Search This Blog

Thursday, August 13, 2015

Penunggang motosikal maut rempuh lori ayam


WARTAWAN SINAR HARIAN
Penunggang motosikal maut rempuh lori ayam

13 OGOS 2015
Penunggang motosikal maut rempuh lori ayam Mayat mangsa ditutup dengan kain sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh lori ayam diparkir di tepi jalan di Jalan Pasir Hor di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas GT 100, dari arah Pasir Hor menghala ke Wakaf Che Yeh dan ketika sampai di tempat kejadian melanggar bahagian kanan lori terbabit.

Sebelum kejadian, pemilik ayam proses berkenaan mengalihkan lori dari stor simpanan ayam proses terbabit ke bahu jalan menghala ke Wakaf Che Yeh kira-kira jam 5 pagi, bagi memudahkan lori pembekal masuk ke stor penyimpanan ayam terbabit yang ditempah pelanggan.

Namun penunggang motosikal, Zulkifli Abdullah, dipercayai terlanggar belakang lori berkenaan dan meninggal di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut.

Ibu resah anak hilang tiga minggu


WARTAWAN SINAR HARIAN
Ibu resah anak hilang tiga minggu

13 OGOS 2015
Ibu resah anak hilang tiga minggu Rosnani menunjukkan gambar anak lelakinya yang hilang sejak tiga minggu lalu. Foto kecil: Muhammad Danial Zaidi.

JERTIH - “Saya rayu orang ramai atau mana-mana yang mempunyai maklumat mengenai anak lelaki saya yang hilang sejak tiga minggu lalu agar menghubungi saya atau pihak berkuasa segera,” demikian luahan seorang ibu, Rosnani Mat Ali, 38.

Menurut Rosnani, anak lelakinya Muhammad Danial Zaidi, 13, didapati keluar dari rumahnya di Kampung Pulau Berangan dekat Bukit Kenak di sini sejak 23 Julai lalu.

“Kehilangan Danial disedari bapanya ketika ingin mengejutkan dia ke sekolah.

“Namun dia sudah tidak ada di tempat tidur termasuk pakaian dan duit raya miliknya,” katanya yang ditemui di rumahnya semalam.

Rosnani berkata, susulan kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Jertih kerana bimbangkan keselamatan Muhammad Danial yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu.

Menurutnya, Muhammad Danial dipercayai keluar rumah sekitar jam 1 pagi pada tarikh berkenaan kerana sebelum masuk tidur iaitu lebih kurang jam 12.30 malam, anaknya itu masih ada di dalam rumah.

“Pada siang hari 22 Julai, dia seperti nak keluar rumah apabila dilihat kemas pakaian dalam beg tapi mungkin tak ada peluang buatkan dia keluar ketika keluarga lain sedang tidur.

“Kami tak ada sebarang perselisihan, cuma saya sering berleter dan nasihatkan dia agar tak terlalu kuat bermain telefon bimbit,” katanya yang bekerja sendiri.

Rosnani berkata, sejak itu dia tidak menerima sebarang khabar mengenai anaknya dan keadaan itu amat merisaukan dia sekeluarga.

“Danial bersekolah di SM Ugama Nurul Huda, Bukit Yong, Pasir Putih, Kelantan.

“Selama ini.. dia tidak punyai sebarang masalah disiplin malah belajar tahfiz di sekolah itu,” katanya.

Katanya, dia mengesyaki anaknya keluar dengan seseorang yang datang menjemputnya di rumah dan sekarang menyembunyikan anak di suatu tempat.

Rosnani juga mendakwa, perubahan sikap anaknya amat ketara sejak dia menjadi anak angkat kepada seorang lelaki yang berusia akhir 40-an awal tahun lalu.

Gudang meletup: 17 maut termasuk 9 bomba


13 OGOS 2015
Gudang meletup: 17 maut termasuk 9 bomba

Gudang meletup: 17 maut termasuk 9 bomba

TIANJIN - CHINA. Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan beratus yang lain cedera dalam letupan di kawasan gudang di pelabuhan di Tianjin, semalam.

Memetik laporan Xinhua News, 32 mangsa berada dalam keadaan kritikal manakala 283 yang lain dimasukkan ke hospital menjadikan keseluruhan mangsa yang cedera mencecah 400 orang.

Dalam pada itu, Beijing News melaporan 9 anggota bomba yang menyertai operasi memadam kebakaran antara yang terbunuh.

Letupan datang dari sebuah gudang yang menyimpan bahan berbahaya sehingga menyebabkan api merebak ke beberapa kawasan sekitar serta menyebabkan beberapa siri letupan yang kuat.

Sementara itu, pihak berkuasa Tianjin berkata, letupan bermula dari salah satu kontena yang terdapat dalam sebuah gudang yang menempatkan bahan berbahaya milik Ruihai Logistics.

Media kerajaan berkata, pengurusan kanan syarikat itu telah ditahan oleh pihak berkuasa dan Presiden Xi Jinping telah menuntut hukuman yang berat bagi sesiapa yang didapati bertanggungjawab ke atas letupan tersebut.

Lebih 1000 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Lelaki Korea bakar diri di Kedutaan Jepun


Lelaki Korea bakar diri di Kedutaan Jepun

13 OGOS 2015
Lelaki Korea bakar diri di Kedutaan Jepun Seorang penunjuk perasaan cuba memadam api semasa seorang lelaki membakar dirinya di luar Kedutaan Jepun di Seoul, semalam. - Foto AFP

SEOUL - KOREA SELATAN. Seorang lelaki warga emas bertindak membakar dirinya di luar Kedutaan Jepun di Seoul semasa protes menuntut Tokyo mengemukakan permohonan maaf kerana memaksa wanita Korea Selatan bekerja di rumah pelacuran tentera pada era Perang Dunia Kedua.

Insiden berkenaan berlaku dua hari menjelang ulang tahun ke-70 peristiwa berakhirnya penjajahan Jepun ke atas Semenanjung Korea dari 1910-1945, Sabtu ini lapor Reuters .

Difahamkan, protes berkenaan turut disertai kira-kira 2,000 penunjuk perasaan, termasuk 47 wanita yang pernah dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun semasa perang.

"Nampaknya lelaki berkenaan berniat untuk membunuh diri memandangkan botol yang dibawa bersamanya dipenuhi petrol," kata jurucakap bomba.

Agensi berita Yonhap berkata, warga emas berkenaan berusia dalam lingkungan 80-an dan berasal dari selatan bandar Gwanju.

Selepas perang berakhir, Tokyo berulang kali menafikan dakwaan tenteranya menjadikan wanita Korea sebagai hamba seks.

Menurut sejarah, sekitar 200,000 wanita berasal dari Korea, China, Indonesia, Filipina dan Taiwan dipaksa bekerja sebagai hamba seks atas paksaan tentera Jepun. 

Mayat dikerat rentung dalam kereta



Mayat lelaki dikerat ditemui dalam but kereta Proton Iswara Aeroback yang terbakar di Taman Bukit Rawang Jaya di Rawang semalam.


RAWANG – Panggilan memadamkan api sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Taman Bukit Rawang Jaya di sini semalam mengejutkan pasukan bomba dan penyelamat yang menjumpai satu mayat dikerat dua disimpan dalam but kereta tersebut.
Mayat yang rentung tanpa identiti itu ditemui sebaik seorang anggota bomba membuka but kereta jenis Proton Iswara Aeroback sejurus api yang membakar kereta tersebut dipadamkan pada pukul 7.20 pagi.
Satu sumber berkata, pemeriksaan ke atas mayat rentung itu mendapati badan mangsa telah dikerat dua iaitu pada bahagian pinggul.
Selain itu, kedua-dua belah kaki mangsa turut dipotong sebelum diletakkan di belakang kepalanya.
Sumber itu memberitahu, pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa itu dibunuh di tempat lain sebelum kereta tersebut disimbah dengan petrol dan dibakar bagi melupuskan mayat terbabit.
“Keseluruhan mayat mangsa termasuk kedua-dua belah kakinya rentung,” kata sumber itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3ie5dBCrb 
Hakcipta terpelihara 

Pesara JPJ jual dokumen palsu



Mazlan ( tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian MyKad, lesen memandu palsu dan peralatan mencetak pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Pengalaman lebih 30 tahun berkhidmat de­ngan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ‘dimanfaatkan’ oleh seorang pesara mengoperasikan pemalsuan MyKad, lesen memandu dan cukai jalan.
Selepas setahun hidup dengan kegiatan rezeki haram itu, aktiviti lelaki berusia 57 tahun itu terbongkar selepas dia diberkas dalam Ops Lejang di Kampung Binjai di sini pada pukul 6 pagi, 2 Ogos lalu.
Pemeriksaan polis di rumah suspek di Jalan Binjai, Mulong dekat sini mendapati rumahnya digunakan oleh suspek untuk memproses dokumen-dokumen palsu tetapi dipercayai tulen oleh pelanggan-pelanggan.
Jarak rumah suspek dengan lokasi dia ditangkap kira-kira 20 kilometer.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang bergerak secara solo itu memperdaya orang kampung dengan mendakwa dirinya merupakan orang tengah untuk membuat dokumen seperti MyKad, lesen memandu dan cukai jalan.
Menurut beliau, mangsa-mangsa yang terpedaya dikenakan caj antara RM150 hingga RM200 bagi setiap dokumen.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3ie5LvbLK 
Hakcipta terpelihara 

Pensyarah UTM didenda RM150,000



GAMBAR pada tahun 2013 sewaktu Abdul Aziz (tengah) bersama Samad (hadapan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru di atas pertuduhan memalsukan dokumen invois.


KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman denda masing-masing RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 10 pertuduhan pindaan menggunakan dokumen tuntutan palsu membabitkan transaksi lebih RM1 juta dua tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Aziz Abd. Kadir, 51, dan Samad Safari, 51, menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding kes itu berada di peringkat akhir pembelaan.
Sebelum ini ketika kes itu didakwa buat kali pertama pada 27 Jun 2013 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dengan 20 pertuduhan melibatkan RM2 juta, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Bagaimanapun, ekoran perbincangan antara pihak pendakwa dan peguam bela supaya kes itu tidak memakan masa lebih lama, 10 pertuduhan terakhir telah bersetuju dibatalkan.
Ini sekali gus mendorong kedua-dua tertuduh untuk menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pindaan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3ie4ouxc4 
Hakcipta terpelihara 

Racun anjing sampai mati sebelum rompak banglo


Mior


GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri terpaksa ber­depan detik-de­tik­ cemas hampir se­tengah jam apabila bang­lo tiga tingkat yang didiami mereka di Tingkat Bukit Jambul, Sungai Nibong di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah bersenjata tajam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, pasangan berusia dalam lingkungan 40-an dikatakan sedang tidur nyenyak di ruang tamu sebelum didatangi tiga lelaki bertopeng serta bersarung tangan hitam.
Mangsa berketurunan Cina itu dikatakan telah tersedar sebaik salah seorang suspek bertindak mengejutkan mereka.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid memberitahu, suspek yang bersenjatakan pisau, kayu dan pemutar skru kemudiannya mengikat kedua-dua tangan mangsa dengan wayar elektrik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3ie3SzZY6 
Hakcipta terpelihara 

Alat elektronik curi kereta dipantau


Dibeli pada harga RM20,000
MASZUREEN HADZMAN 
DAN NURAINA HANIS ABD. HALIM  |  13 Ogos 2015 1:42 AM



KUALA LUMPUR 12 Ogos - Polis sedang memantau penjualan sejenis alat elektronik yang dipercayai telah disalahgunakan penjenayah untuk mencuri kenderaan mewah dalam tempoh yang singkat.
Difahamkan, alat elektronik khas yang dijual di luar negara itu dibeli sindiket terbabit menerusi dalam talian atau pembelian terus di negara jiran dengan harga hampir RM20,000 bagi mematikan sistem penggera seterusnya menghidupkan enjin kenderaan serta-merta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan tersebut secara berterusan dalam usaha menghapuskan jenayah itu daripada berleluasa.
Menurut beliau, hasil tangkapan pihaknya sebelum ini mendapati peralatan elektronik yang digunakan itu adalah untuk mematikan frekuensi sistem penggera sebelum memecah masuk ke dalam sesebuah kenderaan.
“Hasil siasatan pihak polis menerusi kes-kes yang dilaporkan sebelum ini mendapati peralatan tersebut tidak dijual di Malaysia sebaliknya dibeli ahli sindiket di negara jiran.
“Cara peralatan itu dibawa masuk ke sini masih dalam siasatan dan mereka juga membeli alat itu secara online,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 11 Jun lalu, polis berjaya menahan tujuh individu dipercayai terlibat mencuri kereta menggunakan alat elektronik untuk membuka pintu dan menghidupkan enjin kereta dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek ditahan di Shah Alam, Selangor.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/alat-elektronik-curi-kereta-dipantau-1.123718#sthash.oAv1mfMG.dpuf

Suspek ditahan, 
rakan mati ditembak


Aktif dalam kegiatan samun, pecah rumah sejak 15 tahun lalu

POLIS meneruskan siasatan selepas seorang penjenayah ditembak
POLIS meneruskan siasatan selepas seorang penjenayah ditembak mati dan seorang lagi cedera di Pangsapuri Bukit Tinggi 2, Bukit Tinggi, Klang, Selangor, semalam. UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
KLANG 12 Ogos - Seorang penjenayah paling dikehendaki berikutan aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah sejak 15 tahun lalu berjaya ditahan di Bandar Bukit Tinggi, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, polis terpaksa bertindak agresif untuk menahan suspek yang berusia 34 tahun dan berasal dari Sabah dengan melepaskan beberapa das tembakan hingga mencederakan tangan kanannya.
Suspek yang cedera pernah me­la­kukan lebih 10 kes pecah rumah dan samun sejak dua bulan kebe­lakangan ini dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan samun.
Rakan jenayah suspek yang berusia 35 tahun juga dari Sabah bagaimanapun mati di tempat kejadian akibat terkena peluru pada rusuk kanannya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, sebelum itu, sepasukan anggota polis terserempak dengan kenderaan pelbagai guna yang dipandu suspek di Bayu Perdana.
“Polis kemudiannya mengejar kereta jenis Perodua Alza itu sejauh lima kilometer sehingga ke Pangsapuri Bukit Tinggi 2 dan cuba dihalang beberapa kali oleh kenderaan polis namun gagal diberhentikan.
“Dalam usaha melarikan diri, kenderaan suspek telah bergesel dengan dua buah kereta lain (Pe­rodua Kancil dan Hyundai Atos) se­belum berjaya dipintas di persimpangan pangsapuri tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Azman, suspek bertindak agresif dengan melanggar Proton Saga yang dinaiki pasukan polis bagi meloloskan diri menyebabkan mereka terpaksa melepaskan sebanyak enam das tembakan bagi mempertahankan diri.
Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek katanya, polis menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
“Mayat suspek serta rakannya yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat dan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suspek-ditahan-8232-rakan-mati-ditembak-1.123702#sthash.mVHFg4e1.dpuf

Suspek pecah rumah timbalan menteri diburu


13 Ogos 2015 1:11 AM




PUTRAJAYA 12 Ogos – Polis sedang memburu seorang suspek warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah kediaman Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit di Presint 10 di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, lelaki itu dikenali sebagai Harron Hussain, 23, didakwa terlibat dalam kes pecah rumah berkenaan bersama kum­pulan suspek lain yang juga me- rupakan warga asing.
“Menurut saksi, lelaki ini bersama suspek lain tiba di lokasi dengan sebuah kereta sebelum mengumpil tingkap untuk memasuki kediaman mangsa.
“Dalam kejadian itu, suspek berkenaan sempat melarikan wang tunai, jam tangan dan komputer riba yang keseluruhannya berjumlah RM28,300,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia se­malam melaporkan kediaman James Dawos dipecah masuk semasa beliau tiada di rumah kerana berada di Kuching, Sarawak dan hanya menyedari kejadian itu selepas mendapati tingkap belakang rumahnya terdapat kesan pecah masuk.
Pada masa sama, Rosly memberitahu, Harron yang beralamat di Kampung Bagan Ajam, Butterworth Pulau Pinang pernah diusir keluar ke negara asalnya mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.
Selain itu, beliau memaklumkan, pihak polis tidak menolak kemungkinan kes pecah rumah itu turut didalangi warga asing yang bekerja berhampiran di kawasan kejiranan Presint 10.
“Kita telah mengarahkan anggota polis untuk menyiasat pekerja-pekerja buruh yang berada berhampiran kawasan terbabit,” ujarnya.
Sehubungan itu, Rosly meminta kerjasama orang ramai untuk menghubungi bilik gerakan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di talian 03-88862145 atau Ketua Siasatan Jenayah Putrajaya, Deputi Superintenden Hamazah Abd. Razak menerusi talian 012-2937107 sekiranya mempunyai maklumat mengenai suspek.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suspek-pecah-rumah-timbalan-menteri-diburu-1.123648#sthash.COirTYTv.dpuf

Ketua sindiket ditahan, ganja 86kg dirampas


GUAN BENG KANG (dua dari kanan) menunjukkan ganja mampat 86 kilogram
GUAN BENG KANG (dua dari kanan) menunjukkan ganja mampat 86 kilogram semasa sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, semalam. UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM
PULAU PINANG 12 Ogos – Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri merampas 86 kilogram (kg) ganja mampat di dalam but sebuah kereta yang diletakkan di sebuah pangsapuri di Relau, pada Isnin lalu.
Ketua JSJN negeri, Superinten­den Guan Beng Kang berkata, nilai rampasan dalam serbuan pukul 2.55 pagi itu dianggarkan mence­cah RM258,000 terdiri daripada 85 ketul ganja yang setiap satu seberat satu kilogram.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 41 tahun yang dipercayai menjadi ketua sindiket dadah ditahan dan siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit dadah dan jenayah.
“Walaupun jumlah ganja yang dirampas sepanjang lapan bulan tahun ini melebihi 500 kg, namun kegiatan haram berkenaan masih terkawal kerana pihak polis sentiasa melakukan operasi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Ini adalah rampasan ganja ke­dua terbesar di negeri ini selepas rampasan sebanyak 477 kg ganja bernilai RM1.5 juta 25 Mei lalu di sebuah tapak pembinaan di Teluk Bahang, di sini.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, dalam tangkapan terbaharu itu, ketulan ganja berkenaan disimpan dalam kotak khas di dalam but untuk mengaburi mata pihak polis.
Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket itu sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan ganja berkenaan yang dipercayai diseludup dari negara jiran adalah untuk pasaran tempatan dan negeri jiran.
Tambahnya, polis kini memburu beberapa lagi anggota sindiket itu yang dipercayai turut mempunyai rangkaian dengan sindiket di nege­ri-negeri utara.
“Suspek yang mendakwa sebagai seorang ahli perniagaan direman sehingga 14 Ogos ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39 B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ketua-sindiket-ditahan-ganja-86kg-dirampas-1.123591#sthash.ClhUjOXW.dpuf

Mayat dikerat-kerat ditemukan rentung dalam but kereta


POLIS melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan satu mayat
POLIS melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan satu mayat rentung dalam sebuah kereta Iswara di Taman Bukit Rawang Jaya, Selangor, semalam.
GOMBAK 12 Ogos – Sepasukan anggota bomba yang dikerahkan untuk memadam kebakaran sebuah Proton Iswara Aeroback di tepi jalan di Taman Bukit Rawang Jaya, Rawang di sini dikejutkan dengan penemuan satu mayat lelaki yang dipercayai dikerat beberapa bahagian di dalam but kereta tersebut.
Difahamkan, mayat tanpa identiti itu dijumpai selepas salah seorang daripada anggota bomba yang membuka but kereta berkenaan sejurus selesai memadam api, kira-kira pukul 7 pagi ini.
Mayat terbabit dikatakan terkerat di bahagian pinggul, kaki serta tangan dan telah rentung sementara kereta berkenaan dipercayai disimbah dengan petrol sebelum dibakar untuk melupuskan mayat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan mayat lelaki yang dijumpai dalam but kereta itu adalah mangsa pembunuhan.
“Buat masa ini kita sedang mengesan identiti mangsa dan kita klasifikasikan kes ini sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Negeri Selangor, Sani Harul pula berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.38 pagi berhubung kejadian dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.
“Anggota bomba memadamkan api sebelum melakukan pemeriksaan di dalam kereta tersebut. Bagaimanapun, salah seorang anggota yang memeriksa bahagian but terkejut selepas menemukan mayat yang telah rentung.
“Susulan itu, kita memanggil pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mayat-dikerat-kerat-ditemukan-rentung-dalam-but-kereta-1.123687#sthash.EIfUutI0.dpuf

Kediaman tertimbus di China, 40 hilang


Anggota keselamatan memimpin seorang wanita yang merupakan mangsa
Anggota keselamatan memimpin seorang wanita yang merupakan mangsa kejadian tanah runtuh yang menimbuskan bangunan kediaman pekerja di sebuah syarikat perlombongan di Shangluo, wilayah Shaanxi di utara China, semalam. - AGENSI
BEIJING 12 Ogos – Kira-kira 40 orang hilang di China selepas tanah runtuh menimbus bangunan kediaman pekerja di sebuah syarikat perlombongan di Shangluo, wilayah Shaanxi di utara China, malam tadi.
Hujan lebat pada tengah malam menyebabkan tanah runtuh dan menimbus 15 asrama pekerja dan tiga kediaman di Shangluo, kata satu kenyataan kerajaan tempatan.
“Kira-kira 40 orang hilang. Polis, bomba, pasukan penyelamat perlombongan dan kakitangan perubatan dihantar ke tempat kejadian dan penduduk di kawasan itu telah dipindahkan,” tambah kenyataan itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan, operator lombong dikenal pasti sebagai syarikat perlombo­ngan Wuzhou, yang menurut syarikat induknya merupakan pengeluar utama vanadium.
Dalam kejadian berasingan, lombong arang batu dan gas di wilayah Guizhou di barat daya China meletup, semalam membunuh 10 orang dan seorang lagi dilaporkan masih hilang, demikain menurut satu kenyataan pihak berkuasa keselamatan wilayah.
“Usaha menyelamat sedang dilakukan,” menurut kenyataan itu.
China merupakan pengeluar terbesar arang batu di dunia dan sedang bergelut untuk meningkatkan keadaan dalam sektor itu yang dilanda rasuah dan masalah undang-undang.
Kemalangan di lombong arang batu di China membunuh 931 orang pada tahun lalu, kata seorang pegawai kanan keselamatan pekerja pada Mac lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kediaman-tertimbus-di-china-40-hilang-1.123635#sthash.OhlBYq5i.dpuf