Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar berkata, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati terdapat satu objek kecil se­perti anak peluru berwarna kuning di sebelah kanan kepala mangsa.
Terdahulu, katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan darah di tepi telinga kiri oleh iste­rinya, Saripah Ismail, 49.
“Pada pukul 7.15 pagi, semasa keluar dari rumah untuk menghantar anaknya ke sekolah, penga­du (isteri) melihat suaminya berada di hadapan rumah sedang menghisap rokok.
“Kira-kira 15 minit selepas itu, pengadu yang baru pulang mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri, bagaimanapun dia tidak mengesyaki apa-apa dan berpendapat mungkin suaminya jatuh lalu pengsan.
“Pengadu bersama anaknya membawa mangsa ke klinik kesihatan berhampiran dan doktor bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini.
Menurut Idris, atas nasihat doktor, pengadu kemudiannya membuat laporan kematian di Balai Polis Cabang Tiga di sini dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Katanya, laporan bedah siasat mendapati peluru berkenaan ma­suk dari sebelah kiri kepala mang­sa iaitu di bahagian atas telinga dan tersangkut di bahagian kanan kepala.
“Peluru berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia di Kuala Lumpur. Berdasarkan pengamatan awal, kita percaya peluru ini daripada jenis 9 milimeter.
“Bagaimanapun, siasatan awal di lokasi kejadian tidak mene­mukan apa-apa kesan sama ada kelongsong mahu pun lain-lain bukti, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif kejadian menerusi pasukan khas yang diwujudkan.
Katanya, siasatan mengambil kira pelbagai sudut antaranya faktor personaliti serta projek dijalankan mangsa di samping kedudukan kem tentera berhampiran.
“Mangsa yang bersara sejak Mei lalu pernah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai dan kini menjalankan kerja sambilan sebagai kontraktor bangunan.
“Tidak ada masalah yang timbul antara mangsa dengan keluarga mahupun penduduk sekitar dan jiran sejak menetap di situ. Mangsa seorang yang peramah. Mana-mana saksi yang nampak kejadian diminta berhubung segera dengan pihak polis,” katanya.
Jenazah mangsa yang merupakan bapa kepada empat anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Limbat tengah malam tadi.
Dalam pada itu, salah seorang menantu mangsa, Sanusi Salleh, 31, berkata, kali terakhir dia berjumpa bapa mentuanya adalah pada minggu lalu dan mangsa tidak menunjukkan apa-apa perubahan pada sikapnya.