Search This Blog

Sunday, October 4, 2015

Bacaan IPU Di Palangkaraya Kini Lebih 2,000


Diterbitkan: Ahad, 4 Oktober 2015 1:37 PM

JAKARTA: Penduduk di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, kini mungkin tiada mempunyai ruang untuk bernafas dengan lega kerana mereka berada dalam keadaan sangat berbahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu kini melebihi 2,000.
Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika, bacaan IPU di kawasan itu meningkat secara mendadak dari bacaan IPU baik kepada 2,000 pada pukul 10 pagi tadi dan bacaan itu terus meningkat sehingga sekarang.
Kualiti udara di Palangkaraya sentiasa berada dalam lingkungan berbahaya sejak beberapa hari lepas.
Palangkaraya mengalami darurat jerebu sejak dua minggu lepas dan keadaan itu telah melumpuhkan semua aktiviti harian masyarakat dan semua sekolah ditutup sejak Isnin lepas.
Jerebu di kawasan itu dikatakan berpunca daripada kebakaran tanah gambut di Kalimantan dan keadaan jerebu menjadi tidak menentu walaupun usaha-usaha untuk memadam kebakaran hutan masih berterusan.
Sementara itu di Jambi, bacaan IPU masih ditahap berbahaya walaupun telah menurun dari 800 pada pagi tadi kepada 400 tengah hari ini.-- Bernama

Lapangan Terbang Kerteh Ditutup


Diterbitkan: Ahad, 4 Oktober 2015 2:48 PM
Lapangan Terbang Kerteh terpaksa ditutup semula kerana jarak ketampakan terhad.

KEMAMAN: Lapangan Terbang Kerteh di sini yang dibuka pada Jumaat untuk semua penerbangan kini kembali ditutup apabila jarak ketampakan kembali merosot akibat jerebu.
Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur, Zamri Mohamad berkata, jarak ketampakan pada 7 pagi adalah 200 meter dan ini sangat berbahaya bagi pelepasan dan pendaratan pesawat.
"Hari Jumaat dan Sabtu, operasi di lapangan terbang ini kembali beroperasi seperti biasa apabila jarak ketampakan melebihi 1,000 meter dan semalam jarak ketampakan yang dicatatkan pada awal pagi ialah 3,000 meter," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.
Sejak Isnin lepas, 11 penerbangan helikopter yang membawa kru luar pantai syarikat minyak dan gas di daerah berkenaan terjejas setiap hari membabitkan pertukaran kru lebih 300 orang dan operasi pesawat Malindo Air dan Firefly juga terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang di Kuantan dan Kuala Terengganu.
Di KUALA NERUS, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu satu penerbangan Firefly terpaksa dibatalkan dan lima penerbangan Malindo Air dan Firefly ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang terpaksa dilewatkan sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Pengurus LTSM, Dr Ahmad Ramli Mahmood bagaimanapun berkata operasi di LTSM masih berjalan lancar kerana jarak ketampakan adalah 1,500 meter.
"Tiupan angin berdasarkan kedudukan geografi LTSM yang berada berhampiran laut menyebabkan jarak ketampakan masih lagi dalam keadaan baik, bagaimanapun kami sentiasa memantau keadaan ini setiap jam," katanya.-- Bernama

Mayat reput tanpa kepala ditemui di Simpang Renggam


Oleh Adnan Ibrahim

SIMPANG RENGGAM: Polis menemui mayat hampir reput tanpa kepala dalam semak di Kampung Parit Haji Hashim, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham, berkata tiada sebarang pengenalan diri ditemui sekitar kawasan mayat ditemui.
"Bedah siasat akan dilakukan hari ini di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk mengenal pasti identiti mangsa.
"Keputusan bedah siasat ini dijangka diperoleh selewat-lewatnya esok," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
POLIS menemui mayat hampir reput tanpa kepala dalam semak di Kampung Parit Haji Hashim, di Simpang Renggam, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

Penembak kolej di Oregon disahkan bunuh diri - Polis

AHAD, 4 OKTOBER 2015 @ 9:30 AM

Charley Thompson (kiri) dan isterinya, Rachel Thompson meletakkan jambangan bunga di tempat khas berhampiran Kolej Komuniti Umpqua. - Foto AP

ROSEBURG: Lelaki bersenjata berusia 26 tahun yang dipercayai suspek kejadian tembakan di sebuah kolej komuniti di Oregon yang mengorbankan sembilan orang kelmarin, disahkan membunuh dirinya sendiri. "Pemeriksa perubatan mengenal pasti punca kematian penembak berkenaan yang dikenali sebagai Christopher Harper-Mercer disebabkan bunuh diri," kata Sheriff Daerah Douglas, John Hanlin. Dalam kejadian tembakan di Umpqua Community College di Roseburg itu, suspek menembak mati profesor bahasa Inggerisnya dan lapan lapan yang lain sebelum menembak dirinya sendiri. Laporan awal menyebut, suspek mati terkena tembakan anggota polis selepas berlaku tembak menembak kira-kira lima minit di lokasi kejadian di kolej berkenaan. Hanlin turut memberikan butiran masa kejadian dengan menyebut dua anggota polis berada di lokasi dalam masa lima minit ia berlaku dan memaklumkan mereka berbalas tembakan dengan suspek dua minit kemudian. "Pegawai polis bertindak segera, mereka berbalas tembakan dengan suspek bersenjata sebelum keadaan reda," katanya. Hanlin berkata, polis menjumpai satu lagi senapang patah dari pangsapuri suspek, menjadikan semua 14 senjata api dirampas - lapan daripanya dari rumah suspek manakala enam dari kolej berkenaan. - AFP

SHERIFF Daerah Douglas, John Hanlin. - Foto Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86321

Angka korban terbaru tanah runtuh Guatemala 69 orang

AHAD, 4 OKTOBER 2015 @ 10:29 AM

PASUKAN penyelamat mengusung mangsa yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Santa Catarina Pinula, Guatemala City, hari ini. - Foto Reuters

SANTA CATARINA PINULA (Guatemala): Sekurang-kurangnya 69 terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang menimbuskan rumah penduduk di pinggir ibu negara Guatemala, angka terbaharu dua hari selepas tragedi. "Angka terbaharu yang diselaraskan ialah 69 disahkan maut manakala kira-kira 300 lagi masih hilang dan belum dikira," kata jurucakap bomba sukarela, Julio Sanchez. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86343

Korban tanah runtuh Guatemala meningkat 56 orang, beratus hilang

AHAD, 4 OKTOBER 2015 @ 8:52 AM

PANDANGAN dari atas kawasan tanah runtuh di pinggir Guatemala City. - Foto Reuters

 SANTA CATARINA PINULA (Guatemala): Anggota penyelamat terus bertungkus-lumus membawa keluar lebih banyak mayat dari kawasan tanah runtuh di pinggir Guatemala City dengan angka kematian kini mencecah 56 orang dan 350 lagi dipercayai masih hilang. Jurucakap bomba Guatemala, Julio Sanchez, berkata jumlah kematian dijangka meningkat lagi apabila anggota penyelamat meningkatkan kerja menggali tanah dan mengeluarkan lumpur yang menimbuskan 125 rumah dalam kejadian malam Khamis lalu di Cambray. Anggaran awal angka korban adalah 600 orang. Dengan masa yang semakin suntuk, Penyelaras Perkhidmatan Kecemasan, Sergio Cabanas berkata, pasukan penyelamat masih mempunyai harapan untuk mencari mereka yang masih hidup. Di lokasi tanah runtuh, pekerja penyelamat turut membawa anjing pengesan dengan meniup wisel bagi mengesan sama ada mangsa terperangkap masih bernyawa di dalam timbunan lumpur dan sisa runtuhan. "Kami dari unit penyelamat. Jika ada sesiapa di sana, tolong menjerit dan membuat bising," kata seorang pekerja yang terus menjerit ke celah timbunan bagi mengesan mangsa. Apabila tiada tindak balas di dengar, ia disusuli dua tiupan wisel, iaitu sebagai tanda bahawa pekerja memulakan kerja menggali. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86305

Dua tentera antara 9 lelaki ditahan ketika berjudi

AHAD, 4 OKTOBER 2015 @ 1:39 PM

KLUANG: Sembilan lelaki termasuk dua anggota tentera ditahan ketika sedang berjudi secara dalam talian menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah khemah di Taman Kluang Barat, di sini, awal hari ini. Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata kesemua mereka yang asyik berjudi itu ditahan pada kira-kira 1.30 pagi menerusi Ops Dadu/Mesin Perjudian selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan terbabit, empat hari lepas. "Khemah bertutup terbabit didirikan di belakang deretan premis perniagaan dan polis kini sedang mengenal pasti dalang yang terlibat dengan kegiatan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini. Mohamad berkata seorang daripada lelaki yang berumur antara 27 dan 35 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan pemeriksaan terhadap telefon bimbitnya mendapati ia mengandungi pelbagai video lucah. Beliau berkata kesemua sembilan telefon bimbit milik lelaki berkenaan dirampas selain dua komputer riba dan sebuah modem komputer yang digunakan untuk tujuan berjudi. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kesemua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Sementra itu, dalam kes berasingan, Mohamad berkata pihaknya turut menahan seorang wanita Thailand dan seorang wanita termpatan dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis pusat kecantikan wanita di Taman Intan, di sini, pada 10 malam tadi. Beliau berkata serbuan hasil maklumat awam berkaitan kegiatan premis itu yang menjalankan aktiviti rumah urut dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat kecantikan. "Wanita rakyat Thailand berumur 30-an itu merupakan tukang urut manakala wanita tempatan berumur 40-an itu pula dipercayai majikan. Pemeriksaan turut mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan refleksologi atau spa yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan, katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1959/63. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86377

15 Maut, Serangan Bom Berani Mati Di Nigeria


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 10:50 PM

ABUJA: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 41 cedera dalam dua serangan bom berani mati pada lewat malam Jumaat di pinggir ibu negara Nigeria, Abuja.
Bagaimanapun, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu ketika ini.
Namun serangan berani bom berani mati merupakan kaedah yang sering digunakan oleh kumpulan militan Boko Haram.
Serangan bom pertama berlaku dekat sebuah balai polis di bandar Kuje.
Serangan kedua pula berlaku di kawasan tumpuan ramai di pinggir Nyanya.
"Siasatan awal mendapati letupan bom dilakukan oleh dua pengebom berani mati, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita," kata polis Abuja dalam satu kenyataan. - Reuters

Mayat Wanita Tanpa Kepala Dijumpai Dalam Semak Di Kluang


Diterbitkan: Ahad, 4 Oktober 2015 12:54 PM

KLUANG: Satu mayat wanita tanpa kepala dipercayai dibunuh dijumpai dalam kawasan semak, di Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, dekat sini, Ahad.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mayat yang sebahagianya sudah reput itu, ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada polis pada 10.25 pagi.
"Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian, menemui mayat tanpa kepala tersebut dalam keadaan terlentang, tidak berpakaian kecuali bercoli.
"Sehelai kain hijau turut ditemui berhampiran mayat itu manakala pewarna kuku merah masih kelihatan pada kuku kaki," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, Ahad.
Mohamad berkata, hanya tangan kanan mayat itu yang sudah reput, namun tangan kirinya masih elok kerana terlipat di belakang badan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal dan berdasarkan keadaan mayat, polis mempercayai mangsa dibunuh di tempat lain sejak dua mingu lepas sebelum mayatnya dicampak ke dalam semak.
Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pencarian kepala mangsa di kawasan sekitar, namun masih gagal dijumpai.
Menurut Mohamad, motif kejadian masih disiasat dan mayat dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini, untuk bedah siasat.
"Polis sedang berusaha mengesan identiti mangsa berdasarkan cap jari tangan kirinya dan menunggu laporan bedah siasat untuk memastikan sama ada mangsa dirogol atau tidak," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-- Bernama

50 Rumah Atas Air Di Kampung Simunul Musnah


Diterbitkan: Ahad, 4 Oktober 2015 7:55 AM

SEMPORNA: Kira-kira 50 buah rumah atas air di Kampung Simunul di sini, musnah dalam kebakaran Sabtu malam.
Ketua Balai Bomba Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata dua jentera bersama 18 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.44 malam tadi.
"Apabila sampai di tempat kejadian kira-kira 7.48 malam, api sedang marak dan anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan api disebabkan jalan yang terlalu sempit," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pihaknya turut dibantu sebuah jentera dengan lima anggota daripada Balai Bomba Tawau, serta enam anggota Balai Bomba Kunak.
Fazizul Hizam berkata api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 10 malam, dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.-- Bernama

Pecah cermin kereta sangka bayi tertinggal


bayi

2 OKTOBER 2015
bayi Patung yang disangka bayi.

WEST MIDLANDS - BRITAIN. Polis bertindak memecah cermin kereta selepas menyangka anak patung yang diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta adalah seorang bayi.

Dua pegawai polis mengambil keputusan untuk memecahkan cermin kereta tersebut selepas mendapat nasihat daripada seorang jururawat yang turut menyangka anak patung itu adalah bayi.

Janaih Rattray, 10, meletakkan anak patung menyerupai bayi lelaki yang diberi nama Ryan di dalam kereta kakaknya Delesia Vauxhall Corsa yang ditinggalkan di depan Hospital Russells Hall.

Mereka yang kembali semula ke kereta beberapa jam kemudian terkejut selepas mendapati cermin belakang pecah dan terdapat nota yang meminta mereka untuk menelefon pihak polis.

Delesia, 20 berkata,  anak patung tersebut memang menyerupai seperti bayi lelaki berusia beberapa bulan, namun jika dilihat pada tanggannya, ia adalah anak patung.

"Saya tidak menyalahkan pihak polis berkenaan dan memahami dengan tindakan yang diambil mereka," katanya dipetik Metro.uk

Sementara itu, polis West Mindland akan membayar ganti rugi di atas kerosakan yang berlaku.

Usaha pencarian Aviastar disambung


Usaha pencarian Aviastar disambung

4 OKTOBER 2015
Usaha pencarian Aviastar disambung Ahli keluarga mangsa terkejut dengan berita kehilangan pesawat Twin Otter milik Aviastar Mandiri yang hilang di Sulawesi Selatan pada Jumaat.

JAKARTA - INDONESIA . Pihak berkuasa Indonesia menyambung semula pencarian pesawat Twin Otter milik Aviastar Mandiri yang terputus hubungan ketika dalam penerbangan di provinsi Sulawesi Selatan, kelmarin.

Pesawat itu membawa tiga kru dan tujuh penumpang termasuk tiga kanak-kanak.

Ia hilang hubungan radio kira-kira 30 minit sebelum pesawat terbabit dijadualkan mendarat di Makassar.

Sementara itu, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Henry Bambang Soelistyo memaklumkan pihaknya akan melakukan pencarian pesawat Aviastar tersebut di empat sektor.

"Kami melakukan pencarian berdasarkan empat titik iaitu dari awal Lapangan Terbang Andi Djemma, hubungan terakhir, isyarat ping kotak hitam  dan isyarat telefon terakhir," katanya.

Empat sektor tersebut katanya, berdasarkan peta pencarian Basarnas meliputi wilayah Tana Toraja, Kota Palopo, Enrekang dan Luwu. - Tempo.com

30 terbunuh tanah runtuh di Guatemala


30 terbunuh tanah runtuh di Guatemala

4 OKTOBER 2015
30 terbunuh tanah runtuh di Guatemala Anggota penyelamat membawa keluar mayat kanak-kanak yang maut dalam kejadian itu. - Foto AFP

SANTA CATARINA PINULA - GUATEMALA . Sekurang-kurangnya 30 penduduk terbunuh manakala ratusan lagi dilaporkan hilang selepas berlaku tanah runtuh di pinggir ibu negara Guatemala pada Jumaat.

Menurut pihak berkuasa negara itu, setakat ini hanya 29 identiti mangsa berjaya dikenal pasti.

Antara mangsa yang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan dalam usaha mencari mangsa yang masih terperangkap.

Seramai 34 mangsa berjaya diselamatkan sementara 25 yang lain cedera.

Pihak berkuasa percaya hampir 600 orang masih hilang dan jumlah kematian dijangka meningkat. - AFP

Pemandu tersepit, terbakar dalam kereta


 0
  0  0 Google +0
Seorang nelayan yang baru pulang memancing bersama rakan maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum masuk longkang dan terbakar di Kampung Aur, Gubir, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.40 petang, Mohd Fauzi Hasan, 37, dari Kampung Surau, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian apabila tersepit di tempat duduk pemandu, selain melecur di tubuh.

Rakannya, Mahmud Shuhaimi, 38, tidak cedera kerana berjaya keluar dari kereta itu.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa mengadu tidak boleh memandu kerana pening, namun rakannya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tiada lesen memandu.

Kakak mangsa, Umi Kalsom, 42, berkata adiknya keluar rumah pada jam 2 petang untuk memancing di Gubir bersama rakan.

“Memang adik suka memancing di Gubir, tetapi saya tidak sangka kali ini dia pergi buat selama-lamanya apabila terbabit dalam kemalangan selepas dipercayai mengalami serangan jantung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82224#sthash.eYa7UTGY.dpuf

Lelaki maut motosikal rempuh pokok


Seorang lelaki warga Indonesia yang ingin memukat ikan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh pokok di Kilometer (KM) 2, Jalan Kampung Tamau, di sini, jam 7.30 malam kelmarin.

Ijan Majeh, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Isterinya, Azizah Hamdan, 21, berkata, sebelum kejadian, Ijan memaklumkan hendak ke Kuala Pintasan memukat ikan.

“Bagaimanapun, sehingga lewat malam, suami tidak pulang ke rumah menyebabkan saya bimbang.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan suami meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82223#sthash.HFT22r16.dpuf

‘Anu’ jadi tak normal


Kuala Lumpur: “Saya tidak sangka suntikan diambil memberi kesan tidak normal kepada kemaluan, saya ingatkan kesan sementara rupa-rupanya selepas mendapatkan nasihat pakar ternyata ia perubahan yang memudaratkan kesihatan.”

Itu kata-kata seorang lelaki dikenali Zairi, 32 yang mendapat suntikan untuk membesarkan kemaluan, namun tidak menyangka tindakan melulunya membawa padah sehingga memaksanya melakukan pembedahan.

Menurutnya, dia mendapatkan suntikan itu menerusi seorang kenalannya dengan harga sekitar RM500 dan individu itu mendakwa suntikan berkenaan akan membuatkan saiz kemaluan bertambah selain memberi kesan maksimum ketika hubungan kelamin.

“Pada peringkat awal, saya dapat merasai perubahan ketara pada kemaluan. Ia membesar dan memanjang dalam tempoh kira-kira sebulan. Ketika itu, saya rasa suntikan itu sangat berkesan.

“Namun, selepas tiga bulan, saya merasakan tidak selesa kerana alat kelamin terus mengembang. Kadangkala, ingin melakukan hubungan kelamin dengan isteri pun tidak boleh kerana sakit,” katanya kepada Metro Ahad, di sini.

Bimbang dengan perkembangan tidak normal kemaluannya, Zairi berkata, dia cuba mendapatkan pandangan pakar di sebuah hospital swasta sekitar ibu kota dan selepas melakukan pemeriksaan, doktor menyarankan untuk melakukan pembedahan.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan doktor, saya perlu menjalani pembedahan untuk membuang tisu yang membiak akibat suntikan terbabit.

“Itu satu-satunya prosedur rawatan yang ada dan saya akur menjalani pembedahan untuk mengeluarkan tisu yang membiak secara tidak normal,” katanya.

Katanya, prosedur rawatan itu menyakitkan, namun tiada pilihan lain dan akur saranan pakar perubatan.

“Kini, saya mengambil ubat tertentu bagi mengawal pembiakan tisu alat kelamin. Doktor memaklumkan pembedahan tidak dapat mengeluarkan 100 peratus tisu yang membiak.

“Hanya sebahagian boleh dikeluarkan dan ubat yang diambil bertujuan mengawal pembiakan tisu itu untuk tempoh tertentu sehingga tempoh rangsangan suntikan itu berakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:13 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82248#sthash.FABZLGCe.dpuf

Jatuh tingkat 3

Oleh Siraj Mohd Zaini

siraj@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang wanita dipercayai kekasih pemain bola sepak pasukan Liga Super parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama ketika cuba melarikan diri bagi mengelak dicekup warden asrama pusat latihan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi, pemain berusia 21 tahun itu dikesan membawa masuk wanita berusia 20 tahun ke bilik penginapannya di tingkat tiga asrama itu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu yang menggunakan lif pengangkut barangan dihidu warden asrama menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Menurut sumber, warden bersama beberapa anggota keselamatan mengadakan pemeriksaan dari bilik ke bilik.

Katanya, pada mulanya lelaki terbabit ditemui seorang diri di dalam bilik sebelum penghuni yang nyenyak tidur dikejutkan dengan bunyi bising di tingkat satu asrama.

“Warden melakukan pemeriksaan di tingkat satu sebelum menjumpai wanita terbaring kesakitan.

“Wanita terbabit dipercayai individu sama dikesan dibawa masuk pemain bola sepak,” katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan mendapati wanita itu terjatuh dari tingkat tiga dipercayai cuba melarikan diri bagi mengelak ditangkap selepas pemain lelaki terbabit mendengar pemeriksaan mengejut dilakukan dari bilik ke bilik.

“Wanita yang juga pelajar jurusan farmasi itu patah tulang betis, pergelangan kaki serta berkemungkinan tulang belakang. Mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Pemain bola sepak berkenaan ditahan di bahagian keselamatan asrama sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82259#sthash.xb08TWZs.dpuf

Jambatan sementara boleh dilalui semula


Gua Musang: Lebih 600 penduduk yang menggunakan jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, di sini, menarik nafas lega apabila ia boleh dilalui semula mulai hari ini.

Jambatan itu ditutup sejak awal pagi Jumaat berikutan berlaku tanah mendap, selain ditenggelami air Sungai Nenggiri susulan hujan lebat pada hari sebelumnya.


Jambatan itu yang mengalami kerosakan dibaik pulih oleh syarikat yang mengendalikan pembinaan projek jambatan sementara.

Penduduk, Mamat Abdullah, 48, berkata, kerja pembaikan jambatan sementara itu membuktikan keprihatinan pemimpin terhadap masalah dihadapi penduduk kawasan itu.

Menurutnya, kejadian tanah mendap kira-kira jam 1 pagi kelmarin mengakibatkan jambatan sementara itu ditutup kepada pengguna.

“Ia menyebabkan puluhan kenderaan yang melalui Jalan Gua Musang-Jeli terkandas di situ.

“Kami berharap kerajaan mempercepatkan pembinaan jambatan konkrit baru bagi menggantikan jambatan yang runtuh dalam banjir besar akhir tahun lalu,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Ab Ghani turut melawat kerja membaik pulih jambatan sementara semalam.

Katanya, jambatan sementara itu akan dibuka semula kepada semua kenderaan kecuali kenderaan berat sebagaimana had ditetapkan sebelum ini, pada awal pagi ini.

“Jambatan sementara ini masih dalam perjanjian kontrak dengan syarikat pembinaan dan setiap kerosakan akan diperbaiki segera,” katanya.

Beliau berkata, jambatan konkrit bernilai RM40 juta bagi menggantikan jambatan sementara masih dalam proses tender.

“Kita menjangka pembinaan jambatan konkrit dimulakan pada awal tahun depan dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:16 AM

Penunggang motosikal bergadai nyawa melalui jambatan sementara yang dibuka semula.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82264#sthash.1zrIxwNR.dpuf

Lima samseng dah ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

am@hmetro.com.my


Nilai: Lima lelaki disyaki terbabit memukul 19 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Melaka ketika serbuan di sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya, ditahan polis semalam.

Mereka antara sekumpulan lebih 40 samseng yang menumbuk dan menyepak pegawai dan anggota Imigresen berkenaan beramai-ramai dipercayai tidak puas hati operasi pada 12 tengah malam, Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan terbabit tidak boleh diterima kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Setakat ini lima suspek sudah ditahan dan polis masih mengesan individu lain yang disyaki terbabit dalam insiden itu.

"Saya sudah arahkan polis Melaka kesan suspek dan mengambil tindakan mengikut undang-undang serta dituduh di mahkamah. Perbuatan itu (memukul) tidak boleh diterima," katanya selepas merasmikan Hari Kantin dan Pelancaran Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Mantin di sini, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 12:37 PM

Khalid beramah mesra bersama murid sempena Majlis Perasmian Hari Kantin 2015 dan Pelancaran Alumni Sekolah Kebangsaan Mantin, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82103#sthash.xCrdlJrA.dpuf

Maut sebelum motosikal terbakar

Oleh Arifin Salleh

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Penunggang motosikal maut sebelum motosikalnya dirempuh treler dan terbakar di Kilometer 214.4, Lebuhraya PLUS, arah selatan, 5 pagi tadi.

Difahamkan, penunggang motosikal Yamaha RXZ, Mohammad Izzuan Abdul Majid, 33, dipercayai terjatuh di lorong kanan selepas dilanggar kenderaan lain.

Jurucakap polis berkata, motosikal mangsa yang tercampak ke lorong kiri kemudian dilanggar sebuah treler dari arah sama dan motosikal itu diseret sejauh 30 meter sebelum kedua-dua kenderaan terbakar.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pemandu treler tidak cedera.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 3:29 PM

Mohamad Izuan maut selepas dipercayai terjatuh akibat motosikalnya dilanggar kenderaan lain sebelum motosikalnya itu dilanggar pula treler menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar. FOTO Arifin Salleh
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82115#sthash.oV9ReADc.dpuf

GRO Vietnam, China ditahan

Oleh Zainuz Fitri

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seramai 31 GRO warga asing ditahan dalam sebuan oleh Polis Johor di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, Johor Bahru malam tadi.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian(D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kira-kira 8 malam.

Pegawai Turus D7 Deputi Superintenden Adzli Abu Shah berkata seramai 29 wanita Vietnam dan dua warga China ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas wanita yang berusia 17 hingga 43 tahun itu mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Kita juga percaya mereka turut menawarkan khidmat seks kepada pengunjung," katanya.

Katanya, seorang penjaga premis warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 1:02 PM

GRO yang ditahan diawasi anggota polis. FOTO Zainuz Fitri
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82105#sthash.bsi8knED.dpuf

‘Gadis urut’ Vietnam dicekup

 Oleh Siraj Mohd Zaini

siraj@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Seramai 26 wanita warga Vietnam ditahan dalam serbuan Ops Noda yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah pusat refleksologi di Bandar Puteri Puchong, tengah malam tadi.

Sumber berkata, polis turut menahan dua lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis berkenaan.

Menurutnya, pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk pelincir, tuala, kondom, minyak urut, tisu gulung serta wang berjumlah RM2,811.

"Seramai 11 lelaki dipercayai pelanggan turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.

"Operasi itu disertai lima pegawai dan 16 anggota D7 IPK Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 1:12 PM

Sebahagian wanita Vietnam yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82107#sthash.kOQa9GqU.dpuf

12 GRO Vietnam ditahan

Oleh Siraj Mohd Zaini

siraj@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seramai 12 GRO warga Vietnam ditahan sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Pandan Indah, malam tadi.

Sumber berkata, polis turut menahan dua lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis untuk membantu siasatan.

"Serbuan dilakukan hasil aduan orang ramai dan intipan selama seminggu oleh Unit Risik D7 Bukit aman.

"Pemeriksaan ke atas semua GRO yang berusia 22 hingga 42 tahun itu mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 1:31 PM

GRO Vietnam yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82109#sthash.LnHruT1L.dpuf

Rugi lebih RM3 juta

Oleh Ramli Ibrahim

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Pemilik bengkel kenderaan di Kampung Batu Lima, di sini, kerugian lebih RM3 juta selepas bengkelnya dan 11 kereta serta lori pelanggan musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Tiada kemalangan jiwa dalam kejadian 4.30 pagi itu.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Ahmad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.41 pagi.

Katanya, dua jentera bersama tujuh anggota bomba ke lokasi kejadian.

"Kita mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.

" Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel, Yan Yian Sun, 55, berkata,

tiga daripada kenderaan yang terbakar sudah siap dibaiki dan diletakkan di belakang kedai manakala lapan lagi ditempatkan dalam bengkel untuk dibaiki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 4:01 PM

Keadaan bengkel yang terbakar. FOTO Ramli Ibrahim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82117#sthash.NWsIp2HH.dpuf

Porshe rempuh pembahagi jalan

Oleh Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my

Georgetown: Porshe 911 dipandu seorang lelaki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang, hari ini.

Kejadian berlaku pada 2.45 petang dan pemandu kereta mewah itu dikatakan dalam perjalanan dari tanah besar menuju ke pulau.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kemalangan berlaku apabila Porshe 911 itu bergesel dengan Proton Wira dipandu seorang wanita.

"Kedua-dua kenderaan itu datang daripada arah sama dan kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu.

"Kita difahamkan kedua-duanya tidak cedera," katanya ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 7:49 PM

Porshe yang terbabit kemalangan petang tadi. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82129#sthash.tySIsgdz.dpuf

Kampung Simunul berapi

Ardyhansah Amat

am@hmetro.com.my


Semporna: Ratusan penduduk menyelamatkan diri selepas satu kebakaran besar berlaku di Kampung Simunul, di sini, malam tadi.



Dalam kejadian 7.30 malam itu, api kelihatan marak membakar dan memusnahkan berpuluh-puluh rumah penduduk perkampungan atas air di situ.

Bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Semporna ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.44 malam.

Difahamkan kebakaran besar itu turut membabitkan bantuan dari JBPM Daerah Tawau yang turut bertolak ke lokasi kejadian pada 8.03 malam tadi.

Sehingga kini JBPM masih dalam proses memadamkan api di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 10:02 PM

Kebakaran besar di Kampung Simunul, 7.30 malam tadi. FOTO dan VIDEO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82135#sthash.KilL1mnC.dpuf

Plastik sampah hitam jadi penyelamat


Bengkulu: Tiga bayi kembar yang dilahirkan tidak cukup bulan di sebuah kampung pedalaman di wilayah ini diselamatkan selepas dibungkus dengan plastik sampah kerana ketiadaan inkubator untuk menghangatkan tubuh mereka.

Bayi kembar tiga itu dilahirkan oleh Titi Hidayanti kelmarin dan kelahiran mereka disambut bidan kampung Lela Sartika.

Menurut Lela, dia berdepan dengan masalah untuk menyelamatkan kembar berkenaan kerana ketiadaan inkubator di klinik kampung itu.

“Saya teringat apa yang diajarkan oleh seorang pakar bayi dahulu. Katanya, guna saja karung sampah hitam jika tidak ada inkubator. Saya membungkus mereka dengan plastik sampah hitam yang terdapat dalam klinik bagi memastikan ketiga-tiga bayi itu stabil dan selamat,” kata bidang itu.

Menurutnya, seluruh badan kembar itu dimasukkan ke dalam karung sampah berkenaan, kecuali kepala dan setiap seorang diapit dengan botol susu berisi air panas.

Dengan pertolongan seorang penduduk kampung, Lela kemudian menghantar si ibu dengan ketiga-tiga kembar itu ke hospital terdekat, di daerah Mukomuko yang jaraknya 80 kilometer dari desa tempat bayi itu lahir.

“Di situlah baru mereka dimasukkan ke dalam inkubator. Mujur saya bertindak pantas. Jika tidak, ketiga-tiga kembar itu mungkin berdepan dengan masalah,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:08 AM

SEORANG daripada bayi itu yang dibungkus dengan plastik hitam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82213#sthash.ddlaI7RA.dpuf

30 korban tanah runtuh, ratusan hilang


Santa Catarina Pinula: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi hilang semalam, sehari selepas tanah runtuh melanda kawasan di pinggir bandar Guatemala City.

Pekerja penyelamat, polis, askar dan jiran bekerja sepanjang malam, menggunakan cangkul dan penyodok untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat.


Beberapa penduduk mendakwa menerima teks pesanan ringkas daripada anggota keluarga yang mereka percaya masih terperangkap, 24 jam selepas tanah runtuh melanda bandar Santa Catarina Pinula.

Pihak berkuasa berkata, kira-kira 600 penduduk hilang dan percaya angka kematian akan meningkat.

Anggaran itu berdasarkan 125 rumah yang musnah atau rosak dalam kejadian itu yang berlaku selepas hujan lebat.

Kawasan itu terletak 15 kilometer ke timur Guatemala City.

“Kami mengenal pasti 29 mangsa yang terbunuh. Seorang lagi belum dapat dicam,” kata pegawai penyelamat Sergio Cabanas.

Mangsa termasuk tiga kanak-kanak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:10 AM

SEORANG petugas penyelamat menggendong mayat bayi yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82235#sthash.KWSrnkJk.dpuf

China arah tingkat pemeriksaan mel


Beijing: Perkhidmatan pos China semalam mengarahkan pemeriksaan ketat terhadap bungkusan pos berikutan beberapa siri pengeboman yang meragut 10 nyawa dan mencederakan 51 yang lain beberapa hari lalu.

Dalam satu kenyataan menerusi laman webnya, Biro Pos China mengarahkan, pengendali surat dan bungkusan diwajibkan meningkatkan pemeriksaan bagi mengesan kemungkinan bahan kimia berbahaya, senjata, serbuk letupan dan racun.

Ia juga mengadakan kerjasama lebih rapat dengan polis.

Arahan itu dikeluarkan berikutan 18 letupan yang berlaku di Guanxi, wilayah selatan di negara itu pada Rabu dan Khamis lalu.

Seorang lelaki berusia 33 tahun, Wei Yingyong dituduh bertanggungjawab terhadap kejadian itu. Dia dikatakan membalas dendam terhadap jirannya dan syarikat yang terbabit dengan perlombongan batu.

Letupan dikatakan berlaku di sebuah hospital, pasar, pusat beli-belah, stesen bas dan beberapa bangunan kerajaan. Wei dikatakan mati dalam satu letupan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:08 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82217#sthash.oBTy2qlq.dpuf

Penyerang miliki 13 senjata api



BARISAN senjata dipamerkan di sebuah kedai menjual senjata api berhampiran tapak serangan senjata api terbaharu Amerika Syarikat di bandar Rosburg, Oregon kelmarin. - AFP


ROSEBURG – Lelaki yang bertanggungjawab ke atas sera­ngan bersenjata terbaharu di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menyimpan bermacam jenis senjata, kata pihak berkuasa.
Dia digambarkan sebagai suka bersendirian dan mempunyai masalah dengan keagamaan.
Ketika maklumat penyerang diperolehi, nama sembilan individu, lima wanita dan empat lelaki berumur antara 18 dan 67 tahun yang terbunuh dalam insiden di Kolej Komuniti Um­pqua pada Khamis lalu didedahkan oleh polis.
Walaupun pihak berwajib masih enggan menyatakan identiti suspek, lelaki bersenjata yang maut selepas berbalas tembakan dengan polis itu dikenal pasti umum sebagai Chris Harper Mercer, 26.
Pihak berkuasa memaklumkan mereka me­ngumpulkan 13 senjata milik suspek terma­suk enam semasa melakukan serangan ke atas kolej tersebut bersama satu jaket kalis peluru dan lima kartrij peluru.
“Dia tidak mempunyai teman wanita dan itu membuatkannya marah. Dia melihat dirinya sebagai seorang yang malang, dia tidak suka orang di sekelilingnya dan melihat seolah-olah tiada perkara baik berlaku kepadanya,” lapor akhar The New York Time yang memetik kenyataan seorang pegawai penguat kuasa kanan yang tidak dinamakan.
Satu laporan berasingan mendakwa, suspek yang tinggal bersama ibunya itu obses de­ngan senjata api dan agama serta mempunyai kecende­rungan ke arah pelampau kulit putih.
Beberapa orang saksi mendakwa suspek menuntut pelajar yang ber­agama Kristian supaya bangun sebelum melepaskan tembakan di dalam kelas mereka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3nXrtx01M 
Hakcipta terpelihara 

30 mati, 600 hilang dalam kejadian tanah runtuh


LEBIH 500 anggota penyelamat, polis dan tentera berusaha mencari mangsa terselamat selepas kejadian tanah runtuh di sebuah perkampungan di Santa Catarina Pinula, Guatemala kelmarin. - REUTERS


SANTA CATARINA PINULA – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan beberapa ratus lagi dilaporkan hilang kelmarin, sehari selepas kejadian tanah runtuh melanda sebuah perkampungan di pinggir ibu negara Guatemala, jelas pihak berkuasa.
Lebih 500 anggota penyelamat, polis dan tentera serta penduduk setempat menggali lapisan tanah dengan cangkul dan penyodok bagi mencari mangsa terselamat dari pagi sehingga lewat petang sebelum menangguhkan kerja pencarian pada sebelah malam.
Keluarga-keluarga mangsa melaporkan mereka menerima mesej teks daripada orang yang dipercayai masih terperangkap lebih 24 jam selepas tanah runtuh melanda kampung EL Cambray II di kawasan perbandaran Santa Catarina Pinula.
Pihak berkuasa memaklumkan sekitar 600 orang masih hilang dan jumlah kematian dijangka meningkat. Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan 125 kediaman musnah atau rosak selepas hujan lebat menyebabkan berlakunya tanah runtuh Khamis lalu.
Kawasan yang terlibat berada kira-kira 15 kilometer di timur ibu negara, Bandar Guatemala.
“Sebanyak 29 mayat telah dikenal pasti dan seorang belum diketahui identiti,” kata komander pejabat kawalan bencana kerajaan CONRAD, Sergio Cabanas kepada agensi berita AFP.
Seramai 34 mangsa berjaya ditarik keluar dengan selamat dari bawah runtuhan rumah dan lumpur, manakala 25 yang lain cedera, jelas pegawai CONRAD. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3nXrhKpjZ 
Hakcipta terpelihara 

Bumbung pesawat pecah ketika penerbangan

Bumbung pesawat American Airlines pecah dan berlubang selepas

BUMBUNG pesawat American Airlines pecah dan berlubang selepas seorang penumpang terhumban mengenainya susulan pergolakan angin ketika pe­nerbangan. AGENSI
MIAMI 3 Okt. – Bumbung sebuah pesawat komersial dilaporkan pecah dan berlubang baru-baru ini, selepas seorang penumpang terhumban mengenainya akibat pergolakan angin ketika penerbangan berlaku.
Mail Online melaporkan, lima orang penumpang cedera dalam kejadian yang berlaku di dalam pesawat American Flight 982 milik American Airlines itu.
Ketika kejadian, pesawat yang membawa 74 orang penum­pang dan lima anak kapal tersebut dalam perjalanan dari Grenada ke Miami, Amerika Syarikat (AS).
American Airlines dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian, lampu tali pinggang keledar telah dinyalakan dan juruterbang langsung tidak menerima sebarang petunjuk kawasan berkenaan mengalami ribut.
“Sebelum ini kami pernah mengalami masalah seperti itu, tetapi tidaklah terlalu kuat.
“Seorang lelaki yang sedang tidur dan tidak mengenakan tali pinggang keledar tercampak dari tempat duduknya sehingga mengenai bahagian syiling pesawat,” kata seorang penumpang dikenali sebagai Hayden Redhead.
Bagaimanapun, semua mangsa hanya cedera ringan.

9 anggota perubatan 
MSF maut dibom

Sejumlah anggota perubatan merawat mangsa yang cedera susulan

SEJUMLAH anggota perubatan merawat mangsa yang cedera susulan serangan udara di sebuah hospital di Kunduz, Afghanistan, semalam. AFP
KABUL 3 Okt. – Seramai sembilan orang anggota perubatan agensi sukarela, Doctors Without Borders (MSF) termasuk tiga orang doktor terkorban dan puluhan yang lain masih hilang dalam satu serangan udara yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap sebuah hospital di Kunduz, Afghanistan di sini, semalam.
Menurut MSF, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengaku pasukan tentera AS mungkin bertanggungjawab di­sebalik pengeboman berkenaan.
Serangan udara awal pagi semalam itu menyebabkan bangunan hospital tersebut dijilat api dan rakaman gambar oleh MSF di laman sosial Twitter menunjukkan beberapa kakitangan berada dalam keadaan terkejut dan bingung selepas pengeboman dilancarkan.
“Pada pukul 2.10 pagi waktu tempatan, pusat trauma MSF di Kunduz dibom beberapa kali dan mengalami kerosakan teruk.
“Sembilan anggota perubatan MSF disahkan maut dan lebih 30 yang lain masih hilang,” jelas agensi tersebut.
MSF berkata, sebahagian 105 pesakit termasuk 59 kanak-kanak serta lebih 80 kakitangan MSF antarabangsa dan tempatan berada di dalam hospital ketika itu semasa serangan berlaku. – AFP

Indonesia jejak pesawat hilang

Anggota tentera Indonesia semalam dirakam menaiki sebuah pesawat

ANGGOTA tentera Indonesia semalam dirakam menaiki sebuah pesawat Aviastar di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin di Makassar, bagi menyertai misi pencarian pesawat Twin Otter yang terputus hubungan kelmarin ketika dalam perjalanan dari Pulau Masamba ke Makassar di Sulawesi. REUTERS
JAKARTA 3 Okt. - Pihak berkuasa Indonesia hari ini menyambung semula usaha pencarian pesawat Aviastar Airlines, Twin Otter DHC-6 yang terputus hubungan dengan pusat kawalan udara ketika dalam perjalanan ke Sulawesi, semalam.
Pegawai Operasi Penerbangan Aviastar Airlines, Ferdinand Lumintaintang berkata, pasukan mencari dan menyelamat kini menggunakan isyarat yang dikeluarkan dari telefon bimbit juruterbang dan penumpang malam semalam untuk menjejak lokasi sebenar mereka.
Detik.com memetik kenyataan Pengerusi Aviastar Airlines, Sugeng Triyono sebagai berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan ke lokasi isyarat bagi menjalankan kerja-kerja mencari pesawat dan penumpang.
“Usaha mencari kini memberi tumpuan kepada di mana lokasi isyarat berkenaan dikeluarkan.
“Operasi pencarian tidak hanya dijalankan di kawasan darat, tetapi akan melibatkan kawasan udara dengan menggunakan pesawat khas,” jelasnya.
Bagaimanapun, Sugeng tidak mendedahkan lokasi sebenar is­yarat berkenaan yang berkemungkinan besar berada di kawasan berbukit.
Pesawat ringan Twin Otter DHC-6 terputus hubungan dengan pihak berkuasa lapangan terbang kira-kira 30 minit sebelum mendarat di bandar Makassar, Sulawesi.
Penerbangan tersebut membawa tujuh orang penumpang yang terdiri daripada empat orang dewasa dan tiga kanak-kanak, selain tiga anak ka­pal termasuk seorang juruterbang. – DPA/REUTERS/AGENSI

30 maut, 600 hilang kejadian tanah runtuh

Anggota pasukan menyelamat mengusung mayat seorang mangsa tanah

ANGGOTA pasukan menyelamat mengusung mayat seorang mangsa tanah runtuh yang dijumpai di Santa Catarina Pinula, pinggir Guatemala City, kelmarin. - REUTERS
SANTA CATARINA PINULA, Guatemala 3 Okt. – Sekurang-kurangnya 30 maut, manakala 600 lagi hilang dalam satu kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat di sebuah kampung kawasan pinggir bandar, semalam.
Lebih 500 anggota keselamatan, polis, dan tentera termasuk penduduk kampung yang terselamat berusaha mencari mangsa yang hilang dalam kejadian tersebut.
Ahli keluarga melaporkan, mereka menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada mangsa yang dipercayai masih terperangkap, selepas 24 jam runtuhan tanah tersebut berlaku di Kampung El Cambray II.
Pihak berkuasa berkata, sehingga kini angka mangsa yang hilang sudah mencecah 600 orang dan pihaknya menjangkakan jumlah yang maut akan terus meningkat.
Pihak berkuasa menganggarkan rumah yang musnah dalam kejadian tersebut mencecah 125 buah.
“Kami sudah mengenal pasti 29 mayat mangsa, manakala satu lagi masih belum diketahui identitinya,” kata Komander Pejabat Pengawalan Bencana (CONRAD), Sergio Cabana, sambil menambah tiga daripada mereka yang terkorban merupakan kanak-kanak.
Pegawai CONRAD berkata, seramai 44 orang berjaya dibawa keluar daripada runtuhan lumpur, dengan 25 daripada mereka mengalami kecederaan.
Presiden Guatemala, Alejandro Maldonado berkata, beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Cuba sudah menyatakan hasrat untuk membantu me­ringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa. – AFP

Pemuda terbunuh kereta terbakar dalam nahas

SEBUAH kereta yang hangus selepas terbabit dalam kemalangan menyebabkan

SEBUAH kereta yang hangus selepas terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang lelaki maut di di Kampung Kota Aur, Mukim Sok, Sik, Kedah, kelmarin.
SIK 3 Okt. – Seorang pemuda maut manakala rakannya cedera apabila kereta yang dipandu terbabas lalu terbakar dalam kemalangan di Kampung Kota Aur dekat sini, semalam.
Kejadian pada pukul 5.30 petang itu berlaku apabila mangsa, Mohamad Fauzi Hassan, 37, dari Kampung Surau dekat sini dalam perjalanan dari Gubir ke Belantik sebelum kereta dipandunya terbabas ke kiri jalan.
Difahamkan, mangsa tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas sejauh 20 meter sebelum memasuki longkang dan terbakar.
Mangsa yang hampir melecur keseluruhan badannya itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Mahmud Yusof, 22, dapat diselamatkan orang ramai.
Rakan mangsa, Osman Jab, 40, berkata, dia amat terkejut dengan kejadian yang menimpa Mohamad Fauzi.
“Saya amat sedih kerana kehilangan seorang rakan karib yang tinggal berjiran dan rakan setugas dalam Skim Rondaan Sukarelawan (SRS).
“Arwah seorang yang baik budi bahasa dan sentiasa bekerjasama ketika bertugas membuat rondaan SRS. Namum sejak kebelakangan ini, arwah sering membuatkan rakan-rakannya sentiasa marah terhadapnya apabila bertugas, rupa-rupanya itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami selamanya,” kata Osman ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan.
Menurutnya, semasa kejadian keadaan jalan raya di tempat kemalangan adalah kering dan laluannya lurus dua hala.
“Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan maklumat lanjut serta keterangan daripada saksi. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pemuda-terbunuh-kereta-terbakar-dalam-nahas-1.142505#sthash.tkqsvcW2.dpuf