Search This Blog

Saturday, July 11, 2015

Dua pelajar maut motosikal bertembung

Dua pelajar maut motosikal bertembung
Ahmad Amierul

ALOR SETAR - Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung di Kampung Kangar, Changlun, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, mangsa Mohamad Shafiq Harun, 17, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss manakala Ahmad Amierul Nordin, 15, pula menunggang motosikal jenis Honda.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.10 malam dan kedua-dua motosikal berkenaan dari arah bertentangan.
“Sewaktu sampai di tempat kejadian dipercayai kedua-duanya bertembung menyebabkan kedua-dua penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
“Mereka dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian. Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Abd Rahim berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati mereka mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan.

Pemandu nyaris maut kereta dihempap pokok

Pemandu nyaris maut kereta dihempap pokok
Hasnul Armi Hasbullah, 42, melihat kereta jenis Nissan Almera miliknya yang rosak teruk selepas dihempap pokok besar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Tujuh kenderaan dilapor dihempap pokok di sekitar bandar raya ini ketika hujan lebat dan angin kencang pagi tadi.
 
Kejadian berlaku di Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Badlishah. Seorang pemilik kenderaan, Hasnul Armi Hasbullah, 42, berkata, keretanya rosak teruk selepas dihempap sebatang pokok besar kira-kira 11.40 pagi.
 
"Ketika itu saya sedang pulang ke rumah saya di Tanjung Bendahara.
 
"Saya sedang tunggu lampu isyarat apabila tiba-tiba saya terdengar bunyi benda jatuh pada bahagian belakang kereta saya sehingga saya tidak dapat keluar dari kereta," katanya.
 
Hasnul Armi berkata, beliau cuba keluar dari keretanya dengan menendang pintu kereta, tetapi gagal sebelum dibantu orang ramai.
 
Jamiatul Nazirah Mohd Jazlan, 22, dari Pendang yang sedang mengandung lima bulan berkata beliau ketika itu berada di dalam kereta bersama suaminya.
 
"Masa itu memang hujan lebat dan kami nampak banyak ranting pokok jatuh. Ketika sedang tunggu lampu isyarat, tiba-tiba kami melihat sebatang pokok menghempap kereta di hadapan kami. Mujur pokok tidak menghempap kereta kami," katanya yang bimbangkan dengan kandungannya.
 
Seorang pemandu lain Abdul Wahab Abu Seman, 59, dari Simpang Empat berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu sentiasa memantau dan memotong pokok yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai. - Bernama

Imigresen Kedah tahan empat lelaki warga Thailand

Imigresen Malaysia

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan empat lelaki warga Thailand dalam kes berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam, semalam.
 
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata, dalam kes pertama pada pukul 4.45 petang, dua lelaki Thailand berumur 32 dan 41 tahun ditahan di laluan kaunter Imigresen selepas pemeriksaan terhadap pasport mereka dilakukan.
 
Katanya, dalam kes kedua pada pukul 5.20 petang, dua lelaki yang berperwatakan lembut berumur 28 dan 30 tahun telah ditahan semasa pegawai Imigresen melakukan rondaan di kawasan menunggu bas di laluan CIQ.
 
"Dalam kes pertama, kedua-dua lelaki mengaku bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur manakala dua lelaki yang berperwatakan lembut bagi kes kedua mengaku tidak bekerja tapi disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
 
"Kesemua mereka telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh dan dipercayai sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Thailand dari Malaysia." 
 
Menurutnya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa selepas tempoh pas tamat. - Bernama

Dua pondan dicekup di tempat tunggu bas

Dua pondan dicekup di tempat tunggu bas
Antara pondan warga Thailand ditahan.

ALOR SETAR - Dua pondan warga Thailand antara empat individu yang ditahan dalam dua kes berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin.
 
Dalam kes pertama, dua lelaki warga Thailand ditahan ketika pemeriksaan ke atas pasport mereka, manakala tangkapan terhadap dua pondan dilakukan ketika rondaan di tempat menunggu bas.
 
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata,  dua lelaki berusia 32 dan 41 tahun mendakwa bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur ditahan kira-kira jam 4.45 petang.
 
"Sementara itu, dua lelaki berperwatakan lembut berusia 28 dan 30 tahun ditahan kira-kira jam 5.20 petang.
 
"Dua pondan ini memaklumkan mereka tinggal di Kuala Lumpur dan disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral," katanya.
 
Menurutnya, melalui pemeriksaan, keempat-empat mereka cuba keluar dari negara, bagaimanapun dua ditahan di kaunter Imigresen dan selebihnya melalui pemeriksaan rambang.
 
"Mereka didapati melakukan kesalahan tinggal melebihi masa lebih kurang empat bulan di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial berdasarkan semakan pasport.
 
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 / 63 (pindaan 2002)," katanya.

Tiga maut nahas enam kenderaan

Tiga maut nahas enam kenderaan
Motosikal yang ditunggang dua beradik dan anak saudara mereka.
WARTAWAN SINAR HARIAN
KLUANG - Dua beradik serta seorang kanak-kanak yang juga anak saudara mereka maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 55.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Simpang Renggam, di sini, awal pagi semalam.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang maut, Muhamad Saddam Hussin Mohamed, 23, Lina Soleha Mohamed, 20, dan Nur Rabiatul Adawiyah Budi Norhazmi, 6.
 
Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Muhamad Saddam Hussin terbabas lalu memasuki lorong kanan sebelum dilanggar kereta jenis Toyota Camry dari arah sama yang tidak sempat mengelak.
 
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa hilang kawalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akibat mengantuk sebelum terbabas ke lorong kanan.
 
“Pada masa sama, kereta Toyota Camry itu tidak sempat mengelak sebelum sebuah lagi kereta jenis Proton Wira datang dari arah belakang merempuh motosikal tersebut.
 
“Selang beberapa saat kemudian, sebuah kereta jenis Wolkswagen Passat cuba mengelak kejadian itu namun terlanggar sebuah lagi motosikal jenis Honda Wave di lorong kiri tetapi tiada kecederaan membabitkan penunggang tersebut dilaporkan,” katanya yang mengesahkan kejadian berkenaan.
 
Mohamad berkata, sebuah lori yang ternampak kemalangan itu sebaik tiba di lokasi kejadian turut cuba mengelak sebelum hilang kawalan dan terbalik di bahu jalan sebelah kiri.
 
Katanya, akibat kemalangan, ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Batu Pahat itu meninggal dunia di tempat kejadian setelah parah termasuk putus bahagian kaki dan pecah di bahagian kepala.
 
"Kesemua mangsa yang berasal dari Taman Sri Penggaram, Batu Pahat dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Lelaki ugut jiran guna parang dipenjara 3 bulan

JUMAAT, 10 JULAI 2015 @ 5:32 PM
KUALA LUMPUR: Akibat mengugut akan mencederakan jirannya menggunakan parang, seorang bekas pekerja produksi filem dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan membuat keputusan itu selepas Sufian Aru Abdullah, 40, mengaku bersalah mengugut R Pavithiran, seorang penjaga tempat letak kereta dengan berkata "You keluar saya mahu potong you, you jangan keluar rumah" sambil menunjukkan dua bilah parang.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Julai.
Sufian yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa, Jalan 3/16C, Jinjang Utara, di sini, pukul 6.30 petang, 7 Julai lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, mangsa yang baru pulang dari kerja diserang secara tiba-tiba oleh tertuduh yang memasuki rumahnya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan itu dan mengacukan parang kepada mangsa dan keluarganya.
Selepas tertuduh beredar, mangsa yang dalam ketakutan bertindak membuat laporan polis.
Ketika rayuan, Sufian memohon hukuman denda atas alasan dia melakukan kesalahan itu kerana mengalami tekanan perasaan selain perlu menjaga ibunya yang uzur.
Di mahkamah sama, seorang pelajar universiti swasta tempatan, Muhammad Afif Qayyum Mat Sham, 25, mengaku tidak bersalah memiliki kereta curi jenis Nissan GTR, berharga RM380,000 milik Ng Chee Hoe, 41, seorang ahli perniagaan.
Dia yang diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell, Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, pukul 3 pagi, 8 Julai lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Ashraf Rezal membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos depan untuk sebutan semula.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff.
- BERNAMA

Kru kapal layar diselamatkan di Laut Sulu

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menyelamatkan dua anak kapal layar Catherine yang mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Malawali, Laut Sulu petang semalam.
Pengarah Operasi Maritim Daerah Kudat, Leftenan Komander Maritim Mohd Hafidz Mohd Tajuddin, berkata anak kapal itu terdiri daripada warga Kanada dan Filipina.
"Pusat Operasi Daerah Maritim Kudat menerima panggilan kecemasan daripada pemilik kapal layar itu yang dikenali sebagai Hendrike, 48, seorang warga Jerman pada kira-kira jam 8.30 pagi," katanya.
Beliau berkata, akibat cuaca buruk, kapal layar berkenaan kemudiannya ditunda ke jeti Karakit Pulau Banggi sebelum dibawa ke jeti Marina Kudat.
- BERNAMA

Remaja maut dihempap pokok kelapa

MOHD Izmer Abu Hasan menunjukkan lokasi kejadian adiknya, Ahmad Siddiq Ilyas yang maut dihempap pokok kelapa. - Foto BERNAMA
JUMAAT, 10 JULAI 2015 @ 6:12 PM
Oleh Nur Syazwana Mansor
PENDANG: Seorang remaja, Mohd Siddiq Ilyas, 17, maut selepas dihempap pokok kelapa di Kampung Tempoyak, Mukim Ayer Puteh, di sini sewaktu dalam perjalanan pulang daripada menjala ikan di Sungai Tempoyak ke rumahnya di Kampung Kubang Kuar, Mukim Ayer Puteh, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Difahamkan ketika kejadian mangsa sedang membonceng sebuah motosikal yang ditunggang oleh abangnya, Mohd Izmer, 20, dan ketika tiba di tempat kejadian, sebatang pokok kelapa tumbang dan menimpa mangsa.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya terpelanting ke atas jalan tetapi tidak mengalami kecederaan yang serius.

Lelaki Ditahan Berhubung Kes Wanita Tanpa Pakaian Ditemui Dalam Parit


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 9:44 PM

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang suspek lelaki berumur lingkungan 20-an berhubung kes wanita tanpa pakaian yang ditemui di dalam parit berhampiran Restoran Dowish, Jalan Bundusan Penampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Rosley Honden berkata suspek ditahan kira-kira 10.36 pagi ini berdekatan perhentian bas di Jalan Bundusan, Penampang.

"Suspek warga tempatan ditahan pagi tadi untuk membantu siasatan, dia dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kempen Ops Selamat Tujuh sempena Aidilfitri di sini.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, katanya, ketika ini, mangsa masih belum dapat memberi keterangan secara terperinci berikutan trauma terhadap kejadian yang menimpa dirinya.

"Kita perlu tunggu keterangan daripada mangsa," katanya lagi.

Rosley berkata, Hospital Queen Elizabeth mengesahkan mangsa mempunyai kesan  lebam di kepala dan mata selain adanya kesan serangan seksual terhadap dirinya.

"Sebab itu kita klasifikasikan kes ini sebagai rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atau Seksyen 326 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera parah).

Suspek yang boleh dikaitkan pada siasatan awal ini hanya seorang," katanya.

Beliau berkata, mangsa seorang warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu kedai di kawasan Jalan Bundusan dipercayai dicampak ke dalam parit itu pada pukul 9 pagi, Khamis sebelum ditemui orang ramai pada tengah harinya.

Polis Tahan Pelacur Di Sebuah Rumah Di Taman Lip Sin

Diterbitkan: Sabtu, 11 Julai 2015 12:13 PM

GEORGE TOWN: Taktik sindiket pelacuran yang menjadikan sebuah rumah sebagai tempat operasi mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak berjaya selepas kediaman di Taman Lip Sin, di sini diserbu polis pada Jumaat.
Ketua Polis daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah jenis pangsapuri berkenaan kira-kira 4 petang Jumaat.
"Semasa serbuan itu terdapat lima wanita warga Thailand berusia 29 tahun hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur di rumah berkenaan.
"Polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai pelanggan kepada pelacur warga asing itu," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas enam keping kondom, tilam dan pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.
Mior Faridalatrash berkata sindiket berkenaan dipercayai menggunakan rumah berkenaan untuk aktiviti pelacuran sejak beberapa bulan lepas.
Katanya siasatan awal dipercayai sindiket itu didalangi warga tempatan dan usaha mengesan ketua sindiket itu giat dijalankan.
Jelas beliau, lima wanita berkenaan yang turut menyalah guna pas lawatan sosial kini direman mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63.

Militan Al Shabaab serang 2 hotel di Mogadishu

JUMAAT, 10 JULAI 2015 @ 11:45 PM


MOGADISHU: Kumpulan militan Somalia, Al Shabaab, menyatakan ia menyerang dua hotel di ibu negara Mogadishu petang tadi.

"Bom kereta merempuh hotel Wehliya dan Siyaad, kemudian pejuang kami menyerbu masuk. Pertempuran sedang berlaku dalam kedua-dua hotel itu," kata jurucakap Al Shabaab, Sheikh Abdiasis Abu Musab. - Reuters

Sempat senyum sebelum meninggal

Sempat senyum sebelum meninggal
Kereta dipandu Allahyarham Mohd Lotfi yang terbabas, semalam.

PORT DICKSON - Seorang anggota tentera sempat tersenyum kepada beberapa pelanggan sebuah kedai makan sebelum meninggal dunia ketika terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Batu 4, di sini, semalam.
Mohd Lotfi Nong Min, 40, berbuat demikian selepas dia dipercayai diserang sakit jantung menyebabkan kereta dipandunya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.
Pekerja kedai makan, Syazwan Harun, 20, berkata, ketika dia sedang mengambil pesanan pelanggan, dia ternampak mangsa yang memandu kereta sendirian melanggar pembahagi jalan.
“Beberapa pelanggan nampak pemandu kereta sempat tersenyum sebelum mengundurkan keretanya dan terlanggar tiang elektrik. Mangsa juga terlanggar sebuah motosikal salah seorang pelanggan yang diletakkan di tepi kedai.
“Keadaan ketika itu agak kelam kabut sebelum beberapa pelanggan segera mendekati kereta berkenaan untuk memberi bantuan kepada mangsa,” katanya.

Warga Korea lemas terjatuh bot

Warga Korea lemas terjatuh bot
Ahli keluarga pelancong dari Korea Selatan yang ditemui mati lemas dilihat sedang bersedih.

TELOK KEMANG – Kegembiraan sebuah keluarga pelancong dari Korea Selatan yang datang bercuti ke Port Dickson berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas tengahari semalam.
 
Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku di perairan Tanjung Tuan, Melaka kira-kira jam 12.00 tengahari.
 
Mangsa, seorang warga emas, Seung Yul Choi 74 tahun datang ke Malaysia bersama isteri, seorang anak dan isterinya serta dua orang cucu.
 
Difahamkan, mereka tiba di Malaysia pada Sabtu lalu dan merancang untuk kembali semula ke Korea Selatan pada Ahad ini.

Maut dalam perjalanan pulang ke Sarawak

kemalangan

ALOR GAJAH - Dua mangsa kemalangan maut di Jalan Bukit Putus, Tebong di sini semalam dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang Selangor bagi menyambut Aidilfitri di Sarawak sebelum terlibat dalam nahas yang melibatkan tiga kenderaan.
 
Tuzri Miskam, 45, berkata anaknya Nurul Azwa Syareza, 21, yang maut dalam nahas itu merupakan anak sulung daripada dua beradik itu sangat rapat dengan ibunya yang tinggal di Sarawak selepas dia dan isteri, Siti Halijah Ramli  bercerai kira-kira setahun lepas.
 
Beliau berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu kira-kira 3 petang dan mangsa memberitahunya dia dan sepupunya dalam perjalanan ke KLIA untuk pulang ke Sarawak sebelum gagal menghubunginya pada pukul 6 petang.
 
"Saya dan keluarga dari Mersing Johor kemudian bergegas ke Hospital Alor Gajah selepas dimaklumkan berita kemalangan menimpanya daripada emak saudaranya," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat di Hospital Alor Gajah, di sini hari ini.
 
Jenazah Nurul Azwa Syareza dan sepupunya Nur Fazira Ahmad Man, 19, akan dibawa pulang ke Sarawak dan dikebumikan di kampung mereka di Simunjan, Sarawak, lewat petang ini.
 
Empat mangsa maut dalam nahas itu, termasuk dua anggota tentera, Mohamad Isa Ismail, 27 dan Nur Haizam Zamri, 19, dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.15 petang selepas kereta yang dinaiki dari arah Tampin ke Gemencheh, Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar dua lagi kereta lain.
 
Sementara itu, Siti Nor Ramli, 34, ibu saudara kepada Nurul Azwa Syareza dan Nur Fazira Ahmad Man berkata kedua-dua anak saudaranya itu dari Gemas ke KLIA untuk pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya.
 
Dia yang merupakan anggota tentera di Unit Semboyan Diraja Kem Sungai Besi berkata kedua-dua mangsa bergerak dari rumah kira-kira jam 2.30 petang selepas meninggalkan kunci rumah saya yang mereka duduki kepada jirannya.
 
"Nurul Azwa Syareza menghantar mesej melalui WhatsApps bahawa mereka dalam perjalanan ke KLIA pada pukul 3 petang dan saya cuba menghubungi mereka pada pukul 4 petang tetapi tidak berjawab sebelum mendapat panggilan tentang kemalangan menimpa mereka kira-kira jam 7 malam," katanya yang juga ditemui di Hospital Alor Gajah.
 
Siti Nor berkata, ketika menerima panggilan berkenaan dia telah sampai di KLIA untuk menanti ketibaan anak saudaranya yang akan pulang ke Kampung Lalang Gedong, Simunjan, Sarawak dengan menaiki penerbangan pukul 9.30 malam.
 
Beliau berkata, kedua-dua anak saudaranya itu merupakan pelajar jurusan Teknologi Maklumat (IT) di Kolej Komuniti Segamat dan sering berulang-alik antara asrama dengan rumahnya di Gemas sebelum dia berpindah ke Kem Sungai Besi, Isnin lepas.
 
"Kedua-duanya adalah sepupu dan mereka sangat rapat dengan saya dan selalu akan tidur satu tilam apabila bermalam di rumah. 
 
"Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan selain kedua-dua mereka menjadi lebih pendiam dan kurang bercakap. Mereka sempat keluar bersama saya Ahad lepas untuk membeli baju raya dan tudung termasuk untuk ibu masing-masing," katanya.
 
Sementara itu, tunang kepada Mohamad Isa, Nurul Asyikin Mohd Asri, 24, berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan bakal suaminya itu kira-kira pukul 2.30 petang.
 
"Saya tidak mengetahui dia hendak ke KLIA untuk menghantar rakannya. Dia meninggal pada ulang tahun kelahiran saya semalam dan dia sepatutnya berjumpa dengan saya esok di Pontian untuk membeli baju raya," katanya.
 
Beliau berkata, dia dan Mohamad Isa telah merancang untuk berkahwin pada Nov depan dan separuh daripada persiapan majlis tersebut telah dilakukan.
 
Jenazah Mohamad Isa dibawa pulang ke Kuala Kedah dan akan dikebumikan lewat petang ini. – Bernama

Seorang maut 2 parah kereta rempuh tiang elektrik

Seorang maut dua parah kereta rempuh tiang elektrik
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

BACHOK - Seorang pemuda maut dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Beris Pintu Gerbang, kira- kira jam 4.20 petang semalam.

Ketua Balai Bomba Daerah Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai jam 4.20 petang dan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ruslan Ismail menyelamatkan mangsa terlibat.

“Didapati seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi lelaki cedera apabila kereta Proton Iswara dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik dan menyebabkan semua mangsa tersepit.

“Pihak kami terpaksa menggunakan peralatan ‘telescopic ram’ dan ‘spreader cutter’ untuk mengeluarkan mangsa dari kereta itu sebelum tugasan seterusnya diserahkan kepada pihak hospital dan polis,” katanya.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa, Muhammad Rahimi Muhammadi, 20, dari Kampung Tok Matang, Tawang, bersama dua rakannya menaiki kereta iswara dalam
perjalanan dari Pengkalan Chepa melalui simpang tiga Kampung Pintu Gerbang menuju ke Teluk Kemunting.

Ketika tiba di Kampung Pintu Gerbang, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang menyebabkan kereta itu terbabas ke kiri lalu merempuh tiang elektrik.

“Mangsa yang memandu kereta itu mati ditempat kejadian manakala dua lagi penumpang, Mohd Norhafizal Mokhtar, 26, dan Rozidi Mat Lazim, 31,cedera kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya.

Melecur selepas selamatkan isteri

Melecur selepas selamatkan isteri
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan kedai makan di Kampung Padang Pak Amat petang kelmarin.

PASIR PUTEH - Tindakan berani suami meredah api untuk menyelamatkan isterinya dalam kebakaran menyebabkan dia sendiri melecur dalam kejadian di kedai makan di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu,  Kampung Padang Pak Amat, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Abdul Wahab Ismail, 51, melecur pada badan selepas meredah api yang sedang marak sebelum kedai makan miliknya musnah sepenuhnya.

Detik cemas itu diceritakan Wahab kepada rakan karibnya, Rosli Jusoh, 52, beberapa minit selepas kejadian itu sebelum dia dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk rawatan lanjut.

Rosli ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, Wahab dan isterinya, Rabiatul Adawiah Yahya, 43, serta tiga anak mereka berusia 16 tahun hingga 3 tahun berada di dalam kedai tersebut.

Katanya, ketiga-tiga anak mereka berlari keluar terlebih dahulu sebaik menyedari kedai mereka terbakar diikuti Abdul Wahab.
“Abdul Wahab masuk semula ke dalam kedai yang sedang terbakar selepas menyedari isterinya masih berada di dalamnya, akhirnya mereka semua berjaya keluar tapi Wahab melecur kerana meredah api.

“Mereka tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan berharga dan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima panggilan jam 3.15 petang bergegas ke lokasi dan mengawal kebakaran dalam masa dua minit.

Katanya, bomba dengan kekuatan sembilan anggota berjaya memadamkan api sepenuhnya jam 4.55 petang.

“Ketika kami sampai, bangunan jenis sementara itu terbakar seluruhnya, mangsa yang tercedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

“Dua motosikal yang diletakkan dalam kedai tersebut mengalami kerosakan selain sebuah kereta  jenis Proton Saga yang terjejas akibat kebakaran tersebut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kami menganggarkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM15,000,” katanya.

16 orang terbunuh di sekitar Baghdad

Kemalangan maut


BAGHDAD - IRAQ. Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam beberapa siri letupan yang menggegar kawasan kediaman di sekitar Baghdad, menurut pegawai semalam.

Insiden pertama berlaku di Zafaraniyah di mana tujuh penduduk awam terbunuh dalam letupan bom kereta.

Menurut Press TV, di daerah Naiyaan, tiga orang terbunuh apabila kenderaan dinaiki mereka melanggar bom yang ditanam di tepi jalan manakala letupan  di kejiranan al-Furat meragut dua nyawa.

Di bandar Madain, dua penduduk awam maut dan 11 yang lain cedera dalam  serangan bom kereta.

Sehingga semalam, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab  melancarkan serangan terbabit
.

Dijel enggan makan dengan ayah


Michigan: Tiga beradik berusia antara sembilan dan 15 tahun dimasukkan ke pusat penahanan juvana selepas enggan makan tengah hari bersama ayah mereka.

Hakim Lisa Gorcyca mengeluarkan arahan itu pada 24 Jun lalu selepas mendapati kanak-kanak terbabit berusia 9, 10 dan 15 tahun ‘gagal memastikan hubungan baik dengan bapa mereka.’

Dia mendapati mereka bersalah menghina mahkamah selepas enggan makan tengah hari atau bercakap dengan ayah mereka, Omer
Tsimhoni di kafeteria Mahkamah Keluarga Daerah.

Berdasarkan rekod mahkamah, Tsimhoni dan ibu kanak-kanak terbabit Maya Eibschitz-Tsimhoni berebut hak penjagaan tiga beradik itu sejak Disember 2009.



Berdasarkan rekod mahkamah, Lisa mengarahkan mereka makan bersama Tsimhoni, namun tiga beradik itu enggan, malah hakim itu mempertikaikan IQ kanak-kanak berkenaan.

“Jika kamu tidak makan dengan dia saya akan menghantar kamu bertiga ke Children’s Village (pusat penahanan juvana dengan lebih 100 kanak-kanak).

“Jika dihantar ke Children’s Village saya mengarahkan kamu semua ditahan berasingan,” katanya.

Seorang daripada mereka berkata, dia enggan memohon maaf atau bertegur dengan ayahnya kerana lelaki itu sering memukul ibu mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63591#sthash.6cu2zaef.dpuf

Ghaib enggan dibantu

Melaka: Ibu tunggal bersama tiga anak yang menjadi viral di laman Facebook (FB) kerana tinggal dalam pondok di tengah sawah padi di Bukit Rambai, di sini, menghilangkan diri selepas dikunjungi pihak berkuasa yang memaklumkan mahu menghulurkan bantuan kepada mereka.
Difahamkan, wanita dikenali sebagai Noraini Limun, 20-an, kali terakhir ditemui wakil Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pagi kelmarin yang datang untuk melakukan tinjauan dan mendapatkan butiran mengenai dirinya dan tiga anak.
Pegawai MAIM berkenaan kebingungan selepas empat beranak yang mahu dibantu itu menghilangkan diri ketika mereka kembali semula ke pondok berkenaan pada sebelah petang.
Ketua Unit Al-Taqwa MAIM Muhamad Dino Md Delan berkata, pihaknya melawat keluarga itu pagi kelmarin untuk berbincang dengan wanita terbabit bagi memberi bantuan dan memindahkan mereka ke rumah sewa milik MAIM di Pangsapuri Pantai Peringgit, dekat sini.
“Selepas mengumpul butiran mereka, pegawai kami pulang ke pejabat sebelum sekali lagi ke pondok itu jam 2 petang semalam (kelmarin) dengan lori untuk mengangkut barangan milik empat beranak itu untuk dipindahkan ke kediaman baru di rumah sewa MAIM.
“Pegawai berkenaan mendapati empat beranak itu menghilangkan diri, sekali gus membantutkan usaha kami menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan semula di pondok wanita berkenaan, semalam.
Beliau berkata, antara bantuan dicadangkan kepada wanita itu adalah barangan dapur, wang RM300 dan rumah sewa agar dia dan tiga anak tinggal dalam keadaan lebih selesa.
“Jika dia tidak mampu membayar sewa RM50 sebulan, kami akan memotong jumlah itu daripada bantuan wang tunai RM300 diterima dan cara itu dilihat tidak membebankan wanita berkenaan.
“Hari ini (semalam) saya melawat lokasi ini untuk menemui keluarga berkenaan dan membuat tawaran sekali lagi, namun mereka gagal dikesan sejak pagi lagi,” katanya.
Menurutnya, wanita yang kematian suami itu dipercayai tinggal bersama lelaki berusia lewat 30-an yang tidak diketahui status hubungan mereka.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Klebang Yusof Ibrahim berkata, wanita terbabit sudah lapan bulan menetap dalam pondok berkenaan bersama tiga anaknya manakala anak sulungnya tinggal bersama neneknya di Pantai Kundur.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:18 AM


PEGAWAI MAIM dan anggota polis berbincang di hadapan pondok didiami ibu tunggal yang menghilangkan diri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63661#sthash.3CZ6FJ0e.dpuf

Polis serbu pusat maksiat

ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan. FOTO ihsan polis
Kuala Lumpur: Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menahan 54 wanita warga asing yang disyaki menawarkan khidmat seks di dua premis di Jalan P Ramlee, malam tadi.
Serbuan 8 malam itu dilakukan hasil penyamaran pegawai dan anggota pasukan itu sebagai pelanggan pusat hiburan sebelum dihampiri wanita terbabit yang menawarkan khidmat seks.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, wanita berkenaan mengenakan bayaran antara RM300 hingga mencecah ribuan ringgit termasuk harga bilik hotel.
"Seramai 40 orang adalah warga Vietnam termasuk seorang pondan, sembilan warga Uzbekistan, Indonesia (2), Filipina (2), dan seorang warga Thailand," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid, Abu Bakar dalam akaun Twitter rasminya turut mengesahkan kejayaan itu dan mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan STAGG dan JSJ Kuala Lumpur.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 4:21 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63483#sthash.1Mv0PE33.dpuf

Bilik solat terselamat

Jertih: Seorang wanita pengsan sebaik melihat kediaman ibunya dan segala keperluan menyambut Aidilfitri, minggu depan, musnah dalam kebakaran di FELDA Tenang, Hulu Besut, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam, rumah yang didiami lapan beranak keluarga peneroka berkenaan terbakar 90 peratus dipercayai akibat litar pintas di satu daripada lima bilik di rumah terbabit.
Ketika ditemui di lokasi kejadian, mangsa, Suzana Abdullah, 33, berkata, dia tidak dapat menahan perasaan apabila melihat semua barangan suaminya Sarjan Mohd Nizam Zakaria, 35, yang juga seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini ditugaskan dengan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama ibunya, Salbiah Mat Amin, 50, dan adiknya berada di bandar Jertih untuk membeli-belah.
“Sedang asyik melihat barangan, ibu mendapat panggilan telefon daripada ayah, Abdullah Kassim, 55, memaklumkan kejadian malang ini.
“Tanpa berlengah kami terus pulang ke rumah tetapi apabila sampai, hampir semuanya musnah termasuk barangan suami yang diletakkan sementara di rumah ibu. Melihatkan keadaan itu, saya langsung jadi tidak bermaya dan pengsan,” katanya.
Sementara itu, Salbiah berkata, dia tergamam dan sedih melihat rumah yang dijadikan tempat berteduh sejak sekian lama musnah dijilat api.
“Hanya bilik solat dan al-Quran terselamat, yang lain semuanya musnah,” katanya.
Salbiah yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan FELDA Tenang Selatan berkata, ketika kejadian, suaminya bersama lima anak dan cucu berada di rumah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut Nawi Mohamad yang melawat mangsa sejurus mendapat tahu mengenai kejadian berkenaan berjanji membantu keluarga terbabit mendapatkan kediaman baru.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:17 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63658#sthash.Bfw8GQdt.dpuf

Tangan hampir putus ditetak penyamun

Maran: Seorang lelaki hampir kehilangan tangan kiri apabila ditetak penyamun yang memecah masuk rumahnya sebelum merentap rantai leher isteri mangsa dalam kejadian di FELDA Jengka 10, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang secara tiba-tiba menendang pintu depan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Maran Asisten Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, mangsa berusia 40 tahun cuba mempertahankan diri, namun ditetak dengan parang oleh seorang daripada penyamun terbabit di tangan kirinya.
“Penyamun berkenaan membiarkan mangsa mengerang kesakitan sebelum mengambil barang kemas isterinya yang sedang mandi sebelum bertindak melarikan diri menerusi pintu depan.
“Isteri mangsa yang melihat keadaan suaminya yang parah segera meminta pertolongan jiran sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, keadaan lelaki berkenaan dilaporkan stabil, namun tangan kirinya patah dipercayai kesan tetakan penjenayah terbabit dan polis sedang memperhebatkan siasatan serta operasi bagi menahan suspek.
“Setakat ini anggaran kerugian masih dalam siasatan dan polis akan melakukan operasi dan pemantauan untuk menahan kedua-dua suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata,” katanya.
Mat Rizal menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan pintu atau tingkap rumah masing-masing dikunci bagi memastikan penjenayah tiada ruang untuk menceroboh masuk.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:17 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63659#sthash.X1jTtiXs.dpuf

Ceti dihukum gantung

S Muniandy dihukum gantung kerana edar dadah. FOTO Supian Ahmad
Ipoh: Seorang ceti dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.
Tertuduh, S Muniandy,33, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, juga didenda sebanyak RM70,000 atau dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan keempat kerana memiliki dadah jenis ketamin.
Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Tertuduh yang mempunyai dua anak didakwa mengedar dadah jenis methampetamin seberat 336.5 gram, heroin seberat 504.17 gram dan Monoacetylmorphines seberat 212.03 gram.
Bagi tiga pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Pertuduhan keempat pula, dia didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 3.92 gram dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam rumah nombor Blok C-1-3 (Condo), Jalan Impiana 2, Taman Meru Impiana di sini, pada 4.45 petang, 22 Oktober 2011.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk P M Nagarajan dan Mohd Izhar Ahmad Azmi.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 1:08 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63471#sthash.TU7JDM1l.dpuf

Bas terbalik atas jambatan

Bukit Beruntung: Pemandu dan tiga penumpang cedera manakala empat selamat apabila bas yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Kilometer 431.5 Lebuhraya PLUS arah selatan di Jambatan Sungai Guntung, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam ketika bas yang membawa tujuh penumpang dalam perjalanan dari Lumut, Perak ke Kuala Lumpur.
Penumpang bas, Nor Hafizah Shukri, 27, berkata, dia menyedari bas dipandu laju dan terus terbabas dan terbalik sebelum langgar batu penghadang di atas jambatan berkenaan.
"Saya duduk di belakang dan tak perasan bas langgar apa sebelum terbabas tapi tiba-tiba terbalik dan penumpang terjatuh," katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, malam tadi.
Bagaimanapun, Nor Hafizah hanya mengalami kecederaan ringan di mata kanannya.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 12:39 AM


KEADAAN bas selepas kemalangan. FOTO Amrullah Abdul Karim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63329#sthash.uOEGfoP4.dpuf

Dua jururawat cedera ambulans terbabas

Kuala Kangsar: Dua jururawat cedera selepas ambulans mereka naiki terbabas ke bahu jalan di kilometer 256.7 Jalan Lenggong-Kuala Kangsar arah selatan, di sini.
Difahamkan, ambulans dari Hospital Lenggong dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh itu sebelum gagal dikawal dan terbabas.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, seorang daripada jururawat hanya cedera ringan manakala seorang lagi patah kaki.
"Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari ambulans berkenaan.
"Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 5:41 PM


AMBULANS dalam perjalanan ke HRPB Ipoh sebelum terbabas. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63493#sthash.T8S0hZUW.dpuf

Ajal langgar lori

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital.
Kuala Lumpur: Seorang pengawal pengiring dan pemandu peribadi kepada ahli perniagaan bergelar Datuk maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya melanggar lori di Kilometer 6.1 Lebuhraya Sprint, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mohd Nazrul Marof, 38 yang dalam perjalanan ke rumah majikannya di Mutiara Damansara disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan tepung dari arah Kerinchi Link menghala ke Sri Hartamas menukar haluan dari kanan ke kiri jalan.
"Akibatnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki melanggar belakang sebelah kiri lori berkenaan," katanya kepada Harian Metro.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 6:16 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63496#sthash.BhXb7EwB.dpuf

Lelaki bogel curi kereta polis

Rakaman video polis menunjukkan lelaki bogel berlari ke arah kereta sambil melambai-lambai seolah meminta pemandunya berhenti. - Foto AP
Albuquerque (New Mexico): Seorang lelaki ditahan kerana mencuri kereta polis ketika dia berlari di jalan raya dalam keadaan bogel.
Dalam kejadian 4 Julai lalu, polis di daerah Curry bertindak balas terhadap laporan seorang lelaki berlari di jalan raya dan apabila mereka ke tempat kejadian, menemui lelaki itu, Jesus Tarango, 37, yang berkelakuan pelik serta menjerit mendakwa dia diracun.
Mereka mengarahkan lelaki itu supaya duduk tetapi dia kemudian berlari dan melambai ke arah kereta yang lalu.
Rakaman video polis menunjukkan lelaki itu kemudian menghampiri kereta timbalan polis sebelum masuk dan memandu kereta berkenaan. Lekaki itu ditahan selepas dia meletakkan kereta polis berkenaan di tempat letak kereta hospital.
Lelaki itu kemudian dirawat kerana kecederaannya sebelum ditahan polis atas beberapa dakwaan termasuk mencuri kereta dan melarikan diri daripada ditahan, - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 6:50 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63503#sthash.uZhSeJ3v.dpuf

Lima terbunuh kilang kosmetik terbakar


Jakarta: Lima orang terbunuh dan hampir 50 cedera apabila sebuah kilang kosmetik terbakar di pinggir Jakarta, semalam.

Kebakaran dilapor berlaku selepas satu letupan kedengaran ketika waktu bekerja di kilang anak syarikat pembuat mekap Jepun, PT Mandom.

“Lima orang mati, 50 lagi cedera,” kata Ketua Polis Jakarta Tito Karnavian.

Menurutnya, dalam kalangan mereka yang cedera, separuh melecur sehingga 70 peratus.

Pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti punca kebakaran walaupun mereka mengesyaki ia berdisebabkan oleh kebocoran gas di dalam kilang itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:03 AM

Tikus besar di Britain cetus perdebatan



Dua keping gambar yang dimuat naik di Facebook menunjukkan seekor tikus besar dijumpai di pelabuhan Grimsby, Britain. - AGENSI


LONDON – Seekor tikus gergasi yang dijumpai di Britain baru-baru ini mencetuskan perdebatan ramai yang tidak mempercayai dengan saiz haiwan itu yang sangat besar.
Menerusi gambar yang dimuat naik di Facebook baru-baru ni, seorang lelaki yang memakai pakaian keselamatan dilihat memegang seekor tikus besar di bahagian leher dan menunjukkan ke arah kamera. “Selamat tengah hari semua, jumpa ini di pelabuhan Grimsby,” kata keterangan gambar tersebut yang telah dikongsi ribuan kali sejak mula dimuat naik di internet.
Rata-rata pengguna internet terkejut dengan saiz haiwan itu dan menyatakan bahawa mereka tidak akan sekali-kali menghampiri haiwan seperti itu. Namun, setengah pengguna lain mendakwa, gambar tersebut adalah palsu dan diubah suai menerusi perisian Photoshop.
Gambar itu telah dikongsi sehari selepas sebuah badan amal mendedahkan usaha melatih tikus-tikus besar bagi mengesan periuk api di sebahagian besar negara Afrika. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3fWuma5fN 
Hakcipta terpelihara