TAIPING – Empat rumah rosak teruk selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang  terbabas di Jalan Tupai, di sini awal pagi semalam.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 5 pagi itu, kesemua  penghuni terlibat sedang tidur.

Menurutnya, penghuni  dikejutkan dengan dentuman kuat dan apabila keluar dari rumah, mereka mendapati sebuah kereta terbabas melanggar beberapa rumah.

“Beberapa rumah mengalami kerosakan di bahagian hadapan, namun tidak penghuni cedera,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saksi itu berkata, sebaik sahaja pemilik rumah menyedari kejadian itu, pemandu kereta terbabit meninggalkan lokasi kejadian.

“Kemudian, kami sudah buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit semalam.

“Kita turut terima nombor pendaftaran kenderaan terbabit daripada  seorang mangsa, namun kesahihannya belum pasti,” katanya.

Harrith berkata, kenderaan terbabit dipercayai dipandu dari arah Pokok Assam menghala ke Pekan Taiping.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar beberapa rumah.

“Difahamkan, pemandu meninggalkan tempat kejadian dan sedang dikesan. Punca kejadian masih disiasat,” katanya.