Search This Blog

Monday, August 3, 2015

Lelaki menyamar jadi wanita cantik didakwa


Menyamar sebagai gadis untuk menjerat cinta seorang lelaki kaya di bandar itu akhirnya tertangkap dan dikenakan hukuman.
BEIJING – CHINA. Seorang lelaki yang menyamar sebagai gadis untuk menjerat cinta seorang lelaki kaya di bandar itu akhirnya tertangkap dan dikenakan hukuman.

Defendan yang menggunakan nama tengah Zhang, mengakui memperdaya seorang ahli perniagaan, Song menerusi aplikasi media sosial, Wechat sejak April lepas.

Memetik laporan sebuah portal antarabangsa, Zhang dikatakan memperdaya Song dengan menyamar sebagai seorang gadis dengan menggunakan nama Jiang Wei.

“Saya rasa perempuan boleh dapatkan lebih perhatian berbanding lelaki, jadi saya menyamar sebagai seorang perempuan dan terus berhubungan dengan Song.

“Tidak lama kemudian selepas lama berhubung, Song mula jatuh cinta dengan saya. Dan kami berdua jadi ‘kekasih’,” katanya.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan sepenuhnya bagi Zhang, untuk menuntut duit dari Song.

Dia dikatakan mereka pelbagai alasan untuk meraih simpati dari Song.

Menurut Zhang, dia tidak pernah terburu-buru meminta duit dari Song sehinggalah pada Jun lepas.

“Pada Jun lalu saya terdesak untuk mendaftar masuk ke kelas bahasa. Jadi saya reka alasan untuk meminta 100,000 yuan (RM61,563.74)

“Song terus memindahkan wang tersebut kepada saya. Sejak itu, saya mula meminta duit daripadanya,” kata Zhang.

Manakala Song pula tidak pernah menyangka bahawa selama ini dia berhubungan dengan seorang lelaki.

“Saya tidak syak dia lelaki kerana saya memang banyak berurusan dengan ramai wanita sebelum ini. Suaranya seperti seorang gadis. Dan dia juga hantarkan saya gambar-gambar seorang perempuan yang sangat cantik.

“… Jadi kerana percayakannya, saya kerap berikan apa yang dia mahu,” katanya.
Taktik samaran Zhang akhirnya terbongkar pada Mac baru-baru ini apabila dia terlalu kerap meminta wang.

Song yang curiga, meminta ‘kekasihnya’ untuk membuktikan bahawa ‘gadis’ itu tidak memerangkapnya kerana wang.

“Zhang menyamar sebagai ‘kekasih’ saya dan datang berjumpa. Katanya, ‘kekasih’ saya itu bukan seorang penipu. Kekasih saya, Jiang Wei dimasukkan ke hospital kerana koma.

“Suara Zhang kedengaran seakan suara perempuan yang sering bercakap dengan saya menerusi telefon. Lebih mirip dengan suara Jiang Wei. Selepas itu, saya terus pergi buat laporan polis,” katanya.

Banjir di Myanmar, 27 maut


Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa angka kematian bakal meningkat secara drastik dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Difahamkan, banjir kali ini menjejaskan lebih 150,000 penduduk dan situasi itu memaksa kerajaan Myanmar mengisytiharkan darurat di empat wilayah utama yang paling teruk dilanda banjir.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), pihaknya telah dimaklumkan oleh kerajaan Myanmar bahawa sekurang-kurangnya 156,000 orang terpaksa dipindahkan.
Bagaimanapun katanya, angka tersebut kemungkinan meningkat mendadak kerana banyak kawasan yang belum dapat dicapai oleh pasukan penyelamat lapor AFP.
"Maklumat awal mengesahkan 27 orang terkorban, namun kami percaya angka tersebut jauh lebih besar dan dijangka meningkat," menurut kenyataan rasmi OCHAm, semalam.
Sementara itu, media tempatan melaporkan mangsa banjir dari etnik Islam Rohingya dilarang berlindung di bangunan sekolah atau balai raya.
Menurut PBB, 140,000 orang sebahagian besarnya daripada etnik Rohingya terjejas di Sittwe dan perlu diberikan bantuan segera.
Hujan dalam beberapa minggu kebelakangan ini merosakkan kira-kira 150,000 rumah dan ladang di seluruh rantau ini, selain penduduk terkandas dan menunggu bantuan daripada kerajaan.
Selain Myanmar, berpuluh-puluh penduduk di India, Nepal, Pakistan dan Vietnam dilaporkan terkorban akibat banjir yang melanda negara mereka. 

Maut guna pil kurus lepas dipanggil gemuk


Christopher Wilcock
ENGLAND - BRITAIN. Seorang lelaki yang maut April lepas disahkan menggunakan pil kurus dengan berlebihan selepas membelinya secara online.

Laporan Dailystar UK berkata, Christopher Wilcock, 46 mula menggunakan pil kurus yang dikenali sebagai T5 selepas dipanggil gemuk oleh rakan sekerja.

Wilcock kemudian jatuh sakit dan diserang sakit jantung sebelum maut di hospital Royal Blackburn di Lancashire.

Menurut seorang ahli pathologis, Dr Richard Prescott menemui 259mg kafein dalam setiap 100ml darah Wilcock.

Ketika pendengaran kes, sepupu Wilcock, Ben memberitahu mahkamah bahawa Wilcock mula berhenti makan di tempat kerja.

Inkues mengatakan bahawa Wilcock juga mengambil pil yang menaikkan selera makanan.

Koroner merekodkan kematian Wilcock sebagai nasib malang.

Parah 'ditelan' eskalator, betis terpaksa dipotong


Rakaman video litar tertutup menunjukkan Zhang terjatuh ke dalam lubang selepas lantai eskalator runtuh.
SHANGHAI - CHINA. Kaki seorang lelaki yang cedera parah selepas tersepit selepas lantai eskalator runtuh terpaksa dipotong di aras betis untuk menyelamatkannya, 1 Ogos lepas.

Menurut laporan CNN, kejadian yang menimpa Zhang, 35, kelmarin adalah kemalangan yang ketiga melibatkan eskalator di pusat membeli-belah dalam tempoh seminggu di China.

Zhang merupakan pekerja pembersih di pusat membeli-belah tersebut, Cloud Nine dan sedang membersihkan eskalator berkenaan semasa kejadian.

Sementara itu, laporan Xinhua menyebut bahawa siasatan sedang dijalankan dan mangsa dilaporkan tidak menutup suis eskalator sebelum membersihkannya.

Sebelum ini, seorang wanita maut selepas lantai eskalator runtuh di Jingzhou.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ibu selamat anak sebelum 'ditelan' eskalator]

Tangan seorang kanak-kanak juga dilaporkan tersepit di sebuah eskalator di pusat membeli-belah Sun Square pada akhir bulan lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tangan kanak-kanak tersepit eskalator]

Serpihan baharu di Pulau Reunion


ANGGOTA polis mengiringi sebuah kenderaan membawa serpihan pesawat Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion di Lapangan Terbang Roland Garros, Perancis pada Jumaat lalu. - AFP


PULAU REUNION, Perancis – Satu serpihan baharu ditemui terdampar di sebuah pantai di sini semalam, dipercayai sebuah pintu milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Objek terbaharu itu merupakan kepingan logam dengan simbol tulisan Cina ditemui seorang pejalan kaki di Saint Denis, 25 kilometer dari tempat serpihan pertama ditemui di Saint Andre Rabu lalu.
Pihak berkuasa Pulau Reunion di Lautan Hindi segera memagar kawasan tersebut sebelum objek berkenaan dihantar untuk analisis. Objek pertama ditemui sebelum ini merupakan serpihan sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai flaperon.
Flaperon itu kini diperiksa di Toulouse, Perancis bagi memastikan sama ada objek berkenaan sebahagian daripada pesawat Boeing 777 tersebut yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada Mac tahun lalu. MAS semalam mengesahkan flaperon itu datang daripada sebuah pesawat jenis sama.
“Kami tahu flaperon itu berasal daripada pesawat Boeing 777. Perkara ini telah disahkan pihak berkuasa di Perancis bersama syarikat Boeing, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan satu pasukan dari Malaysia.
“Pasukan kami terdiri daripada anggota Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS dan pasukan 13 anggota penyiasat bersekutu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk MH370,” kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Liow turut memohon bantuan daripada pihak berkuasa penerbangan di sekitar kawasan pulau Reunion bagi membolehkan kumpulan pakar menjalankan pemeriksaan rapi sekiranya terdapat serpihan lain terdampar di pantai dan dapat memberi lebih banyak petunjuk bagi mencari pesawat tersebut.
Dalam perkembangan terkini, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan penemuan baharu itu bukannya sebuah pintu seperti didakwa beberapa media antarabangsa sebaliknya cuma sebuah tangga biasa.
“Saya yang mengetuai siasatan di Perancis untuk analisis flaperon yang ditemui. Saya sudah periksa dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan anggota siasatan di pulau Reunion, apa yang ditemui itu cuma tangga biasa,” katanya.
Sebelum penemuan flaperon itu Rabu lalu, usaha mencari MH370 telah menemui jalan buntu walaupun dengan penglibatan besar-besaran pesawat dan kapal laut dari 20 negara yang mencari di Lautan Hindi. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hl6gXuPH 
Hakcipta terpelihara 

Sejam terapung di laut



KEADAAN lima sekeluarga yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Bohey Dulang, Semporna petang semalam.


SEMPORNA – Hasrat lima sekeluarga yang mendiami sebuah perkampungan atas air untuk membeli barangan keperluan di pekan Semporna di sini tidak kesampaian selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak kuat di perairan selatan Bohey Dulang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, kesemua mangsa berusia tujuh hingga 30 tahun itu terpaksa berpaut pada serpihan bot yang karam berkenaan selama lebih satu jam sebelum diselamatkan oleh sebuah bot peronda Maritim Malaysia (APMM) daerah Tawau.
Jarak antara Bohey Dulang ke pekan Semporna mengambil masa kira-kira sejam perjalanan.
Ketua Penguat Kuasa APMM Daerah Tawau, Kapten Maritim Anor Jaafar berkata, kelibat lima mangsa terbabit dikesan kira-kira pukul 10.50 pagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3hl6Sm9s1 
Hakcipta terpelihara 

Kereta peronda polis rempuh tiang elektrik



Keadaan kereta peronda yang merempuh tiang kayu elektrik selepas terbabas ketika mengejar suspek kes dadah di Jalan Kampung Darat Kolam, Kerteh, Kemaman semalam.


KEMAMAN – Tiga anggota polis yang sedang mengejar suspek kes dadah nyaris maut selepas kenderaan peronda yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Kampung Darat Kolam, Kerteh di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, tiga anggota cawangan pencegahan jenayah dari Balai Polis Kerteh yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kemaman.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din, ketika menghampiri kereta terbabit yang dinaiki dua lelaki, pemandunya telah memecut laju untuk melarikan diri.
“Polis kemudian mengejar suspek (sejauh kira-kira 1 kilometer) sebelum kereta itu menghimpit kenderaan peronda menyebabkan ia gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh tiang elektrik.
“Kereta suspek turut terbabas dan melanggar pagar sebuah rumah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3hl6DZQeK 
Hakcipta terpelihara 

9 sekeluarga gadai nyawa



Saayah sedang membersihkan rumahnya yang hampir roboh di Kampung Tok Temenggong di Alor Setar semalam. Turut kelihatan beberapa tong yang digunakan untuk menadah air hujan akibat bumbung bocor.


ALOR SETAR – Meskipun menyedari rumah yang didiami tidak selamat kerana reput dan hampir roboh, sembilan sekeluarga yang dibelenggu kemiskinan dari Kampung Tok Temenggong, Tajar di sini tiada pilihan lain selain terus tinggal di situ.
Ibu tunggal, Saayah Bidin, 60, berkata, rumah pusaka peninggalan ibu arwah suaminya, Abdul Khoni Shafie itu sudah uzur dan hampir kesemua struktur kayu telah reput akibat dimakan anai-anai.
“Saya sedar bahaya tinggal di rumah ini tetapi saya tiada pilihan kerana inilah satu-satunya rumah yang ada untuk kami berteduh,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah, Thana Chew Ne Meng di rumahnya di sini semalam.
Kata Saayah, dia mempunyai 12 orang anak berusia 17 hingga 33 tahun dan enam daripada mereka tinggal di rumahnya yang berusia lebih 80 tahun. Dua cucunya turut menetap bersamanya.
“Kami terpaksa tinggal di dalam rumah yang reput, bumbung bocor dan dinding hampir roboh kerana kami tiada wang untuk membina rumah baharu.
“Zink dan papan terbuang telah digunakan untuk menutup lantai rumah yang rosak dan bumbung bocor,” ujarnya.
Menurutnya, dia tidak bekerja manakala anak-anaknya hanya mengambil upah mencucuk sate dan melakukan beberapa kerja sampingan yang lain dengan pendapatan tidak menentu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3hl5sOv1V 
Hakcipta terpelihara 

Suami maut, isteri parah kereta langgar pokok



KEADAAN kereta dinaiki sepasang suami isteri yang terlibat dalam kemalangan maut di Batu 8 Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan semalam.


KUANTAN – Seorang pekerja kilang kelapa sawit maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta Toyota Corolla yang dinaiki merempuh sebatang pokok di hadapan Restoran Nur Hajjah Tom Yam, Batu 8 Jalan Kuantan-Gambang di sini awal pagi semalam.
Mangsa, Mohd. Salehen Shukar (gambar kecil), 30, yang merupakan pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan anggota badan.
Isterinya, Mazieatul Aida Abd. Manan, 30, turut cedera parah namun keadaannya dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu masih tidak mempunyai anak.
Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Lepar Hilir 3 di sini dari arah bandar Kuantan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3hl5WtxPE 
Hakcipta terpelihara 

3 maut dalam nahas di jalan gelap



Keadaan kereta Proton Wira yang remuk teruk selepas bertembung dengan Mitsubishi Triton di Kilometer 44.3, Jalan Baru Baling- Gerik di Kuala Ketil malam kelmarin.


BALING – Kegembiraan tiga beranak untuk mandi dan berendam di Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong di sini berkecai apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 44.3 Jalan Baru Baling– Gerik berhampiran Kampung Balik Angin, Kuala Ketil di sini kelmarin.
Tragedi pukul 10 malam itu berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Mohamad Tanizi Hamid, 36, dari arah Kulim menghala ke Baling bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
Pertembungan itu menyebabkan Mohamad Tanizi dan dua penumpang Proton Wira iaitu ibunya, Rubiah Abu Hassan, 59, dan adiknya, Nur Syafikah Hamid, 19, cedera parah di muka dan beberapa bahagian badan lain.
Ketiga-tiga mangsa dari Kampung Telok Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mati di tempat kejadian.
Seorang lagi penumpang iaitu bakal tunang Mohamad Tanizi dari Tumpat, Kelantan iaitu Zubaidah Ahmad, 36, cedera parah.
Zubaidah dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dekat sini.
Rubiah dan Nur Syafikah bekerja sebagai tukang masak di sebuah kilang di Pulau Pinang manakala Zubaidah bekerja di kilang sama dengan bakal mertuanya.
Bagaimanapun, pemandu dan tiga penumpang Mitsubishi Triton hanya cedera ringan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3hl4wDTvC 
Hakcipta terpelihara 

Pelancong separuh bogel atas kereta 120 km/j



SEORANG lelaki separuh bogel berbaring pada sebuah kereta yang dipandu laju di Marbella.- AGENSI


MADRID, Sepanyol – Beberapa pemandu jalan raya di sini terkejut melihat seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek berbaring pada bumbung sebuah kereta yang bergerak selaju 120 kilometer sejam (km/j).
Lelaki misteri itu dipercayai seorang warga Britain.
Aksi berbahaya lelaki itu dirakam oleh seorang pemandu tempatan di sebuah terowong berhampiran pusat peranginan Costa del sol, pinggir bandar Marbella.
Dalam klip video tersebut, pemandu warga Sepanyol itu menunjukkan meter kereta yang dipandunya mencecah kelajuan 100 km/j sebelum merakamkan aksi lelaki itu.
Lelaki separuh bogel itu kelihatan langsung tidak gementar berada di atas bumbung kereta berkenaan.
Pemandu Sepanyol itu memuat naik aksi berbahaya itu yang menjadi viral di internet.
“Lelaki itu akan mati jika terjatuh memandangkan kereta tersebut dipandu laju. Saya berasa dia mabuk dan tidak menyedari tindakannya bukan sahaja membahayakan diri sendiri, bahkan pemandu lain,” kata seorang pengguna internet.
Susulan pendedahan tersebut, polis Sepanyol melancarkan siasatan untuk mengesan pelancong separuh bogel itu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3hl4AyM99 
Hakcipta terpelihara 

20 maut tanah runtuh di pedalaman India



BEBERAPA kenderaan melalui sebatang raya yang rosak selepas hujan lebat di pinggir bandar Ahmedabad, India kelmarin. - REUTERS


GUWAHATI – Pasukan penyelamat semalam mencari kira-kira 20 penduduk kampung yang dikhuatiri terbunuh dalam satu kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di sebuah kawasan pedalaman di timur laut India, kata seorang pegawai tempatan.
Lereng bukit di sebuah kampung dalam negeri Manipur, dekat sempadan Myanmar runtuh kelmarin, kata majistret tempatan, Memi Mary.
“Setakat ini, kami menerima laporan bahawa 20 orang terbunuh apabila sebahagian bukit itu runtuh dan menimbus penduduk kampung,” kata Memi.
Menurutnya, anggota-anggota penyelamat tiba di kampung berkenaan, dalam daerah Chandel selepas usaha untuk sampai ke lokasi kejadian, sekitar 80 kilometer dari ibu negeri Manipur, Imphal sukar kerana banyak jalan tertimbus.
Beberapa gambar menunjukkan sebuah jambatan dihanyutkan air banjir yang deras di Manipur, manakala stesen televisyen tempatan memaparkan rakaman sebuah rumah runtuh dan sejumlah keluarga tidur di pusat-pusat pemindahan.
Kerajaan pusat telah mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat dihantar ke negeri itu ketika rantau berkenaan kacau bilau ekoran dilanda hujan monsun yang berterusan.
Sementara itu, angka kematian akibat banjir di negeri Gujarat, barat India mencecah 53 orang setakat semalam.
Lebih 10,000 orang dipindah di serata Gujarat sejak seminggu lalu namun, beberapa pegawai berkata, banjir sudah mulai surut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3hl3ieGmM 
Hakcipta terpelihara 

10 lelaki diburu bantu siasat kes bunuh


03 Ogos 2015 1:22 AM


JOHOR BAHRU 2 Ogos – Polis memburu 10 suspek bagi membantu siasatan kes bunuh seorang buruh yang disyaki mati akibat diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Taman Nusa Perintis pada 19 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, kesemua suspek berusia antara 20 dan 29 tahun itu dipercayai masih menetap di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, suspek yang diburu ialah Tey Tian Seng, Tey Tian Soon, K. Ganabnthy, K. Nimalan, M. Katigesh, P. Prasad, R. Ganabathy, R. Rajekumar, R. Supramaniam dan S. Arichandran.
“Kita turut tubuhkan pasukan khas untuk mengesan kumpulan penjenayah ini. Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan itu disebabkan dendam dan kita masih giat menjalankan siasatan dari segenap sudut termasuk mencari 10 suspek itu,” katanya kepada pemberita di IPD Nusajaya, di sini hari ini.
Pada 19 Julai lalu, mangsa berusia 22 tahun diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan bertopeng berdekatan 7-Eleven Taman Nusa Perintis, Gelang Patah sebelum disahkan meninggal dunia 3.30 pagi di Hospital Sultanah Aminah di sini.
Dalam kejadian itu, rakan mangsa, seorang operator kilang di Singapura berusia 21 tahun turut cedera akibat dirempuh kereta suspek.
Noor Hashim berkata, setakat ini polis sudah menahan 15 orang di beberapa lokasi berasingan, ia- itu 14 orang termasuk dua wanita pada 23 Julai lalu dan merampas dadah heroin seberat 184 gram dan syabu (211 gram).
“Semua suspek berusia antara 19 dan 37 tahun yang ditahan itu kini direman selama 12 hari hingga 4 Ogos ini.
“Dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Nusa Jaya Mas, Skudai pukul 2.40 pagi ini, kita turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.
Pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang dilaporkan hilang di Taman Johor Jaya dan disyaki digunakan suspek dalam kes berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/10-lelaki-diburu-bantu-siasat-kes-bunuh-1.119788#sthash.SMDRpUqW.dpuf

40 maut di Bengal, India


Ribut siklon Komen bawa hujan lebat akibatkan banjir

Lebih 40 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian banjir yang
Lebih 40 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di barat Bengal, ekoran hujan lebat yang dibawa oleh ribut siklon Komen. AGENSI
KOLKATA, India 1 Ogos - Lebih 40 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian banjir yang berlaku di beberapa buah kawasan di Bengal Barat, hari ini akibat hujan lebat ekoran ribut siklon Komen dijangka melanda Teluk Bengal tidak lama lagi.
Laman web India.com melaporkan, banjir yang berlaku di timur Midnapore, utara dan selatan 24 Parganas, Hooghly, Howrah, Birbhum dan Burdwan telah mengorbankan lebih 40 nyawa penduduk.
Jabatan Meteorologi India (IMD) dalam satu kenyataan menjangkakan, ribut akan akan berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang dan orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
Tambah IMD, nelayan turut dinasihatkan untuk tidak turun ke laut ekoran keadaan ombak yang bergelora dan boleh mengancam nyawa mereka.
“Hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan berhampiran Bengal Barat dan utara Odisha dalam tempoh masa 24 jam akan datang,” jelas IMD.
Sumber berkata, sehingga kini lebih 26,000 orang penduduk yang terjejas akibat banjir telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Selain itu, lebih 227 kem pe-nempatan sementara dibuka di kawasan-kawasan yang terjejas.
“Amaran banjir turut dikeluarkan di lima buah daerah iaitu Jajpur, Mayurbhanj, Keonjhar, Bhadrak dan Balasore. Hujan lebat akibat taufan akan menyebabkan banyak kesusahan kepada penduduk,” kata Pesuruhjaya Operasi Menyelamat, J V Sharma.
Ketua Menteri, Mamata Bannerjee membatalkan lawatan rasminya ke London untuk memantau operasi bantuan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/40-maut-di-bengal-india-1.119410#sthash.1UPpdtkv.dpuf