Search This Blog

Thursday, July 23, 2015

Guru kritikal akibat kemalangan, meninggal dunia

pdrm
KUANTAN - Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (Smart) di sini, Che Nor Hasanah Che Kamarudin yang kritikal dalam kemalangan pagi semalam, disahkan meninggal dunia malam tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
 
Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang Superintendan Zainalabidin Othman berkata Che Nor Hasanah, 29, meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah malam tadi, akibat kecederaan parah di kepala. 
 
Wanita itu dikejarkan ke HTAA pada pukul 11 pagi semalam, selepas kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu suaminya Mohamad Afendy Abdul Aziz, 31, hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan di jalan pintasan Kuantan, berhampiran Chengal Lempung di sini, pada 10.15 pagi semalam.
 
Kemalangan turut menyebabkan anak bongsu pasangan itu, Muhammad Fateh, setahun tujuh bulan meninggal dunia manakala Mohamad Afendy dan anak sulungnya Affah Huraiyah, 2, serta pemandu kereta Vios yang berada di jalan bertentangan Cheng Shuh Yien, 27, cedera. 
 
Sementara itu, adik kepada Mohamad Afendy, Abdul Muiz, 30, ketika dihubungi hari ini, berkata jenazah Che Nor Hasanah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Felda Cerul, Kemaman, Terengganu pada 11.30 pagi tadi, berdekatan kubur Muhammad Fateh. 
 
"Abang juga sempat melihat isterinya buat kali terakhir selepas merayu kepada pihak hospital agar diberikan pelepasan," katanya. - Bernama

Tergamak rogol anak jiran

Rogol
Sekadar gambar hiasan

PEKAN - Seorang lelaki tergamak merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak jirannya ketika kehadiran Syawal masih disambut ria umat Islam pada 20 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di Felda Chini itu, mangsa bersama adik lelakinya berusia empat tahun keluar berjalan kaki ke kedai runcit berhampiran untuk membeli makanan ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, ketika berjalan pulang, mangsa ditahan suspek berusia 22 tahun yang dikenali sebagai jiran sebelah rumahnya sebelum menyuruh adik mangsa pulang sendirian.

“Suspek kemudiannya bertindak menarik kanak-kanak malang itu masuk ke dalam rumah sebelum menekup mulut dan merogol mangsa yang turut diancam jika menjerit.

“Ketika kejadian suspek tinggal berseorangan kerana keluarganya beraya di Terengganu dan kesempatan itu digunakan untuk merogol mangsa di rumahnya,” katanya.

Yahaya berkata, kejadian itu kemudiannya disedari pengadu iaitu bapa mangsa yang berada di rumah dan melihat mangsa pulang dalam keadaan menangis serta mengadu kesakitan.

“Selepas diperiksa ibu mangsa terdapat kesan darah di kemaluan mangsa. Suspek yang dikesan memiliki rekod jenayah sama (rogol) namun menghilangkan diri tiga tahun lalu berjaya diberkas sejurus laporan kes berkenaan diterima dan kini ditahan reman bagi siasatan,” katanya.

LPT2 ragut nyawa bayi

LPT2 ragut nyawa bayi
Keadaan kereta mangsa yang terlibat kemalangan.

DUNGUN - Seorang bayi lelaki berusia 5 bulan, Adam Rizqi Zul Azlan maut setelah terbabit dalam satu nahas jalan raya di kilometer 357.6 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II (LPT2), Bukit Besi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, ibu mangsa, Siti Hajar Md Aziz, 29, dan kakaknya , Nuha Damia yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah membabitkan keseluruhan badan, manakala bapa, Zul Azlan Yaakub, 30, turut cedera.

Sewaktu kejadian, empat beranak yang menaiki kereta jenis Produa Alza berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu.

Setibanya di lokasi, kenderaan yang dinaiki keluarga itu hilang kawalan dan terbalik beberapa kali sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Berikutan kejadian itu, bayi malang dari Taman Medan Jaya, Petaling Jaya itu meninggal dunia serta merta di lokasi setelah mengalami kecederaan parah.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Dungun, Mohd Jefri Ibrahim berkata, empat anggotanya dikejarkan ke lokasi untuk membantu setelah panggilan kecemasan diterima.

"Setibanya ke lokasi kita memberi pertolongan kecemasan dan membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

"Dengan menggunakan sebuah ambulans JPAM, anggota kami turut membantu menghantar mangsa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Tebang pokok pisang, jumpa mayat

Sungai Petani: Mayat lelaki berusia 30-an lengkap berpakaian ditemui terapung dan tersangkut pada sampah di dalam sungai berhampiran Jalan Pasar, Sungai Petani, di sini, 11 pagi tadi.
Mayat itu ditemui seorang lelaki yang menebang pokok pisang di tebing sungai itu sebelum melihat mayat dalam keadaan kembung dan berbau.
Menurut sumber, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis.
€œPolis kemudian meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani untuk membawa keluar mayat itu.
Mayat itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 3:33 PM


Mayat yang ditemui terapung dalam sungai. FOTO Omar Osman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65512#sthash.uZXkBMaI.dpuf

Tangkap ular sawa telan babi hutan

Jasin: Ular sawa sepanjang 7.5 meter dengan berat dianggarkan 150 kilogram (kg) ditangkap penduduk dalam kebun getah di Kampung Lesung Batu, Serompong, Tehel, 6.45 pagi tadi.
Reptilia itu ditemui penoreh getah dalam keadaan kekenyangan dipercayai selepas menelan babi hutan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tehel Rahim Selamat berkata, penoreh getah berkenaan yang panik kemudian melarikan diri dan memaklumkan perkara itu kepada penduduk kampung.
"Ketika dihampiri, reptilia itu tidak bertindak agresif kerana kekenyangan. Keadaan reptilia itu memudahkan ia ditangkap.
"Malah beberapa jam selepas ditangkap reptilia itu memuntahkan semula babi hutan ditelan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:20 PM


ULAR sawa tidak bertindak agresif kerana kekenyangan menelan babi hutan. FOTO Nor Shafinaz Sari
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65517#sthash.oKJ8IhsF.dpuf

Ajal dihempap lori

Bintulu: Lelaki warga Indonesia maut selepas lori dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih enam meter dan menghempapnya dalam kejadian di Jalan Semerakan, Sungai Emas, di sini, 2 petang tadi.
Mangsa, Mohamad Aslan Abdul Rapi , 22, meninggal dunia di Hospital Bintulu akibat parah di kepala dan badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hatta Gobil berkata, sebuah jentera bersama sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.13 petang.
Katanya, usaha awal mengeluarkan mangsa gagal berikutan lori berkenaan menghempapnya.
“Sebuah kren dari syarikat kontraktor berhampiran digunakan untuk mengangkat lori itu dan membawa mangsa yang masih hidup ketika itu ke Hospital Bintulu.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital ketika dirawat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,"katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 10:01 PM


Mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di hospital. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65528#sthash.FowER9KR.dpuf

Polis China beri amaran asmara dalam tren

RABU, 22 JULAI 2015 @ 8:36 AM

 BEIJING: Polis China memberi amaran kepada penumpang supaya tidak bercium dan berasmara dalam kereta api bawah tanah. Amaran itu dikeluarkan ketika pihak berkuasa memperhebat siasatan terhadap video pasangan muda bercium dalam tren bawah tanah sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. "Bercium dalam kereta api bawah tanah? Berhati-hati kerana polis mungkin menyiasat anda," akhbar People's Daily menyiarkan amaran itu dalam edisi internet yang turut mempamerkan gambar pasangan muda bercumbu dalam kereta api bawah tanah baru-baru ini di Shenyang di wilayah Liaoning. Video itu mendapat kecaman orang ramai apabila seorang penduduk yang menyiarkan gambar itu memarahi mereka dengan berkata: "Bolehkan awak menunjukkan adab di khalayak ramai?", Seorang lagi netizen mengutarakan pertanyaan: "Bagaimana dengan kanak-kanak di sekeliling?" Polis Shenyang memberitahu wartawan pihaknya menyiasat video itu. -Agensi

PAPAN tanda larangan bercumbu dan berasmara di stesen kereta api bawah tanah Beijing.


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69410

15 maut dalam nahas feri di Sungai Nil

KHAMIS, 23 JULAI 2015 @ 12:24 PM

 KAHERAH: Sekurang-kurangnya 15 orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh apabila sebuah kapal kargo berlanggar dengan sebuah feri di Sungai Nil semalam, menurut sumber hospital dan keselamatan. Polis Mesir sudah menahan kapten kapal kargo itu selepas perlanggaran di utara Kaherah. Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri di Facebook, enam dari 25 penumpang feri berkenaan diselamatkan manakala usaha mencari empat lagi penumpang yang hilang masih berjalan. Menurut sumber keselamatan dan hospital, terdapat ramai kanak-kanak di atas kapal berkenaan tetapi tidak menyatakan usia dua mereka yang terbunuh.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69594

Wanita tua dipancung dituduh amal sihir

RABU, 22 JULAI 2015 @ 8:29 AM



GUWAHATI: Seorang wanita berusia 63 tahun di India dipenggal kepala dan mayatnya dikerat oleh penduduk kampung yang menuduhnya mengamalkan sihir, mengikut polis. Tujuh orang ditangkap berhubung kematian Moni Orang, ibu kepada lima anak yang diculik dari rumahnya di negeri Assam, kelmarin selepas beberapa sami menuduh dia membaca mantera. "Penyerang bersenjatakan parang dan senjata tajam lain menyerbu kampung dan menculik Moni Orang dari rumah dan membunuhnya secara kejam. "Dia dipancung dan anggota tubuhnya dikerat," kata pegawai kanan polis, Manabendra Dev Roy. Semalam, penduduk kampung menyerbu balai polis bagi membantah penangkapan rakan mereka. "Moni ahli sihir dan menjampi musuhnya. Dia memang patut dibunuh," kata seorang penduduk, Kiran Teronpi. Suami mangsa, R Orang, berkata isterinya tidak bersalah dan menuduh sami mencetuskan syak wasangka dan provokasi. Percaya kepada sihir dan ajaran sesat masih berleluasa di beberapa kawasan miskin di India. Dalam sesetengah kes, wanita dibogelkan sebagai hukuman, dibakar hidup-hidup atau dihalau dari rumah dan dibunuh. Beberapa negeri termasuk Jharkhand memperkenalkan undang-undang khas untuk cuba mengekang jenayah terhadap sesiapa yang dituduh sebagai ahli sihir. - AFP

Gambar hiasan

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69409

30 selamatkan lelaki tersepit

Singapura: Seorang pejalan yang tersepit di bawah tayar lori bernasib baik orang ramai segera datang membantu untuk menyelamatkannya dalam kejadian di sini, pagi tadi.
Rakaman video oleh Suan Wang Foo yang dimuat naik di Facebook menunjukkan 11 orang pada mulanya cuba mengangkat tepi lori untuk mengalihkan lelaki itu.
Lebih ramai datang menolong sehingga 30 orang berjaya menolak lori itu sehingga tayar terangkat dan mangsa dapat ditarik keluar.

Foo yang berada di dalam pejabatnya memberitahu Channel News Asia dia tiba-tiba terdengar jeritan kuat, kira-kira 11.45 pagi tadi.
"Saya melihat ke luar dan ternampak lori di tengah jalan serta beberapa orang melambai-lambai kepada pemandu meminta dia mengalihkan lori itu.
"Bagaimanapun, pemandu hanya keluar dari lori dalam keadaan terpinga-pinga.
"Tiba-tiba, orang ramai datang dan cuba menolak lori itu untuk mengeluarkan mangsa. Mereka datang tanpa disuruh," katanya.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mangsa berusia 35 tahun itu yang masih sedar hanya patah kaki dan dihantar ke Hospital Tan Tock Seng untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu lori berusia 25 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 11:43 PM


RAKAMAN video menunjukkan 30 orang datang menolong menyelamatkan mangsa yang tersepit. FOTO Facebook/Suan Wang Foo
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65541#sthash.UctJqtAc.dpuf

Bomoh mati ‘dicekik hantu’


Bulawayo (Zimbabwe): Seorang bomoh yang diupah menghapuskan roh jahat akhirnya mati dipercayai dibunuh makhluk berkenaan ketika melakukan upacara pembersihan.

Penduduk kampung mendakwa menyaksikan kematian bomoh itu ketika berhimpun melihat upacara pembersihan dilakukan dan terkejut apabila dukun terbabit tiba-tiba rebah.

Ketua kampung Albert Mwembe berkata: “Sitsha diupah penduduk kampung untuk menghalau roh jahat yang mengganggu wanita di kampung ini.

“Dia menghimpunkan penduduk kampung untuk melihat upacara pembersihan yang mahu dilakukannya malah kami semua nampak dia membawa dua benda pelik yang diikat kain hitam serta merah.



“Dia berkata mahu membakar makhluk berkenaan tetapi tidak sempat mengumumkan nama ‘tuan’ roh jahat berkenaan, dia tiba-tiba menjerit dan pengsan.”

Kejadian itu menyebabkan penduduk bertempiar. Katanya, Sitsha sedar seketika, namun sehari selepas itu menjerit mengatakan dia dikejar dan dicekik hantu sebelum meninggal dunia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:11 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65556#sthash.OOC0sKe7.dpuf

Amah tak guna


Bulawayo (Zimbabwe): Seorang pembantu rumah yang mendakwa dihasut syaitan ketika merogol anak lelaki majikannya berusia dua tahun dipenjara 10 tahun, semalam.

Majistret Mark Dzira mengarahkan Melissa Ncube, 18, dijel selepas wanita itu mengaku memaksa kanak-kanak berkenaan mengadakan seks dengannya.

Ketika menjatuhkan hukuman, Dzira menyelar perbuatan Melissa mengambil kesempatan terhadap seorang budak kecil semata-mata mahu melampiaskan nafsunya.



Perbuatannya terbongkar selepas mangsa meminta ibunya membuat perkara sama dilakukan Melissa.

Pendakwa Tinashe Dzipe berkata, Melissa diupah menjaga mangsa ketika ibu kanak-kanak itu keluar berniaga antara Jun dan Julai lalu di Gwabalanda.

Bagaimanapun, Melissa mengambil kesempatan mencabul mangsa dan memaksa kanak-kanak itu melakukan seks.

Ibu manga terkejut apabila dia memintanya melakukan perkara sama selepas pulang dari kerja seterusnya membuat laporan polis menyebabkan Melissa ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:12 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65557#sthash.Ys8FxjaG.dpuf

Empat beranak mati langgar unta

Riyadh: Empat beranak terbunuh dalam kemalangan jalan raya apabila kereta yang dipandu merempuh unta, kelmarin.
Ketika kejadian, kereta yang dipandu itu melalui lebuh raya di sepanjang padang pasir di barat daya Jazan.
Keempat-empat mangsa iaitu bapa, ibu dan dua anak perempuan mati di tempat kejadian, manakala tiga anak lelakinya cedra parah.
Gambar dirakam menunjukkan kenderaan terbabit hancur dan remuk, manakala bangkai unta terbaring di atas jalan raya.
Sementara itu, pakar undang-undang menggesa pihak berkuasa mendenda pemilik unta yang menyebabkan kemalangan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:13 AM


Keadaan kereta mangsa yang remuk.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65559#sthash.3DmENZgO.dpuf

Giliran Datuk direman kes 1MDB


SEORANG lelaki berpangkat Datuk yang dikaitkan dengan kes 1MDB ditahan reman di Mahkamah Majistret, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Operasi Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini memasuki fasa baharu apabila mula melakukan tangkapan demi tangkapan ke atas beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terbaharu kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki bergelar Datuk di sebuah hotel dekat pusat beli-belah The Curve, Damansara, Petaling Jaya di Se­langor sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 8 malam untuk disoal siasat.
Tangkapan tersebut menjadikan jumlah individu yang ditangkap setakat ini meningkat kepada dua orang.
Lelaki berusia 54 tahun itu merupakan seorang pengarah di Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (Ihsan Perdana), syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan 1MDB.
“Sebaik diberkas, pasukan SPRM telah menggeledah rumah dan pejabatnya sebelum me­rampas beberapa dokumen bagi membantu kita menjalankan siasatan.
“Dia diberkas bagi membantu kita menjalankan siasatan berkaitan penyelewengan dana melibatkan akaun 1MDB,” kata satu sumber ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3gfXmPkO1 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak perempuan mati dengan beberapa kesan dera


Razali menunjukkan gambar Xin Ci, kanak-kanak yang mati disyaki mangsa dera ibu bapanya.


ALOR GAJAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 10 bulan mati dengan kesan retak di tengkorak kepala dan lebam pada beberapa bahagian badan lain dipercayai didera oleh ibu bapanya.
Mangsa, Evan Chee Xin Ci ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya yang berusia 26 tahun di rumah mereka di Taman Padi Indah, Pulau Sebang, Alor Gajah pada pukul 5.30 petang kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Razali Sabar berkata, ibu mangsa kemudian membawa bayi berkenaan ke Hospital Tampin tetapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Bedah siasat terhadap mayat mangsa mendapati, ada dua kesan retak pada bahagian belakang tempurung kepala bayi itu.
“Selain itu, terdapat kesan lebam baru di dahi, hidung serta kesan lebam lama pada beberapa bahagian badan mangsa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ekoran itu, katanya, polis menahan ibu mangsa yang merupakan seorang suri rumah serta bapanya seorang pekerja sebuah pasar raya ketika mereka sedang menunggu di luar bilik mayat di Hospital Tampin, Negeri Sembilan kelmarin.
Jelasnya, ibu bapa mangsa ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang berusia 30-an.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3gfWxSmJf 
Hakcipta terpelihara 

Polis tangkap ‘Faizal Gila’



DI kawasan Flat Taman Sri Kedah, Taman Melati, Wangsa Maju inilah ‘Faizal Gila’ memukul seorang suri rumah pada 15 Julai lalu.


KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki tempatan memukul seorang suri rumah serta melompat di atas bumbung keretanya sehingga kemik pada 15 Julai lalu mengundang padah apabila dia ditahan polis di Flat Taman Sri Kedah, Taman Melati, Wangsa Maju di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian selepas mangsa memintanya membayar ganti rugi setelah lelaki tersebut melanggar bahagian belakang kereta dipandu wanita terbabit di kawasan flat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, lelaki yang dikenali sebagai ‘Faizal Gila’ itu tiba-tiba berang dengan wanita berusia 47 tahun tersebut lalu memukulnya sebelum bertindak memanjat kereta milik mangsa dan melompat menyebabkan bumbung kereta itu kemik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3gfWi8CTY 
Hakcipta terpelihara 

Dua buah tren LRT terbakar



SEBUAH LRT terbakar selepas mengalami masalah brek berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya semalam.


KUALA LUMPUR – Dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang mengalami masalah sistem brek, terbakar dalam dua kejadian berasingan di Stesen Setiawangsa dan berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya dekat sini semalam.
Kedua-dua kejadian itu menyebabkan gangguan perkhidmatan di laluan tersebut namun, tiada kecederaan dan kematian dilaporkan.
Kejadian pertama berlaku pada pukul 8.19 pagi di Stesen Setiawangsa yang menyebabkan gangguan perkhid­matan terjejas sehingga pukul 8.54 pagi.
Insiden kedua pula berlaku berdekatan Stesen Universiti pada pukul 12.18 tengah hari sebelum perkhidmatan disambung semula pada pukul 12.35 tengah hari.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat digerakkan ke lokasi kejadian.
“Gerabak sudah dikosongkan dan LRT itu digerakkan ke lokasi landasan yang lebih selamat oleh petugas LRT.
“Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada masalah brek dan api dapat dikawal dalam masa tiga minit sebelum dapat dipadamkan kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3gfWIZ8tJ 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki mati tercekik dodol



Sathaletchmy menunjukkan gambar suaminya Sanmugam yang mati akibat tercekik dodol di Taman Merbok, Bukit Baru pada Jumaat lalu.


MELAKA – Seorang lelaki warga emas mati akibat tercekik dodol yang dimakan pada Hari Raya Aidilfitri pertama di rumahnya di Taman Merbok, Bukit Baru di sini.
Mangsa K. Sanmugam, 67, disedari tercungap-cungap oleh isterinya, S. Santhaletchmy, 66, kira-kira pukul 10 pagi, Jumaat lalu ketika mereka sekeluarga sama-sama menjamu selera.
“Bila tengok keadaan suami yang susah bernafas saya terus mengangkat dia dari belakang untuk cuba mengeluarkan dodol yang tersekat di kerongkongnya tetapi usaha saya gagal.
“Saya kemudian cuba mengeluarkan dodol tersebut dengan jari tetapi belum pun dodol itu dapat dikeluarkan suami saya pengsan,” kata wanita itu ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Santhaletchmy lagi, mereka sekeluarga terus mengejarkan Sanmugam ke Hospital Pantai, Ayer Keroh tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3gfW2K5UR 
Hakcipta terpelihara 

Polis Itali rampas aset mafia AS$2.2 bilion


ROM – Polis Itali mengumumkan semalam bahawa pihaknya telah merampas aset bernilai AS$2.2 bilion (RM8.3 bilion) milik satu sindiket penjenayah yang berpengaruh dan berkuasa.
Aset yang dirampas daripada Mafia Ndrangheta yang menguasai sebahagian besar pasaran kokain Eropah termasuk lebih 1,500 kedai judi, 82 laman web perjudian dan hampir 60 buah syarikat di samping sejumlah harta­nah, kata polis.
Pihak pendakwa raya turut mengeluarkan waran tangkap terhadap 28 orang yang disyaki menguruskan empayar perjudian itu dan meletakkan 23 yang lain di bawah tahanan rumah atau memerintahkan mereka me­laporkan diri kepada polis.
Semua konco berkenaan dipercayai diketuai oleh ketua mafia Mario Gennaro. Dia meluaskan kuasa dan pengaruh dalam Mafia Ndrangheta selepas mendapat kekayaan melalui premis perjudiannya.
Mafia Ndrangheta dianggap sindiket penjenayah paling berkuasa di Itali dan mengatasi pengaruh Mafia Cosa Nostra di Sicily atau Mafia Camorra yang berpangkalan di Naples.
Sindiket Ndrangheta merupakan pembekal utama kokain yang dihasilkan di Amerika Latin dan diseludup ke Eropah melalui Afrika Utara dan Itali.
Wang haram daripada perdaga­ngan kokain berjumlah berbilion-bilion dolar itu ‘dicuci’ menerusi empayar perjudiannya.
Sebanyak 11 daripada syarikat milik Mafia Ndrangheta yang dirampas beribu pejabat di luar negara termasuk di Austria, Malta, Romania dan Sepanyol. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3gfVDaToj 
Hakcipta terpelihara 

12 Pati Myanmar ditahan di Langkawi - KPN


KUALA LUMPUR 22 Julai - Dua belas pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan di Pulau Segantang, Langkawi ketika cuba memasuki negara ini secara haram pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata, PATI yang ditahan berusia 16 hingga 40 tahun dan usaha mengenal pasti identiti tekong bot masih dijalankan.
“Baru pagi tadi mereka ditahan. Kami sedang menyiasat bagaimana mereka masuk dan siapa tekong bot yang membawa mereka.
“Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya ketika dihubungi di sini.
Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/12-pati-myanmar-ditahan-di-langkawi-kpn-1.115731#sthash.V7YoJ9gM.dpuf

4 kereta, 27 motosikal terbakar dipercayai akibat khianat


PULAU PINANG 22 Julai - Perbuatan khianat dipercayai punca empat buah kereta dan 27 motosikal terbakar di tempat letak kenderaan di tingkat dua di kawasan perumahan Puncak Erskine, Tanjung Tokong di sini awal pagi ini. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/4-kereta-27-motosikal-terbakar-dipercayai-akibat-khianat-1.115722#sthash.LdF69QTj.dpuf

Bayi 22 bulan mati dipercayai didera


Ibu bapa direman seminggu bantu siasatan

Razali Sabar  menunjukkan gambar bayi yang maut dipercayai didera
Razali Sabar menunjukkan gambar bayi yang maut dipercayai didera di Alor Gajah, Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 22 Julai - Seorang bayi perempuan ber­usia 22 bulan yang dipercayai mangsa dera menemui ajal selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Taman Padi Indah, Pulau Sebang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, bayi berkenaan dijumpai tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang oleh ibunya yang berusia 26 tahun sebelum dibawa ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan untuk bantuan kecemasan.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Razali Sabar berkata, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik sahaja tiba di hospital dan bedah siasat yang dijalankan ke atasnya mendapati terdapat beberapa kesan kece­deraan serta keretakan di bahagian tempurung kepala mangsa.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan terdapat dua keretakan di bahagian belakang tempurung kepala bayi itu masing-masing berukuran lapan dan 12 sentimeter, dua kesan lebam baharu di dahi dan hidung selain kesan lebam lama di tangan serta kaki.
“Mayat bayi berkenaan kemudian di hantar ke Hospital Seremban, Negeri Sembilan untuk mendapatkan punca sebenar kematian dan hasilnya mendapati punca keretakan dipercayai akibat daripada ter­kena objek tumpul,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.
Menurut Razali, bayi berkenaan tinggal bersama ibu bapanya manakala dua lagi kakaknya ber­usia lima dan enam tahun dijaga oleh neneknya di rumah berasingan di Alor Gajah.
Kata beliau, ibu bapa mangsa kemudian ditahan petang kelmarin dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk direman bagi membantu siasatan.
Tambahnya, tangkapan terhadap ibu bapa bayi tersebut bertujuan membantu siasatan kerana kematian mangsa adalah disebabkan perbuatan jenayah.
“Pasangan suami isteri itu direman seminggu bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bayi-22-bulan-mati-dipercayai-didera-1.116021#sthash.8Q2kkXUF.dpuf