Search This Blog

Thursday, August 27, 2015

200 individu dakwa ditipu agensi umrah, haji

RABU, 26 OGOS 2015 @ 9:51 PM

HASNIDA Muda 50, (tiga dari kanan) menunjukkan laporan polis telah dibuat atas kes kena tipu oleh sebuah syarikat mengenai pakej umrah dan haji dan bersama sembilan rakan beliau di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. - FotoShamsudin Husin


KEMAMAN: Kira-kira 200 bakal haji dan umrah dari Kemaman dan Kuala Terengganu mendakwa ditipu agensi pengendali pakej umrah dan haji swasta di sini sejak setahun lalu. Ia membabitkan kerugian RM1 juta yang telah dibayar dan gagal dikembalikan oleh agensi itu hingga ke hari ini. Setiap seorang jemaah terbabit mendakwa mengalami kerugian antara RM3,900 dan RM30,000 selepas membayarnya kepada agensi itu antara bulan Ogos hingga September tahun lepas. Seorang mangsa, Azizatun Abu, 42, berkata beliau membayar RM3,900 bagi pakej umrah dan RM10,000 wang pendahuluan bagi mengerjakan haji bersama lima anggota keluarganya. Azizatun berkata, sepatutnya mereka dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada Disember tahun lalu tetapi sehingga kini gagal menjejakkan kaki ke sana. Sebaliknya, beliau mendakwa pelbagai alasan diberikan wakil agensi itu. "Saya tak sangka jadi begini kerana sebelum ini ada jemaah haji yang mendakwa berjaya pergi umrah dan haji melalui syarikat itu dengan tawaran tambang lebih murah berbanding Tabung Haji dan agensi lain. "Antara alasan yang diberikan ialah visa mereka tidak diluluskan Kedutaan Arab Saudi dan pelbagai alasan lain serta dijanjikan untuk ke Tanah Suci pada tahun seterusnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Seorang lagi mangsa, Hasnida Muda, 50, berkata beliau telah membayar RM10,000 bagi pakej umrah bersama suami dan tiga anaknya. Katanya, agensi itu juga gagal memulangkan wang mereka kerana dijanjikan akan dapat melakukan ibadah umrah pada bulan seterusnya. Namun, sehingga April tahun ini alasan yang sama terus diberikan. Merasa tertipu dengan helah dan alasan yang diberikan agensi berkenaan, sebahagian mereka tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Jumaat lepas, supaya tindakan undang-undang dapat diambil dan tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan agensi berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan mengklasifikasikannya sebagai kes sivil. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77518

Warga Thailand dihukum gantung sampai mati bersalah edar kokain

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 11:47 AM

Oleh Muhammad Yusri Muzamir yusri.muzamir@bh.com.my

ANGGOTA polis mengiringi Chonmanee di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

 GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang wanita warga Thailand selepas dia didapati bersalah menyeludup kokain ke Malaysia, dua tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan, membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan tertuduh, Chonmanee Laphathanawat, 30, dipaksa menyeludup dadah terbabit oleh kenalannya dari Brazil. Nordin berkata, pihaknya merumuskan bahawa cerita tertuduh dipaksa untuk berbuat demikian adalah rekaan semata-mata. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Amir Hamzah Othman, manakala tertuduh diwakili peguam dilantik mahkamah yang enggan dikenali. Chonmanee dituduh menyeludup dadah jenis kokain seberat 869.1 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada Februari 2013 lalu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77623

Dua dituduh atur perolehan harta pengganas

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 11:45 AM

 KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang cef didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membabitkan diri dalam pengaturan perolehan harta pengganas, antara Disember 2013 dan Julai 2014. Mohamad Fauzi Misrak, 35 dan Rohaimi Abd Rahim, 38, masing-masing bekerja sebagai cef dan perunding kewangan, hanya mengangguk sambil menjawab "saya faham" sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin, sebentar tadi. Majistret memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, hari ini.

ROHAIMI (dua dari kiri) dan Mohamad Fauzi (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membabitkan diri dalam pengaturan perolehan harta pengganas. - Foto Asyraf Hamzah

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77622

8 sekeluarga maut kebakaran di Guinea

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 7:41 AM

 CONAKRY: Lapan sekeluarga termasuk dua wanita mengandung dan kanak-kanak maut apabila rumah mereka terbakar di ibu negara Guinea, kata saksi dan polis pada Rabu. Kebakaran itu berlaku pada awal pagi Rabu dan seluruh kawasan kejiranan di situ cuba memasuki kediaman terbabit bagi menyelamatkan penghuni di situ. "Kejadian ini amat mengerikan, kami cuba menelefon jabatan bomba tetapi tidak mendapat jawapan. Keseluruhan jiran di sini berusaha menyelamatkan keluarga terbabit," kata seorang saksi. "Kami bekerjasama dengan memecahkan dinding di bahagian laman, kemudiannya dalam rumah tetapi kami hanya berjaya selamatkan seorang lelaki muda," kata anggota polis, Almamy Laye Soumah. Dua wanita mengandung dan mangsa selebihnya berusia antara lima dan 22 tahun terkorban dalam kejadian berkenaan. Suami mangsa dikatakan berada di luar Guinea pada ketika kejadian. - AFP

 LAPAN sekeluarga termasuk dua wanita mengandung dan kanak-kanak maut apabila rumah mereka terbakar di ibu negara Guinea, pada awal pagi Rabu. - Foto hiasan

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77583

Hukuman Gantung Jadi Berita Di Mexico


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 11:56 AM
Berita antarabangsa: Gambar Sultan Johor muncul di akhbar Mexico dengan tajuk 'Mexico akan merayu kepada Sultan Johor'.

WALAUPUN Mexico melancarkan perang terhadap kartel dadah, namun negara itu tidak mewujudkan hukuman mati terhadap pesalah berkaitan.

Bagaimanapun Malaysia mencipta gelombang baharu di negara itu apabila memutuskan bahawa tiga rakyat Mexico perlu ke tali gantung kerana didapati bersalah mengedar dadah.

Apabila Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan keputusan bersalah oleh Mahkamah Rayuan terhadap tiga adik-beradik berkenaan pada April lalu, Duta Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona dibanjiri dengan permintaan untuk diwawancara daripada 32 agensi media dari negaranya.

Tiga beradik warga Mexico itu ialah Jose Regino Gonzales Villarreal, 34; Simon Gonzales Villareal, 37, serta Luis Alfonso Gonzales Villarreal, 44.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan mereka.

Dalam keputusannya, Hakim Mohd. Zawawi berkata, undang-undang Malaysia melayan semua tertuduh secara sama rata, tanpa mengambil kira warga asing ataupun tempatan.

Ketiga-tiga adik beradik itu adalah antara lima lelaki yang didakwa mengedar seberat 29,460.17 gram dadah jenis methaphetamin di kilang IPL Packaging Industries Sdn. Bhd. di 55, Jalan Idaman 1/5, Senai Industrial Park, Senai, Johor Bahru kira-kira pukul 3.15 petang, 4 Mac 2008.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hukuman gantung ke atas mereka menjadi berita hangat di Mexico.

Dilaporkan kehidupan adik beradik itu lebih baik apabila Corona dilantik menjadi duta ke Malaysia.

Beliau berjaya membantu adik beradik itu dipindahkan dari penjara Kajang di Selangor ke penjara Bentong di Pahang, yang dikatakan lebih selesa.

Corona, seorang diplomat yang berkhidmat selama lebih daripada 23 tahun datang ke Malaysia atas sebab-sebab tertentu.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas ketika berurusan dengan hukuman mati dan merupakan salah seorang pakar terkemuka Mexico mengenai subjek ini.

Selepas penghakiman Mahkamah Persekutuan, Corona berkata kepada The Star: "Kami menghormati badan kehakiman Malaysia dan kami akan memfailkan semakan kehakiman sebelum memohon pengampunan Sultan Johor."

Kementerian Luar Mexico berkata mereka akan merayu kepada badan-badan tempatan dan antarabangsa untuk menentang hukuman mati.

Empat Penjenayah Bersenjata Parang Larikan RM100,000



Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 8:52 AM

KUALA LUMPUR: Empat penjenayah bersenjatakan dua parang melarikan wang tunai bernilai RM100,000 selepas menyamun kedai pengurup wang berlesen di Jalan Equine, Seri Kembangan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razimi Ahmad berkata dalam kejadian 6.30 petang itu, dua suspek dikatakan menyamun kedai berkenaan manakala dua lagi menunggu di atas motosikal di luar premis tersebut.

"Semasa kejadian, dua suspek pada awalnya cuba mencabut cermin di kaunter tersebut, tetapi usaha mereka gagal sebelum suspek menendang pintu untuk masuk ke dalam premis dan melarikan wang tunai dalam pelbagai bentuk mata wang yang kesemuanya bernilai RM100,000.

"Siasatan awal polis mendapati premis terbabit yang baru beroperasi selama sebulan, tidak dilengkapi alat penggera keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan jeriji keselamatan, selain tidak mempunyai pengawal keselamatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya, mangsa, 26, yang merupakan penjaga premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Razimi berkata ketika kejadian, kesemua suspek memakai topi keledar yang dilengkapi cermin gelap bagi melindungi wajah mereka.

Sehubungan itu, polis akan melakukan tindakan susulan dengan menganalisis kamera CCTV yang terdapat di sebuah bank berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, katanya.

Dua Lelaki Maut, Kereta Bertembung



Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 3:36 PM

JOHOR BARU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila dua kereta bertembung di Batu 3 Jalan Yong Peng, dekat Batu Pahat pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad, berkata mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Rizal Mohd Radin, 35, dan Lim Tong Hain @ Lim Tong Haw,62, manakala mangsa yang cedera pula adalah Tan Kean Joo, 28.
Kemalangan kira-kira pukul 7.15 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Mohd Rizal dari arah Ayer Hitam menuju ke Yong Peng, hilang kawalan selepas melalui kawasan yang baru ditaburkan dengan batu kerikil untuk kerja penurapan.
Ia menyebabkan kereta Mohd Rizal terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
"Pertembungan mengakibatkan Mohd Rizal dan rakan (penumpang depan) mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta Toyota itu pula cedera," katanya yang dihubungiBernama, di sini Rabu.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan polis menyifatkan kejadian berpunca akibat kecuaian mangsa sendiri.

Suspek Bunuh Bekas Teman Wanita Ditahan



Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 4:03 PM

JOHOR BARU: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang kerani wanita syarikat kurier di Taman Desa dekat Kluang, petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata, lelaki warga tempatan itu ditahan di Johor Baharu kira-kira 8 malam - selang lima jam selepas kejadian tersebut.
Mohamad berkata, mayat S.Chintra,31, sebelum itu ditemui bapa dan sepupunya dalam keadaan tertiarap di dalam tab mandi di rumah sewanya selain terdapat kesan jerutan di leher.
Menurut Mohamad, polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam dan cemburu kerana suspek merupakan bekas teman lelaki mangsa.
"Bapa mangsa memberitahu pernah membuat beberapa laporan polis di Johor Baharu sejak 2011 kerana suspek sering menganggu mangsa ketika berada di sana.
"Tidak tahan dengan sikap lelaki itu, bapa mangsa meminta mangsa bekerja di Kluang dan mangsa kemudian mendapat teman lelaki baharu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Suspek kini ditahan reman sehingga 1 September untuk membantu siasatan.

Pelajar Tingkatan Dua Jadi Orang Tengah Jual Ganja Ditahan


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 8:13 PM

PADANG TERAP: Polis menahan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua yang menjadi orang tengah bagi penjualan ganja di sekitar kawasan Naka di sini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Ahmad Nasir Jaafar berkata, pelajar itu ditahan semalam selepas pihak sekolah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Katanya, siasatan awal mendapati pelajar itu menjadi orang tengah untuk menjual dadah kepada seorang lelaki yang tinggal di kawasan terbabit dengan ganjaran akan mendapat bekalan ganja secara percuma.
"Perbuatan pelajar itu terbongkar apabila gurunya telah menjalankan pemeriksaan kira-kira pukul 9 pagi semalam sebelum menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi dadah jenis ganja seberat 1.68 gram bernilai RM30 di dalam poket seluar pelajar terbabit.
"Pihak kami yang dimaklumkan oleh pihak sekolah telah menahan pelajar terbabit pada pukul 11.30 pagi semalam. Hasil siasatan mendapati pelajar terbabit baru dua bulan menjual dadah itu dengan satu paket dijual RM10," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Ahmad Nasir berkata, pelajar terbabit ditahan reman bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif ganja.
"Polis sedang mengesan lelaki yang menjadi pembekal dadah kepada pelajar terbabit," katanya. - Bernama

Polis Tahan 12 Suspek Letupan Di Tianjin


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 10:42 AM

SHANGHAI: Polis China menahan 12 individu yang disyaki terbabit dalam insiden letupan besar di bandar Tianjin, demikian lapor agensi berita, Xinhua.

Kejadian berkenaan menyebabkan 139 orang terbunuh dan memusnahkan kawasan pelabuhan di situ.

Antara mereka yang ditahan ialah pengerusi, naib pengerusi dan tiga timbalan pengurus besar syarikat logistik menyimpan bahan kimia yang meletup.

Baki individu yang ditahan masih belum diketahui identiti mereka.

Sebelum ini, China memecat ketua jabatan keselamatan pekerja kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan.

Tujuh Mayat Ditemui Di Penjara Guatemala


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 9:30 AM

GUATEMALA CITY: Tujuh mayat banduan dalam penjara ditemui dalam tong sampah dengan keadaan yang menunjukkan mereka diseksa, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Berdasarkan laporan AFP, pegawai di Penjara El Boqueron menemui kesemua mayat itu yang menempatkan banduan dari Mara Salvatrucha, salah satu geng dadah yang didakwa mencetuskan keganasan di negara berkenaan.

Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Siasatan dibuat bagi mengenal pasti sama ada mereka dibunuh dalam pergaduhan di antara kumpulan berkenaan.

Pada 8 Ogos lalu, tiga banduan lain ditemui mati di penjara yang sama di bandar Cuilapa.

Keadaan mayat mereka juga menunjukkan kesan diseksa.

Penjara berkenaan menempatkan 521 banduan termasuk 286 dari geng Mara Salvatrucha, dengan ahlinya dikenali dengan tatu di seluruh badan.

Pergaduhan di antara geng dadah didakwa menjadikan negara berkenaan sebagai salah satu negara paling ganas di dunia.

Rakyat Malaysia Ditahan, E-Rokok Dirampas Di Woodlands


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 11:18 PM

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menahan seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Singapura berhubung rampasan rokok elektronik dan beberapa peralatan berkaitan dengannya.
Sembilan set rokok elektronik dan 113 botol aksesori rokok elektronik dijumpai dalam sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands awal Ahad lepas.
Sebahagian daripada rokok elektronik itu dijumpai tersembunyi di dalam but manakala selebihnya dijumpai di belakang ruang simpanan kecil, dalam ruang radio dan di bawah kerusi belakang kereta berkenaan.
Suspek berusia 26 dan 34 tahun itu kini membantu siasatan berhubung kegiatan penyeludupan menyeberangi Tambak Johor.
Kenyataan bersama ICA dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu menyatakan semasa tiba di pusat pemeriksaan itu pada kira-kira 12.30 tengah malam, seorang pegawai  mengarahkan kereta itu menjalani pemeriksaan rutin yang membawa kepada penemuan rokok dan barangan itu.
Singapura melarang penggunaan rokok elektronik.
Seksyen 16 Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) melarang pengimportan, pengedaran, penjualan atau penawaran untuk jualan sebarang benda yang direka menyerupai produk tembakau termasuk 'vaporiser' seperti rokok elektronik, paip elektronik, curut elektronik dan sepertinya.
Orang ramai dilarang membeli atau membawa masuk rokok elektronik ke negara ini.
HSA menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai penjualan rokok elektronik secara haram supaya menghubungi Cawangan Peraturan Tembakaunya melalui talian telefon: 02-66842036 atau 02-66842037 pada waktu pejabat.

Polis tumpas geng curi lembu di Temerloh


26 OGOS 2015Polis tumpas geng curi lembu di Temerloh
Polis tumpas geng curi lembu di Temerloh Gambar hiasan.

TEMERLOH - Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pencuri lembu dengan tertangkapnya enam lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Jambu Rupit, Gantok dekat Mentakab, petang Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, semasa serbuan dijalankan pada pukul 5 petang, polis hanya menahan empat lelaki termasuk warga Indonesia itu.

"Namun tidak lama selepas itu, polis menahan dua lagi suspek yang menaiki sebuah lori bersama dua lembu dipercayai baru dicuri, yang datang ke pondok tersebut.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat laras senjata buatan sendiri dan tiga sarung paip berwarna hitam yang mengandungi ubat pelali dipercayai digunakan untuk melemahkan lembu yang hendak dicuri.

"Turut ditemui sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna perak yang dilaporkan hilang pada 21 Mac di kawasan Bandar Jengka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati senjata berkenaan dibuat seorang anggota kumpulan berkenaan yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

Katanya, senjata tersebut dipercayai digunakan untuk menembak dengan menggunakan ubat pelali ke atas lembu yang hendak dicuri.

Polis, katanya, turut menyiasat sama ada ubat pelali berkenaan dibeli atau dibuat sendiri memandang ada anggota kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati dua daripada ahli kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan dadah, samun dan merusuh.

"Polis percaya dengan tertangkapnya enam suspek ini, kita telah dapat menyelesaikan empat kes curi lembu yang dilaporkan di daerah ini," katanya. Kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun kini ditahan reman sehingga 28 Ogos ini dan akan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM500 atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Khalwat: Pendakwah bebas dikenakan waran tangkap


TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
27 OGOS 2015

KUALA LUMPUR -  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pendakwah bebas popular dan pasangannya selepas gagal hadir pada prosiding khalwat mereka, dua tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain mengeluarkan perintah itu terhadap Sharhan Shafie, 39, dan Umi Masjuri Hassan, 40, selepas kali pertama kes disebut di hadapannya sebentar tadi.

Mahkamah juga turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Zainuddin Abdul Yamin, 44, selaku penjamin yang juga gagal hadir.

Adik kepada Umi Masjuri,  Masbellinda, 21, yang turut menghadapi tuduhan sama hadir ke mahkamah dibenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 26 November untuk sebutan semula kes.

Sharhan merupakan salah seorang mengendalikan rancangan Tanyalah Ustaz di TV9.

Rumah dihempap pokok


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 OGOS 2015Rumah dihempap pokok
Rumah dihempap pokok Nazman (kiri) ketika meninjau keadaan rumah pasangan warga emas terbabit petang semalam.

KUALA KRAI - Warna emas dari Taman Kuala Krai dekat sini terkejut melihat rumah didiami sejak 31 tahun lalu, rosak teruk dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang, malam Ahad lalu.

Sinar Harian difahamkan bahagian bawah pokok ini diserang anai-anai menyebabkan ia mudah tumbang ketika angin kencang.

Nik Esah Talib, 62, berkata, kebiasaannya dia dan suami, Awang Awang Noh,  80, berada di rumah pada waktu berkenaan.

“Kami bernasib baik kerana ketika kejadian, kami berada di rumah sebelah.

“Tiba-tiba dengar bunyi kuat kat luar rumah,” katanya  semalam.

Berikutan kejadian, sebahagian besar bumbung rumah terbabit rosak dan perlu digantikan dengan yang baharu.

“Makcik tak bekerja, pakcik pun dah uzur, jadi kami berharap ada pihak akan bantu membaik pulih rumah ini.

“Barang dalam rumah pula terpaksa kena alih, sebab sekarang cuaca tak menentu...asyik hujan saja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Iberahim dan juga Adun Guchil, Mohd Roslan Puteh turut melakukan lawatan bagi melihat keadaan kediaman pasangan terbabit.

Terkejut anak simpan dadah dalam rumah


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Terkejut anak simpan dadah dalam rumah
Terkejut anak simpan dadah dalam rumah Dadah yang dirampas hasil serbuan ke atas rumah keluarga suspek di Bandar Baru Balok,di sini, awal pagi kelmarin.

KUANTAN - Seorang bapa terkedu apabila rumahnya diserbu sepasukan anggota polis dalam operasi cegah jenayah di Bandar Baru Balok, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Serbuan polis kira-kira jam 5.30 pagi itu membongkar rahsia anak lelakinya berusia 29 tahun yang selama itu terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Lebih memeranjatkan bapa berusia dalam lingkungan 50-an itu, anaknya tergamak menyimpan dadah di dalam rumah milik keluarga susulan penemuan 20 biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah yang disorok di bawah katil salah sebuah bilik.

Ketua Polis Daerah Kuantan,  Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Beserah membuat serbuan ke atas rumah tersebut selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti dadah.

Menurutnya, bapa suspek yang membuka pintu terkejut apabila polis berada di luar sebelum anggota memperkenalkan diri dan menjelaskan tujuan serbuan itu dilakukan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kediaman itu, polis berjaya mengesan tempat dadah disorokkan sebelum menahan suspek untuk siasatan lanjut,

“Siasatan awal terhadap suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mendapati di terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah secara kecilan sejak tahun lalu,”katanya.

Abdul Aziz berkata, polis akan melakukan siasatan lanjut termasuk latar belakang  suspek yang mungkin pernah terbabit dalam kegiatan jenayah lain.

“Pada masa yang sama, polis akan mengenalpasti punca bekalan yang diperoleh selain mengesan individu lain yang mungkin turut terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan itu,”katanya.

Lurah Bilut dilanda ribut lagi


NORHAFIZAN ZULKIFLI
27 OGOS 2015Lurah Bilut dilanda ribut lagi
Lurah Bilut dilanda ribut lagi Barisan pimpinan setempat dan JKM berkunjung ke rumah Mar Boah yang terkena ribut petang kelmarin.

BENTONG - Felda Lurah Bilut sekali lagi dilanda ribut pada tahun ini di mana kali ini, tujuh rumah terjejas dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang kelmarin.

Kejadian ribut terbabit merupakan kejadian ketiga berlaku tahun ini selepas kejadian ribut yang melanda tanah rancangan terbabit April dan May lalu.

Kejadian ribut kali ini difahamkan lebih kurang sama dengan dengan kejadian ribut yang berlaku April lalu yang memusnahkan sekitar lapan buat rumah peneroka.

Turut terjejas dalam kejadian ribut kelmarin ialah rumah milik seorang ibu tunggal, Mar Boah Anuar, 54, sehingga mengakibatkan kerugian sekitar RM2,000.

Menurut Mar Boah, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana pergi ke kedai untuk membeli barangan rumah.

“Ketika kejadian, hanya anak saya sahaja yang berada di rumah. Saya pula tidak dapat pulang ke rumah kerana hujan beserta angin ribut yang kuat melanda ketika itu,” katanya.

Tambahnya, menurut anaknya, Mohamad Amin Ismail, 16, ketika kejadian, angin terlalu kuat sehingga menggegarkan hampir keseluruhan rumah mereka.

“Anak saya beritahu kepada saya dia tidak tahu apa yang patut dilakukan ketika itu kerana berasa terlalu takut.

“Masa itu dia nampak angin menerbangkan beberapa keping atap di bahagian bilik dan dapur dan membasahi hampir kesemua ruang rumah kami,” katanya.

Sebaik ribut reda, dia kemudiannya pulang ke rumah dan terkejut melihat keadaan rumahnya yang terjejas teruk akibat ribut terbabit.

“Tiga tilam yang terdapat di bilik kami itu rosak kerana terkena hujan. Atap di bahagian dapur yang diterbangkan angin juga mengakibatkan beberapa kabinet dapur rosak kerana terkena hujan,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian terbabit turut mengakibatkan sebatang pokok duku di belakang rumahnya tumbang selain mengakibatkan rumahnya dan dua buah rumah jirannya terputus bekalan elektrik.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama pihak Felda serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), wakil Majlis Perbandaran Bentong dan Penghulu Mukim Bentong, Muhammad Azizi Khalid turut hadir melihat keadaan mangsa yang terjejas.

Difahamkan selain rumah Mar Boah, tiga buah rumah peneroka Cina, tiga buah rumah peneroka India turut terjejas dalam kejadian terbabit.

Wakil JKKK, Yip Seng Lam berkata, pihaknya telah membantu kesemua mangsa untuk membuat laporan polis selain akan berusaha membantu membaik pulih semula kesemua rumah yang terjejas.

Penunggang motosikal maut


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Penunggang motosikal maut
Penunggang motosikal maut Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala. Gambar kecil: Mohamad Faiezal.

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) menyebabkannya terjatuh lalu di gilis bas Rapid Kuantan di Jalan Beserah kira-kira jam 8 pagi semalam.

Mangsa, Mohamad Faiezal Mat Hanafi, 34, dipercayai dalam perjalanan dari arah Beserah menuju ke Kuantan itu mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa yang datang dari arah Beserah dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Semambu.

“Bagaimana pun ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang berada di bahagian kanan jalan melanggar bahagian belakang sebuah MPV sebelum terjatuh di kiri jalan.

“Akibatnya, mangsa di gilis bas Rapid Kuantan yang berada di laluan kiri  menyebabkan mangsa cedera parah pada bahagian kepala,” katanya.

Pemandu MPV dan bas Rapid Kuantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nelayan jatuh laut ditemui terapung


NURUL MAZWANA HAMDAN
26 OGOS 2015Nelayan jatuh laut
Nelayan jatuh laut Ahli keluarga membuat pengecaman ke atas mayat mangsa yang ditemui dengan kesan cedera di muka. Gambar kecil: Low Tze Kian.

KUALA SEPETANG – Seorang nelayan yang dipercayai lemas di kawasan perairan Pasir Hitam, Trong, di sini kelmarin dan mayatnya ditemui terapung di kawasan itu, pagi semalam.

Mangsa, Low Tze Kian, 23, dari Teluk Kertang, Matang dilaporkan lemas setelah terjatuh dalam laut ketika menangkap ikan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 9.30 pagi setelah operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada jam 9 pagi, tidak jauh dari lokasi bot mangsa.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2.40 petang kelmarin, mangsa dikatakan tergelincir ketika memasang pukat.

“Ketika usaha pencarian dilakukan pada petang semalam (kelmarin), anggota hanya menemui bot yang digunakan mangsa di lokasi kejadian.

“Bot itu kemudiannya ditarik balik dan usaha mencari  terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca yang gelap serta hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya mengalami luka dan calar di muka.

Laporan kehilangan mangsa diterima Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) daripada bapa mangsa yang membuat panggilan mengenai kejadian itu.

Usaha mencari dan menyelamat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Maritim, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perikanan dan nelayan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 2 Perak, Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata, anggota terlibat melakukan pencarian di kawasan permukaan dan operasi diteruskan dalam lingkungan 10 hingga 15 kilometer dari tempat kejadian.

“Operasi pencarian mangsa tamat sekitar jam 10.30 pagi dan mayat mangsa  dihantar ke Hospital Taiping,” katanya.

Curi motosikal: 3 pelajar ditahan


AZIZAN INCHE HARUN
27 OGOS 2015Curi motosikal: 3 pelajar ditahan
Curi motosikal: 3 pelajar ditahan Nor Hashim (kiri) menunjukkan komponen motosikal curi yang telah dileraikan untuk dijual kepada orang tengah.

JOHOR BAHRU - Seorang remaja perempuan antara tujuh yang ditahan di kawasan berasingan bersabit kes mencuri motosikal di sekitar daerah Nusajaya.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, tiga suspek yang berumur 14 dan 15 tahun masih bersekolah manakala empat lagi berumur antara 18 hingga 21 tahun sudah bekerja dan penganggur.

Menurutnya, dua suspek ditahan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Bandar Baru Kangkar Pulai pada Isnin lalu lebih kurang jam 11.30 malam.

"Dua suspek yang sedang menunggang motosikal dan menolak sebuah lagi motosikal menggunakan kaki bertindak cuba melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang ditolak selepas terserempak dengan anggota polis.

“Hasil semakan mendapati motosikal yang ditinggalkan dilaporkan hilang dua minggu lalu di kawasan Kangkar Pulai.

“Susulan penahanan dua suspek membawa kepada penahanan lima lagi rakan suspek yang terlibat lebih kurang dua jam kemudian di sekitar kawasan Kangkar Pulai,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah motosikal jenis Honda Wave berwarna putih dan Honda EX5 merah serta sebuah rangka motosikal bersama enjin.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif syabu termasuk seorang remaja perempuan yang ditahan.

“Kita percaya dengan penahanan tujuh suspek ini berjaya menyelesaikan 10 kes curi motosikal di sekitar daerah Nusajaya.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok (Khamis) untuk membantu siasatan," katanya.

Kereta bertembung, dua maut di Batu Pahat


26 OGOS 2015Kemalangan
Kemalangan

JOHOR BAHRU - Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila dua kereta bertembung di Batu 3 Jalan Yong Peng, dekat Batu Pahat semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata mereka yang maut  dikenali sebagai Mohd Rizal Mohd Radin, 35, dan Lim Tong Hain @ Lim Tong Haw,62, manakala mangsa yang cedera pula adalah Tan Kean Joo, 28.

Kemalangan kira-kira jam 7.15 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Mohd Rizal dari arah Ayer Hitam menuju ke Yong Peng, hilang kawalan selepas melalui kawasan yang baru ditaburkan dengan batu kerikil untuk kerja penurapan.

Ia menyebabkan kereta Mohd Rizal terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

"Pertembungan mengakibatkan Mohd Rizal dan rakan (penumpang depan) mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta Toyota itu pula cedera," katanya yang dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan polis menyifatkan kejadian berpunca akibat kecuaian mangsa sendiri. - Bernama

Padah tegur geng lelaki mabuk


AZIZAN INCHE HARUN
27 OGOS 2015Padah tegur geng lelaki mabuk
Padah tegur geng lelaki mabuk Nor Hashim (kiri) menunjukkan kereta jenis Toyota Altis yang digunakan semasa kejadian turut dirampas bersama suspek

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang lelaki menegur sekumpulan lelaki mabuk yang membuat bising di luar premis perniagaannya membawa padah apabila 30 peratus badannya terbakar dalam insiden di Taman Tan Sri Yaakob, di sini, kira-kira jam 4 pagi Ahad lalu.

Mangsa bernasib baik kerana sempat menyiram air di dalam tong bekas siram bunga ke badannya dan lantai selepas kesemua suspek melarikan diri menggunakan kereta jenis Produa Viva bewarna Biru dan Toyota Altis Kelabu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, mangsa sebelum itu hampir dibelasah dengan kayu batang penyapu oleh suspek sebaik membuka pintu kedainya untuk menegur lelaki yang berbuat bising.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan mangsa yang masuk semula ke dalam kedainya menimbulkan kemarahan suspek yang kemudiannya bertindak menendang dan merosakkan pintu kedainya.

“Mangsa dalam keadaan marah keluar membawa minyak petrol terpakai untuk menakutkan suspek, tetapi tidak bernasib baik apabila minyak itu tertumpah ke badan dan kaki mangsa sebelum salah seorang suspek menyalakan mancis lalu membaling ke arah mangsa.

“Mangsa sempat menghubungi adik iparnya untuk menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebaik berjaya memadam api di badannya,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Nor Hashim berkata, lima suspek berjaya diberkas kira-kira jam 5.50 petang keesokan harinya di lokasi berlainan membabitkan kawasan Mutiara Rini, Taman Bukit Indah dan Taman Ungku Tun Aminah.

Menurutnya, kelima-lima suspek berumur lingkungan 23 hingga 38 tahun ditahan reman sehingga 31 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Penangkapan seorang suspek di kawasan Mutiara Rini bersama Perodua Viva membawa kepada penahanan empat lagi suspek yang disyaki terlibat di kawasan Taman Bukit Indah dan Taman Ungku Tun Aminah bersama Toyota Altis yang digunakan semasa kejadian.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kelima-lima yang ditahan negatif dadah dan semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Mayat ibu tiga anak ditemui berulat atas katil


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Kong Soon
Kong Soon

KAMPAR –  Seorang warga emas yang tinggal bersendirian di Kampung Abdullah, di sini, ditemui mati dalam keadaan berulat di atas katil dalam bilik tidur rumahnya, petang kelmarin.

Mayat mangsa, Lai Chin Soo @ Lai Ching Hoong, 68, ditemui dalam keadaan terbaring dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaannya yang berulat.

Mayatnya ditemui susulan kunjungan abang ipar mangsa,  Chai Kin Yen, 82, ke rumah berkenaan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, Kin Yen, telah ke rumah Chin Soo kira-kira jam 5 petang untuk menemui adik iparnya sebelum mendapati pintu rumah didiami mangsa berkunci.

"Ketika sampai di rumah Chin Soo, abang iparnya ada menghidu bau busuk dipercayai dari dalam rumah dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku ke atas  mangsa.

“Kin Yen kemudiannya cuba melihat melalui tingkap dan mendapati adik iparnya terbaring atas katil tidak bergerak.

"Dia kemudiannya segera ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, polis segera ke lokasi kejadian dan berusaha membuka pintu rumah mangsa yang masih berkunci sebelum ia berjaya dibuka.

"Mangsa ditemui terbaring atas katil dalam bilik tidur utama dalam keadaan mayatnya yang busuk dan berulat. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Bagaimanapun, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” katanya.

Difahamkan, mangsa telah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki serta seorang perempuan yang tinggal di Kuala Lumpur.

Cubaan seludup daun ketum, beras tumpas


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Cubaan seludup daun ketum, beras tumpas
Cubaan seludup daun ketum, beras tumpas Zarondin (dua, kanan) menyemak senarai barang rampasan ketika tinjauan ke kawasan Ops Wawasan, semalam.

RANTAU PANJANG - Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Batalion Tiga Regimen Sempadan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup daun ketum dan beras, semalam.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, ketika anggota melakukan rondaan pada jam 8.30 pagi semalam, pihaknya mendapati terdapat beberapa pemuda berada dalam keadaan mencurigakan.

Selepas serbuan katanya, suspek melarikan diri dan meninggalkan bungkusan plastik di tebing sungai.

“Selepas diperiksa, kami dapati terdapat dua bungkusan daun ketum seberat 22 kilogram, berjumlah RM1,542 dan ia dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya.

Menerusi operasi yang sama, Zarondin berkata, ketika melakukan serang hendap jam 9.10 malam kelmarin, terdapat dua perahu yang penuh dengan muatan di tebing Sungai Golok manakala suspek berkenaan dilihat memunggah bungkusan beras masuk ke dalam pacuan empat roda Pajero dan Proton Iswara.

Selepas serbuan katanya, kesemua suspek melarikan diri dengan kenderaan terbabit dan meninggalkan lapan bungkusan beras di tebing sungai.

Setiap guni seberat 25 kilogram beras itu dirampas dan diserahkan kepada agensi terlibat.

Kereta dipercayai bawa tiga lembu curi terbabas


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Kereta dipercayai bawa tiga lembu curi terbabas
Kereta dipercayai bawa tiga lembu curi terbabas Kenderaan yang membawa tiga lembu dipercayai dicuri di kawasan lain dan terbabas dekat Kampung Lebak. Gambar kecil: Tiga lembu terbabit.

TEMERLOH - Penduduk Kampung Tebing Tinggi dekat Lebak di sini terkejut apabila menemui tiga lembu disumbat dalam sebuah kereta Toyota Wish yang terbabas di tepi jalan Temerloh Triang dekat Kilometer 9 di sini pagi semalam.

Kejadian disedari penduduk kampung kira-kira jam 6.30 pagi apabila mendapati kereta berkenaan terbabas ke dalam longkang dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju.

Bagaimanapun, penduduk terbabit yang mahu dikenali sebagai Amri berkata, apabila diperiksa kenderaan yang bercermin gelap itu tiada pemandu sebaliknya ada tiga lembu yang disumbat di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

“Kereta ini mungkin hilang kawalan dengan muatan tiga lembu yang dipercayai dicuri, akhirnya terbabas dan pemandunya sehingga pagi ini menghilangkan diri.

“Lembu ini dicuri di tempat lain dan mungkin dalam perjalanan untuk ke tempat sembelih atau dijual kepada pihak lain.

“Sehingga pagi ini tidak ada pihak yang menuntut kereta atau lembu, polis telah dipanggil dan kereta ini ditunda bersama lembu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis masih menyiasat kes tersebut dan percaya lembu terbabit mungkin dibawa dari daerah Bera.

Menurutnya, siasatan pada kereta itu mendapati ia tidak pernah didaftarkan di negara ini atau lebih dikenali kereta lupus.

"Pihak polis masih menyiasat pembabitan satu lagi kumpulan curi lembu yang berjaya ditahan di Kampung Jambu Rupit, Gantok Isnin lalu,” katanya pada sidang media semalam.

Kawal pesawat sendirian sebelum terhempas


26 OGOS 2015Kawal pesawat sendirian sebelum terhempas
Kawal pesawat sendirian sebelum terhempas Lokasi kejadian.

SEVILLE- SEPANYOL. Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang dapat digambarkan apabila seorang wanita terpaksa mendaratkan pesawat ringgan yang dinaikinya selepas juruterbang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang mengendalikan pesawat tersebut.

Wanita tersebut terpaksa mengendalikan pesawat tersebut bersendirian selepas juruterbang yang juga teman lelakinya meninggal dunia, sembilan minit selepas berlepas.

Dia kemudiannya bertindak melaporkan perkara tersebut kepada perkhidmatan kecemasan melalui panggilan telefon.

Selepas menerima panggilan daripada wanita tersebut, anggota keselamatan cuba berkomunikasi dengan wanita tersebut dan memberi panduan bagaimana mendaratkan pesawat tersebut.

Wanita berkenaan diarahkan untuk mendarat di Lapangan Terbang San Pablo di Seville yang terpaksa ditutup sementara bagi mengelakkan kejadian yang buruk berlaku.

Pesawat tersebut bagaimanapun terhempas di sebuah ladang oren berdekatan lapangan terbang tersebut.

Memetik laporan Mirror.uk, wanita berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan sebelum pesawat berkenaan meletup dan terbakar.

Dia dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Doktor kongsi gambar nampak 'anu' pesakit dikecam


WARTAWAN SINAR HARIAN
24 OGOS 2015Doktor kongsi gambar nampak 'anu' pesakit dikecam
Doktor kongsi gambar nampak 'anu' pesakit dikecam

SHAH ALAM - Tindakan seorang doktor yang memuatnaik sebuah foto pesakit ketika dalam rawatan mendapat kecaman netizen.

Foto yang dikongsi oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Kak Long Di Sini kini dikongsi oleh 1673 pelayar sejak dimuatnaik 22 Ogos lalu.

Foto tersebut didakwa berlaku di sebuah hospital kerajaan di Johor Bahru.

Menurut pengirim, gambar tersebut ditunjukkan oleh seorang rakannya menunjukkan seorang ibu yang menerima rawatan obstetrik.

"Perbuatan yang tidak bertimbang rasa ini tidak sepatutnya berlaku. Apa yang paling teruk ialah bahagian sulit pesakit turut kelihatan," tulis pengirim.

Pengirim itu juga mengesa tindakan yang sewajarnya diambil kepada pihak yang terlibat kerana tindakan tersebut merendahkan kualiti doktor di Malaysia.

"Saya menyebarkan gambar ini kepada media sosial dan berharap pihak berkaitan akan menyiasat isu ini," tulisnya.

Tinjauan mendapati, netizen mengecam tindakan doktor tersebut dan berharap agar tindakan segera diambil supaya kejadian tersebut tidak berulang.

" Kementerian Kesihatan perlu menangani isu ini secara serius. Kami mahu tindakbalas berkaitan isu ini," tulis Nor Azizah Abd Aziz.

Yantie Aizad pula menulis, dia tidak layak untuk menjadi seorang doktor. Kementerian Kesihatan patut mengambil tindakan sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ruangan komen posting tersebut berkata, pihaknya telah mengenal pasti hospital dan pegawai perubatan yang terlibat dan tindakan akan diambil setelah selesai siasatan.

Gigi dicabut, mata kucing dikorek


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 OGOS 2015kucing
kucing Foto yang disertakan dalam sebuah perkongsian oleh Kelab Pencinta Kucing Malaysia di Facebook.

TIDAK lama selepas kisah monyet yang viral akibat parah 'diberi makan' mercun, kini viral pula tentang seekor kucing yang dicungkil matanya.

Melalui sebuah laman Facebook Kelab Pencinta Kucing Malaysia, perkongsian mengenai kucing tersebut yang juga dicabut kesemua giginya mendapat perhatian pelayar.

"Allahuakbar... Doakan meow ni ... Dia dah buta orang cungkil mata dia... Layak ke manusia itu menjadi manusia.. Semoga mendapat hidayah segera..."

Perkongsian tersebut menyertakan sebuah gambar yang amat menyayat hati, dimana seekor kucing berbulu perang yang berdarah di bahagian kedua mata dan mulut akibat dizalimi.

Walaupun cerita sebenar disebalik foto berkenaan gagal diketahui, hampir 1,000 pelayar meluahkan rasa kecewa dan marah apabila haiwan comel diperlakukan sebegitu kejam.

"Bukan saja mata dicungkil tapi gigi pun habis dicabut..Ya Allah Kau tarik la nyawa kucing tu daripada dia terus terseksa kesakitan begitu dan kami yg melihat turut merasa sakitnya," luah seorang pelayar, Siti Nur Hidayah.

"Tunggu la seksa api neraka di kala mata kau dibakar atau cungkil berulang kali!" demikian luah Jessie Jye.

Seorang pelayar bagaimanapun memberitahu bahawa kejadian yang menimpa kucing malang tersebut berlaku di Taiwan.

"Kalau tak silap saya, hal ni berlaku di Taiwan kah, 2 foreign worker pukul kucing ni sehingga seorang tu ambil kayu pukul itu dua orang sampai mereka lari. Dia mahu hantar kucing ni pergi doktor tapi sebab kucing ni dah parah dan sensitif, bila pegang nanti mengamuk. Dia ambil photo hantar bagi kawan minta sesiapa boleh datang tolong dia bawa kucing ni. Yang ending hal ini masih tidak ada berita," kata pelayar tersebut.

Perkongsian tersebut sudah dikongsi oleh hampir 3,000 pelayar dan disaksikan oleh lebih 4,000 pelayar lain.

Bawa anak ke port dadah


NURUL HIDAYAH HAMID
27 OGOS 2015
Bawa anak ke port dadah
Bawa anak ke port dadah Seorang kanak-kanak dikesan dibawa bapanya ke port dadah dalam operasi di Pokok Sena 24 Ogos lalu.

ALOR SETAR - Tindakan beberapa ibu bapa membawa anak mereka ke sarang penagihan dadah seolah-olah menjadi trend kebelakangan ini.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, dalam kes terbaru, seorang lelaki didapati membawa anak lelakinya berusia tiga tahun di port dadah dekat Pokok Sena dalam serbuan pada 24 Ogos lalu.

“Lelaki itu yang merupakan seorang penagih dan pengedar dadah dipercayai melakukan sedemikian bagi mengaburi mata pihak berkuasa mengenai tujuannya ke lokasi tersebut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mengesan trend serupa di beberapa lokasi penagihan dadah dalam operasi sebelum ini antaranya di Kuala Muda dan Kuala Kedah.

“Seorang penagih wanita didapati membawa dua anaknya ke lokasi berkenaan ketika dalam serbuan di Kuala Muda,” katanya.

Nazer berkata, anak-anak penagih yang dibawa ibu bapa mereka ke lokasi panas berdepan pelbagai risiko terutama dari segi keselamatan.

“Malah anak-anak tidak berdosa yang dibesarkan dalam lingkungan keluarga sedemikian berpotensi untuk dipengaruhi menjadi penagih dadah pada usia muda.

“Terbaru, kita juga menahan dua budak muda termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun. Dia dipercayai menghisap dadah seawal usia 12 tahun,” katanya.

Katanya, jikalau trend sedemikian tidak dibendung, risiko anak penagih terpengaruh amat tinggi kerana individu bertanggungjawab memelihara mereka sendiri tidak terurus.

“Bagi menjamin masa depan anak-anak penagih ini, kami akan serahkan mereka kepada keluarga terdekat sekiranya ibu bapa ditahan,” katanya.

40 terbunuh banjir di Korea Utara


26 OGOS 201540 terbunuh banjir di Korea Utara
40 terbunuh banjir di Korea Utara Penduduk membersihkan kesan banjir dari bawah jambatan di bandar Rajin

PYONGYANG‎ - KOREA UTARA. Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh sementara beribu yang lain terkandas dalam banjir kilat yang melanda Korea Utara.

Menurut jurucakap Persekutuan Antarabangsa Palang Merah, Hler Gudjonsson, lebih 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing selepas banjir melanda Rajin, berdekatan sempadan Rusia dan China.

Menurut jurucakap Kerajaan Korea Utara, hujan lebat selama tiga jam tanpa henti yang melanda menyebabkan bandar tersebut ditenggelami air.

Sementara itu, Korea Utara bersama kerajaan China bekerjasama bagi menyelamatkan 484 pelancong China yang terkandas selepas jalan raya yang menghubungkan sempadan rosak.

Memetik laporan Reuters, pihak berkuasa China menghantar bantuan dalam usaha membantu memindahkan kesemua mangsa yang teperangkap.

Terkejut Myvi dipandu melawan arus


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 OGOS 2015Terkejut Myvi dipandu melawan arus
Terkejut Myvi dipandu melawan arus Sedutan video yang dirakam Raymond Loh.

SEBUAH video yang dirakam oleh seorang pengguna lebuh raya mengejutkan pelayar laman sosial hari ini selepas menyaksikan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu melawan arus.

"Lebuhraya Utara-Selatan... peristiwa menakutkan terjadi," kata pengguna lebuh raya yang memuatnaik video tersebut ke laman Facebook, Raymond Loh.

Difahamkan, kejadian yang berlaku semalam menunjukkan pengguna berkenaan memandu di laluan kanan sebelum terpaksa mengelak sebuah Myvi yang datang dari arah depan.

Beberapa pengguna lebuh raya yang lain juga pantas mengelak Myvi berwarna kelabu tersebut.

Raymond yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur semasa kejadian bagaimanapun tidak ditimpa sebarang masalah.

"Nasib baik tidak terjadi apa-apa," tulisnya.

Video tersebut kini sudah ditonton lebih 130,000 pelayar laman sosial.

Dua beradik lemas memancing di lombong


27 OGOS 2015


IPOH - Keghairahan dua beradik memancing di sebuah lombong tinggal di Taman Rasi, Menglembu di sini hari ini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mereka terjatuh ke dalam lombong berkenaan.

Penolong Kanan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ismail Darus berkata, mayat Lee Poh Wei, 16, ditemui pada 5.56 petang manakala adiknya, Lee Poh Jun, 14, belum ditemui.

Kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila dua beradik itu, yang tinggal di Bukit Merah, Lahat dikatakan ke lombong berkenaan untuk memancing ikan bersama seorang lagi rakan mereka, kata Ismail kepada pemberita.

Beliau berkata, insiden itu berlaku apabila Poh Jun dikatakan cuba menarik kail pancingnya yang tersangkut sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan serta dipercayai lemas.

Poh Wei yang melihat kejadian itu kemudian terjun untuk menyelamatkan adiknya tetapi dia turut lemas, kata Ismail.

Rakan mereka yang cuba membantu tetapi gagal kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sejumlah 39 orang membabitkan anggota polis, bomba serta Rakan Cop melancarkan operasi mencari, dan mayat Poh Wei ditemui di dasar lombong.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, mayat Poh Wei dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - Bernama

Pura-pura beli akhbar rupanya curi tabung derma


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Shafien Mamat
Shafien

SHAH ALAM - Tiga penganggur berjaya ditangkap orang awam kerana mencuri tabung derma yang diletakkan di atas kaunter sebuah kedai runcit di Seksyen 18, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, seorang lelaki datang ke kedai tersebut berpura-pura ingin membeli surat khabar.

Tanpa mengesyaki sebarang perkara tidak diingini, pemilik kedai berkenaan yang sibuk melayan pelanggan lain, terlihat lelaki berkenaan menyembunyikan tabung derma yang terletak di atas meja kaunter di sebalik surat khabar dan melarikannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemilik kedai berkenaan kemudiannya cuba mengejar lelaki tersebut.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu terus melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam.

“Namun, beberapa pelanggan yang berada di restoran berhampiran telah melihat kejadian terbabit dan mengejar suspek.

“Beberapa minit kemudian, pemilik kedai tersebut dimaklumkan bahawa orang awam berjaya menangkap suspek di stesen komuter Seksyen 19, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kedai berkenaan ke lokasi tersebut dan melihat suspek berjaya ditangkap bersama dua lagi rakannya.

Katanya, tabung derma yang mengandungi wang tunai RM489 juga berjaya ditemui semula di dalam kereta suspek.

“Kesemua suspek berusia 31 hingga 40 tahun kemudian diserahkan kepada polis peronda untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian air kencing mengesahkan kesemua suspek positif dadah. Mereka direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

‘Kenapa tak berkahwin lain saja?’



TERTUDUH dibawa keluar oleh dua polis mahkamah selepas Mahkamah Sesyen, Kota Bharu menjatuhkan hukuman ke atasnya semalam.


KOTA BHARU – Hakim Mahkamah Sesyen di sini semalam menempelak perbuatan seorang bapa yang tergamak merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun sejak empat tahun lalu selepas kematian isteri­nya.
“Kenapa tak berkahwin lain saja? Masa sekarang bukan susah nak cari, orang perempuan ramai. Cari yang sama padan, lepas itu, menikahlah.
“Sepatutnya kita melindungi mangsa, jaga anak sebab isteri dah tiada (meninggal dunia),” kata Hakim Mohd. Yusoff Yunus kepada tertuduh yang juga seorang penoreh getah berusia 42 tahun di mahkamah semalam.
Sebaik ditegur, lelaki itu yang memakai baju-T warna putih dan berseluar jean biru membalas de­ngan mengatakan bahawa dia menyesal atas perbuatannya itu.
Dengan nada perlahan dia berkata: “Menyesal toksey (tak nak) buat dah, sumpah toksey buat dah.”
Bapa kepada lima orang anak itu kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan 10 sebatan selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika hari pertama perbicaraan semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3jxkW7MC4 
Hakcipta terpelihara 

3 ekor lembu naik Toyota Wish



Tiga ekor lembu yang ditemui dalam Toyota Wish yang terbabas. – Gambar ihsan Daily Traffic Report


TEMERLOH – Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang dekat Kampung Lebak di sini semalam menimbulkan tanda tanya apabila tiga ekor lembu ditemui dalam MPV terbabit.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Anuar Othman berkata, dalam kejadian pukul 8 pagi, penduduk kampung pada mulanya menemui sebuah Toyota Wish terbabas di tepi jalan.
Menurut beliau, penduduk yang mendekati MPV berkenaan dengan niat untuk membantu pemandu dan penum­pangnya bagaimanapun terkejut apabila hanya menemui tiga ekor lembu.
“Mengikut maklumat penduduk, mereka tidak jumpa pemandu atau penum­pang selain menemui tiga ekor lembu di tempat duduk kenderaan terbabit,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Anuar memberitahu, penduduk yang curiga dengan penemuan tiga ekor lembu terus menghubungi polis.
Lembu-lembu itu semasa ditemui masih hidup.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3jxk8sXux 
Hakcipta terpelihara 

Tujuh murid takut guru hilang


Sebahagian penduduk kampung berehat selepas penat mencari tujuh pelajar Orang Asli yang dikhuatiri sesat di hutan berhampiran Pos Tohoi di Gua Musang semalam.


GUA MUSANG – Tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dikhuatiri sesat di hutan berhampiran Pos Tohoi di sini selepas mereka masuk ke kawasan tersebut kerana takut dimarahi guru ekoran mandi sungai.
Mereka ialah enam murid pe­rempuan iaitu Mirsudiar Aluj, 11, Norieen Yaakob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.
Seorang lagi yang hilang ialah murid lelaki, Haikal Yaakob, 8, yang juga adik kepada Norieen dari sekolah sama.
Tujuh murid itu hilang sejak Ahad lalu dan kesemua mereka tinggal di asrama SK Tohoi. Kedudukan SK Tohoi dengan bandar Gua Musang ialah kira-kira tiga jam perjalanan melalui jalan lori mengangkut balak.
Difahamkan, murid suku kaum Temiar berkenaan berasal dari Kampung Penad, Pos Simpor dan Kampung Gawen, Pos Gob di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan tujuh murid sekolah itu pada pukul 2.25 pagi kelmarin.
“Bermula pagi tadi (semalam) anggota penyelamat, orang kampung dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah dikerahkan untuk mencari murid-murid berkenaan namun sehingga petang tadi (semalam) mereka belum menemui sebarang petunjuk,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3jxjpVcyy 
Hakcipta terpelihara 

Saham merudum, pelabur berang


AGENSI - GAMBAR rakaman video menunjukkan Jiuliang terbaring di lantai hotel selepas diserang oleh sekumpulan pelabur di Shanghai kelmarin.


SHANGHAI – Sebilangan pelabur China menyerbu sebuah hotel dan menculik ketua sebuah bursa logam negara berkenaan sebelum menyerahkannya kepada polis, menurut beberapa laporan.
Beratus-ratus pelabur yang marah menyerbu sebuah hotel mewah di Shanghai dan menculik pengasas bursa Fanya Metals, Shan Jiuliang ketika beliau mendaftar keluar sekitar waktu subuh pada Sabtu lepas, lapor akhbar The Financial Times.
Beberapa isu melibatkan bursa Fanya telah menyumbang kepada pergolakan dalam ekonomi China baru-baru ini, menurut Times. Masalah ekonomi China pula menimbulkan kekalutan dalam pasaran kewangan global.
Jiuliang diseret menuju ke sebuah kenderaan yang sedang menunggu dan dihumban keluar di sebuah balai polis berdekatan. Kumpulan pelabur itu mendesak supaya polis menyiasat apa yang berlaku pada wang pelaburan mereka.
Pelabur-pelabur tersebut dilaporkan kecewa dan marah kerana tidak dapat mengakses dana yang disuntik ke dalam produk kewangan terbitan Fanya Metals, Ri Jin Bao, lapor majalah Quartz.
Menurut Quartz, rancangan untuk menculik Jiuliang timbul dalam aplikasi mesej dan laman media sosial seperti Weibo.
Polis berjanji akan melakukan siasatan, manakala Jiuliang akhirnya dibebaskan tanpa didakwa, menurut akhbar Financial Times.
Jiuliang kemudian me­ngutuk serangan mengejut itu sebagai tindakan ganas dalam satu ke­nyataan yang disiarkan di laman web firma berkenaan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3jxj6zpdR 
Hakcipta terpelihara 

Darurat di negeri kelahiran Modi


AP - BERPULUH-PULUH ribu penunjuk perasaan daripada kasta Patidal menyertai tunjuk perasaan di Ahmedabad, India kelmarin.


AHMEDABAD – Beribu-ribu anggota keselamatan dikerah ke bandar utama di negeri kelahiran Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam susulan kekacauan dan perbuatan membakar harta benda oleh sebuah kasta kerana menuntut layanan istimewa.
Kerajaan Gujarat menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa kawasan di Ahmedabad dan empat lagi bandar raya serta sebilangan bandar di negeri berkenaan, barat India dan memanggil pasukan separa tentera selepas sejumlah anggota kasta berpengaruh, Patidar mengamuk.
Penunjuk perasaan Patidar bertindak ganas dengan membaling batu dan membakar kereta, bas serta balai polis kerana membantah penangkapan ketua mereka, Hardik Patel lewat kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, Hardik, 22, mengetuai satu protes besar-besaran di Ahmedabad beberapa jam sebelum dia ditangkap.
Kasta Patidar yang merangkumi 12 peratus penduduk Gujarat mengadu mereka sukar bersaing dengan kasta-kasta lebih rendah untuk mendapatkan pekerjaan.
Ketua Pengarah Polis Gujarat, P.C Thakur berkata, sekurang-kurangnya 12 anggota keselamatan cedera dalam keganasan tersebut sekali gus memaksa perintah berkurung dikuatkuasakan buat kali pertama sejak 2002 apabila rusuhan kaum mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang.
“Perintah berkurung dilaksanakan susulan perbuatan membakar kenderaan termasuk 100 buah bas dan harta awam serta merusuh oleh masyarakat Patidar di beberapa bandar berlainan di Gujarat terutamanya Ahmedabad lewat kelmarin,” kata Thakur.
“Sebanyak 30 kompeni anggota separa tentera tiba di Ahmedabad dari New Delhi pagi ini (semalam),” tambahnya. –AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3jximTzp8 
Hakcipta terpelihara