Search This Blog

Sunday, August 9, 2015

Lori bawa bom meletup


Kabul: Sekurang-kurangnya enam maut dan puluhan lain cedera dalam letupan lori membawa bom yang menyasarkan pangkalan pasukan khas tentera Afghanistan, semalam.

Letupan itu yang terbaru dalam beberapa siri serangan oleh pemberontak Taliban dan sekutunya sejak tentera asing meninggalkan Afghanistan hujung tahun lalu.

Gabenor wilayah Logar, Aleem Fedaee berkata: “Bom itu besar dan dibawa lori kecil mengakibatkan kerosakan teruk serta mencederakan orang awam.

“Kesan letupan memecahkan tingkap di bangunan sejauh satu kilometer.”

Katanya, tiga askar dan tiga orang awam setakat ini dilaporkan maut.

Selain itu, 11 doktor di hospital berkenaan juga cedera dalam kejadian itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:41 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68812#sthash.syfKVhQr.dpuf

Budak 11 tahun didakwa tembak mati kanak-kanak

Detroit: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun didakwa atas tuduhan menembak mati seorang budak berusia tiga tahun di sebuah kediaman di timur Detroit.
Kanak-kanak itu - yang namanya tidak didedahkan disebabkan usianya - hadir ke mahkamah juvana kelmarin atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Elijah Walker dan menggunakan senjata api ketika melakukan kesalahan.
Peguam kanak-kanak itu meminta supaya prosiding diadakan bagi memastikan sama ada dia layak dibicarakan. Ikat jamin ditetapkan AS$5,000 (RM20,000) dan prosiding praperbicaraan dijadualkan pada 10 Ogos ini.
Pendakwa Wayne County, Kym Worthy dalam kenyataannya berkata: “Ini mungkin kali pertama kami mendakwa seseorang yang begitu muda bagi kesalahan seperti ini.”
Tertuduh dikatakan mengambil pistol dari almari bilik di rumah bapanya pada petang Isnin dan mencampaknya dari tingkap ke halaman belakang.
Dia kemudian mengambil pistol terbabit dan masuk ke kereta sebelum Walker yang mengikutnya ditembak di muka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:42 PM

DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68817#sthash.sV9669f0.dpuf

Penyanyi serang pekerja gim

New York: Penyanyi rap Busta Rhymes didakwa semalam atas tuduhan menyerang pekerja gim di Manhattan dengan membaling minuman berprotein.
Rhymes, 43, atau nama sebenarnya Trevor Tahiem Smith Jr ditahan sekitar jam 8.30 malam kelmarin (waktu tempatan).
Jurucakap Jabatan Polis New York berkata, Rhymes dan pekerja terbabit bertengkar sebelum penyanyi itu membaling bekas kadbod berisi minuman protein perisa strawberi terhadap lelaki itu yang terkena pada kepala mangsa.
Peguam Rhymes berkata, dia yakin anak guamnya akan dilepaskan daripada tuduhan berkenaan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:45 PM


Rhymes
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68825#sthash.bQ1NWPZv.dpuf

Serangan terburuk di Kabul

Kabul: Serangan terhadap tentera dan polis Afghanistan serta pasukan khas Amerika Syarikat di Kabul, sejak Jumaat lalu, membunuh sekurang-kurangnya 50 orang, termasuk tentera Amerika manakala ratusan lagi cedera.
Menurut Reuters, tentera bersekutu dipimpin NATO semalam, mengesahkan seorang anggota pasukan antarabangsa itu dari Amerika serta lapan anggota kontraktor Afghanistan terbunuh dalam serangan terhadap Kem Integriti, pangkalan tentera khas Amerika dekat lapangan terbang.
Serangan bermula Jumaat lalu, apabila sebuah lori dimuat bom meletup di luar pangkalan berkenaan diikuti pertempuran sengit selama sehingga semalam. Pemberontak Islam mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Letupan berkenaan amat kuat untuk meranapkan bangunan di dalam kem berkenaan.
Menurut seorang anggota pasukan khas Amerika yang cedera, letupan amat kuat di pintu masuk dengan tembakan bertalu-talu daripada kedua-dua pihak.
Kem Integriti dikendalikan kontraktor keselamatan AS, Academi yang sebelum ini dikenali sebagai Blackwater dan menurut kenyataan syarikat itu, lapan anggota kontrak rakyat Afghanistan terbunuh.
Associated Press (AP) melaporkan Amerika mengesahkan seorang tenteranya terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 6:44 PM


Polis Afghannistan berjalan di depan bangunan yang musnah akibat serangan bom terbesar di Kabul, Jumaat lalu. - Foto REUTERS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69343#sthash.YK2wmnAH.dpuf

Bunuh 5 wanita dituduh amal sihir.

Ranchi (India): Lima wanita diseret keluar dari rumah mereka dan dibelasah hingga mati oleh penduduk kampung yang terpengaruh dengan tuduhan kononnya wanita terbabit mengamalkan sihir.
Menurut ibnlive.com, Timbalan Ketua Polis negeri negeri Jharkhand di timur India, Arun Kumar, berkata wanita terbabit berusia antara 32 hingga 50 tahun dibelasah dengan kayu oleh penduduk perkampungan Kanjia pada tengah malam Jumaat lalu.
“Mayat mangsa dimasukkan ke dalam guni dan dicampak di satu kawasan. Penduduk membantah apabila polis ke kampung itu bagi melakukan siasatan dan mencari mayat mereka,” katanya.
Lima wanita itu dituduh mengamalkan sihir selepas kematian tiga penduduk dan polis sudah menahan 27 orang.
Menurut AFP, polis kini sedang mencari seorang wanita yang dipercayai mencetuskan pembunuhan itu dengan menyebarkan khabar angin mangsa mengamalkan sihir.
“Wanita itu yang mencetuskan kejadian ini dan kami akan mendakwanya dengan tuduhan membunuh selepas menahannya,” kata Arun.
Menurut keluarga mangsa serangan itu dilakukan selepas kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sakit minggu lalu.
Mereka hanya mampu melihat apabila kumpulan penduduk sehingga 50 orang menyerbu masuk ke dalam rumah dan mengheret keluar mangsa sambil menjerit ‘Ahli sihir! Ahli sihir’.
“Ibu saya memakai rambut palsu dan penduduk percaya rambut itu ada kuasa sihir yang menyebabkan remaja berkenaan mati,” kata Angi Oraon kepada Hindustan Times.
Animiha Khalko, 25, berkata penduduk mengheret keluar ibunya dan membelahnya dengan belantan serta kayu.
“Pukulan dengan seketul batu di kepala menyebabkan dia cedera parah hingga mati. Saya hanya mampu melihat dari dalam rumah,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 7:09 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69346#sthash.rT7XyNNf.dpuf

Serangan bom terburuk di Kabul



Serangan bom terburuk di Kabul
SEORANG LELAKI TIDAK DAPAT MENAHAN KESEDIHAN SELEPAS MENGETAHUI AHLI KELUARGANYA TERBUNUH DALAM SERANGAN DI LUAR AKADEMI POLIS DI KABUL, KELMARIN. FOTO: AFP



9 OGOS 2015

KABUL - AFGHANISTAN. LEBIH 40 ORANG DILAPORKAN TERBUNUH DALAM BEBERAPA LETUPAN BERASINGAN YANG MENYASARKAN ANGGOTA KESELAMATAN DI KABUL, KELMARIN.

Menurut media tempatan, ia adalah serangan paling dahsyat pernah berlaku di ibu kota Afghanistan itu sejak pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) ditarik balik dari negara itu sejak Disember lalu.

Dalam serangan pertama, bom yang dipasang di sebuah lori meletup di tengah-tengah ibu kota Kabul pada tengah malam kelmarin.

Selang 24 jam kemudian, 20 anggota kadet polis terbunuh apabila seorang pengebom nekad yang menyamar dan memakai seragam polis meletupkan dirinya di luar akademi Polis di Kabul.

Saksi berkata, pengebom nekad itu berbaris dalam kalangan anggota kadet polis pelatih yang menunggu untuk menjalani pemeriksaan bagi memasuki akademi itu, sebelum bertindak meletupkan dirinya.

Serangan itu menyebabkan hospital-hospital di negara itu penuh sesak merawat ratusan mangsa yang cedera.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terbabit.

Ini adalah kali pertama keganasan maut itu berlaku di Kabul sejak Taliban mendedahkan tentang kematian pemimpinnya, Mullah Mohammad Omar. - Reuters

Penduduk Iraq protes rasuah, salah laku



Pemotongan bekalan elektrik di tengah-tengah cuaca panas melepasi 50 darjah Celsius dan salah pengurusan perkhidmatan awam juga mendorong orang ramai keluar ke jalan-jalan raya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Haider al-Abadi mengarahkan gaji pegawai kanan kerajaan dipotong dan beberapa keistimewaan diberikan kepada mereka seperti subsidi bil air api dimansuhkan.

Tetapi orang ramai masih mendesak agar pegawai kakitangan kerajaan termasuk beberapa orang menteri yang menerima rasuah digantikan.

Menurut Speaker Parlimen Iraq, satu usul akan dikemukakan dalam usaha menangani gejala rasuah di negara itu.

Sistem perkongsian kuasa bagi jawatan-jawatan pemerintah Iraq didakwa telah menyebabkan pelantikan pegawai-pegawai yang tidak berkelayakan.

Ini sebaliknya menggalakkan gejala rasuah dan tindakan salah laku. - AFP

224,000 pelarian rentasi Mediterranean


Jurucakapnya, William Spindler memberitahu jumlah tersebut meningkat secara mendadak berbanding 219,000 orang pada tahun lalu.
"Kira-kira 124,000 pelarian telah tiba di Greece manakala 98,000 lagi mendarat di Itali. Lebih 2,100 dipercayai hilang atau mati lemas sejak tujuh bulan lalu.
"Kebanyakan daripada mereka adalah mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang melarikan diri dari konflik di negara masing-masing. Kira-kira 38 peratus daripada jumlah itu adalah pelarian dari Syria," jelasnya.
Dalam satu kenyataan, Spindler turut mengkritik negara Eropah kerana tidak menyelaraskan respons mereka dengan cara lebih baik.
"Krisis kebanjiran pelarian ini berlaku kerana negara Eropah gagal bekerjasama menangani kemasukan golongan itu secara beramai-ramai di rantau terbabit," katanya lagi. - Press TV

Tiga Pekerja Binaan Maut Dihempap Runtuhan


Diterbitkan: Sabtu, 8 Ogos 2015 9:11 PM
Sebahagian bangunan kilang dalam pembinaan di Jalan Perusahaan Bukit Minyak 11 runtuh pada Sabtu. Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Tiga orang pekerja Myanmar maut akibat dihempap dinding sebuah kilang yang dalam pembinaan dalam kejadian hujan ribut di Bukit Minyak di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian di Bukit Minyak, para pekerja berkenaan sedang bekerja membina dinding kilang sebelum ribut dan hujan lebat berlaku sehingga menyebabkan dinding itu runtuh dan menghempap mereka.
"Seorang lagi pekerja Myanmar dalam kumpulan itu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, identiti ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun belum dikenal pasti. - Bernama

Panel SPRM Tuntut Dua Pegawai Dikembalikan


Diterbitkan: Sabtu, 8 Ogos 2015 8:37 PM

PETALING JAYA: Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) menuntut agar Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing.
Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaafar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, pihaknya yang merupakan salah satu panel memantau perjalanan SPRM terkejut dengan tindakan menukar dua pegawai kanan SPRM pada Jumaat.
Menurutnya, pertukaran tersebut pasti akan meningkatkan ketegangan seperti yang berlaku ketika ini.
"Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi.
"PPPR menuntut agar kedua-dua pegawai terbabit ini, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Jumaat, Bahri dan Rohaizad dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.
Johan berkata, panel itu menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan.
Panel itu turut memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada kedua-dua pegawai kanan terbabit yang hanya bertindak atas arahannya. 
"Meskipun PPPR berpendapat bahawa pendirian Datul Seri Shukri ini sesuatu yang terhormat, tetapi tidak perlu sama sekali," kata Johan.

Pengurus Restoran Didakwa Cabul Pekerja


Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2015 4:49 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencabul seorang pekerja restorannya pada Isnin lepas.
P. Charles Borromeo, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap wanita yang berusia 35 tahun di sebuah restoran di Jalan Nagasari Off Jalan Raja Chulan, dekat sini pada 10.30 malam, 3 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam menawarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan ikat jamin yang rendah atas alasan isteri tertuduh sedang mengandung dan anak guamnya itu perlu menyara keluarga.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Sept ini untuk sebutan kes.

Dua Beradik Didera Ibu Tiri Masih Dirawat


Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2015 8:51 PM

GEORGE TOWN: Dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun yang didakwa telah didera ibu tiri mereka di Pangsapuri Jelutong Indah di sini, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Said Sidup berkata dua beradik itu yang mempunyai kesan lebam dan luka dijangka keluar dari hospital Isnin ini.
"Selepas ini, kami akan mendapatkan perintah hak penjagaan sementara menurut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas dua beradik itu," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Beliau berkata ibu kandung dua beradik itu dilapor telah meninggal dunia dan pihaknya kini sedang mengesan keluarga ibu kandung mereka untuk perbincangan hak penjagaan.
Dua kanak-kanak itu dikesan mempunyai kesan luka dan lebam oleh guru sekolah kanak-kanak yang berusia lapan tahun yang kemudian memberitahu ibu saudara kanak-kanak berkenaan.
Pemeriksaan di badan kanak-kanak berusia lapan tahun itu mendapati ada kesan lebam di tepi mata kanan dan kesan luka di kepala serta calar di tangan kanan, manakala adiknya mempunyai parut lama di belakang kepala.
Justeru, polis menahan seorang wanita warga Indonesia pada Isnin lepas bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kertas siasatan terhadap wanita berusia 33 tahun itu hampir siap.
"Polis akan merekod keterangan guru kelas dan guru kaunseling mangsa yang berusia lapan tahun itu untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu," katanya.
Beliau berkata tempoh tahanan reman wanita itu yang tamat hari ini disambung selama empat hari lagi bagi membantu siasatan.

Pecah Cermin Kereta Sebelum Samun Surirumah


Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2015 9:07 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang surirumah kerugian barang kemas bernilai kira-kira RM6,000 apabila tiga lelaki bermotosikal menyamunnya di Bukit Indah, Ampang pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata kejadian berlaku pada pukul 10 pagi ketika mangsa yang berumur 59 tahun didatangi tiga lelaki yang menaiki dua buah motosikal.
Ketika itu mangsa berada di hadapan rumah rakannya.
"Seorang suspek yang disyaki menaiki motosikal Yamaha 125Z telah turun dari motosikalnya sebelum bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan parang.
"Susulan itu mangsa melarikan diri dengan keretanya namun diekori suspek yang meminta mangsa memberhentikan keretanya dan mengarahkan mangsa menyerahkan gelang emas dan jam tangannya," katanya.
Khairuldin berkata mangsa yang geram melihat barang berharganya dilarikan, telah bertindak nekad dengan melanggar rakan suspek yang sedang berada di atas motosikal di hadapan keretanya.
"Suspek yang bersenjatakan parang mengarahkan mangsa untuk mengundurkan keretanya dan terus membawa rakannya yang dilanggar dan melarikan diri dengan  sebuah lagi motosikal," katanya.
Beliau berkata motosikal yang ditinggalkan suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Salah tempat minta tolong

Kuwait: Seorang lelaki yang tersesat ketika dalam perjalanan pulang selepas mengambil dadah singgah di sebuah balai polis untuk mendapatkan bantuan.
Akhbar Al Watan melaporkan, polis yang melihat lelaki itu dalam keadaan khayal, menangkapnya serta-merta.
Selepas memeriksa lelaki berkenaan, polis menemui ganja dan juga 20 pil dadah dalam sakunya.
“Dia datang meminta bantuan untuk tunjukkan arah ke rumahnya. Tetapi polis membawanya ke penjara.
“Dia kini berdepan tuduhan mengambil dan memiliki dadah,” lapor akhbar itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:28 AM

DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69062#sthash.DRrcgFrG.dpuf

Terlepas hukuman bunuh

Colorado: Lelaki yang mengakibatkan kematian 12 orang selepas melepaskan tembakan ketika tayangan perdana filem Batman, ‘The Dark Knight Rises’ di Aurora, Colorado pada 2012 dipenjara sepanjang hayat selepas juri memutuskan dia tidak patut dihukum mati.
Panel juri terdiri daripada sembilan wanita dan tiga lelaki itu berkata, mereka gagal mendapat keputusan sebulat suara bagi setiap tuduhan bunuh dihadapi James Holmes disebabkan penyakit mental dihidapinya.
Keputusan itu mengejutkan berikutan juri sama sebelum ini menolak pembelaan tidak siuman yang cuba diketengahkan peguam belanya selepas menganggap Holmes mampu membezakan benar dengan salah ketika kejadian yang turut mengakibatkan 70 orang cedera.
Juri sebelum ini nampak cenderung ke arah hukuman mati selepas menganggap kekejaman perbuatannya mengatasi penyakit mental dihidap.
Keputusan itu disambut dengan air mata keluarga mangsa dan polis yang tidak berpuas hati malah ramai terpaksa keluar kerana tidak mampu menahan perasaan, dengan tangisan mereka didengar dari luar kamar prosiding.
Ibu Holmes, Arlene - yang sebelum ini merayu juri tidak membunuh anaknya - juga dilihat menangis kesyukuran.
Holmes tidak menunjukkan sebarang reaksi disebabkan ubat antipsikotik dimakannya.
Seorang anggota juri yang ditemui di luar mahkamah berkata, seorang daripada mereka enggan memberikan hukuman mati manakala dua lagi tidak dapat memberi keputusan secara muktamad disebabkan isu sakit mental Holmes.
“Kami amat bersimpati dan bersedih dengan keluarga mangsa. Saya minta maaf,” katanya yang enggan dikenali.
Holmes menyelinap masuk ke panggung wayang itu pada 20 Julai 2012 sebelum berdiri di depan lebih 400 penonton dan melepaskan tembakan menggunakan senapang serta pistol.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:04 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69233#sthash.aTBNf4ee.dpuf

Dua beradik nyaris rentung di dapur rumah



KEADAAN sebuah rumah teres setingkat yang terbakar di Seksyen 10, Shah Alam awal pagi semalam.


SHAH ALAM – Dua kanak-kanak lelaki nyaris rentung dalam kebakaran tiga buah rumah teres di Jalan Celana 10/13, Sek­syen 10 di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, dua kanak-kanak lelaki terbabit, Zariq Azraei Zainuddin, 14, dan adiknya, Adam Narwas Zainuddin, 6, terperangkap di bahagian dapur rumah tersebut hampir 20 minit sebelum diselamatkan oleh anggota bomba.
Difahamkan, kebakaran bermula di sebuah rumah milik Zainuddin Abdul Wahab (gambar kecil), 41, yang juga bapa kepada dua kanak-kanak terbabit sebelum merebak ke rumah bersebelahan.
Kedua-dua rumah yang terletak di kiri dan kanan rumah mangsa turut hangus lebih 30 peratus. Selain itu kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan milik Zainuddin.
Menurut Zainuddin, ketika kejadian dia dan isteri, Noorlaila Abdul Majid, 41, serta seorang lagi anak mereka dalam perjalanan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk berniaga, namun berpatah balik setelah menerima panggilan tentang kejadian itu daripada salah seorang jirannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3iGpp8Tpt 
Hakcipta terpelihara 

Ibu maut, anak parah Perodua Viva bertembung lori



ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang wanita yang maut selepas Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan lori 5 tan di Kilometer 11.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang kelmarin.


GUA MUSANG – Seorang ibu maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas kereta Perodua Viva yang dipandu wanita terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 5 tan di kilometer 11.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Renok Baru di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 1 petang, mangsa Chin Yu Tai, 52, yang tinggal di Taman Guchil, Kuala Krai maut selepas cedera pada kepala dan tersepit manakala Low Qing Xiang, 9, turut mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menaiki Perodua Viva dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3iGpgy9rd 
Hakcipta terpelihara 

Dua beranak maut kereta terhumban dalam tali air



ORANG ramai melihat dua kenderaan yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Jeti Kuala Sebatu, Merlimau, Melaka semalam.


JASIN – Seorang lelaki dan bayi­nya yang berusia lima bulan maut apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah kenderaan lain sebelum terbabas ke dalam tali air di Jeti Kuala Sebatu, Merlimau di sini petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mazda dipandu Muhammad Faris Zainal Abidin, 27, hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah Nissan Grand Livina.
Akibatnya, kedua-dua buah kenderaan tersebut terbabas ke dalam talam air dan menyebabkan Muhammad Faris maut di tempat kejadian manakala anaknya, Putra Muhammad Arif meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai.
Sementara itu, isteri mangsa, Harisah Diana Zakaria, 24, turut mengalami kecederaan parah pada leher sementara dua lagi mangsa yang menaiki Nissan Grand Livina mengalami kecede­raan ringan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3iGpRStxh 
Hakcipta terpelihara 

Bas kilang bawa 40 pekerja rempuh kedai makan



KEADAAN sebuah bas kilang yang terperosok ke dalam sebuah kedai makan selepas terbabas di Bukit Mertajam awal pagi semalam.


SEBERANG PERAI – Sekumpulan pekerja warga asing yang dalam perjalanan ke tempat kerja berdepan detik cemas apabila bas kilang yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah kedai makan di Bukit Mertajam semalam.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, bas kilang berkenaan dikatakan membawa 40 penumpang dari Machang Bubok, Bukit Mertajam ke sebuah kilang di Perai di sini.
“Apabila sampai di selekoh dari Jalan Kulim ke Jalan Kampung Baru, bas dikatakan hilang kawalan setelah terlanggar belakang sebuah kereta Perodua Myvi sebelum merempuh kedai makan tersebut.
“Mujurlah ketika kejadian tiada orang di sekitar kedai makan itu kerana belum beroperasi.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan kedai makan itu rosak teruk akibat dilanggar bas itu dalam kejadian pukul 6.45 pagi,” katanya kepada Kosmo! Ahad.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3iGp4zKax 
Hakcipta terpelihara 

Maut ditetak hanya kerana RM200



LOKASI kejadian Amnah (gambar kecil) ditetak pada kepala dan tangannya sehingga mati di Taman Sentosa, Simpang Kuala, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Rutin seorang wanita yang gemar membasuh baju di hadapan rumah pada awal pagi selepas pulang berniaga, berakhir dengan kejadian ngeri selepas mangsa maut ditetak pada kepala dan kedua-dua belah tangan di ruang tamu kediamannya di Taman Sentosa, Simpang Kuala di sini semalam.
Lebih menyayat hati, Amnah Omar, 49, yang juga pengusaha kedai makan dipercayai ditetak suspek yang cuma mencuri RM200 dan sebuah telefon bimbit selepas melarikan beg silang milik mangsa.
Mayat Amnah ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak bongsunya, Wan Mohd. Hairi Mohd. Razi, 28, yang baru pulang membeli minuman pada pukul 4 pagi.
Jiran mangsa, Rosmini Junuh, 45, berkata, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar suara lelaki meminta tolong dan mengetuk pagar rumahnya.
“Apabila saya keluar, anak lelaki mangsa yang tinggal selang sebuah rumah meminta saya ke rumahnya untuk melihat keadaan ibunya yang berlumuran darah.
“Sebaik tiba di rumahnya, saya lihat mangsa sudah tidak bergerak dengan kesan tetakan pada kepala dan kedua-dua belah tangan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3iGokX22t 
Hakcipta terpelihara 

Ribut kencang ragut empat nyawa


SEORANG anggota bomba mengeluarkan salah seorang daripada tiga pekerja asing yang maut dihempap dinding akibat ribut di Bukit Minyak, Seberang Perai semalam.


SEBERANG PERAI – Ribut kencang yang dianggap pakar cuaca sebagai ekstrem membadai negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan kawasan paling teruk di Pulau Pinang sehingga mengorbankan empat nyawa petang semalam.
Dalam kejadian pertama sekitar pukul 4.50 petang, tiga pekerja warga asing maut selepas angin kencang dan hujan lebat menyebabkan dinding sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan menghempap mereka di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini.
Ketika kejadian, tiga mangsa yang mati bersama seorang lagi rakan mereka yang cedera sedang berteduh akibat cuaca buruk selama lebih setengah jam itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Raza Taja Rahim berkata, ketiga-tiga mayat berkenaan dikeluarkan kira-kira pukul 5.20 petang.
“Terdapat empat mangsa yang terbabit dalam insiden ini dan kita berjaya mengeluarkan tiga mayat yang tertimbus, manakala seorang lagi cedera.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sedang bekerja sebelum dikejutkan dengan kejadian angin kencang sehingga menyebabkan bangunan dalam pembinaan itu bergegar membuatkan mereka berteduh di tepi dinding bangunan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3iGoMzIzI 
Hakcipta terpelihara 

Kabul dibom lagi, 50 terbunuh


ANGGOTA polis berkawal di pintu masuk Akademi Polis Kabul sehari selepas dua serangan maut menggegarkan ibu negara Afghanistan kelmarin. - Agensi


KABUL – Satu serang­an bom terbaharu menggegarkan bandar ini kelmarin menyebabkan angka kematian me­ningkat kepada sekurang-kurang 50 orang, manakala beratus-ratus yang lain cedera.
Peristiwa itu menjadi hari paling berdarah di ibu negara Afghanistan sejak berakhirnya misi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Di­sember tahun lalu.
Siri letupan yang memusnahkan bangunan dan menyebabkan hospital di­limpahi mangsa tercedera itu merupakan serangan ketenteraan pertama seumpamanya ke atas Kabul sejak pengumuman kematian pemimpin Taliban, Mullah Omar.
Dalam serangan pertama awal pagi kelmarin, sebuah trak sarat dengan bahan letupan memusnahkan pusat bandar Kabul menyebabkan 15 orang awam terbunuh dan 240 lagi cedera.
Kurang 24 jam kemudian, sekurang-kurangnya 20 orang kadet polis terbunuh selepas seorang pengebom berani mati yang memakai uniform polis meletupkan bom kereta di pintu masuk Akademi Polis Kabul.
Taliban menafikan penglibatan dalam sera­ng­an pertama itu yang berlaku berhampiran sebuah pangkalan tentera di te­ngah bandar ini tetapi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan kedua.
Letupan dan kejadian berbalas tembakan turut berlaku malam kelmarin di Kem Integrity, sebuah pangkalan berhampiran lapangan terbang yang menempatkan pasukan khas Amerika Syarikat. Insiden itu menyebabkan seorang anggota NATO terbunuh.
Jet-jet pejuang turut kedengaran terbang sekitar pusat bandar Kabul tidak lama selepas siri letupan tersebut.
Kemusnahan terbaharu itu menonjolkan situasi keselamatan yang tidak menentu di Afghanistan di sebalik perjanjian damai dengan Taliban semakin goyah manakala tentera kerajaan berdepan musim panas pertama bertempur tanpa sokongan penuh daripada NATO. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3iGnAobza 
Hakcipta terpelihara 

Wanita ditemukan mati dikelar


ALOR SETAR 8 Ogos - Seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di kepala dan badan di rumahnya di Taman Sentosa di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Amnah Omar, 47, ditemukan oleh anak lelakinya, Wan Mohd. Hairi Mohd Razi, 27, yang sebelum itu keluar untuk membeli minuman.
Mangsa ditemukan dengan kesan kelar di muka, kepala dan tangan di pintu hadapan rumahnya dipercayai ditoreh dengan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan kejadian itu dan membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wanita-ditemukan-mati-dikelar-1.122057#sthash.4z2O3HeE.dpuf