Search This Blog

Friday, August 14, 2015

Bayi 11 hari parah ditikam di kepala


12 OGOS 2015
Bayi 11 hari parah ditikam di kepala

Bayi 11 hari parah ditikam di kepala Bayi 11 hari yang ditikam diberi rawatan kecemasan.

HO CHI MINH - VIETNAM. Seorang bayi yang berusia 11 hari parah ditikam di kepala oleh seorang pesakit di sebuah hospital, 8 Ogos lepas.

Menurut laporan Mirror, pisau sepanjang 12 inci ditemui melekat di kepala bayi berkenaan yang sedang tidur bersama ibunya sebelum kejadian.

Ibu bayi tersebut, Vo Thi Hong Duyen, 32 mendakwa seorang pesakit yang berusia 51 tahun yang berkongsi bilik rawatan telah menyerang bayinya.

"Beliau lompat ke arah saya dan kami bergelut. Kemudian saya dengar bunyi jeritan," katanya dalam kejadian 3.40 pagi tersebut.

Pesakit tersebut, Thi Van didakwa menikam bayinya di kepala sebelum ditahan oleh pekerja hospital.

Bayi malang berkenaan dipindahkan ke Hospital Kanak-kanak Ho Chi Minh dimana doktor menjalankan pembedahan tiga jam untuk menyelamatkan nyawanya.

"Disebabkan kedudukan pisau tersebut yang berada dalam otak, bayi tersebut mungkin lumpuh, mengalami masalah pernafasan atau mati selepas pembedahan," kata penolong pengarah hospital, Dr Dao Trung Hieu.

Menurutnya, pisau tersebut ditikam di mata kiri bayi berkenaan.

"Apa yang paling membimbangkan adalah risiko selepas pembedahan seperti pendarahan atau infeksi berterusan kepada otak," akhiri beliau.

Thi Van kini berada dalam tahanan polis.

Remaja maut jatuh 'bungee jump'


12 OGOS 2015
jatuh

jatuh Gambar hiasan.

SANTANDER - SEPANYOL. Seorang remaja perempuan warga Belanda  maut selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti terjunan "bungee jump" di utara Sepanyol hari ini.

Remaja berusia 17 tahun itu terjatuh ketika membuat terjunan dari atas jambatan di jalan A8 di Cabezon de la Sal, Cantabria pada ketinggian 40 meter (130) kaki.

Jurucakap polis memberitahu media Belanda, kemalangan mengerikan itu disebabkan oleh kecuaian bagaimanapun tiada maklumat jelas mengenai punca insiden didedahkan.

Memetik laporan BBC, remaja tersebut membuat jenis terjunan yang dikenali sebagai "puenting", dimana kaki penerjun akan diikat sebelum membuat terjunan.

Jurucakap polis tempatan berkata, pihaknya tidak mengetahui mengenai aktiviti yang dilakukan di jambatan tersebut sambil menambah ia merupakan aktiviti yang berisiko tinggi.

Sementara itu, Datuk Bandar, Isabel Fernadez memberitahu TV Belanda, insiden ini adalah satu tragedi yang menyayat hati.

"Gadis tersebut masih muda dan pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa," katanya dipetik BBC.

Bulan lalu, seorang pelancong Britain Kleyo De Abreu turut maut selepas membuat terjunan dari jambatan di Granada, Selatan sepanyol.

Dia meninggal dunia selepas terhentak ke dinding jambatan semasa melakukan terjunan.

Korea Utara ancam serang White House


WARTAWAN SINAR HARIAN
13 OGOS 2015
Korea Utara ancam serang White House

Korea Utara ancam serang White House Gambar fail menunjukkan askar Korea Selatan menjalankan latihan Ulchi Freedom di Seoul pada 18 Ogos 2014.

PYONGYANG - KOREA UTARA. Pyongyang mengancam untuk menyerang Seoul dan White House sebagai 'serangan balas' latihan bersama yang dijalankan antara Korea Selatan-Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan AFP, latihan tahunan 'Ulchi Freedom' tersebut dianggap sebagai 'pengisytiharan perang', kata sebuah kenyataan dari Peaceful Reunification of Korea (CPRK), hari ini.

Latihan tersebut yang bermula pada Isnin lalu melibatkan berpuluh ribu askar Korea Selatan-AS dijalankan secara simulasi sebagai persediaan menghadapi pencerobohan Korea Utara.

Kementerian Luar Korea Utara menggesa latihan tersebut dihentikan dan mendakwa Washington perlu menanggung akibat jika latihan tersebut diteruskan.

"Pyongyang akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi provokasi nuklear oleh AS," kata jurucakap kementerian, dipetik dari laporan agensi KCNA.

Pyongyang mendakwa White House dan Blue House (pusat pemerintahan Korea Selatan) adalah berada dalam capaian teknologi ketenteraan yang canggih miliknya.

Mei lepas, Korea Utara mendakwa berjaya dalam melancarkan misil balistik dari kapal selamnya.

Teknologi tersebut, dikenali sebagai SLBM (submarine-launched ballistic missile) meningkatkan risiko perang nuklear ke luar rantau Korea Utara.

Seludup heroin guna drone dari Mexico ke AS


13 OGOS 2015
Seludup heroin guna drone dari Mexico ke AS

Seludup heroin guna drone dari Mexico ke AS Drone. - Gambar hiasan

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Dua lelaki mengaku bersalah mengunakan drone untuk menyeludup dadah jenis heroin dari Mexico ke Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa.

Jurucakap Penguatkuasa Imigresen dan Kastam San Diego, Lauren Mack berkata, ia adalah rampasan dadah yang pertama melibatkan drone di sempadan California dan Mexico.

Jonathan Elias, 18, dan Brayan Valle, 19, mengaku bersalah mengendalikan alatan itu di padang di Calexico, California pada April dan mengambil sebuah beg berisi 13kg heroin yang dihantar melintasi sempadan mengunakan drone.

Memetik laporan AP, Jonathan mengambil alih kawalan drone dari operator di Mexico selepas ia melintasi sempadan.

Pada bulan Januari lalu, pihak berkuasa Mexico berkata sebuah drone yang membawa lebih daripada 2.7kg dadah jenis methamphetamine terhempas di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Tijuana, berhampiran persimpangan sempadan  California dengan San Diego.

Dijemput ajal 12 hari selepas berkahwin


14 OGOS 2015
Dijemput ajal 12 hari selepas berkahwin

Dijemput ajal 12 hari selepas berkahwin Yin Yanrong

TIANJIN-CHINA. Letupan gudang di bandar pelabuhan Tianjin Utara China nyata mengemparkan negara tersebut dan masyarakat dunia.

Dilaporkan angka korban meningkat kepada 50 orang.

Menurut agensi berita tempatan, sehingga lewat malam Khamis, lebih 700 mangsa dirawat di hospital, dengan 71 daripadanya dalam keadaan kritikal.

Apa yang lebih menyayat hati menurut laporan ShanghaiNews, seorang anggota bomba yang bernama Yin Yanrong, 25, yang baru sahaja berkahwin 12 hari turut  terbunuh dalam kejadian itu.

Perkhabaran itu turut mencengkam hati keluarganya apabila dikhabarkan isterinya mengandung anak pertama.

Letupan dipercayai berpunca dari sebuah gudang milik Tianjin Dongjian Port Rui Hai International Logistics Company, sebuah syarikat yang menyimpan dan membekal bahan kimia berbahaya.

Pihak berkuasa telah menahan beberapa eksekutif syarikat untuk siasatan lanjut.

Greece hantar polis anti rusuhan ke Kos

Greece hantar polis anti rusuhan ke Kos

14 OGOS 2015

Greece hantar polis anti rusuhan ke Kos Berlaku situasi tegang semasa ratusan pendatang berbaris bagi melengkapkan proses pendaftaran di sebuah stadium bola sepak di Kos, kelmarin. Foto: AFP

KOS - GREECE. Greece menambah bilangan polis anti rusuhan di Pulau Kos selepas ketegangan semakin memuncak akibat kemasukan besar pendatang ke pulau peranginan tersebut.

Langkah itu menyusul selepas Datuk Bandar, Giorgos Kritis memberi amaran berlakunya pertumpahan darah sekiranya situasi di pulau yang dihuni 33,000 penduduk itu bertambah buruk.

Kritis berkata, ketika ini terdapat 7,000 pendatang sedang menunggu untuk memohon kertas imigresen.

"Dua unit atau 40 anggota polis telah tiba di Kos. Beberapa unit dari Pulau Aegean turut dihantar ke pulau berkenaan," kata jurucakap polis.

Kelmarin, polis terpaksa menggunakan belantan dan alat pemadam api bagi mengelakkan rempuhan apabila ratusan pendatang kebanyakannya dari Afghanistan dan Syria dipindahkan ke sebuah stadium bola sepak selepas mereka berkhemah di sepanjang jalan dan kawasan pantai selama beberapa minggu, lapor AFP.

4 maut helikopter terhempas di Lagos

KHAMIS, 13 OGOS 2015 @ 8:47 AM


ANGGOTA polis membawa serpihan helikopter yang ditemui di sebuah lagun tengah bandar komersial Lagos, Nigeria. - Foto AFP


 LAGOS: Sebuah helikopter membawa 12 orang terhempas di sebuah lagun di tengah bandar komersial Lagos, Nigeria, menyebabkan empat terbunuh manakala dua lagi masih hilang. Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nigeria NCAA, helikopter pengangkut Sikorsky S-76C yang berkhidmat untuk syarikat cari gali minyak pesisir Bristow Group, terhempas kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan di kawasan Oworonshoki. "Kami melihat helikopter itu berpusing-pusing di udara. Kemudian ia mula menjunam sebelum terhempas di permukaan air dan terbakar," kata Nkoli Moka, seorang saksi yang melihat kejadian itu ketika beliau sedang memandu di Jambatan Third Mainland. "Empat mayat sudah ditemui. Enam lagi terselamat dan dua lagi masih hilang," kata jurucakap NCAA, Fan Ndubuoke. Helikopter berkenaan membawa 10 penumpang dan dua kru. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74457

Jet pejuang AS mula gempur IS di Syria dari Turki

KHAMIS, 13 OGOS 2015 @ 9:45 AM

 JET pejuang F-16 mendarat di Pangkalan Udara Incirlik, Turki. - Foto Reuters

ANKARA: Jet pejuang AS pada Rabu mula melancarkan serangan udara terhadap sasaran Negara Islam (IS) di Syria dari pangkalan udara Incirlik, Turki. Serangan itu menandakan kempen serangan terbaharu terhadap IS daripada pangkalan di Turki selepas persetujuan dicapai dengan kerajaan negara itu bulan lalu, sekali gus membolehkan serangan dibuat menggunakan pesawat kendalian juruterbang berbanding pergantungan kepada dron sebelum ini. Turki kini berhadapan dua kumpulan militan iaitu IS di Syria dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di utara Iraq yang kini semakin kerap menyelinap masuk dan melakukan serangan di Turki. Akan tetapi ketika ini, serangan udara dari Tukri lebih tertumpu kepada pemberontak Kurdish, sekali gus agak mengecewakan AS yang mahu pembabitan lebih besar Turki menggempur kedudukan IS. Penggunaan pangkalan udara Incirlik, tidak jauh dari bandar Adana di selatan Turki, memendekkan jarak penerbangan jet pejuang AS untuk terbang ke utara Syria berbanding tapak serangan sebelum ini yang lebih jauh. "Hari ini, AS mula menggunakan pesawat pejuang kawalan juruterbang menggempur tapak IS daripada Pangkalan Udara Incirlik, Turki," kata jurucakap Pentatagon, Komander Elissa Smith dalam satu kenyataan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74469

36 ahli bomba tidak dapat dikesan di tapak letupan di Tianjin

KHAMIS, 13 OGOS 2015 @ 10:02 AM



ANGGOTA bomba memadam kebakaran di tapak letak kereta di sebuah gudang berdekatan lokasi letupan. - Foto Reuters

 BEIJING: pihak berkuasa terputus hubungan dengan 36 anggota bomba yang terbabit dalam kerja memadamkan kebakaran akibat dua letupan yang menyebabkan kebakaran besar di bandar pelabuhan Tianjin, malam tadi. Setakat ini, letupan itu menyebabkan 17 terbunuh dan mencederakan lebih 400 orang dan mencetuskan panik di bandar raya itu yang dihuni lebih 15 juta penduduk, lapor media China. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74473

5 terbunuh saluran paip meletup

KHAMIS, 13 OGOS 2015 @ 12:45 PM

ANGGOTA bomba tiba di lokasi kejadian. - Foto EPA

 MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kebakaran saluran paip minyak milik Petroleos Mexicanos di utara Garcia, Nuevo Leon. Petroleos Mexicanos dalam satu kenyataan berkata, kebakaran dapat dikawal tetapi ia akan terus terbakar hingga gas dalam paip berkenaan habis. Mengikut syarikat itu, kebocoran dipercayai berpunca kerja pembinaan yang tercucuk saluran paip minyak itu sehingga menyebabkan kebakaran. Media tempatan pula melaporkan kebakaran paip minyak itu berpunca daripada kegiatan pencurian minyak melalui sambungan paip haram. Semua yang terbunuh dalam kebakaran itu adalah pekerja Petroleos Mexicanos. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74503

60 terbunuh serangan di sebuah pasar di Iraq

KHAMIS, 13 OGOS 2015 @ 1:32 PM



ORANG ramai melihat keadaan trak yang rentung selepas meletup di kawasan pasar Sadr City, timur laut Baghdad. - Foto Reuters

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan 200 orang lagi cedera selepas sebuah trak penuh dengan bahan letupan meletup di kawasan pasar Sadr City, timur laut Baghdad. Sadr City dikenali sebagai kawasan yang dimonopoli oleh puak Syiah dan ketika kejadian kebanyakan penduduk sedang menjalankan aktiviti biasa di pasar itu. Sumber menyatakan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam letupan itu tetapi kumpulan militan Negara Islam (IS) pernah menyatakan akan menyerang kawasan kejiranan puak Syiah. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74522

Tentera Pakistan hukum mati militan serang sekolah di Peshawar

JUMAAT, 14 OGOS 2015 @ 12:27 AM

 KEADAAN sekolah di Peshawar yang rosak selepas diserang militan bersenjata pada Disember lalu mengakibatkan 151 murid sekolah terbabit terkorban. - Foto AP

 ISLAMABAD: Tentera Pakistan mengumumkan hukuman mati enam militan yang mempunyai kaitan dengan serangan sebuah sekolah di Peshawar yang mengorbankan 151 murid sekolah dalam kejadian serangan pengganas terburuk di negara itu. Mahkamah tentera mendapati lelaki terbabit bersalah dalam serangan yang dilakukan pada 16 Disember lalu. Manakala lelaki ketujuh dijatuhkan hukuman mati kerana peranannya dalam serangan itu. Kenyataan dalam lama web tentera melaporkan, semua lelaki terbabit sudah dibicarakan dengan seadil mungkin dengan mengikut semua formaliti dan dengan menawarkan pasukan peguam penasihat. "Hari ini hukuman mati sudah disahkan oleh Ketua Turut Tentera Darat," kata kenyataan yang dikeluarkan laman web terbabit. Tentera turut mengumumkan mereka bakal menjalankan hukuman mati ke atas seorang lagi lelaki yang melakukan serangan ke atas tentera di bandar Karachi. Serangan terhadap Sekolah Awam Tentera di Peshawar membawa kepada kemarahan meluas, dengan pegawai mengumumkan beberapa langkah yang bertujuan untuk memerangi keganasan. Kerajaan memansuhkan hukuman mati yang bertahan selama enam tahun pada mulanya hanya untuk orang disabitkan atas keganasan tetapi kemudiannya diperluaskan kepada semua jenis jenayah utama. Pakistan juga turut meminda perlembagaan bagi membolehkan mahkamah tentera membuat perbicaraan kepada pengganas. Walaupun sebelum ini peranan itu diambil oleh mahkamah anti-keganasan tetapi kebanyakan kes tertangguh dan ini menyebabkan kebanyakan pengganas terlepas hukuman. Antaranya kerana kelemahan undang-udang mahupun saksi yang berani tampil kerana takut menerima sebarang tindak balas daripada kumpulan militan terbabit. Tentera Pakistan terbabit dalam serangan besar-besaran terhadap Taliban dan militan lain di Utara Waziristan dan daerah suku kaum Khyber sejak Jun tahun lalu. Sehubungan itu, Taliban berkata serangan di Peshawar adalah tindak balas terhadap operasi berterusan tentera terhadap militan di kawasan markas mereka. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74668

AS siasat dakwaan IS guna senjata kimia

JUMAAT, 14 OGOS 2015 @ 9:13 AM

ANGGOTA tentera puak Kurdish menguruskan majlis pengebumian mangsa bunuh oleh militan Negara Islam (IS). - Foto Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) percaya militan Negara Islam (IS) menggunakan bom kimia dalam serangan terhadap puak Kurdish awal minggu ini, petunjuk awal kumpulan itu kini sudah ada akses kepada bahan kimia yang diharamkan, lapor Wall Street Journal. "Kami ada maklumat berwibawa, bahan kimia mustard digunakan dalam serangan itu," kata seorang pegawai kanan AS. IS dipercayai mendapat bekalan kepada bahan kimia itu di Syria, yang mana kerajaan negara itu dikatakan mempunyai stok besar bahan itu pada 2013 apabila setuju untuk tidak lagi menggunakan kimia dalam persenjataannya, lapor akhbar itu. "Kemungkinan itu memang ada," kata pegawai itu merujuk kepada kemungkinan bagaimana IS mendapat bekalan senjata kimia. WSJ bagaimanapun tidak melaporkan bila serangan terhadap Kurdish dibuat dan bilangan korban. Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara, Rumah Putih akui maklum dengan laporan itu dan sedang mengumpul maklumat lanjut. "Kami pandang serius dakwaan penggunaan senjata kimia ini," kata jurucakap majlis itu, Ali Baskey dalam satu kenyataan. Agensi penyiasatan AS sebelum ini melaporkan IS dalam beberapa serangannya menggunakan gas klorin di Iraq. Setakat ini, klorin bukanlah ejen kimia yang diharamkan. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74678

16 terbunuh, bas jatuh gaung di Kemboja

JUMAAT, 14 OGOS 2015 @ 12:16 AM

 ANGGOTA polis dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Foto phnompenhpost.com PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera apabila sebuah bas menjunam daripada jalan gunung, semalam, kata polis. Ketua Polis Daerah, Hing Pheung memberitahu AFP, mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada wanita berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an daripada Phnom Penh dalam perjalanan keagamaan sepanjang sempadan Kemboja-Thailand. Bas yang dalam perjalanan itu tiba-tiba tersasar daripada jalan dan menjunam daripada Pergunungan Dangrek dan merempuh gaung. "Seramai 12 orang mati di tempat kejadian dan empat lagi mati ketika berada di hospital manakala 23 orang yang cedera dirawat di hospital. Pemandu yang terselamat, patah kaki dan dia cuai. "Dia memandu terlalu laju ketika melalui kawasan gunung dan gagal mengawal kenderaan ketika ia melewati selekoh dan akhirnya bas terbabit menjunam ke dalam gaung," kata Hin Pheung. Semua penumpang yang menaiki bas terbabit adalah rombongan penganut Buddha pagodas adalah warga Kemboja. Jalan raya di kemboja terkenal berbahaya dengan lebih daripada 2,000 terbunuh dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu. Pada bulan Mei sekurang-kurangnya 18 pekerja pakaian Kemboja terbunuh dan 21 cedera apabila bas yang merempuh van yang mengangkut mereka untuk bekerja di wilayah timur Svay riêng. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74667

Seorang Maut, Bas Kilang Jatuh Cerun


Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 2:04 PM

JOHOR BARU: Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah bas kilang di kawasan perumahan dekat sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata insiden tersebut berlaku di Jalan Gaya 11, Taman Gaya di sini kira-kira pukul 9.15 pagi Jumaat.
Bas kilang tersebut terjatuh ke kawasan cerun bukit di sebelah jalan dan menyebabkan kesesakan sehingga 2 kilometer pada waktu puncak.
Ini berikutan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan itu.
Mangsa yang maut disahkan sebagai isteri guru besar SJKC Plentong, Peh Han Kee.
Peh, 58, juga mengalami kecederaan dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala anak perempuan serta anak saudaranya yang berada dalam kenderaan tersebut bersama mereka tidak cedera.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Mayat mangsa turut dihantar ke hospital tersebut untuk bedah siasat.

Dua Rumah Papan Di Kampung Baru Paroi Musnah Terbakar


Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 2:19 PM

SEREMBAN: Dua buah rumah papan separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Paroi, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat sini pagi Jumaat, mengakibatkan kerugian RM200,000.
Kebakaran pada kira-kira pukul 9.15 pagi itu menyebabkan sebuah rumah terbakar 100 peratus, sebuah rumah bersebelahan pula terbakar 70 peratus manakala sebuah rumah lagi berjaya diselamatkan.
Pegawai Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Azlee Mohd Arus berkata bomba menerima panggilan tentang kejadian itu pukul 9.24 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan tiga buah jentera bersama 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Senawang dan Seremban 2.
"Api sedang marak ketika pasukan bomba sampai dan kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dalam masa 10 minit, api dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohd Azlee yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kebakaran berlaku.
Katanya punca kebakaran sedang disiasat.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Mohd Ghazali Abd.
Wahid berkata beliau akan melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa.
"Saya akan berbincang dengan ketua kampung di sini dan Pengerusi Gerakan negeri David Choong Vee Hing mengenai jenis bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa.
"Saya juga akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan lain seperti barang makanan, tilam, bantal, selimut dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata buat sementara waktu ini, 10 orang daripada dua keluarga mangsa terbabit akan ditempatkan di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi.

Warga Emas Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh


Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 10:54 AM

IPOH: Seorang warga emas yang juga pekerja sebuah tokong di Jalan Gopeng di sini ditemui mati dipercayai dibunuh, malam Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Anuar Othman berkata mayat mangsa berusia 77 tahun itu ditemui pada pukul 7.30 malam dengan kesan kecederaan di bahagian tangan serta berlumuran darah dipercayai ditetak dengan objek tajam.
Polis dimaklumkan tentang kejadian itu pada pukul 8 malam oleh seorang pekerja apabila mendapati pintu di tokong itu masih terbuka dan seorang lelaki terbaring berlumuran darah, katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam Khamis.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.
Anuar berkata mangsa yang tinggal di Pasir Putih di sini, difahamkan baru dua bulan bekerja di tokong berkenaan.
Menurutnya, tiada penemuan sebarang senjata di lokasi kejadian dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Tianjin Hangus, 50 Maut Letupan Kargo


Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 11:18 AM
Kenderaan antara yang musnah dalam kejadian letupan kargo di Tianjin.

TIANJIN: Letupan yang hampir memusnahkan kawasan perindustrian di bandar ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 terkorban termasuk 12 anggota bomba, manakala lebih 700 cedera, demikian lapor media China, Khamis.
Ia dikatakan berpunca daripada satu kargo bahan letupan yang meletup dalam sebuah gudang hingga membentuk bebola api besar.
Wartawan AFP memberitahu, terdapat cermin bangunan yang pecah sehingga tiga kilometer jauh dari tapak letupan.
Selain itu, rangkaian televisyen CCTV melaporkan pakar peperangan antikimia tentera dihantar ke tempat kejadian, bagaimanapun, punca bahan letupan dalam kontena tersebut meletup masih belum diketahui.
"Kekuatan letupan pertama yang berlaku beberapa minit sebelum tengah malam menyamai ledakan tiga tan bahan letupan TNT, manakala letupan kedua menyamai ledakan 21 tan bahan letupan," kata rangkaian gempa bumi China melalui laman sosial Weibo.
Agensi berita rasmi China, Xinhua pula melaporkan ibu pejabat pasukan penyelamat mengesahkan 12 anggota bomba  terbunuh, manakala 66 lain dalam keadaan kritikal.
Sekumpulan anggota bomba telah berada di tempat kejadian sebelum letupan pertama berlaku bagi memadamkan satu kebakaran. – AFP

Rogol budak 14 tahun, dua diberkas


KAMPUNG RAJA - Polis Besut berjaya memberkas dua remaja lelaki dalam tempoh kurang 10 jam kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di pantai Air Tawar, di sini Ahad lalu.
Remaja terbabit berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah di daerah ini ditahan lebih kurang jam 8.30 malam di Padang Dataran Pantai Air Tawar.
Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan berhubung laporan yang dibuat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dirogol kedua-dua suspek di dalam semak berhampiran pusat perkelahan itu dalam kejadian lebih kurang jam 3.35 petang hari sama.
Menurutnya, mangsa dikatakan dirogol selepas pergi ke pantai berkenaan dengan seorang kawan perempuannya dan mangsa mendakwa tidak mengenali suspek.
“Mangsa sudah tidak bersekolah sementara rakan kepada pelajar tingkatan empat (suspek) juga tidak bersekolah. Kedua-dua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut yang diadakan di pekarangan IPD tersebut di sini,  kelmarin.
Khaled dalam pada itu menasihatkan ibu bapa mengawasi pergerakan anak masing-masing.

Kemalangan ragut nyawa tiga sahabat


MOHD AZLIM ZAINURY
14 OGOS 2015
Kemalangan ragut nyawa tiga sahabat

Keadaan Proton Wira tersebut

MARANG - Tiga sahabat maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka remuk selepas terbabas dan merempuh tangga jejantas di kilometer 12 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Dua di sini, pagi tadi.

Tiga yang maut dalam kejadian berlaku kira-kira 3.45 pagi itu merupakan pemandu kereta jenis Proton Wira, yang dikenal pasti sebagai Ahmad Amir Fikri Abdul Nasir, 20, beralamat dari Kampung Tok Kaya, Kuala Terengganu.

Dua lagi ialah penumpang, Ahmad Hafiz Zaini@Ramli, 20, dari Banggol Tasek, dan Mohamad Fairuz Rani, 21, dari Rawai manakala seorang lagi penumpang parah, Mohamad Faizzuddin Mohd Saad, 20, patah kedua-dua belah kakinya.

Mereka berempat dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Berang dari arah Kuala Terengganu namun setiba di tempat kejadian kereta dipandu Ahmad Amir Fikri dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tangga jejantas.

Penumpang, Mohamad Fairuz meninggal dunia di tempat kejadian manakala  pemandu kereta, Ahmad Amir dan seorang lagi penumpang, Ahmad Hafiz Zaini meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan.

Seorang penumpang terselamat, Mohammad Faizzuddin mengalami kecederaan patah pada kedua-dua belah kaki dan beralamat dari Rawai itu kini dirawat di wad 4EE di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Jenazah tiga sahabat terbabit telah dibawa ke Unit Forensik HSNZ untuk di bedah siasat dan anggota keluarga mangsa terbabit dilihat turut berada di Unit Forensik HSNZ pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi Sinar Harian hari ini mengesahkan menerima laporan dan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan serta kes kini disiasat di bawah sek 41(1) APJ 1987.

Warga emas nyaris maut


Keadaan kereta mangsa yang remuk akibat melanggar belakang sebuah lori
YAN – Seorang warga emas nyaris maut selepas kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori dekat Padang Lumat, di sini, semalam. 

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia lingkungan 60-an mengalami kecederaan parah. 

Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu berjaya diselamatkan dan dikeluarkan oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian. 

Menurut seorang saksi, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Guar Chempedak menghala ke Pusat Bandar Alor Setar. 

“Semasa kejadian, lori itu tiba-tiba mengundur keluar dari sebuah kilang papan berdekatan dengan laju. 

“Mujur saya sempat menekan brek tetapi kereta yang dipandu mangsa gagal elak dan melanggar belakang lori tersebut,” katanya. 

Mangsa dibawa ke Hospital Yan menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) untuk rawatan lanjut.

Penyerang berpedang samurai ditahan


13 OGOS 2015

Penyerang berpedang samurai ditahan

Penyerang berpedang samurai ditahan Sedutan video menunjukkan penyerang berpedang samurai berlegar di kompleks membeli-belah, hari ini.

BEIJING - CHINA. Seorang penyerang ditahan polis selepas menikam seorang lelaki dan wanita di luar kompleks membeli-belah popular menggunakan pedang samurai, hari ini.

Menurut Reuters, keadaan mangsa lelaki warganegara Perancis tidak diketahui manakala wanita warganegara China tersebut maut dalam serangan berkenaan.

Video dan foto lelaki tersebut berlegar di hadapan kompleks berkenaan sambil memegang pedang berkenaan juga tersebar di laman sosial.

Mangsa wanita tersebut juga kelihatan terbaring berdekatan dan berlumuran darah sambil dibantu oleh seorang lelaki lain yang cuba menyelamatkannya.

Wanita tersebut maut dalam perjalanan ke hospital.

Siasatan masih dijalankan.

Bakar Ferrari kerana sudah bosan


Bakar Ferrari kerana sudah bosan

13 OGOS 2015

Bakar Ferrari kerana sudah bosan Keadaan kereta Ferrari 458 Italia yang dibakar.

AUGSBURG - JERMAN. Seorang lelaki didenda 20,865 Pound (RM130,748.28) kerana membakar Ferari miliknya dalam rancangan untuk menipu pihak insurans untuk membeli kereta baharu.

Menurut laporan Dailymail, lelaki tersebut yang tidak dinamakan, berusia 20 tahun yang memiliki 15 lagi kenderaan mewah telah merasa bosan dengan Ferrari 458 Italia miliknya.

Beliau kemudian didakwa merancang dan berkomplot bersama tiga orang lagi rakan untuk menjayakan penipuan tersebut.

Hakim menjatuhkan hukuman 22 bulan pengawasan dan denda manakala tiga orang rakannya tersebut pengawasan selama 14 hingga 16 bulan.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang juga merupakan seorang anak usahawan Zurich telah dinasihatkan oleh pengilang kereta tempatan untuk melakukan jenayah tersebut.

Bunuh lepas cubaan rogol gagal


 Zhou Yunlu

13 OGOS 2015

 Zhou Yunlu Zhou Yunlu - Foto CEN

BEIJING - CHINA. Seorang pelajar universiti yang dilaporkan hilang hujung minggu lalu ditemui mati dibunuh oleh seorang lelaki yang juga merupakan rakan sekelasnya.

Memetik laporan Xinhua, suspek dikenali sebagai Li membunuh Zhou Yunlu, yang merupakan pelajar tahun dua Jurusan Komunikasi di University of China selepas gagal merogol mangsa.

Sementara itu, People Daily Online melaporkan, Yun Lu dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas dikatakan menghadiri penggambaran filem amatur yang diarahkan oleh suspek.

Menurut rakannya, kehilangan mangsa disedari selepas dia gagal menghadirkan diri pada majlis perkahwinan sehari selepas itu.

Tambah rakannya lagi, mereka cuba untuk menghubungi mangsa namun telefon bimbitnya dimatikan.

Mayat mangsa ditemui di kawasan kediaman berhampiran wilayah Chaoyang di Beijing di mana lokasi yang dipercayai suspek dan mangsa melakukan penggambaran.

Suspek mengaku bersalah melakukan perbuatan itu namun polis masih belum menjumpai senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Lapan hari untuk bayar balik RM1.3b


Jakarta: Mahkamah Daerah Jakarta Selatan kelmarin mengarahkan Yayasan Supersemar yang ditadbir oleh keluarga bekas Presiden Suharto membayar semula wang AS$325 juta (RM1.3 bilion) kepada negara, sebagai hukuman kerana menggelapkan wang empat kali ganda daripada jumlah itu, dalam masa lapan hari.

“Pihak yang kalah perlu mematuhi keputusan mahkamah dan membayar denda itu dalam masa lapan hari,” kata jurucakap mahkamah Made Sutisna, lapor tempo.co, semalam.

Made berkata, mahkamah akan memanggil wakil yayasan berkenaan dan pejabat peguam negara berhubung keputusan mahkamah agung baru-baru ini.

“Kami akan merampas harta yayasan itu jika mereka gagal berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan,” kata Made,

Peguam keluarga Suharto Muhammad Assegaf berkata, dia belum dihubungi oleh Yayasan Supersemar berkait dengan arahan berkenaan.

Menurutnya, tidak ada waris Suharto terbabit dalam pengurusan yayasan berkenaan ketika ini dan berkata, pihak yang perlu membayar wang itu ialah yayasan itu sendiri.

“Saya tidak tahu bagaimana yayasan itu mampu membayar jumlah wang sebanyak itu.

“Adakah mereka masih memiliki harta?” tanya Muhammad. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:41 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70244#sthash.yFu7tQlE.dpuf

62 korban serangan IS

Baghdad: Sekurang-kurangnya 62 orang terbunuh apabila sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan diletupkan di kawasan kejiranan penduduk Syiah di sini, semalam.
Kumpulan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian awal pagi semalam itu.
Ia turut memberi amaran akan melakukan lebih banyak serangan seumpama itu untuk menyasarkan penduduk Syiah Iraq.
Menurut polis, trak itu diletupkan di pasar Jameela di kawasan kejiranan Sadr selepas Subuh.
Sekurang-kurangnya 125 orang turut cedera dalam kejadian itu.
Penduduk bergegas membantu mangsa dan dilihat membawa mayat menggunakan beg sampah serta menghantar mereka yang cedera ke hospital dengan ambulans atau kereta sendiri.
Sebahagian besar pasar itu musnah dijilat api dengan gerai, buah serta sayur bertaburan.
Seorang pegawai bomba berkata: “Khamis memang hari sibuk di pasar itu kerana orang ramai datang dari wilayah lain untuk membeli bekalan makanan hujung minggu.”
Katanya, trak yang digunakan dalam serangan adalah jenis sejuk beku menyebabkan pasukan keselamatan sukar untuk membezakannya dengan lori lain yang membawa hasil pertanian ke pasar berkenaan.
Pemandu bas mini, Hassan Hamid, 37, berkata, kenderaan dipandunya tidak jauh dari lokasi itu terlambung 10 meter ke kaki lima akibat letupan itu.
“Letupan itu sungguh kuat. Banyak kereta melambung ke udara,” katanya ketika ditemui di hospital kerana dirawat.
Pegawai hospital mengesahkan jumlah kematian.
Dalam mesej dimuat naik ke akaun Twitter yang ada hubungan dengan IS, kumpulan militan itu mengaku meletupkan trak yang sarat dengan bahan letupan itu di kawasan parkir pasar berkenaan.
Kumpulan itu sering menyasarkan pos kawalan tentera atau kejiranan yang majoriti penduduknya Syiah seperti di Sadr dengan tujuan memberi amaran kepada kerajaan Iraq yang dikuasai penganut Syiah.
Walaupun serangan berlaku hampir setiap hari di ibu negeri itu, jumlah kematian sebanyak semalam jarang berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:38 AM


ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa serangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70239#sthash.MuGOsAaK.dpuf

Kereta rosak, pokok terbakar

Bukit Mertajam: Rumah pegawai Imigresen di Jalan Permai Jaya, di sini dilontar tiga molotov cocktail, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 6.30 pagi itu, pokok hiasan di halaman rumahnya terbakar dan cermin kereta mangsa turut dipecahkan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata polis masih menjalankan siastan untuk mengesan suspek yang melontar molotov cocktail terbabit.
"Mangsa kerugian kira-kira RM5,000 dan kita juga masih menyiasat motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi sebenatar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 12:34 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70221#sthash.SJPKoNWc.dpuf

12 bomba antara 44 maut

Tianjin, China: Seramai 12 anggota bomba antara sekurang-kurangnya 44 orang yang terbunuh dalam letupan gudang di Pelabuhan Tianjin, manakala lebih 500 lagi cedera dengan 66 daripadanya parah.
Menurut AP, agensi berita Xinhua melaporkan lebih 1,000 anggota bomba berusaha keras mengawal kebakaran yang bermula selepas letupan tengah malam tadi dan Beberapa kenderaan bomba juga musnah. Seramai 520 orang dirawat di hospital, termasuk mereka yang cedera parah.
Letupan dipercayai berpunca daripada bahan mudah terbakar memusnahkan sepenuhnya bangunan gudang serta memecahkan tingkap bangunan yang jauhnya beberapa kilometer.
Seorang penduduk, Zhang Siyu yang rumahnya terletak beberapa kilometer dari gudang itu berkata, dua menyangka gempa bumi menyebabkan bergegas keluar.
“Apabila berada di luar barulah tahu ia letupan. Saya nampak api menjulang tinggi dengan asap tebal,” katanya.
Setakat ini belum diketahui punca letupan itu dan tiada toksik terbebas ke udara atau di darat.
Menurut polis Tianjin, letupan itu berlaku dalam gudang yang menyimpan kontena mengandungi bahan kakisan milik Ruihai Logistics yang diberi kebenaran mengenalikan bahan berkenaan.
Agensi berita rasmi China melaporkan ada pengurusan kanan syarikat itu ditahan untuk siasatan dan Presiden Xi Jinping menuntut hukuman setimpal terhadap mereka yang menyebabkan letupan itu.
Menurut Xinhua, letupan pertama menyebabkan beberapa letupan lain dan Biro Gempa Bumi Kebangsaan China melaporkan dua letupan besar direkod dengan letupan pertama menyamai tiga tan TNT manakala yang kedua 21 tan.
Menurut Beijing News, beberapa bangunan serta gudang milik syarikat lain turut musnah dan lebih 1,000 kenderaan rentung
Menurut Reuters, letupan itu amat kuat sehinggakan dapat dilihat satelit di angkasa lepas, mewujudkan gegaran sejauh beberapa kilometer di bandar raya berpenduduk 15 juta orang itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 3:03 PM

Api yang menjulang tinggi boleh dilihat sejauh beberapa kilometer selepas beberapa letupan dari gudang di pelabuhan di Tianjin, tengah malam tadi. - Foto Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70182#sthash.si0EFjjo.dpuf

Dua parah lantai runtuh

Gombak: Dua pekerja binaan parah manakala tiga rakan mereka cedera selepas struktur lantai bangunan dalam pembinaan di Fasa II Prima Selayang runtuh awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 pagi, lantai di tingkat enam bangunan itu dikatakan runtuh menyebabkan semua mangsa tersepit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.45 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 5.04 pagi.
Difahamkan, bangunan itu adalah sebuah pasar raya serbaneka yang dalam pembinaan dan semua mangsa dikatakan bekerja.
“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh yang tiba di lokasi kejadian bagaimanapun mendapati lima mangsa terbabit dibawa keluar dari dalam runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 9:11 AM


BANGUNAN dalam pembinaan di Projek Fasa 2 Prima Selayang runtuh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70070#sthash.dXrboX0K.dpuf

Curiga terjawab

>Muar: Gaya hidup mewah pasangan kekasih walaupun hanya tinggal di sebuah pangsapuri di Bakri, di sini, terbongkar selepas diserbu polis Ahad lalu menyaksikan sepucuk Revolver .38 dan sejumlah syabu serta ganja dirampas.
Tindakan pasangan kekasih itu yang mendakwa bekerja sendiri, tetapi tidak menunjukkan ciri ahli perniagaan itu turut menimbulkan kemusykilan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, bertindak atas aduan orang ramai, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melakukan intipan selama beberapa hari.
Menurutnya, selepas berpuas hati dengan intipan yang dilakukan, pasukan berkenaan melakukan serbuan di Pangsapuri Permata Jalan Haji Jaib, Bakri, jam 1 petang Ahad lalu.
“Sebaik menyerbu kami menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 bersama 24 peluru hidup di dalam satu beg pinggang di dalam rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 9:08 AM


AZMAN menunjukkan pistol yang dirampas pada sidang media di IPD Muar, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70068#sthash.jONkBlhU.dpuf

Taliban kecam rakaman hukuman bunuh IS


AP - SEKEPING kalendar memaparkan barisan pemimpin Afghanistan termasuk bekas ketua Taliban, Mullah Omar (tengah).


KABUL – Pihak Taliban mengecam klip video memaparkan militan-militan Kumpulan Islamic State (IS) meletupkan beberapa tawanan Afghanistan dalam keadaan bergari dan mata mereka ditutup.
Rakaman itu membayangkan permusuhan yang semakin meruncing antara dua kumpulan berkenaan selepas IS meneruskan kemaraan di Afghanistan sekali gus mencabar Taliban di tanah air mereka sendiri.
Klip video itu yang dirakam di timur Afghanistan yang bergolak, melabel semua tawanan itu sebagai golongan kafir kerana bersekongkol dengan Kabul atau Taliban.
Namun, kumpulan Taliban menyatakan, mereka sebenarnya penduduk awam.
“Satu klip video menunjukkan kumpulan penculik (IS) membunuh beberapa ketua suku kaum dan penduduk kampung menggunakan bahan letupan,” kata pihak Taliban dalam satu kenyataan kelmarin.
Kumpulan Taliban sebelum ini kerap dituduh melakukan kekejaman sepanjang 14 tahun penentangan mereka terhadap kerajaan Afghanistan yang disokong Amerika Syarikat.
Taliban kini berdepan krisis pembelotan selepas sejumlah anggotanya berpaling tadah menyertai IS kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka sejak sekian lama, Mullah Omar
Kematian Mullah Omar diumumkan kumpulan Taliban di laman webnya baru-baru ini.
Klip video berdurasi lebih empat minit itu disiarkan dalam forum media Taliban pada Ahad lalu dan mengandungi komentar dalam Bahasa Arab dan Pashto. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3ijpmDUop 
Hakcipta terpelihara