Laman web Al Jazeera melaporkan, jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman berkata, Berlin mendapat ‘petunjuk’ bahawa serangan kimia digunakan pada minggu ini terhadap pasukan bersenjata Kurdis atau Peshmerga yang menyaksikan kebanyakan mangsa mengalami gangguan pernafasan.
AFP melaporkan, kementerian itu semalam berkata, pakar Iraq dan AS berada dalam perjalanan ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Seorang pegawai AS berkata, dakwaan itu adalah munasabah.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pegawai Kurdis mendakwa serangan kimia telah dilancarkan dan mencederakan sejumlah pejuangnya.
“Pasukan Peshmerga di Makhmur, 50 kilometer dari Arbil diserang dengan roket Kstyusha yang mengandungi gas klorin,’’ kata seorang pegawai kanan Kurdistan.
Pada Mac lalu, kerajaan Kurdis yang memegang kuasa autonomi di utara Iraq berkata, pihaknya mempunyai bukti IS menggunakan gas klorin dalam serangan bom kereta pada Januari lalu.
Pentagon semalam berkata, pihaknya mencari maklumat tambahan berhubung serangan terbaharu berkenaan.
“Kami sangat serius dalan melihat dan memantau semua dakwaan penggunaan senjata kimia,’’ katanya.
Menurut akhbar Wall Street Journal, pegawai Jerman berkata, sekurang-kurangnya 60 pejuang Kurdis dilaporkan mengalami kecederaan di tekak seperti serangan senjata kimia ketika bertempur dengan IS.