Search This Blog

Friday, August 28, 2015

Bot sarat pelarian karam di Libya

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 1:28 AM

 IMEJ dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Itali pada 23 Ogos 2015, bot yang sarat dengan pelarian di luar pantai Itali di Laut Mediterranean. - Foto EPA

TRIPOLI: Sebuah bot sarat dengan pelarian, karam di pesisir bandar Zuwara di Libya, semalam dan dipercayai menyebabkan ratusan orang terkorban. Seorang pegawai keselamatan di Zuwara berkata, beratus-ratus orang berada atas bot dan ada yang terperangkap ketika ia karam. "Kira-kira 100 pendatang haram mungkin terselamat," katanya sambil menambah operasi menyelamat sedang dijalankan. Seorang pegawai lain dan seorang wartawan dari Zuwara mengesahkan berita itu tetapi tidak mempunyai maklumat jumlah korban. Pegawai keselamatan itu berkata, semua pendatang dalam bot itu adalah dari negara Sahara Afrika, Pakistan, Syria, Magribi dan Bangladesh. Penjaga pantai Itali yang menguruskan operasi menyelamat Kesatuan Eropah (EU) di luar pesisir Libya gagal dihubungi untuk mengesahkan insiden bot karam itu. Zuwara berada dekat sempadan Tunisia. Ia adalah lokasi pelancaran penyeludup bot haram ke Itali. Laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi menyebut lebih 2,300 orang maut sehingga tahun ini dalam percubaan untuk pergi ke Eropah menerusi bot, berbanding 3,279 sepanjang tahun lalu. - REUTERS

FOTO disediakan oleh Pengawal Pantai Sweden menunjukkan pelarian menaiki kapal Poseidon selepas ditemui di sebuah bot nelayan di luar pantai Libya. - Foto AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77849

Dua nelayan cedera bot tiba-tiba meletup

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 10:29 PM

AZMAN Ismail (kiri) bersama rakannya, Norizan Azmi melihat kerosakan bot yang meletup ketika menjalankan kerja kimpalan di jeti pendaratan ikan Kubang Rotan, Alor Setar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Dua nelayan cedera parah apabila sebuah bot gentian kaca yang sedang dibaiki mereka di jeti nelayan Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini tiba-tiba meletup dipercayai akibat tindak balas minyak petrol dan wap panas. Kejadian kira-kira 2 petang itu mengakibatkan Razman Omar, 33, cedera di kaki kanan manakala Mohd Sani Abdullah, 37, cedera di kepala dan rusuk kanan. Mereka dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dirawat. Pemilik bot berkenaan, Aswad Abdullah, 30, yang juga berada di bot itu tidak mengalami kecederaan manakala seorang lagi rakan mereka, Mohd Nazirul Mubin Samsudin,20, cedera ringan di dada. Aswad berkata, mereka sedang membaiki bahagian bumbung bot kelas A itu menggunakan alat pengimpal besi. "Bot ini mengalami kerosakan di bumbung dan kami tidak keluar ke laut sejak tiga hari lepas. Jadi kami berempat membaiki bumbung bot ini kerana ingin ke laut Sabtu ini. Aswad berkata, dia berada di atas bumbung ketika itu, manakala tiga lagi rakannya berada di lantai bot, dan ketika mereka selesai melakukan kerja kimpalan, lantai berkenaan tiba-tiba berasap lalu meletup. Bagaimanapun, dia sempat melarikan diri manakala Razman dan Mohd Sani terpelanting akibat letupan itu sehingga terkena bucu bot dan buluh yang berada di jeti itu. "Kami percaya kejadian disebabkan minyak petrol yang berada di lantai bot terkena wap panas sehingga mengakibatkan letupan," katanya. Aswad berkata, bot itu dibelinya tujuh bulan lepas dengan harga lebih RM15,000 dan dia menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat kejadian itu. "Lantai bot habis pecah dan peralatan menangkap ikan juga rosak, saya perlu membaiki bot ini semula jika ingin ke laut lagi," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77783

Lelaki cedera ditembak di bahu

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 1:23 AM

 ANGGOTA forensik PDRM memeriksa dan mencari bahan bukti pada Toyota Hilux di tempat kejadian tembak di Jalan Hiliran, di Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki cedera di bahu kanan ditembak dua lelaki di Jalan Hiliran, di sini, malam tadi. Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 28 tahun itu baru keluar dari kenderaannya pada kira-kira jam 9.15 malam. Mangsa dihampiri dua lelaki dan dipercayai berlaku pergelutan sebelum seorang daripada suspek melepaskan tembakan. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata suspek dipercayai melepaskan dua hingga tiga das tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan pelbagai guna berwarna putih. "Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan melakukan sekatan jalan raya di semua laluan keluar dari daerah ini bagi mengesan suspek," katanya. Beliau berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan keadaannya dilaporkan stabil.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77847

Jabatan Perhilitan tumpaskan sindiket jual kulit dan hasil hidupan liar

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 2:16 PM

KUALA LUMPUR: Satu sindiket membekal dan menjual kulit dan hasil hidupan liar di ibu negara, tumpas selepas Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menahan tiga warga India termasuk seorang wanita, semalam. Kesemua mereka yang berusia sekitar 40-an ditahan dalam dua serbuan berasingan berhampiran bangunan Pudu Sentral dan sebuah hotel bajet di Jalan Pudu, kira-kira jam 4 petang. Bahagian Penguatkuasaan jabatan berkenaan turut merampas pelbagai jenis hasil hidupan liar antaranya kulit, kuku, gigi dan tapak kaki harimau, bulu gajah dan aksesori perhiasan dibuat daripada bahan itu, kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM100,000. PELBAGAI jenis rampasan antaranya kulit, kuku, gigi haiwan liar yang dirampas Jabatan Perhilitan.

PELBAGAI jenis rampasan antaranya kulit, kuku, gigi haiwan liar yang dirampas Jabatan Perhilitan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77921

Lelaki ditemui mati dalam parit

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 2:41 PM

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi bhnews@bh.com.my Pauzi bhnews@bh.com.my

BAGAN SERAI: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan kepala terendam di dalam air parit manakala satu kaki mangsa tersangkut pada tiang kayu di tebingnya di Batu 8, di sini, pagi tadi. Mangsa H Yoe Wan,46, ditemui pada jam 9 pagi oleh seorang pemancing terkejut melihat mayat berkenaan di kawasan parit di hadapan rumah seorang penduduk. Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berikutan penemuan mayat itu. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan pihak polis masih menanti keputusan pihak hospital bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa," katanya. Sementara itu, ahli keluarga mangsa ketika ditemui di hospital enggan mengulas lanjut dan hanya berkata mangsa bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di sini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77926

50 mayat pendatang ditemui dalam trak di Austria


PEGAWAI polis menyiasat keadaan trak yang ditemui tersadai di lebuh raya dengan tertera syarikat penternakan ayam Slovakia dan nombor pendaftaran Hungary berisi di antara 20 dan 50 mayat reput. - Foto AP
VIENNA: Kira-kira 50 mayat pendatang sudah reput ditemui dalam sebuah trak yang ditinggalkan pada ketika operasi memburu penyeludup manusia yang bertanggungjawab terhadap tragedi terbaru dalam krisis pendatang di Eropah.
Penemuan mayat berdekatan sempadan Slovakia dan Hungary muncul selepas lebih 30 mayat pendatang lemas di Mediterranean dan pemimpin Eropah bertemu sekali lagi bagi berusaha mencari jalan mengatasi kebanjiran pendatang ke negara Kesatuan Eropah.
Polis Austria berkata, trak berkenaan ditemui pada Khamis di lebuh raya dengan tertera syarikat penternakan ayam Slovakia dan nombor pendaftaran Hungary berisi di antara 20 dan 50 mayat reput.
Canselor Jerman, Angela Merkel, yang hadir pada sidang kemuncak bersama pemimpin Balkan bagi membincangkan krisis berkenaan berkata, beliau "terkejut" terhadap berita yang "mengerikan" itu.
"Ini adalah amaran supaya kita mengatasi isu pendatang ini dengan pantas dan dengan semangat Eropah, bermakna semangat solidariti dan mencari penyelesaian," kata Merkel.
Setakat tahun ini, lebih 2,300 lelaki, wanita dan kanak-kanak lemas di Mediterranean selepas bot yang dikendalikan penyeludup manusia karam.
Sementara itu, pengawal pantai Libya berkata, kira-kira 30 mayat ditemui dalam bot yang membawa lebih 200 pendatang untuk menyeberangi ke Eropah. - AFP

Dua Nelayan Cedera Bot Tiba-Tiba Meletup


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 10:02 PM
Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Dua nelayan cedera parah apabila sebuah bot gentian kaca yang sedang dibaiki mereka di jeti nelayan Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini tiba-tiba meletup dipercayai akibat tindak balas minyak petrol dan wap panas.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan Razman Omar, 33, cedera di kaki kanan manakala Mohd Sani Abdullah, 37, cedera di kepala dan rusuk kanan, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Pemilik bot berkenaan, Aswad Abdullah, 30, yang juga berada di bot tersebut tidak mengalami kecederaan manakala seorang lagi rakan mereka, Mohd Nazirul Mubin Samsudin,20, cedera ringan di dada. 
Aswad berkata, mereka sedang membaiki bahagian bumbung bot kelas A tersebut dengan menggunakan alat pengimpal besi.
"Bot ini mengalami kerosakan di bumbung dan kami tidak keluar ke laut sejak tiga hari lepas. Jadi kami berempat membaiki bumbung bot ini kerana ingin ke laut Sabtu ini.
Aswad berkata, dia berada di atas bumbung ketika itu, manakala tiga lagi rakannya berada di lantai bot, dan ketika mereka selesai melakukan kerja kimpalan, lantai berkenaan tiba-tiba berasap lalu meletup.
Bagaimanapun, dia sempat melarikan diri manakala Razman dan Mohd Sani terpelanting akibat letupan itu sehingga terkena bucu bot dan buluh yang berada di jeti tersebut.
"Kami percaya kejadian ini berlaku disebabkan minyak petrol yang berada di lantai bot terkena wap panas sehingga mengakibatkan letupan," katanya.
Menurut Aswad, bot itu dibelinya tujuh bulan lepas dengan harga lebih RM15,000 dan dia menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat kejadian tersebut.
"Lantai bot habis pecah dan peralatan menangkap ikan juga rosak, saya perlu membaiki bot ini semula jika ingin ke laut lagi," katanya.

Petani Jumpa Bom Di Belakang Rumah


Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 3:55 PM

PASIR PUTEH: Seorang petani terkejut apabila menjumpai sebutir bom yang masih aktif ketika sedang membina batas untuk menanam ubi kayu di belakang rumahnya di Kampung Sungai Seligi, Bukit Abal di sini, Selasa lepas.

Mat Jusoh Husin, 61, berkata pada mulanya beliau menyangka objek itu besi buruk terbuang tetapi selepas menelitinya ia menyerupai sebiji bom sebagaimana yang pernah dilihatnya di televisyen.

"Bom itu berada dalam kedudukan yang mendatar kira-kira 50 meter dari rumah dan saya tidak menyangka menemui bom itu kerana kawasan tanah dibajak dengan jentera setiap tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Mat Husin berkata beliau melaporkan penemuan objek tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh pada 1.10 petang semalam selepas beberapa jirannya percaya objek itu adalah bom.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Abdul Rozak Muhamad berkata sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dihantar menyiasat penemuan bom berkenaan.

Beliau berkata objek berkenaan kemungkinan bom yang digunakan dalam latihan ketenteraan yang tidak meletup sebelum ini bagaimanapun siasatan sedang dijalankan.

Wanita Maut Dilanggar Kereta Api


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 6:16 PM

JOHOR BARU: Seorang wanita maut dilanggar dan diseret kereta api ketika sedang menyeberangi landasan untuk pulang ke rumahnya di Kulaijaya, Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supt Razak Md Said, berkata mangsa, Jimalah Othman, 58, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 10.45 pagi apabila mangsa dilaporkan berjalan kaki bersendirian dari Stesen Kereta Api Kulai menuju ke rumahnya di Taman Saga, di Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini.
"Sewaktu baru menyeberangi landasan itu kira-kira 200 meter muncul tiba-tiba sebuah kereta api dari arah Gemas ke Johor Baharu.
Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri diseret beberapa kilometer, menyebabkannya mati di tempat kejadian," katanya yang dihubungi Bernama di sini, Khamis.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk dibedah siasat.

Lelaki Cedera Terkena Tembakan Perompak


Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 8:10 AM

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki cedera di bahu selepas terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki yang cuba mencuri kenderaannya di Jalan Hiliran di sini.

Kejadian kira-kira 9 malam Khamis itu berlaku ketika mangsa yang berusia 28 tahun menghampiri kenderaan Toyota Hilux miliknya untuk mengambil kad Astro.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata sebaik menghampiri kenderannya yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai keluarganya, mangsa terserempak dengan seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan kenderaannya.

Beliau berkata perompak itu melepaskan tembakan ke arah mangsa dan terkena pada bahu sebelah kanannya.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek ingin melarikan kenderaan terbabit namun terkejut melihat pemiliknya menghampiri kenderaan itu lalu terus melepaskan tembakan ke arahnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Selepas kejadian tembakan itu, katanya suspek terus melarikan diri menggunakan kereta Toyota Wish berwarna putih.

Idris berkata semasa kejadian, mangsa sedang menikmati makan malam bersama anggota keluarganya sebelum bapanya meminta mangsa mengambil kad Astro yang tertinggal di dalam kenderaan pacuan empat roda mangsa.

"Anggota keluarga mangsa mendengar dua das tembakan dilepaskan sebelum mangsa berjaya menyelamatkan diri di hadapan kedai elektrik milik keluarganya," katanya.

Beliau percaya lebih daripada dua suspek terlibat dalam kes itu.

Susulan kejadian itu, polis sedang mengesan kelongsong peluru berhampiran lokasi kejadian serta melancarkan Ops Tutup di sekitar kawasan Kuala Terengganu bagi mengesan suspek.

Menurutnya mangsa yang bekerja di Chendering, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan dilaporkan stabil.

Polis Tahan 12 Suspek Letupan Di Tianjin


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 10:42 AM

SHANGHAI: Polis China menahan 12 individu yang disyaki terbabit dalam insiden letupan besar di bandar Tianjin, demikian lapor agensi berita, Xinhua.

Kejadian berkenaan menyebabkan 139 orang terbunuh dan memusnahkan kawasan pelabuhan di situ.

Antara mereka yang ditahan ialah pengerusi, naib pengerusi dan tiga timbalan pengurus besar syarikat logistik menyimpan bahan kimia yang meletup.

Baki individu yang ditahan masih belum diketahui identiti mereka.

Sebelum ini, China memecat ketua jabatan keselamatan pekerja kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan.

21 keluarga saman Jokowi

Jakarta: Dua puluh satu keluarga di Semarang, Jawa Tengah, semalam memfailkan saman terhadap Presiden Joko Widodo (Jokowi) berhubung dengan tindakan tentera Indonesia merobohkan rumah mereka.
Saman itu difailkan di Mahkamah Daerah Semarang.
“Saman itu menamakan presiden sebagai defendan kerana dia panglima tertinggi tentera,” kata peguam keluarga berkenaan Josep
Parera.
Menurut Josep, selain Jokowi, defendan lain ialah ketua tentera, ketua turus tentera dan panglima tentera di Diponegoro, Jawa Timur.
Josep berkata, tindakan memfailkan saman itu dibuat kerana tentera tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk merobohkan rumah berkenaan yang terletak di tanah seluas 6,400 meter persegi milik keluarga berkenaan sejak 1950-an.
Katanya, tentera mendakwa keluarga itu menyerahkan tanah berkenaan kepada Agensi Tanah Kebangsaan (BPN).
“Bagaimanapun, tidak ada bukti menunjukkan tanah itu diserahkan,” kata Josep.
Menerusi saman berkenaan, keluarga itu meminta pampasan berjumlah Rp21.1 bilion (RM6.31 juta). - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73461#sthash.9wSTyEly.dpuf

40 korban bah


Pyongyang: Seramai 40 maut dan ribuan terkandas akibat hujan lebat di Korea Utara yang menyebabkan banjir kilat serta kerosakan teruk sepanjang hujung minggu lalu, lapor Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan media tempatan.

Lebih 11,000 orang menjadi mangsa banjir kilat termasuk ada yang terpaksa meninggalkan kediaman di Rajin, berhampiran sempadan China dan Russia pada Sabtu serta Ahad lalu, kata jurucakap Pertubuhan Palang Merah di Beijing, Hler Gudjonsson.

Rajin ialah ibu negeri Zon Ekonomi Khas Rason di wilayah Hamgyong, utara negara itu.

Sumber berkata: “Hujan sangat lebat dan deras. Pada pagi Sabtu bandar ini sudah dinaiki air. Kereta pun bagaikan bot meredah banjir.”

Setakat ini belum jelas kesan hujan lebat terhadap negara itu yang mengalami musim kemarau paling teruk dalam tempoh seabad sebelum ini.

Media Korea Utara melaporkan kematian 40 orang dan kerosakan teruk akibat 250 milimeter (mm) hujan sepanjang hujung minggu. Kira-kira 155mm hujan dialami dalam tempoh hanya tiga jam, Sabtu lalu.

Pihak berkuasa di China bekerja sama dengan pegawai sempadan Korea Utara untuk memindahkan 484 pelancong warganya yang terkandas selepas satu-satunya jalan ke sempadan tenggelam akibat banjir.

Kebanyakannya berada di kawasan itu kerana menghadiri pameran perdagangan di Rajin.

Pihak berkuasa China menghantar lori sampah, forklift dan peralatan berat ke Rajin untuk membantu usaha menyelamat pelancong terbabit. Portal berita China melaporkan semuanya berjaya diselamatkan.

Cuaca buruk dikaitkan dengan Taufan Goni mengakibatkan 26 kematian apabila ia membadai Filipina, Sabtu lalu.

Korea Utara tidak terkesan secara langsung dengan taufan itu tetapi mudah banjir disebabkan kekurangan hutan di tanah tinggi.

Awal Ogos lalu, hujan lebat di kawasan sama mengakibatkan 21 kematian dan menjejaskan kehidupan 3,400 yang lain, lapor Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:37 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73201#sthash.MeeD4LoT.dpuf

Pembunuh wartawan bersifat ganas, pemarah

Moneta, Virginia: Walaupun selepas menembak mati wartawan dan jurukamera stesen televisyen CBS, Vester Lee Flanagan II terus menunjukkan kemarahannya, termasuk menghantar faksimili 23 muka kepada ABC News dengan kata-kata akhir ‘saya menjadi mangsa manusia... menunggu masa untuk BOOM!!!".
Beberapa jam selepas menembak mati bekas rakan sekerjanya malam tadi, dan memuat naik video serangannya ke Facebook, Flanagan memandu kereta dan merempuh kedai sebelum menembak dirinya. Dia mati di hospital pagi ini.
Dalam notanya, Flanagan yang ke udara dengan nama Bryce Williams sebelum ini, berkata dia menghadapi diskriminasi kerana berkulit hitam serta gay dan kejadian tembakan di gereja penduduk kulit hitam Charleston, Carolina Selatan, baru-baru ini, juga menjadi pendorong.
Bekas Pengarah Berita stesen WDBJ di Roanoke, Virginia, Dan Dennison, berkata Flanagan dipecat dari stesen itu pada 2013 dan polis terpakasa dipanggil kerana dia enggan meninggalkan bangunan stesen.
Sejak muka bekerja, Flanagan, 41, membuat banyak aduan mengenai pekerja lain termasuk melakukan diskriminasi serta mengamalkan perkauman terhadapnya - tuduhan yang dinafikan stesen itu.
Pada 2000, Flanagan dipecat dari stesen televisyen WTWC-TV di Tallahassee, Florida, kerana mengancam pekerja lain
Dalam akaun Twitter, Flanagan menulis mengenai perbalahan dengan mangsa tembakannya, wartawan Alison Parker, 24, dan jurukamera Adam Ward, 27, yang menurutnya Parker membuat kenyataan perkauman manakala Ward membuat aduan terhadapnya kepada Jabatan Sumber Manusia. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 6:38 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73399#sthash.IdkNpIfK.dpuf

Puluhan migran mati dalam lori

Vienna: Mayat puluhan migran ditemui di dalam lori di lebuh raya di Austria, kata polis, semalam.
Jurucakap polis Hans Peter Doskozil berkata, kenderaan itu ditemui di tempat meletak kereta di tepi lebuh raya di Burgenland dengan 20 hingga 50 mayat di dalamnya.
Menteri Dalam Negeri Johanna Mikl-Leitner menyuarakan kesedihannya dengan kejadian itu.
“Tragedi ini memberi kesan terhadap kita semua dan membuktikan sekali lagi bahawa penyeludup manusia adalah penjenayah,” katanya.
Tidak diketahui punca kematian migran berkenaan dan berapa lama mayat itu sudah berada di situ.
Dalam pada itu, Canselor Jerman, Angela Merkel menemui pemimpin negara Balkan di Vienna untuk membincangkan cara menangani krisis migrasi yang terbesar melanda Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Tahun ini melihat kemasukan pelarian yang begitu tinggi ke Kesatuan Eropah (EU) melalui jalan darat serta laut. Pelarian berkenaan berasal dari Afrika, Asia dan Asia Barat yang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan.
Menteri Luar Austria Sebastian Kurz memberi amaran negaranya akan menimbang melaksanakan langkah antimigrasi lebih tegas termasuk kawalan sempadan lebih ketat sekiranya EU gagal mencapai persetujuan menangani masalah itu.
“Austria mempunyai lebih ramai migran berbanding jumlah di Itali dan Greece.
“Bukan dua negara itu saja yang terjejas dengan krisis ini,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 7:57 AM


PASUKAN forensik memeriksa lori mengandungi mayat puluhan migran.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73453#sthash.hInevp0S.dpuf

Padah isteri telefon lelaki lain


Kaherah: Seorang lelaki Mesir membunuh isterinya kerana bercakap dengan lelaki lain menerusi telefon di rumah mereka di sini.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, lelaki itu memberitahu polis, dia berang apabila pulang ke rumah dan mendapati isterinya berbual dengan lelaki lain di telefon.

Sumber polis berkata, lelaki itu mengaku meluru masuk ke bilik tidur mereka, mengambil pistol dan menembak isterinya.

Sementara itu, seorang lelaki Saudi menceraikan isterinya yang selalu tidur lewat.

Lelaki itu yang belajar di Amerika Syarikat berkata, dia berulang kali memarahi isterinya kerana menghabiskan masa dengan tidur sepanjang hari.

Wanita berkenaan terpaksa meminta bantuan jirannya untuk menelefon keluarganya di Taif untuk menceritakan kejadian berkenaan.

Bapanya berusaha menghubungi menantunya dan memulihkan hubungan pasangan itu, tetapi lelaki berkenaan enggan mendengar, sebaliknya berkeras untuk bercerai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:12 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73457#sthash.dKxXG3e3.dpuf

Video pembunuhan paling menggemparkan

San Francisco: Rakaman video pembunuhan wartawan dan jurukamera stesen televisyen WDBJ malam tadi, bagaikan permainan video dengan tangan menggenggam pistol muncul pada paparan, wanita (Alison Parker, 24) muncul sebagai sasaran dan tembakan dilepaskan.
Namun, ia bukan permainan video kerana ia adalah pembunuhan sebenar yang dirakam kamera jurukamera Adam Ward, 27, serta kamera pembunuh, Vester Lee Flanagan, sebelum dia juga ditembak.
Rakaman berkenaan yang sempat dimuat naik ke Internet termasuk oleh Flanagan sendiri ke Facebook (sebelum dibuang) menjadi rakaman pembunuhan pertama disiarkan di Internet.
Wartawan WDBJ, Alison Parker, 24, dan jurukamera Adam Ward, 27, ditembak ketika mereka menemuramah untuk siaran langsung di Moneta, selatan Virginia, malam tadi.
Dalam siaran langsung itu, rakaman kamera Ward berakhir dengan pembunuh berdiri di atasnya mengacukan pistol sebelum stesen berkenaan memutuskan siaran.
Beberapa jam selepas itu, rakaman oleh Flanagan selama 56 saat menjadi viral di Internet sebelum video itu dibuang dari laman media sosial.
Rakamannya menunjukkan dia berjalan ke tempat Parker, Ward serta wanita sedang ditemuramah berada dan mereka tidak menyedari kehadirannya.
Flanagan berhenti, mengangkat dan mengacukan pistol lalu melepaskan tembakan yang membunuh Parker sebelum menembak Ward.
Rakaman itu tidak menampakkan pembunuh tetapi menampakkan tangan seseorang memegang pistol. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 6:35 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73397#sthash.RM6CNXmZ.dpuf

Penduduk belasah lelaki mengaku Tuhan

Sukabumi (Indonesia): Sebelum ini heboh di Indonesia mengenai seorang lelaki bernama Tuhan, tetapi baru-baru ini ada pula seorang lagi lelaki yang mengaku Tuhan.
Lelaki itu Indra Okta Permana atau dikenali sebagai Raden, 35, bukan sahaja mengaku jelmaan Tuhan, tetapi meminta pengikutnya membakar al-Quran dan menyembah matahari.
Tindakan lelaki yang tinggal di Kampung Gunungkarang di Sukabumi, Jawa Barat itu menyebabkan penduduk kampung berang dan memukulnya sehingga pengsan kelmarin.
Jurucakap polis, Sulaeman Salim berkata, Raden yang mengaku Tuhan mempengaruhi satu keluarga di kampung itu untuk mengikut ajarannya.
“Keluarga ini memberitahu mereka seperti terpukau dengan Raden dan mempercayai semua dakwaannya termasuk dirinya sebagai Tuhan.
“Pada Isnin lalu, Raden membawa keluarga berkenaan yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan pergi ke sebuah bukit berhampiran,” katanya.
Menurutnya, di puncak bukit itu, Raden mengarahkan tiga pengikutnya bersujud dan menyembah matahari.
“Ketika pengikutnya bersujud, Raden memukul badan dan punggung pengikutnya dengan alasan mahu menghapuskan dosa.
“Tidak cukup dengan itu, Raden mengarahkan pengikutnya membakar al-Quran,” jelasnya.
Menurutnya, penduduk kampung yang berang selepas mengetahui perkara itu bertindak memukul Raden sehingga pengsan.
“Bagaimanapun, polis sempat tiba dan berjaya menghalang penduduk berkenaan.
“Buat masa ini suspek ditahan di balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:39 AM


RADEN (kiri) disoal siasat oleh polis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73204#sthash.uYp3GTbI.dpuf

Lubang apa ni?

Beijing: Rakaman CCTV laluan pejalan kaki di bandar utama wilayah Harbin, utara China tiba-tiba runtuh membentuk lubang besar menelan empat orang dengan seorang wanita berpegang pada tebing sebelum mereka diselamatkan, tersebar di China sejak semalam.
Menurut stesen televisyen wilayah itu, Heilongjiang Network Broadcasting Television, kejadian berkenaan yang berlaku Sabtu lalu, dirakam CCTV.
Tiga orang jatuh ke dalam lubang, seorang wanita berpaut pada paip dan seorang lagi yang sedang berdiri di tepi tebing terjatuh ke dalam lubang.
Mangsa terbabit dipercayai sedang menunggu bas kerana lubang berkenaan berlaku berhampiran perhentian bas.
Orang ramai berjaya menarik keluar semua mangsa dari dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter itu dan mereka bernasib baik kerana hanya cedera ringan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 8:53 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73414#sthash.ztV0mmfX.dpuf

Bayi mati digigit tikus

New Delhi: Seorang wanita mendakwa bayinya yang baru dilahirkan mati akibat digigit tikus di sebuah hospital milik kerajaan di selatan India.
Menurut AFP, tiga pegawai di Hospital Guntur in Andhra Pradesh digantung kerja berikutan kematian bayi lelaki berusia 10 hari itu yang dirawat kerana masalah saluran kencing.
Ibu bayi itu, Chavali Lakshmi, berkata dia memberitahu kakitangan hospital selepas menyedari jari anaknya putus ketika bayi itu ditempatkan di unit rawatan rapi.
“Tidak lama sebelum anak kami menjalani pembedahan, kami menyedari kecederaan pada tangan kanannya. Tikus menggigit jarinya hingga putus,” katanya kepada wartawan hari ini.
Menurut laporan thehindu.com, bayi itu juga cedera di muka dan badan termasuk dada akibat digigit tikus dan Chavali berkata, dia menyedari anaknya terbaring tidak bergerak pada jam 5 pagi semalam (waktu tempatan).
Ketua Menteri Andhra Pradesh, N Chandrababu Naidu, berkata beliau menggantung kerja tiga pegawai dan mengarahkan siasatan segera.
Pengarah hospital itu, T Venugopala Rao, berkata kejadian akan disiasat dan mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan.
“Kami menyedari kehadiran tikus pada pagi Isnin dan mengarahkan jabatan kejuruteraan membaiki siling yang rosak tetapi malangnya pagi ini (semalam) tikus menyerang lagi bayi itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:05 PM


Chavali Naga Raju dan Lakshmi hanya mampu melihat bayi mereka yang mati akibat digigit tikus di hospital kerajaan di Andhra Pradesh, India. - Foto thehindu.com
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73407#sthash.1SF3xEhK.dpuf

Jatuh 30m bersama kren


Petaling Jaya: Seorang pemandu kren masih bernyawa walaupun tercampak bersama kren ke tingkat bawah bangunan setinggi 30 meter.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, tapak kren berkenaan dipercayai gagal mengimbangi berat bebanan menyebabkan kren itu runtuh di sebuah pusat pembinaan berhampiran Sri Pentas, Bandar Utama di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa berusia 30-an warga Indonesia itu tersepit di dalam kabin pengendali kren sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dikeluarkan dalam tempoh masa 10 minit selepas pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki sebelum diserahkan kepada anggota paramedik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang tiba di lokasi kejadian untuk mendapatkan rawatan,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengesahkan insiden runtuhan kren itu tidak ada kaitan dengan pembinaan MRT.

Pengarah Bahagian Operasi dan Pengurusan Aset MRT Corp Mahmood Abdul Razak berkata, kontraktor dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd mengesahkan kepada pihaknya kejadian berlaku berhampiran pusat pembinaan stesen Bandar Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:06 AM

MANGSA diberi bantuan oleh pasukan paramedik sebelum dihantar ke PPUM.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73524#sthash.ERRABLw7.dpuf

Penjenayah Latin cuba langgar polis


Kuala Lumpur: Seorang penjenayah Geng Amerika Latin bertindak ganas memandu kenderaan melawan arus sebelum merempuh beberapa kenderaan dan cuba melanggar anggota polis yang mengejarnya.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, Selasa lalu, suspek berusia 27 tahun itu diberkas anggota polis daerah Wangsa Maju yang bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek.

Difahamkan suspek sebelum itu merompak sebuah rumah di Taman Danau Kota di sini, dengan menaiki kenderaan Kia Citra.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, perbuatan suspek bagaimanapun disedari pemilik rumah yang baru pulang dari bekerja.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:26 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73534#sthash.hU0MFoWM.dpuf

Wanita untuk disewa

Oleh Mohd Hasbi Sidek

hmetroshahalam@hmetro.com.my
Klang: Sebuah pusat hiburan di Jalan Pekan Baru di sini, dikesan menawarkan khidmat pelacur untuk disewa pelanggan lelaki yang berminat membawa wanita itu bermalam di beberapa hotel berhampiran.

Difahamkan premis itu hanya beroperasi seawal jam 2 petang sehingga 8 malam setiap hari berikutan semua pelacur itu akan habis ditempah pelanggan.

Taktik itu bagaimanapun dibongkar sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor selepas melakukan risikan sejak beberapa minggu lalu.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Abdul Ghofar Ahmad berkata, serbuan diketuai Pegawai D7 Asisten Superintendan Mohd Uzir Othman itu turut membabitkan dua pegawai dan 10 anggota polis.

Menurutnya, dalam serbuan jam 6.30 petang kelmarin, pihaknya menahan 21 wanita warga asing membabitkan empat warga Thailand dan 17 warga Vietnam berusia antara 22 hingga 35 tahun yang ketika itu leka melayan pelanggan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:28 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73535#sthash.klnxmDzT.dpuf

Upah bunuh kekasih anak berkutu


Florida: Seorang wanita merancang pembunuhan kekasih anaknya selepas lelaki berperwatakan ganas itu didakwa menyebabkan cucunya berkutu.

Pamela Vanorsdale, 50, dituduh cuba mengupah bekas menantunya Daniel Dionne, 33, untuk menembak mati Dylan Loveless, 22, di kepala dan dada.

Dionne bagaimanapun memaklumkan kepada polis mengenai rancangan Pamela itu.

Dia mendakwa, bekas ibu mentuanya menghubunginya dan memintanya membunuh Loveless kerana didakwa sering mendera cucunya.

Loveless juga dikatakan mencekik seorang cucunya manakala seorang lagi dihambat macam anjing sambil mengeluarkan kata-kata lucah terhadap kanak-kanak itu.

Pamela didakwa menyediakan pistol .25 kaliber yang diisi dua peluru untuk membunuh Loveless serta mencadangkan Dionne mencampakkan mayat lelaki itu ke dalam sungai.

Namun, dia mensyaratkan pistol dipulangkan supaya dia boleh membersihkannya untuk kelihatan seperti tidak pernah digunakan.

Malangnya, Loveless berpindah dari kem gelandangan dihuninya menyebabkan Pamela tidak dapat menjejaknya.

Menurut polis, Pamela mengaku meminta Dionne membunuh Loveless, tetapi mendakwa dia hanya bergurau. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:11 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73456#sthash.nJQ6PALm.dpuf

Seludup anak buaya dalam but

Brisbane: Seorang lelaki didenda A$5,700 (RM17,100) selepas ditangkap menyeludup seekor anak buaya air masin dalam butnya ketika dalam penerbangan dari Darwin ke Brisbane.
Lelaki berusia 35 tahun itu membeli anak buaya itu di sebuah taman buaya di Wilayah Utara dan memasukkannya di dalam kasutnya sebelum menaiki pesawat baru-baru ini.
Dia didakwa di Mahkamah Majistret Brisbane oleh Jabatan Alam Sekitar dan Perlindungan Warisan Queensland (EHP) kelmarin.
Selain didenda A$5,700, lelaki berkenaan juga diarah membayar kos tambahan A$250 (RM750) selepas ditangkap bersama-sama buaya itu di Lapangan Terbang Brisbane.
Seorang jurucakap EFP berkata, pegawainya dan polis menemui anak buaya berkenaan dalam kotak kadbod di dalam but lelaki itu.
Buaya air masin boleh membesar sehingga tujuh meter dan berat sehingga 1,000 kilogram. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:21 AM


ANAK buaya yang dirampas daripada lelaki itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73465#sthash.ibumm3SO.dpuf

Gores tangan tanda ‘jantan’

Kuala Lumpur: Gores belakang tapak tangan untuk bukti ‘kejantanan’. Itu dilakukan sekumpulan murid sekolah rendah di pinggir ibu negara yang sanggup mencederakan diri sehingga meninggalkan parut bagi menyahut cabaran rakan bahawa mereka lelaki sebenar.
Kejadian itu turut menjadi viral di laman sosial termasuk di Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp apabila gambar sekumpulan murid lelaki berpakaian seragam sekolah rendah berdiri dalam formasi bulatan menunjukkan belakang tapak tangan yang cedera digores.
Antara petikan status FB yang menjadi viral itu: Ibu bapa yang mempunyai anakdi sekolah rendah dalam tahun tiga, empat, lima dan enam, sila pantau anak masing-masing. Sekarang menular satu trend nak tunjuk siapa anak JANTAN dengan cara menggores belakang tapak tangan dengan duit syiling atau benda lain hingga tinggalkan kesan parut.
Petikan seumpamanya turut tersebar di dunia maya dalam aplikasi WhatsApp: Pelajar lelaki akan cabar sesama mereka, sesiapa yang tiada tanda itu akan ditempelak sebagai bukan anak JANTAN! Sebilangan besar anak murid dikesan mempunyai tanda itu. Awasilah anak dan cucu kita agar tidak terbabit dengan budaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 7:22 AM


GAMBAR viral di laman sosial menunjukkan murid sekolah rendah dengan tangan dicederakan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73445#sthash.mp5xh7tc.dpuf

Paksa makan katak hidup

Shenzhen (China): Seorang kanak-kanak di sini dimasukkan ke hospital selepas mengalami jangkitan parasit setelah dipaksa memakan katak hidup oleh ibunya.
Si ibu yang dikenali sebagai Li dikatakan memaksa anaknya memakan katak berkenaan, kononnya untuk mengubat penyakit sawan babi yang dihidap kanak-kanak itu.
Menurut akhbar The People’s Daily Online, Li bimbang selepas anaknya menunjukkan tanda-tanda menghidap sawan babi.
Dia dinasihat beberapa rakan supaya mencuba rawatan tradisional - menelan katak hidup.
Dalam wawancara dengan stesen televisyen Shenzhen, wanita itu berkata: “Ada kanak-kanak di kejiranan kami yang menghidap sawan babi mencuba cara ini dan ia berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 7:13 AM


GAMBAR menunjukkan kanak-kanak itu di hospital. Gambar kecil, Li.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73441#sthash.Zhk6Ml1r.dpuf

Tergantung 3 jam

Mersing: Seorang anggota tentera yang menjalani latihan payung terjun terpaksa menunggu hampir tiga jam selepas tersangkut pada sebatang pokok tualang setinggi 20 meter di Kem Iskandar, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa, Mohd Razi Ibrahim, 32, dari Unit 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Melaka tersangkut pada pokok berkenaan sebelum usaha membawanya turun dilakukan anggota bomba dan penyelamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Johar Sanusi berkata, sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu menurunkan mangsa sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 petang.
“Menurut maklumat awal mangsa tersangkut pada pokok di Kem Iskandar sebelum sebuah jentera dikejarkan untuk membantu menyelamatkan mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 3.52 petang, kami mendapati seorang anggota tentera tersangkut di atas pokok setinggi kira-kira 20 meter ketika membuat latihan payung terjun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 6:52 AM


RAZI tersangkut di atas pokok tualang setinggi kira-kira 20 meter di Kem Iskandar Mersing.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73435#sthash.NgfUVk4U.dpuf