Search This Blog

Monday, August 17, 2015

Tujuh Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Pukul Rakan Sekolah


Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 7:09 PM
- Gambar hiasan

KEMAMAN: Seramai tujuh orang remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu yang tersebar luas di laman sosial semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata kesemua pelajar yang berusia 14 tahun itu diberkas antara pukul 12.20 hingga 12.50 pagi tadi di sekitar Kuala Terengganu.

Katanya susulan kejadian Khamis lalu mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan mengalami kesan lebam dan lemah anggota badan dan gagal hadir ke sekolah.

"Video (berdurasi 1 minit 45 saat) telah tersebar melalui group whatsapp sebelum tersebar luas ke laman Youtube dan Facebook," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin.

Menurutnya ekoran penyebaran video tersebut bapa mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Beliau berkata siasatan lanjut dan motif sebenar kejadian masih disiasat dan kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pesawat Terhempas Bawa Wang Tunai Hampir AS$500,000


Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 8:09 PM

JAKARTA: Pesawat penumpang Indonesia dengan 54 penumpang yang terhempas di wilayah Papua telah membawa wang tunai bernilai kira-kira AS$470,000 untuk kampung-kampung terpencil, menurut jurucakap, Isnin.
Pesawat Trigana Air Service ATR 42-300 terhempas pada Ahad, kejadian terbaru dalam rentetan bencana penerbangan di kepulauan Asia Tenggara.

Terdapat 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan bayi serta lima anak kapal dalam penerbangan jarak dekat dari Lapangan Terbang Sentani  di Jayapura.

Semua yang berada di dalam pesawat itu adalah warga Indonesia, kata pegawai rasmi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas).

Pegawai-pegawai syarikat penerbangan bagaimanapun tidak bersedia untuk menjawab soalan daripada Reuters.

Tiada syor bahawa sejumlah wang yang besar dibawa dalam kapal terbang dikaitkan dengan kemalangan itu.

"Ada empat orang yang membawa wang itu, 6.5 bilion rupiah ($471,500)," kata jurucakap PT Pos Abu Sofjan, sambil menambah bahawa ia adalah sebahagian daripada program bantuan rasmi untuk golongan miskin dan bertujuan untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

Beliau berkata infrastruktur yang teruk di wilayah timur Indonesia menunjukkan bantuan wang sering diterbangkan melalui udara.

Sebuah helikopter Super Puma terhempas di kawasan yang sama tahun lepas, kata Sito, operator komunikasi Basarnas di Jayapura.

"Cuaca di sana berubah setiap masa. Pada waktu pagi ia jelas dan panas dan kemudian tiba-tiba hujan turun," kata Sito.

ATR 42-300 terhempas dalam penerbangan pertamanya 27 tahun lalu, menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan.

Trigana Air Service mempunyai 14 pesawat armada, dengan purata usia 26.6 tahun, menurut pangkalan data airfleets.com.

Trigana berada dalam senarai pengangkut penumpang yang diharamkan Kesatuan Eropah sejak 2007 kerana keselamatan atau kebimbangan kawal selia.

Ia mempunyai 14 insiden serius sejak mula beroperasi pada tahun 1991, menurut pangkalan data dalam talian Penerbangan Rangkaian Keselamatan.

Tidak termasuk kemalangan yang terbaru, 10 pesawat telah dihapuskan.

Banduan Mati Selepas Dua Hari Koma Dibelasah Rakan Sepenjara


Diterbitkan: Ahad, 16 Ogos 2015 5:57 PM

KUANTAN: Seorang banduan maut selepas dua hari berada dalam keadaan koma akibat dibelasah oleh seorang banduan lain dalam kejadian di Penjara Penor dekat sini pada malam Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian antara pukul 9 hingga 10 malam itu, mangsa Chen Fan Khion, 46, dari Taman Tas di sini, dipercayai telah berselisih faham dengan seorang lagi banduan berusia 50 tahun.
"Mangsa kemudian ditumbuk berkali-kali sehingga tidak berdaya dan beberapa warden penjara yang bergegas ke tempat kejadian menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pagi semalam selepas dua hari koma akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan. 
Sementara itu, katanya polis sudah menahan suspek yang dipercayai membelasah mangsa malam semalam untuk siasatan lanjut.
"Kita sedang mengenal pasti punca pergaduhan itu dan suspek kini ditahan reman dua minggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. -- Bernama

Polis Terima Tiga Laporan Berhubung Rumah Bekas Pegawai Kanan Polis Diceroboh


Diterbitkan: Ahad, 16 Ogos 2015 7:58 PM

SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima tiga laporan berhubung kejadian dua remaja sekolah didakwa menceroboh sebuah rumah dipercayai milik seorang bekas pegawai kanan polis bergelar 'Datuk' seperti yang disebarkan menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata laporan itu diterima pihaknya daripada 'Datuk' terbabit manakala dua lagi daripada dua remaja berkenaan yang dikatakan berusia 17 tahun, pada malam Sabtu. 

"Polis menahan dua remaja berkenaan dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen448 Kanun Keseksaan (menceroboh), Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. 

"Kedua-dua remaja berkenaan, bagaimanapun telah dibebaskan selepas disoalsiasat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Shafien, bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci kes tersebut yang didakwa berlaku di Seksyen 7 di sini, pada Jumaat lepas.

Katanya, beliau akan menjelaskan berkaitan kes itu pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Isnin.

Berdasarkan maklumat yang disebarkan menerusi media sosial, kes itu dikatakan berlaku apabila dua remaja terbabit didakwa memasuki kawasan rumah itu untuk berjumpa seorang anak bekas pegawai kanan polis terbabit untuk mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, kedua-dua remaja terbabit didakwa telah dituduh menceroboh rumah berkenaan, selain mereka turut mendakwa bekas pegawai kanan polis itu telah mengacu pistol selain melepaskan satu das tembakan ke udara.

Dua Maut, Seorang Cedera Kereta Rempuh Tiang Elektrik


Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 11:35 AM

CYBERJAYA: Dua wanita maut dan seorang lelaki cedera selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka merempuh tiang elektrik di Jalan Kajang-Puchong di sini, Ahad malam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.20 malam Ahad.
"Kesemua mangsa dalam perjalanan menghala ke Dengkil apabila kereta Myvi yang dipandu mereka hilang kawalan lalu merempuh sebuah tiang.
"Enam anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan berhubung insiden," katanya.

Serpihan Dipercayai Milik Pesawat Trigana Air Dikesan Di Papua


Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 11:34 AM

JAKARTA: Pesawat mencari dan menyelamat Indonesia pada Isnin mengesan serpihan yang dipercayai pesawat Trigana Air yang terhempas di wilayah Papua, kata ketua polis tempatan, Yunus Wally.
Bercakap kepada agensi berita Antara, serpihan itu dipercayai dari pesawat itu dikesan di kawasan hutan tebal Gunung Bintang.
"Benar, sebuah pesawat AMA (Persatuan Misi Penerbangan) dilaporkan mengesan serpihan pesawat di sekitar air terjun Oksop," kata Wally.
Pesawat Trigana Air jenis ATR 42-300 yang membawa 54 orang terhempas pada Ahad. - Reuters

Remaja dirogol, ditarik menaiki motosikal


Gambar hiasan
SUNGAI PETANI – Seorang remaja berdepan detik cemas apabila dicabul dan dirogol sekumpulan remaja dalam kejadian di Bandar Amanjaya, 12 Ogos lalu.

Mangsa yang dipercayai berusia 17 tahun mendakwa ditarik menaiki motosikal bersama empat rakan perempuan dengan menggunakan dua motosikal dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam.

Sampai ke satu lokasi, mangsa cuba untuk terjun dari motosikal terbabit, namun dipaksa naik semula sehingga dibawa ke suatu kawasan belukar dekat Amanjaya.

Dia dikatakan ditumbuk dan ditendang sebelum seorang rakan wanita menghubungi rakan remaja lelaki yang kemudian tiba ke lokasi bersama empat orang kesemuanya.

Mangsa yang ditutup matanya cuba melawan dan bergelut, namun dicabul dan dirogol sebelum diugut gambarnya akan disebarkan di laman sosial sekiranya mendedahkan kejadian itu.

Selepas kejadian, dia dihantar ke rumahnya semula dan menceritakan kejadian kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Muhammad berkata, polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan pengadu.

Menurutnya, setakat ini empat remaja lelaki dan empat remaja perempuan ditahan reman sehingga 18 Ogos 2015 bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek berusia lingkungan antara 16 hingga 18 tahun dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera, Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Mayat peniaga minyak wangi Pakistan ditemui dalam semak

AHAD, 16 OGOS 2015 @ 8:41 PM

Oleh Zuraidah Mohamed zmohamed@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Mayat seorang peniaga minyak wangi warga Pakistan ditemui orang awam dengan kesan tetakan pada belakang leher serta luka di muka di kawasan semak berhampiran Kampung Tengkorak, Permas Jaya, di sini, pagi semalam. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata mangsa yang dikenali sebagai Najeed Muhammad, 40, berdasarkan pasport ditemui dalam bajunya, ditemui kira-kira jam 8.15 pagi oleh orang awam. Katanya, polis yang pergi ke lokasi kejadian mendapati mayat lelaki dalam keadaan tertiarap di semak, manakala kakinya di atas jalan raya. "Terdapat kesan tetakan di belakang leher mayat mangsa, selain beberapa lagi kesan luka di muka. Pasport antarabangsa Pakistan ditemui pada mayat dan mangsa didapati memasuki negara ini pada 25 Julai lalu," katanya. Sulaiman berkata, Kedutaan Pakistan sudah dimaklumkan berhubung penemuan mayat rakyat negara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. "Satu pasukan khas siasatan juga sudah ditubuhkan bagi mengesan suspek yang terbabit, selain mengenal pasti motif pembunuhan. Polis meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/75236

Enam perompak kedai serbaneka dicekup


Enam lelaki yang menyamun kedai serbaneka 24 jam di sebuah pusat membeli-belah di bandar ini, awal pagi kelmarin, berjaya diberkas polis susulan pendedahan dibuat seorang daripada mereka yang terlebih dulu dicekup selepas gerakan mengesan penjenayah terbabit dilancarkan.

Semua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun terbabit ditahan secara berasingan di sekitar bandar ini antara jam 10.30 pagi hingga 5 petang, kelmarin.

Susulan penahanan suspek, polis berjaya menemui dan merampas tiga motosikal, sebilah pisau disyaki digunakan untuk mengugut mangsa, sejumlah rokok yang dicuri, topi keledar dan pakaian digunakan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja kedai serbaneka itu pada jam 4.28 pagi yang memaklumkan premis berkenaan disamun enam lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan pisau.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 4.15 pagi apabila mangsa yang juga lelaki berusia 18 tahun bersama seorang rakan sekerja warga Nepal berada di dalam premis berkenaan sebelum didatangi lima lelaki memakai topi keledar dan seorang bersenjatakan pisau.

“Seorang lagi suspek menunggu di luar memantau keadaan manakala yang lain meluru masuk ke dalam kedai sebelum memaksa mangsa mengeluarkan wang sambil mengacukan pisau.

“Suspek kemudian menggeledah sebelum melarikan telefon dan beg milik mangsa, sejumlah rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM30 serta bergegas melarikan diri menaiki tiga motosikal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70729#sthash.qy8aFZZS.dpuf

Polis gagalkan rancangan serangan bom di Solo


Jakarta: Polis Indonesia berjaya menggagalkan satu rancangan serangan bom ketika sambutan hari kemerdekaan negara itu pada Isnin ini dengan tertangkapnya tiga militan, kata polis semalam.

Tiga militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Negara Islam (IS) itu merancang menyerang gereja dan balai polis di Solo ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-70 Indonesia pada Isnin ini.

Ketua polis Solo, Nur Ali berkata, semua suspek berkenaan ditahan oleh anggota skuad antipengganas polis Indonesia di bandar itu pada Rabu lalu.

Solo adalah bandar kelahiran Presiden Joko Widodo, tetapi tidak dapat dipastikan sekiranya beliau menyambut ulang tahun kemerdekaan di bandar itu.

“Hasil kerja keras polis dan bantuan orang ramai, pihak berkuasa menggagalkan cubaan serangan pengganas ini,” katanya.

Menurutnya, tiga suspek yang ditahan adalah seorang pembuat bom berusia 29 tahun dan dua lelaki yang membantu membancuh bahan letupan serta meninjau sasaran yang sesuai.

Bagaimanapun, Nur tidak mendedahkan identiti kesemua suspek.

“Semua lelaki ini mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS di Syria,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:12 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70553#sthash.w7l7yJsq.dpuf

Bebas akhirnya

Jakarta: Dua guru termasuk seorang warga Kanada yang dipenjara 10 tahun kerana didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap anak muridnya akhirnya dibebaskan semalam selepas Mahkamah Tinggi Jakarta membatalkan sabitan terhadap mereka.
Neil Bantleman, 45, dan Ferdinant Tjiong disambut ahli keluarga dan rakan mereka dengan linangan air mata kegembiraan ketika keluar dari penjara Cipinang di timur Jakarta.
Bantleman yang berasal dari Kanada dan Ferdinant dihukum penjara pada April lalu oleh Mahkamah Daerah Jakarta Selatan kerana melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak.
Kedua-dua mereka tetap mengaku tidak bersalah dan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Jakarta.
Mereka turut disokong guru dan pengetua Sekolah Antarabangsa Jakarta yang kini dikenali sebagai Sekolah Antara Budaya Jakarta.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana mempercayai saya.
“Kami sangat gembira kerana kebenaran akhirnya muncul,” kata Bantleman sambil memeluk isterinya.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan serangan seksual terhadap pelajar tadika sekolah elit itu yang kebanyakannya anak diplomat dan pekerja asing.
Peguam mereka, Hotman Paris Hutapea berkata, tuduhan terhadap kedua-dua guru berkenaan bermotifkan wang.
Ibu kepada mangsa menyaman sekolah berkenaan kerana cuai dan menuntut ganti rugi berjumlah AS125 juta (RM509.4 juta).
Bagaimanapun, mahkamah menolak saman itu baru-baru ini kerana kekurangan bukti.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:19 AM


BANTLEMAN (kanan) dan Ferdinant (kiri) mengangkat tangan peguam mereka, Hotman selepas dibebaskan dari penjara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70575#sthash.ZrHv1tXV.dpuf

Pesawat terhempas di pergunungan

Jakarta: pesawat turboprop ATR42-300 membawa 54 penumpang termasuk lima anak kapal milik Trigana Air Service Indonesia disahkan terhempas di kawasan pergunungan Papua.
“Maklumat terkini ialah pesawat yang terputus hubungan itu ditemui di Kem 3, daerah Ok Bape di pergunungan Bintang, Penduduk memberitahu pesawat itu terhempas di Gunung Tangok,” kata Ketua Pengarah Pengangkutan Indonesia, Suprasetyo.
Setakat ini belum dapat dipastikan nasib 49 penumpang dan lima anak kapal dalam pesawat itu.
Pesawat itu hilang dari radar petang tadi, ketika penerbangan dari ibu kota Papua, Jayapura, ke bandar Oksibil di negara itu. Ia terputus hubungan selepas 33 minit berlepas untuk penerbangan yang dijadualkan 42 minit.
Pengarah Operasi Trigana Air, Beni Sumaryanto, berkata selepas 30 minit pesawat itu disahkan hilang, pihaknya menghantar pesawat mengikut laluan yang sama tetapi tidak menemui apa-apa tanda.
Pesawat buatan Perancis dan Itali itu membawa 44 penumpang dewasa, lima anak kapal dan lima kanak-kanak serta bayi.
Menurut pangkalan data Aviation Safety Network, pesawat ATR 42-300 yang hilang itu sudah berusia 27 tahun dan Trigana Air Service berada dalam senarai hitam EU sejak 2007. Syarikat penerbangan yang berada dalam senarai itu dilarang beroperasi di ruang udara Eropah sama ada kerana tahap keselamatan tidak menepati piawaian atau sebab lain.
Menurut airfleets.com, Trigana Air Service mempunyai 14 pesawat, termasuk 10 ATR dan empat Boeing 737 Classics yang purata usia 26.6 tahun.
Menurut Aviation Safety Network, sejak beroperasi pada 1991, Trigana mempunyai 14 kejadian serius tidka termasuk yang terbaru ini. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 11:50 PM


Gambar Fail pesawat Trigana berlepas dari Tengah Borneo, Indonesia (Fotp EFE/EPA/ Reuters) manakala gambar kecil, anggota keluarga penumpang pesawat berkumpul di Lapangan Terbang Jayapura, Papua, menunggu berita (gambar AFP)
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70786#sthash.Ks2bRrWk.dpuf

Pesawat Indonesia bawa 54 orang hilang

Jakarta: Sebuah pesawat turboprop ATR42-300 membawa 54 penumpang termasuk lima anak kapal milik Trigana Air Service Indonesia hilang di timur Papua.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Julius Barata, berkata pesawat itu hilang dari radar petang tadi, ketika penerbangan dari ibu kota Papua, Jayapura, ke bandar Oksibil di negara itu, membawa 49 penumpang dan lima anak kapal.
Menurutnya, pesawat berkenaan terputus semua hubungan selepas 33 minit berlepas untuk penerbangan yang dijadualkan 42 minit. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 6:31 PM


Model pesawat turboprop ATR42-300 milik Trigana Air Service Indonesia yang hilang di Papua membawa 49 penumpang dan lima anak kapal. - Foto - planespotters.net
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70766#sthash.Nf9HmBsx.dpuf

Tak serik masuk penjara

Alabama: Dua minggu selepas dibebaskan, seorang wanita kembali dimasukkan ke penjara di sini setelah ditangkap ketika cuba menyelinap masuk ke penjara berkenaan.
Talisha Gwen McCann, 42, ditahan atas pelbagai tuduhan jenayah, termasuk memiliki peralatan untuk merompak dan bahan kawalan selepas dia dirakam oleh kamera pengawas menggunakan pemotong besi untuk memasuki kawasan penjara menerusi pagar, minggu lalu.
Syerif Franklin County Shannon Oliver memberitahu stesen televisyen NBC, Talisha cuba memasuki penjara itu untuk menghantar dadah dan pelbagai barangan terlarang kepada banduan lain.
Pegawai menemui beg berisi tembakau, telefon bimbit dan sejumlah kecil ‘suboxone’ pada wanita itu ketika menahannya.
Suboxone ialah dadah yang digunakan untuk membantu penagih heroin mengurangkan ketagihan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:42 AM


TALISHA Gwen McCann.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70805#sthash.B9T8uaQx.dpuf

Kursus berbogel

Kuala Lumpur: Empat lelaki yang juga kakitangan kerajaan memberi alasan hanya mendapatkan khidmat urut tradisional bagi menghilangkan kepenatan ketika mengambil kesempatan berkursus di ibu kota untuk mengunjungi pusat urut, di sini, semalam.
Namun, alasan yang diberi tidak masuk akal apabila semua mereka yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan dalam keadaan berbogel bersama wanita tukang urut.
Operasi dijalankan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sekitar Jalan Klang Lama di sini, bermula jam 12 tengah malam itu bagi membanteras kegiatan tidak bermoral.
Ketua Penguat Kuasa JAWI Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, siasatan dijalankan mendapati empat penjawat awam terbabit datang ke Kuala Lumpur untuk berkursus selama tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:50 AM


PEKERJA warga asing melindungi wajahnya daripada dirakam ketika serbuan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70809#sthash.1gHHpb27.dpuf

Cubaan letupkan rumah gagal


Dipercayai dilakukan seorang lelaki pesakit mental

SEBUAH rumah menjadi tumpuan anggota bomba yang menjalankan siasatan
SEBUAH rumah menjadi tumpuan anggota bomba yang menjalankan siasatan setelah mendapati terdapat sambungan hos gas ke mesin basuh dipercayai untuk meletupkan rumah berkenaan di Taman Sinar Indah dekat Sungai Petani, semalam.
SUNGAI PETANI 15 Ogos - Cubaan seorang lelaki untuk meletupkan sebuah rumah di Taman Sinar Indah dekat sini semalam gagal apabila kejadian tersebut disedari penduduk yang menghidu kebocoran gas sebelum menghubungi bomba.
Difahamkan kerja-kerja memasang sambungan hos gas di dalam rumah yang disalurkan ke dalam mesin basuh untuk meletupkan rumah berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki pesakit mental yang tinggal di kawasan berkenaan.
Komander Operasi Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Rosdi Ismail berkata, anggotanya bergegas ke lokasi berkenaan setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai perkara itu.
“Hampir 10 anggota bomba bergegas ke situ setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai kebocoran gas di sebuah rumah sewa di situ,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.40 malam dan kemudian tiba di lokasi tersebut pukul 7.47 malam.
“Bagaimanapun, sebaik sahaja anggota bomba tiba di tempat kejadian, didapati tiada kebocoran gas di rumah tersebut, sebaliknya mengesan dua tong gas dengan sambungan hos gas di dalam rumah yang disalurkan ke dalam mesin basuh di luar rumah, dipercayai bertujuan menyebabkan berlakunya letupan,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba segera menjalankan siasatan dan mendapati rumah itu hanya didiami oleh seorang penyewa.
“Semasa tiba, penghuni tidak berada dalam rumah itu. Anggota bomba kita telah mematikan punca gas dan selesai pada pukul 8.57 malam,” katanya.
Rosli berkata, kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/cubaan-letupkan-rumah-gagal-1.124828#sthash.zcLlx9LV.dpuf

Penggunaan dadah sintetik meningkat


Sindiket sasar penagih remaja

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Meskipun banyak operasi yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa, namun penyalahgunaan dadah jenis sintetik seperti syabu, ekstasi dan pil kuda semakin meningkat terutama dalam kalangan remaja.
 Suhaimi Abdullah
Perkara itu berlaku berikutan terdapat peningkatan jumlah sindiket pengedaran dadah yang kini aktif mencari pengedar dan penagih baharu termasuk dalam kalangan pelajar sekolah untuk meneruskan perniagaan mereka.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Suhaimi Abdullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, seramai 9,854 orang penagih ditahan sejak Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 7,885 orang pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, da­­ripada jumlah ter­sebut, penggunaan da­dah sintetik jenis Methamphetamine semakin meningkat daripada 1,198 kes sejak Januari hingga Mei tahun lalu kepada 2,238 kes tahun ini dalam tempoh yang sama.
“Situasi itu dikhua­tiri akan terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat kepada generasi muda berikutan dadah jenis sintetik ini lebih mudah diperoleh berbanding dadah tradisional seperti heroin serta ganja.
“Oleh itu kami (pihak berkuasa dan jabatan berkaitan) memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Suhaimi turut memberitahu, trend menggunakan dadah sintetik itu akan memberi kesan sangat dahsyat, termasuk gangguan emosi dan merosakkan sistem saraf pusat seperti otak serta saraf tunjang.
“Langkah pencegahan meliputi pembentukan moral dalam kalangan remaja harus dititik beratkan dan diberi perhatian serius.
“Pihak AADK sendiri selain mengadakan kempen turut terbabit dalam operasi dengan kerjasama pihak berkaitan dalam membuat pemantauan di lokasi-lokasi panas pengedaran dadah,” tegasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penggunaan-dadah-sintetik-meningkat-1.125191#sthash.VHf74MK5.dpuf

Jumpa janin kembar dalam tandas lelaki


JANIN ditemukan di dalam tandas lelaki Surau (Masjid Lama) Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, semalam. – Ihsan Pembaca
KUALA TERENGGANU 16 Ogos – Seorang remaja lelaki terkejut apabila menjumpai dua ketulan darah yang disyaki janin manusia sedang dihurungi semut dan lalat kira-kira pukul 3 petang di bahagian dalam pintu masuk tandas lelaki di Surau Al-Ikhlas (Masjid Lama), Durian Burung dekat sini.
Remaja tersebut, Ahmad Afkar Salleh, 18, berkata, ketika kejadian, dia baru selesai menggunakan tandas di surau berkenaan.
“Masa mula-mula masuk tandas itu, memang saya ada perasan ketulan itu tapi tak ambil kisah sangat.
“Tapi, apabila saya hendak keluar, saya nampak ada seekor ku­cing sedang menggonggong satu daripada ketulan tersebut sebelum meninggalkannya di luar pintu tandas.
“Saya amati ketulan itu dan syak sesuatu sebelum memanggil orang kampung untuk melihat ketulan tersebut. Kebetulan pula masa itu ada seorang jururawat dan dia sendiri yang sahkan ketulan itu ialah janin kembar tak seiras,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Surau berkenaan, Wan Khalid Ismail, 79, memberitahu, ini kejadian pertama yang membabitkan penemuan janin di surau berkenaan sejak beliau tinggal di kawasan itu lebih 40 tahun lalu.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang ramai sebelum setiausaha surau kami, Ahmad Amzad Hashim menghubungi polis untuk tindakan susulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut.
Katanya, ketika ini, punca kejadian dan usia sebenar janin tersebut masih disiasat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jumpa-janin-kembar-dalam-tandas-lelaki-1.125227#sthash.5OwlIRRR.dpuf

Tahanan bergari 
larikan kereta peronda



SUSPEK
SUSPEK
JOHOR BAHRU 16 Ogos – Biarpun dengan tangan bergari, seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki cuba menyamun seorang warga asing telah menyebabkan polis gempar apabila melarikan diri dengan merampas kereta peronda di Bandar Seri Alam, dekat sini pada pukul 9.03 malam tadi.
Polis kemudiannya me­lancarkan gerakan memburu suspek secara besar-besaran termasuk me­ngadakan sekatan jalan raya. Kereta peronda Proton Wira itu hanya ditemukan semula pukul 9.30 pagi ini di kawasan Kangkar Tebrau, kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Abdul Samad Salleh berkata, suspek yang berusia 22 tahun itu bagaimanapun telah dibawa oleh keluarga­nya untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 2 petang ini.
Menurutnya, lelaki tersebut sebelum itu ditahan dua anggota peronda polis terbabit kerana dipercayai cuba menyamun seorang lelaki warga Pakistan di kawasan kilang di Jalan Bukit 8, dekat sini pukul 9.03 malam.
Selepas ditahan, suspek yang telah digari dimasukkan ke dalam kereta pe­ronda, manakala ke­dua-dua anggota berkenaan berada di luar kenderaan itu untuk mengambil butiran mangsa.
“Tiba-tiba suspek yang berada dalam kereta peronda tersebut bertindak me­larikan ken­deraan itu. Suspek berasal dari Kampung Sayang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tahanan-bergari-8232-larikan-kereta-peronda-1.125236#sthash.yg4KHVtP.dpuf