Search This Blog

Friday, August 21, 2015

Ibu Lapor Anak Dirotan Kerana Gagal Jawab Soalan Guru


Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 5:15 PM

JEMPOL: Ibu kepada seorang murid tahun enam di sini membuat laporan polis bahawa anaknya telah dirotan sehingga lebam dan berbirat kerana gagal menjawab soalan yang ditanya gurunya.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hamzah Alias berkata, laporan dibuat pada  Rabu lepas kerana ibu berkenaan tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.
"Siasatan awal mendapati terdapat kesan pukulan rotan di lengan kiri, kanan serta belakang badan murid tersebut.
"Kami telah memanggil guru terbabit untuk diambil keterangannya," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pihak polis masih menunggu laporan perubatan daripada Hospital Jempol dan kes disiasat kerana mendatangkan kecederaan.-- Bernama

Wanita Samun Pekerja Kedai Serbaneka


Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 7:20 PM

GEORGE TOWN: Dua pekerja warga asing sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Macalister, di sini berhadapan detik cemas apabila disamun seorang wanita yang berpura-pura membeli rokok dalam kejadian tengah malam Khamis.

Dalam kejadian pukul 12.55 tengah malam itu, dua pekerja berusia lingkungan 30-an, didatangi seorang wanita memakai topi keledar untuk membeli dua kotak rokok.

Jurucakap polis berkata, ketika seorang daripada pekerja itu hendak memberikan rokok berkenaan kepada wanita tersebut, suspek bertindak mengeluarkan pisau dari poketnya dan mengarahkan dua pekerja berkenaan diam serta tidak melawan.

"Suspek turut menggugut untuk mencederakan dua pekerja itu dan pada masa sama, mengarahkan mereka menyerahkan duit yang terdapat dalam mesin wang," katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata pekerja warga Nepal itu kemudian menyerahkan wang tunai sebanyak RM155 dan dua kotak rokok kepada suspek sebelum dia melarikan diri menaiki motosikal bersama rakan lelakinya yang menunggu di luar kedai serbaneka tersebut.

"Dua pekerja itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana tidak melawan dan mereka membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan katanya siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya terdapat CCTV di dalam kedai serbaneka 24 jam berkenaan dan pihaknya akan meneliti untuk mengenal pasti suspek yang terlibat.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Bunuh Mekanik: Ketua Kongsi Gelap Ke Tali Gantung


Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 5:18 PM

SHAH ALAM: Seorang ketua kongsi gelap dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh seorang mekanik dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Musa Yunus, 42, bahawa dia tidak kenal mangsa, R. Kumaran, serta tidak menendang dan menikamnya merupakan penafian semata-mata.
Dalam penghakimannya, Abdul Halim turut menolak pembelaan tertuduh bahawa dia dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan berpendapat segala penafian tertuduh tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sebaliknya, hakim itu berkata keterangan saksi-saksi pendakwaan begitu konsisten sekali terutama isteri mekanik itu yang melihat dengan jelas tertuduh menendang dan menikam suaminya.
"Menurut keterangan isteri mangsa, dia nampak tertuduh pukul mangsa guna tangan dan tiba-tiba dia nampak tertuduh tikam dada kiri mangsa guna pisau.
Ketika kejadian jarak mangsa dengan isterinya kira-kira 10 kaki (3.05 meter).Selepas ditikam mangsa berlari ke arah isterinya dan isteri mangsa yang tidak berpuas hati bertanyakan kepada tertuduh kenapa dia pukul suaminya dan tertuduh menjawab "Kau nak apa?" sebelum dia (tertuduh) beredar dari tempat kejadian," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Halim berkata pihaknya berpendapat isteri mangsa ialah saksi yang mempunyai kredibiliti dan tiada sebab untuk beliau meragui keterangan wanita itu.
Hakim itu juga berkata selain keterangan secara langsung oleh isteri mangsa, kes pendakwaan turut disokong oleh lambakan bukti mengikut keadaan daripada saksi-saksi pendakwaan yang lain.
"Justeru, hanya satu sahaja hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.
Sejurus keputusan dibacakan, anggota keluarga tertuduh dilihat menangis dan berpelukan dengan tertuduh yang bekerja sebagai pengawal peribadi kepada seorang 'Datuk'.
Musa didakwa membunuh Kumaran, 31, di tepi jalan di Selayang Baru dekat sini, pada 2.30 pagi, 23 Disember 2013.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Abdul Kadir Ismail.-- Bernama

Bangkok dibom: Thailand minta bantuan Interpol


20 OGOS 2015
Bangkok dibom: Thailand minta bantuan Interpol

Bangkok dibom: Thailand minta bantuan Interpol Fotofit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand.

BANGKOK - THAILAND. Thailand hari ini meminta bantuan Interpol untuk membantu menjejaki lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman di tengah Bangkok yang menbunuh 20 orang.

Jurucakap Timbalan Polis Thailand,  Kissana Phathancharoen berkata pihaknya telah meminta bantuan interpol dan lakaran wajah suspek turut diserahkan.

"Secara asasnya, kami menghantar modus operandi (suspek) dan lakaran wajah suspek yang diburu," katanya dipetik Reuters.

Menurutnya, setakat ini, tiada pihak yang tampil mengaku bertangungjawab terhadap insiden ini dan pihak polis juga masih tidak dapat mengenalpasti motif pengemboman yang paling buruk terjadi di Bangkok.

Polis telah mengeluarkan lakaran imej lelaki memakai kemeja kuning bersama-sama sebuah beg galas yang dirakamkan CCTV dan beredar dari tempat kejadian beberapa saat kemudian sebelum letupan itu berlaku.

Tambah Kissana, pihak polis percaya, dua orang lelaki yang dirakam CCTV bersama-sama suspek turut terlibat.

"Kami yakin sekurang-kurangnya tiga orang atau lebih bertanggungjawab dalam insiden pergeboman ini," katanya.

Kuil Erawan terletak di tengah-tengah pusat bandar popular dikalangan pelancong terutamanya dari China dan negara Asia Timur.

Kira-kira separuh mangsa yang maut adalah warga asing.

11 maut, 13 hilang banjir di China


China

20 OGOS 2015


China

BEIJING - CHINA. Banjir di wilayah Sichuan telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh manakala 13 yang lain hilang dan hampir setengah juta penduduk terjejas.

Lapor media tempatan, hujan lebat dan banjir melanda wilayah itu bermula sejak Ahad.

Kawasan paling teruk terjejas adalah daerah Xuyong, di mana lumpur dan sampah memenuhi jalan-jalan sehingga ke tingkat dua beberapa bangunan.

Memetik laporan AP, banjir lumpur melanda beberapa kawasan yang terletak di kaki gunung turut memusnahkan berpuluh-puluh rumah dan bekalan kuasa dan komunikasi di kawasan itu terputus.

Banjir menjadi satu masalah utama dibanyak kawasan di China.

Banjir terburuk dalam sejarah China berlaku pada tahun 1998, di mana 4,150 orang terbunuh yang kebanyakan terdiri daripada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Yangtze, China.

Takdir mati bersama cucu

Gemas: Dua maut apabila kenderaan pacuan empat roda mereka bertembung lori 10 tan di Kilometer 0.5 Jalan Gemas-Tampin, berhampiran sebuah kilang tayar di Gemas, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Tan Uiong, 82, bersama cucunya, Tan Ji Zeng, 20, dipercayai dari rumah di Taman Bukit Tampin dekat sini, untuk ke Gemas sebelum terbabit kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan Ford Ranger dipandu Ji Zeng terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori 10 tan tanpa muatan dari arah Gemas.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dipanggil untuk mengeluarkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:28 AM


ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71700#sthash.NvGnU4Wb.dpuf

Ganjaran RM116,000 kepada pemberi maklumat

Bangkok: Polis Diraja Thailand menawarkan satu juta Bath (RM116,000) kepada pemberi maklumat yang boleh membawa kepada penahanan suspek utama serangan bom di Kuil Erawan yang mengorbankan 22 individu termasuk lima rakyat Malaysia.
Memetik laporan Associated Press (AP), jurucakap polis Prawut Thavornsiri berkata, ganjaran itu ditawarkan untuk sebarang maklumat mengenai suspek yang meletakkan bom atau rakan subahatnya.
“Polis sudah menyiarkan lakaran wajah suspek iaitu seorang lelaki berbaju kemeja T berwarna kuning dipercayai lelaki yang meletakkan bom di tempat kejadian dan percaya dia tidak melakukannya sendirian.
“Kita sedang mengesan rakan subahat suspek yang dipercayai bukan rakyat Thailand,” katanya.
Jurucakap polis Thailand Prawut Thawornsiri berkata, pihaknya sedang mengesan suspek lain berhubung letupan itu.
“Kita percaya serangan ini biasanya tidak dilakukan seorang suspek. Berdasarkan gambar, suspek kelihatan lebih kepada rakyat asing bukannya penduduk Thailand,” katanya.
Menurutnya, polis percaya lelaki itu adalah suspek utama dan yakin lebih daripada 50 peratus dia adalah pelaku serangan itu.
“Berdasarkan CCTV berkenaan, lelaki muda berbaju kemeja T kuning dan memakai kaca mata berbingkai hitam itu dilihat membawa beg sandang sebelum meninggalkan beg yang dibawanya di sebuah bangku di pekarangan kuil berkenaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:19 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71685#sthash.CplF67yY.dpuf

Waran tangkap warga asing

Bangkok: Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga asing yang disyaki meletupkan bom di daerah komersial Ratchaprasong di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Balai Polis Lumpini Lt Kol Somkiet Ploytabtim yang juga pegawai penyiasat memohon waran tangkap itu tengah hari semalam.
Suspek belum dikenal pasti dan ciri-ciri lelaki itu berdasarkan lakaran polis yang dikeluarkan kepada awam sebelum ini, menurut permohonan tiga muka surat bagi waran tangkap itu.
Terdahulu, jurucakap polis Lt Jen Prawut Thavornsiri memberitahu, suspek adalah lelaki memakai kemeja kuning bersama-sama sebuah beg galas dirakamkan CCTV dan beredar dari tempat kejadian beberapa saat kemudian sebelum letupan berlaku.
Letupan itu berlaku berhampiran kuil Erawan yang menempatkan dewa Hindu, Brahma, popular bukan saja dalam kalangan penganut Hindu, tetapi penganut Buddha di Thailand dan negara lain.
“Polis memperoleh imej suspek yang lebih jelas daripada yang dikeluarkan kepada awam sebelum ini,” kata Prawut.
- BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:18 AM

DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71684#sthash.hVpUr1Kg.dpuf

Lumpur melimpah masuk rumah

Kuantan: “Lumpur melimpah masuk ke dalam rumah apabila tanah di atas bukit runtuh disebabkan hujan lebat malam tadi (kelmarin),” kata Mohd Alif Mohd Nawi yang mengalami kerugian selepas kediamannya di Taman Cherry Park, Indera Mahkota 8, di sini, dilanda banjir lumpur, kelmarin.
Dalam kejadian itu, empat rumah terjejas akibat banjir lumpur selepas berlaku hakisan tanah disebabkan hujan lebat kira-kira tiga jam.
Mohd Alif, 27, berkata, kejadian itu disedari pada jam 12 tengah malam selepas terdengar bunyi retak di belakang rumah.
Katanya, dia bersama adik perempuan berusia 22 tahun dan ibunya berusia 49 tahun terkejut apabila melihat lumpur memasuki dapur sehingga mengalir ke ruang tamu dan bahagian depan rumah.
Menurutnya, dia memanggil beberapa jiran yang tinggal sebaris dengan rumahnya untuk menyelamatkan diri sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:23 AM


KEADAAN tanah runtuh di Taman Cherry Park, Indera Mahkota 8.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71692#sthash.QD5Rmtfs.dpuf

Wang samun bawa balik kampung

 Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my
Subang Jaya: Bawa pulang semua wang tunai dan hasil samun ke kampung halaman di Sumatera, Indonesia, sebelum kembali ke negara ini untuk melakukan jenayah rompakan.

Itu antara kaedah digunakan sekumpulan penjenayah ‘Geng Palembang’ yang dikesan aktif melakukan jenayah rompakan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam kejadian terbaru jam 10 pagi kelmarin, seorang lelaki warganegara Jepun berusia 20-an kerugian RM23,500 apabila wang dikeluarkannya di sebuah bank di Desa Sri Hartamas di sini, dirompak kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa yang tinggal di Mont Kiara, Kuala Lumpur mengeluarkan wang milik syarikatnya di bank itu sebelum menyimpannya dalam beg sandang.

Menurutnya, mangsa menuju ke Subang Jaya atas urusan perniagaan sebelum diekori sebuah kereta dinaiki ahli kumpulan ‘Geng Palembang’.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:21 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71688#sthash.olZbqoAh.dpuf

Bumbung ILP Selandar runtuh

Jasin: Sebahagian bumbung anjung pejalan kaki yang menghubungkan blok bangunan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di sini, runtuh dalam kejadian jam 6 petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Nazili Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.17 petang.
Beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.
“Kami dapati sebahagian bumbung anjung pejalan kaki yang berkeluasan 216 meter persegi itu runtuh.
“Selepas pemeriksaan, kami tidak menemui mangsa yang terperangkap,” katanya.
Nazili berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan di sekitar runtuhan, pelajar dan kakitangan institut latihan terbabit juga dilarang menghampiri lokasi kejadian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:27 AM


SEBAHAGIAN bumbung berkeluasan 216 meter persegi runtuh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71698#sthash.56J7qiJT.dpuf

Guru tadika antara suspek promosi aktiviti kumpulan pengganas



ANGGOTA polis mengiringi salah seorang anggota militan IS yang ditahan di Perlis kelmarin.


KUALA LUMPUR – Enam anggota keselamatan antara 10 warga tempatan yang ditahan selepas disyaki terlibat dengan pergerakan kumpulan militan Islamic State (IS) di negara ini dalam serbuan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di seluruh negara kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar kecil) berkata, kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 24 hingga 42 tahun terdiri daripada enam anggota keselamatan, dua kakitangan jabatan kerajaan serta masing-masing seorang bekas pereka bentuk dalaman dan guru tadika.
“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan pengganas IS, mengumpul dana untuk membantu aktiviti kumpulan pengganas itu serta mengatur pemergian warga tempatan untuk menyertai IS di Syria.
“Kami juga mendapati kesemua tangkapan ini terbabit dalam merancang untuk membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia serta membantu penyusupan masuk suspek IS yang kembali dari Syria,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3jOtQ3VOM 
Hakcipta terpelihara 

Kena 40 jahitan ditetak adik ipar


ANGGOTA polis mengiringi seorang lelaki yang ditahan selepas menetak abang iparnya dengan kapak di sebuah rumah di taman perumahan dekat Jalan Genuang dekat Segamat semalam.


SEGAMAT – Tindakan seorang lelaki menegur adik iparnya yang menghuni rumah ibunya secara haram membawa padah apabila dia terpaksa menerima 40 jahitan pada kepala selepas diserang dengan kapak oleh adik iparnya itu di sebuah rumah di taman perumahan dekat Jalan Ge­nuang di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superinten­dan Mohd. Kamil Sukarmi (gambar kecil) berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin ketika mangsa yang berusia 48 tahun menyiasat punca lampu rumah pusaka ibunya yang sudah tidak didiami menyala sewaktu lalu di hadapan rumah tersebut.
“Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Siput, mangsa melalui rumah ibunya yang sudah tidak ber
penghuni itu dan terkejut apabila mendapati lampu rumah tersebut terpasang sebelum berhenti di hadapan rumah berkenaan untuk memeriksa.
“Mangsa kemudian memberi salam, namun tidak berjawab sebelum cuba membuka pintu hadapan rumah tersebut dan mendapati pintu tersebut tidak dikunci dari bahagian dalam,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3jOsQi7iV 
Hakcipta terpelihara 

Perompak larikan bot nelayan



KOK KWEE (dua dari kiri) dan Onn Hwa (kiri) menyaksikan bot pukat tunda miliknya yang dibawa balik dari perairan Thailand ke jeti Kuala Kedah, Kuala Kedah semalam.


ALOR SETAR – Sekumpulan perompak bertopeng bersenjatakan M-16 dari negara jiran melarikan sebuah bot nelayan kelas C bernilai RM1.5 juta bagi mendapatkan tebusan di perairan Kedah berhampiran Pulau Langkawi dekat sini pada Sabtu lalu.
Kejadian pada pukul 11.30 malam itu berlaku ketika lima orang nelayan termasuk seorang tekong warga Thailand sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 40 batu nautika barat Pulau Langkawi dan 1.2 batu nautika dari sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Bot nelayan pukat tunda itu dirampas oleh empat hingga lima orang lelaki yang memakai topeng dan bersenjatakan tiga laras M-16.
Ketua Penguat Kuasa Ma­ritim Wilayah Utara Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Tan Kok Kwee memberitahu, kumpulan perompak tersebut memasuki perairan negara ini dengan menggunakan bot jenis ekor biawak sebelum menaiki sebuah bot nelayan lain yang digunakan untuk merapati bot bernilai RM1.5 juta itu.
“Sebaik memasuki bot itu, perompak melepaskan beberapa das tembakan ke udara sebagai amaran sebelum merampas telefon bimbit, alat komunikasi bot serta memaksa semua mangsa menaiki bot nelayan lain untuk pulang ke Kuala Kedah” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pangkalan Maritim Kuala Kedah di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3jOryf76n 
Hakcipta terpelihara 

Bot nelayan disamun ditemukan semula di Thailand


TAN OON HUA (kanan)  bersalaman dengan Tan Kok Kwee kerana berjaya
TAN OON HUA (kanan) bersalaman dengan Tan Kok Kwee kerana berjaya mendapatkan kembali bot pukat tundanya yang ditemukan di Pulau Taratao, Thailand dan ditunda ke Kuala Kedah, semalam. UTUSAN/ISMAIL KAMADIN
ALOR SETAR 20 Ogos – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C bernilai lebih RM1 juta yang dilarikan sekumpulan perompak dipercayai warga Thailand di perairan Kedah Sabtu lalu berjaya ditemukan semula dua hari kemudian di Pulau Taratao, Thailand.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara, Laksamana Pertama Tan Kok Kwee berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian rompakan bot yang pertama kali berlaku di utara perairan negara itu daripada Jabatan Perikanan Kuala Kedah kira-kira pukul 10.45 pagi, Ahad lalu.
Menurutnya, melalui siasatan yang telah dijalankan, pihaknya mendapati bot tersebut dirompak kira-kira pukul 11.30 malam Sabtu lalu kira-kira 2.16 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand atau kira-kira 72 kilometer barat Pulau Langkawi.
“Ketika kejadian, bot milik rakyat tempatan bersama seorang tekong dan empat awak-awak warga Thailand telah dinaiki kira-kira lima perompak dipercayai Thailand yang memakai topeng dan membawa dua hingga tiga laras senjata M-16.
“Perompak tersebut dipercayai datang melalui perairan negara jiran dengan menaiki sebuah bot dan mereka menaiki sebuah bot nelayan negara ini untuk merapat ke bot yang ingin dirompak,” katanya dalam sidang akhbar di Maritim Malaysia Kuala Kedah di sini hari ini.
Ujar Kok Kwee, perompak telah melepaskan beberapa das tembakan ke udara, merampas telefon bimbit pekerja bot nelayan itu, alat komunikasi dan memaksa kesemua pekerja bot terbabit menaiki sebuah bot lain untuk pulang ke Kuala Kedah.
“Perompak tersebut dipercayai ingin menuntut wang tebusan daripada pemilik bot jika mahu mendapatkan semula bot itu.
“Sebelum melarikan bot nelayan ke perairan Thailand, pe­rompak telah memberi amaran dalam bahasa Thailand supaya kejadian itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa dan jika mereka ingkar bot akan dibakar,” jelasnya.
Tambah Kok Kwee, bertindak atas maklumat pada Ahad lalu, Maritim Malaysia telah menghubungi Pegawai Perhubungan Khas Satun-Langkawi bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan bot tersebut yang dipercayai masih berada dalam perairan Thailand.
“Kurang 24 jam selepas itu, bot tersebut dijumpai dalam keadaan bersauh dan ditinggalkan perompak di kawasan Pulau Taratao iaitu kira-kira 6.3 kilometer dari Timur Pulau Taratao, pada pukul 11 pagi waktu Malaysia.
“Kejadian ini merupakan kejadian rompakan yang pertama di utara perairan negara dan kita akan meningkatkan rondaan di kawasan Selat Cincin, Kuala Kedah dan kawasan Barat Pulau Langkawi kerana dipercayai ada beberapa kumpulan kecil perompak yang mungkin akan melakukan rompakan di kawasan kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik bot berkenaan, Tan Oon Hua, 55, berkata, kejadian itu merupakan yang pertama dilaluinya dalam tempoh 30 tahun namun bersyu­kur kerana bot tersebut berjaya ditemukan semula.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bot-nelayan-disamun-ditemukan-semula-di-thailand-1.126682#sthash.hY3kcxCd.dpuf

Tiga sindiket 
nombor ekor tumpas


Sembunyi di sebalik syarikat telekomunikasi

wang tunai dan perlalatan yang dirampas setelah polis berjaya
WANG tunai dan perlalatan yang dirampas setelah polis berjaya membongkar tiga sindiket judi ekor haram yang beroperasi di sebalik kedai runcit dan telekomunikasi di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, kelmarin.
PULAU PINANG 20 Ogos - Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (Stagg) berjaya membongkar tiga sindiket perjudian nombor ekor yang beroperasi di sebalik kedai runcit dan telekomunikasi di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di sini semalam.
Dalam operasi selama sejam yang dijalankan secara serentak bermula pukul 1.45 petang dan membabitkan 107 pegawai Stagg Bukit Aman itu, seramai 31 lelaki dan wanita yang masing-masing berusia antara 22 hingga 56 tahun turut ditahan.
Ketua Penolong Pengarahnya, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kesemua suspek ditahan ketika pihaknya menjalankan operasi di sebanyak 17 buah premis di kawasan berkenaan.
Menurutnya, tangkapan itu membabitkan seramai 26 ejen menjual nombor ekor terdiri daripada 12 lelaki dan 14 wanita tempatan termasuk seorang warga Indonesia. Turut ditahan ialah lima pelanggan yang sedang membeli nombor ekor di premis berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut, kita berjaya melumpuhkan tiga sindiket perjudian nombor ekor selepas menahan tiga lelaki yang juga dalang utama dalam kegiatan itu di negeri ini.
“Sindiket itu dikesan menjalankan kegiatan pertaruhan judi ekor secara tersembunyi sejak dua tahun lalu melalui ejen yang dilantik di kedai runcit dan premis menjual peralatan telekomunikasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khairi memberitahu, turut dirampas dalam serbuan itu wang tunai bernilai kira-kira RM32,700, sebanyak 63 slip kertas bertulis angka, 46 gulung kertas resit, 43 telefon bimbit dan buku catatan.
Ujarnya, berdasarkan wang rampasan itu, pihaknya percaya setiap ejen terbabit mendapat keuntungan antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari.
Tambahnya, siasatan lanjut mengenai kaitan ketiga-tiga dalang dan ejen nombor ekor itu masih dijalankan dan mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Judi Rumah Terbuka 1953,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-sindiket-8232-nombor-ekor-tumpas-1.126700#sthash.VHoOnX5S.dpuf

Ditembak mati selepas beli-belah


SEORANG peniaga kedai runcit maut ditembak dari jarak dekat selepas
SEORANG peniaga kedai runcit maut ditembak dari jarak dekat selepas membeli-belah di sebuah pasar raya di Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.
JOHOR BAHRU 20 Ogos – Seorang peniaga kedai runcit maut ditembak dari jarak dekat di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Taman Pelangi, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pukul 9.25 malam ketika mangsa berusia 35 tahun baru selesai membeli-belah di pasar raya berkenaan.
“Mangsa sedang memunggah barang ke dalam bonet keretanya sebelum ditembak dari jarak dekat, mengakibatkannya rebah dan mati di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan, hanya satu das tembakan dilepaskan mengenai bahu sebelah kiri dan tembus keluar melalui bawah ketiak kanan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sulaiman, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan satu kelongsong peluru dan beberapa barangan kes lain yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan senjata yang digunakan dalam kejadian itu adalah daripada jenis semi auto.
Menurut beliau, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline 07-2218 999.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ditembak-mati-selepas-beli-belah-1.126722#sthash.MfDJqX0X.dpuf