Search This Blog

Saturday, August 1, 2015

Hutang 1MDB: Beri saya 6 bulan


Hutang 1MDB: Beri saya 6 bulan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Seremban, Seremban hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.
Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara itu dan rancangan untuk memulihkan syarikat itu telahpun berjalan.
"Memang kita ada program untuk kurangkan hutang 1MDB. Dan program itu 'viable' (berdaya maju) . Kita (kena) bagi masa. Saya kata kita perlukan masa lebih kurang enam bulan.
"Bukan kita kata hari ini mahu selesai hutang, esok boleh selesai, tidak, tapi ada perancangan," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Paroi di sini hari ini.
Najib berkata, beberapa pihak luar turut menyatakan minat untuk melabur dalam projek 1MDB sekaligus mencerminkan aset syarikat itu sememangnya bernilai.
"Semalam saya berjumpa dengan Emir Qatar (Sheikh Tamim Hamad Al-Thani) yang menyatakan minat dan Qatar Investment Authority juga minat untuk melihat aset 1MDB dan berminat untuk membeli tanah di (projek) Bandar Malaysia dan Duta China ke Malaysia turut menyatakan negaranya berminat," kata Najib.
Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi menggesa semua pihak agar menunggu siasatan dan laporan penuh Ketua Audit Negara berhubung masalah yang melanda 1MDB yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Katanya, apabila siasatan tersebut selesai nanti, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa yang didapati bersalah.
"Saya sebut tunggu dulu Auditor-General punya report. Sekarang sudah keluar interim report, tidak lama lagi final report. Kalau ada apa kesalahan dari segi undang-undang, masa itulah kita ambil tindakan dan kita tidak akan melindungi sesiapa," tegasnya.
Beliau turut menyentuh mengenai pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange di ibu negara oleh Lembaga Tabung Haji yang menurutnya dilakukan mengikut nilai pasaran semasa dan akan menguntungkan lembaga itu.
Katanya, bagaimanapun Tabung Haji terpaksa menjual semula tanah tersebut selepas pembelian itu dikaitkan dengan masalah 1MDB.
"Tapi bila dijadikan isu, saya kata kepada Tabung Haji, tidak mengapalah.
(Jika perlu) jual, jual lah. Sebab sekarang ini persepsi melebihi daripada realiti," katanya.
Najib berkata, ekoran persepsi negatif terhadap pembelian tanah itu yang telah memaksa Tabung Haji untuk menjualnya semula.
"Tanah TRX ini di tengah-tengah bandar (Kuala Lumpur) dan di bawah TRX ini nanti akan ada stesen MRT yang terbesar di Kuala Lumpur. Jadi mana-mana pembangunan yang ada MRT di bawahnya, nilai tanah itu akan melonjak tinggi," katanya. - Bernama

Dua beradik terkorban

Kuala Krai: Dua beradik berusia 15 dan 13 tahun maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan motosikal lain dalam kejadian di Bukit Sireh, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa Mohamad Arif Rusyaikir Mohamad Amin meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohamad Akif Rusyaiham meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Krai, 2.45 pagi tadi.
Muhammad Nor Shamirul Aidy Mohamad Apidin, 17 yang menunggang sebuah lagi motosikal dilaporkan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian dua beradik itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menghala ke Kampung Bukit Sireh.
" Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang oleh Mohamad Arif Rusyaikir hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
"Kejadian menyebabkan motosikal itu bertembung sebuah lagi motosikal jenis Honda C70 yang ditunggang Muhammad Nor Shamirul Aidy dari arah bertentangan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 4:02 PM


Kemalangan motosikal yang mengorbankan dua beradik, malam tadi. FOTO ihsan PDRM

Ditipu sindiket menyamar polis

Gambar Intan Elliana Zakaria
Klang: Seorang wanita berusia 58 tahun kerugian RM50,000 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis di Taman Bukit Jed, Seremban, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek yang mendakwa dirinya pegawai polis menghubungi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee memaklumkan anaknya ditahan atas kesalahan memiliki dadah.
Menurut Lee, suspek kemudian memintanya membayar RM120,000 jika mahu menyelesaikan kes itu dan berjanji melepaskan anaknya jika dia tidak memberitahu ahli keluarga lain.
"Pada masa sama, saya terdengar suara anak dalam beberapa saat yang cuba menjelaskan keadaannya yang tidak bersalah dan dituduh memiliki dadah.
"Selepas berbincang mengenai wang yang perlu dibayar, akhirnya mereka bersetuju mengurangkan bayaran dan hanya meminta RM50,000 yang perlu diletakkan di Pasar Besar Seremban," katanya pada sidang media di sini tadi bersama aktivis masyarakat, Peter Tan.
Lee berkata, ketika kejadian dia menerima panggilan telefon daripada suspek melalui nombor telefon anak lelakinya itu.
Bagaimanapun katanya, selepas suspek mengambil wang berkenaan, dia menghubungi telefon bimbit anaknya semula dan diberitahu tiada apa berlaku.
"Anak saya tidak tahu menahu mengenai kejadian ini dan saya bingung bagaimana suspek boleh menggunakan nombor telefon anak saya dan menghubungi saya," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell, Seremban.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 4:27 PM


Peter (kanan) bersama Lee, 58 (dua dari kanan) menunjukkan panggilan masuk dari nombor telefon anak lelakinya dan laporan polis akibat kerugian RM50,000 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai polis. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67567#sthash.LNohg7wI.dpuf

Pasangan kekasih ditahan tipu penculikan

JUMAAT, 31 JULAI 2015 @ 6:18 PM

 GEORGETOWN: Sepasang kekasih ditahan kerana merancang penculikan remaja perempuan berkenaan bagi mendapatkan wang daripada ibu bapanya. Remaja perempuan berusia 18 tahun itu dan teman lelakinya yang berusia 28 tahun ditahan di Jalan Ria di sini pada jam 10.45 malam tadi. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata remaja perempuan itu dikatakan menghilangkan diri selepas keluar dari rumah keluarganya di Paya Terubung di sini pada jam 3 petang Rabu lalu. "Seorang lelaki telah menghubungi abang dan ayah remaja perempuan itu petang semalam dan mendakwa telah menculik remaja terbabit serta meminta wang tebusan sehingga RM5,000 sekiranya mahu remaja itu dibebaskan," katanya. Beliau berkata, lelaki terbabit turut mengugut akan mencederakan remaja berkenaan sekiranya keluarganya membuat laporan polis. Mior Faridalatrash berkata, namun keluarga remaja perempuan terbabit membuat laporan polis malam tadi dan bertindak atas laporan itu, pihak polis berjaya mengesan pasangan terbabit di Jalan Ria. Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, remaja berkenaan didapati telah berpakat dengan teman lelakinya itu dengan mengatakan dia diculik untuk mendapatkan wang daripada keluarganya. "Lelaki yang menghubungi keluarga remaja itu adalah teman lelakinya dan mereka juga telah berpakat untuk melarikan diri dari negeri ini. "Pasangan itu mengaku bertindak demikian bagi mendapatkan duit untuk menampung perbelanjaan kerana mereka mahu lari dan bekerja di Kuala Lumpur," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71393

3 ditahan, 15kg dadah dirampas di Butterworth

JUMAAT, 31 JULAI 2015 @ 5:39 PM

BUTTERWORTH: Lebih 15 kilogram (kg) heroin dan syabu dirampas sementara tiga lelaki ditahan dalam serbuan Pasukan Khas Tektikal Perisikan Narkotik (STING) di sebuah rumah di sini malam tadi. Turut dirampas dalam serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira pukul 9 malam itu ialah enam pucuk pistol, selaras raifal dan sejumlah peluru hidup. Susulan serbuan itu, STING menahan 14 individu lain termasuk rakyat Vietnam, Singapura dan Thailand di sekitar negeri ini dan Kedah. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada pasukan STING atas kejayaan itu. "Syabas STING dn JSJN Pg @PDRMsia berjaya tangkap tiga orang di Penang, rampas lebih 10 kg Heroin, 5 kg Syabu, 6 pistol dan 1 rifle. Go PDRM Go. "Syabas lagi STING @PDRMsia, lanjutan tangkapan di Penang awal pagi tadi, tangkap 14 orang lagi warga Vietnam, Singapore, Thailand, dan Malaysia. Go PDRM Go," katanya menerusi laman Twitter. Sementara itu sumber polis berkata seorang rakyat Thailand adalah antara tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan di sini. Semua mereka berusia antara 30 hingga 57 tahun. Sumber itu berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, pihak polis menemui lima kilogram syabu, 10 kilogram heroin, tiga kilogram asas heroin dan 120 gram pil WY. Katanya, hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta milik warga Thailand terbabit, polis menemui 26,200 pil Eramin 5. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71380

Ahli keluarga Bin Laden terbunuh dalam kemalangan pesawat di UK

SABTU, 1 OGOS 2015 @ 3:23 PM


ASAP tebal serta api marak kelihatan di tempat lelongan kereta di Selatan England yang menjadi tempat dimana pesawat Phenom 300 terhempas lalu membunuh pemandu serta tiga penumpang termasuk ahli keluarga Osama bin Laden. - Foto ihsan http://www.telegraph.co.uk/

LONDON: Ahli keluarga Osama Bin Laden adalah antara yang terbunuh dalam kemalangan jet di Britain semalam, menurut Kedutaan Arab Saudi di sini, hari ini, menerusi mesej ucapan takziahnya. Empat disahkan maut apabila pesawat yang berdaftar di Arab Saudi itu, terhempas di atas kawasan lelongan kereta, di Selatan England, semalam sebelum terbakar. Polis tempatan berkata, juruterbang dan tiga penumpang meninggal ketika jet Phenom 300 itu sedang cuba untuk mendarat di Lapangan Terbang Blackbushe di Hampshire. Tiada sebarang kecederaan dikesan berlaku di sekitar kawasan kemalangan. Kedutaan Arab Saudi "merakamkan ucapan takziah kepada anak lelaki Mohammed bin Laden dan saudara maranya atas kejadian insiden pesawat terhempas yang membawa ahli keluarga mereka di Lapangan Terbang Blackbushe," mengikut kenyataan disiarkan menerusi akaun rasmi Twitter kedutaan berkenaan. Bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti identiti mangsa yang terbunuh itu. Kedutaan berkenaan juga memaklumkan, mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa British dalam siasatan berhubung kemalangan selain membawa pulang jenazah mangsa ke Arab Saudi. Mohammed iaitu bapa kepada Osama Bin Laden adalah usahawan ulung dalam industri pembinaan dan beberapa keturunannya turut muncul sebagai ahli perniagaan berjaya menerusi pelbagai bidang. Mohammed Bin Laden sendiri terbunuh dalam kemalangan pesawat di Arab Saudi pada 1967. Anaknya, Osama, bekas pemimpin ulung kumpulan rangkaian militan Al-Qaeda pula, ditembak mati oleh pasukan tentera Amerika Syarikat di Pakistan pada 2011. Pihak berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pesawat yang terhempas itu berdaftar di negara Teluk, selain menyatakan sedia bekerjasama dengan penyiasat British bagi mengenalpasti punca kejadian. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71620

Lori Minyak Sawit Terbakar, Pemandu Cedera


Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2015 2:20 PM

KOTA BAHARU: Seorang lelaki cedera di muka dan tangan selepas lori berisi minyak sawit yang dipandunya terbakar di Batu 14, Jalan Jeli-Gerik, Lebuhraya Timur Barat di Batu Melintang, Jeli awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian 3.15 pagi itu, mangsa Hamidi Mahmood, 36, berkata ketika itu beliau dalam perjalanan menghantar bekalan minyak dari Kamunting, Perak ke Melor, Kota Baharu.
Sebelum kebakaran itu, beliau terhidu bau hangit dan bertindak memberhentikan lori di tepi jalan.
"Saya lihat ada kebakaran kecil di bahagian belakang lori lalu mengambil dua botol air untuk memadamkan kebakaran.
"Bagaimanapun, ketika memeriksa keadaan lori, tiba-tiba lori meletup dan saya terpelanting ke pembahagi jalan," katanya.
Katanya dalam keadaan cedera dan pening beliau berusaha menjauhkan diri dari lori itu kerana bimbang letupan lebih besar berlaku.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Pegawai Bomba Soleh Nasir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 3.52 pagi.
"Ketika tiba di tempat kejadian bersama lima anggota bomba dan dua sukarelawan bomba bersama dua jentera, kami dapati hampir 20 peratus api telah merebak ke bahagian kabin pemandu.
"Bagaimanapun, kami berjaya memadamkan api di bahagian tangki yang mempunyai muatan minyak sawit itu melalui pemadaman api menggunakan teknik busa," katanya.
Beliau berkata mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Jeli untuk menerima rawatan lanjut manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Lima Maut Letupan Bom Di Pasar Nigeria


Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 5:20 PM
Anggota polis dan tentera mengawal kawasan pasar di N'Djamena di Nigeria pada 11 Julai lalu, susulan insiden letupan bom. Foto AFP

MAIDUGURI (Nigeria): Sekurang-kurangnya lima maut dalam insiden letupan bom di pasar Gamboru di bandar Maiduguri, Nigeria pada pagi Jumaat, kata polis.
Maiduri yang merupakan ibu negeri Borno sering menjadi sasaran serangan kumpulan militan Boko Haram.
Sumber hospital memberita, ramai yang cedera dalam insiden itu termasuk empat mayat ditemui setakat ini. - REUTERS

Banjir Lumpur Korbankan 30 Nyawa Di Nepal


Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 1:36 PM
Anggota SAR bertungkus lumus mengesan mangsa yang tertimbus dalam kejadian banjir lumpur dekat Pokhara.

LUMLE: Sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat berhampiran laluan pendakian popular di Nepal pada awal pagi Khamis.
Kejadian itu berlaku berhampiran bandar peranginan, Pokhara yang terletak kira-kira 125 kilometer di barat Kathmandu.
Hampir separuh kediaman di sini musnah ditimbus banjir lumpur dan batu yang jatuh dari kawasan tanah tinggi berdekatan.
"Saya dengar bunyi dentuman kuat, pada mulanya saya ingat ia gempa bumi," kata Kabi Ram B.K.
Petani berusia 64 tahun itu kehilangan anak perempuan dan cucunya dalam kejadian yang turut memusnahkan rumahnya.
Pasukan keselamatan termasuk tentera dan polis dikerah membantu mengesan mangsa yang tertimbus dalam kejadian banjir lumpur itu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Dhakal berkata, sebanyak 22 rumah musnah dan kini usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dan pasukan penyelamat bimbang lebih ramai penduduk menjadi mangsa.
Dua gempa bumi kuat yang menggegarkan Nepal sejak April lalu, dipercayai membuatkan cerun di kawasan pergunungan di seluruh negara tidak stabil, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh pada musim hujan. - Reuters

Pesawat Tentera Terhempas, 11 Maut


Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2015 11:07 AM

BOGOTA: Seramai 11 orang terbunuh selepas sebuah pesawat tentera udara Colombia terhempas akibat masalah mekanikal pada Jumaat.
Pada Jumaat, Presiden Juan Manuel Santos mengumumkan seramai 12 orang terbunuh akibat kejadian itu, tetapi pengawai penyiasat mengesahkan jumlah kematian hanya melibatkan 11 orang sahaja.
Santos dalam laman Twitternya melahirkan kesedihan terhadap kematian tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Pemimpin tertinggi Colombia itu berkata, pesawat tentera berkenaan telah menghantar isyarat mengenai masalah enjin sebelum terhempas.
Nahas itu berlaku di Las Palomas yang terletak kira-kira 800 kilometer dari sini.

Pesawat Peribadi Terhempas, Keluarga Osama Maut


Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2015 11:46 AM

LONDON: Beberapa ahli keluarga Osama Bin Laden dilaporkan terbunuh selepas sebuah pesawat peribadi terhempas di kawasan lelongan kereta ketika cuba melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang di Hampshire pada Jumaat.
Kematian keluarga ahli perniagaan yang terkenal terhadap persaudaraan mereka dengan Osama - individu yang didakwa bertanggungjawab dalam serangan 11 September di New York telah disahkan oleh Kedutaan Arab Saudi di Britain, Putera Mohammed bin Nawaf Al Saud.
"Duli Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Nawaf bin Abdul Aziz, duta besar penjaga dua masjid suci ke United Kingdom, mengucapkan takziah kepada anak-anak Allahyarham Mohammed bin Laden dan saudara mereka yang terlibat dalam insiden itu," kata pejabat kedutaan dalam laman sosial Twitter.
Menurut laporan media di Arab Saudi, mangsa yang maut terdiri daripada ibu tiri Osama Bin Laden dan saudara yang lain.
Pesawat tersebut dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Milan-Malpensa untuk ke Lapangan Terbang Blackbushe di Hampshire sebelum terhempas.

Low Yatkena serbu

Kuala Lumpur: “Kami akan ‘lawat’ lebih banyak lagi pusat beli-belah yang dikesan menjual telefon pintar dan aksesori komunikasi palsu,” kata pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Muez Abdul Aziz.
Menurutnya, operasi membanteras produk tiruan akan diteruskan bagi memastikan pengguna tidak ditipu dan mengelakkan negara ini menjadi pusat longgokan alat komunikasi tiruan.
Dia mengulas tindakan KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumput menyerbu pusat beli-belah Low Yat di Bukit Bintang di sini, yang kerap dikaitkan dengan penjualan produk komunikasi tiruan kelmarin.
Serbuan mengejut dilakukan jam 2.30 petang semalam oleh 110 anggota penguat kuasa KPDNKK dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Dalam operasi disertai Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad itu, sebanyak 120 premis diperiksa susulan risikan KPDNKK dan juga aduan diterima daripada orang ramai.
Menurutnya, pihak KPDNKK mendapat aduan ada mangsa ditipu apabila ditawarkan pembelian telefon pintar dan aksesori komunikasi palsu buatan China.
“Hasil pemeriksaan itu, KPDNKK merampas 11,174 unit telefon dan aksesori telefon bimbit jenama terkenal.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM160,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Menurutnya, peniaga didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu.
“Sekiranya ia membabitkan syarikat, boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barangan yang dirampas,” katanya.
Alias berkata, KPDNKK akan sentiasa melakukan operasi di masa akan datang bagi membendung penjualan barangan tiruan kepada orang ramai.
“Operasi sama akan dilakukan dari semasa ke semasa dan akan diteruskan sehingga ke hujung tahun.
“Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-886-800 atau tampil sendiri ke pejabat KPDNKK seluruh negara untuk membuat aduan berkaitan pengguna,” katanya.
Pusat beli-belah Low Yat sebelum ini pernah dikaitkan dengan kejadian pergaduhan apabila tersebar maklumat peniaga di pusat beli-belah itu menipu dan menjual telefon pintar palsu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:19 AM


Operasi kpdnkk di Low Yat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67540#sthash.UCKF7GM6.dpuf

8 sertai perhimpunan haram didakwa

Lapan  dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan melakukan perhimpunan menyalahi undang-undang dan menggunakan senjata, Ahad lalu.
Bagaimanapun, semua tertuduh S Magendran, 23; S Sharueisan, 18; V Previnthiran, 20; K Arvindran, 18; V Kogulan, 19; M Pirem, 19; G Kesavan, 20; dan B Navindaran, 20, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak, mereka dituduh bersama melakukan perhimpunan menyalahi undang-undang dan pada masa sama menggunakan senjata yang boleh membawa maut.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan restoran makanan segera A&W, Bandar Seremban di sini, jam 5 pagi, Ahad lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh terbabit diikat jamin RM2,600 dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan dikemukakan peguamnya.
Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:21 AM


ANTARA tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67546#sthash.zakeqYZN.dpuf

Lelaki lemas ditelan arus


Seorang lelaki berusia 25 tahun dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda bersama adik dan tujuh rakannya di Sungai Pahang berhampiran Kampung Pedah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa, Mohamad Amirul Mohd Aspar, 25, dari Perumahan Awam Kos Rendah Jerantut Feri, dekat sini, dipercayai berenang dari kawasan tebing sungai ke Pulau Dedari, di tengah sungai, sejauh 100 meter.

Ketika kejadian, anak sulung daripada lima beradik itu berenang untuk menyertai adik dan rakannya yang berada di pulau berkenaan, mangsa dipercayai gagal kerana arus sungai yang deras.

“Saya dan rakan nampak abang berenang tetapi dia dihanyutkan ke hilir sungai kerana arus begitu deras sebelum hilang daripada pandangan,” kata Mohd Fazirul, 22, adik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67514#sthash.vjTcEBTz.dpuf

Gantung sampai mati

Ipoh: Seorang bekas pengawal keselamatan tidak menunjukkan sebarang reaksi selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Syahmie Hassan, 24, selepas didapati bersalah membunuh Dr Rohani Kasim yang berusia 38 tahun ketika kejadian di Tingkat 1, Blok F, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Tambun, dekat sini, antara jam 6 petang hingga 7.30 malam, 3 Ogos 2011.
Che Mohd Ruzima berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira wujud persediaan awal tertuduh sebelum melakukan perbuatan itu.
Menurutnya, keterangan saksi dan pembuktian sepanjang perbicaraan menunjukkan tertuduh yang tinggal di pangsapuri sama memecah masuk rumah mangsa untuk mencuri, namun tidak gembira dengan hasil diperoleh lalu menunggu dalam rumah itu dengan menyediakan pita perekat dan wayar yang ditemui dalam bilik tidur sebelum ia digunakan untuk mengikat mayat mangsa.
Katanya, sebaik mangsa pulang ke rumah, berlaku pergelutan antara mangsa dengan lelaki itu dan mangsa menggigit tangan tertuduh hingga berdarah sebelum lelaki itu menolak mangsa hingga kepalanya terhantuk ke bucu meja lalu pengsan.
Beliau berkata, tertuduh menjerut leher mangsa menggunakan langsir yang ditemui dalam rumah itu hingga mati sebelum memperkosa jenazah mangsa.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memanggil 20 saksi manakala pembelaan yang diwakili Rafael Abdullah menampilkan dua saksi.
Dalam pembelaannya, tertuduh didakwa mengalami kemurungan dan berdepan masalah lembap dalam kalangan adik-beradiknya. Tertuduh juga dikatakan pernah menerima rawatan di Hospital Slim River berikutan masalah itu, namun gagal dibuktikan kepada mahkamah.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:14 AM


SYAHMIE dikawal ketat anggota polis di Mahkamah Tinggi Ipoh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67513#sthash.mz2fLmGl.dpuf

Tiada kesetiaan

Kangar: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang pekerja kilang selepas didapati bersalah membawa 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh dalam kenderaannya, tahun lalu.
Tertuduh, Setia Bakti Abdul Akir, 38, mengaku bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi memandu Proton Persona mengangkut 11 warga Myanmar dan Bangladesh dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Kampung Sena Dalam, Kampung Titi Tinggi Hulu, Padang Besar, jam 8.30 malam, 27 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah menahan sebuah Perodua MyVi dalam Operasi Cantas Khas/Bersepadu di Jalan Kampung Sena Dalam, Kampung Titi Hulu, Padang Besar pada waktu dan tarikh sama.
Kereta berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan, Syed Muhammad Anas Syed Rosli dan selepas diperiksa menemui 14 penumpang di bahagian hadapan, tengah dan but kenderaan itu. Pada waktu sama, polis yang membuat pemeriksaan melihat dua lagi kenderaan mencurigakan berhampiran Perodua Myvi iaitu sebuah Toyota Avanza dan Proton Persona dipandu Setia Bakti.
Hasil pemeriksaan terhadap Toyota Avanza itu, polis menemui 17 penumpang duduk di dalamnya manakala 11 penumpang lagi ditemui dalam Proton Persona.
Semua PATI terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika tangkapan.
Syed Muhammad Anas berjaya ditahan, namun mengaku tidak bersalah apabila didakwa di mahkamah, baru-baru ini mengikut akta sama dan sebutan semula dibuat September depan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:13 AM


SETIA Bakti ketika dibawa ke mahkamah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67507#sthash.lAFH563M.dpuf

Pelajar lemas bot terbalik


Perjalanan pulang empat pelajar dari sekolah bertukar tragedi apabila bot mereka terbalik dipukul ombak dalam kejadian di Sungai Sadong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, seorang pelajar dikenali sebagai Vickien Tawi, 15 dikhuatiri lemas manakala tiga lagi pelajar dan pemandu bot dapat menyelamatkan diri.

Difahamkan, bot yang dinaiki lima penumpang itu mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan ke tengah sungai.

Ketika pemandu bot cuba membaiki kerosakan, berlaku ombak kuat menyebabkan bot hilang kawalan dan terbalik.

Ketua Balai Bomba dan penyelamat Simunjan Jalek Kelat berkata, ketika bot terbalik, empat penumpang berenang ke tebing yang jaraknya 400 meter untuk menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:16 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67525#sthash.PlId8sQj.dpuf

Pilu dengar jeritan anak sebelum rentung

Miri: “Saya cuba masuk semula dalam rumah, tetapi dihalang orang ramai. Betapa luluh hati saya apabila terkenang jeritan anak memanggil sehingga suaranya tidak lagi kedengaran,” kata Siang Voon, bapa kepada Ellexustoltti, 9, yang rentung dalam kebakaran di rumah pekerja di Jalan Lutong berdekatan stesen minyak Shell, Kuala Baram, di sini, semalam.
Siang, 42, berkata, isterinya berusia 41 tahun dan tiga anak berusia lapan tahun hingga lapan bulan dapat menyelamatkan diri bersama 14 penghuni lain di rumah dua tingkat milik syarikat logistik di kawasan itu.
Dia berkata, ketika kejadian jam 12.30 tengah malam itu, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu asap dan terkejut apabila mendapati rumah itu terbakar.
Menurutnya, dia yang menetap di tingkat dua kediaman mengarahkan keluarganya keluar dan dia turun ke tingkat bawah untuk mengejutkan penghuni lain.
“Isteri dan tiga anak sudah keluar, saya tidak sangka pula anak sulung masih tidur walaupun dikejutkan.
“Selepas mengejutkan penghuni lain, saya kembali ke tingkat atas untuk membawa anak keluar, bagaimanapun api sudah marak. Saya cuba meredah masuk, namun dihalang orang ramai kerana terlalu berisiko,” katanya ketika ditemui, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 8:55 AM


KERETA dan lori diparkir berdekatan rumah turut musnah terbakar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67270#sthash.vvfSVv8E.dpuf

Bekas pengarah kena tujuh pertuduhan


Seorang bekas pengarah syarikat carigali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas tujuh pertuduhan memperoleh 309,100 unit saham syarikat Ranhill Power Berhad melalui maklumat yang tidak boleh didapati secara umum, lapan tahun lalu.

Amran Awaluddin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Pada prosiding sama, seorang Pengurus Pentadbiran Pejabat sebuah syarikat yang beroperasi di United Kingdom (UK), Nooralina Mohd Shah, 41, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Amran melakukan perbuatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:12 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67505#sthash.n1CgtCyh.dpuf

Lelaki bawa duit palsu hadiri prosiding mahkamah

Seorang lelaki berusia 35 tahun yang berdepan tuduhan menggunakan wang palsu bukan saja tidak serik, malah sengaja mencari nahas apabila membawa sejumlah wang itu ketika menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Temerloh, kelmarin.
Tindakan kurang bijak lelaki itu terbongkar selepas dia ditahan polis di pekarangan mahkamah jam 3.30 petang dan pemeriksaan lanjut menemui 24 keping wang kertas bernilai RM100 dalam simpanannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Azizan Md Isa berkata, ciri wang itu jelas palsu iaitu mempunyai nombor siri sama, kualiti kertas biasa, warna pudar, selain gambar Yang di-Pertuan Agong tidak jelas.
“Susulan itu, suspek ditahan reman sehingga 3 Ogos depan bagi siasatan lanjut manakala tiga rakan berusia 20 hingga 30 tahun yang menemaninya ketika di mahkamah turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, semua yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan siasatan awal juga mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau termasuk suspek utama yang mempunyai 15 rekod berhubung kes ugutan jenayah, penipuan, samun, tipu dan menggunakan wang palsu. 
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:20 AM


Azizan melihat wang palsu pada sidang media khas, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67542#sthash.0oVDMaMR.dpuf

Maut tercampak ke pembahagi jalan

Melaka: Pelajar tingkatan lima maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Gangsa, Alor Gajah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa Ali Zainal Abidin A Halid, 17, dikatakan dalam perjalanan ke kelas tuisyen dari rumahnya di Taman Jati, Batu Berendam, di sini.
Jurucakap polis berkata, akibat kemalangan itu mangsa tercampak kira-kira 10 meter ke pembahagi jalan dari motosikal ditunggang
"Siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari Batu Berendam menuju ke Durian Tunggal dipercayai melanggar belakang lori sebelum terbabas ke kanan jalan.
"Mangsa yang parah di kepala serta beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 4:45 PM


KEADAAN motosikal ditunggang mangsa. FOTO ihsan Polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67399#sthash.M4y8wAQK.dpuf

Tingkap pesawat jatuh atas riba

London: Seorang lelaki terkejut apabila bingkai tingkap sebuah pesawat jatuh ke atas ribanya ketika kapal terbang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Stansted London, kelmarin.
Laurence Gibson, pembantu guru berusia 37 tahun berkata, dia trauma akibat kejadian berkenaan.
Dia yang pulang selepas bercuti selama seminggu di Gdansk, Poland bersama rakannya Matt berkata: “Ia kejadian paling menakutkan dalam hidup saya.
“Saya memang takut naik kapal terbang, lebih-lebih lagi ketika ia mendarat. Kejadian itu memburukkan lagi keadaan. Sebaik pesawat mendarat, bingkai tingkap itu jatuh ke atas riba saya,” katanya.
Gibson membeli tiket untuk penerbangan ulang alik ke Poland menerusi Ryanair.
Bagaimanapun, pesawat itu dikendalikan oleh Air Explore.
“Pesawat itu agak buruk berbanding standard biasa kapal terbang Ryanair. Bagaimanapun, kakitangannya baik dan mereka tidak putus-putus meminta maaf,” kata Gibson.
Seorang jurucakap Ryanair mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mereka meminta Air Explore menyiasat bagaimana ia boleh berlaku. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:53 AM


GIBSON dengan rangka tingkap pesawat itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67210#sthash.npdbvmWf.dpuf

Lelaki nafsu jijik dijel tujuh tahun

London: Seorang bekas banduan yang sebelum ini didakwa mengadakan seks dengan kuda padi dijel tujuh tahun baru-baru ini kerana memiliki gambar menjijikkan yang menunjukkan seks dengan haiwan lain, termasuk seekor anjing Great Dane.
Polis menyerbu kediaman Alan Barnfield, 45 - yang dipenjara kerana merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 2001 - selepas mendapat laporan dia mengadakan seks dengan kuda berkenaan dan menemui lebih 47,000 gambar serta 1,400 video menjijikkan yang kebanyakannya menunjukkan seks dengan haiwan termasuk anjing.
Polis turut menemui video ‘snuff’ menunjukkan seorang wanita muda dirogol dengan ganas sebelum dicekik hingga mati.
Hakim Peter Kelson QC menganggap video ditemui itu ‘membimbangkan’ kerana mempunyai banyak persamaan dengan kes rogol gadis berusia 16 tahun dilakukan Barnfield pada 2001 apabila mangsa itu juga dicekik.
Barnfield yang sebelum ini menafikan tuduhan terhadapnya mengubah pendirian dan mengaku memiliki bahan porno yang ‘amat membimbangkan’ membabitkan kanak-kanak serta haiwan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:07 AM

BarnfielD

Pemandu cedera, lori minyak sawit terbakar

kemalangan
Gambar hiasan

 
Dalam kejadian 3.15 pagi itu, mangsa Hamidi Mahmood, 36, berkata ketika itu beliau dalam perjalanan menghantar bekalan minyak dari Kamunting, Perak ke Melor, Kota Baharu.
 
Sebelum kebakaran itu, beliau terhidu bau hangit dan bertindak memberhentikan lori di tepi jalan.
 
"Saya lihat ada kebakaran kecil di bahagian belakang lori lalu mengambil dua botol air untuk memadamkan kebakaran.
 
"Bagaimanapun, ketika memeriksa keadaan lori, tiba-tiba lori meletup dan saya terpelanting ke pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
 
Katanya dalam keadaan cedera dan pening beliau berusaha menjauhkan diri dari lori itu kerana bimbang letupan lebih besar berlaku.
 
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Pegawai Bomba Soleh Nasir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 3.52 pagi.
 
"Ketika tiba di tempat kejadian bersama lima anggota bomba dan dua sukarelawan bomba bersama dua jentera, kami dapati hampir 20 peratus api telah merebak ke bahagian kabin pemandu.
 
"Bagaimanapun, kami berjaya memadamkan api di bahagian tangki yang mempunyai muatan minyak sawit itu melalui pemadaman api menggunakan teknik busa," katanya.
 
Beliau berkata mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Jeli untuk menerima rawatan lanjut manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama