Search This Blog

Monday, August 31, 2015

Pelajar Maut Digilis Bas Di Sik


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 12:30 PM

SIK: Seorang pelajar sekolah menengah maut selepas digilis sebuah bas di Jalan Batu Lima-Sik, Kampung Charok Malau, 6 petang, Ahad.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, Mohamad Atiff Abd Rahman, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
"Mangsa yang sedang menunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya selepas terlanggar belakang sebuah lori yang ingin membelok ke kiri jalan sebelum digilis bas," katanya, Isnin.
Mohd Ismail berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.-- Bernama

Pemungut Hutang Mati Ditembak


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 12:43 PM
Pihak polis sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di Jalan Jelutong.

GEORGE TOWN: Seorang pemungut hutang berusia 31 tahun maut ditembak ketika dalam perjalanan ke Gelugor dari Jelutong dekat sini.
Ketika kejadian itu berlaku, lelaki berkenaan sedang menunggang motosikal dari Jalan Jelutong ke Jalan Sultan Azlan Shah.
Sekurang-kurangnya lima das tembakan dilepaskan ke arahnya yang mengenai kepala dan badan.
Tembakan itu mengakibatkan lelaki itu mati di tempat kejadian pada pukul 8.30 pagi, Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad berkata, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Zakaria berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya sedang mengumpul bukti di lokasi kejadian

Anggota Polis Hampir Dilanggar Van Dipandu Peserta Bersih


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 2:32 PM

GEORGE TOWN: Seorang peserta perhimpunan haram, Bersih 4 yang memandu laju sebuah van hampir melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas di perhimpunan berkenaan di Jalan Raja Uda, Butterworth.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, anggota polis berkenaan sempat mengelak walaupun van yang dipandu lelaki itu meluru secara tiba-tiba ke arahnya dalam kejadian pukul 10.30 malam Sabtu.
"Setakat ini masih belum ada tangkapan. Polis telah mengenal pasti identiti pemandu van dan pemiliknya serta usaha mengesan giat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu sempena sambutan Ambang Merdeka 2015, di sini awal, Isnin.
Seramai 500 anggota dan pegawai polis terlibat dalam operasi membanteras samseng jalanan dan membendung kegiatan jenayah di sekitar negeri ini.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis Pulau Pinang menerima tujuh laporan polis berhubung perhimpunan haram Bersih 4 yang diadakan di beberapa lokasi di negeri ini sejak Sabtu sehingga semalam.
"Selain itu, polis turut membuka lima lagi kertas siasatan berhubung perhimpunan Bersih 4 di Pulau Pinang," katanya.
Perhimpunan Bersih selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis dianjurkan oleh kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 yang antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih. -- Bernama

Lokon Mula Meletus


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 12:34 PM

TOMOHON: Gunung berapi Lokon yang terletak di Sulawesi Utara mula meletus dan mengeluarkan asap tebal sejak Sabtu.
Pegawai di Bahagian Pengamatan dan Penyelidikan Gunung Api Wilayah Timur, Devy Kamil Syahbana berkata, letusan itu menyebabkan berlaku gegaran kuat selama beberapa minit.
“Letusan ini disusuli dengan bunyi detuman kuat yang boleh didengari sejauh lima kilometer,” katanya.
Menurutnya, gunung berapi berkenaan mengeluarkan habuk kelabu yang ketinggiannya mencecah kira-kira 1.5 kilometer di udara.
“Bandar paling dekat adalah Sam Ratulangi Manado yang terletak 24 kilometer dari utara gunung Lokon.
“Bagaimanapun, tiada laporan abu gunung berapi mengenai bandar berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun Lokon meletus dengan kuat, tetapi gunung berapi itu diletakkan pada tahap berjaga-jaga.
“Kami menasihatkan supaya tiada sebarang aktviti dilakukan pada jarak 2.5 kilometer radius dari kawah gunung berapi,” katanya. - Agensi

Dua Kadet Tentera Maut, Dua Parah Nahas Di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 3:30 PM

GUA MUSANG: Dua anggota kadet tentera maut dan dua lagi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh tiang elektrik di Kilometer 10.5 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, awal pagi Isnin.
Dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu kereta, Wan Ameerul Idris Wan Mohamed Rizal, 19, dari Jalan Pengkalan Chepa, Kota Baru dan penumpang hadapan, Muhamad Johan Ahdza Ismail, 19, dari Jalan Manal Jaya, Tanah Merah.
Dua lagi penumpang, Akhram Mohd Azmi, 20, berasal dari Kampung Timor, Jeli, dan Muhammad Kamarul Amri, 19, pula mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Gua Musang serta dilaporkan dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah, berkata nahas itu berlaku pada 3.55 pagi tadi ketika mereka dalam perjalanan dari Jeli menghala ke Kuala Lumpur.
"Semua mangsa tersepit dalam kereta yang remuk dan dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh, lalu terbabas dan memasuki laluan sebelah kanan sebelum melanggar tiang elektrik.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. - Bernama

Dua Rakan Karib Ditemui Maut Dalam Kereta


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 3:09 PM
Dua rakan karib ditemui maut dalam kereta di Seksyen 19, Shah Alam.

SHAH ALAM: Dua rakan sepermaian sejak kecil ditemui maut dalam kereta yang ditinggalkan lebih 15 jam di hadapan sebuah restoran di Seksyen 19 di sini, pada Ahad malam.
K Mathiannan dan Y.R. Changkaraanathrao, kedua-duanya berusia 25 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam Proton Saga Aeroback.
Menurut saksi, kenderaan itu diletakkan di situ sejak pukul 7 pagi Ahad, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat.
"Baga salah seorang daripada mangsa melintasi hadapan restoran itu pada pukul 3 petang dan melihat anaknya sedang tidur dalam kereta itu bersama rakan karibnya.
"Ketika itu, dia tidak terfikir sebarang kejadian tidak diingini telah berlaku sehingga anaknya itu tidak pulang malam yang sama," katanya ketika ditemui pada program komuniti kepolisan di Kelab Rekreasi Denai Alam pada Isnin.
Shafien berkata, kenderaan itu ditemui dalam keadaan enjinnya masih dihidupkan.
"Pasukan kami ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada pukul 10.30 malam.
"Kami percaya enjin kereta itu terhenti apabila ia kehabisan minyak.
"Siasatan awal mendapati tiada perbuatan khianat terbabit," katanya sambil menambah kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah.
Mayat kedua-dua rakan karib itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Polis meminta kerjasama semua pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan.

Pengurus Bank Campak Dua Beg Mayat Direman


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 12:21 PM
Beg berisi mayat yang dicampak Samaresh ke Sungai Ganges.

NEW DELHI: Seorang pengurus bank yang mencampak dua beg mengandungi sisa mayat seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia enam tahun ke Sungai Ganges ditahan reman selama 12 hari.
Samaresh Sarkar, ditahan di Sheoraphuli dekat sini selepas mendakwa wanita berkenaan membunuh anak perempuannya sebelum membunuh diri.
Lelaki berusia 45 tahun itu berkata, dia cuba menghapuskan bahan bukti kerana bimbang dikaitkan dengan kes terbabit.
Samaresh ditahan selepas penumpang feri yang dinaikinya melihat dia mencampakkan satu beg ke sungai.
Setakat ini, hanya satu beg ditemui dan polis kini berusaha mencari beg kedua yang sempat dicampakkan itu.
Samaresh kini disiasat bagi tuduhan membunuh.
Polis mendapati Samaresh yang sudah beristeri mempunyai hubungan sulit dengan mangsa, Sucheta Chakraborty, 34.
Dia dipercayai membunuh wanita itu dan anaknya selepas kekasihnya mendesak mahu berkahwin.
Polis membawa suspek ke rumah mangsa untuk siasatan, namun tidak dapat memasuki kediaman itu disebabkan penduduk di situ berhimpun dan mendesak Samaresh diserahkan kepada mereka untuk ‘dijatuhkan hukuman.’

Kathmandu Bergegar Lagi


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 3:27 PM

KATHMANDU: Gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter menggegarkan bandar ini pada petang Ahad dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk ibu negara Nepal ini.
Orang ramai keluar dari rumah masing-masing sambil memekik dan menjerit ketakutan.
Ia adalah gegaran ketiga selepas dua gegaran, masing-masing berukuran 4.1 dan 4.3 pada skala Richter, melanda Kathmandu pada awal pagi hari sama.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan, gempa pada Ahad itu berpusat di Sidhupalchock, kira-kira 25km di timur Kathmandu dan adalah gegaran susulan daripada gempa bumi dahsyat pada 25 April.
Setakat ini, 387 gegaran susulan berukuran lebih 4.0 pada skala Richter direkodkan berlaku selepas gempa bumi dahsyat itu.
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Nepal pada 25 Nepal menyebabkan lebih 9,000 orang maut.
"Gegaran terbaru itu tidak mengakibatkan kerosakan besar, tetapi menyebabkan sesetengah rumah yang retak akibat gempa bumi pada 25 April, menjadi semakin tidak selamat," kata jurucakap Kementerian Luar Nepal, Laxmi Prasad Dhakal. - Bernama

Ketua konvoi maut dirempuh Perodua Kelisa‎


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 OGOS 2015Ketua konvoi maut dirempuh Perodua Kelisa‎
Ketua konvoi maut dirempuh Perodua Kelisa‎ Rusdi (kiri) ketika pelepasan konvoi semalam. Gambar kecil: Keadaan motosikal mangsa dan kereta Perodua Kelisa yang terlibat dalam kemalangan.
BACHOK - Ketua konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Arau, Perlis sempena sambutan hari kebangsaan maut selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Kelisa yang dari arah bertentangan di Grik, Perak petang semalam.

Rusdi Md Nor, 47, yang juga Pengerusi TZM Owner Club Bachok (TOCB), meninggal dunia akibat cedera parah di kepala ketika mengetuai konvoi Kembara Merdeka  Pemuda Umno Bachok ke Arau.

Rakan mangsa, Mohd Arif Roslan, 23, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas apabila sebuah kereta Perodua Kelisa dipandu laju menuruni bukit, namun gagal dikawal sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbabas merempuh mangsa menyebabkan Rusdi mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian kira- kira jam 2.30 petang.

"Arwah memang bersemangat untuk menjayakan konvoi kemerdekaan ini apabila diamanahkan Pemuda Umno Bachok untuk mengetuai konvoi.

“Beliau sering senyum dan amat gembira untuk membawa kibaran Jalur Gemilang Bachok merentasi banjaran Titiwangsa ke Perlis. Namun, takdir ini menetapkan hasrat arwah dan kami semua tiba sehingga sekitar Tasik Banding sahaja,"katanya kepada pemberita pada majlis pengebumian arwah di Kampung Sungai, semalam.

Abang mangsa, Roslan Md Nor, 48, dan dua adiknya Mohd Salmi, 42, dan Norlizawati, 32, masing-masing menunggang motosikal Yamaha TZM turut serta menyertai konvoi tersebut.

Jenazah dibawa ke Hospital Grik, Perak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa dan tiba di kediamannya di Kampung Tok Dosah jam 12.35 malam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai jam 8.30 pagi tadi.

Kelihatan Timbalan Ketua Umno Bachok, Datuk Dr Ilias Husain bersama Ketua Pemuda Umno Bachok, Che Samsuzuha Che Noh setia menanti ketibaan jenazah dan menyempurnakan solat jenazah sebelum menyelesaikan pengebumian Rusdi.

Difahamkan, arwah bersama peserta konvoi lain berlepas dari Pejabat Umno Bachok dengan 50 buah motosikal TZM dan majlis perasmian yang disempurnakan Ilias bersama Che Shamsuzuha pada jam 9 pagi semalam.

Manakala, isteri arwah, Zarina Mahmud, 44, berkata, pemergian suaminya adalah takdir ALLAH SWT yang  menjadikan kemalangan sebagai faktor kematian.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan menerimanya dengan tabah. Pemergiannya bukan suka- suka tetapi menunaikan tanggungjawab dan amanah.

“Tak ada sebarang reaksi yang pelik sebelum pemergiannya kecuali dia amat bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gelimang bersama penunggang 49 buah motosikal ahli kelab yang diketuainya. Arwah seorang yang penuh nilai patriotik serta sentiasa bersyukur dan teruja untuk menyambut hari kebangsaan tanah air tercinta ini," katanya.

Arwah yang juga seorang peniaga ikan bakar setiap kali bazar Ramadan Beris Kubur Besar, meninggalkan enam orang anak berusia  empat hingga 22 tahun.

Sementara itu, Che Samsuzuha berkata, semua ahli Pemuda Umno Bachok turut bersedih di atas  kehilangan seorang aktivitis masyarakat yang aktif dan gemar menyertai pelbagai program yang dianjurkan di daerah ini.

Jaim tahan 12 pasangan kekasih bersekedudukan


31 OGOS 2015khalwat
khalwat Gambar Hiasan

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan 12‎ pasangan kekasih dalam Ops Ambang Merdeka awal pagi tadi di sembilan hotel bajet di sekitar negeri ini kerana disyaki bersekedudukan.

Ketua Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata 24 individu tersebut berusia‎ antara 19 hingga 42 tahun ditahan di Klebang, Taman Merdeka dan Kampung Lapan dalam operasi lebih lima jam yang berakhir pada 4.30 pagi tadi.

"Antara yang ditahan ialah tiga wanita  Indonesia dan seorang lelaki ‎Bangladesh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mereka dibawa ke pejabat JAIM di Bukit Palah untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 sebelum dibenarkan ikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Katanya semua mereka juga akan menjalani sesi kaunseling.‎ - Bernama

Peristiwa ragut dalam kedai ibarat mimpi ngeri


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 OGOS 2015
Peristiwa ragut dalam kedai ibarat mimpi ngeriMat Daud menunjukkan cara penjenayah menggunakan senjata di hadapan isterinya, petang kelmarin.

RANTAU PANJANG – “Saya menyesal pelawa lelaki itu membeli di kedai saya kerana akhirnya dia ragut gelang emas saya,” kata seorang peniaga di Bazar Siti Fatimah, semalam.

Mangsa, Samila Awaekachi. 33, berkata, kejadian pada jam 3 petang itu umpama mimpi ngeri apabila lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu menyerangnya menggunakan senjata.

Menurutnya, dia terkejut dan hanya berdiri kaku di depan penjenayah tersebut sebelum suspek meragut gelang dipakainya.

"Saya cuba melawan, namun dia (suspek) melarikan diri sebelum diketahui peniaga lain.

"Lelaki itu berani bertindak dengan mengacu senjata ke arah saya kerana menyedari peniaga depan kedai saya menutup perniagaan, manakala peniaga lain tiada di kedai," katanya.

Katanya, meskipun masih trauma, dia berusaha melupakan kejadian itu, kerana mengenangkan dia perlu mencari rezeki untuk menyara dua anak yang masih kecil.

Sementara itu, suaminya, Mat Daud Che Hamad, 40, menceritakan, sejurus mendengar jeritan penduduk dan peniaga, dia cuba kejar penjenayah terbabit, namun suspek berjaya melarikan diri menaiki motosikal menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

Mat Daud yang turut berniaga makanan ringan memberitahu, ketika kejadian, dia berada di kedai kedua mereka sementara tugas menjaga kedai di bazar berkenaan diserahkan kepada Samila.

"Selepas mengetahui isteri saya yang menjadi mangsa penjenayah itu, saya berasa seperti mahu pitam kerana mengenangkan keselamatan isteri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim memaklumkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian ditanggung hampir RM2,000.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Banteras khalwat, warga asing dan pusat hiburan


WARTAWAN SINAR HARIAN
Banteras khalwat, warga asing dan pusat hiburan
Add caption
31 OGOS 2015
Remaja perempuan yang ditahan kerana bersekedudukan dengan pasangannya dibawa untuk siasatan lanjut.
Banteras khalwat, warga asing dan pusat hiburan

KUALA SELANGOR – Dua pasangan kekasih berusia lingkungan 18 tahun ditahan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor selepas bersekedudukan di sebuah hotel bajet, di sini lewat malam kelmarin.

Ketika ditahan, pasangan remaja yang memberi pelbagai alasan termasuk lari dari rumah dan enggan menunjukkan kad pengenalan diri selepas diminta pihak berkuasa kerana bimbang dihubungi ahli keluarga.

Bahkan mereka merayu tidak mahu gambar diambil kerana malu dilaporkan dalam media dan memberi alasan hanya mahu singgah berehat di hotel selepas pulang dari kolej.

Mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 29 (A&B), Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana berkhalwat dalam Operasi Menangani Gejala Sosial dan Kempen Aman siri 2/2015.

Operasi itu gabungan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor (Paidks) , Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Selangor, Jabatan Imigresen dan polis.

Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor, Khairul Fahmi Juair menjelaskan, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor menjadi urus setia operasi peringkat daerah kali ini.

“Gabungan semua agensi memberi impak besar dan penguatkuasa dapat menjalankan tugas dengan lebih pantas dan berjaya membuat beberapa tangkapan dan rampasan.

“Sebenarnya, tujuan operasi ini untuk bendung gejala negatif dan sosial di daerah ini menjelang sambutan kemerdekaan dan membuktikan peranan agensi untuk mencapai matlamat bersama.

“Operasi ini bukan saja tertumpu ketika sambutan merdeka, tapi dibuat pada Hari Kekasih, Ambang Tahun Baru di pusat karaoke, hotel bajet dan pusat refleksologi di daerah ini.

“Kita mahu beri kesedaran kepada semua khususnya remaja supaya dapat menghindari perbuatan tak bermoral dan bagi mereka yang ditahan, ini sebagai satu pengajaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Salah guna pas lawatan

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Shah Alam, Ramli Othman berkata,  pihaknya berjaya menahan 14 warga asing yang didapati tiada dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas lawatan.

Menurutnya, empat wanita warga Thailand ditahan di sebuah pusat urut kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan mereka disiasat di bawah Peraturan 39(b), Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala lapan lagi lelaki warga Bangladesh ditahan di sebuah kedai makan di Bestari Jaya kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan masing-masing disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.

“Dua lagi warga Indonesia beragama Islam yang tidak memiliki dokumen diri ditahan di sebuah kedai arak di sebuah kedai dan kesemua tahanan dibawa ke kem sementara di Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.

Notis tutup premis

Sementara itu, Ketua Inspektor Penguatkuasa MDKS, Lokman Ujang berkata, dua pusat refleksologi diberi notis penutupan serta-merta kerana tidak memiliki lesen manakala beberapa pusat karaoke diperiksa rapi.

Katanya, sebuah pusat urut di Bestari Jaya dikenakan kompaun dan beberapa peralatan seperti tilam, bantal, minyak urut dan set bekam turut dirampas di bawah Undang Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MDKS 2007.

“Sebuah kedai yang menjual arak tanpa lesen juga dikenal pasti dan kita berjaya merampas sebanyak lima kotak minuman arak pelbagai jenis di bawah Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKS 2007.

“Sepanjang operasi, 12 pusat urut dipantau namun hanya satu berjaya diperiksa manakala yang lain tutup... kemungkinan pengusaha bekerjasama menghubungi pengusaha pusat lain elak dicekup.

“Malah, keadaan sama turut berlaku di pusat karaoke.  Bagaimanapun,  perkara ini tidak sedikit pun mematahkan semangat penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan pemeriksaan berkala,” katanya.

Suspek kunci mulut


31 OGOS 2015
Suspek kunci mulut
Suspek kunci mulut Jurucakap polis Thai, Prawut Thawornsiri dikerumuni wartawan semasa sidang media di Bangkok, semalam. Foto: EPA

BANGKOK - THAILAND. Lelaki warga asing yang ditahan polis Thailand, kelmarin kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok 17 Ogos lalu, enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat.

"Dia enggan menjawab soalan diajukan penyiasat sama ada dia terlibat atau memainkan apa-apa peranan dalam serangan tersebut," kata jurucakap polis, Prawut Thawornsiri.

Tambah Prawut lagi, lelaki itu juga berdiam diri ketika penyiasat bertanya mengenai serangan bom di jeti Sathorn, sehari selepas insiden pengeboman kuil Erawan yang meragut 20 nyawa.

Polis menangkap lelaki itu selepas satu serbuan di sebuah apartmen di luar Bangkok, tengah hari kelmarin.

Ketika serbuan, polis turut menemui komponen untuk membuat bom di bilik sewa lelaki berkenaan.

Pada mulanya, polis mengumumkan bahawa suspek adalah warga Turki bernama Adem Karadag, 28, namun pasportnya dipercayai palsu.

Polis Thailand sebelum ini menyatakan, serangan tersebut tidak ada kaitan dengan kumpulan pengganas dari luar negara, sebaliknya hanya perbuatan balas dendam individu. - Bangkok Post

Kathmandu dilanda gempa lagi


31 OGOS 2015

KATHMANDU - NEPAL Gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter menggegarkan Kathmandu pada petang Ahad dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk ibu negara Nepal ini.

Orang ramai keluar dari rumah masing-masing sambil memekik dan menjerit ketakutan.

Ia merupakan gegaran ketiga selepas dua gegaran, masing-masing berukuran 4.1 dan 4.3 pada skala Richter, melanda Kathmandu pada awal pagi hari sama.

Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan, gempa pada Ahad itu berpusat di Sidhupalchock, kira-kira 25 km di timur Kathmandu dan merupakan gegaran susulan daripada gempa bumi dahsyat pada 25 April.

Setakat ini, 387 gegaran susulan berukuran lebih 4.0 pada skala Richter direkodkan berlaku selepas gempa bumi dahsyat itu.              

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Nepal pada 25 Nepal menyebabkan lebih 9,000 orang maut.

Gegaran terbaru itu tidak mengakibatkan kerosakan besar, tetapi menyebabkan sesetengah rumah yang retak akibat gempa bumi pada 25 April, menjadi semakin tidak selamat, kata jurucakap Kementerian Luar Nepal, Laxmi Prasad Dhakal.  -Bernama

Penyeludup mengaku tidak bersalah


31 OGOS 2015Penyeludup mengaku tidak bersalah
Penyeludup mengaku tidak bersalah Polis mengiringi salah seorang suspek pemerdagangan manusia ke bilik mahkamah di Kecksemet. Foto: AFP

KECKSEMET - HUNGARY. Empat orang suspek yang didakwa terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia tidak mengaku bersalah dan mengatakan bahawa mereka tidak tahu menahu mengenai kegiatan itu.

Mereka dihadapkan di mahkamah Hungary, kelmarin berikutan penemuan 71 mayat pelarian yang ditemui dalam sebuah trak di sebatang jalan raya di Austria.

Mayat itu termasuk 59 lelaki, lapan wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan.

Trak dengan lesen yang didaftarkan di Hungary itu ditemui di Tenggara Vienna.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga pelarian kanak-kanak dirawat kerana kekurangan air dalam badan di sebuah hospital di Austria.

Mereka diselamatkan dari sebuah van yang penuh sesak dengan sekumpulan pendatang di Barat Austria.

Difahamkan, Hungary meneruskan usaha memasang pagar berduri di sepanjang kawasan sempadannya dengan Serbia bagi menghalang ribuan pendatang memasuki negara itu. - 

Pemungut hutang maut ditembak di Gelugor


31 OGOS 2015

GEORGETOWN - Seorang pemungut hutang maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang tidak dikenali di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun dan merupakan duda anak satu, dipercayai dalam perjalanan ke rumah kenalannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata lelaki itu sedang menunggang motosikal sendirian dari arah Jelutong ke Gelugor sebelum ditembak.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang tidak dikenalinya sebelum jatuh atas jalan raya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya suspek dipercayai lebih daripada seorang, menaiki sebuah kereta dan mereka terus melarikan diri selepas kejadian tembakan berkenaan.

Zakaria berkata pemeriksaan oleh Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor menemui beberapa kesan tembakan di kepala dan badan mangsa.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kejadian itu hanya disedari seorang pemandu bas lelaki Rapid Penang yang melalui kawasan berkenaan dan terdengar bunyi tembakan, dia kemudiannya melihat menerusi cermin sisi dan mendapati mangsa telah jatuh sebelum menghubungi polis," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan polis turut menemui satu kesan tembakan di belakang bas berkenaan.

Zakaria turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Remaja OKU cedera terjatuh perigi

Pasir Mas: Remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) cedera di lengan selepas terjatuh di dalam perigi di rumahnya di Kampung Jalan Tebing Sungai Tendong, di sini, semalam.
Remaja berkenaan diselamatkan bomba dan penyelamat yang membawa naik mangsa dari perigi sedalam 6.5 meter pada 8.06 malam.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Tunjung, Zamri Che Ya berkata, mangsa dibawa naik dengan menggunakan tali.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam .10 malam selepas dimaklumkan remaja OKU terjatuh ke dalam perigi dan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
"Perigi yang terlalu dalam menyukarkan usaha membawa naik mangsa, namun dengan menggunakan tali yang diikat pada anggota bomba, mansga berjaya dibawa keluar," katanya di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 1:36 PM

MANGSA terjatuh ke dalam perigi sedalam 6.5 meter. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73974#sthash.Nh3VBb5b.dpuf

Konon Gucci tulen


Kuala Lumpur: Tindakan empat peniaga menjual barangan tiruan jenama terkenal di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Bukit Bintang gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila premis jualan mereka diserbu, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, produk yang dijual di premis berkenaan didakwa diimport khas dari luar negara, bagaimanapun wakil pemilik sah cap dagang jenama itu mengesahkan produk berkenaan tiruan.

Kegiatan itu dibongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menjalankan risikan selama seminggu sebelum melakukan serbuan.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, serbuan dijalankan hasil aduan dan kerjasama wakil pemilik cap dagang yang sah.

“Dalam serbuan ini, KPDNKK merampas 152 pelbagai produk jenama terkenal antaranya tali pinggang, dompet, beg tangan, topi dan pemegang kad jenama Louis Vuitton dan Gucci.

“Semua produk dirampas itu bernilai RM4,330. Pelanggan diperdaya dengan dakwaan barangan dijual tulen dan diimport khas dari Eropah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:20 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74116#sthash.sLogjqYM.dpuf

Lelaki baru mandi ditahan imigresen

uala Lumpur: Sembilan wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat urut di Taman Fadason, Kepong, petang Jumaat lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 5.15 petang yang dilakukan Jabatan Imigresen Putrajaya itu, seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai pelanggan dan seorang lelaki tempatan ditahan.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Abdul Halim Ismail berkata, hasil risikan dan siasatan awal tidak menolak kemungkinan pusat urut itu turut menyediakan khidmat seks kepada pelanggan.
Semua yang ditahan berusia antara 18 dan 38 tahun dan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Lelaki Bangladesh itu adalah pelanggan di pusat urut berkenaan yang baru selesai mandi dan disyaki ingin melakukan seks bersama wanita warga asing yang dilanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:20 AM


SEBAHAGIAN daripada warga asing yang dicekup dalam serbuan di Taman Fadason.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74114#sthash.FqdqyhJN.dpuf

RM2 juta hangus kilang tilam terbakar

Rembau: Seorang pemilik kilang membuat tilam kerugian RM2 juta apabila kilangnya terletak di Kawasan Perindustrian Chembong, di sini, musnah dalam satu kebakaran, kelmarin.
Kejadian yang berlaku jam 6.15 petang itu disedari beberapa pekerja kilang berhampiran sebelum mereka memaklumkan kejadian itu kepada pengurusnya.
Saksi, Chia Chi Long, 25, berkata, dia menyedari kejadian sebaik dimaklumkan pekerjanya dan terkejut melihat api marak selain terdengar dentuman yang kuat menyebabkan dia bergegas ke lokasi.
“Saya dapati api mula merebak ke seluruh kawasan kilang. Saya lihat 10 pekerja warga Myanmar yang berada dalam rumah kongsi kilang berkenaan bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya yang segera menghubungi bomba.
Sementara itu, pemilik kilang terbabit, Lam Kai Choy, 45, berkata, dia dihubungi pekerjanya yang memaklumkan kejadian itu ketika berada di rumahnya di Seremban dan dia segera ke kilangnya.
“Sebaik tiba 30 minit kemudian, saya dapati kilang musnah 100 peratus termasuk peralatan kilang dan tiga lori seberat tiga tan,” katanya kilang itu sudah beroperasi sejak enam tahun lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Senawang dan Tampin dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh dua jam. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:07 AM


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kilang membuat tilam di kawasan perindustrian Chembong.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74080#sthash.YfSGDzFb.dpuf

Cedera terjatuh di Sungai Gabai

Kuala Lumpur: Seorang wanita cedera selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mandi di hutan rekreasi Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 20-an mengalami kecederaan di kepala.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
“Punca sebenar kejadian masih lagi disiasat,” katanya.
Difahamkan, mangsa bersama beberapa rakannya pergi ke hutan rekreasi berkenaan untuk mandi.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:06 AM


KEADAAN mangsa yang mengalami kecederaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74078#sthash.ArZDq6xd.dpuf

Dalang rampas kapal ditahan


Jakarta: Selepas lebih sebulan diburu, Tentera Nasional Indonesia (TNI)- Angkatan Laut (AL) Indonesia akhirnya berjaya menangkap seorang lelaki dipercayai dalang utama kumpulan yang merampas kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony pada Jun lalu.

Jurucakap TNI-AL, Kolonel M Zainudin berkata, pasukan gerak cepat tentera laut menahan suspek warga Indonesia dikenali sebagai Albert Yohanes di sebuah apartmen di Grogol Petamburan, Jakarta Barat pada Khamis lalu.

“Suspek disyaki menjadi dalang utama di sebalik drama rampasan kapal tangki milik Malaysia itu.

“Kejayaan ini hasil tidak berputus asa selama lebih satu bulan menjejak dan memburu sasaran utama ini,” katanya kepada akhbar Jakarta Post, Jumaat lalu.

Ujarnya, suspek kini ditahan unit Polis Tentera Laut di Kelapa Gading, Jakarta Utara untuk disoal siasat sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek tidak melawan ketika ditangkap dan dia kelihatan sedar kami menjejakinya sejak sekian lama,” jelasnya.

Zainudin berkata, dia tidak pasti sama ada suspek akan dibicarakan di mahkamah Indonesia atau diekstradisi ke Malaysia.

MT Orkim Harmony dilaporkan hilang pada 12 Jun lalu selepas meninggalkan Melaka menuju ke Kuantan, Pahang membawa minyak petrol RON 95 bernilai RM21 juta.

Pihak berkuasa Malaysia turut meminta bantuan tentera laut Indonesia untuk mengesan kapal tangki berkenaan.

Lapan lelaki warga Indonesia kemudian ditahan pihak berkuasa Vietnam selepas terkandas di pulau Tho Chu, hari yang sama perampas MT Orkim Harmony berjaya melarikan diri.

Semua suspek itu dilaporkan masih berada dalam tahanan pihak berkuasa Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:11 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74087#sthash.sMVF9UBF.dpuf

Sesak nafas hidu asap dapur terbakar

Jasin: Seorang wanita dikejarkan ke Hospital Jasin, di sini, akibat sesak nafas dipercayai terhidu asap selepas dapur dan bilik di kediamannya di Taman Kesang Pajak, di sini, terbakar dalam kejadian jam 3.55 petang kelmarin.
Selain itu, ibu mangsa yang menghidap angin ahmar juga mengalami masalah sama dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan akibat terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak lelakinya.
Adik mangsa, Syahirul Naim Saidul Bahari, 19, penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, Larkin, Johor Bahru berkata, ketika kejadian, dia bersama ibunya, Azizah Hassan, 47, keluar makan di sebuah restoran di Jasin dan membeli tiket bas untuk pulang ke Johor Bahru.
Manakala kakaknya, Nur Suhaila Saidul Bahari, 21, berada di rumah ketika kebakaran berlaku, namun wanita itu berjaya menyelamatkan diri tetapi terhidu asap.
“Sebaik masuk ke kereta untuk pulang ke rumah, saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan rumah kami terbakar. Saya cemas memikirkan keselamatan kakak yang ketika itu seorang diri di rumah.
“Namun, saya bersyukur kerana kakak selamat manakala ibu yang diserang angin ahmar sejak April lalu berada bersama saya ketika kebakaran berlaku, jika tidak saya khuatir perkara buruk akan menimpa ibu,” katanya.
Dua beranak itu dilaporkan stabil dan sehingga semalam, mereka masih menerima rawatan di wad di hospital berkenaan.
Wakil dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), melawat keluarga mangsa bagi menghulurkan bantuan segera.
Syahirul Naim berkata, semua barangan peribadinya musnah dalam kebakaran itu.
Jiran mangsa, Muhammad Zulfikri Osman, 16, berkata, dia yang berehat di rumahnya didatangi Suhaila dalam keadaan cemas memaklumkan rumahnya terbakar.
“Saya bergegas melihat kebakaran, namun usaha untuk masuk ke dalam rumah gagal berikutan dipenuhi asap tebal. Saya meminta bantuan jiran lain untuk membantu memadamkan api, sekali gus mengelakkan ia dari merebak ke bahagian lain,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari berkata, bantuan awal oleh orang awam berjaya mengelakkan api daripada merebak ke bahagian lain kediaman itu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:20 AM


KEADAAN rumah yang terbakar di Taman Kesang Pajak, Jasin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74107#sthash.gJahdXxc.dpuf

Diperkosa ‘kekasih’ teman serumah


Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 22 tahun bukan saja disamun, malah turut dirogol dalam kejadian di rumahnya di Jalan Changkat Thambi Dollah di Pudu, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, mangsa menyangka suspek teman lelaki rakan sebiliknya.

Menurut sumber, mangsa yang baru pulang ke rumah mendakwa hendak ke bilik air sebelum melalui kawasan dapur.

“Dia (mangsa) melihat kelibat seorang lelaki tetapi tidak mengendahkannya kerana sangkakan individu terbabit adalah teman lelaki rakan serumahnya.

“Sebaik keluar dari bilik air, mangsa mendakwa sekali lagi melalui kawasan dapur berkenaan untuk ke biliknya sebelum dihampiri suspek,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek kemudian meletakkan pisau di badan mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan wang tunai dan barang kemas miliknya.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:19 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74105#sthash.V3ZBbsWY.dpuf

Tertimbus hidup-hidup

Shah Alam: Runtuhan tanah dipercayai punca seorang pekerja kontrak warga asing tertimbus dalam lubang sedalam enam meter di Jalan Halba, Seksyen 16 dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa, Kovil, 25, terbunuh manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri ketika mereka melakukan kerja membaik pulih paip kumbahan bawah tanah di kawasan itu.
Sebelum kejadian, semua mangsa dikatakan mengorek tanah sebelum tiba-tiba tanah di bahagian tepi runtuh, namun tiga rakan mangsa sempat memanjat keluar manakala mangsa gagal naik lalu tertimbus.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa tertimbus akibat runtuhan tanah digali sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, hasil bantuan bomba, mayat mangsa dikeluarkan jam 2.20 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.27 petang sebelum sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam lubang sedalam enam meter.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:21 AM


ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus ketika melakukan kerja pemasangan paip.

Penumpang cemas tayar bas terbakar


GUA MUSANG: Dua puluh penumpang berdepan detik cemas apabila tayar bas ekspres yang mereka naiki, terbakar di Kilometer 76 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Kampung Sungai Rakit di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, tayar kiri bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu itu tiba-tiba berasap dipercayai berpunca daripada kerosakan brek.

Berikutan itu, pemandu bas berkenaan menghentikan kenderaan itu secara mengejut sebelum mengarahkan penumpang keluar.

Seorang penumpang, Hafzan Harun, 32, berkata, kesemua penumpang selamat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 9:18 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73989#sthash.FudNsxdl.dpuf

Maut tertimbus dalam lubang

Shah Alam: Pekerja kontrak dari Bangladesh maut selepas tertimbus dalam lubang kira-kira lima meter ketika melakukan kerja pemasangan paip di Jalan Halba, Seksyen 16, dekat sini, 1.30 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berdiri di tebing sebelum kawasan berkenaan runtuh menyebabkan mangsa terjerumus ke dalam lubang berkenaan.
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat empat pekerja di kawasan itu dan ia disedari seorang daripada mereka sebelum menghubungi bomba.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan dan usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa berikutan tertimbus dalam lubang yang dalam," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:09 PM


ANGGOTA bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73984#sthash.qmbDsFHM.dpuf

Lapan GRO asing ditahan

Melaka: Lapan wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka dalam Ops Ikrar di pusat hiburan di Melaka Raya, awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira 1 pagi itu menahan lapan GRO warga Thailand selepas anggota risikan terpaksa menyambar sebagai pelanggan lebih tiga jam.
Ketua Penguatkuasa Imigresen negeri Mohamed Lamsah Othman berkata, pihaknya terpaksa melakukan penyamaran dalam memastikan pusat hiburan itu ada menggaji wanita warga asing sebagai GRO.
"Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 25 tahun dipercayai bekerja sebagai GRO yang mana ketika ditahan ada diantara mereka hanya memakai seluar dalam.
"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 2:23 PM


ANTARA wanita warga asing yang diperiksa dalam Ops Ikrar. FOTO Hatim Ab Manan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73976#sthash.4lPv0Dlg.dpuf