Search This Blog

Wednesday, August 19, 2015

KPN Sahkan Tidak Terima Sebarang Laporan Penyelewengan PetroSaudi Dalam Negara


Diterbitkan: Selasa, 18 Ogos 2015 9:56 PM
Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung penyelewengan PetroSaudi International di dalam negara, bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas syarikat itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sehubungan itu orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.

"Ekoran pertanyaan pelbagai pihak, adalah dengan ini disahkan bahawa PDRM tidak menerima sebarang laporan polis berhubung penyelewengan PetroSaudi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Semalam, bekas eksekutif syarikat berkenaan, Xavier Andre Justo dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan selepas mengaku cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International.

Warga Switzerland itu ditahan di Thailand pada 22 Jun oleh pihak berkuasa negara itu selepas PetroSaudi memfailkan aduan terhadapnya.

Pelajar Maut Jatuh Bangunan Selepas Selisih Faham Dengan Keluarga


Diterbitkan: Selasa, 18 Ogos 2015 10:05 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan kolej swasta berusia 18 tahun maut apabila terjatuh dari tingkat 14 Flat Pelangi Magna, Kepong, di sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, R. Munusamy berkata dalam kejadian pukul 3.12 petang itu, pelajar berkenaan dikatakan pergi ke bangunan tersebut selepas berlaku perselisihan faham dengan ahli keluarganya.


"Mangsa masih hidup selepas jatuh dari bangunan itu dan dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas tiba di hospital itu akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata tiada unsur jenayah dalam insiden itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pelajar cedera diserang penyamun

Kuala Lumpur: Seorang penuntut cedera tulang belakang sejurus ditolak dua penjenayah yang menyerangnya dari belakang.
Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, mangsa lelaki berusia 19 tahun sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di Taman Segambut di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa sedang berjalan berhampiran sebuah stesen bas sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal.
“Suspek berusia 30-an dan menaiki motosikal Yamaha SS itu terus menolak mangsa sehingga jatuh sebelum mengacukan pisau ke arah remaja itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, semalam.
Menurutnya, dua lelaki itu melarikan dompet duit mangsa bersama wang tunai RM170 dan dokumen peribadi.
Berikutan kejadian itu, mangsa cedera pada tulang belakang.
“Saya menasihati orang awam supaya berhati-hati terhadap penjenayah ini terutama ketika berjalan bersendirian di kawasan gelap,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 6:26 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71339#sthash.xR5qz9D8.dpuf

Mayat di tepi longkang

Kuala Lumpur : Mayat lelaki berusia 61 tahun ditemui di tepi longkang berhampiran sebuah pondok di kawasan setinggan berhampiran Petronas Jalan Sentul Pasar, petang tadi.
Mayat itu ditemui pada 6.45 petang oleh orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah gelandangan.
"Pemeriksaan pada badan mayat tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
"Mayat lelaki Sikh itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:43 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71315#sthash.1ANVaxMY.dpuf

Mahkamah: dipenjara setahun kerana curi kereta

Kuala Lumpur: Gara-gara mencuri kereta milik ahli perniagaan, seorang penjaga parkir dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Baruni Basyirrin Azman, 25, selepas dia mengaku bersalah mencuri kereta milik Hifzan Che Mat, 30, di Jalan Doraisamy, Dang Wangi di sini pada kira-kira 5.30 pagi, Ahad lalu.
Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 11 Ogos.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, mangsa pengsan di sebelah keretanya di tempat parkir kereta yang dijaga tertuduh, dan mendapati keretanya telah tiada ketika sedar semula pada 8 pagi hari berkenaan.
Siasatan rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta mangsa dilarikan penjaga parkir berkenaan.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah memiliki telefon bimbit dan set tripod curi bernilai RM2,000 milik Hafiizh Che Mat, 35, di dalam sebuah rumah di Taman Rahmad Jaya Kundang, Rawang, Selangor pada 1.30 pagi Selasa lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistaman memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung ibu dan bapanya yang lumpuh serta menghidap sakit jantung dan kencing manis.
Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan bermula dari tarikh dia ditangkap pada Selasa lepas.
Selepas prosiding berakhir, tertuduh memeluk ibu dan bapanya yang berkerusi roda sambil menangis. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:59 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71319#sthash.eA6jKEpz.dpuf

Melecur hampir seluruh badan

Kota Bharu: Budak perempuan berusia empat tahun melecur hampir seluruh badan akibat kebakaran rumahnya di Kampung Laloh, dekat Kuala Krai, hari ini.
Penolong Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Fazlin Parozi berada bersendirian di dalam rumah sementara ibunya berada di halaman rumah.
"Mengikut maklumat ayahnya, mangsa yang berada di dalam rumah berlari keluar rumah untuk mendapatkan ibunya dalam keadaan semua bajunya sudah terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohamad Hanif berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.
"Ketika bomba tiba, hampir 60 peratus kediaman itu terbakar. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.04 tengah hari," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran kemungkinan disebabkan penggunaan elektrik yang berlebihan atau mangsa bermain api di dalam rumah.
Katanya, kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM125,000 dan punca kebakaran masih disiasat.
Sementara itu, ayah mangsa, Parozi Daud, 63, ketika dihubungi berkata, hampir 90 peratus badan anaknya melecur akibat kebakaran itu.
"Saya amat sedih melihat apa yang dialami anak bongsu saya kerana hampir seluruh badannya melecur...namun saya reda dan bersyukur dia masih bernyawa," katanya. Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 9:46 PM


Kebakaran rumah di Kampung Laloh, Kuala Krai yang menyebabkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur hampir seluruh badan. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71323#sthash.dzXuv8dH.dpuf

Maut terjatuh dari flat

Kuala Lumpur: Seorang pelajar perempuan kolej swasta berusia 18 tahun maut apabila terjatuh dari tingkat 14 Flat Pelangi Magna, Kepong, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul R Munusamy berkata, dalam kejadian 3.12 petang itu, pelajar berkenaan dikatakan pergi ke bangunan itu selepas berlaku perselisihan faham dengan ahli keluarganya.
"Mangsa masih hidup selepas jatuh dari bangunan itu dan dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas tiba di hospital itu akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata tiada unsur jenayah dalam insiden itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:21 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71324#sthash.gyQ7TnbL.dpuf

Lemas dalam tali air

Kota Bharu: Lelaki berusia 35 tahun ditemui lemas dalam tali air di Kampung Kutan Pasir, Ketereh di sini, pada 8.53 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Mohd Rafain Mat Zain berkata, mangsa, Mohd Zamzailani Mohd Zahari ditemui terapung dalam tali air berkenaan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.04 petang dan seramai enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh ke tempat kejadian.
"Mangsa dimaklumkan lemas oleh orang awam yang melihat selipar dan seluar milik mangsa berada di tebing tali air.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya di sini sebentar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 11:10 PM


Anggota bomba menemui mayat mangsa yang lemas dalam tali air. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71330#sthash.gB7HDAi2.dpuf

Suspek ada dalam CCTV

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha, berkata pihak berkuasa Thailand melihat beberapa suspek dalam rakaman kamera litar tertutup di tempat letupan bom yang membunuh 22 orang manakala 140 lagi cedera.
"Hari ini kami sudah melihat rakaman itu dan nampak beberapa suspek tetapi tidak jelas. Kami perlu mencari mereka,” kata Prayuth.
Beliau berikrar mencari pengebom itu secepat mungkin.
Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan tahu identiti suspek, Prayuth berkata: “Kami sedang menyiasat. Bom itu baru meletup -kenapa anda tanya sekarang? Anda faham maksud sedang menyiasat?”
Letupan itu berlaku kira-kira jam 7 petang waktu Thailand di persimpangan yang menjadi tumpuan pelancong, pekerja mahu pulang ke rumah dan orang ramai yang membeli belah.
“Ini kejadian terburuk di Thailand. Kali ini mereka mensasar nyawa orang tidak bersalah. Mereka mahu musnahkan ekonomi kami, pelancongan kami,” kata Prayuth.
Setakat ini kerajaan Malaysia mengesahkan dua rakyat Malaysia turut terbunuh dalam kejadian itu.
Jurucakap Kedutaan Malaysia di Bangkok berkata, dua rakyat Malaysia yang disahkan terbunuh ialah seorang wanita Lim Saw Gek dan anak lelakinya Neoh Jai Jun yang bercuti di negara berkenaan.
Menurutnya, pihak kedutaan menerima pengesahan daripada polis Thailand yang mengesahkan identiti mereka berdasarkan pasport dan MyKad mangsa.
"Dua lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Tan Rui Hun yang masih dirawat di Hospital Hua Chiew dan seorang lagi mangsa Tan Kim Siok sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital yang sama.
Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwan, berkata belum ada sesiapa mengaku melakukan serangan itu dan pihaknya tiada maklumat awal mengenai kemungkinan serangan seperti itu.
Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung , berkata bom diperbuat menggunakan paip dibalut kain seberat kira-kira tiga kilogram. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 2:57 PM


Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha (gambar kecil) mengesahkan polis mengesan beberapa suspek kejadian letupan bom yang membunuh 22 orang termasuk dua rakyat Malaysia malam tadi. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71254#sthash.8cQ1zTGn.dpuf

Buru lelaki bawa beg galas

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand sudah mengenalpasti suspek yang dipercayai melakukan serangan bom yang membunuh 22 orang di Bangkok malam tadi berdasarkan rakaman CCTV.
Petang tadi, polis Thailand menyiarkan gambar suspek, seorang lelaki membawa beg galas daripada rakaman berkenaan.
Sebelum kejadian lelaki itu dilihat membawa beg berkenaan serta beg plastik beli-belah tetapi selepas itu dia dilihat tanpa beg galas.
Jurucakap Polis Diraja Thailand, Prawuth Thawornsiri, berkata lelaki itu secara rasmi menjadi suspek melakukan serangan.
“Dia bergerak seorang diri, tiba di tempat kejadian iaitu persimpangan Ratchaprasong dan kuil dengan tuk-tuk. Dia kemudian meninggalkan tempat kejadian dengan teksi motosikal,” katanya. - Khaosod English
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 4:41 PM

Gambar daripada rakaman CCTV yang disiarkan polis Thailand menunjukkan lelaki yang disyaki melakukan serangan bom di Bangkok malam tadi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71266#sthash.co7PpLmY.dpuf

Maut dihempap jengkaut

Temerloh: Pemandu jengkaut terbunuh selepas kenderaan berat dipandunya itu terbalik dan terjunam ke dalam sungai akibat mendapan tanah di Kampung Sungai Dingin, Mentakab, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian 9.50 pagi itu, mangsa, Azemi Mohamad, 53, dari Kampung Paya Luas, dekat sini, sedang melakukan kerja menyelenggara tebing sungai.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, kejadian itu disedari penduduk yang kebetulan berada di seberang sungai.
"Lelaki berusia 50 tahun itu kemudian memeriksa dengan teliti sebelum mendapati jengkaut terbalik dalam sungai lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui jengkaut berkenaan termasuk mangsa yang tersepit berada di tepi sungai.
Katanya, lapan anggota penyelamat turun ke tebing sungai dengan ketinggian kira-kira 10 meter untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam jengkaut berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 5:19 PM


ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang dihempap jengkaut. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71274#sthash.6j4GJ8Pw.dpuf

Percutian bertukar jadi tragedi



Gambar menunjukkan Saw Gek (kiri), Yee Ling (dua dari kiri) memangku Jing Xuan, Tze Siang (tiga dari kiri), pemandu pelancong warga Thailand, Hock Guan (tiga dari kanan), Jai Jun (dua dari kanan) dan Su See (kanan) makan di sebuah restoran beberapa jam sebelum letupan bom berlaku berdekatan Kuil Erawan di Bangkok, Thailand pada malam kelmarin.


SEBERANG PERAI – Percutian tujuh sekeluarga dari Butterworth di sini bertukar menjadi tragedi apabila empat daripada mereka terkorban dalam letupan bom dekat Kuil Erawan, Bangkok malam kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, bom yang dipasang pada sebuah motosikal meletup menyebabkan 20 orang terbunuh dan 123 lagi cedera di satu persimpangan utama di bandar raya tersebut.
Empat warga Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden itu ialah Lim Saw Gek, 49; anak lelakinya, Neoh Jai Jun, 20; menantunya, Lee Tze Siang, 35 dan cucunya, Lee Jing Xuan, 4.
Difahamkan seorang mangsa masih lagi hilang iaitu kakak Saw Gek, Lim Su See, 52, yang dipercayai menetap di Singapura.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3jD6z7IMF 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat Trigana Air hancur berkecai


AFP - SEORANG anggota penyelamat berada di kawasan nahas pesawat Trigana Air di pergunungan Oksibil, Papua semalam.


JAYAPURA – Sebuah pesawat yang terhempas di timur Indonesia ditemui hancur semalam dengan mayat semua 54 penumpang dan kru bertaburan di sekitar bangkai penerbangan berkenaan di sebuah kawasan yang terletak jauh di hutan.
Satu pasukan mengandungi 100 anggota penyelamat termasuk polis dan tentera akhirnya tiba di nahas pesawat milik Trigana Air itu yang terhempas dalam cuaca buruk Ahad lalu selepas menangguhkan pencarian pada hari sebelumnya ekoran muka bumi yang bergunung-ganang dan cuaca buruk.
“Pesawat itu terhempas, ia musnah sama sekali,” kata ketua operasi mencari dan menyelamat, Bambang Soelistyo berhubung nahas kapal terbang ATR42-300 tersebut.
Menurut Bambang, pasukan penyelamat tiba di lokasi nahas dalam wilayah Papua pada pukul 9.30 pagi (waktu tempatan).
“Semuanya berkecai, manakala sebahagian pesawat itu hangus,” tambahnya.
Gambar di lokasi nahas menunjukkan sebuah kawasan rata yang hangus terbakar di tengah rimba dengan serpihan ber­taburan merata-rata.
Pesawat dua kipas itu membawa 49 penumpang dan lima anak kapal, manakala beberapa pegawai berkata, semua mayat ditemui bersama serpihan dan bangkai pesawat.
“Sebahagian mangsa sempurna dan sebilangan lagi rentung,” kata mereka.
Dua kotak hitam pesawat mengandungi perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit juga ditemui, kata kementerian pengangkutan.
Menurut agensi mencari dan menyelamat Indonesia, pihaknya akan memindahkan semua mayat mangsa menggunakan helikopter memandangkan keadaan muka bumi yang sukar.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa menyatakan, tiada laporan setakat semalam berhubung nasib wang tunai 6.5 bilion rupiah (RM1.93 juta) yang diangkut pesawat berkenaan.
Dana tersebut bertujuan untuk diagihkan kepada penduduk miskin di Papua.
Syarikat penerbangan Trigana Air dilarang daripada terbang di ruang angkasa Kesatuan Eropah setelah mengalami beberapa kemalangan serius. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3jD6O1ctT 
Hakcipta terpelihara 

Indonesia tenggelamkan 34 bot asing



AFP - SEBUAH bot nelayan Malaysia yang dirampas pihak berkuasa Indonesia diletupkan di perairan Pulau Sumatra semalam.


JAKARTA – Indonesia semalam menenggelamkan 34 bot asing yang dirampas, kata pemerintah dalam usaha terbaharu bagi mengekang penangkapan ikan secara haram di perairan kepulauan itu.
Bot kosong dari Thailand, Vietnam, Filipina dan Malaysia ditenggelamkan sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-70 kelmarin dengan sambutan diadakan di seluruh negara.
Semua bot itu yang diletupkan atau ditenggelamkan di beberapa lokasi di kepulauan yang mengandungi lebih 17,000 pulau, dirampas kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.
Presiden Indonesia, Joko Widodo kini mengetuai kempen memerangi penangkapan ikan secara haram yang menurutnya, menyebabkan negara itu kerugian pendapatan berjumlah beberapa bilion dolar setiap tahun.
Sejumlah bot nelayan asing telah ditenggelamkan sejak beberapa bulan lalu.
“Kita perlu menunjukkan bahawa kita boleh menang di laut kerana laut merupakan masa depan negara kita,” kata Menteri Perikanan Susi Pud­jiastuti.
Sementara itu, pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Marin, Asep Burhanuddin berkata, lima bot itu diletupkan dengan dinamit, manakala bakinya ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3jD5yEUAJ 
Hakcipta terpelihara 

16 maut letupan gegar Bangkok


Insiden berkembar sasar pelancong asing

Beberapa buah motosikal rentung kesan daripada letupan kuat yang
Beberapa buah motosikal rentung kesan daripada letupan kuat yang berlaku di Persimpangan Ratchaprasong di tengah Bangkok, semalam. REUTERS
BANGKOK 17 Ogos - Sekurang-kurangnya 16 terbunuh, manakala 78 yang lain cedera apabila serangan berkembar berlaku di luar sebuah kuil Hindu popular serta persimpangan terkenal di ibu negara hari ini.
Menurut polis, dalam kejadian pertama, sebutir bom yang diikat pada tiang elektrik di luar Kuil Erawan meletup, diikuti letupan kedua di Persimpangan Ratchaprasong berpunca daripada bom yang disembunyikan pada sebuah motosikal.
Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwong berkata, letupan itu menyasarkan rakyat asing.
“Bahan letupan yang digunakan dikenal pasti sebagai TNT.
“Polis juga mengepung lokasi kejadian selepas menemukan objek mencurigakan dipercayai bahan letupan,” jelasnya.
Antara yang maut adalah pelancong dari China, Filipina dan Taiwan.
Kejadian itu mencetuskan huru-hara dan cebisan mayat dikatakan bertaburan di lokasi insiden.
Seorang wakil BBC memberitahu, kuil tersebut terletak di tengah pusat bandar dan bersebelahan dengan sebuah hotel lima bintang.
Beberapa buah motosikal yang berada di jalan utama juga terbakar akibat letupan kuat itu.
Persimpangan Ratchprasong sebelum ini sering menjadi lokasi bantahan antikerajaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/16-maut-letupan-gegar-bangkok-1.125599#sthash.FbdGFhiI.dpuf

Perancis henti pencarian MH370 di Pulau Reunion


Gambar bertarikh 9 Ogos lalu merakamkan seorang anggota tentera
Gambar bertarikh 9 Ogos lalu merakamkan seorang anggota tentera Perancis wanita meninjau ke Lautan Hindi dari sebuah pesawat semasa misi mencari serpihan pesawat MH370 di Saint-Andre, Pulau Reunion. REUTERS
Saint-Andre, Perancis 18 Ogos – Perancis menghentikan kerja-kerja mencari rangka pesawat Malaysia Airlines, MH370 selepas 10 hari melancarkan operasi mencari melalui udara dan laut di sekitar perairan Pulau Reunion, setelah tidak menemui sebarang objek.
Pihak berkuasa Pulau Reunion memaklumkan, bagaimanapun pasukan mencari dan penyelamat akan terus berada dalam keadaan berwaspada.
Serpihan sayap pesawat yang dihanyutkan ombak ditemui pada 29 Julai lalu di Pulau Reunion, dan telah disahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai komponen milik pesawat Boeing 777 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapalnya pada 8 Mac tahun lalu.
Penemuan itu menimbulkan harapan akan membantu menyelesaikan misteri kehilangan MH370, mendorong penyiasat maritim untuk melancarkan operasi pencarian di kawasan permukaan lautan seluas 10,000 kilometer persegi dan di kawasan pesisiran di timur pulau itu.
Bagaimanapun, pencarian itu tidak membawa kepada sebarang penemuan yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370, kata wakil Perancis di Pulau Reunion, Dominique Sorain, dalam satu kenyataan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perancis-henti-pencarian-mh370-di-pulau-reunion-1.125994#sthash.WrWPDU4f.dpuf

Thailand buru suspek dalam CCTV


Imej daripada CCTV yang dikeluarkan Polis Diraja Thailand kelmarin,
Imej daripada CCTV yang dikeluarkan Polis Diraja Thailand kelmarin, memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek serangan di Kuil Erawan, tengah Bangkok, yang sedang diburu oleh pihak berkuasa negara itu. AP
BANGKOK 18 Ogos - Pihak berkuasa Thailand sedang memburu seorang ‘suspek’ yang gambarnya dirakam pada kamera litar tertutup (CCTV), yang dilihat berada berhampiran lokasi kejadian letupan bom di tengah kota Bangkok, malam tadi yang meragut sebanyak 22 nyawa termasuk empat rakyat Malaysia.
“Hari ini, terdapat seorang suspek dilihat pada rakaman CCTV, namun gambarnya tidak jelas. Kami sedang memburu individu ini,’’ kata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha.
Prayuth percaya mesej daripada Facebook sejak kebelakangan ini yang memberi amaran akan bahaya di Bangkok sebelum insiden letupan itu berlaku, dibuat oleh ‘kumpulan antikerajaan’ di timur laut negara ini, yang merupakan kubu kuat pergerakan Baju Merah.
“Kami sedang memburu mereka, beberapa orang daripada mereka berada di Isaan, di timur laut Thailand,’’ katanya.
Sejak 2006, Bangkok kerap menyaksikan beberapa siri keganasan berdarah disertai dua insiden rampasan kuasa yang menyaksikan pihak tentera merampas kuasa daripada kerajaan sedia ada.
Namun, warga asing jarang menjadi mangsa keganasan yang berlaku di ibu negara ini.
Dalam insiden rampasan kuasa terbaharu pada tahun lalu, tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra selepas beberapa bulan demonstrasi jalanan dan ada kalanya bertukar ganas hingga mengakibatkan kematian dalam kalangan penunjuk perasaan.
Kebanyakan penyokong kumpulan Baju Merah merupakan rakyat luar bandar dan miskin terutamanya dari wilayah timur laut Thailand yang setia kepada Yingluck dan abangnya, Thaksin.
Pihak berkuasa menyalahkan Baju Merah ekoran beberapa siri letupan kecil di Bangkok pada awal tahun ini, dakwaan yang dinafikan oleh pergerakan tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/thailand-buru-suspek-dalam-cctv-1.126002#sthash.nbZm4xkH.dpuf

Firma kendalikan gudang 
di pelabuhan Tianjin tiada lesen


Wakil polis dan anggota Tentera Pembebasan China bertafakur di
Wakil polis dan anggota Tentera Pembebasan China bertafakur di lokasi letupan di Pelabuhan Tianjin, genap tujuh hari insiden itu berlaku di Tianjin, China, semalam. REUTERS
TIANJIN, China 18 Ogos – Pihak berkuasa China mengesahkan syarikat yang mengendalikan sebuah gudang yang meletup di Tianjin pada Rabu lalu, yang mengakibatkan lebih 100 orang terkorban, tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan bahan kimia berbahaya.
Agensi berita Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai syarikat yang tidak dikenali melaporkan, pemilik gudang itu, Tianjin Dongjiang Port Ruihai International Logistics tidak mempunyai sijil yang sah untuk mengendalikan barangan berbahaya antara Oktober 2014 dan Jun 2015, tetapi tetap mengendalikan bahan-bahan kimia berbahaya.
Satu kenyataan di laman web Pentadbiran Industri dan Perdagangan Negeri (SAIC) mengesahkan Ruihai Logistics tidak mempunyai lesen yang sah dalam tempoh tersebut.
Sebanyak 10 orang termasuk Ketua Ruihai, Yu Xuewei dan Timbalannya, Dong Shexuan ditahan pada Khamis lalu, lapor akhbar rasmi People’s Daily di dalam mikroblognya, Weibo.
Ruihai Logistics juga didapati melanggar piawaian pembungkusan semasa pemeriksaan keselamatan dua tahun lalu, jelas biro keselamatan China.
Syarikat itu juga disenaraikan sebagai sebuah syarikat yang beroperasi secara tidak normal oleh Suruhanjaya Pengawalan Kualiti dan Pasaran Zon Perdagangan Bebas Tianjin pada Julai lalu kerana tidak mematuhi garis panduan dalam laporan tahunannya bagi 2013 dan 2014, menurut rekod firma itu kepada SAIC.
Nombor telefon yang disenaraikan di dalam laman web firma itu telah dipotong sejak Khamis lalu dan e-mel kepada syarikat itu juga tidak berjawab.
Pihak berkuasa China mengesahkan terdapat kira-kira 700 tan natrium siniada (cyanide) dalam gudang yang meletup itu.
Pendakwa raya China, telah menjalankan siasatan ke atas letupan itu.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Tianjin, He Shushan, mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian itu akan menerima hukuman yang setimpal.
Sementara itu, Setiausaha Parti Komunis daerah Binhai Tianjin, Zong Guoying berkata, sebuah pusat perkhidmatan telah dibuka untuk penduduk yang rumah mereka rosak dalam letupan itu.
“Dalam proses membaiki rumah-rumah penduduk yang rosak dan menyelesaikan tuntutan, pihak berkuasa daerah telah mengatur pemberian bantuan sementara untuk mereka,” katanya.
Beratus-ratus orang yang tinggal berhampiran lokasi kejadian menuntut kerajaan membayar pampasan atau membeli mereka kediaman yang baharu.
Sementara itu, syarikat pengeluar kereta sedang membuat penilaian terhadap kerugian yang mereka alami ekoran kerosakan kereta mereka di pelabuhan itu yang merupakan pelabuhan yang mengendalikan kemasukan kereta import terbesar di China.
Volkswagen AG VOWG-P.DE berkata, kira-kira 2,700 kereta importnya rosak dalam letupan itu.
Dalam kejadian Rabu lalu, dua letupan kuat berlaku di pelabuhan Tianjin, di timur laut China, pelabuhan ke-10 paling sibuk di dunia menyebabkan 114 orang terkorban dan lebih 700 yang lain cedera serta 70 yang lain termasuk anggota bomba masih hilang.
Kejadian itu juga menyebabkan beribu-ribu penduduk sekitar terpaksa dipindahkan ekoran pencemaran toksik kimia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/firma-kendalikan-gudang-8232-di-pelabuhan-tianjin-tiada-lesen-1.125976#sthash.XNUWJ8vc.dpuf