.
"Tentera tidak dibenarkan menggunakan senjata berat tanpa kebenaran. Menteri Pertahanan Rusia pasti mengetahuinya," jelas jeneral perkhidmatan risikan Ukraine itu.

Alat Kelamin Dipotong Akibat Kahwin Lari


Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 3:13 PM

NEW DELHI: Dua lelaki di negeri Madhya Pradesh, India telah memotong alat kelamin seorang lelaki yang kahwin lari dengan adik perempuan mereka.

Polis berkata insiden itu berlaku di Berasia, pinggir bandar Bhopal pada Selasa.

Dua beradik itu, Rakesh dan Suresh Kushwaha tidak menyenangi Bhupendra Jain, 28, sejak dia kahwin lari dengan adik mereka Babli, lapor Hindustan Times yang memetik kenyataan pegawai polis.

Jain, dari kampung Garethia Dangi kira-kira 40 kilometer dari Bhopal telah berkahwin dengan Babli tanpa restu keluarga perempuan.

Pada Selasa Jain telah dipanggil oleh abang-abang Babli ke rumah keluarga perempuan di Mahuakheda untuk mengadakan perbincangan tetapi berakhir dengan pertelingkahan.

Rakesh dan Suresh telah berjanji kepada pasangan pengantin bahawa mereka akan diraikan dalam majlis perkahwinan mengikut adat agar hubungan mereka mendapat pengesahan sosial.

Bagaimanapun tercetus pertengkaran sengit apabila Jain tiba di rumah keluarga perempuan.

Menurut polis dua beradik itu berjaya mengalahkan abang ipar mereka dan salah seorang telah menyerang dengan pisau dan memotong alat kelamin mangsa.

Jain telah dikejarkan ke hospital berdekatan, tetapi kemudiannya dipindah ke Hospital Hamidia di Bhopal.

Menurut polis, Jain seorang wakil perubatan, dan Babli sudah berkahwin dan tinggal bersama, tetapi keluarga perempuan menyifatkan ia sebagai bersekedudukan yang menyebabkan mereka berasa malu.

Lebih 50,000 Penduduk Riau Sakit Akibat Jerebu


Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 2:29 PM

PEKANBARU: Jerebu tebal yang melanda wilayah ini mengakibatkan lebih 50,000 penduduk di sekitar Riau terpaksa mendapatkan rawatan untuk pelbagai penyakit.
Rekod pejabat kesihatan Riau menunjukkan mulai akhir Jun hingga 5 Oktober lalu, seramai 52,536 penduduk sakit akibat jerebu.
Pegawainya, Rozita memaklumkan ramai pesakit diserang penyakit jangkitan saluran pernafasan akut, jangkitan paru-paru, lelah, gatal pada mata dan kulit.
"Seramai 47,836 menghidap jangkitan saluran pernafasan, 847 menghidap jangkitan paru-paru, 2,213 menghidap lelah, 2,880 menerima rawatan kerana sakit mata dan 3,760 akibat sakit kulit.
“Data ini kami kumpul daripada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan di 13 daerah dan bandar di Riau,” katanya.
Menurutnya, bandar itu sahaja terdapat tujuh pusat kesihatan dan satu pusat pemindahan untuk penduduk yang terjejas akibat jerebu.

Bunuh Anak Sebab Roti Tak Bulat, Hangus


Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2015 11:50 AM
Aniqa dibunuh ayahnya hanya kerana roti.

LAHORE: Seorang bapa ditahan kerana disyaki membunuh anak perempuannya selepas berang apabila mangsa memasak roti yang tidak cukup bulat dan hangus.
Siasatan mendapati, lelaki kejam itu dengan bantuan anak lelakinya berusia 16 tahun telah melakukan pembunuhan itu.
Dunya News melaporkan, Aniqa Khalid, 12, dibunuh bulan lalu.
Bagi mengelak dirinya menjadi sasaran akibat kematian anaknya, Khalid membuat laporan kehilangan Aniqa dua hari selepas kejadian itu.
Siasatan kejadian itu dilakukan apabila mayat remaja malang itu ditemui di luar rumah mayat dengan kesan luka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati Khalid dan Abu Zar membuang mayat Aniqa di pekarangan rumah mayat.
Lelaki itu kemudiannya mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu dengan dibantu anak lelakinya.
Khalid juga memberitahu polis, dia berang kerana roti itu bukan saja tidak bulat, tetapi hangus.