Search This Blog

Wednesday, September 23, 2015

Murid Orang Asli Hilang: Pusat Operasi Dipindah Ke IPD Gua Musang


Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 5:34 PM

GUA MUSANG: Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dalam masa terdekat.
Namun Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah menegaskan perpindahan pusat operasi dari SK Tohoi ke IPD Gua Musang bukan bermakna operasi mencari kanak-kanak tersebut dihentikan.
"Operasi ini masih berjalan seperti biasa dan pusat operasi itu akan memantau semua pergerakan mencari di kawasan Pos Tohoi dengan menetapkan kawasan lebih kecil sedikit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli Pos Tohoi, Rabu.
Dalam kejadian 23 Ogos lepas, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.
Saiful Bahri berkata pemindahan pusat operasi itu adalah untuk keselesaan pasukan SAR dan IPD Gua Musang sedang menyiapkan tempat bagi menempatkan pusat berkenaan.
Beliau yang juga komandan operasi tersebut yang melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, berkata walaupun pelbagai cara telah dilakukan termasuk penggunaan anjing pengesan dan helikopter, usaha mengesan murid itu masih menemui jalan buntu.
Katanya kawasan hutan dengan radius 80 kilometer sekitar Pos Tohoi juga sudah dijejaki dan ditambah 60km lagi tetapi tetap gagal menemui tujuh kanak-kanak itu.
"Kita sedang mengambil langkah mengecilkan kembali kawasan dan anggota operasi tetapi perkara itu akan dibincangkan bersama dengan ketua jabatan masing-masing supaya ada persetujuan bersama. - BERNAMA

Polis Buru Empat Mat Rempit Berlumba Di Kesas


Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 5:39 PM

SHAH ALAM: Polis masih memburu empat penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, empat suspek berkenaan merupakan antara lima penunggang motosikal yang dipercayai berlumba di lebuh raya tersebut sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu.
"Seorang daripada lima penunggang itu yang berusia 26 tahun kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kerana patah tangan selepas gagal mengawal motosikal dan terjatuh.
"Polis akan mengambil keterangan mangsa apabila dia disahkan dalam keadaan stabil oleh doktor," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selasa, rakaman video mengenai kegiatan lumba haram itu tersebar luas di laman sosial beberapa jam selepas kejadian berlaku.
Rakaman itu menunjukkan lima penunggang motosikal sedang berlumba sebelum empat daripada mereka terjatuh kerana gagal mengawal motosikal selain turut melanggar sebuah kereta jenis Proton Exora.

"Saya sahkan di sini, tiada penunggang yang maut dalam kejadian itu...kita percaya gambar yang tersebar (dalam laman sosial) serta menunjukkan penunggang cedera parah dan maut di tempat kejadian adalah gambar daripada kes berlainan ," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis menahan dua lelaki warga Amerika Latin kerana disyaki menjadi anggota sindiket pecah rumah di Selangor dan beberapa negeri lain.

Shafien berkata kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Kuantan, Pahang pada 10 September lepas.

"Kedua-dua suspek sebelum ini terlibat dalam tiga kes pecah rumah di sekitar daerah Shah Alam...hasil risikan dan intipan, kita berjaya menjejaki kedua-dua suspek itu di Kuantan.

"Dalam serbuan tersebut, polis turut menemui alatan untuk pecah rumah iaitu pemotong besi, spanar boleh laras dan pemutar skru serta barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah seperti kamera, telefon bimbit dan beberapa jam tangan pelbagai jenama," katanya.

Katanya, modus operandi suspek ialah bergerak menggunakan kenderaan yang disewa selain berselindung dengan pas pelajar untuk melakukan aktiviti jenayah di negara ini.

Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini. --Bernama

Tentera Mesir bunuh 10 militan

PACUAN empat roda musnah dalam serangan berhampiran Oasis Bahriyah. - Foto AP

Brigadier Jeneral Mohammed Samir dalam ulasan menerusi laman sosial Facebook berkata, operasi itu dilakukan pada Isnin lalu membabitkan tentera udara dan pasukan khas anti-keganasan.
Katanya, kumpulan militan yang cedera turut ditangkap dan beberapa kenderaan pacuan empat roda musnah dalam operasi terbabit.
Samir berkata, pasukan itu bertindak selepas menerima maklumat pengganas bersedia untuk menyusup masuk ke beberapa wilayah ketika musim percutian Hari Raya Aidiladha dengan mensasarkan beberapa institusi penting yang mempunyai hubungan kait dengan negara luar.
Sehubungan itu, Mesir sudah menjalankan siasatan serangan ke atas kumpulan pelancong yang mengorbankan lapan orang warga Mexico. - AFP

3,930 bungkus rokok seludup dirampas di perairan Sandakan


Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata anggota PPM terserempak dengan bot laju tersebut pada pukul 10.40 pagi.
Katanya ketika hendak diperiksa, juragan memecut laju botnya menuju ke perairan cetek dan kemudian terkandas.
Juragan bertindak melarikan diri dan hasil pemeriksaan di dalam bot menemui 3,930 bungkus rokok yang diseludup masuk dari negara jiran, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, nilai rampasan termasuk bot laju dan enjin berjumlah RM19,648.
Mohamad berkata rokok tersebut hendak dipasarkan di daerah ini khususnya di kawasan Bandar Sandakan.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam. - BERNAMA

APMM selamat mangsa bot karam di Pulau Mataking, Semporna


Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kapten Anor Jaafar berkata, pasukan peronda yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan menjumpai seorang lelaki terapung dan sedang berpaut pada tong minyak kira-kira 6.42 pagi.
"Siasatan awal mendapati mangsa Upal Kadik, 30-an, keluar memancing di kawasan perairan Pulau Mataking kira-kira 10 malam tadi.
"Bot dinaiki mangsa dipercayai rosak sebelum karam," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia, Semporna untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Anor meminta orang ramai yang terbabit dalam sebarang kejadian kecemasan semasa berada di laut agar menghubungi talian MERS 999 atau Pejabat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115. -BERNAMA

Dua kumpulan pecah rumah, curi kenderaan tumpas

KETUA Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad. - Foto Mohd Azren Jamaludin
RABU, 23 SEPTEMBER 2015 @ 11:53 AM
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata kumpulan terbabit ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan sekitar Skudai dan Nusajaya pada 15 September dan Sabtu lalu.
Katanya, hasil serbuan itu 14 individu termasuk seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai terbabit dalam kumpulan itu ditahan bagi membantu siasatan.

Bunuh jiran, kelindan lori dihukum gantung

M DEVINTHIRAN dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh jirannya kira-kira lima tahun lalu. - Foto Muhaizan Yahya
RABU, 23 SEPTEMBER 2015 @ 10:32 AM
M Devinthiran, 29, didapati bersalah membunuh K Perumal di depan rumah No A11, Bahagian Sepong, Ladang Sungai Samak, Ulu Bernam, di daerah Hilir Perak, antara jam 9 hingga 9.45 malam pada 14 November 2010.
Pesuruhjaya Kehakiman S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melebihi keraguan munasabah.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili oleh R Vikneswaran.

12 gelandangan dipercayai dikurung diselamatkan

SELASA, 22 SEPTEMBER 2015 @ 10:06 PM

  Semua 12 individu berusia antara 35 dan 75 tahun itu diselamatkan selepas serbuan dilakukan JKM Kubang Pasu ke atas premis terbabit yang turut diarahkan tutup serta-merta.
JABATAN Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu berjaya menyelamatkan gelandangan yang dipercayai dikurung di sebuah rumah perlindungan haram di Jitra. - Foto Syahid Sokri
  Pegawai Kebajikan Masyarakat Kubang Pasu, Mohd Fadhuli Wahab, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi tadi, adalah hasil kepada pemantauan dan siasatan dilakukan pihaknya selepas menerima aduan daripada penduduk di taman perumahan terbabit yang curiga dengan operasi rumah perlindungan itu.
  "Kita sedang menyiasat apa motif warga emas dan OKU terbabit dikurung di rumah perlindungan berkenaan, namun hasil maklumat diterima setakat ini mengatakan kemungkinan mereka dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan peribadi termasuk mungkin untuk tujuan kutipan derma amal.
  "Buat masa sekarang, kita sudah arahkan rumah perlindungan yang diusahakan dua lelaki itu ditutup dan semua 12 warga emas dan OKU yang berada di dalamnya dihantar ke Rumah Sri Kenangan di Bedong, dekat sini, buat sementara waktu," katanya ketika ditemui, di sini.
  Terdahulu, beliau mengetuai sekumpulan 15 pegawai JKM Daerah Kubang Pasu melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas rumah teres setingkat terbabit yang dijadikan sebagai rumah perlindungan warga emas dan OKU itu.
  Berdasarkan maklumat, penduduk setempat sebelum ini curiga dengan operasi rumah perlindungan berkenaan kerana jeriji besi pada pintu premis sentiasa ditutup dan dikunci menggunakan mangga dan rantai besi, sekali gus bimbang kemungkinan warga emas dan OKU yang berada di dalamnya dikurung.
  Mohd Fadhuli ketika diminta mengulas perkara itu, mengakui pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati penghuni rumah perlindungan itu sentiasa dikurung dan warga emas serta OKU yang tinggal di situ diberikan kemudahan yang tidak mencukupi, malah status keadaan rumah juga terlalu padat untuk didiami. 
   "Sewaktu operasi dijalankan juga kami dapati terdapat berhala di dalam rumah berkenaan walaupun sembilan daripada penghuninya adalah muslim," katanya yang mengesahkan kes disiasat mengikut Akta Pusat Jagaan 1993.

Banjir kilat susulan hujan hampir 6 jam di Pulau Pinang


Oleh Siti Sofia Md Nasir

BANJIR kilat beserta lumpur berlaku akibat hujan lebat sejak awal pagi di Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
GEORGETOWN: Hujan hampir enam jam sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini ditenggelami air serta banjir lumpur.
Ia turut menyebabkan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas luar biasa sejak jam 8 pagi tadi.
Antara kawasan yang terjejas adalah Batu Maung, Bayan Lepas, Paya Terubong serta jalan perbandaran di Georgetown.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan meskipun banjir kilat melanda negeri ini.
"Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku tetapi jentera sentiasa bersiap sedia jika menerima panggilan kecemasan," katanya ketika dihubungi BH.
BANJIR kilat beserta lumpur berlaku akibat hujan lebat sejak awal pagi di Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Azad Jasmin kongsi detik cemas nahas di terowong Ipoh


PELAKON, Azad Jazmin menenangkan ahli keluarganya.
KUALA LUMPUR: Berkongsi detik cemas apabila kereta yang dipandunya berpusing lima kali petang Ahad lalu, pelakon Azad Jazmin menyangka hayat mereka sekeluarga sudah menemui titik noktah.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 39, berkata kemalangan pada jam 5 petang yang turut bersama isteri, anak perempuan dan adik lelakinya itu berpunca daripada kesan minyak tumpah di luar terowong Ipoh.
"Kereta yang dipandu saya terbabas setelah berpusing sebanyak lima kali. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta saya hancur.
"Saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bernafas. Pelbagai perkara berlegar di benak fikiran dan saya menyangka kereta itu akan jatuh ke gaung.
"Saya sempat menoleh kepada adik lelaki saya di belakang sambil mengungkapkan kata-kata maaf kepadanya. Syukur juga isteri saya, Eira memegang erat anak perempuan kami di bahagian belakang dalam keadaan getir itu.
"Keadaan menjadi bertambah kalut apabila ada peminat terlihat kami terlibat dalam kemalangan dan ingin bergambar. Lantas menjadikan lebuh raya sesak seketika," katanya kepada BH Online.
Azad menambah, mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk pulang ke Pulau Pinang selepas membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk menonton filem Girlfriend Kontrak lakonannya.
"Saya menganggap ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku ini. Niat kami untuk membawa ibu saya menonton filem lakonan saya terbantut kerana kemalangan itu dan kami berpatah balik ke Kuala Lumpur.
"Saya memohon maaf kepada pihak media tidak menjawab panggilan kerana masih berada dalam keadaan trauma. Eira begitu terkesan dengan kejadian itu dan kami memutuskan untuk mengambil sedikit masa sebelum memberi sebarang kenyataan.
"Seperti diberikan kesempatan untuk hidup buat kali kedua, saya terus pulang sujud syukur selepas kemalangan itu. Insya-Allah, saya dan Eira merancang untuk membuat doa selamat ketika Hari Raya Aidiladha nanti memandangkan ahli keluarga semua berada di sini," kata Azad.
Dalam perkembangan terbaharu, filem Girlfriend Kontrak yang menampilkan Azad selaku pelakon pembantu bakal menggegarkan pawagam bermula esok.
Filem itu turut membariskan pelakon hebat seperti Keith Foo, Bront Palarae, Fara Fauzana, Risteena Munim dan ramai lagi.

21 lelaki terbabit kes curi kenderaan di Johor Baharu, Nusajaya di tahan

RABU, 23 SEPTEMBER 2015 @ 5:06 PM

JOHOR BAHARU : Polis berjaya menahan 21 lelaki yang dipercayai terbabit dalam enam kes curi kenderaan di sekitar daerah ini dan kawasan Wilayah Iskandar, Nusajaya sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata kesemua mereka yang berumur 14 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di daerah ini pada 15 September lepas.
Katanya, hasil serbuan itu, polis turut merampas 20 kenderaan terdiri daripada 15 motosikal dan lima kereta pelbagai jenis yang disyaki dicuri.
"Suspek mensasarkan kereta lama yang penggera keselamatannya rosak dan selepas itu komponennya dileraikan untuk dijual," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, suspek yang aktif sejak awal tahun bergerak dalam kumpulan berasingan dengan seorang daripadanya turut didapati memiliki beberapa rekod jenayah lampau berhubung kes samun dan dadah.
Beliau berkata, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana polis ingin mengesan saki baki kumpulan itu.
Dalam perkembangan lain, polis turut berjaya menyelesaikan satu kes ugut membabitkan Ah Long dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan berusia 17 hingga 32 tahun, di sini baru-baru ini.
"Kami menangkap kesemua suspek berdasarkan bahan bukti termasuk lapan unit telefon bimbit milik mereka," kata Sulaiman.
Suspek sebelum itu dikatakan mengambil gambar seorang peniaga wanita berusia 47 tahun selepas dia ditelanjangkan di sebuah rumah teres di Taman Sri Tebrau, di sini.
Suspek kemudian mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar berkenaan sekiranya gagal membayar hutang berjumlah RM7,000.
"Mangsa telah membuat pinjaman RM2,000 dengan suspek dua tahun lalu dan kemudian diminta membayar faedah pinjaman tinggi sedangkan wang diterima ketika itu hanyalah berjumlah RM1,700 selepas ditolak caj pemprosesan pinjaman," kata Sulaiman.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 20 tahun dan dikenakan sebatan. -BERNAMA

Kevin Morais: Lelaki Dikehendaki Polis Serah Diri


Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 7:01 PM

KUALA LUMPUR: Seorang lagi lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan mendiang Anthony Kevin Morais menyerah diri, Selasa menjadikan kesemuanya 11 orang yang ditahan berhubung kes itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata lelaki berkenaan R. Dinishwaran, 22, menyerah diri pada pukul 4.15 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Maklumat awal dan gambar Dinishwaran bersama seorang lagi lelaki M.Vishwanath, 25, yang dikehendaki polis dan berjaya ditahan semalam, disiarkan pihak media pada Ahad.
Tahanan reman bagi Dinishwaran akan dipohon Rabu bagi siasatan lanjut, katanya.
Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata tempoh reman enam daripada suspek yang berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 28 September ini.
Mayat Morais, 55, Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q. -- Bernama

Gigit Pegawai Imigresen Untuk Lepasi Sempadan


Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 7:50 AM
Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Seorang anggota Imigresen cedera di tangan selepas digigit oleh pemandu cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putera, Durian Burung pada Selasa.

Menurut Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim, kejadian berlaku 1.30 petang ketika sebuah kereta membawa seorang warga tempatan dan seorang lelaki serta dua wanita Thailand melalui pemeriksaan di ICQS itu.

Kejadian bermula apabila pemandu kereta warga tempatan itu enggan menyerahkan pasport milik tiga warga Thailand itu kepada anggota Imigresen dengan alasan kononnya ia telah dicop, katanya.

Curiga dengan alasan itu katanya, anggota Imigresen terbabit tetap mengarahkan pasport warga Thailand itu diserahkan tetapi arahan tersebut diengkari malah pemandu kereta warga tempatan itu cuba memandu kenderaannya ke arah Thailand tetapi berjaya dihalang.

"Pemandu masih enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergelutan sehingga menyebabkan anggota Imigresen itu digigit hingga cedera," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Yusri berkata, anggota Imigresen menahan pemandu warga tempatan itu serta tiga warga Thailand dan hasil siasatan mendapati warga negara jiran telah memasuki Malaysia secara haram melalui jalan tikus di Sungai Golok, Kelantan.

Lelaki warga tempatan itu ditahan dan disiasat kerana melindungi warga asing, manakala warga Thailand terbabit disiasat kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pihak Imigresen turut menyita kenderaan itu yang berdaftar di Seri Kembangan, katanya.

Semua ditahan di lokap Imigresen, ICQS Kota Putera untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Polis Sahkan Dua Beradik Penoreh Getah Dibunuh


Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 11:50 PM

LUMUT: Polis pada Selasa mengesahkan seorang daripada dua beradik warga emas yang ditemui mati di rumah mereka di Ladang Kelapa Sawit Sungai Beruas, Kampung Pulau Meranti, Isnin, berpunca daripada kecederaan di kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati mayat Salasiah Yaakob, 71, turut mempunyai kesan lebam di hidung, lengan serta kaki.

Beliau berkata bagaimanapun, punca kematian kakaknya, Salamiah, 76, tidak dapat ditentukan berikutan keadaan mayat yang sudah pun reput.

"Dakwaan mengatakan salah seorang mangsa dirogol, kita tidak boleh nak klasifikasikan kerana kedua-dua mayat sudah berulat, kembung dan kehitaman.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tidak mempunyai kesan diceroboh atau sebarang pergelutan berlaku manakala kita tidak pasti sama ada terdapat barang mangsa yang hilang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini, Selasa.

Tengku Mohd Zailan berkata polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya motif kejadian masih belum diketahui kerana polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.

Mayat dua beradik itu ditemui mati dalam keadaan mayat mereka berulat dan berbau di rumah mereka oleh anak saudaranya Mazlan Yunus, 52, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kedua-dua mangsa, yang bekerja sebagai penoreh getah, dipercayai meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum mayat mereka ditemui.

Jenazah mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Meranti berhampiran kubur ibu bapa mereka.

Adik mangsa, Elias Yacob, 55, ketika dihubungi, berkata beliau terkejut dan tidak menyangka kedua-dua kakaknya mati dibunuh.

"Anak saudara saya memberitahu kejadian itu, dan pada mulanya saya menyangka ia satu gurauan," katanya.

Elias berkata kedua-dua mangsa yang merupakan anak kedua dan ketiga daripada tujuh beradik itu pernah mengajaknya tinggal bersama, namun ditolak kerana mengalami masalah kesihatan.

"Arwah pernah ajak tinggal bersama, tetapi saya tolak sebab sakit dan kini saya tinggal bersama anak di Kuala Lumpur. Saya juga bimbang dengan keselamatan mereka dan pernah mempelawa untuk tinggal di rumahnya di Jelapang Jaya di sini, tetapi mereka menolak pelawaan itu.

"Mereka tidak mahu meninggalkan rumah pusaka itu kerana mahu tengok kebun," katanya.
Beliau berharap suspek yang tidak berhati perut melakukan perbuatan itu dikenakan hukuman yang setimpal.

Tentera Laut Singapura Selamatkan Anak Kapal Bot Malaysia Karam


Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 11:39 PM

SINGAPURA: Angkatan Laut Singapura menyelamatkan lima anak kapal sebuah bot pukat tunda yang karam pagi Selasa.

Pihak Berkuasa Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menerima laporan bahawa sebuah bot pukat tunda ikan yang didaftarkan di Malaysia karam tujuh batu nautika dari timur laut Pedra Branca, di perairan Singapura kira-kira pukul 9.40 pagi Selasa.

Kelima-lima anak kapal telah diselamatkan oleh RSS Independence, sebuah kapal peronda Tentera Laut Republik Singapura.

Dua anak kapal bot pukat tunda itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan perubatan yang diberikan oleh kru RSS Independence.

Anak kapal yang diselamatkan tiba di Singapura dengan selamat. Pihak berkuasa Singapura mengesahkan kerakyatan mereka.

MPA telah menggunakan tiga kapal untuk menjalankan operasi menyelamat di perairan Singapura dan untuk memastikan keselamatan pelayaran.

Pihak berkuasa maritim juga telah mengeluarkan siaran pelayaran kepada kapal-kapal memberi amaran kepada mereka untuk menjauhi kawasan kejadian. - The Straits Times/Asia News Network

Kanak-Kanak Kritikal, Nenek Cacat Penglihatan Cedera Dalam Kebakaran


Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 10:01 PM
- Gambar hiasan

JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak perempuan kritikal akibat melecur manakala neneknya yang cacat penglihatan turut cedera setelah rumah mereka terlibat dalam satu kebakaran di Lorong Sawa 3 Kempas, di sini, malam Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara Supt Beh Eng Lai berkata mangsa Noridah Omar, 59, dan cucunya Noor Sharifah Nazerah Abdullah, 6, kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

"Noridah melecur di bahagian muka dan badan sebelah kiri sebanyak 11 peratus manakala cucu perempuannya mengalami 44 peratus melecur di bahagian badan kanan, dua kaki dan muka dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," kata beliau ketika dihubungi di sini lewat Selasa.

Beliau yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya tidak menemui sebarang botol kaca atau plastik berupa 'molotov cocktail' di tempat kejadian seperti didakwa sesetengah pihak.

"Hasil siasatan awal menjumpai satu tong yang dipercayai berisi lima liter petrol dengan penutup terbuka dalam rumah berkenaan," kata beliau.

Menurutnya, sehingga kini tiada petunjuk wujud elemen khianat, namun motif kebakaran masih dalam siasatan.

Rugi Setengah Juta Mercedes Benz Terbakar


Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 11:11 AM

KUALA LUMPUR: Seorang majikan kerugian hampir setengah juta apabila Mercedes Benz yang dipandu pekerjanya musnah dalam kebakaran di Lebuhraya Persekutuan di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Afendi Ismail berkata, pemandu kereta mewah itu dan seorang rakannya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian pada 10.50 pagi, Isnin itu.
Sepuluh anggota balai berkenaan serta Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 10 minit.
Mercedes Benz Malaysia menerusi kenyataannya memaklumkan sedang menyiasat kejadian itu. -- Bernama

Empat Diculik Di Pulau Samal


Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 11:08 AM
Tiga pelancong asing yang diculik adalah Kjartan Sekkingstad (kiri), John Ridsdel (tengah) dan Robert Hall (kanan) diculik lewat malam Isnin di Pulau Samal.

MANILA: Dua pelancong Kanada, seorang pengurus resort dari Norway dan seorang wanita Filipina diculik sekumpulan lelaki bersenjata di pulau pelancongan di selatan Filipina.
Mangsa culik itu dikenal pasti sebagai John Ridsdel dan Robert Hall dari Kanada serta Kjartan Sekkingstad dari Norway, manakala wanita Filipina terbabit belum disahkan identitinya.
Keempat-empat mangsa diculik dalam serangan pada lewat malam Isnin di Resort Holiday Oceon View di Pulau Samal berhampiran Davao, bandar terbesar di pulau Mindanao.
Kapten tentera Filipina, Alberto Caber berkata, pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti kumpulan yang melakukan penculikan di wilayah bergolak di selatan negara itu.
“Empat individu diculik tetapi kami tidak tahu kumpulan mana yang melakukannya. Warga asing terbabit dilihat sebagai sasaran bukan diculik secara rambang,” katanya.
Beliau menambah, terdapat kira-kira 30 pelancong asing di resort berkenaan ketika serangan itu berlaku.
Sumber tentera Filipina mendedahkan kumpulan lelaki bersenjata itu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Tagalog yang digunakan secara meluas di negara ini. – Reuters

Warga Britain Didakwa Ceroboh Litar F1 Singapura


Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 12:05 PM
Dhokia ketika memasuki litar lumba F1 Singapura ketika perlumbaan sedang berlangsung, Ahad lalu.

SINGAPURA: Lelaki Britain yang melintas litar lumba ketika perlumbaan Formula Satu Grand Prix Singapura berlangsung didakwa di mahkamah di sini kerana kesalahan membahayakan pemandu.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan Yogvitam Pravin Dhokia menyusup masuk melalui pagar besi untuk ke litar lumba.
Lelaki berusia 27 tahun itu kemudian dilihat berlari melintas litar ketika kereta pemandu Ferarri, Sebastian Vettel menghampiri kawasan itu.
Menurut kertas pertuduhan, Dhokia didakwa membahayakan nyawa pemandu apabila melintas litar ketika perlumbaan berlangsung.
Jika disabitkan kesalahan, Dhokia boleh dihukum penjara enam bulan dan denda S$2,500 (RM7,575).
Mahkamah turut merampas pasport Dhokia dan membenarkan jaminan S$15,000 (RM45,450).
Bagaimanapun, Dhokia memberitahu mahkamah dia tiada wang untuk membayar ikat jamin.- AFP

Selamat kerana lumpuh

Reuters
Islamabad: Pihak berkuasa penjara Pakistan semalam menangguhkan pelaksanaan hukuman mati ke atas banduan berkerusi roda sejam sebelum dia digantung kerana keliru dengan prosedur penjara yang mewajibkan pesalah berjalan ke tali gantung.

Abdul Basit, 43, didapati bersalah enam tahun lalu kerana membunuh bapa saudara teman wanitanya. Bagaimanapun, dia menafikan tuduhan berkenaan dan menuduh peguamnya menerima rasuah daripada orang yang mendakwanya.


Dia sepatutnya digantung di bandar timur Faisalabad pagi semalam, namun ditangguhkan pihak berkuasa pada saat akhir kerana tidak mampu berjalan ke tali gantung sebagaimana diwajibkan panduan penjara.

Jurucakap kumpulan bantuan guaman Justice Project Pakistan, Wassam Waheed berkata: “Apabila majistret datang menyaksikan hukuman dilaksanakan, mereka cuba memaksa Abdul berdiri di tempat gantung, tetapi gagal menyebabkan hukuman itu ditangguhkan.”

Mahkamah Agung mengekalkan hukuman mati ke atas Abdul kelmarin, tetapi dengan syarat jika ia boleh dilaksanakan selaras dengan peraturan penjara.

Abdul lumpuh selepas dijangkiti meningitis sewaktu dalam penjara dan tidak mendapat rawatan yang sepatutnya, kata Wassam.

Kes Abdul adalah yang terbaru sejak Pakistan memperkenalkan semula hukuman gantung pada Disember lalu, sebagai cara untuk menangani kumpulan militan selepas pembunuhan beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki bersenjata Taliban di sekolah yang dikendalikan tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:11 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79553#sthash.TuERsHaE.dpuf

Padah tersilap panggil nama bekas suami


Tallahassee (Amerika Syarikat): Seorang lelaki mengamuk dan membunuh teman wanitanya selepas mangsa secara tidak sengaja memanggil nama bekas suaminya ketika sedang berasmara.

Lebih kejam lagi, Fidel Lopez turut menikam dan mengeluarkan isi perut teman wanitanya, Maria Nemeth dalam kejadian di bandar Sunrise, Florida itu.


Jurucakap polis berkata, Lopez, 24, mengaku membunuh Maria, 31, selepas terlalu marah kerana mangsa memanggil nama bekas suaminya ketika berasmara.

Katanya, Lopez yang mabuk dilapor memukul Maria sehingga pengsan sebelum merosakkan perabot di apartmen milik mereka.

“Lopez kemudian menggunakan serpihan kaca untuk menikam dan mencederakan badan teman wanitanya.

“Tidak cukup dengan itu, Lopez bertindak lebih kejam apabila mengeluarkan usus mangsa dengan menggunakan tangannya sendiri,” katanya.

Selang beberapa minit, Lopez mengheret mayat Maria ke dalam bilik mandi dan menyimbah muka mangsa dengan air dengan harapan wanita itu terjaga.

“Selepas menyedari teman wanitanya tidak bernyawa, Lopez berehat di luar kediaman itu sambil menghisap rokok.

“Lopez kemudian menghubungi polis dan memberitahu teman wanitanya pengsan,” jelasnya.

Menurutnya, polis yang tiba di tempat kejadian menemui mangsa terbaring di bilik air dalam keadaan bogel dengan perut terburai.

“Selepas disoal-siasat, Lopez akhirnya mengaku dia membunuh mangsa,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:11 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79552#sthash.JhX1zBtn.dpuf

Buruh binaan jutawan pasport

Oleh Asmah Rusman

asmah_rusman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai tujuh lelaki berstatus ‘jutawan Mat Bangla’ apabila mampu mengaut keuntungan mencecah RM5 juta hasil kegiatan pemalsuan pasport, pas khas Jabatan Imigresen dan Kad Pendaftaran Personel Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).


Kumpulan tujuh ahli sindiket warga Bangladesh itu bagaimanapun ditumpaskan polis hasil dua serbuan berasingan di Presint 9 dan 11, Putrajaya antara jam 4.50 dan 5.30 pagi Jumaat lalu.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Khas dan SB Presint 7 Putrajaya.

Ketua JSJK Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, serbuan pertama dilakukan di tingkat sembilan sebuah pangsapuri di Presint 9 di sini, sebelum polis berjaya menahan enam lelaki.

“Tiga daripada suspek itu cuba melarikan diri namun berjaya ditemui menyorok di dalam tandas di dalam sebuah rumah di tingkat empat pangsapuri sama.



Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:47 AM

IZANY (tiga dari kanan) menunjukkan pasport palsu yang dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79531#sthash.WrXLKLAt.dpuf

Rakam dulu baru bantu

Agensi
Zhengzhou, China: Beberapa pengguna jalan raya di bandar ini dilihat merakam gambar seorang lelaki warga emas yang pengsan di jalan raya sebelum membantu mangsa.

Saksi berkata, warga emas itu dilihat berlari untuk melintas jalan raya sebelum tersungkur dan pengsan.

Katanya, lelaki itu terbaring di tepi jalan dengan darah mula mengalir dari kepalanya, tetapi tiada siapa berani menghampiri mangsa.

Selang beberapa minit, orang ramai mula mengerumuni lelaki itu dan mengambil gambar dengan telefon bimbit mereka.

“Selepas gambar diambil barulah beberapa penduduk datang membantu lelaki itu dan menghubungi ambulans.



Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:45 AM

ORANG ramai hanya melihat lelaki warga emas yang pengsan di jalan raya kerana bimbang dipersalahkan oleh keluarga mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79525#sthash.DjdOR4OT.dpuf

Al-Quran palsu dirampas


Riyadh: Pihak berkuasa Arab Saudi merampas 70,000 salinan palsu al-Quran menjelang musim haji.

Menurut pegawai Saudi, trak yang membawa al-Quran palsu itu ditahan berhampiran kampung Al Jamoom, pintu masuk ke kota Makkah yang kini melihat kehadiran ribuan jemaah bagi menunaikan ibadah haji.

Penemuan pada Isnin itu datang selepas berlaku beberapa peristiwa tragik sepanjang berlangsung musim haji tahun ini.

Empat jemaah haji dari Yaman dilaporkan cedera dalam kebakaran hotel di Makkah menyebabkan 1,500 orang dipindahkan.

Sementara itu, awal bulan ini, sebuah kren runtuh di Makkah mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan lebih 300 jemaah.

Raja Arab Saudi menjanjikan pampasan lebih $260,000 (RM300,000) kepada setiap keluarga yang terjejas dalam kejadian itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79557#sthash.pEq3eNGq.dpuf

Eira bersyukur keluarga selamat



Oleh Wahi Aziz

wahiduzzaman@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Pelakon Eira Syazira, 31, bersyukur apabila dia sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan di lebuh raya PLUS berhampiran Terowong Menora dekat Ipoh, Perak, petang Ahad lalu.


Dalam kejadian itu, kereta dinaikinya bersama anak Ammara Sofea, suami yang juga pelakon Azad Jasmin dan adik iparnya terbabas dan merempuh penghadang jalan.

Eira berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta dipandu adik iparnya itu tiba-tiba hilang kawalan selepas mahu mengelak sebuah kenderaan lain.

"Saya bersyukur sangat Allah selamatkan kami anak beranak. Macam tidak percaya pun ada juga. Semuanya berlaku dengan begitu pantas.

"Kereta memang remuk teruk di bahagian depan dan pecah cermin belakang, tapi saya dan anak yang duduk di belakang tidak cedera. Begitu juga suami dan adik ipar yang duduk di depan," katanya.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 11:52 AM

KEADAAN kereta dinaiki Eira selepas kemalangan. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79600#sthash.SOFIEbPW.dpuf

20 rumah rosak akibat ribut


WARTAWAN SINAR HARIAN
20 rumah rosak akibat ribut
Man (kiri) menunjukkan keadaan dinding dan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin.
23 SEPTEMBER 2015
ALOR SETAR – Sebanyak 20 rumah di Kampung Lahar Budi, Kampung Alor Belat dan Kampung Tok Keling, di sini, rosak teruk akibat dilanda ribut pada Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding.

Ribut yang berlaku kurang 20 minit itu diiringi hujan lebat, bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Mangsa, Man Ismail, 83, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Sabariah Kassim, 78, dan seorang anak sedang berehat di ruang dapur.

Menurutnya, mereka dikejutkan dengan bunyi seakan bertiup kencang di luar rumah sebelum mendapati bumbung dan dinding rumah di tingkat atas diterbangkan angin.

“Perasaan tidak dapat digambarkan sebab ini kejadian pertama berlaku setelah lebih 50 tahun menetap di sini.

“Saya lihat bumbung dan dinding rumah diterbangkan angin sebelum ia jatuh di hadapan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Tijah Saud, 77, ketika kejadian dia sedang berehat seorang diri di hadapan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi yang amat kuat.

“Ketika itu hujan lebat dan angin kuat, kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah.

“Tiba-tiba saya terlihat angin menerbangkan bumbung rumah sebelum ia terdampar di kawasan bendang berhampiran,” katanya.

Bertindak atas maklumat orang awam, Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya segera turun padang melawat semua mangsa terlibat.

Ahmad berkata, kejadian ribut itu merupakan kali keenam berlaku dalam tahun ini dan berada pada tahap sederhana.

“Walaupun banyak rumah yang terlibat, tetapi ia tidak seburuk yang pernah berlaku pada awal tahun yang melibatkan 90 rumah mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, saya harap semua penduduk dapat bersabar dengan ujian dan musibah yang tidak diduga ini,” katanya.

Pada lawatan itu, Ahmad turut menyampaikan bantuan daripada Pusat Khidmat Dun Alor Mengkudu kepada semua mangsa terlibat.

“Saya harap sumbangan ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban semua mangsa terlibat.

“Pada masa sama, saya juga menggesa pihak kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya memberi perhatian segera dalam masalah ini,” katanya.

Pelajar dipaksa cium kaki kembali bersekolah

Video dipukul, dipaksa cium kaki tersebar
Video yang tersebar dan menjadi viral di laman sosial.
KUALA TERENGGANU - Pelajar tingkatan tiga dari Seberang Takir, Kuala Nerus yang nekad berhenti sekolah selepas video yang memaparkan dirinya dipaksa mencium kaki seorang perempuan menjadi viral di laman sosial baru-baru ini akan kembali bersekolah pada minggu depan.
    
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelajar perempuan yang dikenali sebagai Mia itu akan menyambung semula pelajaran yang terkandas di sebuah sekolah di Kemaman dan pihak Yayasan Terengganu (YT) telah diarah menguruskan perkara tersebut termasuk berkaitan soal asrama.
    
Beliau yang sempat meluangkan masa bertemu pelajar itu di rumahnya Sabtu lalu mendapati anak yatim berkenaan menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar bagaimanapun terhalang akibat rasa malu diejek rakan-rakan.  
   
"Saya terkejut bila dimaklumkan tentang kes pelajar berhenti sekolah, saya tidak boleh berkompromi dalam isu pendidikan lebih-lebih lagi kejadian ini berlaku di kawasan saya, Dun Seberang Takir.
    
"Sebagai jaminan untuk Mia, saya juga minta pihak YT membuat pemantauan di samping memberi makluman awal kepada pihak sekolah agar kita dapat mengelak sebarang gangguan terhadapnya kerana kita tidak mahu kejadian di luar dugaan berulang lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di sini hari ini.‎
    
Turut hadir isterinya Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof serta Pengarah Pembangunan Wanita negeri, Saharuddin Mohd Kia.
 
Dalam kejadian pada 8 dan 9 September lalu, Mia mendakwa beliau dipaksa melakukan perbuatan tersebut selepas dipaksa oleh ibu kepada perempuan berkenaan selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
    
Sementara itu, Ahmad Razif turut meminta kedua-dua pihak khususnya ahli keluarga menyelesaikan permasalahan secara murni sekali gus menjernihkan keadaan. - Bernama