Search This Blog

Saturday, October 3, 2015

Dua Warga Asing Ditahan Di Kilang Bahan Letupan Haram


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:42 PM

RIYADH: Pasukan keselamatan Arab Saudi menahan dua warga asing dalam satu serbuan di sebuah kilang bahan letupan haram di sebuah rumah di Riyadh, kata kementerian dalam negeri, menurut agensi berita, SPA.
Kementerian dalam negeri berkata, salah seorang yang ditahan ialah warga Syria, Yaser Mohammed Al Barrazi sedang membuat persiapan untuk mengadakan serangan.
Menurut kementerian itu, seorang lagi merupakan seorang wanita warga Filipina yang membantu lelaki berkenaan.
Ia berkata, kemudahan membuat bom itu diletakkan di dalam sebuah rumah di daerah Al Fahyaa di Riyadh. - Reuters

Migran Cuba Ceroboh Terowong Selat Inggeris, Operasi Tren Terganggu


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 5:07 PM
Gambar fail menunjukkan Terowong Selat Inggeris yang menghubungkan Perancis dan Britain. Foto EPA

LONDON: Kira-kira 200 migran yang cuba untuk menceroboh masuk ke Terowong Selat Inggeris yang menghubungkan Perancis dan Britain pada awal pagi Sabtu mengakibatkan gangguan operasi perkhidmatan kereta api, kata jurucakap Eurotunnel.
Gangguan itu merupakan insiden terbaharu membabitkan sekumpulan migran yang bermalam di sekitar pelabuhan utara Perancis di Calais dengan harapan dapat memasuki Britain.
Seorang jurucakap Eurotunnel berkata, kira-kira 200 migran menceroboh masuk ke dalam terminal Perancis dan melalui kawasan trek. 
Beliau berkata, kesemua mereka melakukannya secara terancang dan beramai-ramai, sehingga memaksa syarikat berkenaan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Tambahnya, perkhidmatan Eurotunnel untuk penumpang dan barangan terpaksa ditunda, manakala kereta api mula beroperasi semula namun melakukannya secara perlahan di kawasan Calais, sehingga mengakibatkan jadual perjalanan terganggu.
Calais merupakan salah satu tumpuan bagi pelarian apabila negara-negara Eropah mengalami masalah untuk menangani peningkatan bilangan migran yang berhijrah akibat konflik atau kemiskinan di negara mereka. - Reuters

11 Kereta Musnah Dalam Kebakaran Bengkel Kenderaan


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 5:33 PM
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Foto twitter @bombaJPBM

GUA MUSANG: Sebanyak 11 kenderaan musnah dijilat api dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel membaiki kenderaan di Batu Lima, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini awal pagi Sabtu, dengan kerugian dianggarkan RM3 juta.
Kebakaran itu disedari seorang pengawal keselamatan Abdul Ghani Jaya, 57, pukul 4.30 pagi selepas terdengar beberapa bunyi letupan kuat.
Abdul Ghani yang ketika itu sedang berada di sebuah pondok keselamatan, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian kemudian memaklumkan seorang kerani bengkel berkenaan.
"Kerani wanita itu yang tinggal di sebuah rumah di depan bengkel berkenaan menghubungi bomba dan turut memaklumkan kejadian tersebut kepada pemilik bengkel," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Sabtu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Nordin Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.41 pagi. 
"Dua jentera bomba bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian dan kami turut menerima bantuan daripada beberapa anggota bomba sukarela ketika memadamkan kebakaran itu.
"Kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Gagal bunuh diri


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 OKTOBER 2015
Gagal bunuh diri

Gagal bunuh diri Sumiran (kiri) menceritakan kembali detik cemas dia berhadapan dengan seorang wanita yang cuba membunuh diri di Pantai Sungai Lurus, Senggarang.

BATU PAHAT - Tindakan pantas seorang anggota Rela menarik tangan seorang wanita berusia 20an menyelamatkannya yang nekad membunuh diri.

Wanita itu cuba terjun ke laut berhampiran Pantai Sungai Lurus, Senggarang.

Anggota Rela berkenaan, Sumiran Sukardi, 57, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 pagi kelmarin, dan wanita itu menaiki kenderaan  jenis Toyota.

Menurutnya, tiba-tiba wanita itu keluar daripada kenderaan sebelum ke arah pinggir pantai berkenaan dipercayai untuk membunuh diri.

Jelasnya, ketika sedang berada  dalam pos kawalan, dia dikejutkan  dengan kedatangan sebuah  kenderaan dipandu seorang wanita yang berkelakuan agak mencurigakan.

“Pada awalnya wanita itu hanya berjalan di persisiran pantai, namun tidak lama kemudian dia menjadi agak agresif dan bertindak berlari ke arah batu besar seperti mahu terjun ke  dalam air di situ.

“Saya berjaya menahan wanita itu daripada terjun dengan menarik tangannya. Ketika itu, saya sedang melakukan rondaan memantau perairan pantai dari jam 6 petang hingga 6 pagi,” katanya.

Sumiran berkata, situasi menjadi agak tegang apabila wanita itu menjerit dan meronta-ronta mahu terjun.

Menurutnya, tanpa berlengah dia terus menghubungi rakan sekerja bagi mendapatkan bantuan.

Jelasnya, insiden berkenaan juga tidak berakhir di situ apabila wanita itu sekali lagi bertindak berlari ke arah kawasan yang lebih curam.

“Mujur juga masa tu dua lagi rakan sekerja saya sudah tiba dan usaha menangkap wanita itu berjaya dilakukan.

“Cubaan untuk membunuh diri oleh wanita itu diyakini berpunca daripada tekanan perasaan terhadap masalah keluarganya dan dia berjaya diserahkan kepada polis sekitar jam 6 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian dan kes berkenaan telah diserahkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk tindakan susulan.

Kedai jual vape terbakar


SITI SAFA MOHD NOR
Kedai jual vape terbakar

3 OKTOBER 2015
Kedai jual vape terbakar Amir Fazreen menunjukkan tin gas isian semula yang dipercayai meletup dan mengakibatkan kebakaran kecil di kedai vape miliknya, pagi semalam.

SERI MANJUNG - “Saya terkejut apabila dengar dua letupan sebelum melihat kepulan asap keluar dari pintu kedai bersebelahan," demikian cerita saksi kejadian letupan tin gas isian semula di sebuah kedai menjual vape, pagi semalam.

Saksi, dikenali sebagai Umi, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, dia sedang bersiap-siap membuka kedai jahitnya bersebelahan premis terbabit.

"Letupan pertama agak perlahan dan kedua kuat hingga dinding saya bergegar sekejap.

"Apa lagi, saya terus keluar dan lihat ada kepulan asap keluar dari pintu kedai jual vape," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan,  Amir Fazreen Shamsul Bahari, 28, berkata, ketika kejadian tidak ada sesiapa dalam kedai

"Saya tahu insiden ini pun daripada jiran kedai sebelah... mujur kebakaran sikit saja.

"Syukur sangat sebab tiada kemusnahan teruk dalam kejadian ini dan kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000," katanya.

Difahamkan, letupan itu disyaki berlaku apabila dua tin isian semula gas meletup dipercayai kesan percikan api penyambung plug elektrik.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismail Othman berkata, seramai 15 anggota bersama dua jentera dengan bantuan pasukan bomba Setiawan ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 9.15 pagi dan setibanya di tempat kejadian mendapati kepulan asap keluar dari premis terbabit.

“Pasukan bomba terpaksa memecahkan pintu premis kerana berkunci untuk memadam kebakaran yang membabitkan perkakas dalam kedai termasuk meja kaunter, sofa serta sebuah penghawa dingin.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Parah akibat langgar belakang lori


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 OKTOBER 2015
Parah akibat langgar belakang lori

Parah akibat langgar belakang lori Keadaan lori yang terjatuh ke dalam gaung selepas dilanggar oleh sebuah kereta dari bekalang di sempadan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI - Seorang parah manakala empat yang lain cedera ringan selepas sebuah kereta dipercayai melanggar belakang lori dalam satu kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memberitahu, kejadian berlaku berhampiran pintu gerbang sempadan Gua Musang-Kuala Krai dan panggilan kecemasan diterima pada jam 5.52 pagi.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan berada pada laluan sama, iaitu menghala ke arah Kuala Krai semasa kejadian dan lori terbabit jatuh ke dalam gaung selepas dilanggar dari belakang.

"Seramai tujuh anggota bomba bergegas ke tempat kejadian setelah panggilan kecemasan diterima. Kesemua mangsa telah dibantu keluar dari kenderaan terbabit oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Suasana di lokasi kejadian berkabus ketika kemalangan berlaku, menyebabkan pemandu tidak nampak kenderaan di hadapannya," kata sumber berkenaan.

Operasi bocor


Oleh Mohd Hilmie Hussin

mohdhilmie@hmetro.com.my
Melaka: Kebocoran maklumat operasi dipercayai punca serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di pusat hiburan sekitar Taman Melaka Raya hanya berjaya menahan dua wanita warga asing yang dipercayai menyalahgunakan permit.

Dalam serbuan Op Noda bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi itu, tiga premis diperiksa iaitu masing-masing dua premis hiburan dan satu pusat urut refleksologi di sekitar Taman Melaka Raya.

Pegawai Turus D7 negeri Asisten Superintendan Azahar Abdul Rahim berkata, ketika pemeriksaan di pusat urut refleksologi itu dua wanita warga China ditahan.

“Kami memeriksa tujuh wanita warga China sebelum mendapati seorang daripada mereka mempunyai permit kerja tamat tempoh sejak Jun lalu manakala seorang lagi dilarang bekerja. Kedua-dua mereka berusia 34 dan 37 tahun.

“Selain itu, kami turut menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:03 AM


ANTARA warga asing yang diperiksa dalam gerakan, semalam.

6 kanak-kanak maut tertimbus tanah liat di Nepal



KATHMANDU: Enam kanak-kanak maut apabila mereka tertimbus di bawah runtuhan timbunan tanah liat di Dodadhara, Kailali, kira-kira 650 kilometer di barat Kathmandu, semalam.
Menurut polis, kanak-kanak berkenaan pergi ke timbunan berkenaan bagi mengambil tanah liat merah untuk mencantikkan dinding dan lantai rumah mereka menjelang sambutan festival Dashain.
"Seorang kanak-kanak mati di tempat kejadian manakala lima yang lain mati akibat kecederaan semasa dirawat di hospital," kata inspektor polis di balai polis Kailali, Mahesh Chaudhari ketika dihubungi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sita Pyakurel, Deepak Pyakurel, Maina Sunar, Kiran Sunar, Nanita Neupane dan Susanta Sunar, semuanya berumur kurang daripada 10 tahun.
Chaudhari berkata, beberapa kanak-kanak yang lain turut tertimbus di bawah bukit namun mereka dapat diselamatkan oleh polis dan penduduk tempatan.
Mereka yang cedera kini dirawat di hospital Tikapur.
Festival Dashain bermula 11 Oktober ini dan berlangsung selama 15 hari.
- BERNAMA

3 petugas hospital maut dalam serangan udara di Kunduz - MSF

SABTU, 3 OKTOBER 2015 @ 3:11 PM

PASUKAN keselamatan Afghanistan memeriksa tapak serangan udara AS di bandar Kunduz, utara Kabul, Afghanistan. - Foto AP

 KABUL: Satu serangan udara terhadap sebuah hospital di Kunduz, Afghanistan hari ini menyebabkan tiga petugas Doctors Without Borders (MSF) terbunuh manakala puluhan lagi hilang, menurut badan perubatan kebajikan itu ketika NATO menyatakan pasukannya mungkin yang melancarkannya. Kemudahan MSF itu adalah kemudahan perubatan penting di wilayah itu dan beroperasi melebihi kapasiti sejak pertempuran hebat baru-baru ini yang menyaksikan puak Taliban menguasai ibu negeri itu untuk beberapa hari. "Pada 2.10 pagi (0440 MST) waktu tempatan...pusat trauma MSF di tengah Kunduz menjadi sasaran serangan bom berterusan dan mengalami kerosakan teruk," menurutnya dalam satu kenyataan. "Tiga petugas MSF disahkan mati dan lebih 30 yang lain tidak diketahui nasib mereka. Pasukan perubatan sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan pesakit dan petugas hospital." Sementara itu, NATO menyatakan tentera Amerika Syarikat mungkin pihak bertanggungjawab melancarkan serangan udara itu. "Tentera AS melancarkan satu serangan udara di Kunduz pada jam 2.15 pagi...terhadap individu yang mengacam pasukan," menurut kenyataan NATO> "Serangan itu mungkin menyebabkan kehilangan nyawa di kemudahan perubatan berhamopiran. Insiden ini sedang disiasat." - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86096

1,744 saman sepanjang Ops Khas Kluang

SABTU, 3 OKTOBER 2015 @ 12:51 PM

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@bh.com.my
 



KLUANG: Polis mengeluarkan 1,744 saman pelbagai jenis kesalahan sepanjang tempoh enam hari Ops Khas Kluang bermula 28 September lalu yang dilakukan di seluruh daerah ini.

Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Bukit Aman, Superintendan Bon Jeen Ahrom, berkata daripada jumlah itu 73 saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya adalah membabitkan kesalahan memandu melebihi had kelajuan.

Katanya, operasi khas membabitkan 139 pegawai dan anggota daripada Cawangan Trafik Bukit Aman, Kontinjen Johor dan Sukarelawan Polis Kluang itu turut memeriksa 5,314 kenderaan membabitkan 1,739 motosikal, kereta (2,572) dan kenderaan perdagangan (1,003).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 22 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dan sembilan lelaki pendatang asing tanpa izin warga Nepal yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai hari terakhir Ops Khas Kluang di Kilometer 7, Jalan Kluang-Mersing di sini, hari ini.

Dua letupan gegar Abuja, kematian dilaporkan


SABTU, 3 OKTOBER 2015 @ 9:48 AM

ABUJA: Dua letupan bom pinggiran ibu negara Nigeria, Abuja, termasuk satu sasaran yang pernah diserang militan Boko Haram, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA). Jurucakap NEMA, Manzo Ezekiel, berkata letupan itu berlaku berhampiran sebuah balai polis di Kuje dan perhentian bas di Nyanya pada kira-kira 10.30 malam waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia). "Sejumlah orang terbunuh," katanya. Kuje yang hampir dengan Lapangan Terbang Abuja, terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar. Puluhan militan Boko Haram dilaporkan ditahan di penjara di situ. Stesen bas sama di Nyanya itu diserang dua kali tahun lalu. Serangan pertama pada 14 April 2014 menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang maut manakala pada 1 Mei 2014 pula mengorbankan 16 orang.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86037

Korban tanah runtuh Guatemala meningkat kepada 30 orang


ANGGOTA penyelamat menggunakan jentera berat untuk mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Guatemala. - Foto EPA
GUATEMALA CITY: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh manakala hampir 600 lagi hilang berikutan tanah runtuh yang memusnahkan kediaman di pinggir ibu negara Guatemala itu.
"Kami sudah mengenal pasti 29 orang yang terkorban dan seorang lagi belum dikenal pasti," kata Sergio Cabanas, pemerintah agensi bencana Guatemala, CONRAD. - AFP

Sekurang-kurangnya 10 maut dalam serangan bom di Nigeria

JUMAAT, 2 OKTOBER 2015 @ 7:10 PM

MAIDUGURI, Nigeria: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 39 yang lain cedera apabila empat pengebom nekad meletupkan bom dipakai mereka di bandar Maiduguri di timur laut Nigeria semalam, menurut pihak tentera.
"Sehingga kini 14 orang sudah disahkan terkorban, termasuk empat pengebom nekad itu manakala 39 lagi cedera," menurut Ibupejabat Pertahanan di Abuja.
Boko Haram yang disyaki bertanggungjawab, kini semakin giat menggunakan pengebom nekad untuk menyasarkan orang awam, termasuk di Maiduguri pada 20 September lalu apabila 117 orang maut dalam siri serangan.
"Biarpun butiran kejadian masih samar, cukup untuk menyatakan bahawa empat pengganas Boko Haram meletupkan bom yang dipakai mereka secara serentak," menurut pihak tentera. - AFP

Pesawat Twin Otter Aviastar Mandiri hilang di Sulawesi Selatan


JAKARTA: Sebuah pesawat penumpang membawa 10 orang dilaporkan hilang di timur Indonesia.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Barata, berkata pesawat Twin Otter itu hilang perhubungan ketika dalam penerbangan di provinsi Sulawesi Selatan.
Katanya, pesawat berkenaan hilang hubungan radio kira-kira 30 minit sebelum ia dijadualkan mendarat di ibu negeri provinsi itu, Makassar.
Ia membawa tiga kru dan tujuh penumpang termasuk tiga kanak-kanak dari Masamba di provinsi sama.
Satu pasukan sudah dikerahkan bagi mencari pesawat milik Aviastar Mandiri itu.

Dadah: 9 suspek ditahan di Kangar



Oleh Diyanah Anuar


ABDUL Rahman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis heroin dan syabu yang benilai lebih 30 ribu ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar. - Foto Eizairi Shamsudin
KANGAR: Sembilan suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini, pada Selasa lalu dan semalam.
Hasil serbuan itu, pelbagai jenis dadah seperti heroin, syabu, pil Erimin 5 dan pil kuda dengan nilai keseluruhan kira-kira RM41,927 turut dirampas.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata dalam serbuan pertama Selasa lalu di sebuah rumah di Jalan Syed Alwi, dekat Seberang Tambang, di sini, dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun ditahan bersama tiga bungkusan besar serbuk disyaki dadah jenis heroin.
"Dadah itu ditemui di ruang tamu rumah berkenaan dan kita juga menjumpai alat pembungkusan dan alat penimbang di lantai ruang tamu rumah berkenaan.
"Polis percaya rumah itu dijadikan sebagai pusat pembungkusan dadah sebelum ia diedarkan di sekitar Kangar," katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar kawasan Simpang Empat semalam, enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 36 tahun ditahan atas kesalahan mengedar dadah.
"Tangkapan dilakukan di beberapa rumah di kawasan Simpang Empat seperti di Kampung Tanah Timbul dan Kilometer 10 Batas Lintang. "Kebanyakan suspek yang ditahan didapati mengedar secara kecil-kecilan di kawasan itu," katanya.
Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis Perlis tahan 2 penyamun



Oleh Diyanah Anuar



TIMBALAN Ketua Polis Perlis, ACP Noor Mushar Muhammad (dua dari kiri) menunjukkan pedang samurai yang digunakan dalam kes rompak sambil disaksikan Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail (tiga dari kiri) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis. - Foto Eizairi Shamsudin
KANGAR: Polis negeri ini percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun bersenjata di Kedah dan Perlis selepas menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan jenayah itu, di sebuah rumah di Kodiang, Kedah pada 29 September lalu. 
Suspek yang berusia 21 tahun dan 26 tahun itu ditangkap hasil siasatan terhadap satu kes samun di sebuah rumah di Kampung Changkat Kabu, Jelempuk, di sini, pada Hari Raya Aidiladha, 24 September lalu. 
Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail, dalam sidang media hari ini, berkata selain kejadian samun di Jelempuk itu, hasil siasatan mendapati kedua-dua turut terbabit dalam dua kes samun di Kedah pada Julai lalu menggunakan modus operandi yang sama.
"Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki yang didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah ini melakukan samun pada awal pagi menggunakan senjata jenis pedang samurai serta parang bagi menakutkan mangsa. 
"Selain itu, mereka turut menggunakan kenderaan yang sama iaitu sebuah Proton Wira kuning yang tidak ditukar nombor pendaftarannya untuk melakukan kegiatan berkenaan," katanya.

Polis tahan 5 suspek serang pegawai Imigresen

SABTU, 3 OKTOBER 2015 @ 11:15 AM

Oleh Ifwan Tun Tuah
Ifwan@bh.com.my



NILAI: Polis sudah menahan lima individu berhubung kejadian sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen diserang ketika memeriksa sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya, Melaka, Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghalang tugas penjawat awam, terutama kumpulan yang menggunakan tindakan agresif.

"Kita sudah mengenal pasti mereka yang terbabit dengan insiden itu dan semalam, kita menangkap lima orang bagi membantu siasatan. Polis juga sedang memburu beberapa individu lagi yang terbabit.


"Kita akan mengambil tindakan tegas dan tidak boleh menerima tindakan seperti ini dilakukan terhadap penguat kuasa undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Kantin dan pelancaran Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Mantin di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam Rabu lalu, penguat kuasa Jabatan Imigresen terbabit diserang sekumpulan samseng yang dipercayai tidak berpuas hati apabila premis berkenaan diserbu.

Pemandu maut dihempap kren

Oleh Errah Amran


DALAM kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Danial Saad
BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu kren maut selepas tiang kenderaan itu patah dan menghempapnya di tapak projek pembinaan di Jalan Kebun Nanas di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Mayat mangsa kemudiannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda kira-kira 20 minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.
SEORANG pemandu kren maut selepas tiang kenderaan itu patah dan menghempapnya di tapak projek pembinaan di Jalan Kebun Nanas, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Danial Saad
MAYAT mangsa kemudiannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda kira-kira 20 minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam. - Foto Danial Saad

Porsche terbabas di Jambatan Pulau Pinang

Oleh Hadzlihady Hassan

PORSCHE yang terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang, petang tadi. - Foto ihsan pembaca
GEORGETOWN: Seorang lelaki yang memandu kereta sport, Porsche tidak cedera walaupun kenderaannya rosak teruk selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang, petang tadi.
Dalam kejadian itu jam 2.45 petang, pemandu kereta sport mewah terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pulau.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata kemalangan berlaku apabila kereta Porsche yang dipandu lelaki itu hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah sama.
"Kedua-dua kenderaan itu datang daripada arah sama dan kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu.
"Setakat ini kita difahamkan kedua-dua mereka termasuk wanita yang memandu Proton Wira itu tidak cedera," katanya ketika dihubungi.
DALAM kejadian itu jam 2.45 petang, pemandu kereta sport mewah terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pulau. - Foto ihsan pembaca

Bila mahu insaf?

Oleh Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my
Balik Pulau: Walaupun hanya beberapa bulan dibebaskan daripada hukuman penjara, seorang lelaki sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana mengulangi perbuatan mencuri wang tabung surau di Bukit Gedung, Bayan Baru, minggu lalu.


Tertuduh, Shamsul Azlan Saad, 29, awal tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana kesalahan sama dan dia dibebaskan awal tahun ini selepas setahun dipenjarakan.

Namun, tertuduh tidak serik apabila sekali lagi memilih lokasi sama mencuri wang sebelum ditahan penduduk dan diserahkan kepada polis, Isnin lalu.

Shamsul Azlan yang dihadapkan ke mahkamah, semalam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit yang menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadapnya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang masih bujang didakwa mencuri dua tabung di Surau An-Nur, Bukit Gedung, Bayan Baru, jam 5 pagi, Isnin lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:58 AM

SHAMSUL di luar mahkamah selepas mengaku salah mencuri duit tabung surau.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82082#sthash.wvxwd1G4.dpuf

Bakal terburuk


Jakarta: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) memberi amaran, jerebu di rantau ini yang berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia berpotensi menjadi yang terburuk pernah direkodkan.

Sejak beberapa minggu lalu Malaysia, Singapura dan sebahagian Indonesia diliputi jerebu yang berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.


Keadaan itu mengakibatkan tahap kualiti udara merosot ke tahap bahaya dan menyebabkan sekolah serta lapangan terbang terpaksa ditutup.

Jerebu di rantau ini berlaku hampir setiap tahun ketika musim kemarau, tetapi saintis memberi amaran keadaan tahun ini mungkin lebih teruk berbanding 1997.

Sekiranya musim kemarau terus berlanjutan, rantau ini mungkin diliputi jerebu yang lebih tebal mengatasi krisis terburuk pada 1997.

“Keadaan di Singapura dan Sumatera Tenggara menuju krisis jerebu terburuk berbanding 1997,” kata saintis Universiti Columbia, Amerika Syarikat (AS), Robert Field.

Field yang bertugas di Institut Goddard untuk Kajian Angkasa milik NASA memberitahu, krisis tahun ini bakal menjadi yang terburuk direkodkan sekiranya musim kemarau berlarutan.

Fenomena El Nino menyebabkan musim kemarau tahun ini lebih panas dan panjang berbanding biasa.

Pihak berkuasa Indonesia yang bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan berharap musim hujan akan menamatkan krisis berkenaan.

Bagaimanapun, seorang pakar di Indonesia memberitahu keadaan jerebu di rantau ini akan menjadi lebih buruk.

Pusat Kajian Perhutanan Antarabangsa Indonesia, Herry Purnomo berkata, kemuncak musim kemarau dijangka pada bulan depan yang bakal menyebabkan lebih banyak asap.

“Ia belum lagi berakhir,” ujarnya.

Menurutnya, kesan jerebu terhadap ekonomi adalah seburuk krisis 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:21 AM

DUA lelaki berjalan berhampiran pelabuhan Singapura semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82047#sthash.7lkMAxMT.dpuf

Kandas tepi sungai

 Oleh Ramli Ibrahim

am@hmetro.com.my
Gua Musang: “Saya sedar kejadian apabila melihat banyak kenderaan terkandas dan tidak dapat menyeberangi jambatan,” kata Che Mud Ab Ghani, selepas jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, di sini, ditutup akibat ditenggelami air sejak semalam.


Jambatan menghubungkan lebih 600 penduduk yang mahu ke Gua Musang dan Jeli itu ditenggelami air Sungai Nenggiri selepas hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin.

Che Mud, 59, berkata, jam 10 malam kelmarin, masih ada pengguna menggunakan laluan itu selepas air sungai surut, namun tidak menyedari mendapan di tebing sungai.

“Pada jam 7 pagi tadi (semalam) ada kenderaan terkandas. Mulanya saya ingat air sungai naik lagi, namun masalah lebih besar pula iaitu mendapan.

“Kebanyakan pengguna berpatah balik dan melalui Jalan Dabong-Sungai Sam untuk ke Gua Musang. Jalan itu juga boleh menghubungkan Jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zamri Sulaiman, 48, berkata, jambatan sementara dibina pada Mei lalu semakin berbahaya untuk dilalui kerana sisa kayu balak tersangkut di tengahnya selain mendapan di tebing sungai.

Katanya, jambatan bergoyang kuat apabila dilalui kenderaan disebabkan air sungai tidak dapat mengalir dengan sempurna kerana sekatan sisa kayu balak.

“Tidak mustahil jika sisa kayu balak ini tidak dibersihkan dan mendapan tidak ditangani segera, ia roboh seperti mana jambatan asal yang musnah ketika banjir Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis tidak menggalakkan orang ramai menggunakan jambatan sementara berikutan mendapan itu.

Katanya, anggotanya masih ditempatkan di kawasan itu untuk memantau keadaan dan bertindak sekiranya keadaan semakin buruk.

“Kami tutup laluan ini untuk keselamatan semua, namun jika ada yang mahu menyeberanginya, itu atas risiko sendiri,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani ketika dihubungi berkata, beliau maklum mengenai perkara itu dan akan melaporkannya kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) untuk tindakan lanjut.

Jambatan sementara itu dibina dengan kos RM600,000 untuk kegunaan penduduk sebelum jambatan konkrit yang lebih kukuh dibina dengan kos RM40 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:51 AM

ANGGOTA pasukan penyelamat melihat mendapan yang berlaku di jambatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82076#sthash.dyzJ8H5f.dpuf

Lelaki maut dilanggar kenderaan


Seorang lelaki maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 49.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Temangan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Ab Latif Tengah, 58, yang berjalan seorang diri dipercayai dilanggar sebuah kenderaan.


Akibat kemalangan itu, mangsa yang menghidap gangguan mental maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai digilis sebuah kenderaan.

“Mangsa maut di lokasi kejadian kerana cedera parah di seluruh badan dan kepala,” katanya, semalam.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kenderaan yang melanggar mangsa.

“Polis turut meminta saksi tampil memberi maklumat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:48 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82072#sthash.dJs1aIXj.dpuf

Tiada bukti 8 suspek terbabit serangan bom


Masih tidak ada bukti mengaitkan secara langsung lapan suspek ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan lalu dengan serangan bom di Bangkok, Ogos lalu, kata polis Thailand.

“Tidak ada bukti mengaitkan mereka dengan serangan bom itu,” kata jurucakap polis Thai Leftenan Polis Prawuth Thavornsiri.

“Suspek terbabit berkemungkinan mengetahui penyeludupan manusia dari Thailand ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Thailand dan Malaysia sentiasa berhubung dan bertukar maklumat serangan bom di kuil Erawan di tengah Bangkok, 17 Ogos lalu yang membunuh 20 orang dan 130 cedera.

Polis Thai menahan dua warga asing dilaporkan mengaku melakukan serangan bom itu dan memburu 15 lagi termasuk dua rakyatnya, seorang wanita. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:54 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82079#sthash.eV0peMZH.dpuf

Pendakwa ditahan miliki dadah

 Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

mohdhelmi@hmetro.com.my
Seremban: Seorang timbalan pendakwa raya (TPR) di negeri ini diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah di rumahnya di Garden Avenue, Seremban 2, di sini, kelmarin.


Sumber berkata, pegawai undang-undang berusia 34 tahun itu ditahan jam 1 petang oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan IPD Kajang, Selangor.

Beliau berkata, suspek sebelum itu ditahan di Kajang kerana kesalahan sama sebelum serbuan dilakukan di rumahnya di Garden Avenue.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik utama rumah suspek, polis menemui satu peket plastik lut sinar mengandungi methampetamine seberat 1.17 gram.

“Polis merampas dadah berkenaan dan ujian air kencing terhadap penjawat awam itu mendapati dia positif dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek direman mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:05 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82090#sthash.maE1RG2l.dpuf

Sekat ‘emas hitam’

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sumbat dadah di dalam beg tangan, kasut dan anak patung kanak-kanak sebelum diseludup masuk ke Malaysia.


Itu antara taktik digunakan sindiket pengedaran dadah ‘emas hitam’ didalangi 13 warga Afrika yang menyamar sebagai pelajar untuk berada dan menjalankan kegiatan jenayah di negara ini.

Kegiatan licik suspek bagaimanapun dibongkar selepas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman melakukan serbuan di sembilan lokasi berasingan bermula 8 September hingga 30 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menahan 14 lelaki warga Afrika berusia 27 tahun hingga 40 tahun yang bergiat aktif menyeludup masuk pelbagai jenis dadah berasal dari China.

“Serbuan dilakukan di Sentul, Bukit Jalil, Cyberjaya, Sri Kembangan, Sri Damansara, Bukit Jelutong, Pelabuhan Klang dan Bandar Baru Bukit Puchong,Selangor.

“Sindiket itu menyeludup dadah jenis syabu, heroin dan kokain menggunakan perkhidmatan kurier yang disembunyikan di dalam kasut, beg tangan dan anak patung,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, disini, semalam.

Beliau berkata, polis merampas dadah syabu seberat 16 kilogram (kg), heroin (250 gram) dan kokain (75 gram).

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM5 juta.

“Hasil siasatan, lapan daripada suspek mempunyai visa pelajar, namun menyalahgunakan visa.

“Polis percaya dadah itu turut dieksport ke Australia dan Indonesia berikutan harganya lebih mahal di negara itu,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek direman tujuh hari.

“Kejayaan ini hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Drug Enforcement Administration (DEA) Amerika Syarikat. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:07 AM

MOHD Mokhtar menunjukkan dadah yang disorok dalam kasut, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82092#sthash.AVWGtOJo.dpuf

Senoi Praaq menjejak

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

maiamalina@hmetro.com.my
Kota Bharu: Khidmat anggota Senoi Praaq Pasukan Gerakan Am (PGA) digunakan sebagai perantara dengan masyarakat Orang Asli suku Temiar bagi mengesan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang yang hilang, lebih sebulan lalu.


Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, 43 anggota itu menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) sejak minggu lalu.

“Operasi ini menerima tambahan satu platun Senoi Praaq dan mereka diketuai seorang pegawai.

“Kami gunakan khidmat mereka untuk menjadi orang perantara bagi mengumpul maklumat kerana ada sebahagian anggota berasal daripada suku Temiar juga.

“Seramai 15 orang daripadanya masuk ke hutan tadi (semalam) dan selebihnya ke sektor pencarian lain termasuk kampung,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 23 Ogos, tujuh murid berusia antara tujuh hingga 11 tahun hilang selepas melarikan diri dari asrama sekolah dipercayai untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Penad dan Gawin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika kunjungannya minggu lalu memberitahu operasi SAR tetap diteruskan sehingga mangsa ditemui meskipun operasi melebihi 40 hari.

Saiful Bahri berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di bandar dan kawasan berdekatan namun tidak mahu mendedahkannya kerana enggan mengganggu siasatan.

“Dari awal kami memang menjalankan risikan sebagai sebahagian usaha mencari, tapi tidak mahu mendedahkannya terlalu banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:08 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82093#sthash.986ds86f.dpuf

Mati bina banglo

Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pekerja binaan warga Indonesia maut tertimbus ketika sedang menjalankan kerja pembinaan sebuah banglo di Bukit Damansara Height di sini.


Dalam kejadian jam 4.40 petang semalam, mangsa dikenali sebagai Samuji, 31, berasal dari Bangkalan, Jawa Timur terperangkap di bawah timbunan tanah sejurus berlaku runtuhan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas diarahkan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak kami dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum kerja mengeluarkan mayat mangsa dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan pada pihak polis pada jam 5.51 petang sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Nahas terbaru itu mengulangi kejadian sama selepas seorang pekerja pembinaan warga Pakistan maut manakala rakannya, lelaki warga Myanmar cedera parah akibat tertimbus ketika menjalankan tugas menggali lubang di Jalan Jelatek di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 30-an terperangkap di dalam lubang sedalam lebih dua meter sejurus berlaku runtuhan tanah ke dalam lubang itu.

Difahamkan, lokasi berkenaan adalah tapak pembinaan laluan terowong yang menghubungkan Jalan Jelatek dan Jalan Kampung Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:10 AM

MANGSA tertimbus di tapak pembinaan banglo di Bukit Damansara Height, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82095#sthash.VGUgkQ0i.dpuf

Tembak dari kelas ke kelas


Roseburg: Lelaki bersenjata yang mengamuk dengan melepaskan tembakan di Kolej Komuniti Umpqua, di kenali sebagai Chris Harper Mercer, 26, bergerak dari kelas ke kelas lain sambil melepaskan tembakan membunuh 10 orang dan mencederakan tujuh lagi sebelum dia terbunuh ketika berbalas tembak dengan polis.

Sheriff Daerah Douglas, John Hanlin, berkata 10 orang terbunuh dan tujuh lagi cedera parah.


Seorang lelaki yang anak perempuannya cedera memberitahu CNN, lelaki bersenjata itu yang tidak belajar di kolej berkenaan, mengarahkan pelajar berdiri jika mereka beragama Kristian dan menembak mereka.

“Mereka berdiri dan lelaki itu berkata ‘Bagus kerana anda Kristian dan akan berjumpa Tuhan beberapa saat lagi’” kata Stacy Boylan yang memetika cerita anaknya, Ana.

Menurutnya, anaknya yang terselamat dengan berpura-pura mati, memberitahu lelaki itu menyerbu masuk ke dalam kelas dan menembak pensyarah mereka dari jarak dekat.

Pelajar kolej itu, Cassandra Welding, berkata dia mendengar antara 35 hingga 40 tembakan dari kelas sebelah dan nampak pelajar terkena tembakan ketika membuka pintu untuk melijat apa yang berlaku.

“Kami menutup dan mengunci pintu, padamkan lampu dan dalam keadaan panik menghubungi talian 911 serta ibu bapa mengucapkan selamat tinggal kepada mereka,” katanya.

Presiden Barack Obama yang amat berang dengan kejadian itu, menempelak Kongres kerana gagal menghalang kejadian seperti itu terutama undang-undang kawalan senjata api.

“Ia kini menjadi rutin. Kita bagaikan sudah lagi dengan kejadian seperti ini.

“Kita satu-satunya negara paling maju di Bumi yang dapat melihat kejadian tembakan beramai-ramai seperti ini setiap beberapa bulan,” katanya.

Hanlin berkata, polis menerima panggilan pada jam 10:38 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua anggota polis mengepung lelaki itu lalu berbalas tembak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 3:57 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/81889#foto

11 korban nahas C-130 Amerika


Jalalabad, Afghanistan: Sebuah pesawat pengangkut C-130 milik tentera udara Amerika Syarikat terhempas di timur Afghanistan menyebabkan 11 terbunuh termasuk enam tentera NATO hari ini.

NATO sedang berusaha memastikan punca pesawat itu terhempas dekat Jalalabad sama ada akibat cuaca, masalah teknikal atau ditembak musuh.

Kolonel Brian Tribus dari Tentera Darat Amerika berkata, enam tentera Amerika dan lima kontraktor awam terbunuh dalam nahas itu.

Menurutnya, kontraktor terbabit menyediakan keperluan sokongan kepada misi latihan diketuai NATO.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid melalui Twitter mendakwa pihaknya menembak jatuh pesawat itu.

Namun Mejar Tony Wickman dari Tentera Amerika menegaskan pihaknya yakin pesawat itu terhempas bukan disebabkan tembakan musuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 4:31 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/81893#sthash.dMedl3xB.dpuf

Berang tabung kosong

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

rnorain@hmetro.com.my
Maran: Berang tabung yang diumpilnya tidak mempunyai wang, seorang pencuri tergamak menyelerakkan al-Quran dan bahan bacaan di Masjid An-Nur, Felda Jengka 12, di sini, kelmarin.


Kejadian disedari ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan jam 5 pagi ketika hadir menunaikan solat Subuh sebelum terkejut melihat keadaan dalam masjid bersepah.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, suspek yang berusia 40 tahun pada mulanya masuk ke dalam masjid untuk mencuri duit tabung.

“Suspek masuk menerusi pintu tidak berkunci dan cuba mengumpil tabung masjid, namun berang apabila tabung di ruang solat tidak berisi.

“Suspek bertindak menyelerakkan barangan dalam masjid termasuk al-Quran, sejadah dan telekung, malah beberapa barangan di dalam masjid turut dirosakkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:36 AM

AL-QURAN dan bahan bacaan diselerakkan suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82057#sthash.S01g4D6O.dpuf

Padah mabuk dalam pesawat


Seoul: Sembilan warga Russia terdiri daripada atlet, jurulatih dan wartawan dihantar pulang sebaik mendarat di Korea Selatan kerana mabuk dan menimbulkan kekacauan dalam penerbangan ke Seoul.

Menurut polis, kumpulan itu dilarang masuk sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon menaiki pesawat Korean Air untuk pertandingan sukan tentera.

Mereka dikatakan membuat bising dan menghalang laluan di dalam pesawat selepas anak kapal berhenti menghidangkan minuman keras kepada mereka.

Polis berkata, kumpulan itu turut membabitkan dua perenang wanita. Mereka sepatutnya bertanding pada kejohanan Sukan Tentera Sedunia di Mungyeong, semalam.

Kementerian Kehakiman mengesahkan kumpulan berkenaan dihantar balik, semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82033#sthash.hIaDB3xz.dpuf

Didakwa kerana komen di Facebook


Phnom Penh: Seorang senator pembangkang Kemboja dibicarakan semalam bagi kenyataan yang dibuat di Facebook mengkritik perjanjian sempadan dengan Vietnam berusia 36 tahun.

Hong Sok Hour berdepan hukuman penjara sehingga 17 tahun dan ditahan pada 15 Ogos lalu sebagai sebahagian daripada beberapa tindakan diambil terhadap penentang Perdana Menteri Hun Sen.


Pada awal prosiding, senator dari Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja itu memohon dibenarkan jaminan kerana menghidap darah tinggi selain masalah perubatan lain yang memerlukan rawatan serta ubat tertentu yang sukar diterima di dalam penjara.

“Saya tidak akan lari jika dibenarkan jaminan,” katanya.

Hakim Ros Piseth bagaimanapun menolak permohonannya itu.

Hong ditahan selepas Hun Sen menuduhnya derhaka kerana memuat naik kenyataan itu yang turut termasuk teks didakwa daripada perjanjian pada 1979 dengan Vietnam yang kononnya mengisytiharkan sempadan bersama dua negara itu akan dibubarkan.

Hun Sen yang menjadi menteri luar pada tahun berkenaan - ketika kerajaan Kemboja dilantik pasukan tentera Vietnam yang menjajah negara itu - menegaskan perkara itu satu penipuan.

Hong didakwa atas tiga tuduhan iaitu memalsukan dokumen awam, menggunakan dokumen palsu dan menghasut kekacauan. Setiap tuduhan masing-masing membawa hukuman maksimum 10, lima dan dua tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:16 AM

HONG (kiri) senyum ketika dibawa ke mahkamah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82036#sthash.we8nSfYd.dpuf

Wakil rakyat dituduh dera pembantu rumah


Jakarta: Seorang wakil rakyat Indonesia didakwa mendera pembantu rumahnya sehingga menyebabkan mangsa mengalami banyak kesan luka pada tubuhnya.

Ketua Agensi Perlindungan Mangsa dan Saksi (LPSK), Lili Pintauli Siregar berkata, beberapa rakan wanita itu kelmarin menghantar mangsa kepada agensi berkenaan.


“Mangsa kini berada di bawah perlindungan kami.

“Dia cedera di bahagian badan termasuk telinga dan kepala,” katanya.

Lili enggan mendedahkan nama wakil rakyat itu, tetapi memberitahu pihaknya membawa mangsa membuat laporan polis.

Katanya, punca majikan wanita itu mendera dan memukul mangsa tidak diketahui.

“Kami bekerjasama dengan polis bagi memastikan dakwaan mangsa disiasat dengan teliti,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:20 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82045#sthash.TBahgnnv.dpuf

38 jemaah Indonesia masih hilang


Jeddah: Jumlah jemaah haji Indonesia yang terkorban dalam tragedi rempuhan di Mina pada Khamis minggu lalu meningkat kepada 91 orang selepas 32 lagi mangsa dikenal pasti.

Perkembangan itu menjadikan jumlah jemaah dari negara berkenaan yang masih belum ditemui ialah 38 orang.

Ketua Kementerian Agama Indonesia di Arab Saudi, Arsyad Hidayat berkata, pihaknya kini berusaha mengesan baki jemaah yang belum ditemui.

“Kami menemui 32 jenazah iaitu 31 jemaah dari Indonesia dan seorang warga Indonesia yang tinggal di Arab Saudi,” katanya.

Arsyad berkata, tiga jemaah termasuk dalam senarai mereka yang hilang ditemui selepas kembali ke penempatan masing-masing.

Menurutnya, pasukan pengecaman mangsa bencana polis Indonesia tiba di Arab Saudi untuk membantu proses mengenal pasti mayat.

“Saya berharap dengan bantuan pasukan pakar ini jenazah jemaah Indonesia dapat dikenal pasti dengan segera,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:20 AM

Pesawat bawa 10 penumpang hilang di Sulawesi


Jakarta: Sebuah pesawat Indonesia yang membawa 10 penumpang terputus hubungan dari menara kawalan ketika penerbangan di Sulawesi semalam, kata pegawai.

Pesawat Twin Otter DHC-6 milik syarikat penerbangan Aviastar Mandiri itu terputus hubungan pada jam 2.29 petang (waktu tempatan) tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Masamba di Luwu Utara menuju ke Makassar.

Ketua agensi bantuan dan menyelamat Indonesia, Bambang Sulistyo berkata, usaha mencari dan menyelamat mungkin dilakukan pada pagi ini.

“Kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai kejadian ini.

“Saya dan pasukan mencari dan menyelamat akan segera ke Masamba.

“Keadaan di kawasan itu sudah gelap, tetapi keputusan boleh berubah bergantung pada perkembangan terbaru,” katanya.

Pesawat dua enjin itu membawa tiga kru, empat penumpang dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi.

Ia dijangka tiba di Makassar sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Masamba.

Pengurus besar Lapangan Terbang Makassar, Abdul Munir berkata, pesawat itu terputus hubungan lapan minit selepas berlepas.

Pesawat itu dilaporkan berlepas ketika cuaca baik.

Indonesia mempunyai rekod penerbangan yang buruk dan tragedi terbaru pada Ogos lalu menyebabkan 54 penumpang maut apabila pesawat dinaiki mereka terhempas di kawasan hutan di Oksibil Papua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:20 AM


PESAWAT Twin Otter DHC-6 milik Aviastar Mandiri yang dilaporkan hilang.

Ayah jumpa anak mati tergantung


WARTAWAN SINAR HARIAN
Ayah jumpa anak mati tergantung

3 OKTOBER 2015
Ayah jumpa anak mati tergantung Orang ramai berkumpul di depan rumah mangsa setelah mendapat tahu mengenai penemuan mayatnya.

KUALA KRAI - Seorang lelaki warga Myanmar berusia 20 tahun ditemui mati tergantung di depan rumahnya di Guchil Empat, di sini, pagi semalam.

Mayat mangsa yang mempunyai kad pengenalan sementara Malaysia ditemui oleh bapanya pada jam 7 pagi, ketika membuka pintu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mayat mangsa ditemui tergantung menggunakan tali nylon yang diikat di anjung rumah berkenaan.

"Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa didapati tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga atau rakan-rakannya.

"Bagaimanapun, pihak keluarga memaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah mental selepas terlibat dalam kemalangan sebelum ini," katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.