Search This Blog

Wednesday, July 8, 2015

Datuk sedih kenangkan cucu dikerat

Datuk sedih kenangkan cucu dikerat
Wartawan cuba mendapatkan reaksi datuk kepada wanita itu semalam.

JITRA - Hanya linangan air mata dapat dilihat pada wajah datuk kepada seorang wanita yang menyembunyikan kelahiran dengan mengerat bayi sebelum membuangnya ke lubang tandas.

Lelaki berusia lingkungan 80-an bagaimanapun tidak banyak bercakap apabila ditanya wartawan mengenai kejadian itu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku,” demikian luahannya sambil kelihatan menitiskan air mata.

Walaupun keadaan kesihatannya kurang baik, beliau tetap mengesot perlahan-lahan dari dalam rumah untuk bertemu wartawan yang menunggu di luar.

Difahamkan, wanita berusia 30-an itu pernah bekerja di sebuah kedai pakaian dekat Pekan Jitra.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kediaman wanita terbabit dekat Kampung Tanjung, Mukim Binjal yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah datuknya pula tidak berpenghuni.

Berdasarkan maklumat jiran terdekat, wanita itu hanya tinggal berdua bersama ibunya di rumah tersebut setelah kematian bapanya.

Serang teman lelaki tidak mahu buat seks

Serang teman lelaki tidak mahu buat seks
Tabatha Lee Grooms

GEORGIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita didakwa menyerang teman lelakinya yang tidak mahu melakukan hubungan seks, dalam kejadian pada 24 Jun lepas.

Laporan Mirror mengatakan Tabatha Lee Grooms, 35, menyerang Carlos Rodrecus Grace, 30, dan ibu teman lelakinya, Betty Clark, 66.

Grace dilaporkan menolak permintaan hubungan seks dari Grooms beberapa jam sebelum kejadian.

Grooms dikatakan berada dalam keadaan mabuk ketika menyerang, mencakar muka, kepala dan leher Grace yang ketika itu sedang berehat di rumahnya.

Wanita tersebut akan didakwa kerana kesalahan menyerang dan keganasan domestik.

Beliau kini ditahan di sebuah penjara di Richmond.

Wanita mendakwa dibakar oleh polis

Wanita mendakwa dibakar oleh polis
Gambar hiasan

UTTAR PRADESH - INDIA. Seorang wanita maut selepas mendakwa dirinya dibakar akibat gagal memberikan rasuah kepada polis dalam kejadian Isnin lepas.

Menurut laporan BBC, Neetu Dwivedi, 40, yang meninggal dunia semalam memberitahu majistret sebelum itu bahawa dua orang pegawai polis meminta 100,000 rupee (RM5,990.26).

Beliau dibakar selepas gagal memberikan wang tersebut.

Bagaimanapun, pegawai polis yang dituduh mendakwa ia adalah fitnah dan wanita tersebut cuba membakar dirinya sendiri.

Pegawai polis tersebut kini digantung tugas.

Sementara itu, Menteri, Akhilesh Yadav memerintahkan kes tersebut disiasat.

Anak lelaki Dwivedi yang bekerja sebagai wartawan untuk surat khabar tempatan mahukan keadilan kerana 'ibunya hanya akan aman apabila pesalah dihukum'.

Bulan lepas, seorang wartawan, Jagendra Singh juga mendakwa dibakar oleh polis di Shahjahanpur.

Pemandu teksi diperintah bayar 3 'Gadis Myvi'

GAMBAR tiga 'Gadis MyVi' yang menjadi viral Mac lalu. Gambar kecil pemandu teksi, Azmi Mat Mokhtar.

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang pemandu teksi, Azmi Mat Mokhtar membayar kompaun berjumlah RM1,000 kepada tiga 'Gadis Myvi' yang dilanggarnya, Mac lalu.
Majistret Elyana Razali, turut memerintahkan bapa tiga gadis itu, Syed Fareid Yahya, 51, membayar kompaun berjumlah RM50 kepada Azmi, 54.
Keputusan itu diambil selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik berdasarkan terma yang dipersetujui bersama.
Pergaduhan antara Azmi dan 'Gadis Myvi', Sharifah Fara Difla, 28, Sharifah Fara Afzan, 27 dan Sharifah Fara Ryyana, 24, di Stesen Minyak Petron, Seksyen 7, dekat sini pada 29 Mac lalu, menjadi viral di laman sosial.

3 anggota polis cedera kereta bertembung ketika kejar suspek



KEADAAN kereta peronda polis yang remuk selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta peronda ketika mengejar kereta suspek yang lari daripada operasi sekatan jalan raya di Kilometer 68.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di Bidor, awal pagi tadi. - Foto Asrizal Aris


KEADAAN kereta peronda polis yang remuk selepas terbabas dan melanggar tiang. - Foto Asrizal Aris
BIDOR: Tiga anggota polis cedera, manakala seorang terselamat selepas dua kereta peronda yang mereka naiki bertembung sesama sendiri ketika mengejar kereta suspek yang lari daripada sekatan jalan raya di Kilometer 68.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi, Koperal Mohd Nizam Mat Min, 30, dan Lans Koperal Shazwi Johari, 28, dari Balai Polis Bidor sedang mengejar kereta suspek yang melarikan diri dari sekatan dengan melalui jalan alternatif menuju ke pekan ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata sebuah lagi kereta peronda dari Balai Polis Tapah datang dari arah pekan Bidor cuba menghalang kereta suspek namun berjaya dielak dan meloloskan diri.
"Pada masa sama, kereta polis Balai Bidor yang mengejar dari belakang kereta suspek tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta polis Balai Tapah yang berusaha menghalang kereta suspek dari arah hadapan.
"Kereta polis Balai Bidor melanggar bahagian belakang penjuru kiri kereta polis Balai Tapah menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar tiang," katanya.

Somsak berkata, dua anggota dari Balai Tapah mengalami kecederaan di belakang kepala dan dada sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
"Seorang anggota dari Balai Bidor cedera ringan di kaki dan mendapatkan rawatan di Hospital Tapah (HT) sebagai pesakit luar," katanya.

Bunuh isteri, teman wanita sebelum bunuh diri

Bunuh isteri, teman wanita sebelum bunuh diri
Anna dan Randy Moore

SOUTH CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki bertindak kejam dengan menembak mati isteri, anak serta teman wanitanya sebelum membunuh diri, kata pihak berkuasa.

Menurut jurucakap polis, Trent Faris, 55, yang dikenali sebagai Randy Moore menembak mati isterinya Anna Hubbard, 50 dan anak lelakinya Jason Lockamy, 31.

"Suspek turut membunuh teman wanitanya, Lora Kathryn Young, 31 dan motif pembunuhan masih belum dikenalpasti," katanya dalam satu sidang media yang dipetik BBC.

Trent menambah, pihaknya sedang menjalankan siasatan segera dan sedang menunggu laporan hasil bedah siasat.

Sementara itu, menurut salah seorang jiran, Randy baru sahaja berpindah ke kawasan rumah berkenaan.

Persiapan Aidilfitri musnah

Persiapan Aidilfitri musnah
Anggota bomba bertungkus-lumus cuba memadamkan kebakaran

GEORGETOWN - ”Aidilfitri tahun ini tidak bermakna lagi bagi kami sekeluarga kerana semua persiapan musnah terbakar," rintih mangsa kebakaran, Hayati Abu Hassan, 53, apabila rumah yang selama ini menjadi tempat dia bersama tujuh ahli keluarga yang lain termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) berteduh di Jalan Madrasah, Jelutong di sini hangus dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Hayati berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam bilik selepas menikmati hidangan berbuka puasa namun dikejutkan dengan jeritan daripada anak perempuannya dari luar.

“Anak saya mengetuk pintu dalam keadaan tergesa-gesa dan meminta saya keluar menyelamatkan diri. Sebaik pintu dibuka saya lihat api sudah marak di bahagian belakang rumah.

“Saya tak sempat untuk ambil apa-apa barang termasuk dokumen penting dan terus lari menyelamatkan diri," katanya.

Hayati berkata, segala persiapan untuk menyambut Aidilfitri sudah siap dilakukan keluarganya malah rumahnya itu juga baharu sahaja dicat semula.

Katanya, perabot serta beberapa kelengkapan rumah lain seperti televisyen, katil dan dapur memasak yang baharu dibeli beberapa bulan lalu turut gagal diselamatkan.

“Saya reda dengan ujian yang terpaksa kami tempuhi ini dan bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yamin Tekor berkata, lapan jentera bomba termasuk daripada pasukan bomba sukarela dikerahkan untuk memadam kebakaran dan api berjaya dikawal dalam masa 15 minit.

“Ketika bomba tiba di lokasi kejadian, api sedang marak berikutan rumah yang terbakar itu adalah rumah kayu.

“Namun tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran berjaya menghalang api daripada terus merebak ke rumah berdekatan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 9.57 malam," katanya.

Simpati dengan nasib yang dihadapi mangsa, Umno Bahagian Jelutong antara yang terawal tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Ketuanya, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memberi bantuan yang diperlukan keluarga terbabit untuk meringankan beban mereka.

Katanya, Umno Jelutong juga akan menyalurkan bantuan makanan untuk ahli keluarga berkenaan bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Taktik layan diri terbongkar

Taktik layan diri terbongkar
Seorang wanita memberi alasan sedang menunggu suaminya mengerjakan sawah sambil berehat di bawah pokok mangga

SUNGAI PETANI – Tindakan menyembunyikan perniagaan makanan dalam sebuah rumah bagaimanapun terbongkar apabila diserbu penguatkuasa agama.

Ketua Operasi Penguatkuasa Agama Daerah Yan, Mohamad Tarmizi A Karim berkata, bertindak atas maklumat, empat anggota penguatkuasa agama dibantu empat kakitangan Majlis Daerah Yan melakukan serbuan ke beberapa lokasi dikenal pasti.

Menurutnya, beberapa peniaga yang menggunakan taktik menjual dalam rumah bagaimanapun tidak berjaya menyembunyikan perniagaan mereka apabila dihidu pasukan penguatkuasa.

“Lokasi pertama operasi yang bermula pada jam 11 pagi bertumpu ke sebuah rumah di Kampung Sedaka,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke dalam rumah terbabit mendapati beberapa lauk-pauk serta minuman sudah disediakan peniaga selain melekatkan tanda ‘Layan Diri’ di dinding yang ditujukan khas buat pelanggan.

Katanya, kedudukan rumah itu yang terselindung di sebalik kilang padi memudahkan operasi perniagaan dijalankan selain kemudahan kerusi dan meja di bawah pokok mangga disediakan dipercayai digunakan pelanggan.

“Seorang penjual wanita berumur 40-an didapati berada dalam premis ini selain dua pelanggan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit yang terlebih dahulu menyedari kehadiran penguatkuasa melarikan diri ke arah sawah padi,” katanya.

Manakala, wanita itu yang sedang berehat di bawah pokok hanya sempat memberi alasan sedang menunggu kepulangan suaminya yang mengerjakan sawah padi.

Sementara itu, pasukan penguatkuasa meneruskan operasi ke Kampung Batu 18, Guar Chempedak di mana seorang wanita turut menjalankan perniagaan dari rumah.

Semasa didekati, didapati peniaga terbabit dilihat sedang membungkus makanan sebelum dijual kepada pelanggan.

“Operasi kemudian diteruskan ke sebuah rumah di Pekan Sungai Limau yang turut menyediakan makanan untuk kaki ponteng puasa.

“Antara alasan yang diberikan, mereka menerima tempahan dari tauke bukan Islam,” dakwanya.

Menurut Mohamad Tarmizi, kesemua mereka diberikan amaran lisan dan nasihat supaya tidak memulakan perniagaan sebelum jam 3 petang, sekiranya masih gagal, tindakan undang-undang boleh dikenakan.

Sekiranya didapati bersalah, hukuman boleh dikenakan mengikut Seksyen 14(a) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 iaitu mana-mana individu yang menjual kepada orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau seumpamanya sepanjang Ramadan adalah
menjadi kesalahan.

Hukuman denda tak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama boleh dikenakan.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah.

2 maut pesawat F-16, Cessna bertembung di Carolina Utara



ANGGOTA polis Charleston Utara ketika operasi mencari bangkai pesawat di sekitar tasik di Moncks Corner. - Foto EPA
WASHINGTON: Dua maut selepas pesawat pejuang F-16 bertembung dengan pesawat ringan Cessna di Carolina Utara dengan sisa bangkai pesawat berselerakan di kawasan yang besar.
Nahas udara itu berlaku pada lewat pagi waktu tempatan di 20 kilometer di utara Charleston, demikian disahkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Angkatan Udara Amerika Syarikat mengenal pasti juruterbang F-16 yang terbabit adalah Mejar Aaron Johnson, yang berpangkalan di Shaw Air Force Base.
Media tempatan melaporkan Johnson - juruterbang F-16 sejak 2005, yang dipetik menerusi laman sosial LinkedIn menerima amaran sebelum sempat menekan kerusi anjal pesawat.
Jurucakap Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) di Washington memberitahu AFP bahawa kedua-dua orang yang berada di dalam pesawat satu enjin Cessna 150 itu bagaimanapun terbunuh.
Identiti mereka belum dikeluarkan lagi oleh pihak berkuasa.
Sisa bangkai pesawat berselerakan berdekatan pekan tasik Moncks Corner , di mana penduduk tempatan memberitahu media tempatan bahawa mereka melihat 'bola api' dari udara.
Lokasi nahas berdekatan dengan satu lapangan terbang awam kecil di Carolina Utara yang dilaporkan menjadi kawasan operasi tentera di mana pesawat melakukan latihan penerbangan. - AFP

25 maut serangan bom nekad di utara Nigeria

ANGGOTA penyelamat dibantu agensi keselamatan memeriksa lokasi serangan pengebom nekad di pejabat kerajaan, utara Nigeria, semalam. - Foto EPA

KANO: Sekurang-kurangnya 25 maut dalam serangan pengebom nekad yang menceroboh pejabat kerajaan di utara Nigeria, semalam.
Serangan yang disyaki dilakukan kumpulan Islam Boko Haram berlaku di Bandar Zaria, kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan ketika guru sekolah rendah dan pekerja awam sedang berbaris untuk pemeriksaan keselamatan sebelum memasuki bangunan.
"Bahan letupan dipercayai dibawa oleh pengebom berani mati yang mengorbankan 25 orang termasuk dua kanak-kanak," kata Gabenor Negeri Kaduna, Nasir El-Rufai.
El-Rufai dalam posting akaun Facebooknya berkata, seramai 32 lagi cedera dan mereka sedang dirawat di hospital.
Bandar Zaria, yang kebanyakannya didiami penduduk Islam terletak kira-kira 75 kilometer di utara ibu negeri Kaduna yang juga berdekatan sempadan antara Katsina dan Kano.
Dalam kejadian berasingan, saksi berkata seorang pengebom nekad wanita meletupkan dirinya berdekatan pusat pemeriksaan tentera di Negeri Borno yang mengorbankan empat orang.
Serangan berlaku di perkampungan Sabon Gari, kira-kira 110 kilometer dari Maiduguri. - AFP

Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran

Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran
Kesan kemusnahan kebakaran melibatkan dua rumah dan mengorbankan empat sekeluarga di Kampung Lot M dekat sini malam tadi. - Foto Bernama
7 Julai 2015
KINABATANGAN - Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran memusnahkan dua rumah di Kampung Lot M dekat sini, malam tadi.
  
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supritenden A. Sahak Rahmat berkata empat mangsa terdiri dari seorang ibu bersama anak lelaki dan dua cucunya.
  
Katanya mangsa dikenali sebagai Lidia Binti Ibiti 55, anak lelakinya Sudirman Bin Ladising, 38, dan dua cucunya, Mohd Syawal, 4, anak kepada Sudirman dan Yuyu, 2, anak kepada Dahlia Binti Ladising.
  
Dahlia, 33, bersama bayi perempuannya berusia dua bulan, adik kepada Yuyu terselamat dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu.

Kesemua mayat mangsa ditemui di dalam sebuah bilik dan kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

A.Sahak berkata 17 penghuni di sebuah lagi rumah sempat menyelamatkan diri. Dalam pada itu, Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata sebuah jentera bersama 17 anggota diketuai Ketua Operasi Rosemidian Majid dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam.
  
Katanya setibanya bomba di tempat kejadian enam minit kemudian, api sudah merebak di dua rumah yang terletak berhampiran.
  
Katanya operasi memadam api tamat pasa jam 3.10 pagi dan menemui empat mayat yang rentung terbakar dari salah sebuah rumah terlibat.
  
Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.   
  
Sementara itu, Anuar Badang, 66, bersyukur kerana isteri, tiga anaknya serta 12 cucu terselamat dalam kebakaran itu.
  
Dia dan keluarga kini tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran itu memusnahkan semua dokumen peribadi serta kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti baju dan biskut raya.
  
"Kami reda dengan kejadian ini dan menganggapnya sebagai dugaan pada bulan Ramadan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu hari ini.
  
Anuar berkata ketika kejadian, dia sedang minum di dapur dan isterinya menyedari kebakaran itu selepas melihat api marak di rumah jiran mereka.
  
"Kami segera membangunkan anak-anak dan cucu-cucu yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri. Api merebak dengan cepat, kami gagal menyelamatkan apa-apa barang dari rumah," katanya yang tinggal di kampung itu sejak tahun 1970-an lagi.
  
Buat masa ini, dia sekeluarga tinggal di khemah sementara yang didirikan di kawasan belakang rumah mereka. - Bernama

14 pelajar tunjuk perasaan dibebaskan

14 pelajar tunjuk perasaan dibebaskan
Penyokong memegang gambar pelajar ditahan di luar mahkamah tentera.

BANGKOK - THAILAND. Sebuah mahkamah tentera Thailand semalam membebaskan 14 pelajar selepas ditahan selama hampir dua minggu kerana menyertai tunjuk perasaan antirampasan, tetapi tidak menggugurkan tuduhan ke atas mereka.
Sejak beberapa hari lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan protes awam diadakan di seluruh negara sebagai menunjukkan sokongan bagi menuntut pembebasan mereka.
Peguam yang mewakili pelajar, Kisadang Nutjarat berkata, polis meminta melanjutkan penahanan mereka tetapi hari ini (semalam) mahkamah menolak permohonan berkenaan.
"Mereka dibebaskan dari penjara tanpa syarat dan tiada jaminan. Tapi tuduhan ke atas mereka tidak digugurkan," katanya kepada Reuters.
Kesemua pelajar ditahan adalah sebahagian daripada gabungan kumpulan universiti dari seluruh Thailand yang menyertai demonstrasi jalanan di ibu negara bagi menentang pemerintahan junta, iaitu Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO).
Mereka ditahan bulan lalu dan didakwa atas tuduhan hasutan.

Gempa sederhana landa pantai barat Sumatera Utara

RABU, 8 JULAI 2015 @ 10:28 AM


KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada 8.38 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, berkata pusat gempa adalah di 94km dari barat daya Banda Acheh, Indonesia dan 596km dari barat daya Langkawi, Kedah.

Gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.

- BERNAMA

Penyamaran SPAD Berjaya Perangkap Pemandu Teksi Sapu


Che Hasni bersama anggota SPAD melakukan pemeriksaan Ops Tegas Banteras Aktiviti Teksi Sapu di sekitar George Town, Selasa.

Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 4:08 PM
GEORGE TOWN: Teknik penyamaran oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berjaya menahan tiga teksi sapu serta dua teksi berdaftar dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dekat sini, Selasa.
Operasi selama empat jam bermula pukul tujuh pagi itu diketuai oleh Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara, Ahmad Zaidi Shuib berserta 30 kakitangan SPAD dan lapan anggota polis.
Ketua Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata sebelum operasi dijalankan pihaknya telah membuat identification diary untuk mengenalpasti pemilik teksi sapu itu.
Kita telah membuat semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mengenalpasti kenderaan serta lokasi kegiatan itu dijalankan," katanya kepada pemberita selepas operasi Ops Tegas Banteras Aktiviti Teksi Sapu.
Che Hasni berkata, teksi sapu itu disita kerana tidak mempunyai permit perkhidmatan daripada SPAD manakala teksi berdaftar ditahan kerana mengambil penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
Katanya pemandu teksi sapu itu kemudian ditahan untuk memberi keterangan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.
Beliau berkata akibat daripada kegiatan itu ia memberi kesan kepada periuk nasi pemandu teksi yang berdaftar dengan SPAD selain memberi tanggapan negatif kepada pelancong.
Dalam pada itu Che Hasni turut menasihatkan orang awam agar tidak menggunakan khidmat teksi sapu kerana perkhidmatan teksi berkenaan tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans. -- Bernama

Wanita Dibaham Buaya Ketika Menangkap Ikan Di Saratok


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 2:31 PM

SIBU: Seorang wanita maut selepas beliau dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ikan di Sungai Krian, Saratok petang Isnin.
Mangsa, Bera Aun, 46 dari Rumah Panjang Minggu dipercayai hilang kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Lee Thai Lien yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan pada 5.04 petang dan memaklumkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dan Jabatan Pertahanan Awam bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat beserta penduduk kampung di lokasi satu km dari tempat kejadian pada kira-kira 7 malam.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Saratok.
Serangan buaya sering dilaporkan berlaku di Sungai Krian dan anak sungainya yang terkenal sebagai tempat memancing udang.
Pada Jun tahun lepas, seorang remaja lelaki Telecson Ancharang, 13 terselamat daripada serangan reptilia itu sewaktu memancing udang bersama pakciknya Ngelambong Chundai di Sungai Supa, Senyawan, Krian.
Mangsa mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya. -- Bernama

Anggota Polis Cedera Kereta Peronda Berlanggar Sesama Sendiri Ketika Kejar Suspek


Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 11:50 AM

TAPAH: Tiga anggota polis cedera selepas kereta peronda yang dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan ketika mengejar suspek di KM68.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Bidor.

Difahamkan, suspek telah melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan polis bertindak mengejarnya.

Sebuah lagi kereta polis dari arah bertentangan cuba menghalang kereta suspek dengan memberhentikan kereta di tengah-tengah jalan raya.

Suspek bagaimanapun berjaya mengelak dan melarikan diri. Kereta polis yang mengejar suspek tidak dapat mengelakkan daripada merempuh kereta rakannya dekat masjid Bidor pada pukul 1 pagi.

Anggota polis yang cedera telah dibawa ke hospital oleh mereka yang lalu di tempat kejadian.

Indonesia Tahan Bot Nelayan Malaysia


Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 11:54 AM
Gede Ariawan menunjukkan hasil tangkapan ikan yang dilakukan bot pukat tunda Malaysia yang didakwa menceroboh perairan Indonesia.

NUNUKAN: Bot pukat tunda milik rakyat Malaysia ditahan kerana didakwa menceroboh perairan Indonesia untuk menangkap ikan secara haram.
Tentera laut Indonesia menahan bot itu di perairan Ambalat ketika menangkap ikan bersama dua lagi bot pukat tunda yang juga dipercayai dari Malaysia.
Komander Armada Timur Tentera Laut Indonesia, Gede Ariawan berkata, dua bot lagi sempat melarikan diri dengan memasuki perairan Malaysia apabila menyedari kehadiran kapal tentera laut Indonesia.
“Sebuah lagi bot tidak sempat melarikan diri kerana sedang menarik pukat yang dipasang,” katanya.
Menurut Gede, bot yang ditahan itu menggunakan nombor pendaftaran TW 3550/6/F dan dimiliki warga Malaysia yang dikenali sebagai Wong Min Hon.
“Ketika ditahan bot ini sudah menangkap ikan pelbagai jenis seberat 10 tan.
“Kapten dan anak kapal bot adalah warga Indonesia,” katanya.
Seorang anak kapal yang dikenali sebagai Tomy berkata, ini kali kedua bot itu memasuki perairan Indonesia untuk menangkap ikan.
Indonesia mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara itu, termasuk menenggelamkan bot nelayan asing yang ditangkap

Bumbung rumah pusaka ‘hilang’ sekelip mata

Bumbung rumah pusaka ‘hilang’ sekelip mata
Mangsa ribut Siti Marian Abd Rahman, 58, melihat keadaan rumahnya yang rosak teruk pada bahagian bumbung di Kampung Alor Mengkudu Dalam hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Sebanyak 49 buah rumah di tiga kawasan perumahan sekitar bandar raya ini rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian awal pagi tadi.
  
Kejadian jam 3 pagi itu mengakibatkan 179 menjadi mangsa, melibatkan 22 rumah di Kampung Alor Mengkudu Dalam, 22 rumah di Taman Budiman dan lima buah rumah di Taman Gunung Bongsu dalam daerah Kota Setar.
  
Seorang mangsa, Che Som Abu Seman, 61, dari Kampung Alor Mengkudu Dalam berkata, ketika kejadian dia berada di ruang solat berhampiran dapur semasa bersiap-sedia menunaikan solat sunat tahajud.
  
Katanya dia terdengar bunyi angin kuat yang mengangkat keseluruhan bumbung rumah pusaka lebih 60 tahun itu dalam sekelip mata.
  
"Masa tu saya dan anak perempuan ada dalam rumah. Masa kejadian mak cik kaku dan hanya duduk atas tikar sembahyang sahaja sehingga anak panggil untuk keluar bagi selamatkan diri," kata Che Som ketika ditemui di sini, hari ini.
  
Ibu tunggal empat anak itu bersyukur kerana beliau dan anak perempuannya terselamat, tetapi buntu memikirkan soal tempat tinggal untuk cucunya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
  
Che Som yang turut membuat kuih raya berkata kesemua kuih raya tradisional yang dibuatnya sebelum ini selamat kerana telah dibungkus dengan baik dan tidak rosak selepas terkena air hujan.
  
Seorang lagi mangsa, Siti Mariam Abd Rahman, 58, berkata mereka sekeluarga tidak sempat bersahur awal pagi tadi selepas makanan dilimpahi air hujan selepas bumbung rumah mereka di bahagian dapur rosak teruk akibat ribut.
  
Dia berkata, dua anak perempuannya berumur 25 dan 28 tahun yang tidur dalam bilik atas rumah hampir terperangkap dan terkena serpihan bumbung ketika kejadian itu berlaku.
  
Katanya, mereka sekeluarga tidak akan berpindah dan tetap tinggal di rumah itu walaupun dalam keadaan basah selepas hujan lebat turun sehingga bumbung rumah mereka dibaiki semula.
  
"Kami harap pihak bertanggungjawab akan menyegerakan proses membaiki bumbung rumah yang terjejas sebelum kedatangan Aidilfitri. Kami harap dapat sambut Aidilfitri dengan sempurna," katanya. - Bernama

Hati-hati jika terima e-mel dari TNB

TNB

SHAH ALAM – Orang ramai diminta berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penipuan skim menggunakan platform Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang disebarkan menerusi kiriman e-mel.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, pihaknya tidak menawarkan hadiah eksklusif seperti yang dinyatakan dalam e-mel palsu berkenaan.

“Jangan terpedaya dengan e-mel yang kononnya dikirim oleh TNB, yang memaklumkan penerima emel berkenaan berjaya memenangi wang tunai RM150,000.

“E-mel sebegini bukanlah yang pertama kali mendapat perhatian TNB.  Aduan telah pun dibuat untuk tindakan lanjut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya ,ia merupakan penipuan e-mel yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk mencuri maklumat peribadi.

“Semua komunikasi melalui e-mel oleh TNB dibuat menggunakan alamat e-mel syarikat dan tidak menggunakan alamat e-mel seperti gmail, yahoo, hotmail, outlook.my dan sebagainya,” katanya lagi.

Sehubungan itu,  beliau menasihatkan orang ramai mengabaikan e-mel berkenaan dan tidak mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada pihak yang tidak dikenali.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi TNB Careline di 1 300 88 5454 atau di laman Facebook TNB Careline.

Helah pelukis batik terbongkar

Helah pelukis batik terbongkar
Mazlan tengah menunjukkan sebahagian dadah jenis pil kuda yang berjaya dirampas dalam serbuan.

KOTA BHARU - Seorang pelukis batik sanggup berselindung di sebalik kerjayanya itu bagi mendapatkan keuntungan lebih dengan menjual beli dadah untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Namun kegiatannya terbongkar selepas diserbu pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sebuah rumah di Lembah Sirih di sini pagi semalam.

Dalam serbuan jam 4.15 pagi itu, suspek turut ditahan bersama 4,000 dadah jenis pil kuda yang bernilai RM92,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pemuda berusia 20 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak dua tahun lalu.

“Dia baru sahaja terlibat dalam kegiatan ini dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah untuk dipasarkan sekitar kawasan Kota Bharu.

“Ini merupakan rampasan yang menunjukkan kejayaan polis Kelantan hanya dalam ops sehari kita berjaya mendapatkan rampasan yang banyak," katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) di sini semalam.

Mazlan berkata, pemuda berkenaan merupakan antara 135 yang ditahan dalam Ops Tapis dan Ops Sarang Bersepadu yang bermula malam kelmarin dan berakhir semalam.

Daripada 135 yang ditahan, tiga adalah  wanita manakala selebihnya lelaki. Dalam operasoi itu juga, polis turut menyerbu kawasan dikenal pasti sebagai sarang  dadah atas aduan dan maklumat awam.

“Kita turut menumpukan tiga kawasan utama termasuk Wakaf Che Yeh, Kampung Sabak Pengkalan Chepa dan Padang Renggas di Machang,” katanya.

Lelaki ditemui maut dipercayai terjun bangunan

jatuh bangunan

KUANTAN - Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan maut selepas nekad terjun dari bangunan enam tingkat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang mangsa yang berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Kurnia, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, kejadian disedari kakitangan hospital berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa datang ke hospital untuk menerima rawatan susulan akibat kemurungan kerana dipercayai putus tunang tiga bulan lalu.

“Tiada saksi ketika kejadian  malah belum dapat dipastikan aras mana mangsa bertindak terjun,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci termasuk mengambil maklumat daripada saksi kejadian untuk tindakan susulan.

Kerat, buang zuriat dalam lubang tandas

Jitra: Mayat bayi dikerat enam ditemui di dalam tangki najis rumah di Kampung Manggol, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, susulan penemuan itu, ibu bayi terbabit berusia 31 tahun ditahan.
Katanya, wanita terbabit melakukan perbuatan keji itu, semalam.
“Pada mulanya dia mengadu sakit pinggang ketika berada di rumah datuknya menyebabkan ahli keluarga menghantarnya ke klinik untuk menerima rawatan. Doktor kemudian memberitahu dia hanya mengalami masalah angin dan kurang gula dalam darah sebelum memberinya ubat.
"Wanita itu kemudian pulang ke rumah sebelum tidur. Bagaimanapun dia terjaga pada 1 petang mengadu sakit perut sebelum ke tandas. Dia hanya keluar sejam kemudian selepas melahirkan anaknya di dalam tandas dan tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga," katanya.
Menurut Abd Rahim, mangsa mengalami pendarahan pada kesokan harinya dan disedari keluarga yang menghantarnya ke Hospital Jitra pada 1.45 petang tadi.
"Doktor yang merawatnya kemudian mendapati ada kesan koyakan di kemaluan sebelum mangsa mengaku melahirkan anak dan membuangnya di dalam tong sampah.
“Polis yang menerima maklumat itu menjalankan siasatan sebelum mangsa mengaku membuang bayinya yang dikerat enam dipercayai menggunakan senjata tajam ke dalam lubang tandas," katanya.
Abd Rahim berkata, anggota polis kemudian ke lokasi kejadian dan menemui beberapa tubuh bayi yang dikerat di dalam tangkis najis dan ada beberapa bahagian tubuh yang masih belum dijumpai.
"Wanita itu ditahan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana berlaku pendarahan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:25 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62757#sthash.ITjhtkq5.dpuf

Ribut 3 pagi

Alor Setar: Kira-kira 22 rumah rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian di Kampung Alor Mengkudu Dalam, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 3 pagi itu, lapan daripadanya rosak teruk manakala selebihnya mengalami kerosakan pada bumbung yang diterbangkan angin.
Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan penduduk sedang tidur dan ada yang sedang melakukan persiapan untuk bersahur.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Alor Mengkudu Dalam Shuib Abd Rahman berkata, kebanyakan mangsa masih tinggal di rumah dan ada yang terpaksa menumpang di rumah sanak saudara.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kerugian akibat kerosakan akibat kejadian dianggarkan melebihi RM100,000.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 1:12 PM


Antara rumah yang dipukul ribut. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62686#sthash.JVZsRk36.dpuf

10 anggota Geng Lebam ditahan

Shafien (tengah) menunjukkan motosikal yang dirampas polis. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Shah Alam: Polis menahan 10 lelaki anggota Geng Lebam yang aktif melakukan jenayah curi motosikal di sekitar daerah ini dalam beberapa tangkapan bermula 24 Jun hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dengan penahanan suspek berusia 18 hingga 25 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 38 kes curi motosikal di daerah ini.
Katanya, Lima motosikal dan tujuh rangka motosikal turut ditemui dalam serbuan di beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan Tanah Merah, Kelantan yang dianggarkan bernilai RM25,000.
"Suspek akan menjual motosikal yang dicuri dengan harga yang rendah selain meleraikan komponen motosikal untuk dijual kepada individu tertentu.
"Sebahagian daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan," katanya pada
sidang media, petang tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 3:51 PM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62701#sthash.tRRrU6El.dpuf

Panggil papa dan mama ketika tidur

Amira sering mengigau dan terbawa-bawa bayangan insiden yang menimpa ibu bapa dan adik perempuannya. FOTO Gambar fail NSTP
Kuala Lumpur: Kehilangan ibu bapa secara mengejut akibat kemalangan dua bulan lalu masih menjadi igauan kepada Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, yang kini terpaksa menyambut Aidilfitri hanya dengan adiknya, Nur Firuza Aqila, 4.
Bapanya, Fairuz Nizam Husain adalah mangsa kemalangan yang maut bersama isteri dan bayi perempuan mereka dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 6.2 Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini pada 2 Mei lalu.
Ibu saudara mereka, Izzat Hasif, 30, berkata, lebih menyedihkan Nur Firuza Amira selalu mengigau dan terbawa-bawa bayangan insiden yang menimpa ibu bapa dan adik perempuannya itu dalam tidurnya.
"Amira (Nur Firuza Amira) akan memanggil papa dan mama ketika tidur.
"Sebak saya mendengar apabila Amira menyebut nama arwah, saya berharap dia tabah menghadapi dugaan ini," katanya kepada Bernama.
Perjalanan kehidupan dua kanak-kanak itu masih banyak likunya selain mereka kehilangan tempat berteduh daripada Fairuz Nizam, 35, ibu mereka Nova Safitri Azhari, 25, dan adik bongsu, Nur Firuza Annisa yang berusia tujuh bulan.
Izzat berkata, keadaan kedua-dua beradik berada dalam keadaan baik dan sihat.
Beliau berkata kini Amira dan adiknya diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka iaitu Yusnida Wan Hussain, kakak kepada arwah Fairuz Nizam dan mereka dijaga di rumah nenek mereka di Taman Batu Muda, Gombak.
Menurutnya, segala kebajikan dan keperluan persekolahan Amira dijaga dengan baik dan diuruskan oleh ibu saudara mereka. "Dari segi pergaulan Amira dengan keluarga dan rakan-rakannya di sekolah tiada masalah dan berjalan lancar, jika tidak sebelum ini dia banyak mendiamkan diri," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:39 PM




- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62738#sthash.vhQdNoeA.dpuf