Search This Blog

Friday, September 4, 2015

Janin berusia lima bulan ditemui atas kubur



ANGGOTA polis memeriksa janin yang ditemui di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Satu janin dianggarkan berusia lima bulan dan tidak cukup sifat ditemui ditinggalkan di atas sebuah kubur di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah, berkata janin yang dibungkus dengan kain putih itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 9.13 pagi.
"Hasil siasatan awal ke atas janin itu mendapati perutnya telah pecah serta berair dan dianggarkan berusia lima bulan.
"Lebih kurang 20 meter dari tempat janin itu ditemui, terdapat satu bungkusan plastik disyaki uri janin berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zainol berkata, kawasan perkuburan itu mempunyai dua pintu masuk iaitu pintu utama menghadap Jalan Ampang berdekatan Hotel Maya dan pintu kedua di belakang Restoran NZ Garden.
"Pintu utama mempunyai seorang pengawal keselamatan manakala pintu kedua pula tidak dikawal serta tidak dikunci.
"Tiada CCTV di situ atau saksi yang melihat kejadian buang janin itu. Hasil bedah siasat yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur mengesahkan janin itu sudah reput teruk dan tidak dapat dikenal pasti," katanya.
Zainol berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2697 7099 atau 019-3114418.
- BERNAMA

Peniaga Cedera Dibelasah Tiga Lelaki


Diterbitkan: Khamis, 3 September 2015 5:13 PM

IPOH: Seorang peniaga cedera parah selepas dibelasah tiga lelaki dalam satu kejadian membabitkan kemalangan kereta di Jalan Raja Ekram, di sini, Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mangsa berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan di muka serta badan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, dalam kejadian pada pukul 2 petang semalam, ketika berada di tempat kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Honda dikatakan terlanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tiga orang lelaki di hadapannya.
"Mangsa mendakwa melanggar belakang kereta berkenaan selepas kereta terbabit berhenti mengejut.
Apabila mangsa keluar dari keretanya untuk melihat kerosakan, pemandu kereta di hadapan bersama dua lagi rakannya yang turut keluar dari kenderaan telah menumbuk dan menendangnya sehingga pengsan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Sum berkata mangsa dibawa ambulans dan menyedari dirinya berada di HRPB, selepas kejadian tersebut.
Polis sedang mengesan tiga lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor 05-2451500 untuk membantu siasatan, katanya

Kemalangan Di Jalan Kuching Akibatkan Lalu Lintas Sesak



Diterbitkan: Khamis, 3 September 2015 12:24 PM

PETALING JAYA: Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuching mengakibatkan kesesakan teruk lalu lintas di kawasan sekitar pada pagi Khamis.
Kesesakan bertambah teruk apabila polis terpaksa menutup jalan bagi membolehkan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan.
Kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan, sebuah van, kereta dan motosikal.
Kesesakan turut disebabkan orang ramai berhenti untuk menyaksikan kejadian.

Bot Karam Di Sabak Bernam, 14 Disahkan Terbunuh


Diterbitkan: Khamis, 3 September 2015 5:49 PM

TELUK INTAN: Seramai 14 orang disahkan terkorban apabila sebuah bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia karam di perairan Tanjung Sauh iaitu kira-kira 9 batu nautika dari Sabak Bernam pada Khamis.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, seramai 5 penumpang berjaya diselamatkan.
Daripada 14 yang terkorban, seramai 13 mangsa adalah wanita dan seorang lelaki.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Robert Teh Geok Chuan berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.
Jelasnya, Pati yang berjaya diselamatkan pula dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk siasatan lanjut.
Geok Chuan berkata, bot tersebut membawa Pati yang mahu pulang ke negara mereka dari jeti Hutan Melintang.

Polis Tangkap Suspek 25 Kes Baling Besi


Diterbitkan: Khamis, 3 September 2015 10:00 PM

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan 25 kes melempar kepingan besi ke arah mangsa sehingga menimbulkan trauma dan keresahan di tiga kawasan perumahan di Johor Baharu Utara dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata polis menahan suspek berusia 39 tahun itu ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan kira-kira 9 malam di Jalan Dedap, di sini dua hari lepas.

"Siasatan awal mendapati suspek termasuk dalam senarai orang dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes bunuh di Jinjang, Kuala Lumpur tahun lepas.

"Suspek dipercayai terlibat dengan 25 kes lempar besi di kawasan Taman Johor Jaya, Taman Desa Cemerlang dan Taman Ungku Tun Aminah di sini sejak April," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Khamis.

Menurut beliau, di peringkat awal suspek hanya membaling cecair thinner untuk menyerang mangsa tetapi kemudiannya batu, botol, kaca, dan terkini menggunakan kepingan besi.

Beliau berkata siasatan polis mendapati ciri fizikal suspek dan motosikal digunakan menyamai imej individu yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (cctv) dalam satu kejadian kes lempar kepingan besi pada bulan lepas.

"Pemeriksaan di rumah sewa suspek turut menjumpai empat keping besi yang menyamai besi yang digunakan untuk mencederakan mangsa sebelum ini," katanya.

Rusli berkata kesemua mangsa yang terlibat telah dipanggil untuk membuat pengecaman suspek dan barang kes.

Beliau berkata suspek yang mengaku melakukan kesalahan itu, mendakwa berbuat demikian kerana mendengar suara yang menyuruhnya mencederakan mangsa.

Rusli berkata suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripadanya.

Lelaki Mati Ditembak Polis Yang Cuba Pertahankan Diri


Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 2:10 PM
-Gambar hiasan

JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah seorang suspek lelaki untuk mempertahankan diri selepas lelaki itu mengeluarkan pisau, menyebabkan suspek rebah dan maut dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Taman Universiti, di sini Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, tiga anggota polis sedang melakukan rondaan di hadapan bank berkenaan sebelum ternampak sepasang kekasih duduk di atas sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Supt Beh Eng Lai berkata apabila didekati, suspek lelaki bertindak mencampak motosikalnya dan melarikan diri ke sebuah lorong belakang di bank itu.

Dia kemudian dikejar dua anggota polis dan berlaku pergelutan antara mereka.

Sewaktu berjaya menerkam seorang daripada anggota polis itu, suspek mengeluarkan sebilah pisau untuk menikam anggota itu, menyebabkan anggota tersebut terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian pinggang suspek.

Tembakan itu menyebabkan suspek rebah dan mati di tempat kejadian, kata Beh Eng dalam kenyataan di sini Jumaat.

"Si mati dikenali sebagai Muhammad Aznil Abd Puad, 22, dan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Beh Eng berkata, teman wanita suspek berusia 26 tahun yang turut didapati positif syabu dan heroin, berjaya ditahan seorang lagi anggota polis lain di hadapan bank berkenaan.

Polis turut merampas sejumlah barangan termaasuk beberapa bungkus dadah dipercayai syabu dan erimen 5 (ekstasi) daripada kedua-dua suspek.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Wanita Tiga Beranak Ditahan Miliki Dadah


Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 3:12 PM

SEREMBAN: Tiga wanita yang mempunyai ikatan kekeluargaan  ditahan polis kerana memiliki satu kilogram dadah dan 690 biji Pil Erimin 5 yang kesemuanya bernilai RM50,350, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek berumur antara 40 hingga 72 tahun itu ditahan di rumah mereka di Tampin pada Rabu lepas.
"Pihak polis mula mengesan aktiviti mereka pada awal tahun ini dan semenjak itu kami mula membuat pantauan dan selepas mendapat bukti yang mencukupi serbuan dibuat di rumah mereka.
"Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai dadah disyaki heroin dengan anggaran berat satu kilogram dan dadah disyaki Pil Erimin 5 sebanyak 690 biji dengan anggaran berat 195 gram yang disorok di dalam sebiji tempayan di rumah mereka," katanya.
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, Jumaat, Jaafar berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Ujian saringan awal ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati bekalan dadah yang dirampas itu diperoleh dari Pulau Pinang dan untuk dipasarkan ke Melaka dan Johor.
"Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen dan kerjasama masyarakat dengan pihak polis yang erat," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jaafar berkata Jabatan Siasatan Jenayah Negeri berjaya menahan 32 pengedar dadah di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini, berbanding 44 orang pengedar bagi tempoh sama tahun lepas.
Katanya bagi tempoh itu juga tangkapan melibatkan aktiviti pembekalan, permintaan dan penyalahgunaan dadah mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 5,547 tangkapan berbanding 4,462 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.

19 Mangsa Bot Karam Direman


Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 4:05 PM

KUALA SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Selangor mengeluarkan perintah tahanan reman selama 14 hari bermula Jumaat ke atas 19 warga asing yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam, pada Khamis.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim bagi membolehkan kesemua yang terselamat itu termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan memasuki dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak dibenarkan atau jalan yang tidak diwartakan.
Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), siasatan pihaknya akan turut meliputi Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sekiranya didapati ada dalam kalangan 19 yang direman itu merupakan tekong bot berkenaan.
"Sehingga kini kita masih belum dapat pastikan sama ada ada antara mereka yang terselamat ini merupakan tekong bot berkenaan. Jika ada, selain siasatan di bawah Akta Imigresen kita juga akan jalankan siasatan mengikut Seksyen 26J iaitu bagi kesalahan mengangkut migran yang diseludup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.
Setakat ini, mayat 13 wanita dan 2 lelaki ditemui manakala 19 lagi termasuk seorang wanita terselamat selepas bot yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Sabak Bernam pagi Khamis.
Bot sepanjang 12.192 meter itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.
Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.

Anggota Tentera AS Maut Ketika Latihan


Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 10:23 AM

WASHINGTON: Seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) maut manakala 11 lagi cedera selepas sebuah helikopter melakukan pendaratan kecemasan dalam latihan di kem tenteranya pada Khamis.
Insiden di Kem Tentera Lejeune di Carolina itu berlaku ketika seramai 20 anggota tentera diminta turun dari helikopter menggunakan tali.
Pihak tentera masih belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai insiden melibatkan helikopter jenis CH-53E itu.
Bagaimanapun seorang daripada anggota tentera disahkan meninggal dunia di Hospital Kem Lejeune.
Daripada 11 anggota tentera yang dimasukkan ke hospital, sembilan telah dibenarkan pulang kerana mengalami kecederaan ringan manakala tiga lagi masih menerima rawatan.

Penumpang Bot Karam Bayar RM700 Untuk Tiket Sehala


Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 10:30 AM
Sebahagian penumpang dipercayai warga Indonesia yang ditemui selamat dalam kejadian bot karam, Khamis. Mereka merupakan antara 70 penumpang bot yang karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju ke Tanjong Balai, Indonesia. Sehingga malam Khamis, sebanyak 15 ditemui lemas manakala 19 terselamat. -fotoBERNAMA

SABAK BERNAM: Penumpang yang berada di atas bot karam masing-masing membayar RM700 kepada sindiket untuk mendapatkan tiket sehala ke Indonesia bagi menyambut kedatangan Hari Raya Haji.

Bagaimanapun, cuaca buruk dan laut bergelora telah menyebabkan kapal karam dan ramai mati lemas serta ramai lagi penumpang masih hilang. Ada yang berjaya diselamatkan selepas beberapa jam di dalam air.

Tekong dan anak-anak kapal adalah antara mereka yang masih hilang.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3, Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata sejumlah kecil mereka yang terselamat menyatakan kekesalan menaiki kapal terbabit.

Beliau berkata mereka datang dari Surabaya, Medan dan Acheh dan kebanyakannya telah bekerja secara haram di ladang dan kedai-kedai makan di sini, sementara ada yang melakukan pelbagai jenis kerja untuk menampung kehidupan.

"Mereka masuk ke negara ini tidak lama dulu dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah untuk menyambut hari raya.

"Setiap daripada mereka membayar kira-kira RM700 kepada sindiket untuk tiket sehala," kata Julinda di Balai Polis Hutan Melintang.

Menurut beliau, beberapa penumpang sedang tidur apabila laut tiba-tiba bergelora, dan mereka semua tercampak ke dalam laut apabila bot terbalik.

Mereka yang tidak lemas segera dihanyutkan air selama beberapa jam dan bergelut untuk terus bertahan, katanya.

Katanya, mereka bernasib baik kerana lima nelayan yang lalu ternampak lima mangsa sedang berada di dalam air dan menarik mereka keluar. Tidak lama kemudian, lebih ramai dapat diselamatkan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Tuan Soh Tuan Lah berkata, mangsa telah dibawa ke jeti Hutan Melintang kira-kira pukul 2.30 petang Khamis.

"Malangnya, di antara mereka ada yang sudah menjadi mayat," katanya di jeti.

Mayat terakhir yang dijumpai adalah seorang lelaki dan telah dibawa ke jeti kira-kira pukul 9.15 malam.

Beberapa warga Indonesia turut berada di jeti itu, meminta maklumat mengenai kejadian itu daripada orang ramai.

Mereka juga cuba untuk mengetahui identiti mangsa yang terselamat dan terkorban.

Wakil-wakil dari Kedutaan Indonesia berada di balai polis untuk bertemu mereka yang terselamat.

Maut tertembak ketika selfie


4 SEPTEMBER 2015
Maut tertembak ketika selfie

 Gambar hiasan
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki maut selepas tertembak di bahagian tekak ketika sedang mengambil gambar selfie bersama sepucuk pistol, Selasa lepas.

Deleon Alonso Smith, 19 maut serta-merta di sebuah apartmen dalam kejadian 1.30 petang tersebut.

Menurut Dailymail, sepupu Smith yang berada dalam bilik lain ketika kejadian memberitahu polis mereka 'terjumpa' pistol berkenaan.

Difahamkan, Smith yang mempunyai dua orang anak sepatutnya memulakan sesi kolej pada hari Rabu.

Polis kini menyiasat kejadian. 

Suspek ketiga serangan bom ditahan


10 letupan letupan bom di Bangkok
10 letupan letupan bom di Bangkok Letupan bom. -Foto AFP
3 SEPTEMBER 2015


BANGKOK - THAILAND. - Walaupun pihak berkuasa Thailand di Bangkok enggan mengesahkannya, berita mengenai penangkapan suspek ketiga di Narathiwat yang dikatakan terlibat dalam kes pengeboman di Bangkok telah tersebar luas.
   
Penangkapan suspek tersebut disahkan oleh seorang pegawai renjer berpangkat Kolonel kepada media tempatan di Narathiwat.
   
Beliau berkata, anggota renjer dari Kompeni ke-36 telah menahan suspek warga Thailand yang dikenali sebagai Kamaluddin Sahak.
   
Kamaluddin, 38, ditahan di sebuah rumah di Mukim Pasir Mas, Sungai Golok, pada 1 September lepas, kata Kolonel tersebut yang enggan namanya disiarkan.
   
Beliau berkata, suspek telah dipindahkan ke Bangkok malam tadi dan sebelum itu telah disoal siasat di Kem Renjer di Narathiwat.
   
Malam tadi suspek dipindah ke kem tentera di Bangkok dengan menggunakan helikopter tanpa pengetahuan media tempatan, kata beliau hari ini.  

Dua suspek yang telah ditahan sebelum ini dikatakan warga asing iaitu Adem Karadak yang ditahan di sebuah apartmen di Daerah Nong Chok pada 29 Ogos and Yusufu Meerailee yang ditahan di daerah Aranyaprathet berdekatan sempadan Thailand dan Kemboja pada 1 September.  - Bernama

Ombak kedua terbalikkan bot


NORMAWATI ADNAN, NOOR 'AINON, SITI KHAIRULNISAH
Ombak kedua terbalikkan bot
Ombak kedua terbalikkan bot
4 SEPTEMBER 2015

HUTAN MELINTANG - "Ombak pertama bot masih bertahan, masuk ombak yang kedua, bot kami terus terlingkup....," kata Elriyanto, 42, ketika menceritakan kembali detik cemas bot karam di perairan Selat Melaka, awal pagi semalam.

Elriyanto yang berasal dari Padang, Sumatera Barat berkata, ketika kejadian yang mengorbankan 15 rakan dan puluhan lain yang belum ditemui itu, angin kuat dan laut bergelora.

"Saya dalam keadaan berjaga ketika itu, memang takut lagi-lagi bila ombak kuat  datang, tak sangka sekelip mata semuanya sudah terbalik," katanya.

Dia yang bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur terselamat apabila berjaya mencapai sekeping papan hanyut untuk berpaut.

Katanya, berbekalkan sisa tenaga yang masih ada, dia terus bertahan selama beberapa jam sehinggalah diselamatkan pasukan penyelamat.

"Saya menyesal kerana guna jalan ini untuk pulang, jika diberi kesempatan saya tidak akan buat lagi kerja bodoh sebegini," katanya yang berhasrat pulang ke Indonesia untuk menemui kedua anaknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, bot nelayan yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) itu dalam perjalanan menghantar hampir 80 kesemuanya warga Indonesia pulang ke negara asal mereka.

Bagaimanapun, tiba di lokasi kejadian iaitu 9 batu nautika dari Tanjung Sauh, Selangor, bot berkenaan karam akibat dipukul ombak.

Operasi mencari dan menyelamat pada hari pertama, semalam berjaya menemukan 19 termasuk seorang wanita terselamat, sementara 15 terdiri daripada dua lelaki dan 13 wanita meninggal dunia.

Kesemua yang terselamat telah dibawa keluar dari Balai Polis Hutan Melintang kira-kira jam 11.50 malam tadi ke Pejabat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Klang, kecuali seorang wanita berusia 30 an yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

Operasi diteruskan lagi pagi ini bagi mengesan puluhan lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak yang dikhuatiri lemas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan berada di Jeti Hutan Melintang, pagi ini bagi meninjau operasi mencari dan menyelamat dijalankan

Lelaki ditahan disyaki cabul gadis


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 SEPTEMBER 2015
KUANTAN - Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat mencabul seorang wanita di sebuah premis di Gambang, kelmarin.

Suspek berusia 38 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang selepas mangsa yang berusia 24 tahun dan sudah berumah tangga itu membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek didakwa meraba dan memeluk mangsa sebelum melarikan diri.

Menurutnya, berang dengan perbuatan suspek itu, mangsa membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di hadapan Balai Polis Jaya Gading petang tersebut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 kanun keseksaan kerana mencabul,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki warga tempatan yang tersenarai sebagai individu dikehendaki berjaya diberkas anggota CPJ Balai Polis Jaya Gading dalam rondaan cegah di tepi jalan belakang Masjid Jaya Gading.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk pemeriksaan setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Abdul Aziz berkata, semakan rekod ke atas lelaki itu mendapati dia masih dikehendaki berkait satu laporan polis di Jaya Gading berhubung kes memiliki dadah di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta dadah berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek dibawa ke balai untuk siasatan lanjut bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek bebas sebarang pengaruh dadah,” katanya.

Halang remaja ‘dating’ waktu malam

Jakarta: Pentadbir daerah Purwakarta di Jawa Barat bercadang mengharamkan remaja bertemu pada waktu malam malam dan akan mengahwinkan mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu.
Jika dilaksanakan seperti dirancang mulai 1 Oktober ini, remaja di daerah yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Jakarta itu tidak boleh keluar bertemu teman lelaki atau perempuan selepas jam 9 malam.
Ketua Daerah Purwakarta, Dedi Mulyadi, berkata bagi melaksanakan peraturan itu, pihaknya akan mengadakan rondaan selain pengawasan melalui kamera CCTV,
“Peraturan ini untuk yang berusia bawah 16 tahun. Mereka yang ditangkap melanggar peraturan itu akan diserahkan kepada jawatankuasa kampung untuk kaunseling.
“Jika tiga kali melakukan kesalahan itu, jawatankuasa boleh menyuruh ibu bapa mengahwinkan mereka,” katanya.
Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana perkahwinan itu boleh dilaksanakan kerana Indonesia tidak membenarkan mereka berumur bawah 16 tahun berkahwin.
Menurut Dedi, undang-undang itu boleh menjamin remaja berada di rumah pada waktu malam, mencegah pergaulan bebas remaja bawah umur serta remaja menunggang motosikal tanpa lesen serta berbahaya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 7:55 PM


Empat remaja perempuan dan dua lelaki ditahan polis Purwakarta kerana menyertai pesta minum arak di daerah itu, tahun lalu. - Foto radar-karawang.com
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75036#sthash.BqX75fOo.dpuf

Lelaki Australia mati lemas di Pulau Mentawai


Jakarta: Seorang warga Australia mati akibat lemas ketika bercuti di Pulau Mentawai di Sumatera yang popular dengan sukan meluncur ombak, kata polis semalam.

Mayat Adam Albert Dube dijumpai terapung pada pagi kelmarin selepas hilang ketika berenang di laut pada waktu malam.

Ketua polis Mentawai, Reko Indro Sasongko berkata, mangsa bersama 10 lagi rakannya tiba di pulau berkenaan Selasa lalu untuk meluncur ombak.

Katanya, selepas minum di atas bot, mereka kemudian berenang di laut pada waktu malam.

“Selepas sejam berenang mereka kembali ke bot, tetapi mendapati Dube hilang,” katanya.

Menurutnya, mayat lelaki itu dibawa ke Padang untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:19 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75133#sthash.HfdEeVPg.dpuf

PAL buang 117 pekerja


Manila: Syarikat Penerbangan Filipina (PAL) semalam mengumumkan pemberhentian 117 pekerja atau dua peratus daripada jumlah pekerja pada November ini bagi memfokuskan operasi teras mengekalkan keuntungan.

“PAL melepaskan perkhidmatan bukan teras seperti perkhidmatan di stesen domestik yang boleh diserahkan kepada pembekal perkhidmatan ketiga yang layak,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

PAL adalah milik PAL Holdings yang dikuasai lelaki keempat terkaya Filipina, Lucio Tan.

Syarikat itu mempunyai 2,386 pekerja di lapangan dan 2,512 kru penerbangan pada hujung 2014.

PAL menawarkan perkhidmatan ke 35 bandar di seluruh dunia dan 29 destinasi domestik.

Menurut kenyataan itu lagi, semua pekerja yang diberhentikan itu akan menerima pampasan yang jumlahnya tidak didedahkan.

Keuntungan suku tahun pertama PAL Holdings pada tahun ini meningkat 10 kali ganda kepada AS$125.51 juta (RM533.13 juta) berbanding tahun lalu melalui peningkatan jumlah penumpang.

Syarikat itu mencatatkan keuntungan pada 2014 selepas rugi tiga tahun berturut-turut akibat masalah pekerja, peningkatan kos, kejatuhan mata wang peso dan persaingan sengit daripada pengendali lain. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:19 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75135#sthash.CNaIYZJJ.dpuf

Ayah, tolong saya

Acailandia (Brazil): Seorang lelaki yang cuba menyamun seorang wanita dan rakannya di tepi jalan mendapat nasib malang kerana wanita berkenaan adalah juara seni mempertahankan diri.
Akibatnya lelaki berkenaan terpaksa merayu dilepaskan malah rela diserah kepada polis apabila lehernya dikunci dengan gerakan seni jiu-jitsu.
Lelaki itu dan rakannya menghampiri Monique Bastos serta rakan perempuannya yang berada di atas motosikal dan menuntut mereka menyerahkan telefon bimbit.
Menurut laporan laman web Brazil, iG, Mobique, 23, yang pernah menjuarai enam pertandingan MMA, menumbuk lelaki itu sebelum menjatuhkannya ke tanah dan mengunci lehernya selama 20 minit sehingga polis tiba.
“Seorang lelaki merampas telefon saya. Melihat mereka tidak bersenjata, saya menolak motosikal mereka hingga jatuh.
“seorang lelaki melarikan diri tetapi penunggang motosikal itu tidak sempat membolehkan saya menangkapnya dengan mengunci lehernya dengan kaki,” katanya.
Lelaki itu menjerit: “Ayah, ayah, panggil polis. Tolong, saya janji ini kali pertama dan terakhir buat macam ini. Sesiapa saj tolong saya.” - Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 10:30 PM

Monique Bastos, 23, juara MMA enam kali.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75052#sthash.FoRjgDjE.dpuf

9 maut minum arak buatan sendiri

Bandung: Sembilan orang maut dan 19 lagi dirawat di hospital selepas meminum arak buatan sendiri di daerah Garut baru-baru ini.
Jurucakap polis, Ade Suryana berkata, enam mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital dan tiga lagi maut di rumah.
Katanya, semua mangsa dilaporkan minum arak buatan sendiri pada Selasa lalu sebelum sakit.
“Sehingga ini enam mangsa meninggal dunia di hospital dan tiga lagi di rumah.
“Seramai 19 lagi mangsa kini dirawat di hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, mangsa maut akibat kegagalan organ berfungsi selepas meminum arak buatan sendiri yang mengandungi kadar alkohol melebihi 70 peratus.
“Mangsa dipercayai meminum sejenis minuman herba yang dijual di warung sebelum dicampur dengan alkohol,” jelasnya.
Polis menyiasat suspek yang menjual arak berkenaan kepada mangsa.
Beberapa bulan lalu, 17 maut di daerah ini selepas meminum arak buatan sendiri. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:20 AM

SEORANG mangsa yang dirawat kerana minum arak buatan sendiri.

Bapa 2 anak mati tertembak diri ketika selfie


Houston: Seorang remaja dipercayai cuba merakam selfie sambil memegang pistol mati selepas tertembak dirinya.

Deleon Alonso Smith, 19, yang mempunyai dua anak, dilapor tertembak tekaknya, menyebabkan dia mati di tempat kejadian.

Dalam satu kenyataannya, polis Houston berkata, mayat Smith ditemui di bilik tidur di apartmennya.

Pasukan perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian mengesahkan Smith, yang dijadual memulakan pengajian di sebuah kolej semalam, mati.

“Menurut saksi, mangsa memegang pistol yang disangkanya tidak berpeluru. Dia menarik picu senjata itu dan melepaskannya, menyebabkan dia tertembak dirinya di leher. Siasatan diteruskan dan kami tidak mengesyaki ada perbuatan khianat dalam kejadian itu,” kata polis.

Tahun lalu, seorang lelaki berusia 21 tahun mati di Mexico City selepas mengacu pistol pada dahinya untuk merakam selfie. Dia menarik picu pistol yang disangkanya tidak berpeluru sebelum melepaskannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:10 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75125#sthash.EeCHb1RR.dpuf

Kamal Hisham Ja'afar ditahan semula

Johor Bahru: Peguam Kamal Hisham Ja'afar ditahan semula kira-kira 3 petang tadi, selepas beberapa minit dibebaskan dengan ikat jamin bagi dua pertuduhan pecah amanah yang dihadapkan kepadanya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tentang penahanan semula peguam berusia 45 tahun itu.
Beliau berkata, penahanan semula itu adalah bagi membantu siasatan beberapa lagi kes yang disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan juga Bukit Aman.
Katanya, siasatan akan terus dijalankan dan tindakan selanjutnya akan diketahui esok.
Difahamkan, Kamal Hisham akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 4:44 PM


JOHOR BAHRU 03 September 2015. ( BH JBH921B / METRO JB073C / NST JS780H ) Peguam, Kamal Hisham Ja'afar ditahan semula selepas membayar ikat jamin bagi kes pecah amanah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75017#sthash.gt9MoeNH.dpuf

Abdul Taib didapati tidak bersalah


“Jika anda menuduh SPRM berat sebelah, itu antara anda dan SPRM, tapi apa yang kita tahu, beliau (Tun Abdul Taib Mahmud) didapati tidak bersalah,” itu teguran dibuat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem terhadap pemimpin sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang cuba membangkitkan semula isu rasuah membabitkan Abdul Taib.

Sesi plenari Persidangan Pencegahan Antirasuah Antarabangsa (IACC) 2015 bertajuk Keamanan, Kesaksamaan dan Keadilan Sosial: Memerangi Rasuah Dalam Pembangunan dan Pelaburan Selepas 2015 di sini semalam, hangat seketika apabila Adenan membidas dakwaan dibuat Pengarah dan Pengasas Bersama Global Witness (United Kingdom) Patrick Alley.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:30 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75142#sthash.r6FMoLeo.dpuf

Awie fail tuntutan balas hak jagaan anak


Penyanyi rock, Awie semalam memfailkan penyataan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan isterinya, Rozana Misbun berhubung hak penjagaan (hadanah) kekal tiga anak mereka.

Peguam syarie Mohd Syafiq Norizan yang mewakili penyanyi itu memaklumkan demikian selepas menyerahkan dokumen berkenaan di Kaunter Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Bagaimanapun, Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, tidak hadir kerana prosiding kes itu yang sepatutnya disebut semalam ditangguhkan.

Mohd Syafiq berkata, dokumen itu tetap diserahkan penyanyi itu walaupun kes ditangguhkan kerana pendaftar berkursus, berikutan mahkamah sebelum ini memberi tempoh sebulan untuk berbuat demikian.

“Saya tak boleh dedahkan kandungannya sehingga tarikh sebutan semula ditetapkan mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:49 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75166#sthash.QzkaFp6u.dpuf

Peguam dituduh pecah amanah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Peguam Kamal Hisham Ja'afar yang ditahan di Singapura semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM533,000, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, dia yang sudah tiga tahun dikehendaki polis dituduh melakukan pecah amanah membabitkan penyewaan dua ruang niaga dengan keseluruhan sewa RM533,000 tanpa persetujuan Lembaga Pengarah syarikat, antara Disember 2009 dan Oktober 2010.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan pasport hendaklah diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu sekali.

Pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin manakala tertuduh diwakili barisan peguam yang diketuai S Prakash.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 12:32 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74988#sthash.Ah164sGK.dpuf

Tiga lelaki didakwa edar 323.8kg dadah


Bukit Mertajam: Tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 58 tahun dituduh di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam di sini tadi kerana mengedar 323,800 gram dadah jenis methamphetamine pada 20 Oktober lalu.

Dua daripada tertuduh yang juga lelaki warga iran tidak faham ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya manakala seorang lagi tertuduh lelaki dan tertuduh perempuan warga tempatan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Hakim, Nor Hayati Mohd Yunus menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes selepas peguam tertuduh tidak hadir serta bagi menunggulaporan kimia dan mendapatkan jurubahasa Iran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dituduh mengedar dadah jenis methamphetamineketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Rambai, di sini jam 10.10 malam 20 Ogos lalu.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Lim Saw Sim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 12:32 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74989#sthash.SAt9oXSD.dpuf

Bukan jambatan runtuhlah...

Kuala Lumpur : Seorang pemandu van berumur 47 tahun van patah kaki dan mengalami gegaran otak manakala seorang penunggang motosikal berusia 27 tahun patah tangan serta luka di kaki selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda Civic dipercayai dipandu laju gagal mengawal kenderaannya dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah van.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, perlanggaran itu turut membabitkan tiga buah motosikal yang kebetulan berada di belakang van berkenaan.
Menurutnya, tiga mangsa iaitu pemandu van, dua penunggang motosikal sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala polis masih mengesan dua lagi penunggang motosikal lain bagi membantu siasatan.
"Van mengalami kebakaran kecil namun api berjaya dipadam anggota bomba yang berada di lokasi kejadian.
"Pemandu Honda Civic terbabit tidak dapat dikesan dan kenderaan terbabit didaftarkan di atas nama sebuah syarikat," katanya.
Nadzri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, berita yang tersebar di media sosial mengatakan sebuah jejambat di laluan berkenaan runtuh ekoran insiden terbabit adalah tidak benar.
Kemalangan terbabit turut mengakibatkan kesesakan teruk sepanjang lebih 10 kilometer (km) sehingga jam 11 pagi tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 12:35 PM


FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74991#sthash.ig40hFD0.dpuf

Cedera dibedil selepas cuba lari

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah cedera di lengan kiri terkena tembakan dilepaskan anggota polis yang mengejar mereka dari Chow Kit sebelum dia dan dua rakannya ditahan di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek yang menaiki kereta Proton Saga BLM itu memecut kenderaannya apabila terserempak dengan sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di belakang Balai Polis Chow Kit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, anggota polis mengejar kereta suspek dan meminta mereka berhenti ketika berada di Jalan Raja Laut tetapi suspek enggan menyebabkan kenderaan itu merempuh beberapa kenderaan awam.
"Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah kereta suspek.
"Suspek berusia 25 hingga 33 tahun dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi adalah anggota tentera yang lari tugas," katanya.
Menurutnya, polis merampas satu gari, wang palsu, alatan menghisap dadah dan sedikit dadah jenis syabu dan mesin pencetak wang palsu bersama segumpal wang kertas dipercayai wang palsu yang dipotong dalam bonet kereta.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 4:28 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75013#sthash.dHY5iMeo.dpuf

Rumah dua tingkat hangus

Sabak Bernam: Sebuah rumah hangus dalam kebakaran di Jalan Pekan Parit Baru, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam itu mengakibatkan rumah dua tingkat itu musnah keseluruhannya.
"Bagaimanapun tujuh ahli keluarga dalam rumah itu serta dua kereta terselamat.
"Punca kebakaran masih belum diketahui manakala jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Mohd Sani berkata, enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam terbabit dalam operasi pemadaman itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 1:08 PM


FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74997#sthash.QW4KjEqT.dpuf