BERUAS 21 Sept. - “Tidak patut emak saudara saya diperlakukan sampai begini, mereka sudah tua. Jika betul emak saudara saya dibunuh, mereka yang terlibat harus menerima hukuman yang sewajarnya”.
Itu kata anak saudara kepada dua adik-beradik perempuan warga emas yang ditemukan mati dalam dalam keadaan sudah berulat dan separuh bogel di kediaman mereka di Kampung Pulau Meranti di sini hari ini.
Mayat Salmiah, 76, dan adiknya, Salasiah Yaakob, 71, yang bekerja sebagai penoreh getah ditemukan oleh anak saudara mereka, Mazlan Yunus, 52, pada pukul 9.30 pagi.
Mayat Salmiah ditemukan terbaring di bahagian dapur dalam keadaan mulut diikat dengan kain terlondeh manakala adiknya, Salasiah dalam keadaan lidah terjelir di atas kerusi di ruang tamu.
Menurut Mazlan, kedua-dua emak saudaranya yang bujang, pernah memberitahu tiga minggu lalu beberapa lelaki warga Indonesia datang dan bertanyakan bilangan ahli keluarga yang tinggal di rumah tersebut.
Katanya, kehadiran kumpulan lelaki berkenaan menyebabkan emak saudaranya tidak selesa sehingga memarahi kumpulan lelaki berkenaan.
“Saya bimbang mereka mungkin menyimpan dendam dan bertindak mencederakan emak saudara saya. Sebelum ini, emak saudara saya sihat.
“Malah jiran memberitahu salah seorang daripada emak saudara saya iaitu Salmiah berbasikal ke pekan Beruas membeli ikan. Jika benar emak saudara saya dibunuh, mereka yang bertanggungjawab perlu menerima hukuman yang setimpal,” katanya ketika ditemui di sini.
Mazlan berkata, dia menemukan mayat emak saudaranya ketika mengunjungi kediaman tersebut yang terletak agak terpencil di dalam kawasan ladang kelapa sawit.
Menurut Mazlan, dia memanggil ibu saudaranya namun tidak dijawab lalu meninjau ke bahagian belakang rumah dan terkejut apabila mendapati pintu belakang rumah terbuka.
“Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, saya amat terkejut apabila mendapati Mak Ngah (Salmiah) terbaring di lantai dalam keadaan kain terlondeh.
“Saya cuba mencari seorang lagi emak saudara saya dan alangkah terkejut apabila menemuinya dalam keadaan tidak bernyawa di bahagian ruang tamu rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, berdasarkan keadaan fizikal mayat, kedua-dua warga emas itu telah meninggal dunia empat atau lima hari lalu.
Menurut beliau, siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kesan pergelutan di dalam rumah.
“Polis belum mengklasifikasikan kes ini dan masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner, Goh Kok Liang berkata, buat masa ini kes tersebut diklasifikasikan mati mengejut.
“Namun kertas siasatan akan dibuka jika bedah siasat mendapati wujud unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini.