Search This Blog

Thursday, July 30, 2015

24 maut, berpuluh hilang akibat tanah runtuh di Nepal

KATHMANDU: Tanah runtuh akibat hujan lebat meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa manakala berpuluh lagi hilang, apabila kediaman mereka dihanyutkan di tiga daerah yang dilanda gempa.
Ketika ini, anggota penyelamat masih menjalankan misi mencari 20 lagi mangsa yang dipercayai hilang di daerah barat Kaski dan di kaki bukit Himalaya, kira-kira 150 kilometer barat Kathmandu.
"Jumlah kematian meningkat kepada 21," kata Ketua Polis Kaski, Kedar Rajaure yang berada di lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan."

Lapan belas orang cedera ketika bencana itu dikejarkan ke hospital tempatan untuk rawatan.
Sementara itu, tiga termasuk seorang lelaki berusia 83 tahun terbunuh dalam dua kejadian tanah runtuh di daerah Myagdi dan Baglung, menurut kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa. - AFP

Satu maut ketika 1,500 PTI cuba masuk England melalui Eurotunnel

LILLE: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh ketika kira-kira 1,500 pendatang tanpa izin (PTI) cuba memasuki England melalui terminal Eurotunnel.
Sumber polis Perancis menyatakan, mereka cuba memasuki England melalui terminal Eurotunnel di bandar pelabuhan Calais.
Jurucakap Eurotunnel mengesahkan perkara ini dan menyatakan pasukannya menjumpai mayat pendatang terbabit ketika melakukan rondaan dan memanggil pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. - AFP

20 dikhuatiri hilang selepas helikopter tentera terhempas di Laos

BANGKOK: Lebih 20 penumpang hilang selepas sebuah helikopter tentera di Laos terhempas akibat cuaca buruk awal minggu ini, demikian menurut kenyataan pihak berkuasa di sini, hari ini.
Kementerian Pertahanan berkata, nahas itu berlaku selepas 1 tengah hari (waktu tempatan) pada Isnin, ketika helikopter berkenaan dalam perjalanan ke wilayah timur laut Xiangkhouang dan Houaphanh, lapor agensi berita rasmi Laos, KPL.
"Helikopter itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Penerbangan tidak lama selepas ia meninggalkan Bandar Vientiane dengan empat anak kapal dan 19 penumpang," menurut laporan itu.
Pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian sementara carian udara dibatalkan berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Sementara itu, Kementerian Luar Laos masih belum memberi maklum balas mengenai insiden itu.
Negara komunis itu terkenal dengan sejarah keselamatan udara yang teruk dengan kedua-dua sektor awam dan tentera mengalami kemalangan maut baru-baru ini.
Pada Oktober 2013, kapal terbang awam yang dikendalikan Laos Airlines terjunam ke dalam Sungai Mekong berikutan cuaca buruk, membunuh semua 49 penumpang.
Pada Mei lalu, pesawat tentera terhempas ketika dalam perjalanan ke wilayah Xiangkhouang, meragut nyawa lima pegawai kanan termasuk Menteri Pertahanan negara itu. - AFP
Helikopter tentera Laos. - Gambar hiasan

Ketua LeJ Mati Ditembak


Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 12:26 PM
Malik Ishaq.

LAHORE: Ketua Lashkar-e-Jhangvi (LeJ), Malik Ishaq, dalang beberapa serangan terburuk di Pakistan, ditembak mati oleh polis di Muzaffargarh, Wilayah Punjab pada Rabu.
Dua anak Malik, Usman dan Haq Nawaz antara yang dilaporkan turut terbunuh dalam pertempuran dengan anggota polis.
Ghulam Rasool dari LeJ dan dua anak lelakinya turut maut.
LeJ merupakan sebuah kumpulan militan anti-Syiah.
Jurucakap Jabatan anti keganasan Punjab (CTD) berkata enam anggota dilaporkan cedera dalam pertempuran tersebut.
Mayat kesemua anggota militan yang terbunuh dipindahkan ke ibu pejabat Hospital Daerah di Muzzaffargarh.
Pada Sabtu lalu, Malik dan dua anak lelakinya ditahan di bawah Seksyen 16 Pemeliharaan Keamanan Awam (MPO).
Mereka didakwa terlibat merancang, menyokong pembunuhan dan aktiviti keganasan.

Kerajaan Negeri Jalankan Operasi Pemutihan Di Cameron Highlands


Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 9:46 PM

KUANTAN: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang sedang mempertimbangkan 550 permohonan bagi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti penanaman sayur kecil-kecilan di Cameron Highlands sebagai langkah pemutihan kawasan itu daripada pertanian berskala besar.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri hanya akan mempertimbangkan permohonan melakukan pertanian bagi sara hidup kerana prihatin dengan nasib penduduk yang telah berpuluh tahun menjalankan kegiatan tersebut sebagai punca rezeki mereka.
"Kita tidak lagi boleh membiarkan sindiket besar melakukan penerokaan tanah pertanian secara haram kerana itu kita jalankan pemutihan ini.
"Sampai masa nanti, kita akan umumkan (mereka yang mendapat TOL), yang penting penduduk Cameron Highlands yang selama ini bergantung hidup dengan bercucuk tanam boleh teruskan kehidupan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco dan sesi taklimat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu di Yayasan Pahang di sini, Rabu.
Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan bekerjasama dengan SPRM untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memantau projek pembangunan di Cameron Highlands.
Jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan dalam jangka masa terdekat itu akan bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan negeri berhubung segala aspek penambahbaikan di kawasan tanah tinggi itu.
"Selain itu, kita juga bersetuju supaya kerajaan negeri dan SPRM mengeluarkan kenyataan media dari semasa ke semasa untuk menunjukkan komitmen bersama memerangi pelbagai isu termasuk rasuah dan isu berbangkit lain," katanya.
Adnan berkata, dalam pertemuan itu juga, kerajaan negeri menolak cadangan SPRM agar kuasa berkenaan tanah diturunkan kepada peringkat daerah berbanding peringkat negeri pada masa ini kerana ia akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.--Bernama

21 Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Negara


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 3:05 PM

KEMAMAN: Seramai 21 nelayan asing termasuk dua tekong diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika leka menangkap ikan secara haram di perairan negara pada Selasa.
Ketua Penguat Kuasa Pangkalan Maritim Kemaman Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafik berkata dua bot pukat tunda gading itu dikesan kira-kira 98 batu nautika, timur Pulau Tenggol pada 7.20 pagi.
Katanya bot nelayan Vietnam itu ditahan sepasukan 16 anggota termasuk pegawai yang melakukan Ops Tunda Gading bagi membanteras aktiviti nelayan asing yang menangkap ikan secara haram di perairan negara.
"Ketika melakukan rondaan itu, kami mengesan kedua-dua bot melakukan aktiviti menunda pukat di kawasan terbabit dan ketika kami menghampiri, mereka cuba melarikan diri namun berjaya dihalang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.
APMM tidak menolak kemungkinan kedua-dua bot itu baru sahaja melakukan aktiviti menangkap ikan berdasarkan kepada tangkapan ikan sedikit ketika itu.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua nelayan itu, yang berusia antara 18 hingga 60 tahun, tiada mempunyai rekod pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah.
Norhafizi berkata hasil rampasan dianggarkan bernilai RM2 juta dan berat tangkapan pelbagai jenis spesies ikan dianggarkan 300 kilogram.
Kesemua nelayan itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan, tekong bot boleh didenda sebanyak RM1 juta manakala awak-awak didenda RM100,000 setiap seorang.
Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan rondaan dan operasi di sekitar perairan negara bagi mengekang aktiviti nelayan asing itu.

Gempa Bumi 5.9 Magnitud Gegar Sempadan Panama-Colombia


Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 9:57 AM

BOGOTA: Gempa bumi 5.9 magnitud melanda kawasan hutan di sempadan Panama-Colombia pagi Rabu, namun tiada laporan segera mengenai kerosakan.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata kekuatan gempa pada mulanya dicatatkan 6.1 magnitud yang berlaku di kedalaman 10 kilometer.
Pengarah Agensi Kecemasan Panama, Jose Donderis, berkata pihak berkuasa sedang memantau kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, agensi tersebut setakat ini belum menerima maklumat mengenai kerosakan yang terbabit. - Reuters

Mengaku tidak bersalah palsukan dokumen

mahkamah30 JULAI 2015

KOTA BHARU - Seorang kerabat diraja negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap lapan pertuduhan memalsukan dokumen Surat Perakuan dan Pengesahan Dato' Kerabat dan Kad Kuasa Keahlian Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan di bawah naungan Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan untuk 11 ahli perniagaan.
 
Tengku Mohd Ariffin Tengku Ibrahim, 62, dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk tujuan menipu.
 
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di hadapan Kedai Perabot Wan Jati, Jalan Raja Perempuan Zainab II, Padang Demit, Kubang Kerian di sini kira-kira 6 petang antara 1 April 2014 dan 18 Februari 2015.
 
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
 
Pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
 
Timbalan Pendakwa Raya Nor Dalina Ali memohon kepada mahkamah supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama-sama dua lagi individu yang menghadapi lapan pertuduhan menipu kononnya boleh mendapatkan anugerah Dato Kerabat Diraja Kelantan.
 
Nor Dalina memberitahu mahkamah bahawa kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dari 26 hingga 29 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
 
Beliau menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin kepada Tengku Mohd Ariffin.
 
Hakim Mohd Yusoff membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan tertuduh diikat  jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Pada Selasa lepas, seorang lelaki bergelar "Datuk Seri" dan seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap lapan pertuduhan menipu kononnya boleh mendapatkan anugerah Dato Kerabat Diraja Kelantan berjumlah lebih RM700,000.

Saharuddin Awang Yahya, 60, dan Norzihan Zainal Abidin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua  pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. - Bernama

Empat maut kemalangan di Kuala Pilah dan Rembau

Empat maut kemalangan di Kuala Pilah dan Rembau
Dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Tanjung Ipoh di sini, petang semalam.
30 JULAI 2015
SEREMBAN - Dua penunggang dan dua pembonceng motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kuala Pilah dan Rembau, semalam.
   
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian di KM32, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kuala Pilah pada kira-kira 5.45 petang itu, Muhamad Hazany Zham Hazmy, 17, dan pemboncengya, Ahmad Nor Asri Mohd Nor, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
   
"Kemalangan ini dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban kerana hendak balik ke Kampung Talang.
   
"Penunggang dipercayai cuba untuk memotong kenderaan yang berada di hadapan, namun gagal, lalu melanggar sebuah kereta dari arah sama. Kereta Perodua Myvi tersebut bagaimanapun meninggalkan tempat kejadian selepas kemalangan itu," katanya di sini, hari ini.
   
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat dan pihak polis sedang mengesan Perodua Myvi terlibat.
   
Sementara itu, dalam kemalangan di KM20.5 Jalan Seremban-Tampin, Rembau, seorang penunggang motosikal, L.T. Harwind Raj, 21, dan pemboncengnya S. Tamilvani, 18, maut setelah motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah kenderaan lain.
   
Dalam kejadian pada kira-kira 7 malam itu, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin sebelum motosikal yang dinaiki mereka dipercayai bergesel dalam keadaan cuaca hujan lebat, jalan licin dan basah.
   
Akibat pergeselan tersebut, kedua-dua mangsa melambung dan tercampak lalu terjatuh di laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.    
Mayat dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
   
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan Asisten Superitendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kes kemalangan itu dan berkata polis kini sedang mengesan kenderaan lain terlibat.
   
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama

Dua beradik disyaki edar dadah

Dua beradik disyaki edar dadah

30 JULAI 2015

PASIR PUTEH - Dua beradik dan seorang perempuan bawah umur dipercayai pengedar dadah baharu ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Puteh dalam Ops Tapis di Kampung Dalam Ru, Semerak dekat sini, petang semalam.

Dalam serbuan jam 2.30 petang diketuai, Asisten Superitendan Yusof Zainuddin itu, suspek utama berusia 19 tahun, kakaknya berusia 23, dan teman wanita suspek utama berusia 14 tahun ditahan ketika ibu mereka tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abd Rozak Muhammad berkata, polis menemui beg mengandungi lebih 800 pil merah jambu dipercayai pil kuda, 200 biji Eramphin 5 dan syabu sebanyak 9.27 gram.

"Kita juga menemui sepucuk pistol tiruan dipercayai milik suspek utama dan senjata tajam kerambit yang tertera nama suspek pada sarungnya.

"Kita anggarkan nilai rampasan berjumlah RM42,000 termasuk satu kereta Proton Satria yang sedang disiasat statusnya dan wang tunai berjumlah RM1,610," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek negatif dadah dan mereka tidak mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan dadah.

Abd Rozak berkata, kumpulan itu dipercayai baru berjinak-jinak melakukan kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah ini yang mungkin menyasarkan kepada penagih muda.

Peguam didakwa pecah amanah

Mahkamah30 JULAI 2015

IPOH - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang tunai bernilai RM73,450 bagi kegunaan sendiri.
   
W.B John Willibrod Concisom, 49, dari Ipoh Garden South, di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Rushan Lutfi Mohamed.
   
Tertuduh yang memakai baju penjara hijau didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu beliau sebagai peguam menyalahgunakan wang tunai bernilai RM59,800 bagi kegunaan sendiri di pejabat guaman tetuan Concisom & Co, No. 2, Jalan Seenivasagam, di sini, antara 1 Ogos 2010 hingga 31 Dis 2010.
   
Tertuduh juga didakwa atas alasan sama membabitkan wang tunai bernilai RM13,650 di pejabat guaman berkenaan, antara 1 Januari 2011 hingga 31 Jan 2011.
   
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.    
      
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof berkata, pertuduhan tersebut adalah kesalahan tak boleh jamin kerana membabitkan jumlah sangat besar.
   
Peguam Sukdev Singh, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun tidak memohon jaminan terhadap tertuduh kerana tertuduh sedang menjalani hukuman penjara di sebuah penjara di atas kesalahan lain.
   
Rushan Lutfi menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes.

Pelajar USM putus kaki kiri

Pelajar USM putus kaki kiri
Motosikal yang ditunggangi mangsa terpelosok di bawah treler.
JASIN - Seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) putus kaki kiri selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 32 Jalan Merlimau - Jasin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Mohd Fatehuddin Raban, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamah LC secara berseorangan dalam perjalanan dari Merlimau ke Jasin.

Sumber polis berkata, ketika kejadian, pemandu treler berusia 29 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari Jasin menuju ke Merlimau.

“Setibanya di lokasi kejadian, pelajar terbabit terbabas dan memasuki arah bertentangan dan melanggar hadapan treler jenis Volvo yang ketika itu melalui jalan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dari motosikalnya menyebabkan kaki kirinya putus," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal berkenaan merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanik USM.

"Mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Muhammad Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 43 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Wanita kerat lapan bayi dipenjara 12 bulan

Wanita kerat lapan bayi dipenjara 12 bulan
Mahkamah Majistret Jitra hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Farihah Abd. Aziz, 31, selepas didapati bersalah menyembunyikan kelahiran bayi perempuan 6 Julai lalu.
 Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayinya itu dengan memotong bayi berkenaan kepada lapan bahagian dan membuangnya ke dalam lubang tandas.
 - Foto Bernama
JITRA - Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang wanita kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara mengeratnya kepada lapan bahagian, awal bulan ini.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Farihah Abd Aziz, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara mengeratnya kepada lapan bahagian dan membuangnya ke dalam lubang tandas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 tengah hari hingga 3 petang pada 6 Julai lepas di dalam bilik mandi di sebuah rumah di Kampung Manggol, Mukim Malau Jitra, Kubang Pasu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bayi perempuan dikerat lapan]

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ummi Kalthum Zakaria. - Bernama

Dipenjara kerana simpan motosikal curi

kes mahkamah30 JULAI 2015

KUALA LUMPUR - Akibat menyimpan sebuah motosikal curi, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Yusuf Mohamad Ghafur, 39, setelah dia mengaku bersalah menyimpan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik Muhammad Hadi Tan Abdullah, 46, seorang peniaga.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung seorang ibu dan tiga orang anak saudara.

Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. - Bernama

Suspek kes bunuh di Lahad Datu diberkas

kes mahkamahJITRA - Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang wanita kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara mengeratnya kepada lapan bahagian, awal bulan ini.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Farihah Abd Aziz, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara mengeratnya kepada lapan bahagian dan membuangnya ke dalam lubang tandas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 tengah hari hingga 3 petang pada 6 Julai lepas di dalam bilik mandi di sebuah rumah di Kampung Manggol, Mukim Malau Jitra, Kubang Pasu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bayi perempuan dikerat lapan]

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ummi Kalthum Zakaria. - Bernama

Sudah dipatuk ular, bil rawatan pula RM500,000

Sudah dipatuk ular, bil rawatan pula RM500,000
Keadaan tangan Todd Fassler yang berubah warna selepas dipatuk ular.
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Malang bagi seorang lelaki yang mengambil selfie bersama ular yang ditemui di dalam semak apabila dia dipatuk reptilia itu.

Lebih malang baginya apabila bil rawatannya mencecah lebih RM500,000.

Menurut Indian Express, tangan Todd Fassler berubah menjadi warna ungu selepas dipatuk seekor ular orok-orok yang diambilnya dari semak pada 4 Julai lepas.

"Badan saya menggigil. Ular tersebut lumpuhkan seluruh badan saya.

 "Saya rasa seperti lidah saya terkeluar dari mulut dan mata saya berpusing ke tepi," kata Fassler ketika menyifatkan 'penyeksaan' dipatuk reptilia tersebut.

Fassler yang berasal dari San Diego berjaya dirawat namun dua hospital kehabisan penawar ular.

Beliau kemudian diberikan bil rawatan yang berjumlah USD 153,161 (RM584,493.01).

Syarikat insurans kini sedang berunding dengan pihak hospital untuk menyelesaikan bil rawatan berkenaan.

Sebelum ini, Fassler pernah memelihara seekor ular lain, spesis yang sama-sama selama setahun namun dilepaskan selepas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.

Lelaki didenda, curi beg tangan kenalan WeChat

mahkamahKUALA LUMPUR - Gara-gara keluar dengan rakan lelaki yang baharu dikenali empat hari lalu melalui aplikasi WeChat, seorang wanita kehilangan beg tangannya yang dicuri kenalannya itu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Amiruliqram Jafri, 20, selepas mengaku bersalah mencuri beg tangan milik Wan Nor Hidayah Wan Mohd Amin, 21, yang di dalamnya mengandungi dompet berisi wang tunai RM70, dua buah telefon bimbit dan dua utas jam tangan yang kesemuanya  bernilai RM1,400.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Muhammad Amiruliqram didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Sembilang, sebelah stesen Petronas Jalan Tenaga, Cheras, di sini pada pukul 2 petang, 28 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.  

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mengadakan pertemuan pertama dengan mangsa telah menjemput wanita itu untuk keluar bersama.

Dalam perjalanan, tertuduh yang memandu kereta berhenti di sebuah stesen minyak dan meminta mangsa membeli gula-gula dengan memberinya wang berjumlah RM4.

Bagaimanapun sebaik mangsa selesai membeli gula-gula, dia mendapati tertuduh telah melarikan diri bersama beg tangan mangsa yang ditinggalkan dalam kereta itu.

Ketika rayuan Muhammad Amiruliqram, yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda kerana dia perlu menjaga keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu. - Bernama

Ribuan migran cuba masuk ke Britain


Ribuan migran cuba masuk ke Britain
Trak menjadi pengangkutan utama migran untuk masuk ke Britain melalui terowong Eurotunnel di Calais.
LILLE - PERANCIS. Lebih 2,000 pendatang asing cuba memasuki Terowong Channnel dalam usaha untuk sampai ke Britain dari Perancis.

Menurut Reuters, pegawai tempatan memaklumkan, enam migran cedera dalam usaha pencerobohan terbesar dalam tempoh beberapa minggu lalu di pintu masuk terowong berhampiran Calais pada malam kelmarin dan semalam.

"Seramai 2,100 orang cuba masuk pada waktu malam, namun 1.900 daripada mereka tidak berjaya dan 200 lagi telah ditahan," katanya.

Pengendali terowong Eurotunnel mengesahkan pencerobohan menerusi laman Twitter dan memberitahu ia telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Gangguan seperti itu difahamkan adalah perkara biasa, di mana 5,000 pendatang kebanyakannya dari Afrika dan Timur Tengah telah menubuhkan kem di sekitar pelabuhan di utara Perancis serta sentiasa cuba masuk ke Britain melalui terowong dengan menaiki trak.

Pemimpin Lashkar-e-Jhangvi terbunuh


Pemimpin Lashkar-e-Jhangvi terbunuh
Malik (tengah) diiringi anggota polis ketika tiba di mahkamah Lahore pada 22 Disember tahun lalu. Foto: AFP
ISLAMABAD - PAKISTAN. Pemimpin kumpulan militan Lashkar-e-Jhangvi, Malik Ishaq terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis Pakistan ketika cuba melarikan diri ke wilayah Punjab, awal pagi semalam.

"Malik bersama-sama 13 militan lain termasuk dua anak lelakinya terbunuh. Dalam insiden itu, enam anggota polis turut cedera," kata Menteri Dalam Negeri Punjab, Shuja Khanzada.

Menurut Press TV, Malik ditangkap pada 25 Julai lalu dan susulan penangkapan itu pengikutnya bertindak menyerang konvoi yang membawa Malik di daerah Muzaffargah dalam usaha membebaskannya.

Tahun lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan Malik sebagai pengganas global yang amat dikehendaki.

Lashkar-e-Jhangvi dianggap satu daripada kumpulan militan paling digeruni di Pakistan dan bertanggungjawab dalam beberapa serangan berdarah ke atas penganut Syiah Pakistan.

Ia mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan Taliban Pakistan yang dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).

Peluang Mary Jane bebas tipis


Peluang Mary Jane bebas tipis
MARY JANE
JAKARTA - INDONESIA. Peguam Negara Indonesia, M Prasetyo menegaskan, amat sukar bagi Kerajaan Indonesia memenuhi permintaan Jabatan Kehakiman Filipina berkaitan pembebasan Mary Jane Veloso.

Menurut Tempo.com, Mary Jane telah didapati bersalah menyeludup dadah ke republik itu.

Hukuman tembak sampai mati terhadap Mary Jane, 30, ditangguhkan atas arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo setelah Kerajaan Filipina memberikan maklumat bahawa sepasang kekasih yang mengaku menjerat dan menganiayai wanita terbabit telah menyerah diri kepada polis di Filipina, April lalu.

"Katakan nanti mahkamah Filipina memutuskan bahawa dia mangsa sindiket dadah, juga sukar untuk bebas dari hukuman di sini," katanya, semalam.

Mary Jane didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana menyeludup 2.6 kilogram heroin dalam bagasinya di Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta.

Sebelum ini banyak pihak di Filipina termasuk Presidennya, Benigno Aquino merayu kepada Kerajaan Indonesia supaya Mary Jane dibebaskan daripada hukuman itu.

Pada April lalu, Indonesia melaksanakan hukuman mati terhadap tujuh pesalah dadah warga asing dan seorang rakyatnya secara serentak di penjara berciri keselamatan tinggi di Pulau Nusakambangan.

Mullah Omar meninggal dunia


Mullah Omar meninggal dunia
Mullah Omar (tengah) semasa perhimpunan tentera di Kandahar sebelum berjaya menawan Kabul pada tahun 1996. Gambar kecil: Mullah Omar
KABUL - AFGHANISTAN. Kerajaan Afghanistan secara rasmi mengumumkan kematian pemimpin berpengaruh pejuang Taliban, Mullah Omar.

Menurut Al-Jazeera, pengumuman itu dibuat jurucakap Presiden Ashraf Ghani dalam satu sidang media di Kabul, semalam.

Menurutnya, kerajaan sedar mengenai laporan kematian Mullah Omar dan sedang dalam proses menilai laporan berkenaan.

Sumber perisikan Afghanistan menyatakan pemimpin Taliban yang menyembunyikan diri itu telah meninggal dunia dua atau tiga tahun lalu.

Ini bukanlah kali pertama berita mengenai kematian Mullah Omar tersebar kerana pada 2011, media Afghanistan melaporkan pembunuhannya di Pakistan, namun laporan itu disangkal Islamabad.

Difahamkan, Mullah Omar tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak Amerika Syarikat (AS) melancarkan perang terhadap Taliban di Afghanistan sejak 2001.

Situasi itu memaksa beliau meninggalkan Kabul dan hidup dalam persembunyian selama 13 tahun.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby berkata, AS tidak boleh mengesahkan kematian Mullah Omar.

Sebelum ini, AS pernah menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM38 juta) kepada mana-mana pihak yang berjaya menangkap pemimpin Taliban itu.

Banjir ragut 81 nyawa di Pakistan


Banjir ragut 81 nyawa di Pakistan
Penduduk kampung tiba di kawasan tanah tinggi selepas melalui kawasan banjir berhampiran Multan, kelmarin. Foto: AFP
ISLAMABAD - PAKISTAN. Hujan lebat dan banjir yang melanda Pakistan sejak dua minggu lalu telah meragut 81 nyawa dan menjejaskan hampir 300,000 penduduk, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), kelmarin.

Agensi itu turut memberi amaran bahawa keadaan cuaca bertambah buruk dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Menurut AFP, hujan lebat mula melanda bahagian utara dan selatan negara itu pada pertengahan Julai dan bencana terbabit memusnahkan lebih 1,900 rumah.

"Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh di wilayah Paktunkhwa dan 19 lagi terkorban di Kashmir.

"11 maut di Punjab, lapan di Baluchistan dan  di  Balistan pula dengan lima kematian," kata jurucakap NDMA, Ahmed Kamal.

Setakat ini, katanya, seramai 172,016 penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat, manakala tentera sedang menjalankan operasi bantuan dan menyelamat di kawasan terjejas banjir.

Pengebom Mumbai jalani hukuman gantung hari ini

Yakub Memon
Yakub Memon

30 JULAI 2015
 NEW DELHI - INDIA. Suspek utama serangan bom terbesar di India pada 1993, Yakub Memon telah menjalani hukuman mati awal pagi ini, selepas sejam Mahkamah Agung menolak rayuan terakhirnya dalam prosiding pendengaran selama 90 minit.
 
Kerajaan Maharastra dalam kenyataannya mengesahkan bahawa Yakub yang mencecah usia 54 tahun pada hari ini telah menjalani hukuman mati pada jam 6.43 pagi (pukul 9.15 pagi waktu Malaysia) di Penjara Pusat Nagpur.
 
Para peguamnya memberitahu pemberita, post-mortem dijalankan di Hospital Nagpur sebelum jenazah Yakub diserahkan kepada keluarganya.
 
Satu siri serangan bom di Mumbai pada 1993 menyebabkan 257 orang terbunuh dan lebih 700 cedera.
 
Drama sebelum hukuman mati dilaksanakan bermula apabila ketua hakim H L Dattu bersetuju dengan permintaan para peguam Yakub yang datang ke kediaman hakim itu, membentuk panel rayuan tiga anggota pada jam 2.30 pagi tatkala pihak berkuasa penjara di Nagpur sedang membuat persediaan akhir melaksanakan hukuman gantung yang dijadualkan sebelum jam 7 pagi.  
 
Prosiding bermula jam 3.30 pagi dan berakhir sejam setengah kemudian dengan mahkamah menolak rayuan terakhirnya.
 
Kes Yakub mendapat liputan media yang meluas dengan berlaku pertikaian perundangan dan perpecahan pendapat di kalangan orang awam terhadap hukuman mati, termasuk allahyarham bekas presiden India, Dr APJ Abdul Kalam.
 
Malam tadi, Presiden Pranab Mukherjee menolak rayuan ihsan kedua selepas Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Maharastra menasihatinya menolak rayuan itu.
 
Semalam, tiga panel hakim menolak petisyen terakhir para peguam Yakub yang mencabar waran hukuman mati dan memutuskan bahawa tidak berlaku pencabulan terhadap hak fundamental.
 
Mahkamah Agung juga menolak berlakunya sebarang pencabulan prosedur dengan menyatakan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Mumbai adalah sah.
 
Para hakim bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya Mukul Rohatgi yang mewakili Kerajaan Maharastra.  – Bernama

Lagi kemalangan di eskalator

Beijing: Satu lagi kemalangan membabitkan eskalator menjadi tajuk akhbar di China, kali ini membabitkan seorang kanak-kanak yang diseret oleh tangga berjalan itu.
Kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah Sun Square di Wuzhou, Guangxi.
Menurut media tempatan, kanak-kanak itu terjatuh di atas eskalator berkenaan, menyebabkan tangannya tersepit dan diheret.
Seorang peniaga di pusat beli-belah berkenaan memberitahu wartawan, budak itu berjalan bersama neneknya dan percaya kejadian itu bukan disebabkan eskalator, tetapi lebih kepada kecuaian si nenek.
Anggota bomba terpaksa menggunakan playar hidraulik dan kuku kambing untuk menanggalkan beberapa bahagian eskalator itu sebelum dapat menyelamatkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 9:54 AM


KEADAAN bayi yang terseret di tangga eskalator.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66971#sthash.LlBpePkg.dpuf

Bawa kaki naik ambulans

Melaka: Sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berdepan detik ngeri apabila menemui kaki kiri penunggang motosikal Yamaha 135LC yang putus dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Jasin Merlimau, di sini, jam 3.30 petang kelmarin.
Kaki berkenaan ditemui satu meter dari tubuh mangsa yang terbaring tidak sedarkan diri.
Mangsa, Fatehuddin Raban, 21, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, terbabit kemalangan dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kaki kirinya putus.
Selain putus kaki kiri dari paras betis ke bawah, mangsa yang tidak sedarkan diri sejurus kemalangan turut cedera di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Melaka.
Anggota penyelamat yang bertugas turut membawa bersama kaki kiri mangsa menaiki ambulans ke Hospital Melaka dalam usaha menyelamatkan nyawa pelajar itu dan anggota badan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:03 AM


MOTOSIKAL mangsa terperosok di bawah treler.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66974#sthash.fArPNWzv.dpuf

Mangsa kemalangan meninggal dunia


Melaka: Selepas lapan jam bertarung nyawa seorang penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Balai Panjang berhadapan sebuah stesen minyak disahkan meninggal dunia pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 12 malam semalam, mangsa Shahril Karim, 26, dari arah arah lampu isyarat Lorong Pandan menghala ke Malim sebelum terbabit kemalangan dengan Proton Putra.

Orang awam yang menyaksikan kejadian mengejar kenderaan itu sebelum dipintas di Jalan Benteng, Pokok Mangga, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi kemalangan.

Berang dengan tindakan pemandu kereta terbabit yang memecut selepas melanggar mangsa, kumpulan orang awam melepaskan kemarahan dengan memecahkan cermin tingkap hadapan dan belakang kenderaan.

Badan kenderaan itu turut dirosakkan hingga kemek manakala empat tayar dan rim dicabut.

Jurucakap polis berkata, akibat kemalangan itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri patah tangan kiri dan kaki kanan, namun disahkan meninggal dunia jam 8.40 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarga sebaik bedah siasat dan kami meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:04 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66975#sthash.MXSH5Mna.dpuf