Search This Blog

Friday, August 7, 2015

45 Penumpang Cedera, Bas Terbabas Ke Dalam Sungai


Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2015 1:46 PM

KOTA BARU: Seramai 45 penumpang termasuk 16 pelancong asing cedera apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Kampung Guchil, Batu Balai di Kuala Krai pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Hanif Khalid berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.40 pagi Jumaat ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu.
"Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai yang diarah ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh orang awam, mendapati sebuah bas terjatuh ke dalam sungai berhampiran jambatan Kampung Guchil.
"Kemalangan itu turut menyebabkan tujuh penumpang cedera parah sementara 38 mangsa lagi cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan hilang kawalan dan melanggar jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai itu.

Lemah, muntah darah sebelum meninggal dunia

Kuantan: Bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia malam tadi akibat pendarahan di kepala dipercayai berpunca daripada kecuaian pengasuhnya.
Mohamad Haziq Izzudin Mohd Safari meninggal dunia kira-kira 11.50 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ibu mangsa mendapat panggilan telefon daripada pengasuhnya pada 10.30 pagi Rabu lalu yang memaklumkan anaknya tersedak susu.
"Sebaik tiba di rumah pengasuh, ibu mangsa mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan muntah darah serta terdapat kesan benjol di belakang kepalanya.
"Ibu mangsa membawa bayinya ke hospital swasta sebelum dipindahkan ke HTAA petang semalam berikutan keadaanya semakin kritikal.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 11.50 malam tadi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 11:43 AM


Mohamad Haziq Izzudin meninggal dunia di HTAA malam tadi. FOTO ihsan ibu Mohamad Haziq
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68785#sthash.2vK81Qsr.dpuf

Arah polis buru penyebar klip video seks


Beijing: Pihak berkuasa antiporno China mengarahkan polis memastikan hukuman lebih tegas terhadap mereka yang menyebarkan klip video seks di Internet.

Polis China melancarkan siasatan terhadap penyebaran beberapa klip video lucah di Internet berikutan tindakan terhadap rakaman seks berprofil tinggi bulan lalu.

Pejabat Melawan Penerbitan Porno dan Haram mengarahkan supaya siasatan polis turut membabitkan dua video yang menjadi viral minggu ini, dipercayai dirakam masing-masing di Zhejiang dan Sichuan.

Polis mengesan suspek terbabit dan kes berkenaan masih disiasat, kata pejabat itu semalam.

Ia turut menyelar penyebaran rakaman seperti itu sebagai tidak bermoral dan wajar dikenakan hukuman tegas.

Orang ramai juga digalakkan melaporkan kesalahan seumpama itu sama ada melalui telefon atau di media sosial.

Bulan lalu polis Beijing menahan empat orang berhubung penyebaran video seks dirakam di bilik persalinan Uniqlo di Sanlitun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:41 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68813#sthash.r5l3kWuY.dpuf

Ketua sami Shaolin dituduh skandal seks


Beijing: Pihak berkuasa China menyiasat dakwaan salah laku seks terhadap ketua sami kontroversi dikenali sebagai ‘CEO monk’ yang menjadikan Kuil Shaolin empayar perdagangan berjaya.

Shi Yongxin dituduh bekas pengikutnya mempunyai hubungan dengan sami wanita sehingga mendapat beberapa anak luar nikah selain dituduh menggelapkan dana kuil.

Biro hal ehwal agama di bawah kerajaan tempatan Denfeng berkata, ia kini menyiasat dakwaan itu yang dibuat di Internet terhadap Shi.

“Pihak kami memandang serius dakwaan ini dan akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin bagi memastikan tiada salah faham berhubung isu itu,” kata kenyataan di laman web biro berkenaan.

Kenyataan itu tidak menyatakan dakwaan dikenakan secara terperinci, tetapi media tempatan melaporkan Shi dituduh mempunyai beberapa anak dengan sekurang-kurangnya dua wanita selain menggelapkan wang kuil.

Kuil berkenaan berkata di laman webnya, dakwaan berkenaan sekadar khabar angin palsu yang diada-adakan orang ramai untuk memberi persepsi negatif terhadap amalan Zen Buddha.

Februari lalu, Shi mengumumkan perancangan membina kompleks bernilai AS$297 juta (RM1.2 bilion) di Australia merangkumi kuil, hotel, akademi kung fu dan padang golf.

Dia dikritik kerana dianggap berusaha menjadikan kuil itu dan sami yang terkenal dengan kemahiran kung fu sebagai satu perusahaan komersial seterusnya menjadikannya sami paling terkenal di China. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:41 PM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68814#sthash.C2YQpEAu.dpuf

Bunuh: 6 direman bantu siasatan

Bunuh: 6 direman bantu siasatan
Keenam-enam suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh semalam untuk tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 12 Ogos ini.


WARTAWAN SINAR HARIAN
TEMERLOH – Polis mendapat perintah reman tujuh hari terhadap enam individu bagi siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki yang mayatnya ditemui berhampiran Sungai Senut dekat Kilometer 96.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur 2 Ogos lalu.
Keenam-enam yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan umur 20 hingga 30 tahun dan ditangkap dalam serbuan polis di Ampang dan Semenyih awal pagi semalam.
Kesemua yang ditahan semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk mendapatkan perintah tahanan reman bermula semalam hingga 12 Ogos ini dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 4 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan polis menemui mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh berhampiran Sungai Senut dekat Kilometer 96.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur berhampiran Lanchang.
Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30 an itu dipercayai anggota kongsi gelap ditemui penduduk kampung berhampiran kira-kira jam 3 petang kelmarin yang terus menghubungi polis tidak lama selepas itu.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Pahang Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa dipercayai mati tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat mangsa yang telah reput dan berkemungkinan dibunuh di tempat lain dan dibuang di kawasan tersebut.
“Tiada pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut yang masih lengkap berpakaian baju hujan lengan panjang warna merah dan hitam serta berseluar gelap paras lutut.
“Berdasarkan siasatan awal, mayat dipercayai dibuang dari atas jambatan LPT dan pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam sepanjang enam inci di rusuk kiri mangsa.
“Si mati mempunyai ketinggian 169 sentimeter berusia lingkungan 30 an dan mempunyai tatu ‘Danesh’ di lengan kiri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, turut sama ditemui tatu berbentuk ikan koi merah hitam di bahu kiri, dan tatu berbentuk matahari dengan angka lapan di dada.
Menurutnya, juga ada tatu huruf ‘PSO' di bahagian dada kiri dan tatu berbentuk kepala naga di bahagian belakang tangan kanan.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) mengesahkan si mati dihentak dengan kuat menggunakan senjata tumpul di kepala,” katanya.

Keluarga mangsa MH370 mahu jawapan pasti

Keluarga mangsa MH370 mahu jawapan pasti
Keluar mangsa MH370 di China. - Foto Bernama

WARTAWAN SINAR HARIAN

 6 OGOS 2015

BEIJING - CHINA. Keluarga mangsa nahas penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang Mac tahun lalu melahirkan rasa kecewa dengan maklumat yang bercanggah antara Malaysia dan Perancis mengenai pengesahan bahawa serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah sah milik MH370‎.

"Mengapa sebelah pihak mengesahkan penemuan itu adalah milik MH370 tetapi salah satu pihak lagi mengatakan tidak," kata Sara Weeks dari Christchurch New Zealand yang merupakan adik kepada Paul Weeks, salah seorang penumpang MH370.

"Mengapa tidak mengumpulkan semua waris mangsa sebelum membuat pengumuman dan keluarga tidak perlu melalui kemelut ini,"

"Selepas 17 bulan, kita memerlukan jawapan yang pasti, Kita perlu maju, dapatkan jawapan, bergerak ke arah jawapan lagi, dan mendapatkan kesimpulan," tambahnya lagi yang dipetik dari laporan Assiociate Press (AP).

Awal pagi tadi, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa bahagian sayap kapal terbang yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis adalah sah milik Penerbangan MH370 dan ia adalah selaras dengan kesimpulan Malaysia bahawa pesawat terhempas di Lautan Hindi, mengorbankan kesemua penumpang di atas kapal.

Namun, memetik laporan AP, pegawai-pegawai Perancis yang bertangungjawap menjalankan penyiasatan berkata, hanya penemuan "flaperon' yang ditemui itu adalah petanda kuat bahawa ia milik MH370 namun akan berusaha lebih keras lagi untuk mengesahkan lagi mengenai penemuan itu hari ini.

Sementara itu, Xu Jinghong dari Beijing, China berkata, beliau tidak faham mengapa pihak berkuasa Malaysia dan Perancis tidak membuat pengumuman bersama-sama.

" Saya amat marah dan pengumuman itu dibuat tanpa pakar-pakar dari Perancis dan mengapa prosedur seperti ini boleh dilakukan.

Jiang Hui, 41, yang juga waris mangsa berkata,  masih terdapat kekurangan bukti untuk membuktikan bahawa pesawat terhempas seperti yang diumumkan pada tahun lepas, tambahan lagi, banyak persoalan utama dimana ia terhempas masih belum dipastikan.

DI Kuala Lumpur, Melanie Antonio, isteri pramugara MH370 berkata, sukar untuk ditafsirkan perasaan saya ketika ini.

"Saya keliru, saya tidak sedih,"

"Ia hanya 'flaperon', ia tidak membuktikan apa-apa. Kami masih perlu bangkai untuk membuktikan. Saya hanya mahukan bukti lain yang mengesahkan kematian suami saya," katanya.

Helikopter tentera terhempas, 17 maut

6 OGOS 2015

 KABUL - AFGHANISTAN. Sebuah helikopter tentera Afghanistan terhempas di kawasan terpencil di wilayah Zabul hari ini, mengorbankan 17 orang termasuk lima juruterbang.

Ketua Polis Daerah Mirwais Noorzai berkata, punca kemalangan  belum diketahui dan masih dalam siasatan.
Kementerian Pertahanan berkata,  insiden dipercayai berpunca daripada masalah teknikal tetapi tiada maklumat lanjut diberikan.
Helikopter tentera terhempas, 17 maut

Sementara itu, di wilayah Logar timur, seorang pengebom berani mati meletup sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan di luar pejabat kerajaan wilayah, membunuh lapan orang dan mencederakan 12 yang lain.
Din Mohammad Darwish, jurucakap gabenor wilayah Logar, berhampiran Kabul, berkata mangsa termasuk tiga anggota polis dan lima orang awam terbunuh.

Memetik laporan AP, lima polis adalah antara yang cedera.

Guna dron seludup dadah ke penjara

dron
Gambar Hiasan
6 OGOS 2015

 OHIO - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah dron dikesan menjatuhkan bungkusan mengandungi heroin, marijuana dan rokok ke dalam sebuah penjara, kata polis.
Menurut laporan dari Jabatan Pemulihan Ohio, penghuni penjara dari Institusi Pemulihan Mansfield mula bergaduh untuk merebut barang larangan tersebut selepas ia dijatuhkan.
Pegawai penjara terpaksa menggunakan semburan lada untuk melarikan pergaduhan tersebut, lapor portal berita Time. 
Kesemua penghuni penjara diperiksa selepas kejadian tersebut.
Seramai sembilan pesalah kemudian diletakkan di dalam penjara berasingan.
Siasatan mendapati bungkusan tersebut ditujukan kepada seorang penghuni, namun gagal memastikan jika ianya berkaitan dengan aktiviti kumpulan kongsi gelap di dalam penjara.

Lelaki ditemui tergantung, tangan berikat

Kemalangan maut
Gambar hiasan

7 OGOS 2015
RAWANG - Seorang lelaki ditemui mati tergantung dengan tangan terikat di jambatan berhampiran Taman Tun Perak, di sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Mangsa berusia 29 tahun itu tinggal bersama keluarganya di Pangsapuri PKNS Batu 16, beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
Menurut sumber, mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar jam 10.30 malam sehari sebelum kejadian dan keluarga hanya dimaklumkan selepas penemuan mayatnya.
“Mayatnya ditemui orang awam sekitar jam 5 petang sebelum memaklumkan kepada polis. Keluarga memberitahu mangsa keluar tanpa membawa telefon bimbit dan dompet.
“Lokasi itu sering menjadi tempatnya memancing. Mangsa berpisah dengan isteri dua tahun lalu. Mereka tiada anak dan mangsa tinggal bersama keluarga serta bekerja kilang di Rawang,” kata sumber berkenaan.
Tiada sebarang kecederaan ditemui pada anggota badan mangsa kecuali di lehernya akibat jerutan pada tali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

7 maut akibat penyakit seakan Pneumonia di New York

RABU, 5 OGOS 2015 @ 1:01 AM



 SEJUMLAH 64 mangsa masih dirawat untuk gejala seakan-akan Pneumonia di hospital sejak wabak itu bermula pada 10 Julai lalu di selatan kejiranan Bronx. - Foto Wikimedia Commons

NEW YORK: Kewujudan sejenis penyakit di New York mengorbankan tujuh orang dan menjangkiti 86 yang lain, ketika bandar raya itu bertindak membuat undang-undang baharu bagi mengekang penularan wabak pada masa depan. Sejumlah 64 mangsa masih dirawat untuk gejala seakan-akan Pneumonia di hospital sejak wabak itu bermula pada 10 Julai lalu di selatan kejiranan Bronx. Penyakit itu dikenali Legionnaires disebar dengan bakteria yang ditemui dalam menara penyejuk lima bangunan di kawasan itu. Pihak berkuasa berkata mereka yang maut adalah pesakit berusia dan mempunyai penyakit lain sebelum itu. Bagaimanapun, penyakit Legionnaires tidak berjangkit dan boleh dirawat dengan antibiotik. "Doa kami kepada semua yang terjejas dan terutamanya keluarga mereka yang terkorban," kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dalam sidang media pada Selasa. Dewan bandar raya sudah mengenalpasti dan membasmi bakteria di lima menara penyejuk terbabit, ia menjadi tempat pembiakan bakteria Legionella. Bekalan air, punca air, air mandian dan kolam New York adalah selamat dan tidak terjejas, kata pihak berkuasa. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72452

Datuk Bandar, isteri di pekan kecil Brazil maut ditembak

RABU, 5 OGOS 2015 @ 9:09 AMBRASILIA: Seorang datuk bandar sebuah pekan kecil di Brazil dan isterinya ditembak mati semalam dengan polis mengesahkan kejadian itu masih disiasat. Jurucakap polis berkata, mayat Daniel Antonio de Sousa dan isterinya, Elizeth Bruno de Barros ditemui di kediaman mereka di Matrincha, pekan yang hanya mempunyai 4,000 penduduk yang terletak di tengah negeri Goias. "Mereka telah dibunuh dengan senjata api," kata jurucakap polis itu. Pada Mei lalu, Datuk Bandar Paraty, sebuah bandar peranginan di negeri Rio de Janeiro cedera apabila diserang menggunakan senjata api. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72469

11 terbunuh bangunan runtuh di Guinea-Bissau

RABU, 5 OGOS 2015 @ 9:30 AM



 BISSAU: Sebelas terbunuh termasuk dua bayi apabila bangunan empat tingkat di Guinea-Bissau runtuh, kelmarin. Kejadian berlaku di Canchungo, pekan kecil di utara negara berkenaan yang terletak di barat Afrika itu. Pasukan penyelamat menjumpai empat mayat di celah runtuhan pada hari kejadian, manakala tujuh lagi mayat semalam. Dua bayi berusia enam dan lapan bulan adalah antara mangsa runtuhan manakala dua lagi cedera. Seorang penduduk tempatan berkata, bangunan berkenaan milik seorang doktor tradisional dan ketika kejadian dilaporkan sedang merawat pesakit. Beberapa kanak-kanak juga dilaporkan sedang menonton perlawanan bola sepak di tingkat empat bangunan itu ketika kejadian. Seorang arkitek, Batica Pereira memberitahu stesen radio tempatan bahawa punca runtuhan disebabkan tidak memenuhi piawaian keselamatan bangunan dengan asas binaan yang gagal menampung lebih dari satu tingkat. Guinea-Bissau adalah tanah bekas jajahan Portugis dan memperoleh kemerdekaan pada tahun 1974. Ia antara negara di tangga tercorot dalam Indeks Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72471

Pierce Brosnan ditahan kerana bawa pisau ketika menaiki pesawat

RABU, 5 OGOS 2015 @ 1:44 PM

 Susunan oleh Farhana Ab Rahman farhana@bh.com.my


 BEKAS bintang James Bond, Pierce Brosnan ditahan oleh pihak keselamatan di lapangan terbang kerana membawa pisau bersamanya ketika hendak menaiki pesawat untuk penerbangan domestik.

VERMONT, Amerika Syarikat: Bekas bintang James Bond, Pierce Brosnan ditahan oleh pihak keselamatan di lapangan terbang kerana membawa pisau bersamanya ketika hendak menaiki pesawat untuk penerbangan domestik. Brosnan, 62, ditahan kerana didakwa membawa pisau memburu berukuran sepuluh inci dalam bagasi tangannya. Menerusi rakaman kamera litar tertutup, Brosnan dilihat memberi penjelasan berhubung pisau dalam begnya itu kepada pihak keselamatan. Namun, pelakon itu dibenarkan untuk meneruskan perjalanannya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Burlington di Vermont selepas isu itu diselesaikan. Bagaimanapun, beliau belum membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu. Aktor kelahiran Ireland ini, mula memegang watak James Bond sejak 1995 hingga 2002 dengan empat sekuel iaitu Golden Eye, Tomorrow Never Dies, The World Is Not Enough dan Die Another Day sebelum digantikan aktor sasa, Daniel Craig (2005). Brosnan juga menunjukkan lakonan cemerlangnya dalam filem The Fourth Protocol, The Lawnmower Man, Mrs Doubtfire dan Night Watch serta siri TV iaitu The Professionals, Murphy's Stroke, Masterpiece Theatre, Play For Today, Manions Of America dan Remington Steele.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72531

6 maut dalam serangan Taliban

Mullah Omar

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72752

KHAMIS, 6 OGOS 2015 @ 1:29 PM
 KABUL: Seorang pengebom nekad Taliban meletupkan trak sarat dengan bahan letupan di wilayah di selatan Kabul hari ini, menyebabkan enam orang terbunuh. Serangan itu juga adalah yang pertama sejak kumpulan itu mengesahkan kematian ketuanya, Mullah Omar. "Tiga anggota pasukan khas polis dan tiga orang awam terbunuh," menurut Timbalan Ketua Polis Logar, Mohammad Qari Wara. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72752

Askar Arab Saudi maut kena bedilan di sempadan Yaman

KHAMIS, 6 OGOS 2015 @ 3:01 PM



RIYADH: Seorang anggota tentera Arab Saudi terbunuh terkena bedilan di sempadan Yaman, menurut pihak tentera. "Beliau terkena bedilan di dalam sektor Jazan (daerah sempadan Arab Saudi)," menurut kenyataan pakatan yang diketuai Arab Saudi yang melancarkan serangan ke atas pemberontak Yaman lebih empat bulan lalu bagi menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang kini hidup dalam buangan. Jumaat lalu, tembakan roket dari Yaman membunuh empat anggota keselamatan di sempadan kedua-dua negara. - AFP

TENTERA pro-kerajaan, yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi, berdiri di sebelah kenderaan berperisai di pangkalan udara Al-Anad di wilayah Lahj, Aden, kelmarin. - Foto AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72776

17 tentera Afghan terbunuh dalam nahas helikopter

KHAMIS, 6 OGOS 2015 @ 6:36 PM



SEKURANG-KURANGNYA 17 orang termasuk 12 askar Afghanistan terbunuh dalam nahas helikopter di selatan negara - Foto

AP KANDAHAR, Afghanistan: Sekurang-kurangnya 17 orang termasuk 12 askar Afghanistan terbunuh dalam nahas helikopter di selatan negara itu, hari ini. Helikopter tentera itu terhempas apabila mengalami masalah teknikal di Shinkay, daerah yang bebas daripada aktiviti pemberontak. "Lima anak kapal dan 12 askar terbunuh apabila helikopter terhempas di daerah Shinkay, wilayah Zabul kerana masalah teknikal," kata seorang pegawai polis wilayah. Sementara itu, Ketua Daerah Shinkay, Mohammad Qasim Khan mengesahkan angka kematian itu, dengan komander tentera menyatakan sekumpulan pakar sudah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menyiasat nahas itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72823

13 terbunuh serangan bom dalam masjid

KHAMIS, 6 OGOS 2015 @ 9:17 PM



 RIYADH: Letupan dipercayai berpunca daripada pengebom bunuh diri menggegarkan sebuah masjid yang biasa dikunjungi anggota polis Arab Saudi menyebabkan sekurang-kurangnya 13 terbunuh di bandar Abha, di sini, hari ini. Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, sembilan lagi cedera yang mana tiga daripada mereka parah. Katanya, tiga yang terbunuh adalah kakitangan masjid yang digunakan anggota unit tindakan khas di Abha, di selatan wilayah Asir. "Pengganas menyerang jemaah yang sedang beribadat. Sepuluh anggota polis dan tiga kakitangan masjid terbunuh manakala sembilan cedera, tiga daripada mereka parah," katanya. Katanya, serangan itu dipercayai dilakukan pengebom bunuh diri, berdasarkan cebisan anggota badan yang di tempat kejadian serta rompi menempatkan bahan letupan. "Setakat ini masih terlalu awal untuk tuduh siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan ini," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72850

Helikopter tentera Pakistan terhempas, lapan terkorban

JUMAAT, 7 OGOS 2015 @ 1:27 AM



 HELIKOPTER milik tentera Pakistan yang membawa bekalan bantuan dan ubatan terhempas dekat bandar Mansehra di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kira-kira 170 kilometer ke utara Islamabad. - Foto dawn.com


ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh apabila helikopter milik tentera Pakistan terhempas di barat laut negara berkenaan, semalam. Menurut pegawai polis kanan, Nujeebur Rehman, lapan mayat ditemui di tempat kejadian dekat bandar Mansehra di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kira-kira 170 kilometer ke utara Islamabad. Mayat yang ditemui dalam keadaan rentung dan sukar dikenal pasti manakala helikopter yang membawa bekalan bantuan dan ubatan ke bandar utara Gilgit masih terbakar, tambahnya. Pesawat buatan Russia, Mi-17 yang digunakan tentera udara di seluruh dunia, mempunyai rekod keselamatan yang kurang memberangsangkan beberapa tahun kebelakangan ini. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72904

Kena denda RM100,000



SEBAHAGIAN tertuduh nelayan warga Indonesia dikawal oleh anggota polis di pekarangan di Mahkamah Majistret, Balik Pulau semalam.


BALIK PULAU – Seramai 12 nelayan warga Indonesia diarah membayar denda sebanyak RM100,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menangkap ikan di perairan negara ini bulan lalu.
Tertuduh yang terdiri daripada dua tekong dan 10 anak kapal daripada dua buah bot nelayan yang berbeza mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Mengikut pertuduhan, bot bernombor PB107 yang dinaiki tekong, Hasrun Naser, 30, dan empat anak kapal iaitu Nurmansyah Ahmad, 29, Hendra Anwar, 28, Aki Nazir, 27, dan Syarizal M. Salleh, 38, didakwa memancing di perairan Malaysia pada kedudukan kira-kira 50.3 batu nautika dari Pulau Kendi, Teluk Kumbar di sini.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 1.57 petang pada 24 Julai lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3i53dxu9s 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki ditemui rentung dalam kereta


Mayat seorang lelaki ditemui di tempat duduk pemandu sebuah kereta yang terbakar di kawasan Perindustrian Ringan Kamunting Jaya, Kamunting semalam.


TAIPING – Mayat seorang lelaki ditemui rentung di bahagian tempat duduk pemandu sebuah kereta yang terbakar di kawasan perindustrian ringan, Kamunting Jaya berhampiran Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tai­ping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 malam daripada orang awam yang memaklumkan tentang kejadian terbabit.
“Sejurus mendapat panggilan, kami menghubungi bomba dan sewaktu bomba tiba ke lokasi kejadian, api sedang marak terutama di bahagian hadapan kende­raan.
“Sebaik api berjaya dipa­damkan tidak lama selepas itu, pasukan bomba menyedari terdapat seorang mangsa yang sudah rentung berada di bahagian tempat duduk pemandu kereta ber­kenaan,” katanya ketika ditemui.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3i53UIPRO 
Hakcipta terpelihara 

3 anggota SMART dituduh bunuh



Tiga anggota pasukan SMART terbabit ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang pengusaha kolam ikan di Lingkaran Putrajaya, Cyberjaya pada 7 Julai lalu di Mahkamah Majistret Sepang semalam.


SEPANG – Tiga anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan seorang pengurus jualan didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pengusaha kolam ikan awal bulan lalu.
Tiga anggota SMART terbabit, Syazwan Saat, 29, Iskandar Zulkarnain Abdul Manaf, 28, dan Mohd. Idris Abu bakar, 40, serta Lim Chun Jie, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Alias Mat Noor, 52, di sebuah lombong tebatan banjir di Lingkaran Putrajaya, Cyberjaya, di sini antara pukul 10 hingga 11.55 malam 7 Julai lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3i53GNXo0 
Hakcipta terpelihara 

Warga emas maut kereta langgar lori sedang bayar tol

kemalangan

WARGA emas, Sa Song Loi, 60, maut selepas kereta Proton Satria yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori tangki yang berhenti untuk membayar tol di Plaza Tol Mambau Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA
SEREMBAN 6 Ogos - Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori tangki yang pemandunya sedang membayar tol di plaza tol Mambau Lebuhraya Seremban-Port Dickson awal pagi tadi.
Dalam kejadian 2.58 pagi itu, Sa Song Loi, 60, dari Taman Seri Pagi, Senawang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pegawai Bomba Kanan II dari balai Seremban Dua, Badrotamam Abd Rahim berkata anggota bomba terpaksa mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/warga-emas-maut-kereta-langgar-lori-sedang-bayar-tol-1.121151#sthash.NmET4f2L.dpuf

Tujuh lelaki ditahan bersama heroin

ABDUL AZIZ SALLEH (kanan) menunjukan dadah yang dirampas dalam

ABDUL AZIZ SALLEH (kanan) menunjukan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Kuantan, Pahang, semalam. Utusan/MAHATHIR ALI
KUANTAN 6 Ogos - Polis menahan tujuh lelaki bersama 201 gram dadah jenis heroin dalam tiga serbuan di Tanjung Lumpur di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, selain merampas dadah bernilai RM16,000, polis juga berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di kawasan itu dan sekitar Kuantan dalam serbuan yang bermula pukul 11 pagi.
“Serbuan pertama dan kedua di Jalan Tanjung Lumpur dan Kampung Teluk Baru masing-masing berjaya menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 51 tahun.
“Seorang lelaki yang berusia 44 tahun yang juga dipercayai seorang pengedar dadah ditahan dalam serbuan ketiga pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Baru Peramu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut diperoleh daripada tiga pembekal.
Katanya, kesemua suspek didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan dan mempunyai rekod lampau membabitkan dadah.
“Ketujuh-tujuh suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, polis sentiasa melakukan operasi bersepadu termasuk Op Sarang pada setiap bulan bagi membanteras gejala dadah di daerah ini.
“Pada tahun ini sahaja empat serbuan terbesar dilakukan di Tanjung Lumpur dan purata jumlah tangkapan melibatkan 100 orang. Semua mereka yang ditangkap dikenakan tindakan namun gejala dadah di kawasan berkenaan belum selesai sepenuhnya,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tujuh-lelaki-ditahan-bersama-heroin-1.121385#sthash.OkFaKmn5.dpuf

Dua penyamun gagal pecah mesin ATM


ANGGOTA polis memeriksa mesin ATM yang cuba dipecahkan dua lelaki di PJS 8/17 Dataran Mentari, Petaling Jaya, Selangor, semalam.
PETALING JAYA 6 Ogos - Dua lelaki bertubuh gempal gagal mencecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meskipun cuba ‘memerah keringat’ untuk mendapatkan sejumlah wang di sebuah bank di Jalan PJS 8/17 Dataran Mentari, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Ini setelah mereka dikejutkan dengan penggera keselamatan yang dipasang di bank berkenaan dalam kejadian pada pukul 6.06 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian itu bagaimanapun hanya disedari apabila seorang lelaki dipercayai kakitangan bank datang ke premis tersebut kira-kira pukul 7.40 pagi.
Katanya, selepas menerima laporan, sepasukan penyiasat bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kaca pintu serta slot ATM berselerak.
“Menurut saksi, dia hanya menyedari berlaku kejadian apabila sampai di bank terbabit dan melihat kerosakan pada pintu kaca terbabit.
“Siasatan polis pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna perak.
“Mereka masuk ke dalam kawasan terbabit pada pukul 6.06 pagi dan dua minit kemudian telah keluar,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, terdapat 16 CCTV di pasang di dalam dan luar bank yang sudah lima tahun beroperasi di situ.
Katanya, identiti dan keturunan suspek masih belum dikenal pasti tetapi kedua-duanya bertubuh gempal.
“Suspek pertama berbadan agak berisi, tinggi, memakai kemeja putih dan berseluar jean biru serta bertopi keledar hitam manakala suspek kedua juga mempunyai fizikal hampir sama, memakai jaket hitam, seluar jean biru serta menutup muka dengan kain warna hitam.
“Mereka juga dikesan menggunakan wayar dan sebilah parang panjang dalam kejadian itu,” katanya.
Jelasnya, tiada wang berjaya dilarikan daripada mesin ATM dan polis telah memperoleh beberapa sampel cap jari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-penyamun-gagal-pecah-mesin-atm-1.121340#sthash.PEgbdYD5.dpuf

Polis buru teman lelaki budak lahirkan bayi


Budak perempuan 11 tahun lahirkan anak

JEMPOL 6 Ogos – Polis sedang mengesan teman lelaki kepada budak perempuan berusia 11 tahun yang melahirkan bayi lelaki di sebuah klinik swasta di Bahau dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hamzah Alias berkata, polis telah merakamkan keterangan mangsa dan masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Kita tidak boleh mendedahkan siapa teman lelaki budak perem­puan itu.
“Usaha untuk mengesan teman lelaki budak itu telah dilakukan sejak semalam dan ia akan dipergiatkan hari ini dan seterusnya,” kata­nya di sini hari ini.
Hamzah berkata, buat masa ini budak perempuan itu dan bayi lelakinya berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Dia kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” tegasnya.
Dalam kejadian semalam, seorang murid perempuan darjah lima sebuah sekolah di sini mengejutkan orang ramai apabila melahirkan bayi lelaki di sebuah klinik swasta.
Murid berkenaan yang mengadu sakit perut sejak beberapa hari sebelumnya, telah memaklumkan kepada ibunya yang juga seorang pembantu kedai, nenek dan bapa saudaranya sebelum dihantar ke sebuah klinik.
Sebaik sahaja tiba di klinik itu, doktor terkejut selepas mengesahkan murid perempuan itu mengandung dan akan melahirkan anak.
Dengan bantuan doktor, bayi itu selamat dilahirkan secara normal pada pukul 10.15 pagi, sebelum dihantar ke hospital di Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai murid tersebut.
“Maaf, saya tidak dapat mengulas lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau perkembangan keluarga, murid itu serta bayinya.
“Kita akan terus berikan nasihat kepada mereka dan menerima apa yang telah berlaku. Yang penting, kesihatan murid perempuan itu dan bayinya dijaga. Kita tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada mereka,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-buru-teman-lelaki-budak-lahirkan-bayi-1.121421#sthash.iRgnJwaG.dpuf