SEMPORNA 4 Okt. - Dua rakyat tempatan, Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Ghen Ted Fen, 39, yang diculik kumpulan didalangi Muktadil Brothers di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei lalu dilaporkan selamat.

NUR JAZLAN
Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika mengumumkan usaha-usaha memantapkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi mengekang jenayah rentas sempadan.
Malah menurut beliau, usaha membebaskan kedua-dua mangsa terbabit sedang giat dijalankan.
“Apa yang penting, mereka masih selamat. Kita sedang berusaha membebaskan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Lahad Datu dan Semporna bagi meninjau pelaksanaan operasi keselamatan di Esszone oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat; Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun.
Delegasi kedua-dua Timbalan Menteri itu turut meninjau pos-pos kawalan keselamatan di Pulau Timbun Mata, Pulau Mantabuan, Pulau Mataking, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan.
Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 merupakan organisasi yang bertanggungjawab menyelaras pelbagai agensi dalam melaksanakan operasi di Esszone iaitu merangkumi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Nur Jazlan memberitahu, Esscom akan dilengkapkan dengan 92 buah bot termasuk bot pemintas, bot utiliti dan tempur.
“Kita juga bercadang menambah kekuatan keanggotaan Esscom dengan peruntukan RM75,200,000 pada tahun ini, manakala peruntukan mengurus RM18,180,000,” tambahnya.