PETALING JAYA - Polis Selangor mengenal pasti 27 lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut yang perlu diberi lebih perhatian oleh para pemandu terutama pada musim perayaan.
Lokasi terbabit melibatkan tiga kawasan di Klang Selatan manakala masing-masing dua di Gombak, Hulu Selangor, Petaling Jaya, Subang Jaya, Sungai Buloh, Sabak Bernam, Klang Utara, Shah Alam, Kuala Langat dan Kuala Selangor serta masing-masing satu di Ampang Jaya, Kajang, Serdang, dan Sepang.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata bersempena sambutan Aildilfitri, pihaknya akan menempatkan 360 pegawai dan anggota untuk bertugas sepanjang Op Selamat berlangsung dengan tumpuan kepada 27 lokasi berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen Op Selamat 7/2015 peringkat Selangor di Tol Konsortium Expressway Shah Alam Selangor (Kesas) di Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Katanya sepanjang operasi yang bermula esok hingga 24 Julai, polis akan turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Persatuan Bulan Sabit Merah melalui usaha bersepadu "Emergency Response Team" (ERT).
Pada majlis itu, Pengerusi Kawasaki Motor Sdn Bhd Datuk Raja Hanippudin Raja Nong Chik menyerahkan sebanyak 20 unit payung kepada Polis Selangor untuk digunakan sepanjang Op Selamat berlangsung. - Bernama