Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Gnasean, 51, seorang pemandu lori, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anaknya berusia tujuh tahun dengan memukul kanak-kanak itu menggunakan batang penyapu.
Gnasean juga mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu mencederakan isterinya, R. Santhi, 47, menggunakan besi aluminium langsir.
Dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas Majistret mengarahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap, 25 Ogos lalu.
Gnasean didakwa melakukan kesalahan itu di Kuil Om Sri Muniswaran Alayam, Bt 6 1/2 Jalan Ipoh, Sentul di sini, kira-kira 9 malam, 23 Ogos lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh memukul anaknya menggunakan batang penyapu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka dan isterinya yang cuba meleraikan keadaan pula dipukul menggunakan besi aluminium langsir sehingga cedera di bahagian anggota badan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd. Yushaa memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Ketika rayuan, Gnasean yang tidak diwakili peguam memohon agar tidak dikenakan hukuman penjara dan denda yang rendah atas alasan perlu menanggung isteri dan enam orang anak dan dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.
“Saya mohon maaf, saya menyesal. Saya tidak sedar semasa melakukan kesalahan itu,” kata Gnasean di dalam kandang tertuduh. - Bernama