Search This Blog

Monday, August 24, 2015

14 Maut Akibat Pergaduhan Dua Geng Dalam Penjara


Diterbitkan: Ahad, 23 Ogos 2015 1:04 PM
Ahli geng Barrio 18 yang ditahan.

SAN SALVADOR: Seramai 14 banduan terbunuh selepas berlaku pertempuran antara dua geng di Penjara Quezaltepeque di sini pada Sabtu.
Pertempuran berdarah melibatkan kumpulan Barrio 18 itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas beberapa jam berlaku.
Tinjauan pegawai penjara selepas keadaan berjaya dipulihkan mendapati beberapa mayat ditemui di merata tempat termasuk dalam tong sampah.
"Pertempuran ini juga dianggap sebagai pembersihan oleh kumpulan di dalam penjara," kata jurucakap penjara.
Pada bulan lalu, geng Barrio 18 yang aktif di San Salvador bertindak mengadakan mogok dengan menyekat pengangkutan awam.
Ia dipercayai berlaku berikutan tindakan kerajaan yang mahu menyekat kumpulan-kumpulan samseng daripada terus menguasai bandar berkenaan.

Hilang lima anggota keluarga serentak


Papar: “Sebelum ibu bersama abang dan tiga kakak ke Kota Kinabalu untuk menziarahi keluarga, ibu mencium dahi saya selepas saya bersalam dengannya. Saya tidak sangka ia ciuman terakhir daripada ibu,” kata Silza Liyana Sukarno, 16, yang kehilangan semua anggota keluarganya selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40, Jalan Kimanis-Keningau di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang, ibunya Supiati Mohd Salleh, 53, abangnya Mohd Eka Sudarmono, 37, dan tiga kakaknya Nur Fitriati, 28, Dwi Rahmahyanti, 35, dan Triana Nur Khasanah, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Seorang lagi penumpang iaitu anak kepada Dwi Rahmahyanti, Mohd Hamizan Mohd Khaidir, 2, masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Silza Liyana adalah anak bongsu daripada lima beradik dan katanya, sebelum kejadian, mereka sekeluarga baru mengadakan kenduri arwah bapanya di rumah mereka di Tawau minggu lalu.

Menurut Silza Liyana, ibunya sempat memasak lauk untuknya sebelum dia ke sekolah. Selepas itu, barulah kelima-lima anggota keluarganya berangkat ke Kota Kinabalu.

“Petang itu, saya dimaklumkan sepupu bahawa kereta dinaiki kelima-limanya terbabit dalam kemalangan menyebabkan mereka terkorban,” katanya.

Silza Liyana kemudiannya ke rumah keluarganya di Kampung Baru Kimanis, Papar. Jenazah lima sekeluarga berkenaan kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa Kimanis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:39 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72664#sthash.qeKGV6nK.dpuf

Wanita putus jari digigit kuda saman polis

New York: Seorang wanita menyaman Jabatan Polis New York selepas seekor kuda milik jabatan itu menggigit jarinya sehingga putus.
Pernilla Ekberg, 28, berkata, serangan berlaku ketika dia cuba mengusap seekor kuda yang ditunggang seorang anggota polis pada November tahun lalu.
Katanya, dia meminta kebenaran untuk mengusap kepala kuda berkenaan dan anggota polis itu membenarkannya.
“Ketika saya mahu menyentuh kepala kuda itu ia tiba-tiba menggigit jari manis di tangan kanan saya hingga putus.
“Saya menjerit meminta bantuan, tetapi anggota polis itu yang panik terus meninggalkan saya,” katanya.
Menurutnya, teman lelakinya mengutip cebisan jarinya dan diletakkan di dalam ais sebelum dibawa ke hospital.
“Bagaimanapun, doktor memberitahu jari saya tidak boleh disambung lagi,” jelasnya.
Katanya, kejadian itu menyebabkan hujung jari manisnya putus dan tidak boleh disambung lagi.
“Keadaan ini menyebabkan saya malu kerana jari saya cacat dan saya sukar untuk menaip,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:04 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72421#sthash.jrlRXel3.dpuf

100 penduduk selamat budak digilis bas

Guangxi (China): Seramai 100 penduduk di bandar ini bekerjasama mengangkat sebuah bas bagi menyelamatkan seorang budak perempuan yang tersepit di tayar kenderaan berkenaan.
Kejadian itu berlaku pada Rabu lalu apabila budak perempuan berkenaan bersama neneknya terjatuh ketika turun dari bas.
Pada masa yang sama bas itu terus bergerak menyebabkan kaki mangsa digilis tayar kenderaan berkenaan.
Malangnya, apabila pemandu bas itu cuba mengundur, kenderaan itu tiba-tiba mati dan terus tidak boleh bergerak.
Orang ramai yang terkejut melihat mangsa menjerit kesakitan, beramai-ramai cuba mengangkat bas itu.
Selepas beberapa minit mencuba akhirnya bas itu berjaya diangkat dan kanak-kanak berkenaan berjaya diselamatkan.
Kanak-kanak itu dibawa ke hospital dan doktor memberitahu mangsa tidak mengalami kecederaan serius.
Doktor memberitahu, tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:06 AM

MANGSA menangis sambil memeluk neneknya selepas kakinya digilis tayar bas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72432#sthash.47UpCF1q.dpuf

14 samseng mati dibunuh di penjara


San Salvador: Empas belas anggota sebuah kumpulan samseng terkenal El Salvador mati dalam satu pembunuhan, dipercayai akibat pergaduhan sesama mereka.

El Salvador dilanda keganasan sejak tahun lalu dengan jumlah pembunuhan meningkat kerana pergaduhan antara kumpulan samseng.

Pihak berkuasa penjara negara itu berkata, pembunuhan semalam berlaku di penjara Quetzaltepeque, 25 kilometer ke barat laut San Salvador.

Mayat mangsa ditemui di beberapa bahagian penjara yang memuatkan 1,000 banduan itu.

Pihak berkuasa berkata, semua yang mati itu ialah anggota kumpulan samseng Barrio 18.

Kumpulan berkenaan mempunyai 72,000 anggota, termasuk 13,000 di penjara.

Polis percaya pembunuhan berkenaan dilakukan untuk menyingkir anggota kumpulan yang tidak lagi boleh dipercayai.

Menurut rekod polis, dalam tempoh setahun sehingga 19 Ogos lalu, 3,480 pembunuhan dicatatkan di negara Amerika Tengah itu.

Sejak memegang jawatan tahun lalu, Presiden Sanchez Ceren berusaha memerangi jenayah di negara yang mempunyai 6.4 juta penduduk itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:18 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72532#sthash.o6ZO9Bvq.dpuf

Mayat dicuri

San Antonio: Sebuah keluarga di sini terkejut apabila mendapati mayat anak mereka dicuri dari kerandanya di sebuah pusat pengurusan pengebumian sebelum mayat itu dibakar.
Julie Mott meninggal dunia awal bulan ini kerana menghidap fibrosis sista dan mayat gadis berusia 25 tahun itu dicuri selepas satu upacara memperingatinya minggu lalu.
Kakitangan pusat itu menyedari kehilangan mayat itu keesokannya.
Menurut polis tidak ada tanda menunjukkan ada orang memasuki pusat itu selepas ia ditutup sebelah malam.
Siasatan bertambah sukar kerana pusat itu tidak dipasang kamera pengawasan.
Jurucakap Jabatan Polis San Antonio Sarjan Javier Salazar berkata: “Pasti yang mencuri mayat itu berani. Keutamaan kami kini ialah mendapatkan semula mayat berkenaan dan menyerahkannya kepada keluarganya
“Si pencuri bukan bertujuan mencuri keranda. Sasaran utamanya ialah mayat itu.”
Sementara itu, bapa Julie, Tim Morr berkata, keluarganya hanya mahukan mayat anak mereka dikembalikan untuk dibakar.
Pemilik pusat pengurusan mayat berkenaan Dick Tipps berkata, dia percaya kecurian itu dilakukan oleh seseorang yang menentang pembakaran mayat.
Pusat berkenaan menawarkan hadiah AS$20,000 (RM84,000) kepada mereka yang berjaya memberi maklumat sehingga mayat Julie ditemui.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:27 AM


Julie
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72542#sthash.QkiWtU5f.dpuf

Perogol, pembunuh kejam dijel 359 tahun


Anchorage (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang memperkosa seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan kemudian membunuh kedua-dua moyang mangsa dijatuhi hukuman penjara 359 tahun.

Akhbar Alaska Dispatch News melaporkan, Jerry Active, 26, tetap berkata dia tidak bersalah ketika hakim membacakan hukuman ke atasnya.

Lelaki itu didapati bersalah membunuh Touch Chea, 61, dan isterinya Sorn Sreap, 73, di kediaman mereka di Anchorage pada Mei 2013.

Dia juga merogol Sorn dan cicit pasangan itu dalam satu serangan yang disifatkan pasukan polis Alaska sebagai ‘paling keji dan zalim pernah mereka hadapi sepanjang karier mereka.’

Selain tuduhan membunuh, merogol dan mencabuli kanak-kanak, Active turut dituduh merompak.

Selain itu, polis turut mendakwa lelaki berkenaan menyerang seorang wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia Jun lalu.

Active dibebaskan dari penjara beberapa jam sebelum menyerang keluarga Chea dua tahun lalu.

Dia dibebaskan selepas menjalani sebahagian daripada hukuman penjara tujuh tahun kerana mengaku bersalah merompak sebuah rumah pada 2009.

Bercakap ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Mahkamah Agung Anchorage Philip Volland berkata kepada Active: “Kekejaman kamu akan meninggalkan parut pada masyarakat di sini. Perbuatan kamu itu terlalu kejam dan tidak boleh diterima akal.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:28 AM


Active

Gempar: Jumpa mayat bayi dalam plastik sampah


MUHAYUDIN SALLEH
Gempar: Jumpa mayat bayi dalam plastik sampah

24 OGOS 2015
Gempar: Jumpa mayat bayi dalam plastik sampah Gambar yang tersebar di media sosial.

MUADZAM SHAH – Penduduk di sekitar Bandar Muadzam Shah, di sini gempar selepas penemuan mayat bayi yang dibungkus dalam plastik hitam dalam tandas wanita masjid berkenaan yang ditemui sekitar jam 2.40 petang, semalam.

Setiausaha Masjid Muadzam Shah, Alwi Husin berkata, pada waktu Zohor beliau menunaikan solat berjemaah di masjid berkenaan namun pada ketika masih tiada laporan berkaitan dengan penemuan mayat bayi itu.

“Sebelum jam 3 petang selepas saya balik ke rumah, seorang kakitangan masjid telefon maklum pada saya bahawa seorang wanita telah menemui mayat bayi itu dalam tandas wanita yang dibungkus dengan plastik sampah warna hitam.

“Saya kemudiannya minta supaya wanita berkenaan membuat laporan polis kerana beliau yang menjumpainya. Tidak lama selepas laporan dibuat, polis tiba untuk melakukan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita yang menjumpai mayat bayi itu, dia pada mulanya membiarkan sahaja bungkusan plastik hitam yang diletak di tepi mangkuk tandas tetapi berasa curiga lalu mengambilnya dan membawa keluar untuk melihat isi kandungannya.

Dalam pada itu, Alwi turut menegaskan bahawa pihak masjid memandang serius mengenai kejadian tersebut dan akan cuba membantu siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan akan menyerahkannya kepada pihak polis.

“Pihak masjid telah melihat rakaman bermula jam 12 tengahari semalam namun tidak kelihatan individu yang mencurigakan membawa bungkusan hitam masuk ke tandas. Buat masa ini kami masih dalam proses meneliti rakaman dalam tempoh 48 jam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin yang dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat bayi itu telah dibawa ke Hsopital Kuantan untuk proses bedah siasat.

Tidak berganjak dari rumah


WARTAWAN SINAR HARIAN
Tidak berganjak dari rumah

24 OGOS 2015
Tidak berganjak dari rumah Seorang lelaki tetap tidak berganjak dari rumahnya biarpun jengkaut bersedia melakukan operasi pembersihan di kawasan berdekatan.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki bertegas tidak berganjak dari meninggalkan rumah didiami biarpun kerja-kerja merobohkan kediamannya di Kampung Raja, Sungai Petani dilakukan kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sebelum ini, lelaki itu diperintahkan mengosongkan tanah atas arahan mahkamah bagaimanapun berkeras tidak mahu keluar dari rumahnya.

Difahamkan, rumah yang diduduki lelaki itu bersama isteri dan tujuh anak atas tanah pusaka milik keluarga sudah dijual kepada pihak ketiga dalam masa sama, tuan tanah memerintahkan tapak berkenaan dikosongkan bagi tujuan pembangunan.

Peguam, Datuk Ganesan Subramaniam mewakili tuan tanah berkata, pihaknya sudah memberi kelonggaran kepada kesemua penghuni yang mendiami tiga rumah dalam tanah berkenaan supaya mengosongkan kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

“Arahan mengosongkan tanah diperintahkan mahkamah selepas kes ini selesai dibicarakan.

“Bagaimanapun, penghuni yang menetap di sini tetap berdegil walaupun kita memberi kelonggaran dengan alasan mereka belum mempunyai tempat berlindung.

“Perbuatan itu juga menyebabkan kerja-kerja meroboh ditunda beberapa kali apabila mereka merayu diberikan tempoh sebelum berpindah,” katanya.

Menurutnya, sebaik rundingan dilakukan, penghuni dari sebuah rumah bersetuju berpindah dalam tempoh seminggu selepas pemberian wang ihsan sebanyak RM5,000 ditawarkan kepada setiap rumah.

“Namun, penghuni dari dua rumah lagi tidak berganjak di mana seorang lelaki berusia 40-an dilihat menunggu di hadapan rumahnya biarpun jengkaut sudah memulakan operasi pembersihan di kawasan berhampiran.

“Dia juga menolak untuk diberikan wang ihsan yang ditawarkan,” katanya.

Katanya,  rundingan selama dua jam setengah di lokasi berkenaan menemui jalan buntu apabila penghuni itu tidak memberi kerjasama.

"Peluang terakhir diberikan kepada penghuni supaya datang ke pejabat di Taman Tuanku Haminah, Sungai Petani sebelum operasi pembersihan disambung sepenuhnya minggu depan," katanya.

Polis Thailand cari wanita berbaju hitam


LYDIA
Polis Thailand cari wanita berbaju hitam

22 OGOS 2015
Polis Thailand cari wanita berbaju hitam Polis berkawal semasa upacara keagamaan di hadapan kuil Erawan, semalam. - Foto AFP

BANGKOK - THAILAND. Polis Thailand sedang mencari seorang wanita berbaju hitam, yang dilihat duduk di sebuah bangku berdekatan suspek pengeboman maut di Bangkok, Isnin lalu.

Kelmarin, dua lelaki yang dikenal pasti sebagai suspek insiden pengeboman di kuil Erawan berhampiran persimpangan Ratchaprasong tampil menyerah diri kepada polis.

Bagaimanapun, polis mengesahkan mereka tidak terlibat dalam serangan itu.

"Saya minta dia (wanita berbaju hitam) tampil dan beri kerjasama kepada pihak polis," kata, jurucakap polis, Prawut Thavornsiri.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha menyifatkan serangan bom yang meragut 20 nyawa termasuk lapan warga asing itu, adalah paling buruk pernah berlaku dalam sejarah negara itu, menurut laporan CNN.

Pyongyang ugut perang


Pyongyang ugut perang

22 OGOS 2015
Pyongyang ugut perang Aktivis konservatif Korea Selatan membakar patung Kim ketika perhimpunan mengecam tembakan roket Pyongyang. - Foto AFP

SEOUL  - KOREA SELATAN. Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un mengarahkan tentera barisan hadapannya untuk berada di kedudukan perang selepas ketegangan ketenteraan dengan Korea Selatan meningkat berikutan insiden tindakan provokasi terbaharu di sempadan negara itu.

Agensi berita rasmi Korea Utara KCNA melaporkan, langkah itu dibuat ketika mesyuarat tergempar Suruhanjaya Ketenteraan Pusat (CMC) dipengerusikan Kim yang diadakan lewat petang kelmarin.

Dalam mesyuarat itu, Kim mengarahkan barisan hadapan, unit gabungan Tentera Rakyat Korea (KPA) untuk memasuki zon perang bermula pukul 5 petang (waktu tempatan), semalam.

“Tentera harus bersedia sepenuhnya untuk bertempur bagi melancarkan operasi kejutan, manakala keseluruhan barisan hadapan perlu diletakkan dalam keadaan separa perang,” menurut agensi itu memetik Kim sebagai berkata.

Difahamkan, mesyuarat CMC dibuat beberapa jam selepas Pyongyang dan Seoul berbalas tembakan sekali gus meruncingkan lagi ketegangan ketenteraan.

Korea Utara kemudiannya menghantar kata dua melalui hotline tentera memberi Seoul tempoh 48 jam untuk menghapuskan pembesar suara yang menyiarkan mesej propaganda atau menghadapi tindakan tentera selanjutnya.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Korea Selatan menolak ancaman itu dan menegaskan siaran akan diteruskan, lapor AFP.

Pasaraya diarah bayar Michael Jordan AS$8.9 juta


Michael Jordan

23 OGOS 2015
 Michael Jordan. - Foto Chicago Tribune

CHICAGO - AMERIKA SYARIKAT. Pemilik sebuah rangkaian pasaraya perlu membayar bintang bola keranjang, Michael Jordan AS$8.9 juta (RM37.2 juta) kerana menggunakan nama atlet tersebut tanpa kebenaran untuk sebuah iklan.

Menurut ESPN, juri memutuskan keputusan tersebut selepas perbicaraan berlangsung selama enam jam di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat.

Keputusan mahkamah memutuskan agar Dominick, rangkaian pasaraya yang kini tidak lagi berfungsi yang berpusat di Chicago membayar Jordan selepas menggunakan nama atlet berkenaan dalam sebuah iklan di dalam sebuah majalah sukan pada 2009.

Peguam Jordan, Andrew Zimbalist pula mendakwa nilai pasaran yang adil untuk iklan tersebut dengan menggunakan nama Jordan adalah AS$10 juta (RM41.7 juta).

Sementara itu, Jordan berpuas hati terhadap hukuman tersebut.

"Tak kira mereka insan terkenal atau tidak, tiada siapa patut bimbang bahawa identiti mereka telah digunakan tanpa kebenaran," kata Jordan.

Jordan juga memberitahu hasil kemenangan kes tersebut akan didermakan kepada badan kebajikan.

"Ia (kes) bukan berkaitan dengan wang. Ia berkaitan dengan kejujuran dan integriti.

"Saya harap kes ini akan memberi mesej jelas di Amerika Syarikat (AS) dan serata dunia bahawa saya akan melindungi identiti dan nama saya," kata Jordan kepada Chicago Tribune.

Jordan berharap jumlah bayaran yang dikenakan akan menghalang orang lain untuk mengulangi kesalahan sama.

Peguam kepada Dominick meninggalkan mahkamah tanpa sebarang komen.

Anak maut akibat ibu leka main telefon


Anak maut akibat ibu leka main telefon

24 OGOS 2015


ZHENGZHOU - CHINA. Gara-gara kecuaian seorang ibu yang leka bermain telefon, seorang kanak-kanak lelaki dua tahun maut dilanggar kereta di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.

Memetik laporan Tencent News, kanak-kanak tersebut maut dilanggar oleh sebuah kereta jenis SUV di tempat letak kereta pasaraya tersebut.

Menurut seorang saksi, kanak-kanak tersebut bermain di tepi jalan seorang diri sementera ibunya pula dilihat leka bermain telefon bimbit tanpa mempedulikan anaknya itu.

Pemandu dilaporkan tidak sempat untuk mengelak kanak-kanak malang itu yang secara tiba-tiba berlari ke arah kereta tersebut.

Kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, pemandu kereta tersebut kini ditahan untuk soal siasat.

Loji kimia meletup, 1 maut


Loji kimia meletup, 1 maut

24 OGOS 2015
Loji kimia meletup, 1 maut Kebakaran di loji kimia di timur China, kelmarin, berlaku 10 hari selepas insiden letupan gudang di Tianjin yang meragut 121 nyawa.

BEIJING - CHINA. Satu maut dan sembilan yang lain cedera dalam kejadian sebuah loji kimia meletup di timur China, kelmarin, lapor media kerajaan.

Kejadian itu menyusul 10 hari selepas letupan gudang penyimpanan bahan-bahan berbahaya di Tianjin yang meragut 121 nyawa.

Agensi berita Xinhua dipetik sebagai berkata, insiden berkenaan berlaku di sebuah kilang di daerah Huantai berhampiran bandar Zibo di wilayah Shandong.

Laporan itu menambah, kilang berkenaan adalah anak syarikat Kumpulan Runxing Shangdong dan menghasilkan bahan kimia termasuk adiponitrile, sejenis bahan kimia yang mudah terbakar terutamanya digunakan dalam pengeluaran nilon.

Difahamkan, anggota dan jentera bomba dari bandar berdekatan dikerah membantu memadamkan kebakaran.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. - AFP

Bapa cuba lemaskan anak kerana bekas isteri


Bapa cuba lemaskan anak kerana bekas isteri

23 OGOS 2015
Bapa cuba lemaskan anak kerana bekas isteri Pasukan penyelamat telah membuat terjunan ke dalam tasik dan menyelamatkan kanak-kanak perempuan terbabit.

HEBEI - CHINA. Seorang bapa bertindak luar batasan apabila cuba melemaskan anak perempuannya yang masih kecil ke dalam tasik.

Memetik laporan portal Shanghaist, lelaki tersebut bertindak sedemikian kerana cuba memaksa bekas isterinya yang menyembunyikan diri untuk bertemu dengannya.

Lelaki tersebut dikatakan mengheret anaknya ke dalam sebuah tasik dalam sebelum membenamkan muka anak mereka ke dalam tasik.

Orang ramai yang melihat kejadian terus menghubungi bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan.

Cubaan polis dan bomba untuk memujuk lelaki tersebut gagal apabila lelaki itu terus melaungkan kata-kata ugutan terhadap pihak berkuasa.

Difahamkan, pasukan penyelamat telah membuat terjunan ke dalam tasik dan menyelamatkan kanak-kanak perempuan terbabit, sebelum menahan bapanya.

Kanak-kanak tersebut menerima rawatan serta-merta dan disahkan berada dalam keadaan baik.

Jet terhempas ke kereta pengantin


Jet terhempas ke kereta pengantin

23 OGOS 2015
Jet terhempas ke kereta pengantin Sedutan video rakaman amatur menunjukkan jet pejuang Hawker Hunter terhempas ke lebuhraya A27 di England, semalam.

SHOREHAM - ENGLAND. Sebuah jet pejuang yang terlibat dalam sebuah pertunjukan terhempas ke sebuah lebuh raya, semalam.

Menurut Dailymail, tujuh orang awam terkorban selepas jet pejuang klasik Hawker Hunter terhempas ke lebuhraya A27 yang menghala ke sebuah lapangan terbang.

Juruterbang pesawat tersebut, Andy Hill bagaimanapun terselamat dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Kejadian jam 1.30 petang waktu tempatan itu juga mencederakan 14 yang lain.

Beberapa rakaman amatur yang telah dimuatnaik ke laman sosial hari ini menunjukkan pesawat tersebut terbang rendah, terhempas dan mencipta bebola api yang besar.

Difahamkan, Hill yang berumur 50-an juga merupakan juruterbang kepada British Airways dan sudah melepasi 12,000 jam penerbangan.

Jet pejuang tersebut digunakan oleh tentera udara pada 1955 juga mengakibatkan sebuah kereta limosin pengantin, Daimler yang sedang dalam perjalanan mengambil pengantin lelaki dan pengantin wanita.

Beberapa saksi mengatakan jet tersebut sedang melakukan sebuah aksi dan gagal menyempurnakan aksi tersebut sebelum berlanggar.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan tersebut.

Lamborghini, Rolls Royce hangus kerana dengki


23 OGOS 2015
Lamborghini, Rolls Royce hangus kerana dengki

Lamborghini, Rolls Royce hangus kerana dengki Keadaan kereta mewah yang musnah dalam kejadian Jumaat lepas.

BIRMINGHAM - ENGLAND. Seorang pemilik agensi kereta sewa mewah kerugian lebih USD1.1 juta (RM4.9 juta) selepas dua kereta mewah miliknya musnah dalam sebuah kebakaran, kelmarin.

Menurut Dailymail, kejadian tersebut dikhuatiri berpunca dari perasaan hasad dengki.

Pemilik agensi VIP Limousines, Zafron Hussain kini mengeluarkan tawaran USD313,89 (RM131,199) sebagai ganjaran kepada pihak yang berjaya mengesan penjenayah yang bertanggungjawab.

"Saya tidak tahu siapa yang dengki. Kami adalah perniagaan yang berjaya dan mempunyai reputasi baik dengan semua orang," kata Zafron kepada wartawan.

Lebih 40 ahli bomba cuba mengawal kebakaran yang hampir memusnahkan gudang yang menempatkan kreta mewah tersebut.

"Kami tidak mampu berfungsi dari premis ini lagi dan akan mengambil masa berbulan-bulan sebelum gantirugi insurans berjaya diperoleh," jelasnya kecewa.

Menurut pihak bomba, Lamborghini Aventador dan sebuah Rolls Royce Phantom musnah manakala beberapa lagi kenderaan seperti Hummer berjaya diselamatkan.

Olis kini sedang menyiasat kejadian.

Ibu tunggal dipenjara tiga bulan


24/08/2015 4:36pm

KUALA LUMPUR - Perbuatan seorang ibu tunggal yang memukul kepala ibunya sehingga berdarah akhirnya dibalas apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu ke atas Hazlina Hashim, 39, seorang promoter pasar raya, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Teh Maznah Yahya, 69, dengan memukul kepala wanita itu menggunakan sudip besi menyebabkan kepala mangsa luka dan berdarah.
Ashraf Rezal memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh ditangkap pada 20 Ogos lepas.
"Saya hanya menjalankan tugas, dan tugas kamu adalah memohon maaf kepada ibu kamu atas perbuatan yang telah kamu lakukan," kata Ashraf Rezal selepas menjatuhkan hukuman terhadap Hazlina.
Hazlina didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi, 20 Ogos lepas. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz3jilHIALf 
Hakcipta terpelihara 

Penganggur didenda RM2,200 cederakan lelaki berperwatakan wanita


24/08/2015 4:31pm

KUALA LUMPUR - Gara-gara mencederakan seorang lelaki berperwatakan wanita, seorang penganggur didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret, Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Muhammad Zaidi Shadan, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah mencederakan Mohd. Salleh Mohamed, 35, di Lorong 2, Jalan Haji Taib 2, Dang Wangi, di sini pada pukul 8.50 pagi, 18 Ogos lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Muhammad Zaidi didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di tempat kejadian, tertuduh secara tiba-tiba telah datang memarahi mangsa dan memukulnya di bahagian tangan dan tumit kaki menggunakan kayu. Pergaduhan itu dipercayai berpunca kerana cemburu.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia menyesal kerana bertindak mengikut emosi dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira faktor kepentingan awam. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz3jil9gVsX 
Hakcipta terpelihara 

3 'ninja' cuba samun CDM ditahan



JALALUDDIN menunjukkan tali kanvas sepanjang tiga meter yang digunakan dalam cubaan melarikan CDM daripada sebuah bank di Jalan Kemajuan, Sadong Jaya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Empat daripada tiga lelaki bertopeng ala ninja yang cuba melarikan mesin deposit tunai (CDM) daripada sebuah bank di sini pada 13 Ogos lalu ditahan dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 7.30 malam, 14 Ogos lalu di Penampang sebelum menahan dua lagi suspek pada pukul 10.30 malam, 19 Ogos lalu di bandar raya ini.
Katanya, kesemua suspek berusia 36 hingga 47 tahun.
"Hasil daripada penangkapan ketiga-tiga suspek itu membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah Proton Wira.
"Turut dirampas adalah empat buah telefon bimbit dan satu tali kanvas dengan panjang berukuran tiga meter dengan nilai kesemua rampasan dianggarkan RM120,000," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Jalaluddin, dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati, Navara tersebut disewa dengan harga RM400 selama satu hari termasuk pada masa kejadian bagi menarik keluar CDM berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3jikld4fU 
Hakcipta terpelihara 

Empat pengamal perubatan digantung perkhidmatan


Noor Hisham


PUTRAJAYA – Sebanyak tujuh pengamal perubatan telah dihadapkan ke Majlis Perubatan sejak tiga tahun lalu kerana menggaji individu yang tidak layak untuk mengendalikan klinik mereka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada pengamal perubatan tersebut didapati bersalah dan digantung daripada menyediakan perkhidmatan perubatan.
"Orang ramai perlu berwaspada mengenai kemunculan individu yang tidak layak tetapi memberi perkhidmatan sebagai doktor. Anda boleh melapor kepada Majlis Perubatan atau Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan dan siasatan akan dijalankan selepas itu," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Noor Hisham berkata, sesetengah pemilik klinik juga didapati tertipu oleh 'doktor' yang menunjukkan dokumen dan sijil palsu ketika memohon kerja.
"Individu yang tidak layak memberi perkhidmatan perubatan termasuk mereka yang langsung tidak mempunyai kelayakan perubatan atau mereka yang memiliki kelayakan perubatan tetapi tidak memenuhi syarat untuk didaftarkan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3jikUnWMC 
Hakcipta terpelihara 

Hantaran kahwin hangus dijilat api



ANGGOTA bomba berusaha memadamkan rumah berkembar milik keluarga Zahari Amir yang terbakar di Kampung Parit Mat Aris Bawah, Parit Buntar kelmarin.


PARIT BUNTAR – Barangan hantaran perkahwinan termasuk wang tunai dan barang kemas bernilai RM8,000 antara yang musnah dijilat api dalam kebakaran di dua buah rumah berkembar di Kampung Parit Mat Aris Bawah di sini kelmarin.
Salah seorang mangsa kebakaran, Zahari Amir, 26, berkata, sewaktu kejadian pada pukul 12 tengah malam itu, dia bersama isteri dan empat ahli keluarga lain sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah pusaka keluarga itu.
Menurutnya, kebakaran berpunca daripada bahagian dapur setelah terdengar bunyi letupan daripada rumah bapa saudaranya, namun merebak dengan cepat sehingga memusnahkan struktur kayu rumah berkembar keluarganya bersama bapa saudara.


MOHD. ZAHIR (kiri) dan tunangnya, Aida Yasmin sedih mengenangkan wang dan barangan hantaran perkahwinan yang turut musnah dalam satu kebakaran kelmarin.


"Panik dengan api yang merebak semakin cepat, kami sekeluarga segera memindahkan nenek yang berusia 70 tahun yang lumpuh keluar dari rumah.
"Bapa saudara pula tiada di rumahnya ketika kejadian," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, turut musnah dalam kebakaran itu ialah semua barangan hantaran perkahwinan yang telah disiapkan untuk majlis perkahwinan adiknya, Mohd. Zahir Amir, 24, dan tunang, Aida Yasmin Mohd. Firdaus, 24, pada 16 September ini,.
"Selain barangan hantaran, turut hangus terbakar ialah wang tunai dan barangan kemas yang keseluruhannya bernilai lebih RM8,000.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3jikEVoiK 
Hakcipta terpelihara 

Suami maut, tiga terselamat




KEADAAN Perodua Kembara dinaiki empat beranak yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan dekat Sabak Bernam kelmarin.


SABAK BERNAM – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua orang anak mereka cedera selepas kenderaan Perodua Kembara yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Noor Yaakub, 33, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat Muhammad Noor yang tersepit di tempat duduk pemandu kelmarin.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dan isterinya, Siti Rasidah Mat Yusof, 33, serta dua anak pasangan berkenaan, Nurfaiqah Dayana, 4, dan Muhammad Firas Mikail, 1, dalam perjalanan dari rumah mereka di Bukit Beruntung, Hulu Selangor ke rumah ibu Rasidah di Parit 9 ,Sungai Leman, Sekinchan dekat sini.
Semasa berhenti di lampu isyarat di tempat kejadian, kereta pasangan berkenaan telah dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan kenderaan itu melanggar pula bahagian belakang sebuah lagi lori.
Rasidah berkata, dia pengsan dalam kejadian itu dan sebaik sedar dia mendapati, pihak bomba sedang cuba mengeluarkannya serta suami yang tersepit dalam kenderaan mereka yang remuk teruk.
"Saya lihat beberapa anggota bomba sedang menarik serta memotong bahagian badan kereta daripada luar menyebabkan saya sedar bahawa kami telah ditimpa kemalangan, namun saya tidak ternampak kedua-dua anak kami dalam kenderaan ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3jik0anAy 
Hakcipta terpelihara 

Dua ahli kimia dadah Iran diberkas



MOKHTAR menunjukkan puluhan botol bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar syabu yang menggunakan khidmat kepakaran ahli kimia dari negara Iran, dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini minggu lalu.
Operasi yang dijalankan pada 20 dan 21 Ogos lalu itu, menahan lima suspek termasuk dua lelaki warganegara terbabit di tiga lokasi di Taman Sri Rambai di Bukit Mertajam, Batu Feringghi dan Sungai Nibong di sini.
Tiga lagi suspek merupakan warga tempatan iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berketurunan India. Masing-masing berusia antara 24 hingga 58 tahun.
Serbuan itu turut melibatkan kerjasama sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya berjaya membongkar sebuah makmal memproses syabu yang beroperasi di sebalik premis perniagaan barangan plastik di Taman Sri Rambai sekali gus merampas 324 kilogram cecair syabu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3jijQcz6N 
Hakcipta terpelihara 

Rugi RM3 juta ditipu pengasas produk kecantikan



SEBAHAGIAN daripada pelabur yang mendakwa ditipu seorang pengasas produk berasaskan kecantikan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kelmarin.


KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM3 juta apabila wang yang dilaburkan di dalam perniagaan berasaskan kecantikan dan kosmetik 'hangus' akibat ditipu oleh seorang wanita.
Salah seorang mangsa, Mohd. Shayuti Mahmood, 35, berkata, wanita berusia dalam lingkungan 40-an yang mendakwa dirinya sebagai pengasas produk kecantikan itu gagal untuk membayar balik wang pelaburan mereka sejak Mac lalu.
"Perniagaan tersebut dikatakan beroperasi sejak Oktober tahun lalu dan wanita itu membayar wang keuntungan secara berperingkat-peringkat selepas sebulan perniagaan dijalankan namun, sejak Mac lalu dia gagal untuk membayar kembali wang pelaburan dan keuntungan kepada pelabur.
"Kami ada menghubungi wanita berkenaan untuk meminta dia membayar kembali wang pelaburan namun, dia memberi alasan kononnya pihak bank tidak membenarkan dia membuat transaksi dalam jumlah yang banyak," katanya kepada Kosmo! selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kelmarin.
Ujarnya, wanita berkenaan juga sempat melancarkan produk terbarunya pada bulan Mac lalu serta melantik seorang penyanyi lelaki yang merupakan juara program realiti televisyen sebagai jurucakap produk.
Jelasnya, wanita yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook itu juga memperdayakan para pelabur apabila mengeluarkan sebanyak empat buku cek untuk membuat pembayaran beberapa bulan lalu namun, kesemuanya merupakan cek tendang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3jijisENq 
Hakcipta terpelihara 

AS sedia pertahan Korea Selatan



TENTERA Korea Selatan meronda menggunakan kereta kebal di wilayah Yeoncheon berhampiran sempadan dengan Korea Utara semalam. - AFP


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyatakan komitmen untuk mempertahankan sekutu rapatnya, Korea Selatan, kata pegawai tentera kanannya ketika ketegangan sekali lagi memuncak antara Seoul dan Pyongyang.
Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Martin Dempsey membuat kenyataan tersebut melalui satu panggilan telefon kepada rakan sejawatnya di Korea Selatan kelmarin menjelang tarikh akhir ditetapkan Pyongyang bagi Seoul menghentikan propaganda menggunakan pembesar suara menyeberangi sempadan atau berdepan tindakan ketenteraan.
"Pengerusi Dempsey menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi AS untuk mempertahankan Korea Selatan dan mengulangi keutuhan perikatan antara Washington dan Seoul," jelas satu kenyataan Pentagon.
Dempsey dan Laksamana Choi Yoon-Hee bersetuju, mereka akan memerhati rapat tindakan Korea Utara dalam beberapa hari akan datang dan akan memastikan Washington dan Seoul terus bekerjasama untuk mengekang provokasi Pyongyang serta meredakan ketegangan.
Seoul dan Pyongyang dilihat telah mula mengambil langkah mengelakkan pertempuran ketenteraan serta bersetuju mengadakan perbincangan pegawai kanan semalam ketika kedua-dua pasukan tentera mereka berada dalam keadaan amaran tinggi membuat persiapan di sempadan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3jiimHR7M 
Hakcipta terpelihara