Search This Blog

Tuesday, August 4, 2015

Biak nyamuk untuk perang denggi

Beijing: Lebih setengah juta juta nyamuk jantan yang dibiak khas dilepaskan di sebuah pulau di selatan China setiap minggu dalam usaha melawan denggi.
Serangga yang dibiakkan di ‘kilang’ taman sains di wilayah Guangdong itu mampu memandulkan nyamuk betina apabila mengawan.
Saintis berjaya mengurangkan jumlah nyamuk di beberapa kawasan di pulau itu sehingga 90 peratus, lapor akhbar Southern Metropolis Daily.
Tahun lalu, China melaporkan sekitar 46,000 kes demam denggi berbanding 1,000 pada tahun sebelumnya dengan kebanyakannya direkodkan di Guangdong.
Pegawai di Guangzhou, ibu negeri Guangdong, melaporkan lebih 35,000 kes demam denggi tahun lalu iaitu 80 peratus daripada keseluruhan kes dilaporkan di wilayah berkenaan.
‘Kilang’ nyamuk itu dirasmikan pada 17 Julai lalu dan mampu menghasilkan 10 juta nyamuk jantan setiap minggu yang dijangkitkan dengan ‘wolbachia,’ sejenis bakteria yang sering ditemui dalam serangga.
Kajian menunjukkan telur dihasilkan nyamuk yang mengawan dengan nyamuk jantan itu menjadi mandul, seterusnya mengurangkan jumlah nyamuk selepas tempoh tertentu.
Antara 500,000 hingga 600,000 nyamuk dihasilkan setiap minggu di kilang itu sebelum dilepaskan di pulau Shazai.
Kumpulan pertama nyamuk berkenaan dilepaskan di Shazai pada 12 Mac lalu, kata profesor mikrobiologi di Universiti Sun Yat-sen, Xi Zhiyong yang turut terbabit dalam projek berkenaan.
Pasukan itu merangkumi pakar dari beberapa universiti di China dan Amerika Syarikat, selain Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China serta Guangzhou. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:08 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68131#sthash.mLg81wec.dpuf

HitchBot musnah di AS

Philadelphia: Robot kembara yang menambat hati peminat di seluruh dunia musnah di Amerika Syarikat.
Penyelidik Kanada yang membuat hitchBot untuk eksperimen sosial memberitahu wartawan, ada orang di Philadelphia yang merosakkan robot itu hingga tidak boleh dibaiki, kelmarin, sekali gus menamatkan pengembaraan pertamanya di Amerika Syarikat selepas tiba dua minggu lalu.
Robot bersaiz kanak-kanak itu sepatutnya mengembara merentas Amerika Syarikat selepas berjaya melakukan demikian di Kanada dalam masa 26 hari dan sebahagian Eropah tahun lalu.
Ia tidak boleh bergerak sendiri dan terpaksa bergantung kepada kemurahan hati orang tidak dikenali.
Di Amerika Syatrikat, hitchBot memulakan pengemberaan di Marblehead, Masschusetts pada 17 Julai dengan ibu jari tangannya menunjukkan ke atas, muka digitalnya tersenyum sementara pita pada sekeliling kepalanya yang berbentuk silinder tertulis ‘San Francisco atau tidak.’
Penciptanya menerima gambar imej robot itu yang rosak teruk Sabtu lalu, tetapi tidak dapat mengesan lokasinya kerana baterinya tidak lagi berfungsi.
Mereka sehingga ini tidak tahu siapa yang merosakkannya atau sebab ia dirosak.
Pencipta bersama Frauke Zelle berkata, ramai kanak-kanak yang mengagumi robot itu pasti kecewa.
HitchBot direka untuk dijadikan teman perjalanan. Ia mampu berbual, tetapi perbualannya amat terhad. GPS dalam robot itu boleh mengesan lokasinya sementara kamera yang dipasang boleh merakam gambar secara rawak setiap 20 minit. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 11:10 AM


HITCHBOT
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67942#sthash.UqqcP8ke.dpuf

Bantah tutup pantai kerana raja Saudi

Paris: Kerabat diraja Arab Saudi, Raja Salman, memendekkan percutian tiga minggu di rumah mewahnya di Riviera, Perancis, selepas kontroversi pantai awam di kawasan itu ditutup kerana kehadirannya di kawasan berkenaan.
Penduduk tempatan mengumpul kira-kira 150,000 tanda tangan dalam petisyen membantah penutupan pantai berkenaan.
Raja Salman kini berada di Maghribi dan menurut sumber, percutiannya di Riviera itu sepatutnya tiga minggu namun dipendekkan kepada lapan hari.
Orang ramai membantah penutupan pantai awam dekat villa keluarga Raja Salman di Vallauris serta pemasangan lif dari pantai ke vila itu.
Datuk Bandar Vallauris, Michelle Salucki, dikatakan menulis surat kepada Presiden Perancis François Hollande membantah pemasangan berkenaan, termasuk pembinaan landasan simen.
Raja Salman datang bersama 1,000 anggota rombongannya dan menurut pegawai tempatan Perancis, Philippe Castanet, lif berkenaan akan dibuka minggu depan.
Sumber kerajaan Arab Saudi menyatakan tindakan Raja Salman meninggalkan villa itu tiada kena mengena dengan kontroversi berkenaan dan raja itu yang menghormati penduduk Perancis akan menghadiri Festival Filem Cannes berdekatan Vallauris, tahun depan. - The Independent
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 8:56 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68006#sthash.iErcrOOc.dpuf

3 lelaki disyaki IS ditahan


Jakarta: Polis di Nusa Tenggara Timur menahan tiga lelaki kerana disyaki terbabit dalam kumpulan militan Negara Islam (IS).

Ketiga-tiga suspek yang menyamar sebagai dukun itu ditahan pada 31 Julai lalu kerana disyaki menyebarkan fahaman IS kepada penduduk tempatan.

Suspek dikenal pasti sebagai Syamsudin Uba dari Bekasi dan Zakarias Kiri serta seorang lagi lelaki yang berasal dari Alor.

Pengarah Jabatan Jenayah Polis Nusa Tenggara Timur, Sam Kawengian berkata, ketika ditahan suspek membawa beberapa lukisan dan bendera IS.

“Mereka ditahan atas faktor keselamatan awam,” katanya.

Ujarnya, polis juga turut menemui pelbagai barangan berkaitan IS dan komputer riba di rumah Zakarias.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:51 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68161#sthash.qgnhXunl.dpuf

Padah dakwa Imam Mahadi


Jakarta: Sebelas warga Indonesia termasuk seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi ditahan pihak berkuasa Arab Saudi selepas melakukan solat sunat Aidilfitri di depan Kaabah sehari selepas 1 Syawal lalu.

Pengarah Perlindungan warga Indonesia dan Bantuan Undang-Undang, Lalu Muhammad Iqbal berkata, mereka ditahan pada 18 Julai lalu sehari selepas Aidilfitri di sambut secara rasmi di Arab Saudi.

Katanya, jemaah umrah yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita itu ditahan ketika mendengar khutbah Aidilfitri yang disampaikan ketua mereka.

“Kumpulan yang berpakaian serba hitam ini melakukan solat sunat Aidilfitri di kawasan makam Nabi Ibrahim sebelum mengelilingi ketua mereka untuk mendengar khutbah.

“Perbuatan mereka mengganggu jemaah lain yang melakukan tawaf sehingga menyebabkan mereka melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Menurut Lalu, polis pada mulanya meminta kumpulan itu bersurai, tetapi mereka enggan menyebabkan pihak berkuasa bertindak menahan mereka.

Ketika disoal siasat ahli kumpulan itu mendakwa ketua mereka yang dikenali sebagai Zubair Amir Abdullah, 47, adalah Imam Mahadi.

Kumpulan itu juga yakin Aidilfitri jatuh pada 18 Julai sedangkan kerajaan Arab Saudi menetapkan perayaan itu disambut pada 17 Julai.

“Pihak berkuasa Arab Saudi membawa lelaki itu ke sebuah hospital mental untuk pemeriksaan selepas dia mengaku dirinya Imam Mahadi,” jelasnya.

Kata Lalu, kerajaan Indonesia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk membebaskan kumpulan itu yang menggelar diri mereka Himpunan Pemuda Sinar Syahid (Himpass).

“Sudah tentu kerajaan berusaha untuk membebaskan mereka.

“Kementerian Agama sudah berhubung dengan kedutaan Indonesia di Arab Saudi bagi membincangkan perkara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 11:00 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67938#sthash.u9JLUEtd.dpuf

Hujan maut

Yangon: Hujan lebat yang melanda beberapa negara di Asia meragut ratusan orang, kata pihak berkuasa semalam ketika pasukan bantuan berusaha menjejaki lokasi pedalaman India, Pakistan serta Myanmar yang dilanda banjir kilat dan tanah runtuh.
Pihak berkuasa di India berkata, lebih 120 maut di negara itu dalam tempoh beberapa hari lalu manakala jutaan lain hilang tempat tinggal akibat hujan lebat.
Keadaan bertambah teruk berikutan puting beliung yang melanda Teluk Benggala minggu lalu.
Semalam, pasukan bantuan menyambung usaha mencari mangsa yang mungkin terselamat selepas kejadian tanah runtuh di Manipur. Setakat ini, empat mayat ditemui di sebuah kampung yang tertimbus.
Di Myanmar, hujan lebat yang diburukkan lagi oleh puting beliung Komen mengakibatkan 46 terbunuh, manakala 200,000 lagi terjejas akibat banjir.
Kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha bantuan dan menyelamat di empat daerah di tengah dan barat negara itu Penduduk di kawasan berkenaan terpaksa menggunakan perahu dan rakit untuk menyelamatkan diri.
Ribuan penduduk kini berada di kem pelarian termasuk di Kalay, daerah Sagaing, yang dilanda banjir berarus deras.
Penduduk Htay Shein, 62, berkata: “Tiada apa lagi yang tinggal. Rumah kami masih ditenggelami air.
“Ini banjir paling teruk pernah kami alami.”
Tanah runtuh di Hakha, ibu negeri wilayah Chin memusnahkan 700 kediaman, lapor akhbar Global New Light of Myanmar.
Presiden Thein Sein berikrar kerajaan akan membuat ‘segala yang terdaya’ untuk menyampaikan bantuan. Bagaimanapun, beberapa kawasan di negeri itu terputus hubungan.
Hujan turut melanda Rakhine, tempat 140,000 pelarian - kebanyakannya Muslim Rohingya - yang tinggal di kem terbuka berikutan diserang pelampau Buddha pada 2012.
Musim monsun lazimnya dinantikan petani tetapi hujan lebat dan puting beliung yang melanda juga membawa bencana kepada penduduk tempatan.
Selain itu, 116 dilaporkan terbunuh di Pakistan yang mengalami banjir teruk setiap kali musim monsun sejak 2010.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA) Ahmed Kamal, berkata, lebih 850,000 orang terjejas akibat banjir kali ini.
Puluhan turut dilaporkan maut di Nepal dan Vietnam akibat banjir dan tanah runtuh.
Di Vietnam tanah runtuh membawa sisa toksik dari lombong arang batu di wilayah utara Quang Ninh - lokasi pelancongan Teluk Halong - meragut nyawa dua keluarga selain memenuhi pekan di situ dengan arang.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:09 AM

Dua lelaki membawa rakit buatan sendiri untuk meredah banjir di Kale, Myanmar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68135#sthash.dnCPKAIp.dpuf

Semak pun jadi

Connecticut: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki melakukan seks dengan semak di belakang rumahnya.
Akhbar Connecticut Post melaporkan, Wallace Berg, 81, bertelanjang bulat ketika dilihat berkelakuan seperti melakukan seks.
Apabila ditegur, Berg dilapor berhenti melakukan perbuatan itu, meminta maaf dan masuk ke rumahnya, kata polis kepada akhbar itu.
Polis menahan Berg selepas menonton klip video yang dirakam jiran berkenaan.
Berg yang dibebaskan dengan ikat jamin AS$10,000 (RM38,000) dituduh melakukan perbuatan tidak senonoh dan menggangu ketenteraman.
Seks dengan objek bukan perbuatan pelik di Amerika Syarikat.
Beberapa lelaki sebelum ini pernah ditahan berbuat demikian, termasuk dengan basikal.
Edward Smith dari Washington mendakwa, dia melakukan seks dengan lebih 1,000 kenderaan, termasuk sebuah helikopter yang digunakan untuk siri televisyen popular, ‘Airwolf.’ - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 11:00 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67940#sthash.ya9ctqMj.dpuf

Ratusan korban banjir di Asia

Yangoon: Banjir akibat hujan lebat mengorbankan ratusan penduduk di India, Nepal, Myanmar dan Vietnam sama ada akibat dihanyutkan air, lemas atau tanah runtuh serta kemalangan lain berkaitan banjir sejak minggu lalu.
Pihak berkuasa India menyatakan lebih 120 orang terbunuh di seluruh negara itu dan lebih sejuta orang dipindahkan akibat banjir.
Menteri Pengurusan Negeri India, Javed Ahmad Khan, berkata Benggala Barat paling teruk terjejas dengan 48 orang terbunuh.
“Lebih 1.8 juta orang di 5,600 kampung terjejas akibat banjir di seluruh India dan hampir 1.1 juta orang dipindahkan ke pusat pemindahan," kata Khan.
Di Myanmar, Taufan Komen hujung minggu lalu, memburukkan keadaan dan sehingga kini, 46 orang mati manakala lebih 200,000 penduduk terjejas akibat banjir.
Kerajaan memberi tumpuan bantuan dan menyelamat di kawasan paling teruk di tengah dan barat negara itu yang penduduk terpaksa menggunakan kayak dan rakit buatan sendiri untuk menyelamatkan diri.
Ribuan penduduk kini ditempatkan di kem pemindahan, termasuk di Kalay, dalam wilayah Sagaing. Tanah runtuh di Chin , selatan Sagaing, memusnahkan 700 rumah.
Di Pakistan, 116 penduduk mati dan menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Pakistan (NDMA), Ahmed Kamal, lebih 850,000 orang terjejas akibat banjir.
Selain itu, puluhan lagi penduduk dilapor mati di Nepal dan Vietnam akibat banjir dan tanah runtuh. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 8:35 PM


Anggota pasukan penyelamat Nepal membantu penduduk menyeberangi sungai semalam, selepas jambatan di Thulakhet, 200 kilometer di barat Kathmandu, runtuh. - Foto AP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68003#sthash.2yr8YZgs.dpuf

5,300 ‘Arak Kungfu’ dirampas


Beijing: Pihak berkuasa China merampas ribuan botol arak yang dicampurkan pelbagai bahan kimia yang digunakan untuk membuat ubat mati pucuk seperti Viagra.

Dua pembuat minuman keras di Liuzhou didapati mencampurkan bahan seperti sildenafil dan tadalafil yang digunakan untuk membuat ubat mati pucuk, Viagra dan Cialis, ke dalam arak yang dihasilkan, kata pegawai pentadbiran makanan dan dadah.

Arak putih yang dikenali sebagai ‘baiju’ adalah minuman keras tradisional China yang dibuat daripada tumbuhan bijirin mempunyai kandungan alkohol tinggi.

Pembuat arak itu menggelar minuman itu ‘Arak Kungfu’ dan ‘Arak Penyubur Kehidupan’ kata pihak berkuasa di Guangxi yang merampas 5,300 botol dan hampir 1,200 kilogram bahan kimia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:07 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68130#sthash.FCmcmBdz.dpuf

Balasan harimau bintang

New Delhi: Seekor harimau bintang yang mengakibatkan lima penduduk kampung cedera dalam serangan di India dibelasah hingga mati dengan kayu sebelum bangkainya dibakar.
Pihak berkuasa perhutanan berkata, kejadian berlaku di Kalgaon di Sivasagar ketika penduduk mengumpul kayu api.
Harimau bintang dewasa berusia tujuh tahun itu dilaporkan menyerang sekumpulan penduduk kampung itu menyebabkan mereka melawannya menggunakan kayu sehingga haiwan itu mati.
Harimau bintang di India semakin pupus kerana diburu untuk kulitnya selain dibunuh penduduk kampung jika ditemui di kawasan penempatan.
Beberapa minggu lalu seekor harimau bintang betina dipukul mati di Purulia, Benggala Barat.
Penduduk kampung yang melihat haiwan itu berhampiran penempatan mereka mengejarnya menyebabkan harimau bintang itu yang ketakutan meluru masuk ke dalam kandang lembu sebelum dikepung dan dipukul hingga mati.
Ekor dan kaki haiwan itu dipotong sebelum bangkainya digantung di pokok. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:05 AM


Bangkai harimau bintang yang dibakar selepas haiwan itu dibelasah mati.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68128#sthash.5x5UMNUz.dpuf

Lagi mangsa dimamah eskalator

Shanghai: Seorang tukang cuci kudung selepas kakinya terpaksa dipotong apabila ‘dimakan’ eskalator di sebuah pusat beli-belah hujung minggu lalu.
Lelaki berusia 35 tahun itu mencuci tangga eskalator berkenaan antara dua tingkat bawah tanah di pusat beli-belah Zhongshan Park tetapi betis kirinya tersangkut antara tangga teratas dengan lantai.
Akhbar Xinmin Evening News melaporkan eskalator yang dibuat Shanghai Mistubishi Elevator Company itu berhenti serta-merta dan lelaki itu dikejarkan ke hospital.
Malangnya kecederaan dialami terlalu teruk menyebabkan doktor tiada pilihan selain memotongnya.
Kejadian berlaku selepas pusat beli-belah itu ditutup pada malam Ahad.
Keluarga lelaki itu yang terkejut dan sedih dengan kejadian berkata, mangsa baru bekerja di situ sejak tiga bulan lalu.
Kejadian itu adalah tragedi yang ketiga membabitkan eskalator dalam seminggu di China. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:12 AM


TEMPAT kejadian dikepung selepas kemalangan kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68137#sthash.aYGbfsyp.dpuf

Detik rumah dihempap kren, jambatan

Amsterdam: Dua daripada tiga kren yang terbabit dalam kerja baik pulih Jambatan Queen Juliana - jambatan merintangi terusan yang dibina pada 1950-an - terbalik menghempap beberapa rumah, pagi tadi.
Kejadian itu sempat dirakam Dick van Smirren yang ternampak jambatan berkenaan bergerak-gerak ketika diangkat kren lalu merakam kejadian berkenaan. Jambatan itu berpusing dan menarik kren bersamanya menghempap rumah.
Anggota penyelamat dengan bantuan anjing pengesan berusaha mencari mangsa di bawah runtuhan dan pihak berkuasa kemudian mengesahkan tiada kematian dalam kejadian itu.
“Ketika ini, kami mengesahkan tiada kematian atau kecederaan serius,” kata Datuk Bandar Liesbeth Spies dalam kenyataan.
Bagaimanapun, jurucakap bomba, Ton Koot, berkata seorang lelaki dikeluarkan dari bawah runtuhan dengan kecederaan ringan.
Menurutnya, lima rumah dihempap dua kren serta jambatan yang sedang diangkat itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 5:33 PM


Keadaan rumah yang dihempap selepas dua kren yang mengangkat jambatan terbalik di Belanda, pagi tadi. - Foto Daily Mail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68247#sthash.afu5Eu2K.dpuf

11 maut bangunan runtuh

Mumbai: Seramai 11 orang terbunuh apabila sebuah bangunan lama tiga tingkat di pinggir Mumbai yang dihuni beberapa keluarga, runtuh semalam, berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
"Sebanyak 11 mayat sudah dikeluarkan dari bawah runtuhan dan tujuh orang berjaya diselamatkan. Seorang lagi masih hilang," Kata pegawai Pasukan Bencana Kebangsaan, Alok Avasthy.
Menurutnya, bangunan di Thane yang sudah berusia 50 tahun itu sudah diisytiharkan tidak selamat dua tahun lalu tetapi masih tetap dihuni.
“Kami menyelamatkan lima daripada satu keluarga dengan bantuan anjing pengesan,” katanya.
Ia adalah kejadian bangunan runtuh kedua berlaku di bandar raya ini dalam masa seminggu yang mengorbankan sembilan orang selepas bangunan tiga tingkat runtuh di Thakurli. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 4:59 PM


anggota penyelamat mengeluarkan satu mayat mangsa dari bawah runtuhan. - Foto REUTERS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68244#sthash.MsL8zC9E.dpuf

70 kepala buaya berulat

Sydney: Kira-kira 70 kepala buaya yang sudah busuk ditemui dalam peti sejuk lama yang dibuang di sebuah pekan terpencil, Humpty Doo yang terletak 40 kilometer dari Darwin.
Beberapa remaja menemui peti sejuk mengandungi kepala buaya itu di belakang deretan kedai Ahad lalu.
“Kepala buaya air masin itu sudah busuk dan berulat,” kata renjer kanan hidupan liar, Tommy Nichols, yang menguruskan buaya kepada Australian Broadcasting Corporation.
Belum ada sesiapa ditahan tetapi mereka yang didapati bersalah membunuh haiwan dilindungi bakal menghadapi denda sehingga RM210,000 atau penjara lima tahun.
Buaya air masin yang boleh membesar sehingga tujuh meter panjang dan berat lebih satu tan, semakin banyak boleh ditemui di Wilayah Utara Australia sejak ia diisytiharkan haiwan terlindung pada 1971. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 4:46 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68241#sthash.2T3Hlr7a.dpuf

Myanmar Lumpuh Akibat Bencana Alam


Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2015 10:50 AM
Banjir kilat menenggelamkan perkampungan dan laluan ke bandar sekitar Myanmar termasuk di Kalay.

YANGON: Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda sekitar Myanmar kini semakin serius apabila 46 nyawa terkorban, manakala kira-kira 200,000 penduduk terjejas akibat bencana alam itu.
Pihak berkuasa negara itu berkata, ketika ini pasukan penyelamat bertungkus-lumus membantu puluhan ribu penduduk yang terkandas berikutan banjir yang mencecah paras bumbung rumah mereka.
Situasi itu menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman terpaksa menggunakan kanu dan rakit buatan sendiri untuk ke tempat lebih selamat.
Laluan ke bandar di pedalaman utara dan barat Myanmar juga mengalami kerosakan, menyebabkan pasukan penyelamat bimbang sukar untuk mengetahui kerosakan sebenar akibat bencana tersebut.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sungai-sungai kini melimpah dan mengancam lebih banyak kawasan ketika rantau Asia dilanda hujan monsun.
“Logistik amat sukar. Pasukan peninjau susah untuk sampai ke kawasan-kawasan terjejas banjir,” kata jurucakap PBB, Pierre Peron.
PBB bimbang dengan situasi ini, katanya, sambil menambah, walaupun banjir di sebahagian kawasan mula surut, air sungai-sungai melimpah dan mengenggelami kawasan baharu.
Hujan berterusan pada minggu lalu diburukkan lagi oleh Siklon Komen yang membawa angin kencang dan hujan lebat di barat negara itu.
Penduduk dekat bandar Kalay, rantau Sagaing di barat laut Myanmar terkepung akibat air banjir dengan kediaman mereka ditenggelami air bah yang dalam.
“Tiada amaran langsung, kami sangka ini musim banjir biasa,” kata seorang mangsa banjir berusia 30 tahun, Aye Myat Su.
Sejak beberapa hari lalu, beratus-ratus orang turut terkorban  di India, Nepal, Pakistan dan Vietnam susulan banjir dan tanah runtuh semasa musim hujan.

Lagi bayi lemas dalam baldi

Shah Alam: Bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia akibat lemas selepas tersembam ke dalam baldi di dalam tandas rumahnya di Kampung Lombong, Seksyen 29, di sini, pagi semalam.
Kejadian disedari ibu mangsa berusia 34 tahun selepas selesai menggosok pakaian pada 5.15 pagi selepas mendapati anak bongsunya tiada di dalam bilik.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ibu mangsa kemudian terus mencari sebelum menemui anaknya sudah pucat apabila kepalanya tersembam ke dalam baldi.
"Panik dengan kejadian itu, mangsa terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba.
" Bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat lemas dan kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 2:57 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68226#sthash.eHp4uDMe.dpuf

Dibedil cuba serang polis

Subang Jaya: Dua penjenayah ditembak mati oleh polis D9 IPD Subang Jaya di Persiaran Puchong Prima menghala ke Puchong Tekali, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi itu, seorang wanita berusia 39 tahun yang baru saja mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank di Taman Puchong Prima, di sini, disamun dua suspek lelaki dengan memecahkan tingkap keretanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, sepasukan anggota polis yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu menjumpai kereta suspek dan mengekorinya.
Menurutnya, kedua-dua suspek enggan menyerah diri dan keluar dari kereta sambil menghunus parang memaksa anggotanya melepaskan beberapa das tembakan.
"Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan identiti masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
"Wanita yang menjadi mangsa mengalami kecederaan di lengan kiri dan sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.
Katanya, polis turut menemui tiga bilah parang, sebuah beg tangan serta wang tunai dipercayai milik mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 3:14 PM


FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68230#sthash.hEekiTD9.dpuf

Rumah setinggan musnah dijilat api

Georgetown:Sebuah rumah setinggan musnah dalam satu kebakaran di Bagan Jermal, di sini, kira-kira 5 petang tadi.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.19 petang dan dua jentera dengan kekuatan 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sehingga kini kerja pemadaman masih dilakukan, namun keadaan terkawal dan setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan.
"Kebakaran turut menyebabkan pelajar sekolah berhampiran melarikan diri ke kawasan lapang kerana bimbang api merebak ke sekolah mereka.
"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 6:39 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68249#sthash.84n4NnhP.dpuf

Ketua kabinet Argentina nafi dalang pembunuhan tiga penyeludup dadah

SELASA, 4 OGOS 2015 @ 6:55 PM



 KETUA Kabinet Argentina, Anibal Fernandez. - Foto MercoPress

 BUENOS AIRES: Ketua Kabinet Argentina, Anibal Fernandez menolak laporan media mengaitkan beliau sebagai dalang pembunuhan tiga lelaki didakwa penyeludup dadah jenis ephedrine. Fernandez menyatakan tuduhan media itu sebagai tidak benar dan berniat jahat untuk menjatuhkan karier politiknya selain mengganggu proses pilihan raya. Laporan berita tempatan, Channel 13 pernah melaporkan pada tahun 2008, seorang daripada penyeludup yang dibunuh itu memberi kenyataan mendapat arahan daripada Fernandez melalui orang tengah. Sejak tuduhan itu hingga kini, Fernandez terus menjadi pegawai kanan negara dalam pentadbiran Presiden Argentina, Cristina Fernandez dan terkini beliau bertanding untuk jawatan Gabenor Buenos Aires. Tuduhan ini disifatkannya sebagai peperangan politik dan menyatakan Channel 13 yang dikawal Grupo Clarin sebagai cuba menjatuhkannya. Grupo Clarin adalah antara konglomerat media terbesar di Amerika Latin yang sering menentang dan berbeza pendapat dengan pentadbiran kerajaan Argentina. AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72362

Ribut landa Macedonia, 4 terbunuh Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72336

SELASA, 4 OGOS 2015 @ 5:32 PM

 Ribut landa Macedonia, 4 terbunuh SKOPJE: Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk tiga kanak-kanak, terkorban manakala berpuluh yang lain cedera apabila ribut melanda barat laut Macedonia, lapor stesen penyiaran MTV hari ini. Hujan lebat dan angin kencang yang melanda bandar Tetovo lewat petang semalam menyebabkan pokok tumbang dan banjir, menurut laporan itu. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum jelas bagaimana mangsa berkenaan - seorang dewasa, tiga kanak-kanak berumur setahun enam bulan, tujuh tahun dan 14 tahun - terbunuh. Seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang. Jalan raya di beberapa bahagian bandar masih diliputi lumpur, pokok yang tumbang dan serpihan sampah hari ini, menurut rakaman televisyen tempatan. - AFP

HUJAN lebat dan angin kencang yang melanda bandar Tetovo lewat petang semalam menyebabkan pokok tumbang dan banjir. - Peta Google DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72336

Polis serbu Kementerian Perdagangan Indonesia berkaitan siasatan rasuah

SELASA, 4 OGOS 2015 @ 12:44 PM



 JAKARTA: Polis melakukan serbuan terhadap pejabat Kementerian Perdagangan Indonesia (KPI) dan mengambil beberapa dokumen berkaitan siasatan dakwaan rasuah. Media tempatan melaporkan ini bukanlah serbuan pertama oleh pihak berkuasa ke atas kementerian terbabit berhubung skandal rasuah Pelabuhan Priok. Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian berkata, pasukan penyiasat memulakan siasatan selepas Presiden Indonesia Joko Widodo mahukan siasatan telus dijalankan mengenai amalan rasuah membabitkan beberapa pelabuhan dan Indonesia Port Corporation (IPC). "Polis sudah mengenal pasti beberapa orang suspek dalam kes rasuah ini termasuk Ketua Pengarah Perdagangan Asing KPI dan beberapa pegawai kanan. "Dalam serbuan sebelum ini di KPI, polis berjaya menemui wang tunai sebanyak AS$ 40,000 dari salah seorang pegawai kanan," katanya. - JAKARTA POST

KETUA Polis Jakarta, Tito Karnavian. - Foto Coconuts Jakarta

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72248

Kedi Ditahan Disyaki Dera Anak Lelaki Teman Wanita


Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2015 11:45 AM
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang kedi berusia 41 tahun kerana disyaki mendera anak lelaki teman wanitanya yang berusia tujuh tahun, satu tindakan yang kemudiannya membawa kepada kematian kanak-kanak itu.

Lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Taman Kosas, Ampang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Khairuldin Saad berkata budak lelaki itu telah dihantar ke Hospital Ampang kira-kira pukul 8.55 pagi Isnin, tetapi pada ketika itu dia sudah tidak bermaya .

Kakitangan perubatan mengisytiharkan kematiannya kira-kira pukul 9.40 pagi selepas menjalankan percubaan untuk memulihkan kanak-kanak itu melalui CPR.

Khairuldin berkata terdapat tanda merah di bahagian muka, tangan kiri dan bahagian sulit kanak-kanak itu. Terdapat juga luka lama di pinggang kirinya.

"Ibu kanak-kanak itu, yang merupakan pengasuh, pada mulanya memberitahu kami bahawa anaknya telah dipukul di sekolah, tetapi kami mendapati kenyataannya mencurigakan.

"Selepas menangkapnya, dia memberitahu kami bahawa teman lelakinya telah memukul kanak-kanak itu," jelasnya.

Khairuldin berkata polis sedang melakukan siasatan terhadap penderaan itu.

"Kami percaya bahawa sebelum ini juga kanak-kanak itu telah dipukul oleh kedi itu. Tetapi pada Ahad, adalah yang paling kronik," katanya.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kedua-dua mereka ditahan reman seminggu pada hari Selasa untuk membantu siasatan.

Kes ini telah diklasifikasikan sebagai pembunuhan.