Search This Blog

Wednesday, October 7, 2015

Kemalangan Bas Di Yong Peng, Tiga Pelancong China Maut


Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 9:15 PM
Keadaan bas pelancong yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian tiga pelancong warga China dan 14 lagi cedera yang turut melibatkan sebuah lori dan sebuah bas lain di KM 94.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Yong Peng, Rabu. 
-fotoBERNAMA

JOHOR BAHARU: Tiga pelancong rakyat rakyat China maut manakala 14 lain cedera apabila bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan bas lain dan lori di Km94.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Yong Peng, Rabu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Bakariya Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 5.26 petang tadi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Seramai 24 penumpang dalam sebuah lagi bas selamat manakala pemandu lori jenis Scania itu cedera," katanya.

Bakariya berkata anggota bomba kemudian bertindak membantu mengeluarkan mayat mangsa dan penumpang yang cedera dalam kejadian itu.

Mayat Ditemui Dekat Sekolah Tempat Kanak-Kanak Orang Asli Hilang


Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 11:45 PM
Mayat yang ditemui dibawa ke rumah mayat Hospital Gua Musang.

GUA MUSANG: Mayat reput seorang budak perempuan ditemui oleh penduduk tempatan di perairan Sungai Perias dekat sini, kira-kira 500 meter dari sekolah di mana tujuh kanak-kanak Orang Asli hilang lebih dari enam minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdulah berkata penduduk tempatan telah menyerahkan mayat kanak-kanak itu kepada pihak yang melakukan carian.
Walau bagaimanapun, Saiful Bahri tidak dapat mengesahkan jika mayat itu adalah salah satu daripada kanak-kanak Orang Asli yang hilang sehingga secara positif dikenalpasti oleh ahli keluarga.

"Polis masih belum dapat mengesahkan mengenai penemuan mayat itu. Kita perlu menunggu untuk pengesahan identitinya," katanya.

Beliau berkata, dengan penemuan itu, usaha mencari kanak-kanak itu akan tertumpu di sekitar kawasan di mana mayat itu ditemui.

Tujuh kanak-kanak itu, Mirsudiar Aluj, 11, Norieen Yaakob, 10, Ika Ayel,9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli,8, dan Juvina David,7, yang tinggal di asrama sekolah, dikatakan telah melarikan diri ke dalam hutan untuk melepaskan diri daripada hukuman selepas mereka ditangkap berenang di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat ibu bapa kanak-kanak hilang dan berjanji untuk meneruskan carian sehingga mereka dijumpai.

Dr Ahmad Zahid berkata satu platun Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq akan menyertai usaha mencari dan menyelamat kerana majoriti anggota platun  berasal dari kawasan yang sama dan biasa dengan bentuk muka bumi yang tebal.