Search This Blog

Thursday, September 3, 2015

Mufti: Hukum tawaf guna Segway harus

WARTAWAN SINAR HARIAN2 SEPTEMBER 2015
Mufti: Hukum tawaf guna Segway harus
Segway
SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri  menjawab persoalan mengenai penggunaan alat moden seperti Segway atau hoverboard.

Memetik posting di Facebooknya hari ini, Dr. Zulkifli menyebut, hadis Jabir R.A yang bermaksud: "Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Kaabah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda.

"Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah kerana untuk membimbing orang ramai, kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari dan kerana uzur atau sakit.

"Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus," jelasnya.

Beliau memberi penjelasan selepas sebuah rakaman video yang menunjukkan jemaah melakukan tawaf menggunakan bantuan alat moden telah menimbulkan persoalan di kalangan orang Islam yang lain.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tawaf guna teknologi undang kontroversi]

Dr. Zulkifli juga menjelaskan tiga pendapat ulama yang berbeza berhubung isu seperti ini

"Pendapat pertama, sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau dibawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda dan bermaksud;  Melakukan tawaf di Kaabah adalah solat.

"Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan Kaabah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat," kata beliau.

"Pendapat kedua, yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Makkah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam.

"Pendapat ketiga, hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang," jelasnya lagi.

Beliau berkata, setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, pendapat ketiga selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang jelas.

Namun begitu, terdapat beberapa kriteria perlu difahami berkenaan penggunaan teknologi moden semasa tawaf.

"Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin, penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal, jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya dan jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.

"Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih baik dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat," jelas beliau lagi.

Anina pertikai cara Umno lakukan pemecatan

Anina Saaudin
Ainina ketika sidang media hari ini.

IZWAN ROZLIN‎3 SEPTEMBER 2015

PETALING JAYA - Ahli Cawangan Umno Kampung Mat Sirat Langkawi,  Anina Saaudin  mempersoalkan cara pemecatannya yang disifatkan sebagai tidak berasas dan menyalahi Prinsip Keadilan Asasi (Natural Justice).
Menurut Anina, surat pemecatannya bertarikh 1 September dan 2 September yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang tersebar melalui media dan laman sosial ‎adalah satu bentuk salah laku kerana dia sehingga kini tidak menerima apa-apa surat rasmi dari Umno berhubung pemecatannya.
"Surat manakah yang menjadi asas kononnya memecat saya? Jika Yang Berhormat Datuk Seri (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor)  belum diserahkan dengan sebarang proses mahkamah, apakah asasnya Datuk Seri mengeluarkan surat-surat bertarikh 2 September dan 1 September 2015 itu dengan ejaan alamat saya yang tidak betul?" katanya pada satu sidang media ‎di Kota Damansara, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Umno fail saman kepada Najib]
Sebelum ini, Ainina dilaporkan digugurkan keahlian kerana mengambil tindakan mahkamah kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Anina berkata, sebagai Setiausaha ‎Agung, beliau perlu menunjukkan teladan yang baik dengan memenuhi peraturan parti serta tertib dan adab orang Melayu dengan berkata benar bukan sahaja melalui surat menyurat malah dalam semua perkara.
Semalam, pemecatan Anina  telah disahkan oleh Setiausaha Agung Umn‎o itu sendiri melalui aplikasi WhatsApp yang disiarkan sebuah portal berita
.

Bas melompat masuk laluan bertentangan

Bas melompat masuk laluan bertentangan

Keadaan bas yang masuk ke arah lebuh raya bertentangan di kilometer 234.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), di Rembau malam tadi.
NOR AINNA HAMZAH

3 SEPTEMBER 2015

REMBAU - Seramai 30 penumpang termasuk dua bayi berhadapan detik-detik cemas apabila bas ekspres dua tingkat yang dinaiki mereka melompat masuk ke arah bertentangan di kilometer 234.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam itu, kesemua penumpang termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurut pemandu bas, Sham Adam, 41, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur dan bertolak seawal jam 7.30 malam.
“Sebelum kejadian, saya sedang memotong treler yang berada di lorong tengah dan semasa memotong menuruni bukit, bas jadi macam kuda.  Saya tak mampu buat apa-apa bila bas terus melompat masuk ke laluan bertentangan.
“Dari jauh saya nampak ada lori dan cuba elak lori serta pengadang jalan yang terletak di sebelah kanan bas.  Saya terpaksa rempuh tembok batu dari rempuh pengadang jalan sebab risau penumpang jatuh ke dalam jurang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, awal pagi tadi.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Selatan menuju ke Utara, namun susulan insiden berkenaan, bas berkenaan masuk ke laluan arah Selatan.
Menurutnya, kesemua penumpang selamat dan menaiki bas yang digantikan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Peguam dituduh pecah amanah wang syarikat RM533,000


KHAMIS, 3 SEPTEMBER 2015 @ 12:09 PM Oleh Zuraidah Mohamed

JOHOR BAHRU: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang niaga syarikat yang berjumlah RM533,000. Tertuduh, Kamal Hisham Ja'afar, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz. Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan. Kamal kemudian menjelaskan bayaran ikat jamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79169

Lelaki Nepal ditahan selepas ugut polis dengan pisau

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 7:15 PM

 KEADAAN darah yang memenuhi hadapan rumah suspek yang mengamuk dipercayai mabuk di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad MELAKA: Polis menahan seorang lelaki warga Nepal selepas kira-kira dua jam mengugut anggota polis dengan pisau dan mencederakan dirinya di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata sebelum kejadian, lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di sini dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum bergaduh dengan beberapa rakan senegaranya yang menghuni rumah sama. Beliau berkata, suspek turut menumbuk cermin di rumah itu sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangannya. "Polis menerima panggilan pada kira-kira 2 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mangsa yang tiba-tiba panik dengan kehadiran polis mengambil pisau dan mengacukan kepada anggota berkenaan. "Polis juga bertindak mengepung laluan keluar di tingkat satu pangsapuri itu untuk menahannya yang semakin bertindak agresif sebelum berjaya ditahan 4 pagi tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79050

Jutaan penduduk India mogok 24 jam

Jutaan penduduk India mogok 24 jam

Aktivis berhaluan kiri melaungkan slogan sambil membakar patung Modi semasa mogok 24 jam di seluruh negara bagi membantah dasar ekonomi perdana menteri negara itu. - Foto AFP
3 SEPTEMBER 2015

NEW DELHI - INDIA. Jutaan pekerja di seluruh India mengadakan mogok selama 24 jam bagi membantah dasar ekonomi Perdana Menteri Narendra Modi, terutamanya perubahan dalam undang-undang buruh.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 150 juta buruh termasuk kakitangan dalam bidang perbankan, pembuatan, pembinaan, dan sektor perlombongan turut mengambil bahagian dalam bantahan itu.
10 kesatuan pekerja utama menuntut pentadbiran supaya membatalkan rancangan untuk menutup kilang tidak produktif dan menjual saham syarikat negeri yang dikendalikan bagi meningkatkan dana yang diperoleh kerajaan melalui cukai.
"Kami menentang dasar anti buruh. Kerajaan ini sedang mengubah undang-undang untuk memberi manfaat kepada badan korporat," menurut Setiausaha Kesatuan Sekerja Kongres India, Gurudas Dasgupta.
Mogok sehari itu juga menjejaskan sistem pengangkutan di mana barisan panjang penumpang boleh dilihat di perhentian bas, manakala puluhan lagi penumpang terkandas di lapangan terbang selepas teksi dan beca ditinggalkan di tepi jalan bagi menyertai protes.
Menerusi rakaman televisyen di Bengal Barat menunjukkan, kebanyakan operasi perniagaan di bandar Kolkata lengang apabila cawangan bank dan kedai ditutup. - AFP

Lagi letupan di kilang kimia

 3 SEPTEMBER 2015
Lagi letupan di kilang kimia

Keadaan selepas sebuah kilang menghasilkan bahan kimia paraxylene meletup di wilayah Fujian, April lalu. - Foto AFP

BEIJING - CHINA. Sekurang-kurangnya lima orang maut dalam satu letupan di sebuah kilang kimia di China, beberapa minggu selepas letupan besar di pelabuhan utara yang meragut 159 nyawa.
Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku Isnin lalu di Diao Kou Xiang Bin Yuan Chemical Co, terletak di Dongying, dekat wilayah timur Shandong.
"Api berjaya dipadamkan kira-kira lima jam kemudian dan orang yang bertanggungjawab bagi syarikat itu juga telah ditahan. Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan terdapat lima kematian," menurut laporan itu.
12 Ogos lalu, menurut laporan  AFP lagi, sebuah letupan besar berpunca dari tempat penyimpanan barang berbahaya melanda pelabuhan utama China di Tianjin, dan mengorbankan 159 orang dengan 14 yang lain dilaporkan masih hilang
.

Mencuri: Wanita mengandung diikat, dipukul

 WARTAWAN SINAR HARIAN2 SEPTEMBER 2015
Mencuri: Wanita mengandung diikat, dipukul

Rakaman video wanita berkenan dipukul dan ditendang

ZHENJIANG - CHINA. Seorang wanita mengandung diikat dan dipukul oleh sekumpulan penduduk kampung di wilayah Zhejiang minggu lalu selepas dikatakan mencuri wang salah seorang penduduk kampung tersebut.

Menurut laporan SCMP, wanita yang tidak dikenali berusia 28 tahun itu dicekup ketika mencuri 900 Yuan (RM 596) di sebuah rumah di Hengshanqian.

Walaubagaimanapun, wanita berkenaan memulangkan semula wang yang dicurinya dan penduduk kampung mengambil keputusan untuk tidak menghukumnya dan tidak melaporkan perbuatannya itu kepada polis.

Namun, 10 hari kemudian, ketika wanita itu kembali semula ke kampung berkenaan, penduduk kampung berubah fikiran dan menjatuhkan hukuman ke atas wanita berkenaan.

Rakaman video menunjukan wanita itu diikat di sebatang tiang.

Dia turut ditendang, ditampar dan rambutnya ditarik oleh beberapa penduduk kampung sehingga tidak sedarkan diri.

Sementara itu, polis Taizhou berkata, individu yang memukul wanita berkenaan ditahan lapan hari dan diarahkan untuk membayar denda sebanyak 300 yuan (RM198)

Culik: Tiga rakan dipenjara seumur hidup‎



SITI AZIELAH WAHI3 SEPTEMBER 2015

KUALA LUMPUR - Tiga rakan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi selepas didapati bersalah menculik seorang kanak-kanak warga Belanda, yang berusia 15 tahun pada tiga tahun lalu.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Tat Siong, 27; Foong Khar Fai, 22; dan Lee Phak Seng, 27, selepas mendapati pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan keatas ketiga-tiga tertuduh melampaui keraguan munasabah, tertuduh disabitkan dengan pertuduhan," katanya.

Pada 22 Mei 2012, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April 2012.

Pada 16 Februari lalu mahkamah mengarahkan mereka membela diri daripada pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan

Saya bukan ragut, cuma curi saja...'

'Saya bukan ragut, cuma curi saja...'

Tertuduh kanan akan dibawa semula ke mahkamah untuk sebutan kes Rabu depan.
ADILA SHARINNI WAHID2 SEPTEMBER 2015

KOTA BHARU – Hukuman terhadap seorang penganggur terpaksa ditangguhkan selepas tidak mengakui fakta dikemukakan pihak pendakwaan berhubung satu kejadian merompak, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Nik Mohd Afendi Nik Hasan, 34, pada mulanya mengaku ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa melakukan rompakan harta milik Nooriah Mat Ail, 52, iaitu beg tangan mengandungi beg duit bersiri kad pengenalan; MyKid; lesen memandu; kad Transaksi Automatik; dua telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM200.

Apabila dibacakan fakta kes rentetan kejadian itu, tertuduh bagaimanapun menafikan dia melakukan ragut sebaliknya hanya mencuri.

“Saya tak ragut, bukan ambil beg dari bahu mangsa, tetapi curi sahaja, curi beg yang ada dekat sebelah dia. Duit pun RM100 saja, bukan RM200,” katanya.

Susulan itu, mahkamah terpaksa menolak pengakuan tertuduh dan menetapkan kes untuk sebutan semula pada 9 September iaitu Rabu depan.

Sementara itu, tertuduh akan ditahan kerana dia tidak dibenarkan jaminan. Pendakwaan terhadapnya dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nordalina Ali.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan

Dipenjara akibat miliki rokok seludup

Dipenjara akibat miliki rokok seludup

Dua anggota kastam membawa keluar rokok seludup milik Seng Liong untuk dilupuskan sebagaimana arahan mahkamah.
NORAWAZNI YUSOF 3 SEPTEMBER 2015

KUANTAN – Seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan di sini, atas tuduhan memiliki rokok seludup, pada Januari tahun lalu.
Hukuman penjara itu  diperintahkan oelh Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali terhadap Lee Seng Liong, 61, selepas dia memohon agar hukuman penjara dikenakan kerana tidak mampu membayar denda.
Majistret Noor Zaihan kemudian memerintahkan warga emas itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Ogos 2015.
“Saya perintahkan hukuman penjara lima tahun dengan mengambil kira faktor usia kamu (Seng Liong) dan kesihatannya yang menghidap penyakit kulit dan diabetes.
“Saya harapkan kamu insaf dan tidak ulangi perbuatan ini pada masa akan datang,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan.
Mahkamah turut mengarahkan semua barang kes dilupuskan oleh pihak kastam.
Seng Liong mengaku memiliki barang larang import yang bernilai RM7,815.52 di rumahnya di Lorong Air Putih 31, di sini, jam 7 malam, pada 28 Januari 2014.
Seng Liong mengaku bersalah di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum  di bawah seksyen 135 (1) (iii) (aa) Akta yang sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM156, 310.40 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Kastam, Mohd Khairudin Niesha meminta  mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan kerana tindakan Seng Liong menyebabkan kerugian besar kepada negara.
 Beliau dalam mitigasinya memberitahu majistret bahawa tindakan Seng Liong memiliki rokok seludup sebanyak itu menunjukkan jelas yang dia melakukan aktiviti pengedaran.
Bagaimanapun, Seng Liong dalam rayuannya meminta agar hukuman diringankan memandang dia sudah tua, tidak bekerja dan tinggal bersama anak saudara.
Dalam mahkamah sama, seorang wanita berusia 49 tahun juga dikenakan denda RM1,500 atas kesalahan sama selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Noor Zaihan.
Norzaini Hussin mengaku memiliki bahan larangan yang mengandungi tembakau di kedai runcit Seri Pandan, Kampung Pandan, di sini, jam 10,15 pagi, pada 12 Jun 2012.
Kesemua barang dimiliki Norzaini Hussin dianggarkan RM129.92 dan wanita berkenaan mengaku bersalah di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum  di bawah seksyen 135 (1) (iii) (aa) Akta yang sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2, 598.40 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali

Ugut: Bekas peguam direman

Ugut: Bekas peguam direman



Suspek (tengah) dikawal ketat polis keluar dari bilik reman selepas selesai mengambil perintah itu.
ADILA SHARINNI WAHID 2 SEPTEMBER 2015
KOTA BHARU – Seorang bekas peguam ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan terhadap Ketua Unit Pendakwaan Kelantan, di mahkamah, di sini, hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Seksyen, Norida Mohd Husin berkuat kuasa, semalam hingga Jumaat ini.

Sebelum itu, suspek ditahan sebuah Pasar Cina, di sini, pada jam 11 pagi, semalam selepas dikatakan mengugut mangsa di Mahkamah Kota Bharu, di sini, Ogos lalu.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner, Ahmad Taufik Abdullah berkata, suspek ditahan berikutan laporan polis yang dibuat mangsa sejurus kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekas peguam terbabit tidak memperbaharui lesen guaman di Bar Coucil, sejak dua tahun lalu.

“Bentuk ugutan terhadap mangsa, bagaimanapun belum dapat didedahkan kerana siasatan masih berjalan.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan menyeluruh kerana suspek juga dikatakan mempunyai rekod aduan lain, sebelum ini,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dengan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali

Pelajar hilang ditemui bawah jagaan JKM

Pelajar hilang ditemui bawah jagaan JKM

Laporan Sinar Harian 24 Ogos lalu.
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 SEPTEMBER 2015


JERTIH - Pelajar tingkatan satu, Muhammad Danial Zaidi, 13, yang dilaporkan keluar rumah dan tidak dapat dikesan sejak 23 Julai lalu, sudah berjaya ditemui pada Selasa minggu lepas.

Ibunya, Rosnani Mat Ali, 38, berkata, dia dihubungi  pegawai JKM memaklumkan anaknya itu telah ditemui dan berada dalam jagaan jabatan itu.

Menurutnya, dia diberitahu Muhammad Danial diserahkan oleh seseorang  dari Kampung Telaga Papan, Setiu kepada JKM  sehari selepas Sinar Harian menyiarkan kisah kehilangan pelajar itu kali kedua pada 24 Ogos lalu.

“Saya tak tahu siapa individu terbabit yang ‘simpan’ anak saya sebelum serahkan kepada JKM sedangkan selama  tempoh itu  saya dan keluarga setiap hari bimbang dan risau keadaan dia,” katanya yang menetap di Kampung Pulau Berangan dekat sini.

Rosnani berkata, bagaimanapun dia sekeluarga berasa lega dan gembira dengan penemuan anak kedua daripada empat beradik itu  dalam keadaan selamat.

Malangnya sehingga kini dia dan keluarga masih belum dapat bertemu Muhammad Danial kerana anaknya berkeras tidak mahu pulang ke rumah dan JKM telah merujuk Muhammad Danial ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk pemeriksaan lanjut.

“Apa yang agak menyedihkan kami..Muhammad Danial berkeras tidak mahu pulang ke rumah sebaliknya mahu pulang ke rumah bapa angkatnya yang merupakan seorang guru di daerah ini.

“Pihak hospital juga menasihati kami supaya tidak datang bertemu Muhammad Danial dalam tempoh terdekat ini supaya tak beri tekanan kepada Muhammad Danial,” katanya yang sedih terhadap apa yang berlaku.

Menurutnya, dia sekeluarga hairan mengapa anaknya yang masih belajar di sebuah sekolah agama di Bukit Yong, Pasir Putih, Kelantan itu bersikap sedemikian sedangkan ahli keluarga selama ini memberi sepenuh kasih sayang kepadanya.

Sehubungan itu Rosnani dan suaminya berharap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)  dapat menjadi orang tengah dalam membantu menyelesaikan masalah ini kerana ia turut melibatkan seorang guru.

“Saya tetap tidak mengizinkan dia (Muhammad Danial) tinggal dengan bapa angkatnya yang merupakan seorang duda,” katanya.

Sebelum ini Rosnani memberitahu kelakuan anaknya jauh berubah selepas berhubung rapat dan diambil menjadi anak angkat oleh seorang penjawat awam di sini

Tiga kali rogol kekasih bawah umur

 WARTAWAN SINAR HARIAN 3 SEPTEMBER 2015
Tiga kali rogol kekasih bawah umur


Tertuduh (kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah dan akan dihantar ke penjara sementara sebutan bulan depan. KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 18 tahun mengaku tidak salah atas tuduhan merogol kekasih bawah umur di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh dari Lorong Pagar Jawa, Jalan Pengkalan Chepa, Simpang 3, di sini, didakwa di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin pada tiga tuduhan merogol mangsa yang berusia 15 tahun. Ketiga-tiga kejadian berlaku di alamat rumah tertuduh iaitu pertama pada jam 11 pagi, 5 Ogos; kedua pada 9 pagi, 9 Ogos, manakala kali ketiga berlaku pada jam 3.30 petang, 12 Ogos, kesemuanya tahun 2015.

Dakwaan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Susulan penafian pada prosiding tersebut, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nordalina Ali memohon tarikh sebutan lain untuk pengurusan kes dan tidak mencadangkan jaminan berikutan tuduhan serius yang dihadapi.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 22 Oktober depan. Ahmad Bazli tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Penipuan duduki no.1 jenayah siber

CyberSecurity

2 SEPTEMBER 2015 KUALA LUMPUR - Penipuan merupakan kes jenayah siber paling banyak dilaporkan di negara ini sejak lima tahun lepas, kata CyberSecurity.
  
Ini berdasarkan laporan yang diterima Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), kata eksekutif kanan Jabatan Outreach dan Komunikasi Korporat CyberSecurity Aaron Ikram Mokhtar.
  
Beliau berkata, satu kaji selidik baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia menghabiskan masa purata 20 jam seminggu secara dalam talian dan menurut beliau, lebih banyak masa digunakan seseorang secara dalam talian, maka lebih tinggilah risiko yang dihadapinya untuk menjadi mangsa jenayah siber.
  
"Malah, jika seseorang itu hanya menghabiskan masa sejam seminggu melalui Internet, peluangnya untuk menjadi mangsa jenayah siber ialah kira-kira 64 peratus," katanya ketika berucap dalam sesi 'Safecities and CyberSecurity' pada Pameran dan Persidangan Kebakaran dan Keselamatan Antarabangsa (IFSEC) Asia Tenggara 2015 di sini hari ini.
  
Beliau berkata, oleh itu persoalannya bukan "adakah seseorang itu akan menjadi mangsa jenayah siber, tetapi bilakah seseorang itu akan menjadi mangsa jenayah siber".
  
"Untuk mengelak daripada menjadi mangsa, anda perlu meningkatkan tahap kesedaran tentang keselamatan...seperti tidak sekali-kali memandang remeh keperluan mengemaskinikan antivirus komputer anda," kata Aaron Ikram.

Menurut beliau, CyberSecurity telah memperkenalkan program bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dan mendidik pengguna Internet tentang cara melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
  
Jenis jenayah siber lain yang dilaporkan termasuk gangguan siber, penafian perkhidmatan, pencerobohan dan jenayah berkaitan kandungan. - Bernama

Kren potong tangan

Kuala Lumpur: Dua pekerja warga Bangladesh masing-masing putus tangan kiri dan patah kaki kanan selepas dihempap besi kren yang patah dalam kejadian di tapak pembinaan di Jalan Perwira 2, Bukit OUG, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kedua-dua mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum dihempap kren yang patah.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.54 pagi dan empat anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan pekerja di kawasan pembinaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:40 AM


LOKASI kejadian dua pekerja pembinaan cedera parah, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74618#sthash.dgkYA8JV.dpuf

‘Lone Ranger’ punah

Georgetown: Kegiatan seorang peragut bergelar ‘Lone Ranger’ yang selama ini aktif melakukan aktiviti jahatnya tumpas apabila dia dicekup sepasukan polis di Teluk Kumbar, dekat sini, Ahad lalu.
Suspek yang berusia 42 tahun itu selama ini bermaharajalela dengan menjadikan wanita dan pelancong asing sebagai sasaran dan dia didapati bergerak bersendirian dengan menunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek ditahan jam 8 malam di rumahnya dan polis percaya dapat menyelesaikan 14 kes membabitkan kerugian RM20, 000.
Menurutnya, suspek menjadikan kawasan tumpuan pelancong seperti Jalan Love Lane serta Lebuh Acheh, di sini, sebagai sasaran dan dia akan melakukan kegiatannya itu terhadap mangsa yang berjalan seorang diri ketika lewat petang atau malam.
“Kita dapati suspek hanya melakukan kegiatan itu seorang diri dengan menunggang motosikal serta digelar sebagai ‘Lone Ranger’ dan polis turut merampas kenderaannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:44 AM


MIOR Faridalathrash (kiri) bersama pegawai menunjukkan resit pajak gadai pada sidang media, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74623#sthash.TVdPjSBQ.dpuf

Nyawa nyaris dicabut peluru

Menceritakan pengalaman hitamnya itu ketika bertugas di Kem Ulu Legong, Baling, Kedah, 34 tahun lalu, Md Said berkata, dalam kejadian jam 9.45 pagi, 29 Oktober 1981, itu, dia bersama lapan anggota lain termasuk tujuh yang terkorban sedang dalam perjalanan untuk mengambil bekalan makanan di Kampung Lalang, kira-kira empat kilometer dari kem mereka.
Namun, ketika di pertengahan jalan mereka diserang hendap oleh kira-kira 30 pengganas komunis bersembunyi di atas bukit yang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah trak berkenaan yang dinaiki sembilan anggota Rejimen ke Askar Melayu Diraja (RAMD).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:55 AM


MD Said menunjukkan keratan akbar mengenai serangan yang dihadapinya di Ulu Legong dan sewaktu masih bergelar tentera.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74635#sthash.H16728Mf.dpuf

Gempar jumpa mayat ketika berjoging


Kuala Lumpur: Tiga sahabat yang baru selesai berjoging di Bukit Kiara di sini, gempar apabila menemui mayat seorang lelaki di dalam longkang di kawasan riadah itu, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mayat terbabit ditemui tertiarap di dalam longkang berhampiran sebuah pondok pengawal keselamatan.

Mayat itu ditemui seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun bersama dua rakannya yang selesai berjoging di pusat riadah berkenaan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansur berkata, mangsa dikenali sebagai S Govindarajoo, 56, dan dipercayai mati dalam tempoh antara jam 11 hingga 11.50 malam sebelum ditemui.

Menurutnya, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes itu.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Polis tidak menemui sebarang kecederaan pada mayat dan ahli keluarganya sudah dihubungi untuk tuntutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:21 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74656#sthash.JZzv6XTy.dpuf

Drebar lori belasah isteri, anak terima balasan


Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori yang membelasah isteri serta anak kandungnya berusia tujuh tahun menggunakan penyapu dan besi aluminium langsir di tempat beribadat bulan lalu, mendapat pembalasan apabila dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap P Gnasean, 52, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada enam anak itu menjalani hukuman serentak bermula tarikh ditangkap, 25 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Gnasean didakwa memukul isterinya berusia 47 tahun serta anak lelaki sehingga cedera di Kuil Om Sri Muniswaran, Batu 6 1/2, Jalan Ipoh, Sentul di sini, jam 9 malam, 23 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM2,000 atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:22 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74657#sthash.90dVLkp0.dpuf

Diculik kerana RM70


Kajang: Seorang lelaki diculik sebelum dibelasah hingga cedera teruk hanya kerana menuntut hutang RM70 daripada rakan baiknya.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi kelmarin, mangsa berusia 21 tahun mengatur pertemuan dengan suspek di kawasan Jalan Cheras di sini.

Sumber berkata, suspek sebelum ini berhutang untuk berjudi.

“Bagaimanapun mangsa terkejut apabila mendapati dua lelaki dan wanita tidak dikenali menunggunya di lokasi berkenaan.

“Mangsa diajak masuk ke dalam kereta suspek model Honda Civic sebelum dia dibelasah sehingga cedera di kaki, tangan dan kepala,” katanya.

Menurutnya, mangsa turut cedera di tangan akibat terkena pisau suspek.

“Selepas hampir lima jam diculik, mangsa ditinggalkan di hadapan sebuah klinik di Cheras di sini, sebelum ditemui orang awam sekitar jam 6 pagi dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk menerima rawatan,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek dipercayai samseng upahan turut melarikan telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM500 milik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 6:22 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74804#sthash.n5xMaFMb.dpuf

Melambung dalam semak

Subang Jaya: Seorang wanita berusia 24 tahun melambung sejauh lebih 50 meter ke dalam semak sejurus dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Dalam kejadian jam 11.15 malam kelmarin, mangsa, Nursyaidatul Adila Muhamat yang menunggang motosikal dilanggar di Kilometer (KM) 10.7 Lebuhraya ELITE menghala Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Mangsa yang juga pekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di Shah Alam cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati kereta Volvo dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun berada di lorong tengah sebelum dilanggar sebuah kereta Honda dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah sama.
Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan pemandu Volvo hilang kawalan sebelum merempuh Nursyaidatul yang berada di lorong kecemasan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 6:24 AM

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

Pembinaan semula Nepal masih belum dilaksana



AFP - MANGSA bencana gempa bumi di Kathmandu, Nepal masih menginap di khemah perlindungan sementara tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan.


KATHMANDU - Dua bulan selepas dijanjikan bantuan antarabangsa sebanyak AS$4.1 bilion (RM17.3 bilion) bagi pemulihan bencana alam terburuk dalam sejarah Nepal, kerajaan negara ini masih tidak membuat persediaan menerima dana tersebut malahan satu sen pun belum dibelanjakan untuk pembinaan semula.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir tiga juta orang mangsa yang terselamat dalam dua kejadian gempa bumi pada bulan April dan Mei lalu masih memerlukan tempat berteduh, makanan dan bantuan perubatan.
Jumlah itu merangkumi sekitar 10 peratus rakyat negara banjaran Himalaya ini khususnya di kawasan pergunungan yang sukar untuk diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pemulihan Kebangsaan, Govind Raj Pokharel berkata, kerajaan Nepal mungkin tidak akan membelanjakan dana bantuan tersebut sebelum bulan Oktober ini berikutan kelewatan dalam meluluskan pelan pembinaan dan kebimbangan membina ketika musim monsun.
“Tindak balas kerajaan memang perlahan, saya boleh menerima kenyataan tersebut. Kami lebih suka jika mereka memberi tumpuan kepada pembinaan semula dahulu,” katanya.
Seorang mangsa, Maili Pariyar, 50, ketika ditemui sedang mengait dompet di luar khemahnya memaklumkan dia cuma menerima makanan dan bahan membuat khemah daripada agensi bantuan sementara kerajaan Nepal belum menghulurkan sebarang bantuan.
“Kami telah hilang segalanya, kami sangat terdesak. Kami tidak tahu berapa lama lagi perlu menunggu sebelum bantuan tiba,” kata Pariyar. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3kd4CthaA 
Hakcipta terpelihara 

Rampas 100kg ikan bom


Antara pelbagai jenis ikan yang ditangkap menggunakan kaedah letupan yang dirampas APMM di Kota Kinabalu kelmarin.


KOTA KINABALU – Cubaan memasarkan kira-kira 100 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan yang diperoleh menggunakan bahan letupan ke daerah ini gagal apabila dirampas Maritim Malaysia (APMM) di perairan barat daya Pulau Gaya di sini kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 6.40 petang itu tiada tangkapan dilakukan kerana jurumudinya berjaya meloloskan diri.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kota Kinabalu, Kepten Maritim Zin Azman Md. Yunus berkata, bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung yang tidak berdaftar dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan Kota Kinabalu.
Katanya, bot berkenaan kemudiannya didapati meluncur laju ketika didekati pihaknya.
“Bot terbabit berjaya ditahan 10 minit kemudian selepas terkandas di kawasan cetek.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3kd45GSet 
Hakcipta terpelihara 

Premis judi pancing penjawat awam



Anggota penguat kuasa MPSepang merampas set-set komputer yang digunakan untuk perjudian haram di Dengkil kelmarin.


PUTRAJAYA – Sebanyak 10 pusat perjudian di sekitar Dengkil yang menjadikan penjawat awam dan kontraktor di kawasan tersebut sebagai pelanggan utama diserbu kelmarin.
Serbuan pukul 11 pagi oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diketuai Pengarah Operasinya, Azran Musa, telah merampas sebanyak 815 set komputer bernilai RM489,000.
Yang Dipertua MPSepang, Puasa Md. Taib berkata, kebanyakan premis judi itu beroperasi di tingkat atas rumah kedai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, selain dilengkapi televisyen litar tertutup, pengusaha pusat perjudian tersebut juga dikesan mengumpan wanita warga asing yang berpakaian menjolok mata bagi menarik pelanggan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3kd3zG56J 
Hakcipta terpelihara 

Terjun bangunan elak dicekup


SEORANG warga asing cuba memberi rasuah kepada penguat kuasa selepas dikesan menyorok daripada serbuan Ops Ikrar di sebuah tapak pembinaan di Ayer Keroh, Melaka semalam.


MELAKA – Seorang lelaki warga Indonesia tidak berfikir panjang apabila sanggup mempertaruhkan nyawa dengan terjun dari tingkat dua bangunan enam tingkat di sebuah tapak pembinaan apabila diser­bu pihak imigresen dalam Ops Ikrar di Ayer Keroh di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 10 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun berkenaan bertindak melarikan diri dengan terjun ke bawah tapak pembinaan yang curam dan bersemak samun di tepi lereng bukit.
Bagaimanapun, tindakan beraninya itu sia-sia apabila dia mengalami patah kaki bahkan ditahan pihak imigresen.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abu Bakar Sidek berkata, lelaki itu merupakan antara 119 warga asing yang ditahan dalam operasi ber­kenaan.
“Ketika serbuan, seorang lelaki warga Indonesia berumur 27 tahun patah kaki kerana terjun dari tingkat dua untuk melepaskan diri.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3kd3scRSn 
Hakcipta terpelihara 

Tentera bantu operasi SAR



ANGGOTA tentera sambil dibantu helikopter akan menyertai operasi SAR tujuh murid Orang Asli SK Tohoi yang hilang di Gua Musang bermula hari ini.


GUA MUSANG – Seramai 72 anggota tentera akan turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak 12 hari lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, anggota tentera dari Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu termasuk tiga pegawai itu akan menyertai pasukan SAR mulai hari ini.
“Ini merupakan satu kerjasama yang amat baik kerana banyak agensi mahu menghulurkan bantuan dalam usaha kita mengesan tujuh murid SK Tohoi yang hilang itu.
“Anggota tentera ini telah tiba di Gua Musang hari ini (semalam) dan mereka akan dibantu oleh dua ekor anjing pengesan tentera selain aset helikopter bagi bantuan mencari dari udara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3kd3jmGs1 
Hakcipta terpelihara 

Terkejut diminta berpindah



Ahmad TAJOL (depan, dua dari kanan) menunjukkan notis pengosongan kediaman kepada Mohd. Ghazali (depan, tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh pembeli-pembeli rumah yang lain di Taman Desa Duranta, Seremban kelmarin.


SEREMBAN – Seramai 17 pemilik rumah di Taman Desa Duranta di sini yang diarah berpindah oleh pemilik tanah di situ merayu agar diberi sedikit masa bagi membolehkan mereka mencari jalan penyelesaian.
Mereka sebelum ini diminta me­ngosongkan kediaman masing-masing yang dibeli sejak enam tahun lalu menjelang Jumaat depan.
Perkara itu diketahui selepas mereka menerima surat daripada syarikat guaman yang mewakili pemilik tanah pada April tahun lalu.
Cerita penduduk, Ahmad Tajol Aros Abd. Kadir, 47, beliau bersama 16 penghuni lain membeli rumah teres dua tingkat itu pada tahun 2009 daripada pemaju dengan harga RM200,000 hingga RM250,000 sebuah.
“Selepas terima surat guaman, kami buat semakan dan baharu mengetahui rupa-rupanya nama pemilik tanah berbeza dengan nama pemilik di dalam geran.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3kd23PuN1 
Hakcipta terpelihara 

Samseng gaduh, anjing jadi mangsa





ALOR SETAR – Lima lelaki disyaki ahli kongsi gelap Geng 35 dicari polis bagi membantu siasatan tiga kejadian rusuhan di Bedong, Sungai Petani dekat sini kelmarin dan Isnin lalu.
Mereka yang dicari ialah K. Sukumaran, 28, nama panggilan Boka Sasi; G. Thiyagu, 26, nama panggilan Anaconda; Y. Thibagar, 26, nama panggilan Bantha; S. Genga Naidu, 23, nama panggilan Gobi atau Jollu dan R. Prabakaran, 22, nama panggilan Praba atau Sini.
Dalam rusuhan itu, seorang lelaki cedera parah manakala seekor anjing peliharaan turut menjadi mangsa kemarahan ahli-ahli samseng yang cuba membalas dendam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, kesemua ahli samseng itu dikenal pasti terlibat dalam tiga kejadian rusuhan membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan kecil daripada geng kongsi gelap sama.
Menurut beliau, rusuhan tersebut tercetus ekoran perselisihan faham antara ahli kumpulan tersebut dipercayai dalam keadaan mabuk semasa berlangsungnya upacara keagamaan penganut agama Hindu iaitu meranduk api di sebuah kuil di Bedong kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu.
“Rentetan insiden itu, seramai 15 lelaki bersenjatakan parang menyerang sekumpulan lelaki yang sedang melepak di Taman Bandar Baru sehingga mengakibatkan seorang mangsa berusia 25 tahun cedera parah di bahu dan tangan kiri,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini semalam.
Nashir memberitahu, kumpulan yang diserang itu telah bertindak balas dengan membakar 11 buah motosikal dipercayai milik ahli kumpulan lain daripada geng samseng sama di satu kawasan berdekatan ladang kelapa sawit, kira-kira lima kilometer dari lokasi serangan pertama.
Kata beliau, kejadian rusuhan berterusan apabila seramai 12 lelaki bermotosikal bertindak merosakkan pagar dan jeriji rumah serta tiga buah motosikal selain melarikan telefon bimbit dan dompet milik ahli keluarga salah seorang ahli kumpulan samseng yang bergaduh di sebuah rumah di Taman Emas Kelisa kira-kira pukul 12 tengah malam kelmarin.
“Dalam serangan tersebut, kumpulan samseng itu mengelar leher anjing peliharaan keluarga tersebut sehingga mati kerana marah selepas gagal menyerang ahli keluarga itu yang berkurung di dalam sebuah bilik sambil menjerit meminta tolong,” kata beliau.
Bagaimanapun, polis tidak melakukan siasatan lanjut berhubung kematian anjing berkenaan.
Berikutan kejadian itu, Nashir memberitahu, polis berjaya menahan seramai 14 lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an di sekitar Sungai Petani dalam tempoh 24 jam selepas insiden rusuhan berkenaan yang mana ada di antara suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes pecah rumah dan kesalahan di bawah Ordinan Darurat.
Bersama tangkapan itu, polis turut merampas tiga bilah parang, satu pedang samurai, sebilah pisau rambo dan dua batang kayu snuker.
Kelima-lima lelaki itu atau orang ramai yang mengenali mereka diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Muda, Deputi Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail di talian 019-988 0354.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3kd1WTvKc 
Hakcipta terpelihara 

Peguam dicekup polis Singapura



KAMAL Hisham pernah mendiami rumah di No. 6, Lorong Mutiara, Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru.


JOHOR BAHRU – Peguam Kamal Hisham Jaffar yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes pecah ama­nah RM660,000 melibatkan sebuah syarikat di negeri ini ditangkap oleh pihak berkuasa Singapura semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, peguam berusia 45 tahun itu ditahan setelah polis Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atasnya dan memaklumkan kepada polis Singapura.
“Peguam itu tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura dengan menaiki penerbangan dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada pukul 8 malam Selasa lalu sebelum ditangkap hari ini (semalam).
“Menerusi perintah mahkamah yang diperoleh, kami akan membawa pulang peguam itu ke negara ini untuk siasatan lanjut,” kata beliau tanpa memberi butiran identiti peguam itu dan kes membabitkan pengamal undang-undang terbabit.
Kamal Hisham dikehendaki polis Malaysia sejak tiga tahun lalu kerana dipercayai terlibat dengan kes penipuan dan pecah amanah melibatkan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Johor.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3kd1OyGDU 
Hakcipta terpelihara 

Seorang lagi suspek bom ditangkap



BEBERAPA pegawai tentera mengiringi seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan letupan bom di Bangkok selepas berjaya menahannya di pusat pemeriksaan Sa Kaeo berhampiran sempadan Thailand-Kemboja semalam.


BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-0-Cha berkata, seorang lelaki warga asing dipercayai suspek utama serangan bom di Bangkok telah ditahan semalam di sebuah pusat pemeriksaan di sempadan Kemboja iaitu warga asing kedua ditahan setakat ini.
Kejadian letupan bom pada 17 Ogos lalu mero­sakkan sebuah kuil di te­ngah kota Bangkok dan menyebabkan 20 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong asing etnik Cina.
Prayut yang juga pe­mimpin junta tentera berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai khabar angin penahanan seorang lagi suspek.
“Memang benar. Lelaki itu telah ditahan di pusat pemeriksaan Sa Kaeo. Kami sedang menyoal siasat suspek. Dia merupakan suspek utama dan seorang warga asing,” katanya ketika memaklumkan suspek ditahan awal pagi semalam, berkemungkinan ketika cuba me­larikan diri.
Pusat pemeriksaan itu terletak di sebuah bandar sempadan yang sibuk tetapi mundur dan merupakan laluan transit untuk penyeludupan barang antara ke­dua-dua negara tersebut.
Motif sebenar serangan yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam sejarah Thailand itu masih diselubungi misteri. Kuil tersebut merupakan tapak popular dalam kalangan pelancong asing etnik Cina ke Bangkok.
Antara punca yang disyaki motif penyerang terma­suk perbalahan politik teruk di Thailand, kumpulan jenayah terancang, militan Islam, pemberontak di selatan negara ini dan penyokong pelarian minoriti Uighur dari China.
Thailand menghantar pulang 109 pelarian Uighur ke China pada Julai lalu sehingga menimbulkan kemarahan penyokong etnik minoriti tersebut yang mendakwa mereka berdepan seksaan dan penindasan di tanah air sendiri.
Seorang warga asing ditahan Sabtu lalu di sebuah pangsapuri di pinggir Bangkok dan didakwa memiliki bahan-bahan membuat bom selain memiliki berpuluh-puluh pasport palsu Turki. Suspek pertama itu kini dalam tahanan tentera tetapi identitinya belum didedahkan kepada umum. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3kd15dNod 
Hakcipta terpelihara 

8 terbunuh kebakaran apartmen di Paris


AFP - ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di sebuah bangunan apartmen di utara Paris awal pagi kelmarin.


PARIS – Satu kebakaran di sebuah bangunan apartmen di utara Paris awal pagi kelmarin mengorbankan lapan orang termasuk dua kanak-kanak, menurut sumber polis.
Punca kebakaran yang berlaku di daerah ke-18 di ibu negara Perancis itu masih belum diketahui. Api mula marak sekitar pukul 4.20 pagi waktu tempatan.
Lebih 100 anggota bomba dikerah untuk memadam api dan mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Pihak bomba mengakui kebakaran itu merupakan salah satu kejadian terburuk di Paris sejak beberapa tahun lalu. Api berjaya dipadamkan sekitar pukul 7.30 pagi.
Lapan mangsa termasuk dua orang mati selepas cuba menyelamatkan diri melalui tingkap, menurut polis lagi. Sumber terdekat dalam penyiasatan itu berkata, dua orang kanak-kanak merupakan antara mangsa yang terbunuh.
Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve yang melawat kawasan kejadian berkata, selain lapan yang terkorban, empat yang lain cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, masih terlalu awal untuk menentukan punca tragedi itu berlaku.
Pendakwa raya jenayah yang telah mengambil alih siasatan, mencadangkan pihak berkuasa percaya kebakaran itu bukan satu kemalangan.
Kebakaran bermula di aras bawah sebelum merebak ke tangga.
Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berkata, kira-kira 15 bangunan di dalam kawasan bekerja di daerah itu terjejas akibat kebakaran tersebut.
Tambahnya, blok apartmen utama yang terjejas merupakan bangunan swasta, bukan blok rumah flat kos rendah untuk kediaman keluarga. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3kd0wWnRb 
Hakcipta terpelihara