Search This Blog

Friday, September 25, 2015

Singapura tutup semua sekolah, jerebu capai tahap bahaya

JUMAAT, 25 SEPTEMBER 2015 @ 9:17 AM

SINGAPURA: Kerajaan Singapura pada lewat malam tadi mengarahkan penutupan semua sekolah ekoran indeks pencemaran udara mencecah tahap bahaya daripada asap pembakaran kegiatan pertanian dari negara jiran, Indonesia. Menteri Pendidikan, Heng Swee Keat, berkata arahan penutupan segera itu berkuat kuasa untuk semua sekolah rendah, menengah dan tadika di bawah kementerian dan sekolah pendidikan khas. "Ibu bapa yang tidak dapat membuat pelan alternatif disebabkan notis singkat ini masih boleh menghantar anak ke sekolah dan mereka akan ditempatkan di bilik berhawa dingin," katanya dalam sidang media lewat malam tadi. Kualiti udara di Singapura semakin buruk pada sidang hari dengan asap tebal berkepul di udara dari kepulauan Sumatera. - AFP

BAYANGAN tingkap kelihatan orang ramai melihat dari bilik di pusat membeli-belah di Orchard Road, Singapura yang diselubungi jerebu . - Foto REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84312

Pelajar tingkatan tiga maut digilis lori

KHAMIS, 24 SEPTEMBER 2015 @ 4:42 PM

 ALOR SETAR: Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum digilis sebuah lori di Kampung Sungai, Putat, Pendang. Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata, akibat pertembungan itu, mangsa, Hafizuddin Ahmad Tajuddin, 15, terperosok di bawah lori dan diseret sejauh 50 meter dalam kejadian 5.40 petang semalam. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori, Che Hassan Md Daud, 58, tidak cedera, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84190

Wanita parah ditanduk lembu korban

KHAMIS, 24 SEPTEMBER 2015 @ 5:14 PM  Oleh Errah Amran bhonline@bh.com.my GEORGETOWN: Tindakan dua penduduk 'mengusik' lembu korban di Kampung Lembah Permai, Tanjung Bungah, menyebabkan mereka cedera ditanduk haiwan itu, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa wanita berusia 31 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP). Menurut penduduk kampung dikenali sebagai Razak, 30-an, ketika kejadian, lembu berkenaan ditambat di kawasan padang berdekatan dan beberapa penduduk mengerumuni haiwan itu. Katanya, seorang wanita kemudian dilihat cuba memberi makanan tetapi lembu itu secara tiba-tiba menjadi berang menyebabkan penduduk kampung bertempiaran lari. "Lembu korban yang naik minyak kemudian menyerang seorang wanita dan lelaki yang berdiri berdekatan sementara beberapa penduduk lain sempat melarikan diri. "Wanita berkenaan mengalami kecederaan teruk akibat ditanduk pada bahagian kepala, manakala lelaki terbabit mengalami kecederaan pada bahagian badan tetapi tidak serius," katanya. Penduduk kampung kemudian bertindak menyelamatkan kedua-dua mangsa dan menghubungi ambulans bagi membolehkan mereka mendapat rawatan kecemasan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit yang dibuat anggota pondok polis di HPP. "Setakat ini, wanita terbabit dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di HPP manakala lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berada dalam keadaan stabil. "Pemeriksaan juga mendapati wanita itu bukan berasal dari kampung itu, manakala lelaki berkenaan adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84198

Lebih 60 cedera susulan gempa 6.6 magnitud di wilayah Papua

JUMAAT, 25 SEPTEMBER 2015 @ 11:04 AM

 SORONG, Indonesia: Lebih 60 orang cedera dan 200 rumah rosak apabila gempa bumi kuat 6.6 magnitud menggegarkan kawasan pedalaman di timur Indonesia pagi ini, menurut seorang pegawai agensi bencana, dan bilangan mangsa dikhuatiri akan meningkat. Orang ramai tersedar daripada tidur dan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila gempa bumi dasar laut itu menggegarkan wilayah Papua pada jam 1 pagi (1600 GMT), tidak jauh dari bandar pesisiran pantai Sorong. Menurut jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho, setakat ini 17 orang mengalami kecederaan parah dan 45 yang lain cedera ringan manakala 200 rumah rosak. Tiada kematian dilaporkan setakat ini. USGS menyatakan gempa bumi 6.6 magnitud itu berpusat pada kedalaman 24 kilometer. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84328

Angka korban rempuhan di Mina meningkat kepada 717 orang, 805 cedera

KHAMIS, 24 SEPTEMBER 2015 @ 8:44 PM

MINA: Jumlah angka korban dalam kejadian rempuhan di Mina meningkat kepada 717 orang dan 805 cedera, setakat ini. Perkhidmatan Pertahanan Awam Saudi berkata, operasi menyelamat masih dijalankan. Ketika kejadian, ratusan ribu jemaah sedang mengerjakan ibadat melontar jamrah sebagai acara utama haji. - SAUDI GAZETTE


 KAKITANGAN kecemasan dan jemaah haji berdiri berhampiran dengan mayat dalam tragedi rempuhan jemaah haji di Mina. - Foto AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84229

Jemaah tak berdisiplin punca kejadian - Menteri Kesihatan Arab Saudi

KHAMIS, 24 SEPTEMBER 2015 @ 10:07 PM

MINA: Menteri Kesihatan Arab Saudi, Khaled Al-Falih, menyalahkan jemaah haji yang tidak berdisiplin sebagai punca tragedi rempuhan yang sehingga kini mengorbankan 717 orang. Beliau berkata, tragedi itu tidak akan berlaku sekiranya jemaah mengikuti arahan yang telah ditetapkan. "Banyak jemaah bergerak tanpa menghormati jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ini adalah punca utama tragedi rempuhan itu. "Jika mereka mengikuti arahan, kemalangan sebegini dapat dielakkan," katanya. Sementara itu, Ketua Rombongan Jemaah Haji Iran, Saeed Ohadi pula menyalahkan pengurusan Arab Saudi yang bertindak menutup banyak laluan di Mina sehingga memaksa ratusan ribu jemaah terpaksa mengikuti satu laluan yang sama secara serentak. Ohadi berkata, penutupan laluan menyebabkan tinggal hanya tiga laluan ke kawasan melontar. "Kejadian hari ini menunjukkan salah urus dan kurangnya perhatian yang serius terhadap keselamatan jemaah. Tidak ada penjelasan lain. Pihak berkuasa Arab Saudi harus bertanggungjawab," katanya. Jemaah Iran antara yang paling ramai terkorban dalam tragedi rempuhan itu dan sehingga kini, seramai 43 jemaah Iran dilaporkan maut, manakala 60 lagi cedera. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84236

2 maut motosikal langgar bas ekspres di Kinabatangan

JUMAAT, 25 SEPTEMBER 2015 @ 12:39 PM

KINABATANGAN: Dua warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 134 Jalan Sandakan-Lahad Datu, awal pagi ini. Penunggang motosikal dikenali sebagai Piki Omar, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas digilis tayar belakang bas ekspres. Pembonceng motosikal, Rizal Riduan, 20-an, yang juga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, meninggal dunia 9 pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu. Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A Sahak Rahmat, berkata nahas berlaku pada 2.10 pagi dan siasatan awal mendapati bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Lahad Datu. Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan melanggar bahagian tepi sebelah kanan bas ekspres menyebabkan penunggang motosikal tercampak di atas jalan dan digilis tayar belakang sebelah kanan bas ekspres. "Pembonceng motosikal itu (Rizal) dibawa oleh pemandu bas ekspres ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungii. Beliau berkata pemandu bas ekspres dibebaskan dengan jaminan polis dan sampel darahnya telah diambil untuk ujian alkohol, manakala bas ekspres ditahan dan akan dihantar menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). - BERNAMA

Tragedi Mina: Sah Tiada Jemaah Malaysia Terlibat


Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 6:35 PM
Jemaah haji mendapat rawatan akibat dirempuh dalam tragedi ketika melontar di Mina, Khamis.

DIKEMASKINI
PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan di Mina pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan beliau pada sidang media susulan berdasarkan semakan yang dibuat oleh Tabung Haji (TH) ke atas tujuh maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn Bhd.
"Selepas membuat semakan, tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan. Alhamdulillah," katanya pada sidang media di Makkah pada Khamis.
Terdahulu, Asyraf pada sidang media pertama memaklumkan tiada jemaah Malaysia terlibat kerana masa dan lokasi kejadian bukan seperti yang ditetapkan Tabung Haji (TH) namun semakan bagi pengiraan jemaah sedang dilakukan.
Setakat ini, kira-kira 717 jemaah maut dan 805 lagi cedera ketika bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar kota suci Makkah.
Kejadian itu berlaku di Jalan 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula. 
Asyraf berkata, jemaah Malaysia akan melaksanakan lontaran selepas Asar iaitu pada pukul 5.30 petang dan 8 malam secara berperingkat.
"Kita mempunyai lapan pos peronda sepanjang terowong Muassim sehingga ke Jamarat dan petugas akan melaporkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di kawasan berkenaan.
"Kita mendoakan agar jemaah haji kita sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T dan menunaikan ibadah dengan selamat," katanya.
Insiden rempuhan di Mina pada Khamis merupakan kali kedua berlaku sejak 2006, yang menyaksikan 346 jemaah haji terkorban ketika menunaikan ibadah melontar.
Ketika ini kira-kira dua juta orang sedang mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi.
Sebelum ini, dua tragedi berlaku di Makkah, iaitu kren tumbang di Masjidil Haram dan insiden kebakaran di tingkat lapan Hotel Al Azizyiah juga di Tanah Suci.

Kejadian kren tumbang mengorbankan tujuh jemaah Malaysia, manakala 10 yang lain cedera.

Dalam kejadian 5 petang pada 11 September lalu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat asar.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.

Bagaimanapun, kejadian kebakaran hotel itu tidak membabitkan jemaah Malaysia.

Empat Maut, 12 Parah Nahas Di Jambatan Aurora


Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2015 11:39 AM

SEATTLE: Kesesakan laluan di Jambatan Aurora di sini tambah memburukkan keadaan apabila dua kenderaan bertembung mengakibatkan empat maut dan 12 lagi parah.
Kejadian melibatkan sebuah bas persiaran amfibia dan bas sewa khas yang membawa pelajar kolej luar negara bertembung di jambatan Seattle juga menyebabkan 44 orang dikejarkan ke hospital.
Jambatan Aurora menghubungkan terusan Lake Union dengan Teluk Shilshole.
AFP melaporkan saksi kejadian berkata, nahas mungkin berpunca daripada bas persiaran yang mengalami masalah mekanikal dan polis mendapati tiada tanda menunjukkan pemandunya mengambil minuman keras.
Kolej North Seattle dalam satu kenyataan berkata, dianggarkan 45 pelajar dan kakitangannya dari Program Pengajian Antarabangsa berada di dalam bas ketika nahas.
Pihak kolej masih belum mengetahui jumlah sebenar pelajar yang cedera dan tidak menyebut negara mana pelajar yang terbabit.
Datuk Bandar Seattle, Ed Murray berkata, pegawainya masih menghubungi pihak konsulat negara pelajar asing berkenaan. 

Gempar lelaki jatuh tingkat 14 pangsapuri


Kuala Lumpur: Penduduk pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, di sini gempar apabila seorang penghuni lelaki terhempas jatuh dari tingkat 14 kediaman itu.

Dalam kejadian jam 8.15 malam kelmarin, mangsa berusia 36 tahun maut sejurus terjatuh di atas dua motosikal diletakkan di tingkat bawah pangsapuri itu.


Seorang saksi kejadian yang enggan kenali berkata, dia terdengar dentuman kuat sebelum bergegas melihat apa berlaku di luar rumahnya.

“Saya dan ahli keluarga mendapati lelaki terjatuh dari tingkat atas pangsapuri sebelum terhempas di atas dua motosikal milik penduduk.

“Orang ramai memaklumkan perkara ini kepada pihak polis dan hospital. Ada beberapa penduduk mendakwa melihat mangsa memanjat tembok beranda di hadapan rumahnya di tingkat 14,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor mengesahkan kejadian itu dan memberitahu mangsa dikenali sebagai Mohd Arizal Sehat, 36.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati mangsa juga pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:59 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80038#sthash.ppin2NE9.dpuf

Lelaki maut kereta masuk gaung


Seorang penganggur maut selepas kereta dipandu terbabas dan terjunam ke gaung di Kilometer 40, Jalan FELDA Lepar Hilir 3, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.35 pagi, mangsa, Mohd Hafidzullah Sobari, 26, berasal dari FELDA Lepar Hilir 3, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, ketika kejadian, lelaki itu memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak berkuasa. Bagaimanapun, mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

“Polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:19 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80054#sthash.DJnaYcLb.dpuf

Langgar lori dari arah bertentangan


Seorang lelaki maut selepas Perodua Alza dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan membabitkan sebuah lori dan Mitsubishi Triton di Kilometer 5.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Rohaizat Abdul Talib, 35, maut di tempat kejadian selepas kereta dipandunya melanggar lori dari arah bertentangan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Gopeng gagal mengawal kereta sebelum memasuki arah bertentangan dan merempuh lori berkenaan.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton yang datang dari arah sama melanggar kereta mangsa dari belakang menyebabkan pacuan empat roda itu terbabas ke bahu jalan raya.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:20 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80055#sthash.JdgBiLsX.dpuf

Gantung diri bini lari


Seremban: Akibat tekanan selepas dipercayai ditinggalkan isteri, seorang lelaki nekad menggantung diri dalam bilik di rumahnya di Flat Rasah Jaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kakak mangsa yang datang ke rumah itu untuk berjumpa mangsa terkejut apabila menemui mayat adiknya berusia 33 tahun tergantung pada kipas dalam bilik berkenaan.


Sumber berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai menggantung diri dan tidak membabitkan unsur jenayah sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

“Mengikut keterangan kakak mangsa, dia kali terakhir menemui adik lelakinya itu, Selasa lalu dan ketika itu, mangsa mengadu ditinggalkan isteri sejak dua minggu lalu.

“Wanita terbabit juga mendakwa adik dan isterinya yang sudah setahun berkahwin bertengkar sebelum isterinya meninggalkan rumah. Mangsa dikatakan ada menghubungi isterinya untuk mendapatkan kepastian tetapi gagal,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori dipercayai tertekan selepas usahanya mencari isteri tidak berhasil sebelum bertindak demikian.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:22 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80058#sthash.6nvSSrqP.dpuf

‘Anuar’ ligat kelentong


Oleh Rosliza Mohamed

am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang lelaki dikenali sebagai Anuar Kecok yang pernah ditahan atas kesalahan menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menipu mangsa dikesan aktif kembali memperdayakan mangsa dengan modus operandi sama untuk mendapatkan wang secara mudah.


Suspek berusia 50-an akan menyamar sebagai pegawai kerajaan dan menawarkan kenderaan seperti kereta dan motosikal seludup dengan harga murah kepada mangsanya.

Mangsa yang terpengaruh dengan tawaran suspek itu akan menyerahkan sejumlah wang bersama satu salinan kad pengenalan sebelum suspek melarikan diri.

Terbaru, seorang pemandu teksi diperdaya oleh suspek yang menaiki kenderaannya di Jalan Padang Garong, di sini, pada 13 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, sepanjang perjalanan itu, suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan dan memberitahu ada menjual kenderaan murah.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan dengan tawaran itu kemudian menyerahkan wang tunai RM2,500 bersama satu salinan kad pengenalan kepada suspek.

“Sebaik sampai di Jalan Tengku Petra, Semerak, di sini, suspek mengarahkan mangsa supaya menunggunya kerana dia mahu berjumpa rakannya di situ.

“Tetapi, selepas dua jam kemudian, suspek tidak muncul menyebabkan mangsa merasakan dirinya ditipu. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:23 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80060#sthash.NnyUsHyt.dpuf

Pelajar ‘pakar’ curi, tukar plat motosikal ditahan


Seorang pelajar tingkatan empat tidak hanya cekap mencuri motosikal malah dikesan licik menukar nombor plat kenderaan.

Suspek berusia 16 tahun itu bagaimanapun diberkas polis dua jam selepas melarikan motosikal di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, di sini, pada jam 1 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, seorang lelaki berusia 41 tahun sebelum itu membuat laporan polis mendakwa motosikal Honda EX5 diletakkan di luar kediamannya hilang dicuri jam 11 malam kelmarin.

Menurutnya, sepasukan anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) menahan suspek remaja itu di Jalan Kuantan, di sini, dua jam kemudian.

“Siasatan polis mendapati suspek yang masih bersekolah itu licik apabila sempat menukarkan nombor plet motosikal itu sejurus melarikan kenderaan itu.

“Remaja itu dibawa ke balai polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. Dia kini ditahan reman tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:26 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80061#sthash.I2uOsuij.dpuf

Remaja ditampar halang teman lelaki buat tak senonoh


Tidak dapat mengawal nafsu menyebabkan remaja lelaki bertindak gila menggigit payudara teman wanitanya di tangga pangsapuri di Puchong Prima, di sini.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, suspek berusia 17 tahun membawa mangsa berusia 18 tahun ke kediamannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa bagaimanapun enggan masuk ke dalam rumah dan hanya duduk di tangga untuk bersembang bersama suspek.

“Suspek meminta untuk memegang payudara mangsa. Lebih melampau suspek turut menggigit payudara mangsa sebelum gadis itu menghalang tindakan suspek.

“Suspek dikatakan naik marah dan hilang kawalan sebelum cuba membuka seluar mangsa,” katanya.

Dia berkata, mangsa yang cuba menepis tangan mangsa sebaliknya ditampar suspek di muka dan bibir.

“Suspek membatalkan niat jahatnya sebelum menghantar mangsa pulang ke asramanya, di sini.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa trauma serta cedera di dada kanan dan lebam pipi kiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:26 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80062#sthash.hZyevNsS.dpuf

Perempuan datang berparang

 Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my
Bangi: Seorang pelajar politeknik tidak menyangka dirompak sekumpulan penjenayah termasuk dua wanita bersenjatakan parang ketika menunggang motosikal melalui Lebuhraya PLUS berhampiran Bukit Mahkota, di sini.


Dalam kejadian jam 6.15 petang kelmarin, mangsa berusia 18 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Serdang, di sini.

Mangsa yang juga penuntut Politeknik Merlimau Melaka mendakwa menyedari sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam dinaiki empat individu mengekorinya dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Seremban.

Sumber berkata, suspek mengarahkan mangsa berhenti di tepi lebuh raya, namun mangsa nekad meneruskan perjalanan.

“Mangsa cuba memecut ke arah sekumpulan penunggang motosikal lain yang berada di hadapan.

“Bagaimanapun usaha mangsa melarikan diri gagal apabila suspek terus mengekori motosikalnya sebelum dia berhenti di lorong kecemasan di lebuh raya itu,” katanya.

Dia berkata, suspek keluar dari kereta sambil membawa parang dan terus meluru ke arah mangsa.

Menurutnya, suspek menghentak parang itu di atas kusyen motosikal mangsa sebelum rakannya merampas topi keledar mangsa

“Suspek melarikan motosikal Kawasaki Ninja 150 RR milik mangsa.

“Mangsa tidak berani melawan kerana bimbang dicederakan suspek. Bagaimanapun mangsa bernasib baik kerana barangan miliknya termasuk telefon pintar, beg duit dan komputer riba tidak dilarikan,” katanya.

Menurutnya, mangsa menghubungi keluarga bagi mendapatkan bantuan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini.

“Mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta Proton Perdana dinaiki suspek kerana diubah suai, namun siasatan dilakukan menggunakan bantuan CCTV di susur keluar lebuh raya terutamanya di Bangi, Kajang dan Sungai Besi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:27 AM

MOTOSIKAL Kawasaki Ninja berwarna merah milik mangsa yang dilarikan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80064#sthash.y4FS3PRO.dpuf

Petaka lorong kecemasan

 Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my
Alor Setar: Hasrat seorang kanak-kanak untuk beraya dan menghadiri majlis kenduri akikah saudara di kampung tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 66.7 Lebuhraya Utara-Selatan hala utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Pendang, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 10 pagi, murid Sekolah Kebangsaan Jelutong Barat, Mohammad Nurhakimi Suzlisham, 10, yang berada di sebelah kanan tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan dalaman selepas kereta bapanya yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan dirempuh kereta lain.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Bapanya, Suzlisham Salleh, 38, berkata, dia dan isteri, Suhana Sallehudin, 37, bersama tiga anak keluar dari rumah di Kuarters Perbadanan Bekalan Air (PBA) Jalan Padang Tembak, Ayer Hitam, Pulau Pinang jam 7.30 pagi untuk pulang berhari raya di kampungnya di Tanah Merah, Jitra.

Menurutnya, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Saganya mengalami kerosakan apabila lampu minyak enjin tiba-tiba menyala menyebabkan dia memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Saya pada mulanya membuka bonet kereta untuk memeriksa kerosakan sebelum menghubungi adik untuk meminta bantuan.

“Saya masuk semula ke dalam kereta sementara menunggu bantuan sebelum tiba-tiba terkejut apabila Proton Pesona merempuh belakang menyebabkan kereta berpusing,” katanya.

Suzlisham berkata, dia terus memeriksa ahli keluarganya dan mendapati Mohammad Nurhakimi tidak sedarkan diri dan darah keluar dari telinganya.

“Bagaimanapun dua lagi anak saya, Muhammad Nurhanif, 4, dan Muhammad Nurhaikal, 9, yang turut berada di tempat duduk belakang tidak cedera.

“Mujur orang awam yang menyaksikan kejadian itu datang membantu dan membawa isteri dan anak ke hospital sementara saya tinggal di lokasi kejadian sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Dia yang bekerja di PBA berkata, mereka sepatutnya pulang pada malam kelmarin namun kerana kepenatan dia mengambil keputusan pulang pada sebelah pagi dan tidak menyangka kejadian itu berlaku.

Suhana pula berkata, anaknya paling gembira dan tidak sabar pulang berhari raya di kampung malah sebaik bangun tidur, dia terus mengejutkan dua lagi adiknya dan meminta mereka segera bersiap untuk pulang.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan pelik dan dia anak yang baik walaupun mengalami sedikit masalah dalam pelajaran kerana lembam,” katanya.

Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Merah, Jitra, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, Proton Saga yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan sebelum tiba-tiba Proton Pesona merempuh belakang kereta terbabit.

“Lelaki yang memandu Proton Pesona berusia 23 tahun turut cedera dan menerima rawatan di HSB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:28 AM

Kereta Proton Saga yang remuk di bahagian belakang selepas dirempuh Proton Persona.Gambar kecil, Mohammad Nurhakimi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80066#sthash.7DTijy7n.dpuf

Gagal pindah tengah laut


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

ekhwan@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Pindah operasi di tengah laut. Itu modus operandi digunakan sindiket pemerdagangan manusia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di perairan Sekinchan di sini, Selasa lalu.


Taktik diguna pakai untuk menyeludup 32 warga asing itu bagaimanapun ditumpaskan sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya berjaya menahan seramai lapan warga Somalia membabitkan empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun hingga 45 tahun.

Katanya, selain itu empat lelaki warga Pakistan berusia 29 hingga 42 tahun turut diberkas bersama 17 warga Myanmar.

“Semua mereka dipercayai cuba untuk keluar dari negara ini menggunakan laluan tidak sah.

“Sindiket itu dikesan menggunakan dua bot untuk membawa warga asing yang mahu keluar atau masuk ke negara ini. Warga asing terbabit kemudiann akan dipindahkan ke satu lagi bot yang sedia menunggu di tengah lautan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak PPM turut menahan empat warga Indonesia berusia 33 hingga 45 tahun yang bertindak sebagai tekong untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.

“Sindiket ini memilih untuk memindahkan ‘muatan’ di tengah laut kerana beranggapan taktik itu menjimatkan kos bahan api dan sukar dihidu pihak berkuasa.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:29 AM

SEBAHAGIAN daripada 32 PATI yang diselamatkan polis marin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80068#sthash.qkIVuz0S.dpuf

Jemaah tidak berdisiplin jadi punca


Mina: Menteri Kesihatan Arab Saudi menyalahkan jemaah yang tidak berdisiplin menjadi punca tragedi rempuhan di Mina yang membunuh lebih 700 jemaah.

Khaled al-Faith menegaskan tragedi itu boleh dielakkan jika jemaah haji mematuhi arahan.


“Ramai jemaah bergerak tanpa mengikut waktu ditetapkan pihak berkuasa haji dan sikap itulah yang membawa masalah serta menjadi punca tragedi seperti ini.

“Jika jemaah mengikut arahan ditetapkan, kejadian seperti ini boleh dielakkan.

Sementara itu, Iran menyalahkan Arab Saudi berikutan tragedi itu hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 43 jemaahnya terbunuh manakala 60 lagi cedera.

Ketua jabatan haji Iran, Said Ohadi, berkata tanpa sebab yang tidak diketahui dua laluan ke Jamarah ditutup yang menjadi punca tragedi itu.

“Tragedi hari ini menunjukkan salah pengurusan dan kecuaian terhadap keselamatan jemaah. Tiada penjelasan lain, pegawai Arab Saudi perlu bertanggungjawab,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 9:41 PM

Jemaah haji meneruskan ibadah melontar walaupun berlaku tragedi rempuhan di pintu masuk Jamarah menyebabkan lebih 700 jemaah mati. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79937#sthash.bzlQl8ru.dpuf

Mayat warga emas di lopak air

 Oleh Mohd Rizal Abdullah

mohd.rizal@hmetro.com.my


Miri: Lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui mati di dalam lopak air di Interhill 2, Interhill Park Miri, di sini, petang tadi.


Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring bersebelahan kereta yang dipandu mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dipercayai mati sejak dua hari lalu; bagaimanapun, tidak disedari penduduk setempat di kawasan itu.

Menurutnya, kejadian disedari apabila terdapat orang awam yang menghubungi pihak polis memberitahu terdapat kemalangan di kawasan itu.

"Anggota polis trafik kemudiannya bergegas ke lokasi dan menemui mangsa bersebelahan kereta berkenaan," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta mangsa tersangkut di dalam lopak air sebelum mangsa cuba untuk mengeluarkan keretanya seorang diri.

"Bagaimanapun, mangsa dipercayai tergelincir di dalam lopak berkenaan sebelum mati," katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

"Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 9:50 PM

LELAKI warga emas ditemui mati di dalam lopak air.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79939#sthash.IHdhcMYL.dpuf

Mina: 4,000 petugas, 220 ambulans ke lokasi rempuhan


Mina: Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi menggerakkan lebih 4,000 petugas perubatan termasuk 220 ambulans di lokasi rempuhan di sekitar Jalan 204, berhampiran kem di Mina.

Angka mangsa terkorban meningkat kepada 310 orang , manakala dianggarkan lebih 450 yang lain cedera akibat rempuhan terbabit.

Menerusi akaun twitter jabatan pertahanan negara itu memaklumkan kerja menyelamat mangsa yang cedera sedang giat dilakukan di sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Lokasi kejadian iaitu Jalan 204 adalah salah satu laluan utama menuju ke Kem di Mina dan jemaah haji akan melakukan ibadah melontar jamrah.

Jabatan pertahanan negara itu turut memuatnaik beberapa keping gambar di lokasi kejadian dan turut kelihatan petugas perubatan mengusung mangsa yang cedera.

Sementara itu, wartawan Al Arabiya News Channel, Abdulrahman Al-Osaimi, melaporkan kejadian berlaku di pintu masuk jambatan ke Jamrah dekat Jalan 204, bukan di dalam kawasan melontar.

"Jemaah yang cedera dihantar ke empat hospital di Mina. Ada juga mangsa diterbangkan dengan helikopter ke hospital di Makkah," lapornya.

Jabatan itu menyatakan anggotanya kini sedang menyelia jemaah keluar dari kawasan tragedi dan menggunakan laluan lain ke tempat melontar. Operasi menyelamat juga masih diteruskan.

Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan mangsa terbaring di atas lantai dirawat anggota paramedik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:31 PM

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam cuba menyelamatkan mangsa insiden rempuhan di Mina. FOTO Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79919#sthash.BigdxLmP.dpuf

Indonesia tidak akan mohon maaf


Jakarta: Kerajaan Indonesia tidak akan memohon maaf kepada mangsa tindakan antikomunis tajaan kerajaan 50 tahun lalu yang menyebabkan sehingga tiga juta orang mati dibunuh.

Setiausaha Kabinet Pramono Anung berkata semalam, semua laporan mengenai Presiden Joko Widodo (Jokowi) bersiap untuk memohon maaf sempena ulang tahun kejadian yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai itu tidak benar.

“Isu mengenai permohonan maaf atau seumpamanya tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet,” kata Pramono kepada wartawan di Istana Negara, semalam.

Jokowi lebih memberi perhatian kepada masalah yang lebih penting, termasuk menangani kelembapan pertumbuhan ekonomi.

“Isu memohon maaf itu tidak ada dalam pemikirannya ketika ini,” kata Pramono.

Khabar angin kononnya permohonan maaf secara rasmi terhadap kejadian yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai anggota dan mereka yang bersimpati kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) tersebar sejak ucapan kebertanggungjawaban Jokowi bulan lalu.

Dalam ucapan itu, Jokowi menggesa rakyat Indonesia melupakan pencabulan hak asasi yang sudah lama berlaku.

Khabar angin sebelum ini mendakwa kerajaan akan memohon maaf pada 30 September ini, sempena ulang tahun dakwaan tentera bahawa PKI cuba merampas kuasa.

Sejarawan menuduh PKI dijadikan kambing hitam untuk membolehkan tentera yang diketuai Jeneral Suharto merampas kuasa daripada presiden ketika itu, Sukarno.

Kira-kira sejuta hingga tiga juta orang dibunuh tentera dan juga sayap pemuda Nahdlatul Ulama (NU), kumpulan Islam terbesar negara itu.

NU dan Muhammadiyah, kumpulan Islam kedua terbesar negara itu, menyelar sebarang cubaan untuk meminta maaf, begitu juga Parti Golkar yang diasaskan Suharto dan persatuan terbesar bekas tentera Indonesia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:17 AM

Saman RM2.6 juta kerana ‘angin’


London: Seorang saudara Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menyaman majikannya kerana mendakwa hidupnya terseksa apabila dibuli rakan sekerja yang datang ke mejanya semata-mata untuk ‘melepaskan angin.’

Marie Auma, 57, anak saudara kepada ibu tiri Obama yang turut menghadiri majlis pelantikannya pada 2009 menyaman Polis Metropolitan London kerana mendakwa diperkecilkan dan dimalukan akibat tindakan rakannya itu.

Marie yang bertugas di Balai Polis Southwark berkata, dua rakan sekerja itu kerap datang ke mejanya untuk kentut dalam perbuatan yang disifatkan sebagai ‘kempen buli abad ke-21.’

Marie yang bertugas sebagai perantara untuk mangsa jenayah, menuntut ganti rugi GBP390,000 (RM2.6 juta).

Marie mendakwa mula dibuli selepas permohonannya untuk bercuti bagi menziarahi kubur abangnya di Kenya ditolak pada 2007.

Marie akhirnya bersara atas masalah kesihatan mental disebabkan terlalu tertekan dengan ‘serangan’ yang dilakukan secara kerap antara 2007 hingga 2009. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:34 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80017#sthash.0RRaOmqI.dpuf

Beras direndam kokain


Bogota: Pegawai kastam Argentina menemui 30 kilogram dadah yang cuba diseludup dengan cara unik - diserap dalam butiran beras yang dieksport ke Eropah melalui Afrika.

Ketua siasatan jenayah narkotik agensi kastam Argentina, Guillermo Gonzalez berkata, dadah itu dikesan anjing pengesan dan mengetengahkan peranan Argentina yang kini menjadi tempat penghantaran bagi kokain yang dihasilkan di Bolivia, Peru serta Columbia.


Dadah dari situ lazimnya dihantar ke Afrika sebelum diseludup ke pasaran Eropah bagi meraih keuntungan lebih tinggi.

“Ini memang kaedah baru. Penyeludup merendam beras dengan air yang dicampur kokain sehingga kering. Ini kali pertama kami melihat penggunaan teknologi itu,” katanya.

Menurutnya, pengedar dadah dipercayai mengisar beras berisi dadah itu sebelum dijual semula sebagai kokain.

“Kokain tulen terlalu kuat dan tidak mampu diserap badan manusia, jadi beras ini mungkin kaedah yang menjimatkan,” katanya.

Menurutnya, 12 suspek warga Colombia dan Argentina ditahan dalam operasi digelar ‘ops beras putih’ itu.

Perancangan itu terbongkar pada 17 September lalu selepas anjing pengesan menjejak kokain itu dalam kargo berisi 50 kilogram guni beras di sebuah gudang di bandar Rosario.

Penemuan itu bagaimanapun dirahsiakan untuk membolehkan pihak berkuasa mengesan lebih ramai suspek. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:33 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80014#sthash.2XwozqGy.dpuf

Tak mahu beri visa untuk Chris Brown


Sydney: Penyanyi R&B Chris Brown (gambar) mungkin tidak dibenarkan visa untuk ke Australia bagi persembahan konsert disebabkan rekod jenayahnya bagi kesalahan keganasan rumah tangga terhadap bekas kekasih, Rihanna.

Ini berikutan pendedahan Perdana Menteri Malcolm Turnbull mengenai perancangan mengakhiri masalah keganasan rumah tangga di negara itu melalui pakej bernilai A$100 juta (RM308 juta).

Menteri Wanita yang baru dilantik Ahad lalu, Michaelia Cash berkata, kerajaan serius mempertimbangkan menolak kemasukan Brown ke negara itu disebabkan sabitannya pada 2009.

Brown yang memenangi anugerah Grammy pada 2012 bagi album R&B terbaik dijadualkan mengadakan beberapa siri konsert Disember ini, tetapi ditentang kumpulan aktivis GetUp.

Brown dilarang memasuki beberapa negara lain termasuk Britain dan Kanada.

“Ini sesuatu yang penting untuk difahami. Jika anda melakukan keganasan rumah tangga dan ingin mengembara keliling dunia, percayalah ada negara yang tidak akan menerima anda,” kata Michaelia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:34 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80016#sthash.riGNhxst.dpuf

Kepala dipanah

Agensi
New Delhi: Seorang budak lelaki nyata panjang umur apabila terselamat walaupun kepalanya ditusuk anak panah dalam kemalangan ketika menghadiri latihan di kelab memanah.

Ritvik Ankush Tarte, 11, tersilap melangkah ke zon larangan ketika latihan memanah mingguannya menyebabkan kepalanya dipanah.

Anak panah itu menembusi tengkorak Ritvik di sebelah kanan kepalanya manakala hujungnya terkeluar di kirinya.

Guru bertugas bergegas membawanya ke Hospital dan Pusat Kajian Manik di Ahmednagar sebelum pasukan doktor diketuai Dr Jeevan Rajput melakukan pembedahan selama tiga jam untuk membuang anak panah itu.

“Kami mendapat izin daripada gurunya untuk melakukan pembedahan kecemasan itu selepas imbasan CT pada otaknya menunjukkan lokasi anak panah yang membolehkan kami membuat bukaan pada kedua-dua belah tengkoraknya itu.

“Dia amat bernasib baik, anak panah itu nyaris terkena pada bahagian penting otak,” kata Dr Jeevan.

Katanya, Ritvik semakin sembuh dan berkemungkinan besar tiada masalah saraf, ingatan atau personaliti akibat kejadian itu.

Bapa Ritvik, Ankush Babban Tarte, 40, dan ibu, shwini, 35, berkata, mereka segera ke hospital sebaik mengetahui kejadian.

“Ritvik amat meminati sukan ini. Kami tidak pernah menjangka kejadian seumpama ini berlaku. Harapnya tiada komplikasi lain,” kata Ankush.

Kejadian itu juga tidak mematahkan cintanya terhadap sukan itu, malah bercadang kembali ke kelab memanahnya bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:34 AM

DR Jeevan (tengah) bersama pasukan yang membantunya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80019#sthash.Xa5IAdwn.dpuf

Solat dalam jerebu

Agensi
Pekanbaru: Keadaan jerebu tebal yang melanda beberapa wilayah di Indonesia tidak menghalang umat Islam di negara itu merayakan Aidiladha semalam.

Beberapa wilayah di Sumatera dan Borneo paling teruk dilanda jerebu dan beberapa kawasan mencatat jarak penglihatan hanya 50 meter.


Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang penduduk beragama Islam mengerjakan solat sunat Aidiladha dan menunaikan ibadah korban.

Ribuan penduduk beragama Islam di bandar ini mengerjakan solat sunat Aidiladha di satu kawasan padang milik tentera Indonesia.



Keadaan jerebu tebal di bandar itu menyebabkan penduduk yang hadir terpaksa memakai topeng muka.

“Saya sungguh sedih melihat kami semua terpaksa bersolat dalam keadaan jerebu yang tebal.

“Namun, kami tetap teruskan juga kerana ini adalah satu ibadah,” kata penduduk, Samsudin.

Keadaan serupa turut dialami penduduk di Palembang yang terpaksa bersolat sunat dalam keadaan berjerebu.

Kekurangan ruangan solat di dalam masjid menyebabkan kawasan lapang biasanya dipilih untuk menunaikan solat Aidiladha atau Aidilfitri di negara itu.

Jerebu yang melanda sebahagian wilayah Indonesia sejak dua bulan lalu berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera yang masih tidak terkawal hingga kini.

Asap daripada kebakaran hutan itu turut menyebabkan jerebu teruk melanda negara jirannya iaitu Malaysia dan Indonesia.

Kebakaran hutan yang menjadi punca utama jerebu itu dicetuskan aktiviti pembersihan hutan untuk aktiviti perladangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:39 AM

SEORANG penduduk berjalan di padang yang dijadikan lokasi solat sunat Aidiladha di Pekanbaru, Riau semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80026#sthash.Tw0HKEnt.dpuf

Tiga jemaah Indonesia maut di Mina


Jakarta: Tiga jemaah warga Indonesia dilaporkan terkorban dalam tragedi rempuhan di laluan pejalan kaki di Mina, Arab Saudi semalam.

Wakil Duta Besar Indonesia di Arab Saudi, Sunarko berkata, mangsa yang terkorban belum dapat disahkan identitinya.


“Daripada maklumat yang kami terima tiga jemaah Indonesia terkorban dalam tragedi berkenaan.

“Kami kini berusaha mengenal pasti identiti semua mangsa,” katanya.



Menurutnya, kedutaan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memantau sekiranya ada lagi jemaah Indonesia terbabit dalam tragedi berkenaan.

Pegawai penyelaras haji Indonesia di Makkah, Arsyad Hidayat memberitahu, seorang jemaah yang maut adalah lelaki.

“Ketika kejadian mangsa bersama isteri dan seorang lagi ahli keluarganya,” katanya.

Menurut media Indonesia, isteri dan ahli keluarga jemaah berkenaan tidak cedera dalam kejadian itu.

“Kami mengumpul lebih banyak maklumat bagi mencari sekiranya ada lagi jemaah Indonesia maut atau cedera,” jelasnya.

Kejadian rempuhan itu tercetus selepas ribuan jemaah berasak-asak di laluan yang menuju ke tempat melontar jamrah.

Setakat ini lebih 700 jemaah dilaporkan terkorban dan kira-kira 800 lagi cedera. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:38 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80023#sthash.PvEmW2FG.dpuf

Krisis makanan Zimbabwe semakin buruk



AFP - SEORANG kanak-kanak Zimbabwe memeriksa saki-baki tanaman jagung keluarganya di Kampung Musana Bindura baru-baru ini.


BINDURA – Ramai penduduk kampung di Zimbabwe terpaksa mencatu makanan dan merayau-rayau untuk mencari buah hutan selepas stok makanan habis akibat musim menuai yang tidak menjadi.
Krisis makanan itu antara lain disebabkan oleh kemarau dan rombakan pemilikan tanah.
“Kami tidak dapat melakukan apa-apa walaupun anak-anak kami mengadu lapar,” kata seorang ibu anak empat berusia 40 tahun, Rabian Chidamba yang menetap di daerah Musana, barat laut ibu kota Zimbabwe, Harare.
Dia mencatu waktu makan keluarganya kepada dua kali sehari menggunakan saki-baki simpanan jagung mereka.
“Jika anak-anak lapar sebelum waktu makan, mereka akan keluar mencari buah di hutan,” kata Chidamba.
Dia masih mempunyai sedikit simpanan jagung, tidak seperti penduduk di daerah lain yang kehabisan makanan. Keadaan itu dijangka menjadi lebih buruk ekoran musim menuai seterusnya hanya tiba pada April atau Mei tahun hadapan.
“Tuaian kami cuma 10 guni jagung berbanding 30 guni yang biasa diperoleh,” katanya.
Chidamba akan menjual sebahagian jagung itu bagi mendapatkan wang untuk membayar yuran persekolahan anak-anak dan keperluan lain tetapi tuaian tahun ini tidak mencukupi untuk memberi keluarganya makan.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk Zimbabwe memerlukan bantuan makanan, menurut Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa agensi bantuan lain.
Zimbabwe yang pernah menjadi pengeluar jagung utama kini mengimport makanan selepas hasil pertanian berkurangan disebabkan oleh tindakan Presiden Robert Mugabe merampas tanah-tanah pertanian milik peladang kulit putih untuk diberikan kepada penduduk kulit hitam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3mhH84Qgj 
Hakcipta terpelihara 

Bolivia haram garam di meja restoran





LA PAZ – Kerajaan Bolivia memperkenalkan satu idea bernas bagi mengurangkan pengambilan garam dalam kalangan orang ramai iaitu dengan mengharamkannya di meja restoran.

Langkah drastik itu diambil berikutan satu pertiga penduduk Bolivia menderita akibat penyakit tekanan darah tinggi.

Menurut kerajaan Bolivia, peningkatan jumlah penghidap darah tinggi di negara itu antara lain berpunca daripada menyalahgunakan garam secara berlebihan dalam makanan.

“Kita harus menghapuskan botol garam atas meja,” ujar Timbalan Menteri Hak Pengguna, Guillermo Mendoza ketika mengumumkan langkah itu di pejabatnya.

Mendoza turut mengarahkan kepada pihak restoran supaya menunjukkan paras kandungan gula dan garam yang digunakan dalam masakan mereka. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3mhGz9JGo
Hakcipta terpelihara 

AS punca krisis imigran


REUTERS - SEORANG kanak-kanak berada dalam beg galas bapanya yang baru melepasi sempadan Greece dan menunggu kenderaan yang akan membawa mereka ke kem pelarian di Gevgelija, Macedonia semalam.


PYONGYANG – Korea Utara semalam menyalahkan Amerika Syarikat (AS) sebagai punca kepada krisis imigran yang membelenggu Eropah pada masa ini.
Menurut Kementerian Luar Korea Utara, Washington wajar dikecam dan perlu bertanggungjawab atas masalah yang berlaku itu.
“AS merupakan ‘empayar jahat’ yang melakukan segala penindasan hak asasi manusia,” kata seorang jurucakap Kementerian Luar Korea Utara menurut agensi berita KCNA.
Sebagai contoh, kata jurucakap berkenaan berkata, beratus-ratus ribu imigran dari zon perang di Syria dan Afghanistan terpaksa mencari perlin­dungan di negara-negara Eropah.
“AS yang mencetuskan krisis imigran yang menular ke seluruh Eropah.
“Semua ini berlaku apabila Washington melan­carkan perang di Afghanistan, Iraq, Libya, Syria dan beberapa bahagian lain di dunia dengan alasan meme­rangi keganasan dan mewujudkan demokrasi tetapi itu menyebabkan bilangan pelarian naik dengan mendadak,” ujarnya.
Korea Utara sebaliknya berada dalam ‘kehidupan yang menggembirakan’, menurut jurucakap sama.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada perbincangan terkini mengenai pencabulan hak asasi manusia di Korea Utara pada Mesyuarat Hak Asasi Manusia di Geneva. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mhGjZJDp 
Hakcipta terpelihara 

25 maut selepas masjid dibom ketika solat Aidiladha



REUTERS - tompokan darah di luar Masjid Balili di Sanaa, Yemen selepas kejadian dua letupan bom di masjid itu semalam.


SANAA – Satu serangan bom yang menyasarkan penganut Syiah mengorbankan sekurang-kurang­nya 25 orang mangsa dan mencederakan berpuluh yang lain ketika umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di sebuah masjid di sini semalam, kata pasukan perubatan.
Letupan berlaku di Masjid Balili iaitu di kawasan yang dikuasai pemberontak Syiah Houthi, kata saksi.
Saksi melaporkan selepas letupan pertama di dalam masjid, seorang pengebom berani mati kemudian meletupkan bom yang berada di tali pinggangnya di pintu masuk masjid itu ketika orang ramai bergasak untuk keluar.
Ketika ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Sanaa sering digegarkan oleh siri pengeboman oleh kumpulan militan Islamic State (IS) dalam beberapa bulan kebe­lakangan ini dengan menyasarkan golongan Syiah.
Kumpulan radikal Islam Sunni menyifatkan Syiah sebagai ajaran sesat dan turut mendakwa bertanggungjawab dalam pengeboman masjid-masjid di Kuwait dan Arab Saudi.
Pemberontak Houthi yang disokong Iran telah merampas beberapa kawasan di Yemen termasuk Sanaa sejak setahun lalu.
Pasukan tentera prokerajaan yang disokong Arab Saudi telah melancarkan serangan udara dan baru-baru ini berjaya merampas kembali beberapa wilayah di selatan termasuk bandar kedua Yemen, Aden. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3mhGbCkgy 
Hakcipta terpelihara 

Geng Latin pecah rumah tumpas

Dua lelaki ditahan di sebuah hotel di Kuantan

Shafien Mamat (dua dari kiri) menunjukkan resit pengeposan barangan

Shafien Mamat (dua dari kiri) menunjukkan resit pengeposan barangan ke negara latin milik suspek kes pecah rumah geng latin dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor, semalam. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM 24 Sept. - Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang didalangi warga Amerika Latin dengan penahanan dua lelaki di sebuah hotel di Kuantan, Pahang pada 10 September lalu.
Kedua-kedua suspek ditahan bersabit tiga kes pecah rumah di daerah ini bersama-sama peralatan yang digunakan untuk mela­kukan jenayah seperti pemutar skru, kuku kambing yang menjadikan kediaman-kediaman di sempadan Selangor termasuk satu kes di Johor Bahru sebagai sasaran.
Ketua Polis daerah, Asisten Ko­misioner Shafien Mamat berkata, penahanan mereka berjaya membongkar taktik terbaharu kumpulan tersebut yang mengepos hasil curi dengan memecah masuk rumah ke negara asal mereka.
“Kita menahan dua lelaki warga Latin berusia 30-an bersama barangan curi seperti kamera, cermin mata, 11 utas jam tangan, telefon dan lain-lain termasuk beberapa resit mengepos dipercayai hasil perbuatan jenayah yang beralamat di Colombia.
“Modus operandi sebegini me­nunjukkan penjenayah warga La­tin mempunyai rangkaian antarabangsa dan kita sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan barang-barang curi yang dikirim ke negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kesyukuran 100 hari perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Daerah di sini semalam.
Shafien memberitahu, kedua-dua penjenayah direman sehingga 25 September ini manakala kesemua pengadu akan dipanggil untuk pengecaman barang-barang kes.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/geng-latin-pecah-rumah-tumpas-1.139673#sthash.U1SWfnDq.dpuf

Sindiket curi lori lumpuh, polis tahan dua ahli kumpulan Boba


25 September 2015 12:07 AM

IPOH 24 Sept. – Polis melumpuhkan satu sindiket curi lori yang dikenali sebagai kumpulan Boba dengan tertangkapnya dua lelaki di Menglembu, di sini pada 15 September lalu.
Mereka yang ditahan dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu berusia 27 dan 30 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Anuar Othman berkata, susulan daripada tangkapan itu, pihaknya juga telah menyerbu sebuah gudang di kawasan perindustrian Silibin di sini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, beberapa lori dan komponen kenderaan tersebut telah dirampas termasuk dua biji lori, sebuah kereta, lapan kepala lori, lima badan lori dan satu enjin lori. Kesemua rampasan bernilai RM300,000.
“Kita kini sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan yang dikenali sebagai Chandran dan ketua kumpulannya iaitu Boba @ Santhis.
“Siasatan awal mendapati ke- tua kumpulan itu telah menjalankan kegiatan tersebut di negeri ini, Selangor dan Pulau Pinang. Boba akan memberi arahan kepada anak buahnya untuk mencuri lori dan membawanya ke sebuah gudang untuk dipotong,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ujar Anuar, Boba sebelum ini sudah beberapa kali ditangkap atas kesalahan yang sama.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang telah ditahan itu direman sehingga Sabtu lalu dan hanya suspek berusia 30 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Sindiket ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kenderaan sejak empat bulan lalu dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dua suspek lain termasuk ketua kumpulan tersebut,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-curi-lori-lumpuh-polis-tahan-dua-ahli-kumpulan-boba-1.139678#sthash.FSGpLC93.dpuf

Polis selesaikan kes pecah masuk bengkel kereta dalam masa 24 jam

MOHAMAD SALLEH ABD. RAZAK menunjukkan lori yang digunakan tiga

MOHAMAD SALLEH ABD. RAZAK menunjukkan lori yang digunakan tiga suspek untuk pecah masuk sebuah bengkel kereta dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, Johor, kelmarin.
LEDANG 24 Sept. – Tidak sampai 24 jam selepas sebuah bengkel kereta dipecah masuk di Taman Seri Tangkak, di sini Sabtu lalu, polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 32, 49, dan 37 tahun itu ditahan di tiga tempat berasingan pada hari sama.
“Suspek pertama ditahan pukul 5.20 petang, Ahad lalu di Taman Paya Mas. Penahanan itu menemukan antaranya tiga enjin kereta, satu bateri, kipas pendingin hawa dan peralatan bengkel.
“Kita turut merampas sebuah lori Isuzu milik bapa saudara suspek yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini semalam.
Katanya, suspek kedua ditahan dua jam selepas itu di hadapan sebuah pasar raya manakala suspek ketiga ditahan 45 minit selepas itu berdekatan pasar raya tersebut.
Menurut beliau, suspek pertama bekerja sebagai pemandu lori manakala dua lagi menganggur.
“Suspek pertama juga dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pemerasan di Kemayan, Pahang, baru-baru ini selain mempunyai empat rekod dadah dan jenayah antara 2005 hingga 2015 manakala suspek kedua mempunyai empat rekod dadah dan jenayah dari 1990 hingga 2013,” katanya.
Tambahnya, suspek ketiga juga dikehendaki kerana terlibat kes dadah di bawah Seksyen 51A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain mempunyai dua rekod dadah dan jenayah pada 2002 dan 2009.
Ujarnya, kerugian bengkel kereta itu dianggarkan RM7,000 dan pihaknya mendapati suspek kedua dan ketiga terlibat dalam kes mencuri di sebuah tokong di sini bulan lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-selesaikan-kes-pecah-masuk-bengkel-kereta-dalam-masa-24-jam-1.139684#sthash.sviSn2GC.dpuf

Pesalah berselfie dengan anggota polis


MUNCIE, Indiana 24 Sept. - Seorang lelaki kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) menjadi popular apabila gambar selfienya bersama seorang anggota polis kulit putih yang menyamannya menjadi viral di Internet.
GREG BARNES JR. berselfie bersama anggota polis yang menyamannya kerana memandu laju menjadi viral di Internet. AGENSI
Portal berita nydailynews.com melaporkan, lelaki itu berbuat demikian bagi membuktikan bahawa bukan semua anggota polis itu jahat.
Greg Barnes Jr. mengambil gambar itu bersama anggota polis Indiana yang menahannya kerana memandu laju pada Jumaat lalu untuk menghantar pesanan positif tentang sikap polis selepas kedua-dua mereka berkongsi perbualan mengenai ke­salahan yang berlaku.
“Pegawai polis itu tidak mengenali saya dan begitu juga saya. Namun, kami saling menunjukkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Polis itu, hanya menjalankan tugasnya dan saya telah melakukan ke­salahan ketika cuba bergegas pulang ke rumah dengan memandu me­lebih had laju,” katanya.
Lelaki yang berasal dari Muncie, Indiana itu berkata, dia dan pegawai polis berkenaan berbincang mengenai kehi­dupan seharian mereka dan mengenai interaksi polis dengan orang awam sehingga membawa maut di negara ini syang menjadi perbualan hangat.
“Sama ada kita (orang awam) menjadi musuh mereka (polis). Kita akan terus bermusuhan antara satu sama lain sehingga kita menjadi ‘hitam dan biru,’ atau kita boleh tunjukkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, bukan sebagai lelaki berkulit hitam dan pegawai polis berbaju biru, tetapi sebagai manusia,” kata Barnes.
Muat naik gambar selfie itu telah dikongsi pengguna Internet sebanyak hampir 48,000 kali sejak Jumaat lalu.
Anggota polis itu dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Shawn Cosgrove.
“Saya rasa ia merupakan satu saat yang sangat indah, terutama sejak kebela­kangan ini apabila wujud kete­gangan di seluruh ne­gara, yang membabitkan anggota polis,” kata Cosgrove kepada WISH-TV.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pesalah-berselfie-dengan-anggota-polis-1.139733#sthash.fKqNbuNc.dpuf

Insiden rempuhan di Mina: 453 maut, 719 cedera


MEKAH 24 Sept. - Jumlah korban kejadian rempuhan di Mina meningkat kepada 453 orang jemaah haji manakala 719 lagi cedera, berdasarkan laporan Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi.
Kali terakhir tragedi rempuhan berlaku di Mina adalah pada 2006 yang menyaksikan 346 jemaah haji maut manakala 289 cedera. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/insiden-rempuhan-di-mina-453-maut-719-cedera-1.139651#sthash.hNbg2ENS.dpuf

Ramai terbunuh akibat berselfie

Perbuatan berselfie di atas bangunan tinggi adalah perbuatan yang

Perbuatan berselfie di atas bangunan tinggi adalah perbuatan yang berbahaya dan boleh membawa maut. AGENSI
NEW YORK 24 Sept. – Lebih banyak orang mati akibat mengambil gambar selfie berbanding mereka yang maut akibat dibaham ikan jerung pada tahun ini, menurut data terbaharu yang dikeluarkan sebuah portal media digital, di sini.
Menurut Data Mashable, menerusi data yang dikumpulkan me­reka, sebanyak 12 orang diketahui mati berkaitan dengan selfie, sama ada mereka terjatuh atau dilanggar kenderaan yang sedang bergerak semasa mereka mengambil gambar selfie.
Bagaimanapun menerusi data itu, yang diperoleh daripada maklumat dari seluruh dunia, hanya lapan orang maut akibat diserang jerung, lapor portal Mail Online.
Pakar berpendapat, peningkatan kadar kematian akibat selfie adalah berpunca daripada sikap manusia itu sendiri yang secara sukarela meletakkan diri mereka dalam situasi berbahaya, semata-mata mahu menarik perhatian rakan mereka di media sosial.
Antara situasi berbahaya yang menjadi pilihan penggemar selfie adalah mengambil gambar dari ketinggian melampau dan bergambar bersama haiwan liar.
Kematian terbaharu akibat selfie melibatkan seorang lelaki Jepun berusia 66 tahun yang maut selepas terjatuh, sebelum diserang sakit jantung semasa mengambil gambar selfie di Royal Gate.
Data Mashable menunjukkan, kematian paling tragik adalah melibatkan dua remaja Rusia yang maut ketika cuba mengambil gambar selfie bersama sebutir bom tangan dengan pin bom itu sudah dicabut.
Sementara itu di Rusia, kementerian dalam negeri mula mengambil langkah keselamatan dengan mengeluarkan risalah dan video yang menyatakan bahawa mengambil gambar selfie yang menarik boleh mengancam nyawa.
Video itu antara lain menasihati orang ramai supaya tidak bergambar bersama senjata atau memberikan aksi istimewa di hadapan se­ekor singa.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ramai-terbunuh-akibat-berselfie-1.139720#sthash.wOS5Y4J9.dpuf