Search This Blog

Monday, September 7, 2015

Wartawan Ditangkap Fitnah Video Seks Lee Si Young


Diterbitkan: Isnin, 7 September 2015 12:30 AM

WARTAWAN Mr. Shin telah ditangkap oleh polis pada Selasa lalu bagi siasatan atas tuduhan menyebarkan fitnah penyebaran video seks aktres Lee Si Young.

Wartawan tersbeut merupakan individu pertama yang menulis artikel tentang video seks tersebut sehingga menjejaskan nama baik pelakon itu.

Selain itu, seorang rakan wartawan yang juga dipercayai sumber berita itu turut ditahan bagi siasatan.

Menurut sumber polis, rakan wartawan itu telah berkongsi tentang cerita video seks bekas kekasih Junjin Shinhwa ketika makan malam. Perkara tersebut telah ditulis oleh wartawan berkenaan tanpa sebarang usul periksa di akhbar tabloid milik syarikat dia bekerja.

Selain itu, polis memberitahu terdapat 11 wartawan lain yang menulis tentang khabar angin itu akan dikenal pasti untuk disoal siasat.

Terdahulu, agensi pengurusan Lee Si Young membuat laporan polis terhadap fitnah tentang video seks artis dibawah naungan mereka yang tersebar luar.

"Tolang Saya Cari Kevin" - Adik


Diterbitkan: Isnin, 7 September 2015 9:11 AM
Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memeriksa kereta dipercayai milik Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang ditemui terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang pada Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Adik kepada Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais merayu rakyat Malaysia supaya membantu mencari abangnya yang hilang sejak Jumaat lalu.

Bercakap kepada The Star dari Georgia, Amerika Syarikat, Charles Morais berkata kali terakhir dia bercakap dengan abangnya yang berusia 55 tahun itu adalah pada hari Khamis lepas.

Katanya, beliau akan terbang ke Malaysia pada Rabu ini.

"Saya percaya beliau masih hidup, tetapi saya takut apa yang mereka akan lakukan terhadap beliau.

"Beliau pastinya mempunyai musuh ketika berkhidmat," kata Charles.

Kevin merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik, dilahirkan di Ipoh dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson.

Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang di University of London.

Beliau masih belum berkahwin.

Kevin menyertai Badan Peguam pada 1980-an dan menjadi majistret pada tahun 1985 sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau telah dipinjamkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana beliau berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah undang-undang dan bahagian pendakwaan selama 10 tahun.

Beliau kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai tahun lepas sebagai timbalan ketua bahagian rayuan dan perbicaraan.

Semasa di SPRM, beliau terlibat dalam pendakwaan kes rasuah tetapi tidak terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata sumber.

Charles berkata abangnya sentiasa berahsia mengenai hal berkaitan kerja.

Dia memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk meningkatkan usaha untuk mencari Kevin.

"Bagaimana seorang pendakwa raya boleh hilang seperti ini? Saya berharap Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri akan menjadikan kes ini sebagai keutamaan mereka," katanya.

Ditahan ketika leka layan pelanggan


WARTAWAN SINAR HARIAN
Ditahan ketika leka layan pelanggan

6 SEPTEMBER 2015
Ditahan ketika leka layan pelanggan Warga asing bekerja sebagai pelayan ditahan.
JOHOR BAHRU - Seramai 17 warga asing diperiksa Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pusat Perdagangan Pontian, kelmarin.

Hasilnya, seramai lapan warga asing terdiri daripada tujuh wanita Vietnam dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan dalam serbuan yang bermula kira-kira jam 11.50 malam itu.

Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Masri Adul berkata, Ops Sayang dilakukan pihaknya itu bertujuan mengesan aktiviti warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan.

Beliau berkata, semasa serbuan kebanyakan pelayan terbabit tidak menyedari kehadiran pegawai operasi kerana sedang asyik melayan pelanggan yang sedang minum minuman keras.

“Warga asing wanita yang ditahan berusia antara 28 hingga 38 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah gunakan pas lawatan Sosial.

“Manakala lelaki warga asing yang datang berhibur di lokasi ini ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sekali gus disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya  kepada Sinar Harian, semalam.

Polis Tahan Individu Hina Pegawai Trafik Wanita


Diterbitkan: Isnin, 7 September 2015 7:30 AM
Paparan skrin akaun twitter milik Khalid.

KUALA LUMPUR: Polis Kluang menahan seorang individu yang menghina mendiang Inspektor Margaret Tagum Goen di dalam catatan di laman Facebooknya.

Tagum meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari Ahad semasa dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang selepas dirempuh seorang mat rempit dalam Ops Roda/Rempit di Km 58, Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor.

Antara penghinaan yang dibuat individu berkenaan terhadap mendiang ialah "Mampus juga kau... setelah sekian lama menyusahkan orang."

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitternya di samping mengucapkan syabas kepada Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kluang atas kejayaan menahan suspek itu.

"Syabas JSJ@PDRM Kluang yang berjaya tangkap orang yang menghina mendiang Inspektor Margaret-Trafik Kluang sebentar tadi," katanya menerusi laman twitter rasminya.

Mayat mendiang akan dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.25 pagi dan dijangka tiba di Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 11.15 pagi Isnin.

Mangsa sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital itu selepas dirempuh oleh seorang Mat Rempit pada pukul 2.40 pagi ketika Tagum sedang melakukan sekatan jalan raya bersama 20 anggota trafik dan pasukan sukarelawan polis.

Rempuhan itu menyebabkan Tagum patah tangan, tulang pinggul dan kaki selain mengalami pendarahan dalaman.

Wujud Unsur Jenayah Dalam Kes Kehilangan Kevin Morais


Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 10:04 PM
Keadaan kereta yang dikaitkan dengan kehilangan Kevin Morais musnah terbakar.

HUTAN MELINTANG: Polis tidak menolak wujud unsur jenayah dalam misteri kehilangan Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais selepas kereta yang dikaitkan dengan beliau ditemui terbakar.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ini kerana pihaknya masih belum menemui sebarang bukti di tempat kejadian.
"Kita telah meminta bantuan daripada Bahagian Forensik untuk membuat pengesahan identiti kereta tersebut.
"Namun, sehingga kini kita masih gagal mengesan nombor casis pada kenderaan itu.
"Tindakan itu menunjukkan jenayah tersebut dirancang begitu rapi oleh pihak tertentu hingga polis tidak menemui sebarang bukti di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini, Ahad.
Beliau berkata, setakat ini, hasil siasatan polis tidak mempunyai sebarang bukti yang boleh mengaitkan kenderaan tersebut dengan identiti atau personaliti berkenaan.
Jelasnya, tiada sebarang dokumen diperolehi di tempat kejadian berikutan keadaan kenderaan berkenaan musnah terbakar.
Beliau berkata penemuan kenderaan itu berdasarkan maklumat daripada beberapa saksi kejadian yang terdengar letupan serta seorang saksi melalui jalan tersebut secara kebetulan dan ternampak kenderaan itu terbakar.
"Kita akan bawa kereta itu ke Balai Polis Hutan Melintang dan menunggu bantuan daripada Jabatan Kimia untuk mengesahkan jenis kenderaan itu," katanya.
Mohd Shuhaily berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menyiasat kes tersebut berkaitan orang hilang berikutan laporan dibuat mengenai kehilangan Morais.
Morais dikatakan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya.
Beliau dilapor memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.  

Wanita Bawa Anjing Dalam Troli Dikritik


Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 8:54 PM
Gambar dua wanita bersama anjing mereka menjadi viral di media sosial.

JOHOR BARU: Tindakan dua wanita yang membawa bersama anjing mereka di dalam troli kosong di sebuah pasar raya di sini disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
Gambar kedua-dua wanita tersebut bersama anjing mereka dimuat naik ke dalam laman Facebook dan menjadi viral.
Ia dipercayai dirakam oleh seorang pelanggan di pasar raya tersebut di Plentong, Masai pada Sabtu.
Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Annie Belinda Han dalam entrinya menulis kedua-dua wanita tersebut tidak sepatutnya membawa anjing mereka di kawasan tempat terbuka terutamanya pasar raya.
"Pihak pengurusan premis tersebut juga perlu meletakkan papan tanda besar "zon larangan membawa binatang" dalam empat bahasa untuk makluman pelanggan," katanya.
Menurut Annie, pengawal keselamatan bertugas perlu lebih berwaspada dan pelanggan yang membawa bersama haiwan peliharaan mereka patut dihalang daripada memasuki pasar raya itu.
Seorang lagi pengguna Facebook, Zaberi Che Mat berkata pengurusan pasar raya terbabit juga harus lebih bertanggungjawab dan memastikan insiden tersebut tidak berlaku lagi.
"Dimana pengawal keselamatan bertugas ketika dua wanita membawa bersama anjing mereka ke dalam pasar raya? Tindakan perlu diambil terhadap mereka kerana gagal menghalang kedua-dua wanita itu," katanya.
Seorang jurucakap pasar raya tersebut yang enggan dikenali memberitahu pemberita pada Ahad bahawa kira-kira 500 troli sudah dibersihkan susulan insiden pada Sabtu itu.
Troli tersebut sudah dibersihkan (samak) mengikut prinsip Islam dan dengan bantuan sukarelawan dari sebuah masjid berdekatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Abdul Samad Salleh berkata polis tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden tersebut.

Beliau turut menasihati pihak pengurusan pasar raya itu supaya tidak membenarkan pelanggan membawa bersama haiwan peliharaan mereka memasuki premis berkenaan.

"Sekiranya kami menerima laporan, kami akan merujuk kes itu kepada Majlis Agama Islam Johor untuk tindakan susulan," katanya.

Mendiang Inspektor Margaret akan dianugerah pangkat ASP - KPN



Oleh Adnan Ibrahim


LEON (baju merah) dibantu saudara dan rakan-rakan mengangkat keluar keranda isterinya, Margaret (gambar kecil) dari rumah mayat Hospital Kluang, semalam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pegawai polis wanita yang maut selepas dirempuh seorang remaja dipercayai mat rempit, di Jalan Batu Pahat-Mersing, semalam, akan dianugerahkan pangkat 'Posthumous' Asisten Superintendan Polis (ASP) dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan pihaknya akan menganugerahkan pangkat ASP kepada Mendiang Inspektor Margaret Tagum Anak Goen, 32, sebagai penghormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengorbanannya itu.
Khalid turut mengucapkan syabas kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang berjaya menahan seorang pemuda yang didapati menghina mendiang Inspektor Margaret, menerusi laman mikro, Twitter, malam tadi.
Margaret yang sudah lima tahun bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Kluang pada 12.45 tengah hari semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad, berkata ketika kejadian pada 2.30 pagi semalam, Margaret bersama 20 anggota dan pasukan sukarelawan sedang mengadakan sekatan jalan raya menerusi Ops Roda bagi membanteras kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan.
"Sekatan jalan raya itu diadakan pada jam 1.30 pagi dan sejam kemudian terdapat antara empat hingga lima motosikal dari arah Mersing menuju ke bandar Kluang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya itu, sebelum seorang daripada penunggang berusia 17 tahun secara tiba-tiba merempuh Margaret.
"Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dan mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri, tulang pinggul dan mengalami pendarahan dalaman di perut dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Selepas bertarung nyawa hampir 11 jam dan mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi (semalam)," katanya di pekarangan Hospital Kluang, semalam.

KETUA Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada suami Margaret, Leon anak Bahak ketika melawat jenazah mangsa di Hospital Kluang, semalam. - Foto BERNAMA
Rusli berkata, mendiang akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Bogak, Bau, Sarawak, hari ini.
Katanya, suspek terbabit ditahan polis di lokasi kejadian selepas terjatuh akibat rempuhan itu dan cedera ringan di tangan dan kaki.
"Hasil siasatan lanjut, polis menahan enam lagi rakan suspek berusia 14 hingga 20 tahun di rumah masing-masing di sekitar daerah berkenaan, pagi semalam," katanya.
"Kesemua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, suami mendiang, Leon Bahak, 37, berkata beliau amat sedih dengan kejadian menimpa isterinya yang dikahwini sejak enam tahun lalu dan berharap individu yang menyebabkan kematian mangsa menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
"Saya merasa bangga dengan tugas dijalankan mendiang walaupun sedar risiko bakal menimpa berikutan tugas yang disandangnya.
"Biar polis menjalankan tugas mereka dan berharap hukuman yang diberikan menjadi pengajaran kepada mereka yang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama hingga menyebabkan kematian," katanya yang berkhidmat sebagai anggota tentera di Unit 61 Rejimen Artileri Diraja Kem Mahkota Kluang di sini.

4 tan bom lama ditemui di premis barang lusuh

AHAD, 6 SEPTEMBER 2015 @ 10:39 PM


BUTTERWORTH: Sejumlah empat tan bom lama ditemui di sebuah premis menjual barang lusuh di Tingkat Perusahaan 3, Perai di sini, kelmarin.

Semua bom itu dipercayai diambil dari beberapa negara, antaranya China, Laos, Vietnam dan Kemboja serta dibawa masuk bersama besi buruk melalui kapal yang kemudian dimuat ke lori menggunakan sistem magnetik sebelum diangkut ke premis berkenaan.

Pemilik premis menjual barangan lusuh itu membuat laporan polis selepas bimbang ada antara bom berkenaan masih aktif.

Menurut sumber, bom pelbagai jenis itu yang bercampur dengan besi buruk dibawa masuk secara pukal oleh pemilik premis berkenaan sejak dua tahun lalu.


"Bagaimanapun, selepas dua tahun, bom berkenaan menjadi terlalu banyak hingga mencecah empat tan dan hampir satu tan daripadanya dikatakan masih aktif," katanya di sini hari ini.

Sumber itu berkata, pemilik premis terbabit meminta bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk memusnahkannya dan dia dikatakan sanggup menanggung semua kos.

"Setakat ini, semua bom berkenaan diletakkan di satu lokasi yang selamat dalam kawasan premis terbabit selain turut dikawal anggota polis bantuan," katanya.

Katanya, anggota UPB akan membuat pemeriksaan di kawasan itu sebelum memusnahkan semua bom berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana masih dalam siasatan.

- BERNAMA

Polis bimbang kewujudan kumpulan yakuza baru

Tokyo: Beribu-ribu anggota kumpulan samseng atau ‘yakuza’ dilapor membentuk secara rasmi satu kumpulan baru selepas berpecah dari sindiket jenayah terancang terbesar negara itu.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlaku pergaduhan besar antara kumpulan.
Ketua 13 kumpulan yang disingkirikan dari ‘Yamaguchi-gumi’ - sindiket samseng terbesar Jepun dengan 23,000 ahli dan anggota bersekutu - mengadakan mesyuarat rasmi pertama mereka di Kobe, bandar di barat Jepun, kelmarin, lapor media tempatan.
Satu daripada kumpulan itu yang dikenali sebagai Yamaken-gumi, mempunyai 2,000 anggota dan ketuanya dipilih mengetuai kumpulan yakuza baru itu.
Seperti kumpulan mafia di Itali dan pertubuhan samseng di China, yakuza terbabit dalam sindiket perjudian, dadah, pelacuran, peminjaman wang, perlindungan dan jenayah kolar putih.
Yang berbeza, yakuza di Jepun tidak haram dan setiap kumpulan mempunyai ibu pejabat sendiri.
Berikutan perpecahan Yamaguchi-gumi, polis minggu lalu menggesa rakyat negara itu berhati-hati berikutan kebimbangan pergaduhan antara yakuza meletus.
Polis mengadakan mesyuarat tergempar dengan pegawai khas dari semua 47 wilayah negara itu minggu lalu untuk membincangkan perkembangan itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:52 AM


Kenichi Shinoda yang juga dikenali sebagai Shinobu Tsukasa (tengah) mengetuai Yamaguchi-gumi, sindiket samseng terbesar di Jepun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75671#sthash.vY9ETxfU.dpuf

Kurung isteri, anak autisme dalam kandang

Buenos Aires: Seorang lelaki mengurung isteri yang dipercayai mempunyai masalah mental dan anaknya yang autisme dalam kandang yang amat kotor sejak dua tahun lalu.
Menurut Pendakwaraya Alejandro Pellegrini, polis yang menerima aduan daripada dua lagi anak Eduardo Oviedo, 66, pergi ke rumahnya di Mar del Plata, dan mendapati kedua-dua mangsa berada dalam kandang.
Menurutnya, isteri lelaki itu berusia 61 tahun manakala anaknya yang autisme berusia 32 tahun.
Kandang itu dikunci dari luar dan kedua-dua mangsa dibekalkan tilam usang, hidup dalam kadang berkenaan yang turut dipenuhi batu bata dan makanan haiwan.
“Apabila malam, mereka dibawa masuk ke dalam rumah dan dikurung dalam bilik yang amat kotor, “ katanya.
Oviedo ditahan Jumaat lalu, dan dihadapkan ke mahkamah Sabtu lalu.
Menurut Pellegrini, lelaki itu akan menjalani ujian mental dan anak-anaknya yang tinggal berdekatan, tidak membuat laporan sebelum ini kerana takutkan bapa mereka. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 6:34 PM

Eduardo Oviedo (tengah) dirring anggota polis selepas ditahan Jumaat lalu. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75635#sthash.mhO39cXt.dpuf

111 tergendala merempit

Serdang: Sekumpulan 111 ‘mat rempit’ yang terkenal dengan aksi berlumba lawan arus tumpas selepas diberkas sepasukan anggota polis menyamar sebagai orang awam.
Dalam operasi khas bermula jam 1 pagi semalam, semua remaja dan belia liar itu sedang merancang untuk berlumba haram di Lebuhraya Besraya (BESRAYA) berhampiran Stesen Komuter Serdang di sini.
Mereka dilihat berkumpul di sebuah stesen minyak di sini, sambil melakukan aksi merbahaya hingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan.
Perlumbaan bertambah meriah apabila terdapat ratusan penonton berkumpul di tepi lebuh raya berkenaan bagi menantikan perlumbaan itu.
Bagaimanapun sepasukan 26 anggota polis diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Deputi Superintendan Azmi Wahid bertindak menggempur kawasan itu dalam operasi berakhir jam 5 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pihaknya memeriksa motosikal yang ditunggangi rata-rata remaja berusia 16 hingga 20 tahun.
“Ini adalah operasi kali ketiga dijalankan selepas pihak polis menerima banyak aduan orang awam,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memeriksa seramai 111 individu termasuk dua warga Indonesia.
“Hasil pemeriksaan mendapati, majoriti mereka melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, mengubah suai nombor pendaftaran, cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap, tiada cermin sisi dan tidak mempunyai insurans.
“Sehubungan itu, pihak kami mengeluarkan sebanyak 84 saman atas kesalahan dilakukan itu,” katanya.
Willey berkata, seramai 12 individu termasuk tiga pembonceng wanita turut diarahkan menjalani ujian air kencing dan hasilnya seorang lelaki didapati positif dadah jenis Amphetamine.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:49 AM


KUMPULAN remaja yang ditahan diberi nasihat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75669#sthash.IJYkh9VJ.dpuf

Mati dirodok berebut awek


Ampang: Berebutkan seorang perempuan dipercayai menjadi punca seorang lelaki Bangladesh mati dirodok dengan pisau di sebuah kafe siber di Jalan Pandan Cahaya di sini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, mangsa diserang seorang lelaki Myanmar bertindak menikam dada mangsa selepas berlaku pergelutan.

Sumber berkata, mangsa bersama seorang lagi rakannya dibelasah tiga suspek lelaki warga Myanmar selepas berlaku pertengkaran.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah kedai dobi dipukul suspek sebelum ditikam.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu menangkap suspek yang menikam mangsa sebelum membelasahnya di kepala dan badan.

“Bagaimanapun dua lagi penjenayah berjaya melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, mangsa yang mati dihantar ke unit forensik Hospital Ampang manakala rakannya menerima rawatan di hospital sama.

“Suspek yang ditahan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:45 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75667#sthash.lNFSRY7J.dpuf

10 mati lemas

Seoul: Sepuluh orang mati lemas dan beberapa lagi hilang selepas sebuah bot membawa penumpang untuk memancing karam di luar pantai selatan Korea Selatan.
Pegawai maritim berkata, tiga orang berjaya diselamatkan sementara lapan lagi masih dicari.
Bot seberat 9.8 tan itu, Dolphin, terputus hubungan dengan sebuah bot lain petang kelmarin dan ditemui pagi semalam di utara pulau peranginan Jeju.
Seorang mangsa yang terselamat memberitahu agensi berita Yonhap, bot berkenaan tenggelam dalam masa yang singkat selepas dilanda ombak besar.
Mangsa yang terselamat yang hanya dikenali sebagai Park berkata, kapten bot mengejutkan penumpang yang tidur dan mengarahkan mereka terjun selepas bot itu dimasuki air.
“Kami berpaut pada bot itu selama lebih 10 jam tetapi ada yang terlepas ditarik ombak sebelum pasukan penyelamat tiba.
Setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah penumpang yang dibawa bot itu.
Menurut senarai, 22 penumpang sepatutnya menaiki bot berkenaan yang berlepas dari Pulau Chija di barat laut Pulau Jeju untuk pulang ke tanah besar sebelum bot itu terputus hubungan.
Lebih 40 bot pengawal pantai, tentera laut dan kapal awam berada di lokasi kejadian untuk membantu mencari mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:53 AM

PASUKAN pengawal pantai Korea Selatan menjalankan gerakan mencari mangsa yang hilang.

Jumpa sejumlah besar bom lama

 Oleh Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my
Prai: Sejumlah kira-kira empat tan bom lama ditemui di sebuah kedai besi buruk di Tingkat Perusahaan 3, di sini, Jumaat lalu.

Semua bom berkenaan dikesan pekerja kedai besi buruk terbabit sebelum dia menghubungi polis memaklumkan penemuan itu.

Siasatan mendapati, bom berkenaan dibawa masuk bersama besi buruk yang diimport dari China, Laos, Vietnam dan Kemboja.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom berkenaan namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Sehingga ini, kita masih menjalankan siasatan dan melakukan pemeriksaan untuk mengesan sama ada bom itu masih aktif atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 3:33 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75618#sthash.lBBFIm2p.dpuf

Geng Tazi Pomen tumpas

Kota Bharu: Kumpulan Tazi Pomen yang memproses pil kuda dan senjata buatan sendiri, tumpas selepas diserbu polis di Kampung Kubang Laka, Peringat, dekat sini, Khamis lalu.
Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, sepasang suami isteri dan empat lagi lelaki berusia antara 23 hingga 36 tahun ditahan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, ketua kumpulan itu dikenali Tazi berusia 36 tahun yang juga mekanik, aktif melakukan kegiatan itu sejak lima bulan lalu.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas serbuk kemerahan dianggar seberat 1.5 kilogram dan 1, 286 biji disyaki pil kuda dianggar bernilai RM326,000.
Beliau berkata, pihaknya juga merampas peralatan memproses dadah.
“Kita juga merampas senapang angin buatan sendiri dan beberapa parang," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Senjata 1960, Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 6:05 PM

Mesin membuat pil kuda yang dicipta sendiri oleh Kumpulan Tazi Pomen. - Foto ZAMAN HURI ISA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75632#sthash.E3Y2tRG1.dpuf

Lelaki hina mendiang Margaret ditahan

Kuala Lumpur: Polis Johor tahan lelaki selepas didapati memuatnaik status di laman sosial yang menghina pegawai polis wanita yang meninggal di hospital selepas dirempuh mat rempit dalam satu operasi di Kluang.
Lelaki berkenaan dikesan menghina mendiang Inspektor Margaret Tagum Goen dan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Johor, malam tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter, 10.50 malam tadi.
Status Khalid berbunyi `Syabas JSJ @PDRMsia Kluang yang berjaya t'kap orang yang menghina Mendiang Insp Margaret -Trafik Kluang Sebentar tadi.’
Selain itu, Khalid menjelaskan, pihaknya juga sudah meluluskan pemberian pangkat Asisten Superintendan Polis (ASP) secara 'Posthumous' kepada Inspektor Margaret Tagum Anak Goen.
Margaret meninggal ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pada 12.45 tengah hari semalam.
Mendiang dikejarkan ke hospital selepas dirempuh mat rempit dalam Ops Roda/Rempit di KM58, Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 1:06 AM

Kereta terbakar ada unsur jenayah

Hutan Melintang: Siasatan awal polis mendapati berlakunya unsur jenayah terancang dalam kes kereta ditemui terbakar di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, di sini, kira- kira jam 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis gagal mengesan nombor casis pada kereta berkenaan kerana dipercayai sudah dihapuskan dan kini menunggu laporan kimia untuk mengetahui jenis kenderaan itu.
Katanya, tiada mangsa ditemui dalam kereta berkenaan dan terlalu awal untuk polis membuat pengesahan kaitan kereta terbakar itu dengan kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang hilang sejak kelmarin.
"Kita akan menyiasat penemuan kereta terbabit manakala Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul akan menyiasat kes kehilangan individu berkenaan.
"Setakat ini kita menyiasat kes mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api kerana tidak menemui mangsa di dalam mahupun sekitar kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di Jeti Ladang Sungai Bernam di sini, sebentar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 4:26 PM

Hentikan khabar angin: KPN

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara menasihatkan orang ramai menghentikan khabar angin penemuan kereta terbakar di Hutan Melintang, Perak, ada kaitan dengan kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais, yang dikatakan mempunyai peranan dalam siasatan 1MDB
Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi melalui Twitter rasminya berkata, penyebaran khabar angin akan mengelirukan orang ramai.
"PDRM nasihatkan hentikanlah menyebar khabar angin yang mengelirukan orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan seorang pengguna Twitter yang mendakwa kereta ditemui terbakar di hutan melintang sebagai milik peguam berkenaan.
Kevin, 50- an, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Menara Duta.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 11:18 PM

Petikan Twitter rasmi Ketua Polis Negara nasihatkan orang ramai hentikan khabar angin penemuan kereta terbakar di Perak, ada kaitan dengan kehilangan Kevin Anthony Morais.

Polis cedera dipukul warga asing

Bukit Mertajam: Seorang anggota polis cedera dipukul sekumpulan lelaki warga asing berhampiran sebuah kilang di Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini, petang tadi.
Koperal Khosim Haq yang bertugas di cawangan foto Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), cedera di muka dan dahi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang menjalankan tugas di sebuah kilang dedak apabila dipukul sekumpulan lelaki warga asing.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan kejadian terbabit.
Menurutnya, anggota terbabit kini sedang mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 11:31 PM

Warga asing yang ditahan pihak berkuasa dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Melaka, baru-baru ini. - Foto NSTP (Fail).

Ibu tidak lena teringat dua anak



AHMAD JAZLAN bersalaman dengan ibu bapa murid yang hilang ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat di Gua Musang semalam.


GUA MUSANG – “Kalau hari hujan memang saya tidak boleh tidur, teri­ngat dua anak saya di dalam hutan,” demikian luah ibu tunggal, Midah Angah, 38, yang kehilangan dua anak sejak 16 hari lalu.
Menurut wanita suku etnik Temiar itu, beliau kini sa­ngat merindui gelak tawa dua anaknya itu, Haikal Yaakob, 8, dan Norieen, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini yang hilang bersama lima lagi rakannya sejak 23 Ogos lalu.
“Saya terlalu sedih dan sehingga kini masih tidak dapat membayangkan nasib mereka berdua. Saya tidak boleh te­ngok gambar mereka,” katanya ketika ditemui di SK Tohoi di sini semalam.
Dalam pada itu, Midah berterima kasih atas usaha pihak penyelamat yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli terbabit.
“Cuma kini kami hanya mahu penglibatan pasukan Senoi Praaq dalam membantu pencarian,” ujarnya menahan kesedihan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub turun padang menemui ahli keluarga murid-murid yang hilang di sekolah berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3l0LXEaSr 
Hakcipta terpelihara 

Premis judi ekor haram diserbu



ANGGOTA STAGG menyoal siasat salah seorang ejen judi ekor haram yang ditahan dalam satu operasi besar-besaran membanteras kegiatan berkenaan di Negeri Sembilan semalam.


SEREMBAN – Sebanyak 26 buah premis ejen judi ekor haram di empat buah daerah di negeri ini dan Melaka digempur Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman dalam operasi besar-besaran sejak kelmarin.
Operasi secara serentak bermula pada pukul 4.15 petang itu membawa kepada penahanan 34 orang disyaki ejen yang terdiri daripada 24 lelaki tempatan dan 10 wanita.
Mereka yang berusia 23 hingga 53 tahun yang ditahan itu dipercayai penulis judi ekor haram, namun tiada tangkapan dibuat membabitkan pembeli.
Seramai 146 anggota dan pegawai STAGG Bukit Aman terlibat dalam operasi tersebut.
Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, premis yang diserbu itu melibatkan kedai menjual telefon bimbit, kedai runcit dan kedai kopi di sekitar Tampin, Port Dickson, Jelebu dan Seremban di Negeri Sembilan serta Alor Gajah di Melaka.
“Siasatan awal mendapati kegiatan judi itu didalangi oleh ejen dan subejen yang terlibat secara langsung dengan penganjur judi di daerah berkenaan.
“Mengikut risikan STAGG, mereka (suspek) dipercayai menjalankan aktiviti haram tersebut sejak enam bulan lalu dan dilakukan secara terbuka," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3l0LPvLAV 
Hakcipta terpelihara