Semua mereka ditahan dalam operasi khas yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism E8 Cawa­ngan Khas di Lembah Kelang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek yang ditahan merupakan seorang warga tempatan serta Indonesia dan Syria yang berumur antara 30 hingga 51 tahun.
“Operasi tersebut merupakan kesinambungan kepada beberapa siri operasi yang telah dijalankan sebelum ini. Tindakan berterusan ini merupakan hasil daripada maklumat yang diperoleh melalui suspek-suspek yang telah ditangkap.
“Suspek yang ditahan mendedahkan bahawa wujud peranca­ngan untuk melancarkan serangan ke atas aset-aset yang berkepen­tingan kepada negara, pihak antarabangsa dan juga kawasan tumpuan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, salah seorang dari warga asing berkenaan didapati kerap melakukan lawatan ke Yemen dan dikesan masuk ke negara ini beberapa hari lalu.
Kata beliau, siasatan masih diteruskan untuk mengesahkan sama ada ketiga-tiga suspek terlibat dalam sebarang perancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia.
Katanya, kawalan keselamatan di tempat strategik dan tumpuan awam akan ditingkatkan selain membuat pemantauan berterusan selaras dengan perkembangan semasa bagi memastikan kepenti­ngan negara terpelihara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua suspek ditahan atas kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Akta 574 dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Ke­salahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Dalam pada itu, Noor Rashid memberitahu, kenyataan yang dikeluarkan kedutaan asing iaitu Amerika Syarikat dan Australia di Kuala Lumpur melalui portal Tra­vel Advisory semalam adalah bertujuan menjaga keselamatan rak­yat mereka semasa berada di negara asing.