Search This Blog

Tuesday, September 29, 2015

Empat Perompak Larikan Barang Kemas


Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 4:02 PM

BUTTERWORTH: Empat perompak yang memakai jaket hitam dan menutup muka mereka dengan helmet berjaya melarikan diri bersama beberapa dulang barang kemas dalam insiden rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Medan Kurau 1, Taman Chai Leng di sini.
Difahamkan, perompak tersebut tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Selasa dengan menggunakan dua motosikal.
Tiga daripada suspek meluru masuk ke dalam kedai emas tersebut.
Dua suspek bersenjatakan tukul besi.
Mereka memecah panel kaca untuk mengambil barang kemas tersebut manakala seorang lagi bersenjatakan sepucuk pistol membantu dua suspek itu dari dalam kedai tersebut.
Suspek keempat menunggu di luar kedai emas terbabit dengan dua senjata di tangannya.

Muatan Paip Konkrit Jatuh, Lima Kenderaan Rosak


Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 7:00 AM

KUALA LUMPUR: Muatan batang paip konkrit yang dibawa sebuah lori terjatuh dan pecah di atas jalan di bawah jejambat di Kilometer 305.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat kawasan rehat Serdang menghala ke Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, berkata lima kereta di belakang lori itu tidak sempat berhenti dan terlanggar konkrit yang jatuh itu.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.45 pagi itu, batang paip itu terlanggar jejambat berkenaan akibat disusun melebihi had tinggi jejambat.
Muatan itu terburai dari ikatan lalu jatuh ke atas jalan.
"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala kesemua pemandu kereta terselamat dan hanya kenderaan mereka yang mengalami kerosakan," katanya.
Beliau berkata batang paip yang jatuh dan serpihan konkrit yang bertaburan di atas jalan sudah dibersihkan.

Suspek Turut Terbabit Dalam Serangan Bom Bermotif Politik - Polis Thailand


Diterbitkan: Isnin, 28 September 2015 11:03 PM

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan politik di dalam negara sebagai motif di sebalik serangan bom di Bangkok pertengahan bulan lepas, sungguhpun tindakan tegas terhadap kegiatan pemerdagangan manusia juga mungkin menjadi motif. 
Seorang daripada suspek yang masih bebas, Yongyuth Pobkaew, dipercayai terbabit dalam serangan bom bermotifkan politik pada 2010 dan 2014, kata Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Pumpanmuang.
"Kami tidak memerangkap sesiapa memandangkan kami mempunyai bukti ke arah itu dan fakta yang diperoleh para pegawai penyiasat," kata Somyot dalam sidang akhbar di sini, Isnin.
Beliau berkata, pasukan siasatan mendapati bukti yang mengaitkan Yongyuth kepada serangan bom berhampiran kuil Erawan dan Jeti Sathorn di Bangkok bulan lepas.
Yongyuth mempunyai kaitan dengan serangan bom pada Ogos dan dua lagi serangan bom semasa politik Thailand dilanda konflik besar-besaran, di daerah Minburi di Bangkok pada 2014, dan di Samanmeta, wilayah Nonthaburi pada 2010, kata Somyot.
Siasatan lanjut, katanya, diperlukan untuk mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan politik di dalam negara.
"Itulah sebabnya saya katakan kes ini adalah kes dua kumpulan yang mempunyai matlamat sama. Satu kumpulan boleh menggunakan kumpulan yang lain, dan selepas itu mereka sama-sama mendapat manfaatnya," katanya.
Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa serangan bom itu mempunyai kaitan dengan politik Thailand dan tindakan tegas pihak berkuasa Thailand ke atas kegiatan penyeludupan manusia, namun motif yang sering dinyatakan adalah penghantaran pulang puak Uighur ke China awal tahun ini.
Sementara itu, jurucakap polis Thailand, Lt Jeneral Polis Prawuth Thavornsiri berkata, dalam serangan kali ini, Yongyuth bertanggungjawab dalam menyediakan sokongan dan bahan untuk membuat bom.
Terdapat 15 suspek yang masih bebas, terdiri daripada 13 warga asing dan dua warga Thailand.

Serangan Bangkok: Polis Thailand Dedah Identiti Dua Individu


Diterbitkan: Isnin, 28 September 2015 10:00 PM
Lokasi insiden letupan bom di Kuil Erawan di Bangkok pada 17 Ogos lalu.

BANGKOK: Polis Thailand secara rasmi mengumumkan identiti dua lelaki yang disyaki bertanggungjawab dalam dua serangan bom berasingan di Bangkok bulan lepas. 
Lelaki berbaju kuning yang bertanggungjawab bagi serangan berdarah berhampiran kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di tengah-tengah Bangkok pada 17 Ogos dikenal pasti sebagai Bilal Mohammed, manakala pengebom berbaju biru di Jeti Sathorn pada hari berikutnya dikenali sebagai Zubair.
Bilal, sebelum ini dikenali sebagai Adem Karadag, ditahan pada 29 Ogos di Apartmen Poonanan di daerah Nong Chok, Bangkok, selepas polis mengesan panggilan telefonnya, kata Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Pumpanmuang, pada sidang akhbar di ibu pejabat Polis Diraja Thailand di sini, Isnin.
Bilal pada mulanya ditahan kerana memiliki bahan membuat bom dan selonggok pasport Turki palsu yang kosong.
Penahanan Bilal membawa kepada penahanan seorang lagi suspek utama kes itu, Yusufu Mieraili, seorang Islam dari Xinjiang, China.
Yusufu ditahan di kawasan sempadan Thai-Kemboja di daerah Aranyapratet, wilayah Sakaew, pada 1 September ketika dia cuba melarikan diri ke Kemboja.
Bagaimanapun, Zubair, pengebom berbaju biru yang bertanggungjawab bagi serangan bom di Jeti Sathorn di Bangkok, adalah antara 15 suspek yang dikehendaki pihak berkuasa tetapi masih belum ditangkap, kata Somyot, dan menambah dua daripada suspek itu adalah warga Thailand.
Serangan bom berhampiran kuil Erawan itu mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan mengakibatkan 130 orang lagi cedera.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Chakthip Chaijinda berkata, Bilal tidak melarikan diri dari Thailand selepas serangan bom itu disebabkan dia sedang menunggu wang daripada dalang di sebalik serangan itu. - Bernama

Taufan Dujuan: Dua Terbunuh, Beratus Lagi Cedera


Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 11:44 AM

TAIPEI: Taufan Dujuan yang melanda Taiwan mengakibatkan dua penduduk maut manakala 300 lagi dcedera, lapor pihak berkuasa pada Selasa.
Selain itu, hampir setengah  juta penduduk kini terpaksa bergelap apabila terputus bekalan elektrik kerana taufan itu turut merosakkan  pencawang utama.
Taufan Dujuan dilapor turut membadai kawasan di China yang bersempadan dengan Taiwan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, ramai penduduk di Taiwan cedera akibat terkena serpihan yang dibawa taufan berkenaan.
Pusat Operasi Kecemasan pula memberitahu, seramai dua penduduk terbunuh manakala 324 lagi cedera terkena serpihan pokok, kaca dan lain-lain lagi.
Seramai 12,000 penduduk telah dipindahkan dan daripada jumlah itu sebanyak 3,000 ditempatkan di pusat penempatan sementara.
Antara penduduk yang mengalami risiko tinggi ialah masyarakat Orang Asli di pergunungan Taiwan kerana angin kuat akan menyebabkan pokok tumbang dan tanah runtuh.

Bot Karam: 20 Penumpang Dikhuatiri Lemas


Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 1:43 PM

GUWAHATI, India: Seramai 20 orang dikhuatiri lemas selepas sebuah bot karam di Sungai Kolohi di sini pada Isnin.
Pegawai Daerah, Vinod Seshan berkata, bot yang membawa hampir 100 penumpang itu dalam perjalanan ke Assam untuk menyaksikan perlumbaan bot.
Bagaimanapun ketika melalui lokasi kejadian, bot berkenaan dikatakan sukar dikawal kerana hujan lebat sebelum terbalik dan karam.
Pasukan penyelamat telah dikerahkan untuk mencari dan menyelamat mangsa.
"Ketua kampung yang berjaya melompak keluar dari bot itu memberitahu sejumlah 80 orang berjaya menyelamatkan diri.
"Tetapi bakinya sejumlah 20 orang lagi dikhuatiri lemas selepas gagal dikesan," jelasnya.

Bunuh: Bekas penuntut kolej ke tali gantung


TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
29 SEPTEMBER 2015
SHAH ALAM - Bekas penuntut Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) yang menghadapi tuduhan membunuh pensyarahnya tiga tahun lalu dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Muhammad Safwan Mohammad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

Muhammad Safwan, 23, bersalah membunuh Zara Eleena Omar Peter, 23, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan pensyarah Bahasa Inggeris di KTAC, antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Kesalahan itu dilakukan di No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.

Pendakwaan dikendalikan oleh Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada 12 Ogos 2014, Muhammad Safwan dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh Zara dan bapa pensyarah itu, Omar Peter Abdullah, 56, pesara syarikat kewangan antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokan harinya tanpa perlu dipanggil membela diri.

Pada 30 Julai lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap  Muhammad Safwan atas pertuduhan membunuh Zara Eleena.

Tiga panel hakim  diketuai  Datuk Aziah Ali turut mengekalkan hukuman mati terhadap rakan Muhammad Safwan,  Mohamad Zul Shahril, 22, Mohamad Sharafe, 21, dan Azizi Aizat, 22.

Muka pucat terkejut kena serbu


NUR FARHANA ABDUL MANAN
Muka pucat terkejut kena serbu

29 SEPTEMBER 2015
Muka pucat terkejut kena serbu Antara yang ditahan ketika operasi semalam.
PUCHONG - Pelayan pelanggan (GRO) yang asyik membelai pengunjung sebuah pusat hiburan di sini pucat lesi selepas premis diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, lewat malam semalam.

Ketika serbuan, GRO warga Vietnam terbabit leka memeluk pasangan masing-masing, manakala sebahagian lain menari dan menikmati minuman keras sambil menikmati alunan muzik rancak.

Pegawai Pencegahan D7 IPD Serdang , Asisten Superintendan Roslin Mohd Isa berkata, pihaknya menyerbu premis di Pusat Bandar Puchong kira-kira jam 10.30 malam selepas menerima aduan dan membuat risikan.

Premis yang sudah beberapa kali diserbu sebelum ini tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

Maut digilis ketika mahu lihat kereta dilanggar


28 SEPTEMBER 2015
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut setelah digilis beberapa kenderaan ketika mangsa ingin memeriksa keretanya yang dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan di Kilometer 67, Lebuh Raya Utara-Selatan semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham yang mengesahkan kejadian itu berkata, ketika kejadian kira-kira 9 malam itu, Iskandar Muda Usman, 49, turun dari keretanya di lorong sebelah kanan setelah keretanya dilanggar oleh sebuah kereta Proton Iswara dari arah belakang.

"Iskandar yang ingin memeriksa keadaan keretanya itu pula dilanggar kereta yang dipandu Ng Chien Wen yang cuba mengelak Proton Iswara menyebabkan mangsa tercampak ke jalan bertentangan dan kemudiannya digilis oleh beberapa kenderaan lain," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan keadaan badannya hampir hancur digilis.

Sementara itu, Ng, 19, cedera parah dan dirawat di Hospital Kluang manakala pemandu Proton Iswara, Yusri Mat Akhid, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan, kata beliau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Penjenayah tertembak rakan ketika bergelut


29 SEPTEMBER 2015

PETALING JAYA - Percubaan sekumpulan empat lelaki untuk menyamun di Mentari Court, Sungai Way di sini, malam tadi mengundang padah apabila seorang daripada mereka ditembak rakan sendiri semasa bergelut dengan mangsa.  
 
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, dalam kejadian 7.48 malam itu, mangsa lelaki yang berjalan ke tempat letak kereta di pangsapuri berkenaan didatangi empat suspek warga tempatan yang menaiki kenderaan jenis Perodua Viva.
 
Seorang suspek dalam kereta itu keluar lalu mengertak mangsa supaya menyerahkan beg sandang dan cincinnya sambil mengacukan pistol ke perut mangsa.
 
Mangsa tidak mahu mengalah dan sebaliknya cuba merampas pistol itu menyebabkan berlaku tarik menarik yang mengakibatkan satu das tembakan dilepaskan dan terkena suspek lain yang keluar daripada kereta untuk membantu rakannya, kata beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Azmi berkata, suspek cedera di paha kanan manakala tiga lagi rakan suspek bertindak melarikan diri meninggalkan rakan yang cedera itu.
 
"Polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada mangsa dan berjaya menahan suspek yang cedera," katanya sambil menambah suspek berusia 22 tahun itu merupakan penagih dadah dan pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini.
 
Bagaimanapun, cincin mangsa yang bernilai RM2,000 berjaya dilarikan tiga rakan suspek itu.
 
"Polis turut merampas sepucuk pistol, tiga peluru, satu kelongsong peluru, dan dua telefon bimbit daripada suspek.
 
"Suspek kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan polis juga sedang giat mengesan tiga lagi rakannya," katanya.
 
Azmi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Berat (FIPA) 1971.  – Bernama

Menyamar polis untuk menyamun


29 SEPTEMBER 2015


PETALING JAYA - Dua lelaki ditahan selepas menyamun sepasang suami isteri warga Indonesia dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di Kampung Pandan, Ampang tengah malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 28 tahun itu telah pergi ke rumah sewa mangsa kira-kira 11.45
malam dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan pasangan itu kononnya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
 
"Suspek kemudiannya membawa pasangan suami isteri itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve dan dalam perjalanan suspek telah meminta wang dan mangsa telah menyerahkan RM400," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini.
 
Khairuldin berkata mangsa kemudiannya memberitahu pemilik rumah sewanya mengenai perkara itu dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kira-kira jam 12.30 tengah malam.
 
"Polis kemudian telah menjalankan serbuan dan menahan suspek pertama yang bekerja sebagai pengawal peribadi manakala seorang lagi suspek ditahan tidak lama selepas itu.  
 
"Semasa ditahan, polis telah merampas antaranya sepucuk pistol pada badan suspek pertama, sebuah beg galas, satu kelopak berisi lapan peluru dan kunci kereta Preve.
 
"Polis juga merampas kereta Preve dipercayai digunakan dalam kejadian itu dari suspek kedua," katanya.
 
Khairuldin berkata, hasil semakan mendapati senjata api itu didaftarkan atas nama suspek pertama dan milik sebuah syarikat kawalan keselamatan.
 
"Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku telah melakukan jenayah sama di sekitar kawasan itu sebelum ini," katanya sambil menambah kedua-duanya kini ditahan reman. - Bernama

Kumpulan ragut 'Geng Sentosa' tumpas


24 SEPTEMBER 2015


SIBU – Kumpulan ragut 'Geng Sentosa' di bandar ini tumpas apabila tiga anggotanya diberkas baru-baru ini, kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi.
 
Beliau berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 31 tahun dan berasal dari Kampung Usahajaya, Jalan Sentosa.
 
Namun pihak polis sedang memburu seorang lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas, katanya.
 
Kumpulan berkenaan terbabit dalam 13 kes ragut di sekitar bandar Sibu.
 
Beliau berkata, anggota geng tersebut sering menunggang dua buah motosikal dan mencari mangsa yang terdiri daripada golongan wanita dan warga emas.

Mohd Kamal berkata ketiga-tiga suspek tersebut mempunyai rekod berkaitan dadah.
 
Sementara itu beliau berkata seramai 15 individu termasuk lima wanita berusia antara 18 hingga 39 tahun ditahan di sebuah pusat hiburan dan sebanyak 105 biji ecstasy, 48 biji erimin, ketamin (5.39 gram) dan syabu (0.62 gram) turut dirampas.  - Bernama

Terkejut terima saman motosikal


WARTAWAN SINAR HARIAN
Terkejut terima saman motosikal

29 SEPTEMBER 2015
Terkejut terima saman motosikal Norazlin menunjukkan laporan polis dan nombor pendaftaran keretanya yang disalah guna sehingga menyebabkan dua saman dikenakan ke atasnya.

BANDAR KUALA KANGSAR - Seorang guru terkejut apabila menerima surat saman ke atas keretanya dari Kuala Lumpur sedangkan dia berada di Kuala Kangsar sejak beberapa bulan lalu.

Norazlin Adam, 38, berkata, dia hairan apabila surat saman ke atas keretanya sampai di rumah walhal sudah agak lama dia dan keluarga tidak ke Kuala Lumpur.

Semasa mula menerima surat tersebut, dia merasakan mungkin suaminya ada tersalah parkir namun mula berasa hairan apabila kenderaan yang di saman adalah motosikal.

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, dia segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar bagi melaporkan perkara tersebut.

“Saman yang diterima adalah kesalahan meletak kenderaan di tempat salah bagi kereta saya yang bernombor pendaftaran AGS 1162. Pada tarikh tersebut, saya pasti saya berada di Kuala Kangsar.

“Selepas diperiksa, didapati ada dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran kereta saya dan itu punca saman tersebut sampai ke rumah.

“Laporan telah dibuat dan kini hanya menunggu siasatan lanjut daripada pihak berkuasa. Dari segi saman pula, ia telah dibatalkan, lega rasanya,” katanya.

Dalam pada itu, suaminya, Abdul Momin Khushairy, 40, berkata, laporan polis dibuat bagi memastikan tiada masalah timbul pada masa akan datang.

Menurutnya, dia khuatir sekiranya individu yang menggunakan nombor plat kereta isterinya itu melakukan jenayah lantas perkara tersebut akan terpalit kepada dirinya dan keluarga.

“Sebelum ini pun sudah ada banyak kes nombor pendaftaran kenderaan disalah guna oleh orang lain. Jadi, saya enggan perkara tersebut terjadi kepada saya.

“Mujur perkara ini dapat dikesan awal, sekurang-kurangnya jumlah saman tidak banyak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Momin berkata, dia berharap perkara itu dapat diselesaikan segera kerana dia enggan surat saman sampai ke rumahnya selepas ini.

“Rasanya, cukuplah dua saman dikeluarkan atas nombor pendaftaran kereta isteri saya. Diharapkan pihak berkuasa dapat menyelesaikan kes ini dengan segera.

“Kepada individu yang gunakan nombor pendaftaran AGS 1162, saya minta mereka ganti nombor tersebut kerana ia menyusahkan saya dan keluarga,” katanya.

Tertipu lebih RM10 juta


WARTAWAN SINAR HARIAN
Tertipu lebih RM10 juta

29 SEPTEMBER 2015
Tertipu lebih RM10 juta Lebih 40 pelabur mengadakan bantahan aman di hadapan premis syarikat pelaburan berasaskan ikan arowana di Kampung Tebuk Panchur, Bukit Merah.
Tertipu lebih RM10 juta

GUNUNG SEMANGGOL - Harap pegar, pegar makan padi.

Demikian nasib menimpa lebih 40 pelabur sebuah skim pelaburan ikan arowana yang ditawarkan sebuah syarikat pengusaha ikan itu di Bukit Merah, di sini apabila kempunan menerima sebarang laba pelaburan sebagaimana dijanjikan sejak empat tahun lalu.

Lebih menyedihkan, kesemua pelabur berkenaan kini bingung memikirkan status pelaburan mereka setelah pemilik syarikat didakwa gagal memberi maklum balas selain enggan bersemuka dengan mereka sejak setahun lalu.

Berikutan itu, kesemua pelabur berkenaan mengadakan pertemuan khas di premis kolam ikan arowana milik syarikat itu di Kampung Tebuk Panchur, di sini sebelum membuat laporan polis ke atas pemilik syarikat atas dakwaan menipu wang pelaburan mereka berjumlah lebih RM10 juta.


Tangguh beli rumah

Wakil pelabur, Zuraya Mohd Noor, 41, berkata, pada akhir 2011, dia tertarik untuk menyertai skim pelaburan ikan arowana ditawarkan syarikat itu melalui iklan pelaburan disiarkan akhbar tempatan.

Setelah berbincang dengan keluarga, Zuraya yang berasal dari Kuala Lumpur bersetuju untuk menangguhkan hasrat pembelian sebuah rumah dan menggunakan wang simpanan itu bagi menyertai skim pelaburan berkenaan.

“Saya menggunakan wang simpanan bernilai RM40,000 untuk menyertai pelaburan itu dan dijanjikan minimum pulangan keuntungan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Berdasarkan penerangan pemilik syarikat, nilai wang pelaburan saya itu bersamaan dengan dua ekor ikan induk Malaysian Golden Arowana Highback yang didakwa berharga hampir RM20,000 setiap satu.

“Jadi, dua ekor ikan arowana induk itu akan ditempatkan di dalam sebuah kolam ikan khas yang bakal dipantau rapi oleh pekerja syarikat berkenaan, selain ikan terbabit turut dipasang cip pengesan kononnya bagi mengelakkan terkeliru dengan ikan milik pelabur lain,” katanya pada sidang media di premis kolam ikan arowana syarikat berkenaan di Kampung Tebuk Panchur, di sini.

Zuraya berkata, setiap kolam ikan arowana diselia syarikat berkenaan difahamkan akan ditempatkan 10 ekor ikan arowana induk milik pelabur dan sentiasa dipantau sehingga ikan induk berkenaan bertelur dan melahirkan anak ikan.

Menurutnya, pemilik syarikat pelaburan itu memberi jaminan sekurang-kurangnya seekor anak ikan induk berukuran empat inci dilaburkannya akan dapat dijual setiap bulan dengan harga sekurang-kurangnya RM1,500.

“Namun, selepas setahun berlalu, kami masih tidak menerima sebarang pulangan sebagaimana dijanjikan dan setiap kali kami hadir ke kolam syarikat, penyelia kolam sekadar memberi alasan ikan induk saya gagal bertelur.

“Lebih kurang dua tahun kemudian, saya dan suami pula tidak dibenarkan hadir melawat ikan arowana yang dilabur atas pelbagai alasan tidak munasabah.

“Lebih kesal, sejak setahun lalu, kami gagal menghubungi pemilik syarikat bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.


Kempunan duit pulangan

Seorang pelabur, Muhammad Zainon, 53, dari Sungai Petani, Kedah mendakwa dia kempunan menerima pulangan pelaburan bernilai paling kurang RM500,000 setelah dijanjikan tawaran pelaburan sedemikian oleh pemilik syarikat.

Menurutnya, dia melaburkan RM120,000 bagi menyertai skim pelaburan syarikat dan dijanjikan pulangan semula wang modal dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Saya juga diberi jaminan setiap ikan arowana yang diselia syarikat berkenaan akan dipantau keselamatannya secara rapi termasuk penyediaan kamera CCTV di setiap kolam.

“Pemilik syarikat itu turut menjanjikan pulangan pendapatan sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan kepada saya berdasarkan jumlah modal dilaburkan.

“Selepas lima tahun berlalu, sehingga kini saya langsung tidak menerima walau satu sen pun wang pulangan pelaburan sebagaimana dijanjikan,” katanya.


Pemilik syarikat berdolak-dalik

Muhammad berkata, setelah setahun tidak menerima pulangan keuntungan, dia sering berkunjung ke ibu pejabat syarikat itu yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur bagi menanyakan status pelaburannya.

Bagaimanapun, Muhammad mendakwa pemilik syarikat berkenaan sering berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah selain sering menolak permintaannya untuk bersemuka.

“Lebih mengejutkan, ibu pejabat syarikat itu ditutup secara mengejut pada tahun lalu tanpa memberikan sebarang notis pemberitahuan kepada pelabur-pelabur.

“Saya pernah bertanyakan alasan syarikat berkenaan masih gagal membayar pulangan pelaburan kepada setiap pelaburan dan jawapan balas diberikan pihak syarikat adalah ikan arowana di kolam syarikat sering dicuri atau harga pasaran ikan arowana merudum,” katanya.

Muhammad berkata, berang dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat itu, pihaknya berjaya mengumpulkan sejumlah 40 pelabur syarikat yang turut menerima nasib sama melalui aplikasi media sosial.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dibuat, kesemua pelabur dianggarkan mengalami kerugian bernilai RM20,000 hingga RM500,000 dan hampir kesemuanya kini terpaksa menanggung hutang pembiayaan pinjaman peribadi dengan bank.

“Susulan itu, kami mendesak pemilik syarikat berkenaan untuk tampil mengemukakan laporan audit syarikat dan memulangkan semula wang pelaburan kami berserta keuntungan dijanjikan dalam tempoh masa segera.

“Jika pemilik syarikat berkenaan gagal berbuat demikian, kesemua pelabur tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya memandangkan kami mempunyai bukti perjanjian bertulis terhadap setiap pelaburan dibuat,” katanya.

......................... bersambung

*Ikuti maklum balas pemilik asal tanah projek kolam ikan arowana, esok.

Amir hilang tanpa khabar


ROSDALILAH ZAHARI
Amir hilang tanpa khabar

29 SEPTEMBER 2015
Amir hilang tanpa khabar Hasnah (kiri) menunjukkan gambar anaknya yang hilang sejak setahun lalu manakala Mohd Rawi menunjukkan laporan polis yang dibuat Hasnah di Alor Setar pada 25 September lalu.

IPOH – Seorang ibu khuatir akan keselamatan anak lelaki sulungnya yang hilang tanpa khabar  sejak setahun lalu.

Mohammad Amir Mohammad Arif, 24, yang menetap selama tujuh tahun di Ipoh dan bekerja di sebuah firma guaman, di sini dipercayai tidak dapat dihubungi ahli keluarganya selepas pulang ke Johor dari Singapura pada 5 Julai 2014.

Bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik itu dipercayai pernah bermalam di rumah neneknya bersama teman wanitanya di Alor Setar sebelum dilaporkan menghilangkan diri.

Ibunya, Hasnah Abdul Ghani, 45, berkata, pada Ogos tahun ini dia cuba menghubungi teman wanita Mohammad Amir untuk bertanyakan perihal anaknya itu.

“Wanita itu memaklumkan anak saya tiada dan terus memutuskan panggilan telefon dengan pantas,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Aduan BN Perak, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah.

Hasnah berkata, sebelum ini, anak lelakinya pernah membuat 25 laporan polis berhubung ancaman, ugutan dan penipuan daripada beberapa individu yang dikenali dan tidak dikenali.

“Daripada 25 laporan yang dibuat, hanya tiga kes sahaja dibuka untuk siasatan, selebihnya tidak diketahui status sebenar,” katanya.

Hasnah turut mendakwa, kehilangan anaknya dipercayai berpunca daripada ugutan dan dendam yang dilakukan beberapa pihak sehingga dia takut untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Tambahnya, terdapat laporan polis yang dibuat terhadap teman wanita anaknya itu bagi menuntut semula wang berjumlah RM10,000 serta barang kemas yang diberikan selepas rancangan untuk mereka berkahwin tidak kesampaian.

"Menurut ejen insurans tersebut, wanita terbabit direman selama seminggu di Johor tetapi anak lelaki saya kembali menjalinkan hubungan dengan wanita itu selepas bertemu semula di Ipoh," katanya.

Hasnah berkata, bimbangkan keselamatan anaknya itu, dia bertindak membuat tiga laporan polis, dua daripadanya di Ipoh manakala yang terbaru pada 25 September lalu di Alor Setar dipercayai lokasi terakhir Mohammad Amir berada.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mengesan keberadaan anak saya dan membawanya pulang dalam keadaan selamat,” pintanya.

Curi 14 unit telefon bimbit


WARTAWAN SINAR HARIAN
Curi 14 unit telefon bimbit

29 SEPTEMBER 2015
Curi 14 unit telefon bimbit Tertuduh diring polis ketika di mahkamah.

SEREMBAN - Seorang ejen pelancongan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban semalam, atas 10 pertuduhan mencuri telefon pintar pelbagai jenama dan tablet di sekitar kawasan Seremban dan Nilai.

Chen Choon Kit, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman terhadap tertuduh Khamis ini selepas mendapati ada keraguan pada fakta kes.

Mengikut pertuduhan, Choon Kit didakwa mencuri 14 unit telefon bimbit jenama iPhone Samsung, Lenovo dan sebuah tablet jenis Xiao Mi antara 5 September 2013 hingga 16 September lalu.

Berikutan itu tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda bagi setiap pertuduhan jika didapati bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Shafinaz Salleh dan Syamimi Farhana Muhammad AAziz manakala tertuduh diwakili peguam, A Partheeban.

Pasar raya borong tipu pengguna


WARTAWAN SINAR HARIAN
Pasar raya borong tipu pengguna

29 SEPTEMBER 2015
Pasar raya borong tipu pengguna Azlin (kanan) menunjukkan produk makanan yang ditampal dengan tarikh luput baharu ketika operasi bersepadu di gedung barangan borong semalam.

BATU BERENDAM - Taktik kotor sebuah gedung barangan borong dekat sini, menukar tarikh luput produk makanan kering yang sudah tamat tempoh terbongkar dalam satu operasi bersepadu di sini semalam.

Setiausaha Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia(LPKPM) Azlin Osman berkata, hasil pemeriksaan selama sejam di lokasi berkenaan mendapati ada di antara produk makanan sudah tamat tarikh luput digunting dan ditampal dengan label tarikh baharu sekali gus perbuatan tersebut menyalahi di bawah Akta Makanan 1983.

Menurutnya, pemeriksaan yang disertai lebih lima kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran Melaka serta Bomba dan Penyelamat Melaka mendapati mereka melakukan dua kesalahan perlabelan barang yang salah dan barang sudah tamat tarikh luput dengan nilai rampasan barang keseluruhan berjumlah RM846.

Katanya, jumlah itu termasuk RM616 bagi barang makanan yang dikenal pasti di bawah kesalahan tarikh luput dan selebihnya di atas kesalahan perlabelan.

“Barang-barang yang dirampas termasuk sebanyak 15 air kotak, 74 paket biskut dan lain-lain kesemuanya akan disita oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran.

“Selain itu kita turut memberi amaran kepada pihak berkenaan supaya mengambil tindakan agar tidak melakukan memandangkan ada di antara tarikh luput sudah tamat tempoh hampir setahun,” katanya kepada pemberita.

Hadir sama, Penolong Kanan Penguasa Bomba Melaka, Hashim Kasirin, Pegawai Kesihatan Persekitaran Melaka, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.

Sementara itu, Hashim berkata, pihak terbabit turut didapati tidak mematuhi arahan yang ditetapkan dengan mengunci pintu laluan kecemasan selain meletakkan kunci tersebut di pejabat sedangkan sepatutnya kunci diletakkan berdekatan laluan tersebut.

Menurutnya, pintu laluan kecemasan bukan sahaja ditutup rapat malah di luarnya dijadikan tempat letak kenderaan.

“Bagaimanapun kita hanya memberi amaran lisan dan pihak kami akan sekali lagi membuat pemeriksaan di lokasi ini pada 30 September ini dan jika masih didapati gagal mematuhi mereka akan boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

35 wanita warga asing diberkas terlibat pelacuran


AHMAD ISMADI ISMAIL
35 wanita warga asing diberkas terlibat pelacuran

28 SEPTEMBER 2015
35 wanita warga asing diberkas terlibat pelacuran Antara wanita warga asing yang ditahan.

KUALA LUMPUR - Seramai 35 wanita warga asing diberkas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menahan 34 wanita warga China dan seorang wanita warga Filipina dalam Ops Noda Khas kira-kira jam 12.30 malam.

“Operasi ini akan dijalankan berterusan bagi membanteras kegiatan pelacuran dan menyalahgunakan pasport dan permit terutamanya di pusat hiburan," katanya.

Mereka yang ditahan dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan mengikut Akta Imigresen dan Seksyen 372 b Kanun Keseksaan.

'Tolong pulangkan wang saya semula'


HIDAYAH HAIROM
'Tolong pulangkan wang saya semula'

29 SEPTEMBER 2015
'Tolong pulangkan wang saya semula' Shahrulnizam bersama laporan polis dan bukti transaksi wang berjumlah RM2,500 dilaburkan untuk skim yang diuruskan seorang wanita di laman Facebook.

KUALA LUMPUR - “Wang bernilai RM2,500 mungkin tak ada apa sangat pada orang yang tipu saya, tapi pada saya ia terlalu besar. Apatah lagi ia satu-satunya wang pusaka peninggalan arwah ayah,” demikian luahan  seorang penghidap penyakit lemah jantung, Mohd Shahrulnizam Mohd Nawi, 40, yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dan pinjaman tanpa faedah yang beroperasi menerusi laman Facebook.

Skim itu dikatakan berfungsi menerusi pelaburan emas diuruskan oleh seorang wanita yang mengaku mempunyai kedai barang kemas.

Shahrulnizam berkata, dia menyertai skim itu pada tahun 2013 dengan melaburkan wang permulaan sebanyak RM500 dan menerima pulangan RM1,000 dalam masa seminggu.

“Disebabkan dah dapat wang pulangan itu, saya jadi yakin untuk buat pelaburan baru. Kali ni saya laburkan RM2,500 yang sepatutnya digunakan untuk tampung kos perubatan jantung saya.

“Niat saya hanya untuk gandakan duit, serba sedikit dapatlah bantu saudara lain. Tapi pelaburan saya tak ada khabar berita sampailah tempoh yang dijanjikan.

“Bila saya hubungi wanita yang bertanggungjawab uruskan skim tu, dia maklumkan yang dia pun kena tipu dan macam nak lepas tangan.

“Pernah juga saya minta dia kemukakan bukti laporan polis kalau betul dia jadi mangsa, tapi tak ada. Dia janji nak bayar duit saya semula, tapi senyap macam tu saja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di Flat Seri Pulang Pinang, Cheras, di sini.

Tambahnya, dia yakin ramai lagi yang tertipu dengan skim berkenaan malah dengan amaun yang lebih besar.

Katanya, dia cuba untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan namun tidak dapat diteruskan kerana tidak mampu tanggung kos guaman.

“Saya terpaksa pinjam ah long untuk tampung kos pasang bateri jantung supaya saya boleh jalani rutin harian macam orang lain. Tapi keadaan saya lemah sekarang, selain tak boleh bekerja dan bergantung dengan wang Baitulmal RM400 sebulan.

“Cukup tak cukup pun, itulah yang saya ada untuk teruskan hidup dengan nenek saudara yang tinggal bersama. Saya hanya mahu dia pulangkan duit saya balik," katanya yang juga membuat laporan polis Oktober tahun lalu.

Remaja maut nahas tiga kenderaan


MUHAYUDIN SALLEH
Remaja maut nahas tiga kenderaan

29 SEPTEMBER 2015
Remaja maut nahas tiga kenderaan Keadaan kereta Perodua Myvi rosak teruk di bahagian kiri yang mengakibatkan mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan maut

ROMPIN – Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 122 Jalan Kuantan – Johor Bahru berhampiran Jambatan Kampung Sabak sekitar jam 9.30 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, mangsa yang maut, Muhammad Faizal Saari, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin selepas bertarung nyawa selama 2 jam 45 minit.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa bersama abangnya, Muhamad Firdaus Saari, 23, sebagai pemandu secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah Perodua Alza lalu berpusing.

“Dalam masa yang sama tiba pulau sebuah lagi kenderaan yang merupakan teksi jenis Mercedes Benz dari arah Kuantan yang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri Perodua Myvi lalu terbabas,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Firdaus dan pemandu teksi, Khairudin Hassan, 55, mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki serta tangan manakala pemandu Perodua Alza, Mohd Arfif Mohd Yusoff, 32, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua beradik berkenaan berasal dari Felda Selancar, Muadzam Shah dan tidak bekerja manakala pemandu teksi berasal dari Sungai Puteri, Kuala Rompin serta pemandu Perodua Alza berasal dari Taman Setia, Johor Bahru yang merupakan kakitangan di sebuah pejabat guaman, di sana.

Hakim tambah hukuman lepas rayu


RUBIAH OMAR
Hakim tambah hukuman lepas rayu

29 SEPTEMBER 2015
Hakim tambah hukuman lepas rayu Amran Janaina sugul apabila Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dengan meminda tempoh hukuman penjara daripada 15 bulan kepada lima tahun penjara akibat kesalahan membunuh tanpa niat.

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam, menolak rayuan seorang lelaki agar hukuman 11 tahun penjara dan lima sebatan yang dijatuhkan ke atasnya dipertimbangkan semula dan diringankan.

Hukuman itu dijatuhkan ke atas Azaha Rasdi, 50-an, pada tahun lalu kerana dua kesalahan merogol anak gadis arwah rakannya.

Bukan sahaja gagal dalam rayuannya, sebaliknya tempoh 11 tahun penjara yang dikenakan sebelum ini turut ditambah menjadi 22 tahun.

Pada 23 Oktober 2014, Azaha didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan merogol mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, dia didapati bersalah merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di sebuah rumah di Ajil, Hulu Terengganu pada Disember 2004.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan tiga sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Azaha didapati bersalah merogol mangsa pada Ogos 2007, di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di kawasan semak berdekatan Bukit Diman, Ajil.

Wan Fadhilah Nor menjatuhkan hukuman 11 tahun penjara dan dua sebatan, namun dia mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Azaha memohon rayuan di Mahkamah Tinggi namun hakim menolak rayuan itu dengan mengekalkan tempoh hukuman penjara, namun mengarahkan ia berjalan berasingan.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan bekas kakitangan Jabatan Kesihatan agar diringankan hukuman selepas didapati bersalah membunuh rakannya tanpa niat semasa memburu.

Amran Janaina Abdul Majid, 52, merayu hukuman penjara 15 bulan yang dijatuhkan pada April 2014 diringankan, namun mahkamah memerintahkan tempoh penjara dipanjangkan sehingga lima tahun.

Antara alasan diberikan Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz sebelum membuat keputusan itu adalah jenayah yang dilakukan olehnya menyebabkan kehilangan satu nyawa.

Terkejut dengan keputusan itu, Amran Janaina pengsan sejurus dibawa keluar dari kamar mahkamah, namun keadaannya mula stabil beberapa minit kemudian.

Sebelum ini, dia yang juga anggota Rela didapati bersalah menyebabkan kematian Yaseer Janudin apabila tertembak mangsa menggunakan senapang patah milik Rela.

Mangsa, anggota polis berpangkat Lans Koperal maut di tempat kejadian selepas peluru mengenai rusuk kirinya.

Hasil siasatan mendapati tertuduh dikatakan terlihat satu ‘cahaya putih’ yang dipercayainya mata rusa lalu menembaknya, sebelum memanggil dua lagi rakannya untuk menyembelih ‘rusa’ yang berjaya ditembak.

Bagaimanapun, dia terkejut mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah sebelum membuat laporan polis.

Benang boleh jadi senjata pembunuh


layang

29 SEPTEMBER 2015
layang Gambar hiasan

CHENNAI - INDIA. Sejenis benang yang digunakan untuk menerbangkan layang-layang kini disifatkan sebagai sejenis senjata pembunuh di bandar raya ini yang terletak di selatan India.
   
Ia bukan benang biasa namun apa yang dipanggil penduduk di sini sebagai 'manjaa', diperbuat dengan campuran serpihan kaca dan objek tajam yang lain.
   
Seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun maut selepas benang daripada layang-layang yang diterbangkan berdekatan jejambat mengelar lehernya pada Ahad, demikian menurut laporan media tempatan.
 
 Akhbar Hindu pada Selasa memetik Pesuruhjaya Polis Chennai S. George sebagai berkata bahawa penggunaan benang 'maanja' sama seperti menggunakan sejenis senjata untuk mencederakan orang yang tidak bersalah.
   
“Ibu bapa perlu menasihatkan anak mereka supaya tidak terlibat dalam kegiatan berbahaya ini kerana ia bukan sahaja mengancam orang lain tetapi juga boleh dikenakan tindakan undang-undang jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.
   
Akhbar itu berkata George telah mengarahkan para pegawai kanan polis untuk menubuhkan pasukan khas untuk membendung ancaman menerbangkan layang-layang menggunakan ‘maanja’.
   
“Keseronokan atau hiburan tidak boleh dilakukan sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam. Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bermain layang-layang menggunakan benang 'maanja' dan juga mereka yang membekalkan bahan-bahan ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu.
 
Akhbar The New Indian Express memetik George sebagai berkata bahawa polis terpaksa menjalankan beberapa siri serbuan di bandar dan menahan 10 orang dan merampas mesin dan gulungan benang 'maanja' dalam jumlah yang besar. - Bernama

Gara-gara anak ponteng, ibu bakal dipenjara


Gara-gara anak ponteng, ibu bakal dipenjara

28 SEPTEMBER 2015
Gara-gara anak ponteng, ibu bakal dipenjara

READING - UNITED KINGDOM. Seorang ibu bakal berdepan hukuman penjara selepas anaknya gagal hadir ke sekolah untuk tempoh yang lama.

Tracey Fidler berkemungkinan berdepan dengan hukuman penjara kerana anak lelakinya, Adam tidak menghadirkan diri ke sekolah dengan alasan yang tidak munasabah.

Namun menurut Tracey, anaknya enggan ke sekolah sejak kematian bapanya, Kris Jarvis yang terlibat dalam kemalangan jalan raya Februari lalu.

"Adam tidak mahu meninggalkan saya kerana dia berfikir, jika dia ke sekolah, dia tidak akan berjumpa lagi dengan saya, " katanya dipetik Metro.uk

Adam hanya mempunyai 45 peratus rekod kehadiran ke sekolah.

Sementara itu, lebih 4,000 menandatangani petisyen membantah hukuman penjara kepada ibu tunggal itu.

Keputusan sama ada Tracey akan dipenjara atau tidak akan diketahui 9 Oktober ini

Pelarian bertempur, 14 cedera


Pelarian bertempur, 14 cedera

29 SEPTEMBER 2015
Pelarian bertempur, 14 cedera  Pihak berkuasa terpaksa meleraikan pergaduhan tercetus antara ratusan pelarian, kelmarin. - Foto AFP

BERLIN - JERMAN . Sekurang-kurangnya 14 termasuk tiga anggota polis cedera dalam insiden pertempuran selama beberapa jam di kem pelarian di Calden berhampiran bandar Kassel di tengah Jerman, kelmarin.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku selepas dua pelarian saling bertengkar ketika waktu makan tengah hari sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan lebih besar melibatkan sekumpulan pelarian Albania dan Pakistan.

"Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa terpaksa meleraikan satu lagi pertempuran tercetus antara ratusan pelarian. Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat," jelas laporan itu lagi.

Difahamkan, lebih 1,500 pelarian dari 20 negara ditempatkan di kem perlindungan sementara tersebut.

Berlin telah menjadi negara utama bagi ratusan ribu pelarian dari zon konflik mendapatkan perlindungan selepas ia membuka pintu kepada golongan itu sebagai usaha untuk mengatasi krisis kebanjiran pelarian di rantau Eropah. - Press TV

Taufan Dujuan: Dua maut, 324 cedera


29 SEPTEMBER 2015
Taufan Dujuan: 2 maut, 320 cedera

TAIPEI - TAIWAN . Taufan Dujuan yang melanda Taiwan petang Isnin menyebabkan dua terbunuh manakala 324 yang lain cedera, menurut Pusat Operasi Kecemasan Nasional.

Taufan Dujuan dengan kelajuan angin 227 kilometer sejam membadai lebih awal dari jangkaan.

Memetik laporan CNA, lebih 7,000 orang dipindahkan manakala lebih 330,000 rumah terputus bekalan elektrik dan lebih 2,000 terpaksa bermalam di pusat perlindungan sementara.

Ombak kuat membadai sepanjang pantai timur manakala ibu negara Taiwan, Taipei dilanda angin kuat dan hujan.

Biro keselamatan berkata, hampir seluruh pulau adalah berisiko dilanda angin kuat dan hujan, dengan pihak berkuasa turut memberi amaran hujan lebat yang boleh  menyebabkan tanah runtuh.

Pihak berkuasa memberi amaran bahaya di kawasan pantai berikutan air pasang yang dipengaruhi oleh fenomena supermoon.

Tawar khidmat seks: 27 diberkas


AHMAD ISMADI ISMAIL
Tawar khidmat seks: 27 diberkas

29 SEPTEMBER 2015
Tawar khidmat seks: 27 diberkas Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan semalam.

PETALING JAYA - Polis mematahkan sindiket pelacuran yang berselindung disebalik rumah urut di empat buah premis di Dataran Mentari dan Kota Damansara, awal pagi semalam.
Seramai 27 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks ditahan dalam serbuan itu.

Serbuan dilakukan Bahagian Maksiat Bahagian Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang diketuai oleh Asisten Superitendan Yuzir Othman.
Yuzir berkata, operasi itu hasil intipan seminggu.

“Premis yang dipercayai beroperasi sejak empat bulan lalu itu menawarkan khidmat seks sebanyak RM120. Mereka turut menyediakan kerusi khas dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti seks.

“Kita menahan enam wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China, turut ditahan seorang lelaki warga China dipercayai penjaga premis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai 18 keping kondom di dalam mesin basuh di belakang premis.

“Kita turut merampas wang tunai RM360 disyaki hasil aktiviti pelacuran,” katanya.

Dalam serbuan berasingan oleh pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (Stagg) di tiga premis urut di Kota Damansara, seramai 19 wanita warga asing diberkas.

Wanita yang ditahan itu berasal dari Vietnam, Indonesia, Thailand dan Laos, turut ditahan empat lelaki warga tempatan.

Kesemua individu yang ditahan itu di bawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Remaja 14 tahun dikurung, rogol bergilir-gilir


MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
28 SEPTEMBER 2015


SEGAMAT - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerima nasib malang apabila menjadi mangsa rogol dan dikurung selama lima hari oleh dua lelaki yang baharu dikenalinya selama sebulan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bersama keluarganya pada 25 September lalu.

"Mengikut keterangan mangsa, kali terakhir dia dirogol oleh suspek secara bergilir-gilir pada 25 September di sebuah rumah tumpangan di Jalan Genuang selepas diambil oleh suspek menaiki kereta di sekitar bandar Segamat pada 21 September lalu.

"Mangsa melarikan diri semasa suspek tidur sebelum pulang ke rumah keluarganya. Pada awalnya, keluarga mangsa menyangkakan anaknya itu pergi ke rumah salah seorang saudaranya memandangkan cuti sekolah dan tidak menyangka suspek dikurung dan menjadi mangsa rogol," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 22 dan 26 tahun dan mempunyai ikatan kekeluargaan itu kemudiannya ditahan di rumah mereka di Jalan Buloh Kasap, di sini, sejurus laporan polis dibuat.

Katanya, siasatan awal juga mendapati suspek menyewa sebuah rumah tumpangan sejak beberapa hari lalu dan mengawasi mangsa secara bergilir-gilir supaya mangsa tidak melarikan diri selain turut memberikan suspek makan dan minum.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan sama ada mangsa telah dirogol di tempat lain sebelum itu dan mangsa juga turut diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

"Kedua-dua suspek juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hasil pemeriksaan air kencing turut mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Amphetamine," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Taliban tawan bandar Kunduz


REUTERS - ANGGOTA tentera Afghanistan berkawal ketika pertempuran dengan Taliban di wilayah Kunduz, Afghanistan semalam.


KUNDUZ – Kumpulan Taliban menawan sebahagian daripada sebuah bandar utama di Afghanistan, kata seorang wartawan agensi berita AFP dan beberapa pemimpin setempat.
Kemaraan Taliban ke bandar Kunduz , dalam wilayah Kunduz itu adalah yang pertama sejak Amerika Syarikat (AS) menawan Afghanistan pada 2001.
Kunduz yang terletak di sekitar 150 kilometer ke utara Kabul merupakan bandar kelima terbesar di Afghanistan.
“Kumpulan Taliban telah menawan kejirana kami yang merupakan sebahagian daripada bandar Kunduz. Saya dapat melihat pejuang-pejuang mereka di merata-merata tempat,” kata wartawan berkenaan.
“Taliban melancarkan serangan ke atas Kunduz dari segenap sudut bermula pukul 3.00 pagi semalam (kelmarin).
“Taliban kini berada kurang 1 kilometer dari pusat bandar Kunduz,” kata seorang pemimpin setempat.
Kepungan itu berlaku sehari selepas serangan bom pada perlawanan bola tampar yang mengorbankan 13 orang.
Selain Taliban, kumpulan militan Islamic State terlibat dalam serangan ke atas pasukan polis di timur negara itu.
“Sejumlah 20 militan Taliban terbunuh dalam pertempuran di beberapa bahagian di Kunduz dan empat anggota pasukan keselamatan Afghanistan disahkan cedera,” kata jurucakap polis wilayah Kunduz, Sayed Sarwar Hussaini sebelum kemaraan Taliban.
Menurutnya, pertempuran antara anggota keselamatan Afghanistan dan militan Taliban berlaku di Khanabad, Char Dara dan Imam Sahib yang merupakan pintu masuk utama ke bandar Kunduz.
Sementara itu, jurucakap Taliban, Zahibullah Mujahid berkata, pejuang mereka telah menawan beberapa pusat pemeriksaan keselamatan dan membunuh 12 tentera Afghanistan.
Anggota tentera dan polis Afghanistan yang dilatih Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjuang menentang militan Taliban tahun ini tanpa bantuan daripada pakatan NATO. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3n4dOG2D6 
Hakcipta terpelihara