Search This Blog

Saturday, July 25, 2015

Pengadang besi ibarat jerangkap samar?

Pengadang besi ibarat jerangkap samar?
Pengadang besi menembusi kereta hingga menyebabkan seorang pekerja kilang, Mohamad Ambari Mustofa, 24, maut dalam kejadian di KM28.7 Lebuhraya Kajang-Seremban, kelmarin.

KES-kes kemalangan yang berlaku apabila kenderaan terbabas melanggar pengadang besi makin serius sejak akhir-akhir ini. Berdasarkan beberapa kemalangan sebelum ini, mangsa pasti terbunuh atau mendapat kecederaan serius apabila tertusuk besi pengadang jalan.

Adakah pengadang besi yang dipasang di jalan dan lebuh raya selamat kepada pengguna atau ia umpama jerangkap samar yang hanya menanti mangsa?

Adakah kemudahan berkenaan sudah tidak lagi relevan dan perlu diganti dengan pengadang konkrit yang dapat mengurangkan impak kematian dan kecederaan?
Dalam tinjauan yang dilakukan oleh wartawan Sinar Harian,  rata-rata pengguna jalan raya dan lebuh raya bersetuju pengadang besi  jalan lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Presiden Proton Saga BLM Owner’s Club, Faizrullah Abdul Rahman berkata, penggunaan besi sebagai pengadang jalana raya pada ketika ini tidak sesuai.

Ini kerana, menurutnya, impak pengadang tersebut sangat besar sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

“Besi pengadang jalan raya ini boleh memudaratkan mangsa kemalangan. Contohnya, baru-baru ini, seorang wanita meninggal dunia setelah kepalanya terputus akibat ditusuk pengadang jalan raya dalam satu kemalangan semasa mangsa menaiki motosikal berkuasa besar bersama suaminya.

“Jadi, bagi saya, kalau tiada pengadang besi itu, mungkin nasib mangsa tidak seteruk itu,” katanya.

Menurut Kelab Permotoran, Anarchy Motor Club bersetuju pengadang jalan raya diperbuat daripada besi lebih memberi keburukan dari kebaikan.
Seorang jurucakap kelab tersebut berkata, walaupun pengadang jalan raya dibina, namun ia tidak mampu menghalang kenderaan daripada terbabas ke laluan bertentangan.

“Masyarakat boleh lihat, banyak kemalangan jalan raya berpunca daripada kenderaan yang masuk ke laluan bertentangan.

“Pengadang besi sebenarnya dibina untuk mengelak kenderaan tergelincir ke laluan sebelah. Namun, hakikatnya, pengadang besi tidak dapat mengelak daripada perkara ini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, ketika tinjauan yang dilakukan di Lebuhraya Persekutuan, rata-rata penunggang motosikal bimbang sekiranya mereka terbabas dan merempuh besi pengadang jalan.

Bagi seorang penunggang motosikal, Mohd Zulfaqqar Rosli, 23, dia tidak dapat membayangkan nasib menimpa dirinya jika terbabas dan merempuh besi pengadang berkenaan.

“Nyawa penunggang motor ibarat telur di hujung tanduk, sedangkan kereta pun boleh tertusuk besi, inikan pula kami yang tiada sebarang perlindungan,” katanya.

Seorang lagi penunggang motosikal, N. Ayeswaran, 23, berkata, terdapat di sesetengah lokasi ia sudah tertanggal dan mendatangkan bahaya kepada pengguna.

"Saya harap perkara ini dapat diberikan perhatian serius demi keselamatan dan nyawa penunggang motor macam kami ini,"katanya.

Pemandu teksi, Noor Affandi, 55, mencadangkan supaya pihak bertanggungjawab meninggikan pengadang jalanraya sekurang-kurangnya satu meter daripada ketinggian pengadang jalan raya ketika ini.

Katanya, ketinggian ketika ini boleh mengakibatkan silau kepada pemandu jalanraya sepertinya.

“Sekiranya cahaya matahari terik, mata saya akan silau dan pemanduan saya terganggu,” katanya.

Enam beranak selamat kereta terbabas

Seremban: Enam sekeluarga terselamat daripada maut apabila kereta dinaiki terbabas sebelum tercampak dalam longkang di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, sebentar tadi.
Sumber polis berkata, dalam kejadian 6.30 petang, suami isteri berusia 40-an memandu kereta dari arah Mantin menuju ke Seremban bersama empat anak berusia antara empat hingga sembilan tahun.
Katanya, dalam perjalanan itu kereta dinaiki terbabas dan tercampak dalam longkang sebelum terbalik.
"Akibatnya, pemandu berusia 40-an itu parah selepas tersepit manakala isteri dan semua anaknya cedera ringan," katanya.
Sumber itu berkata, sebelum kejadian, mangsa dan isterinya menjemput dua anak mereka yang bersekolah rendah, di sini sebelum terbabit kemalangan itu.
"Semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini untuk rawatan susulan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:57 PM


KERETA terbabas sebelum tercampak dalam longkang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65931#sthash.gfDdhb6Q.dpuf

Tergantung di bilik tidur

Melaka: Lelaki berusia 20-an ditemui dalam keadaan mati tergantung pada tiang dalam bilik tidur di rumah keluarganya di Kampung Duyong, Melaka Tengah, 6 pagi, hari ini.
Menurut sumber, mangsa ditemui ahli keluarga mangsa yang curiga dengan gelagatnya berkurung dalam bilik itu.
"Mangsa disedari meninggal dunia selepas hampir 24 jam dia berkurung dalan bilik tidur itu dan kali terakhir dilihat, kira-kira 8 pagi semalam.
"Lelaki itu dipercayai meninggal dunia selepas menggantungkan diri menggunakan tali diikat pada tiang bilik tidurnya," katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 3:41 PM


FOTO ihsan pembaca Harian Metro
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66117#sthash.WnXt9H5f.dpuf

Lima dicekup bakar suar

Kuala Lumpur: Lima lelaki ditahan atas kesalahan membakar suar ketika perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia menentang Liverpool, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Mereka ditahan ketika sedang membakar suar, antara 10 malam hingga 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sing berkata, lima individu terbabit berusia lingkungan 25 tahun hingga 39 tahun.
"Tiga daripada mereka beralamat di Johor, manakala masing-masing seorang di Pahang dan Gombak.
"Suar yang dibakar turut dirampas dan kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 4:26 PM


PENYOKONG membakar suar selepas tamat perlawanan persahabatan antara Pilihan Malaysia dan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil . FOTO Nur Adiba Ahmad Izam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66125#sthash.VubxRozu.dpuf

Dua das hinggap di dada

Kuala Lumpur: Seorang peniaga sayur maut ditembak di Pasar Borong Pusat Bandar Utara Sentul di sini, kira-kira 11.40 malam tadi.
Lelaki berusia 57 tahun itu ditembak dua kali di dada ketika dia baru selesai memunggah barang turun daripada lori.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata, seorang daripada saksi kejadian menyatakan dua lelaki menaiki motosikal menembak mangsa dari belakang sebelum melarikan diri.
"Mangsa yang parah di dada dibawa ke Hospital Selayang oleh isterinya namun disahkan meninggal dunia, 12.10 pagi ini.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 4:05 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66121#sthash.itjyL3s4.dpuf

Lori batu-bata terbalik

Gombak : Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandu berisi muatan batu-bata terbalik di Jalan Batu Caves, Gombak berhampiran Taman Bolton di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, sebuah kereta Proton Perdana dinaiki empat sekeluarga turut remuk di bahagian belakang akibat kemalangan itu.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, pemandu lori terbabit berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.
“Empat sekeluarga yang berada di dalam kereta Proton Perdana itu juga dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihak bomba tidak menolak berkemungkinan kejadian berpunca kecuaian kedua-dua kenderaan terbabit.
“Anggota bomba berjaya mengalihkan lori itu daripada terus berada di tengah jalan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 9:11 AM


KEADAAN lori membawa batu-bata yang terbalik selepas terbabit kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65825#sthash.7HxzGcJi.dpuf

Tekan suis derita tiba

Seremban: Seorang remaja perempuan menanggung kesakitan 10 minit apabila tangan kiri tersepit di pintu pagar automatik rumahnya di Taman Bukit Kepayang di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 19 tahun dikatakan memasukkan tangan kiri dari sisi pagar untuk menekan suis di tembok pagar di bahagian luar rumah.
Malangnya, mangsa tidak sempat mengeluarkan tangannya menyebabkan ia tersepit pada pintu pagar yang terbuka dengan cepat sebaik suis ditekan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Faizal Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.51 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.
“Kami (bomba) mengambil masa dua minit mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat bantuan untuk merenggangkan pintu pagar berkenaan.
“Kami cepat bertindak berikutan tangan mangsa kebiruan dan mangsa menahan kesakitan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, mangsa dihantar bapanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 9:08 AM


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65823#sthash.M4WFTZb7.dpuf

Bayi tiga bulan dicabul


Marang: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan lapan hari disyaki menjadi mangsa cabul seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Rhu Muda, di sini, pada Ahad lalu.

Kejadian berlaku ketika bayi terbabit ditinggalkan keluarga di rumah milik saudara keluarga mangsa ketika berhari raya, sebelum masing-masing keluar bermain di pantai berhampiran, pada jam 5 petang.

Menurut sumber, ibu mangsa menyedari kejadian menimpa anaknya apabila mahu memandikan bayi terbabit ketika berada di rumahnya di Kampung Binjai, Kemaman pada jam 8.30 pagi keesokannya.

“Ketika memandikan bayi berkenaan, wanita terbabit mendapati ada kesan kemasukan objek pada kemaluan anaknya sebelum membawa ke klinik untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

“Mengesyaki sesuatu berlaku terhadap bayi itu menyebabkan hospital menghubungi polis bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai.

Katanya, siasatan yang dijalankan susulan .laporan itu membantu pihaknya menahan seorang lelaki.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Lelaki terbabit yang baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditahan di rumahnya di Kampung Rhu Muda, kelmarin.

“Sehingga kini, kami masih menjalankan siasatan termasuk menunggu laporan lengkap pemeriksaan daripada hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:46 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65818#sthash.zpmjEOKW.dpuf

‘Habuan’ nasihat

Seremban: Dua lelaki yang menasihati seorang lelaki dipercayai cuba diperdaya sekumpulan ejen gores dan menang dibelasah kumpulan terbabit.
Difahamkan, kedua-dua mangsa bertindak demikian kerana tidak tahan melihat gelagat kumpulan terbabit yang dikatakan sering berlegar-legar di kawasan letak kenderaan pasar raya berkenaan untuk mencari mangsa.
Menceritakan kejadian, mangsa mahu dikenali Lau, 56, berkata, dia mengajak rakannya berusia 48 tahun ke pasar raya untuk membeli barangan sebelum rakannya itu melihat sekumpulan ejen gores dan menang sedang memujuk seorang lelaki menyebabkan dia menghampiri lelaki itu dan menasihatinya supaya tidak terpedaya.
Menurutnya, rakannya itu bertindak demikian kerana isterinya pernah ditipu kumpulan sama membabitkan kerugian RM1,200 pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:07 AM


MANGSA menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66088#sthash.WCLNnj9E.dpuf

Kaku atas kerusi

Georgetown: “Arwah sudah mengambil cuti esok (hari ini) untuk menyambut hari lahir bersama isteri dan anak-anaknya, namun dia ditemui meninggal dunia secara tiba-tiba,” kata seorang pengawal keselamatan Md Yusof Bakri, 61, yang terkejut selepas mendapati penyelianya, Jamil Sharif, 54, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang berehat di atas sebuah kerusi di Mahkamah Tinggi Georgetown, di sini, semalam.
Menurutnya, dia terkejut apabila diberitahu beberapa rakan setugas yang menemui Jamil sudah kaku dan tidak sedarkan diri di atas kerusi terbabit kira-kira jam 3 petang.
“Sebelum itu, arwah ada mengadu kepada rakan-rakan yang dia berasa tidak sihat kerana pening, sakit perut dan juga muntah dan kami menyuruhnya menjalani pemeriksaan di hospital.
“Bagaimanapun, dia enggan ke hospital dan mendakwa hanya sakit biasa sebelum berehat di atas kerusi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:06 AM


ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66080#sthash.vHQ6r4ov.dpuf

Lima Ditahan Bawa Suar Masuk Stadium Ketika Perlawanan Liverpool-Malaysia


Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 10:07 AM
-foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang didakwa membawa suar semasa perlawanan persahabatan antara kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool dan Pilihan Malaysia telah ditahan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin mengesahkan lima ditahan ketika perlawanan bola sepak di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam Jumaat.

Perlawanan itu berakhir dengan seri 1-1.

Peniaga Ditembak Mati Di Pasar Selayang


Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 10:39 AM

KUALA LUMPUR: Seorang penjual sayur ditembak mati berhampiran pasar Pusat Bandar Utara di Selayang di sini, sebaik sahaja dia selesai memunggah barangan dari lori.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, orang awam menghubungi polis memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 11.40 hari Jumaat. Satu pasukan penyiasat kemudiannya dihantar ke tempat kejadian.

"Peniaga berusia 57 tahun itu baru sahaja selesai memunggah barangan dari lori apabila dua lelaki yang menunggang motosikal menembaknya dari belakang.

"Kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara. Isterinya bergegas membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan, tetapi dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana," katanya.

Munusamy berkata dua kesan peluru dapat dilihat di bawah ketiak kanan mangsa dan pada perutnya.

"Seorang saksi melihat kedua-dua suspek melarikan diri dari tempat kejadian selepas menembak mangsa. Seorang suspek dilihat memakai jaket hitam.

"Pasukan forensik polis menemui dua sarung peluru dari tempat kejadian," katanya.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes ini telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kereta Terbabas Ke Laluan Bertentangan, Dua Penunggang Motosikal Maut


Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 12:10 PM

GELANG PATAH: Dua penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera apabila tiga motosikal berlanggar dengan sebuah kereta di jalan Johor Baru-Gelang Patah di sini.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Ismail Dollah berkata kemalangan berlaku berhampiran stesen minyak Petronas di KM18 jalan Johor Baru-Gelang Patah kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa pemandu kereta hilang kawalan kenderaannya dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Ketiga-tiga motosikal yang berada di laluan bertentangan menuju ke Gelang Patah dari Skudai, kemudian berlanggar dengan kereta itu, mengakibatkan dua kematian serta-merta," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Lim Wee Kiat, 25, dan Gabriel Andrew Bateman, 54, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Mereka yang cedera ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal ketiga.

"Dua lagi cedera dalam kemalangan tersebut juga telah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan," katanya sambil menambah kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu.

Pegawai JPJ Terima Ugutan Bunuh Menerusi WhatsApp


Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 1:59 PM
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima ugutan bunuh menerusi aplikasi WhatsApp sebelum bertugas dalam Ops Bersepadu JPJ di Jalan Genting Kelang di sini Jumaat malam.
Sumber dalaman JPJ memberitahu Bernama, ugutan bunuh itu diterima pada kira-kira 5 petang daripada individu tidak dikenali ketika pegawai itu sedang sibuk membuat persiapan bersama-sama anggota lain di lokasi operasi.
"Individu terbabit membuat ugutan akan membunuh pegawai berkenaan sekiranya tidak membatalkan operasi malam ini," katanya kepada Bernama malam tadi.
Pegawai atasan JPJ itu berkata pihaknya beberapa kali cuba menghubungi individu berkenaan namun usaha tersebut gagal.
Beliau berkata JPJ percaya kemungkinan besar individu berkenaan memperoleh nombor telefon bimbit pegawai JPJ itu menerusi surat jemputan yang dihantar menerusi WhatsApp dan e-mel kepada media yang kemudian dikongsi dalam kumpulan.
"Orang awam tidak mungkin dapat memperoleh dengan mudah nombor telefon pegawai JPJ melainkan ada individu tertentu yang menyebarkan surat jemputan itu kepada orang ramai," katanya.
Katanya pihak JPJ akan melakukan siasatan dalaman dan akan membuat  perbincangan dengan penasihat undang-undang JPJ sebelum mengambil tindakan lanjut.
"Kita perlu buat siasatan punca kebocoran maklumat terlebih dahulu dan memandang serius perkara ini," katanya. -- Bernama

Pengawal Keselamatan Prasarana Tahan Suspek Kes Gangguan Seksual


Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 2:28 PM

KUALA LUMPUR: Unit Keselamatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menahan seorang lelaki muda yang disyaki suspek kes gangguan seksual di stesen LRT Masjid Jamek di sini minggu lepas.
Ketua Unit Keselamatan Prasarana, Zainal Rashid Adnan berkata suspek berumur pertengahan 20-an itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen LRT itu dan pemantauan Pusat Kawalan Operasi di Subang, ditahan pada Rabu di Stesen LRT KL Sentral.
"Pada 22 Julai, pasukan kami ternampak suspek di Stesen KL Sentral pada 9.09 pagi di mesin tiket kami dan dia telah ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa di Balai Polis Jalan Travers untuk tindakan lanjut.
"Kami mula mengesan suspek sebaik sahaja seorang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tun H.S Lee selepas kejadian pada 15 Julai," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.
Dalam laporannya, pegawai bank itu mendakwa suspek telah meramas buah dada kanannya semasa dia berada di stesen LRT Masjid Jamek pada waktu malam Rabu lepas.
Suspek lari dan meloloskan diri selepas wanita itu menjerit.
Zainal berkata Prasarana memandang serius kejadian itu dan perlakuan jenayah lain dan berharap ia menjadi peringatan kepada semua untuk tidak berkelakuan tidak senonoh di dalam tren, bas dan di stesen.
Beliau menasihati pengguna perkhidmatan syarikat itu supaya sentiasa berwaspada pada setiap masa ketika mereka berada di tempat awam, dan terdapat CCTV bagi memantau keadaan di semua fasiliti, dalam tren dan bas.
"Saya juga ingin menasihatkan pengguna perkhidmatan kami supaya mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan kami sekiranya berdepan perbuatan atau kelakuan tidak sopan dan salah di sisi undang-undang dan memaklumkan kepada kami sebarang kejadian atau individu mencurigakan di premis-premis kami.
"Malah jika anda perlukan bantuan anggota keselamatan kami untuk mengiringi anda ke tempat letak kenderaan pada waktu malam, kami akan membantu anda sebaik mungkin. Sila dapatkan bantuan daripada kakitangan kaunter dan anggota keselamatan kami pada bila-bila masa," katanya.-- Bernama

Rumah Agam Lebih 100 Tahun Rosak Dirempuh Kapal Kargo


Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 10:57 AM

ISTANBUL: Sebuah rumah agam berusia lebih 100 tahun di tebing Selat Bosphorus yang terletak di sekitar kawasan dermaga rosak akibat rempuhan kuat kapal kargo.
Insiden itu mengakibatkan kediaman mewah yang dikatakan paling cantik di sini dan dinamakan 'Ethem Pertev' itu menanggung kerugian mencecah jutaan dolar.
Kemalangan berlaku selepas kemudi kapal itu rosak menyebabkan ia hilang kawalan lalu melanggar rumah agam putih itu.
Kapal Majed and Randy sepanjang 106 meter dan seberat 6,476 tan itu didaftarkan di Sierra Leone dalam perjalanan ke Beirut dari Istanbul.
Tiada kecederaan atau ancaman terhadap alam sekitar akibat kemalangan itu, kata Pusat Perkhidmatan Lalu Lintas Perkapalan.
Selat Bosphorous memang laluan perkapalan yang sibuk dengan kapal dari Laut Hitam hingga Mediterranean, namun kejadian seperti itu jarang berlaku.

Pencuri lampin kantoi

Pencuri lampin kantoi
Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

KUANTAN- Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, demikian perumpamaan nasib seorang pencuri apabila dia akhirnya diberkas selepas beberapa kali berjaya mencuri barangan milik pasar raya dalam sebuah pusat membeli belah di sini, kelmarin.

Susulan penahanan lelaki berusia 31 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian yang berlaku dalam pasar raya itu sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek yang dipercayai bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan ditahan pengawal keselamatan pasar raya tersebut selepas cuba membawa keluar dua pek lampin bayi tanpa bayaran.

Menurutnya, kira-kira jam 11.45 pagi itu, suspek dikatakan membeli barang berharga murah untuk mendapatkan resit sebelum masuk semula untuk mengambil lampin yang bernilai RM81.40.

“Suspek dipercayai menggunakan resit yang berada di tangannya sebagai modal untuk membawa lampin tersebut keluar dengan menunjukkan kepada juruwang kononnya barangan itu sudah dibuat bayaran.

“Bagaimanapun taktik yang digunakan suspek tidak menjadi apabila dia ditahan lepas tindak tanduknya yang mencurigakan berjaya disedari pengawal bertugas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat suspek didapati pernah tiga kali mencuri dalam pasar raya itu sejak Mei hingga Jun lalu.

“Pihak pasar raya juga berjaya mengenal pasti suspek berikutan kes-kes kecurian sebelum ini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Doktor disamun ‘orang minyak’

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

mohdhelmi@hmetro.com.my
Seremban: Seorang doktor lelaki bukan saja disamun RM600 malah dipaksa menanggalkan pakaian dan kencing di hadapan sebuah kedai di Jalan Temiang, di sini, oleh ‘orang minyak’ yang merompaknya, kelmarin.

Sumber berkata, lelaki berusia 36 tahun terbabit minum di sebuah restoran di Jalan Lobak, di sini, sebelum memandu kereta pulang ke rumahnya.

Katanya, mangsa singgah di sebuah kedai serbaneka 24 jam untuk membeli sos cili sebelum meneruskan perjalanannya, jam 2 pagi.

“Apabila tiba berhampiran kawasan semak, mangsa menyedari seolah-olah terlanggar seorang lelaki yang badannya dipenuhi minyak menyebabkan dia keluar daripada keretanya untuk memeriksa.

“Malangnya, tindakan itu membawa padah apabila lelaki yang bersenjata pisau itu mengugut mangsa menyerahkan wang tunai sebelum menggeledah kereta mangsa,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:08 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66095#sthash.TvzIvb0X.dpuf

Mati terlebih minum arak murah


Tokyo: Keluarga seorang remaja lelaki berusia 21 tahun yang maut akibat keracunan kerana minum arak berlebihan dalam satu majlis bersama ahli kelab tenis universiti menyaman rakannya atas kematian itu dengan menuntut pampasan 170 juta yen (RM5.2 juta).

Saman itu menamakan 21 defendan membabitkan bekas anggota kelab tenis di pusat pengajian berprestij Universiti Tokyo.

Bapa mangsa Toshihiko Takahashi berkata: “Tiada yang lebih sedih daripada kehilangan anak sendiri.”

“Saya berharap kematian anak saya yang terakhir akibat minum arak berlebihan.”

Ketika kejadian, mangsa, Akira Takahashi ditugaskan sebagai ‘ketua perjumpaan’ yang berperanan menghiburkan ahli lain dan meminum arak murah ‘shochu’ dalam kuantiti banyak.

Menurut laporan, tiada seorang pun ahli kelab itu memberikan air dan merawatnya sehingga mereka menghubungi ambulans empat jam kemudian.

Pada ketika itu, remaja terbabit sudah meninggal dunia kerana keracunan alkohol.

Menurut keluarga mangsa, setakat ini 10 bekas ahli kelab mengaku bersalah dan bersetuju membayar pampasan 2.4 juta yen (RM73,912).

Keluarga bagaimanapun menyaman 21 yang lain yang enggan mengaku bertanggungjawab bagi kejadian itu.

Minum shochu kerap berlaku di kelab itu dan beberapa ahli sebelum ini pernah dihantar ke hospital disebabkannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:21 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65833#sthash.s59Zy7T3.dpuf

Selagi belum ajal

Chongqing (China): Seorang remaja berusia 16 tahun gagal membunuh diri dengan terjun dari jambatan di Sungai Yangtze setinggi 55 meter semalam sebaliknya mengalami lebam dan patah tulang.
Saksi dikenali sebagai Zhong berkata, dia memandu melintas jambatan itu apabila melihat gadis berkenaan yang duduk di sisi jambatan.
Katanya, remaja itu nampak susah hati menyebabkannya risau lalu cuba menghulurkan bantuan kerana bimbang gadis itu mahu membunuh diri.
Seorang penunggang motosikal bernama Liu juga berhenti bertujuan mahu memujuk gadis itu.
Namun, tidak sempat mereka menghubungi polis, gadis itu terus menjadi emosi dan terjun dari jambatan. Orang ramai yang mula berhimpun di situ terkejut apabila dia tidak mati dan terus menariknya keluar sebelum ambulans sampai.
Gadis itu mengalami lebam teruk pada belakangnya manakala paru-paru dipenuhi air selain patah tulang dan cedera tisu lembut.
Doktor yang merawatnya berkata, gadis itu bernasib baik kerana hentakan pertama terkena pada tulang pinggul tanpa mengenai organ.
“Mujur bukan kepalanya yang terkena air dulu. Memandangkan ketinggian jambatan itu lebih 50 meter hentakan pada air sama seperti terhentak simen.
“Jika kepalanya yang terkena dulu pasti dia maut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:22 AM


ORANG ramai memberi bantuan kepada remaja berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65837#sthash.q2dclVxD.dpuf

21 maut

Kaherah: Sekurang-kurangnya 21 orang yang menghadiri majlis pertunangan di atas bot melayari Sungai Nil maut selepas bot sewa mereka dirempuh kapal kargo.
Lima orang berjaya diselamatkan, tetapi sekurang-kurangnya enam masih hilang selepas kemalangan yang berlaku lewat kelmarin.
Sumber keselamatan berkata, usaha mencari dan menyelamatkan mangsa sukar kerana keadaan gelap. Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak antara yang maut.
Menurut polis, kapten kapal kargo berkenaan dan pembantunya ditahan.
Keluarga dan rakan bakal pengantin terbabit menyewa bot itu untuk meraikan pertunangan mereka. Setakat ini belum jelas sama ada pasangan itu antara yang maut.
Lalu lintas di Sungai Nil sibuk sejak akhir-akhir ini terutama berhampiran Kaherah apabila orang ramai keluar menyambut Aidilfitri kerana bot juga digunakan sebagai pengangkutan penduduk.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:26 AM


BANGKAI bot dinaikkan ke darat ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65844#sthash.rEp8eCXA.dpuf

29 terbunuh, letupan di stesen bas


Lagos: Seramai 29 maut dan 105 cedera akibat letupan di dua stesen bas, semalam.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria semalam menggesa orang ramai menderma darah bagi membantu merawat mangsa yang cedera, kata jurucakapnya Sani Datti.

Serangan lewat Rabu di Gombe itu yang terbaru dilakukan pelampau Islam yang menyelusup memasuki sempadan Nigeria.

Rabu lalu di Cameroon, dua pengebom berani mati membunuh sekurang-kurangnya 18 orang di pasar berhampiran sempadan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:25 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65841#sthash.ISd0QVWV.dpuf

Tembak gajah bunting selamatkan isteri


Beijing: Tindakan seorang lelaki di Yunnan menembak gajah liar yang bunting untuk menyelamatkan isterinya membawa padah selepas ditahan polis kerana memiliki senjata api haram.

Lelaki yang dikenali sebagai Wang itu menggunakan senapang buatan sendiri untuk menembak gajah berkenaan, selepas gagal menghalau haiwan terbabit apabila isterinya yang berada dalam tandas mengesannya di situ, kata pengarah penerangan Biro Keselamatan Awam Hutan, Chang Zongbo di Xinshuangbanna.

Insiden itu mencetuskan reaksi berbeza daripada pengguna media sosial. Ramai menganggap tindakannya sebagai mempertahankan diri.

Pengguna Weibo berkata: “Melindungi manusia dan haiwan sama penting, tetapi rasanya dalam keadaan ini, nyawa orang lebih utama.”

Menurut dekan Kolej Sumber Hidupan Liar, Zhang Wei, lelaki itu bertindak sedemikian kerana gajah berkenaan mengancam keselamatan isterinya.

“Bagi saya keselamatan manusia lebih penting daripada haiwan, terutama situasi yang boleh membawa maut atau kecederaan serius,” katanya.

Bilangan gajah liar Asia semakin meningkat dan spesies itu dilindungi di China sejak 1997. Tahun ini saja, sekurang-kurangnya tiga orang awam cedera diserang gajah liar di Xinshuangbanna. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66023#sthash.om4okupK.dpuf

Maut ‘terjun’ gunung tertinggi Austria


Vienna: Dua lelaki Britain berusia 20-an maut selepas kereta lumba mereka terbabas dan jatuh dari laluan gunung tertinggi di Austria ketika berlumba haram.

Kejadian berlaku pagi semalam berhampiran laluan Grossglockner setinggi 2,504 meter.

Menurut pihak berkuasa, dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun itu berlumba dengan kereta lain sebelum kenderaan dinaiki tiba-tiba tergelincir dan merempuh penghadang lalu jatuh 300 meter.

Helikopter dihantar ke lokasi kejadian untuk mencari mayat mereka. Polis memburu pemandu kereta kedua yang bergegas melarikan diri sebaik kejadian berlaku.

Jalan yang terkenal dengan pemandangan yang indah itu adalah laluan dari bandar Bruck berhampiran Salzburg ke gunung tertinggi Austria, Grossglockner setinggi 3,798 meter.

Jalan sepanjang 48 kilometer itu terkenal dengan selekohnya yang berbahaya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66024#sthash.xknY9rGM.dpuf

Bercumbu dalam kereta api

Beijing: Dua gambar aksi pasangan bercumbu dan saling meraba dalam kereta api metro di Shenyang mencetuskan perdebatan hangat di China.
Gambar yang dipaparkan dalam laman sosial Weibo menunjukkan wanita itu bersandar pada kekasihnya, sambil lelaki itu menyelukkan tangan kiri ke dalam baju wanita itu, seolah-olah dalam dunia mereka sendiri.
Pengguna di Weibo memberikan reaksi yang berbeza-beza. Tidak semua mengeji kelakuan tidak senonoh pasangan itu, tetapi ramai yang mengutuk kerana perbuatan itu dilakukan di tempat awam yang terdedah kepada kanak-kanak.
Akaun rasmi Weibo kereta api metro Shenyang turut mengutuk gambar itu sebagai ‘memalukan’.
Sementara itu, Biro Keselamatan Awam Perbandaran Shenyang berkata, polis tidak akan mengambil tindakan terhadap pasangan itu kerana perbuatan mereka tidak menggugat keselamatan awam.
Di Shenyang tiada undang-undang yang melarang perbuatan intim dalam kereta api, tetapi kelakuan seumpama itu dilarang di Suzhou mengikut peraturan yang dikeluarkan pada 2012.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:02 AM


GAMBAR yang menjadi viral di Weibo.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66027#sthash.YNxTwtxU.dpuf