Search This Blog

Friday, July 10, 2015

Kanak-kanak antara tiga maut nahas di Simpang Renggam




ANGGOTA polis menutup mayat seorang daripada tiga yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 55.9 berhampiran persimpangan Simpang Renggam di Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SIMPANG RENGGAM: Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan di Kilometer 55.9 berhampiran persimpangan Simpang Renggam di Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi tadi.
Jurucakap polis berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi dan ketiga-tiga mangsa dipercayai menaiki dua motosikal.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori dan dua kereta.

"Polis masih sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian termasuk mengambil keterangan daripada pemandu lori dan kereta terbabit.
"Pada masa sama, polis juga dalam usaha mengenalpasti identiti mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi tadi.
Katanya, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala seorang daripada mangsa terputus kaki.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kluang dekat sini, untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Gempa kuat 6.5 magnitud landa Kepulauan Solomon

SYDNEY: Gempa kuat berukuran 6.5 magnitud melanda perairan Pasifik di Kepulauan Solomon, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa melanda di 154 kilometer di barat daya Dadali dan 170km di barat ibu negara Honiara, demikian menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). - AFP
Kepulauan Solomon.

Ceti dihukum gantung sampai mati kerana edar dadah


IPOH: Seorang ceti dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.
Tertuduh, S Muniandy, 33, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, juga didenda sebanyak RM70,000 atau dua tahun penjara jika gagal bayar denda berkenaan selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan keempat iaitu memiliki dadah jenis ketamin.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah mendapati pihak Timbalan Pendakwa Raya pula berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, dan dengan itu tertuduh disabitkan bersalah terhadap semua pertuduhan," katanya.
Tertuduh yang mempunyai dua anak, didakwa mengedar dadah jenis methampetamine seberat 336.5 gram, heroin seberat 504.17 gram dan monoacetylmorphines seberat 212.03 gram.
Bagi tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Pertuduhan keempat pula, dia didakwa memiliki dadah ketamin seberat 3.92 gram dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam rumah nombor Blok C-1-3 (Condo), Jalan Impiana 2, Taman Meru Impiana di sini kira jam 4.45 petang pada 22 Oktober 2011.
Pendakwaan diwakili How May Ling, manakala tertuduh diwakili Datuk P M Nagarajan dan Mohd Izhar Ahmad Azmi.

Berebut pakaian percuma Aidilfitri, 23 maut di Bangladesh

DHAKA: Sekurang-kurangnya 23 maut di Bangladesh akibat dipijak dan sesak nafas apabila ratusan penduduk miskin berebut mendapatkan pakaian percuma bagi sambutan Aidilfitri.
Polis Bangladesh berkata, ketika kejadian seramai 1,500 orang berkumpul di luar sebuah kilang sejak awal pagi selepas pemilik kilang yang juga seorang hartawan mengumumkan akan mengedarkan pakaian percuma kepada orang miskin.
Kejadian di utara Bandar Mymensingh berlaku apabila mereka yang bersesak-sesak merempuh sebuah gudang yang menempatkan pakaian termasuk kasut dan keperluan yang lain dan dalam keadaan gudang yang sempit menyebabkan berlakunya tolak menolak.
Rakaman stesen televisyen tempatan juga menunjukkan bukan saja menyebabkan kematian tetapi turut memusnahkan pelbagai barangan dan merosakkan hampir keseluruhan kawasan gudang.
Ketua Polis Mymensingh, Moinul Haque berkata, setakat ini 23 orang disahkan maut dan pihaknya menjangkakan angka maut akan meningkat kerana ramai turut mengalami kecederaan parah.
"Selain terdapat juga mayat yang telah dibawa pulang oleh keluarga sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
"Kebanyakan mereka yang maut adalah wanita selain mereka yang lemah dan kurus. Jumlah kecederaan pula lebih daripada 50 orang dan ia mungkin akan meningkat," katanya.
Seorang saksi memberitahu media tempatan, rempuhan itu bermula apabila beberapa orang terjatuh ketika berebut masuk ke dalam gudang sebelum berlakunya huru-hara.
"Oleh kerana pintu dibuka, semua orang berlari masuk sambil menolak dan tarik menarik antara satu sama lain dan kemudian mereka mulai jatuh.
"Apabila seorang jatuh, satu lagi jatuh sehinggalah ramai yang terjatuh dan dipijak. Selain itu sebab terlalu ramai ada yang mengalami sesak nafas," katanya.
Pihak berkuasa tempatan berkata, pemilik kilang serta enam orang lain telah ditangkap kerana gagal untuk memastikan keselamatan awam.
Gabenor Daerah berkenaan, Mustakim Billah berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.
Satu jawatankuasa khas polis telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi itu dan bersedia untuk melaporkan laporan lengkap dalam tempoh tiga hari akan datang.
Tradisi memberi pakaian percuma ini ibarat tradisi di Bangladesh setiap kali Ramadan, tetapi pemberian sebegini sering mencetuskan beberapa rempuhan maut selama ini.
Pada tahun 2002, 40 orang terbunuh dalam rempuhan yang sama di sebuah kilang pakaian di utara bandar Tangail dan kejadian sama berulang pada April 2013 apabila sebuah kilang membuat pakaian runtuh dan menyebabkan kematian lebih 1100 orang.
TEMPAT kejadian rempuhanan yang berlaku ketika pengagihan zakat di bandar Mymensingh, Dhaka, Bangladesh. - - Foto ihsan http://www.thedailystar.net/

PAC Akan Panggil Mara Perjelas Isu Pembelian Hartanah


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 2:38 PM
Datuk Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menjelaskan mengenai pelaburan kontroversinya di luar negara.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tumpuan akan diberi kepada pelaburan Mara di Australia yang sedang disiasat oleh pihak polis di sana.

"Kami merancang untuk memanggil mereka pada akhir Ogos ini dan surat akan dikeluarkan minggu depan," kata Ahli Parlimen Pulai itu pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Bulan lepas, akhbar harian Australia The Age melaporkan bahawa beberapa pegawai kanan Malaysia didakwa membelanjakan RM65 juta dana awam untuk membeli sebuah blok apartmen di Melbourne, Australia, dengan membayar harganya RM13.7 juta lebih tinggi, yang kem udiannya didakwanya untuk membayar sogokan.

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa minggu lalu mengumumkan penggantungan dua pegawai dari Mara Inc berikutan dakwaan tersebut.

Beliau juga mengumumkan pelantikan PricewaterhouseCoopers untuk menjalankan audit ke atas semua pelaburan luar negara Mara Inc di Australia dan Britain.

Tiang Konkrit Runtuh, Pekerja Binaan Warga Bangladesh Maut


Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 8:43 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan pangsapuri yang dalam pembinaan di Prima Damansara, Petaling Jaya pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.16 petang, mangsa Belal Md Abdul Hossain, 30, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh setelah terkena runtuhan tiang konkrit.
"Mangsa dikatakan sedang mengikat batu-bata di tingkat tiga bangunan tersebut sebelum malang menimpanya," katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Cubaan Seludup Senjata Api Tiruan Guna Bas Ekspres Dipatahkan


Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 6:11 PM
Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) Briged Utara menemui beberapa laras senjata api tiruan dari sebuah bas ekspres yang ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Rabu.
Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata, anggota keselamatan turut menahan seorang pemandu bas, manakala seorang lagi melarikan diri dalam kejadian yang berlaku pada 9.40 malam Rabu.
"Unit Risikan Jabatan Imigresen Kedah bekerjasama dengan PGA untuk mengesan  pemandu bas ekspres yang melarikan diri itu," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.
Katanya bas ekspres terbabit yang baru tiba dari Hatyai, Thailand, dipercayai cuba menyeludup masuk senjata api tiruan itu ke negara ini menggunakan laluan di pintu masuk sempadan negara itu.
Pihak Imigresen Kedah turut menyita bas ekspres itu bagi tujuan siasatan lanjut tentang kejadian itu, kata Mohamad Yusri.

Wartawan Sinar Harian Maut Nahas Motosikal


Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 6:06 PM
Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Seorang wartawan akhbar Sinar Harian maut, setelah motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 19.6 Lebuhraya Elite, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Zailan Tasir berkata dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, Nik Norul Hidayat Nik Mustafa, 31, dilaporkan dalam perjalanan dari arah Shah Alam menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
"Dipercayai motosikal mangsa dihimpit kenderaan lain yang mana kita belum dapat pastikan jenisnya, sebelum motosikalnya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.
"Berikutan kejadian itu, mangsa cedera parah di kepala dan beliau telah dibawa ke Hospital Putrajaya oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Zailan berkata mangsa disahkan meninggal dunia di hospital pada pukul 6.40 pagi dan jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Tali Air, Morib, Banting.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nik Norul Hidayat yang merupakan wartawan bahagian Pemotoran Sinar Harian meninggalkan seorang isteri, Anis Naziha Abdul Rauf.

Ebola Kembali Ke Liberia


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 2:10 PM
But yang dipakai petugas Unit Rawatan Ebola yang melalui proses dinyahjangkit dijemur.

MONROVIA: Virus Ebola yang sebelum ini meragut ribuan nyawa kini kembali ke Afrika Barat apabila dua individu disahkan dijangkiti virus itu di Liberia.
Wabak itu mula dikesan apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia akibat demam tropika itu selepas menyebarkannya kepada dua lagi mangsa.
Liberia mengumumkan perkara itu pada 30 Jun lalu.
Tiga jangkitan itu adalah kes pertama Ebola di Liberia sejak tiga bulan lalu.
“Terkini, ada dua kes baharu di Liberia, menjadikan keseluruhan jangkitan Ebola meningkat kepada lima kes,” menurut Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, kedua-dua pesakit itu yang dirawat di Monrovia berasal dari kampung sama di daerah Margibi di mana wabak terbaharu Ebola dikesan.
“Mereka berhubungan dengan seramai 149 orang yang kebanyakkannya berada di Margibi selain 17 lagi di daerah jirannya, Montserrado,” tambah kementerian itu.
Daerah Montserrado merangkumi bandar raya Monrovia yang dihuni sekitar satu juta penduduk.
Ebola membunuh lebih 4,800 penduduk Liberia sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan negara itu bebas wabak tersebut pada 9 Mei lalu.
Virus Ebola tersebar melalui cecair badan pesakit Ebola dengan pesakit menunjukkan simptom seperti muntah, cirit birit diikuti pendarahan luaran dan dalaman yang membawa maut. – AFP

Pelajar Dipaksa Makan Pil Gugur Kandungan Selepas Dirogol


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 8:18 AM
- Gambar hiasan

KAJANG: Ia adalah sebuah kisah cinta yang tidak begitu klasik seperti mana seorang lelaki bertemu seorang gadis, jatuh cinta dengannya, berkahwin dan mempunyai anak.

Dalam kes ini, seorang pemuda telah memujuk seorang gadis, merogolnya, kemudian memohon maaf dan mengajaknya berkahwin.

Selepas mendapat tahu gadis itu hamil, lelaki berkenaan memaksa gadis itu menggugurkan kandungannya.

Polis berkata, lelaki berusia 24 tahun itu mengambil gadis itu dari asrama kampusnya di Jalan Kuching pada April dan membawanya keluar untuk menikmati suasana 'malam romantis' di Lookout Point di Ampang.

Dia kemudian membawa gadis berkenaan ke Jalan Bukit Permai, kira-kira pukul 10.30 malam di mana dia dikatakan telah memperkosanya.

"Selepas kejadian itu, dia mendakwa menyesal dan memohon maaf kepada gadis itu. Sebagai tanda bertanggungjawab, dia bersetuju untuk berkahwin," kata Ketua Polis Daerah Kajang Asisten KOmisioner Willey Richard.

Pelajar berusia 21 tahun itu yang trauma dengan kejadian itu menolak lamaran teman lelakinya yang menganggur itu.

Lelaki itu kemudian bertukar agresif dan menuntut bahawa dia akan menyimpan rahsia tentang kejadian rogol yang berlaku atau akan mendedahkan kepada keluarga dan rakan-rakannya bahawa dia tidak lagi mempunyai dara.

"Kira-kira sebulan kemudian, dia mula berasa sakit. Dia berjumpa doktor dan mendapati dia sedang mengandung.

"Jadi dia bertemu dengan suspek dan memberitahunya tentang berita itu. Lelaki itu memberinya pil Cytotec untuk mendorong pengguguran," kata ACP Willey.

Gadis itu melakukan apa yang disuruh. Dia dimasukkan ke hospital seminggu kemudian selepas mengadu sakit di bahagian perut.

Doktor mengesahkan bahawa dia telah kehilangan janin yang baharu sebulan berada dalam kandungannya.

Setelah dipaksa oleh keluarganya, dia mengalah dan memberitahu mereka tentang apa yang berlaku sejak beberapa bulan lepas.

Polis menahan teman lelakinya di rumahnya di Sri Gombak kira-kira pukul 3 pagi Khamis.

"Apabila kita bertanya kepadanya, dia mengaku merogol mangsa dan memaksanya mengambil pil.

"Dia akan ditahan reman sehingga Isnin," kata ACP Willey.

Tiga Sekeluarga Maut Nahas Enam Kenderaan Di KM55.9


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 10:54 AM

DIKEMASKINI
JOHOR BARU: Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 55.7, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner  Mohamad Laham berkata, ketiga-tiga mangsa, yang menaiki motorsikal dikenali sebagai Muhammad Saddam Hussin Mohamed, 23, Lina Soleha Mohamed, 20, dan Nur Rabiatul Adawiyah Budi Norhazmi, 6.
Muhammad Saddam dan Lina Soleha merupakan adik-beradik manakala Nur Rabiatul Adawiyah pula anak saudara mereka.
Mohamad berkata, pada kejadian kira-kira 5 pagi itu, motorsikal yang ditunggangi tiga mangsa itu dalam perjalanan balik dari Pasir Gudang ke Batu Pahat.
"Setibanya di tempat kejadian, motorsikal yang dibawa Muhammad Saddam terbabas masuk ke lorong kanan dan dilanggar dua kereta. Kereta ketiga mengelak ke kiri jalan dan melanggar sebuah motorsikal lain.
"Lori kontena yang berada di lorong kiri cuba mengelak tetapi hilang kawalan dan terbalik di bahu jalan sebelah kiri. Kemalangan terbabit mengakibatkan ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohamad berkata ketika kejadian cuaca baik tetapi tempat kejadian gelap kerana ketiadaan lampu jalan.
Terdahulu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata pihaknya yang mendapat panggilan pada pukul 5.29 pagi, menamatkan operasi menyelamat sejam selepas itu dengan enam anggota bomba dan satu jentera yang dikejarkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam. -- Bernama

Cari Duit Raya, Pemandu Van Rokok Pura-Pura Disamun


Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 9:01 PM
Gambar hiasan.

SEPANG: Buntu memikirkan persediaan menyambut Aidilfitri, seorang lelaki berpakat dengan dua rakannya membuat laporan palsu mendakwa van berisi 400 karton rokok bernilai RM40,000 yang dipandunya, disamun.
Namun lakonan lelaki berumur lingkungan 20-an itu dapat dikesan polis, malah lebih teruk trio itu kini ditahan dan berkemungkinan berdepan hukuman penjara.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam sidang media di sini Khamis berkata kejadian berlaku di Taman Perindustrian Meranti Jaya, di sini, pada 1 Julai lepas.
Beliau berkata semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, suspek mendakwa didatangi seorang lelaki yang mengacukan parang sebelum mengarahkannya memandu van berkenaan ke sebuah kawasan perumahan di Puchong Utama.
Suspek berkata dia kemudiannya diarah memberhentikan kenderaan dan menyerahkan dompet berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang automatik (ATM) selain telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,200 dirampas.
Abdul Aziz berkata setelah menyoal pengadu, pihaknya mendapati keterangan dan laporan yang diberikan agak meragukan menyebabkan suspek terpaksa ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata suspek kemudiannya mengaku merancang kejadian itu bersama dua lagi rakannya seminggu sebelum kejadian.
"Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan beberapa serbuan dan berjaya menahan dua lagi suspek serta menemui kembali van serta sejumlah rokok yang kononnya disamun," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 182 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan memberi maklumat palsu.

Pakar Bius Maut Dalam Kemalangan


Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 11:58 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bius berusia 27 tahun maut dalam kemalangan tragik di Sungai Buloh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Hospital Sungai Buloh pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata Dr Afifah Mohd Ghazi meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selepas kereta jenis Kelisa yang dipandunya melanggar pokok pada pukul 3 petang.
"Dia meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ashok Zachariah Philip menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dr Afifah.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Dr Afifah dalam perjalanan pulang ke rumah sesudah memeriksa beberapa pesakit selepas dipanggil hospital berkenaan.
"Ia satu tragedi untuk keluarganya dan kehilangan kepada profesion ini. Ia ketara menerusi pelbagai mesej pujian dan kesedihan daripada rakan sekerjanya, membuktikan Dr Afifah cukup disenangi dan berdedikasi," katanya.
Dr Afifah, meninggalkan suami Dr Mohd Hafizuddin Azman yang juga doktor bedah neuro di hospital sama.
Dalam perkembangan lain, Dr Ashok berkata MMA menyokong langkah Kementerian Kesihatan menambah jawatan pegawai perubatan di seluruh negara.
"Walaupun pengambilan kakitangan awam sudah dibekukan, kami rasakan pertimbangan khas perlu diberikan untuk bidang perubatan kerana peningkatan jumlah pesakit dan harapan tinggi mereka, selain pengenalan perkhidmatan baharu," katanya.
Sebarang kekurangan akan memberi kesan kepada pesakit serta doktor, dan MMA berharap usaha Kementerian Kesihatan menambah pegawai perubatan akan berjaya, katanya.

Lapangan Terbang Bali Ditutup Kerana Abu Gunung Berapi, Ribuan Pelancong Terkandas


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 2:08 PM

DENPASAR (Indonesia): Abu yang diterbangkan dari gunung berapi di Indonesia memaksa lebih daripada 100 penerbangan dibatalkan dan lapangan terbang di pulau pelancongan Bali, ditutup, kata seorang pegawai Jumaat.

Langkah itu menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Empat lapangan terbang lain, termasuk lapangan terbang antarabangsa di pulau Lombok, juga ditutup lewat Khamis apabila Gunung Raung di wilayah Jawa Timur memuntahkan gumpalan abu, jurucakap Kementerian Pengangkutan J.A Barata memberitahu AFP.

"Ini adalah untuk keselamatan," kata beliau sambil menambah para pegawai telah memeriksa keadaan setiap beberapa jam tetapi belum dapat memastikan bila lapangan terbang mungkin dibuka semula.

Pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap kedua tertinggi terhadap Gunung Raung, yang mempunyai ketinggian 3,300 meter (10,800 kaki), akhir bulan lepas selepas ia mula memuntahkan lahar dan abu yang tinggi ke udara.

Kepulan abu memaksa syarikat penerbangan Australia membatalkan semua penerbangan masuk dan keluar dari Bali pada Jumaat, semasa musim puncak percutian di pulau ini.

Bali adalah destinasi percutian kegemaran bagi warga Australia.

Seorang wartawan AFP di lapangan terbang Ngurah Rai Bali berkata terdapat ramai pelancong asing terkandas di lapangan terbang, menunggu maklumat lanjut mengenai penerbangan mereka.

Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda berkata ia telah membatalkan sejumlah 112 penerbangan.

Virgin Australia berkata dalam satu kenyataan bahawa "Pasukan meteorologi kami terus bekerjasama rapat dengan Pusat Khidmat Nasihat Abu Gunung Berapi di Darwin dan memantau keadaan.

"Apabila keadaan bertambah baik, penerbangan tambahan akan dijadualkan antara Australia dan Denpasar untuk memastikan tetamu dapat meneruskan perjalanan mereka secepat yang mungkin."

Jetstar juga menggantung perkhidmatannya dan meminta penumpang untuk menghubungi mereka untuk maklumat lanjut.

Dua syarikat penerbangan Australia telah membatalkan penerbangan masuk dan keluar dari Bali beberapa hari sebelum ini kerana abu gunung berapi, sebelum lapangan terbang ditutup sepenuhnya.

Air New Zealand berkata penerbangan yang dijadual berlepas dari Bali pada petang Sabtu telah dijadualkan semula untuk terbang pada awal pagi Ahad, jika keadaan mengizinkan.

Lapangan terbang lain yang ditutup disebabkan abu termasuklah yang kedua terkecil di Lombok dan dua lagi di Jawa Timur yang menawarkan perkhidmatan laluan domestik.

Empat Pelancong Iran Bebas Tuduhan Edar Dadah


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 3:33 PM

KUALA LUMPUR: Empat pelancong warga Iran dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Jalan Imbi, di sini, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan tersebut pada Jumaat selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Seyed Amir Hossein Sajadi, 24, Reza Zali Shokrollah, Saeed Babaee Ahmad Abadi Ali, masing-masing berumur 30 dan Ali Veis Karimzadeh, 37, di akhir kes pendakwaan.
Dalam keputusannya, Azman berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen niat bersama seperti mana dalam pertuduhan selain terdapat kelompangan dalam kes pendakwaan.
Katanya, kelompangan disebabkan oleh pihak pendakwaan gagal memanggil saksi utama iaitu pegawai tangkapan dan anggota lain untuk memberi keterangan.
"Oleh itu mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri," kata hakim itu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah tersebut seberat 527.3 gram di sebuah bilik di Menara Berjaya Times Square East, Jalan Imbi dekat sini pada 3.05 petang, 21 Mac 2013.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Nurul Asyiqin Zulkifli manakala pembelaan diketuai  peguam Datuk N. Sivananthan.
Sepanjang prosiding perbicaraan kes itu, pendakwaan memanggil tujuh saksi.-- Bernama

Yaya dirujuk ke Psikiatri

Yaya dirujuk ke Psikiatri
Yaya
ADILA SHARINNI WAHID
KOTA BHARU - Berdepan kesan trauma yang dahsyat memaksa pihak polis merujuk kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai mangsa dera bapa kandung dan ibu tiri kepada pakar psikiatri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak itu yang turut mengalami penderaan mental yang teruk akan dirawat pakar berkenaan bagi memulihkan kesan trauma yang dialaminya.

“Mangsa dirujuk kepada pakar bagi membantu dia kembali pulih dan dapat bercakap semula selain akan mendedahkan pelaku dalam kes ini. Tempoh masa yang akan diambil untuk rawatan ini bergantung pada keadaan dan perkembangan mangsa,” katanya.

Sinar Harian, sebelum ini melaporkan Nur Zuliana Zaara atau nama panggilannya, Yaya mengalami kecederaan teruk dipercayai didera selama tempoh enam bulan lalu.

Mangsa mengalami patah 13 tulang dan luka serta lebam di seluruh badan.

Mangsa mula dapat makan dan minum selepas menjalani pembedahan bagi merawat masalah usus kecilnya yang berpintal, dipercayai akibat dipukul dengan kuat.

Dua kakitangan MDSB nyaris maut

Dua kakitangan MDSB nyaris maut
Kenderaan Toyota Hilux Unit Vektor MDSB yang dinaiki kedua-dua mangsa terbalik di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang, petang kelmarin.
WARTAWAN SINAR HARIAN
SABAK BERNAM - Seorang kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) cedera parah manakala rakan sejawatnya mengalami cedera ringan selepas sebuah kenderaan Toyota Hilux Unit Vektor MDSB yang dinaiki mereka terbalik di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang berdekatan Parit 9 Sekinchan itu, kedua-dua mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti itu berusia dalam lingkungan akhir 30-an, dipercayai dalam perjalanan dari pejabat MDSB menuju ke Sekinchan untuk melakukan kerja-kerja rutin harian semburan nyamuk.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pemandu kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan selepas kenderaan yang dipandunya dalam perjalanan sehala itu masuk ke kiri bahu jalan sebelum berpusing ke arah kanan jalan.
“Pemandu dipercayai terbabas ke kiri jalan, bagaimanapun ketika dia mahu mengubah semula haluan, kenderaan tersebut terbabas dan terbalik ke sebelah kanan,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Azmi memberitahu, akibat kejadian itu menyebabkan salah seorang mangsa mengalami patah kaki kanan, manakala rakannya mengalami kecederaan ringan dan mereka kemudiannya dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan tersebut.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kes kemalangan itu dijalankan Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Ahmad Zaki Mohd Nor mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 6.40 petang dan tiba ke lokasi lima minit selepas itu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati kedua mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan,” ujarnya.

Anak menangis minta maaf

Anak menangis minta maaf
Keadaan lokasi kemalangan di Kilometer 14, Jalan Bahau-Rompin. Gambar kecil: Shahrinda dan Muhammad
WARTAWAN SINAR HARIAN
BANDAR SERI JEMPOL - Seorang bapa tidak menyangka tangisan meminta maaf anak keduanya merupakan permohonan maaf kali terakhir didengarinya apabila anaknya itu 'pergi' selama-lamanya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Bahau-Rompin, kelmarin.
Mohd Zin Ibrahim, 62, berkata, anaknya Muhammad Mohd Zin, 36, dan menantunya Shahrinda Kayatin, 35, maut selepas terbabit kemalangan kira-kira jam 8.20 malam.
"Saya memang terkejut arwah tiba-tiba berkelakuan begitu minggu lepas, namun tidak terlalu memikirkannya. Arwah minta maaf sehingga menangis-nangis, dan sempat berpesan untuk mengambil wang yang dipinjam oleh kawannya nanti.
“Arwah dan isterinya yang menetap di kuarters Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) di Bahau sering pulang ke rumah saya di Felda Palong 3,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jempol, di sini, semalam.
Mohd Zin berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak dan menantunya apabila dihubungi seseorang menggunakan telefon bimbit arwah.
“Selepas ini saya akan mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak arwah. Arwah seorang yang sangat mengambil berat terhadap keluarga dan kejadian ini merupakan ujian besar kerana anak-anaknya masih kecil tambahan pula sambutan Aidilfitri semakin hampir,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua jenazah yang meninggalkan empat cahaya mata perempuan berusia 9 hingga 17 tahun itu akan dikebumukian di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 3, di sini.
Sementara itu, Ketua polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Bahau menghala Rompin.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta jenis Proton Iswara dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh pasangan suami isteri terbabit.
“Pertembungan ini mengakibatkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat," katanya.
Hamzah berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengawal keselamatan maut

Pengawal keselamatan maut
Mayat mangsa ditutup dengan kain sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat. Gambar kecil: Syed Mahmud.
WARTAWAN SINAR HARIAN
KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya dari arah lampu isyarat Perodua ke Pasir Hor, dilanggar kenderaan jenis Toyota Hilux yang membuat pusingan U dalam kejadian, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa, Syed Mahmud Syah Jamal Syed,34, dipercayai baru pulang dari tempat kerjanya di Salor.
Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak daripada motosikalnya dan maut di tempat kejadian.
Saksi kejadian, Mohamad Ghani Mohamad Yunus berkata, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat ketika berada di luar rumah dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya cuba tolong penunggang motosikal yang parah dan pemandu kereta terbabit mengaku membuat pusingan U untuk membelok ke arah jalan bertentangan,” katanya.
Sementara itu ibu mangsa, Sharifah Ilias berkata, dia menerima panggilan daripada orang tidak dikenali mengenai kejadian tersebut.
“Makcik ada cuba hubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjawab.
“Kemudian makcik terima panggilan daripada nombor telefon bimbit anak makcik tapi orang lain yang melaporkan mengenai kejadian tersebut," katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Empat rakan maut kemalangan libat tiga kereta

kemalangan
9 Julai 2015
ALOR GAJAH - Empat rakan maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Jalan Bukit Putus, Tebong di sini petang tadi, kata polis.
  
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata ketiga-tiga mangsa iaitu Mohammad Isa Ismail, 27; Nurul Azwa Syareza Tuzri, 21; dan Nur Fazira Ahmad Man, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.
  
Beliau berkata seorang lagi mangsa iaitu Nur Haizam Mohd Zamri, 19, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tampin di Tampin, Negeri Sembilan pada jam 6.30 petang tadi.
  
"Dua lagi mangsa kemalangan itu yang masing-masing pemandu kedua-dua kereta tersebut tidak cedera," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang apabila kereta dipandu Mohammad Isa dan dinaiki tiga rakannya, Nurul Azwa Syareza, Nur Fazira dan Nur Haizam dari arah Tampin ke Gemencheh, Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Muhammad Ismail berkata kereta Proton Wira itu kemudian melanggar sebuah kereta Honda Accord sebelum melanggar sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.
  
Beliau berkata mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
  
"Ketiga-tiga kenderaan yang terlibat telah ditahan di Balai Trafik Alor Gajah, dan waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya. - Bernama