Search This Blog

Tuesday, July 7, 2015

Surau terbakar punca daripada pendawaian stor

KLANG: Sekumpulan jemaah yang sedang menunaikan solat Maghrib di Surau Al-Firdaus, di Jalan Raya Barat Tepi Sungai, di sini, terkejut selepas stor di surau berkenaan terbakar, malam tadi.
Ketika kejadian, seramai 15 jemaah yang sedang solat terhidu bau asap sebelum ternampak percikan api pada pendawaian di bilik stor berkenaan.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata jemaah surau berkenaan cuba memadamkan api, namun api marak dengan cepat sehingga ke bahagian bumbung.
"Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan telefon pada jam 8.01 malam dan jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8.05 malam. Kebakaran berjaya dipadamkan tidak lama kemudian," katanya.
Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan 75 peratus surau berkenaan dan kerugian dianggarkan sebanyak RM500,000. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
API marak menyambar stor di Surau Al-Firdaus, Klang terbakar, malam tadi.

Wanita hilang dikhuatiri dibaham buaya


SARATOK: Seorang wanita hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika menangkap udang di Sungai Krian, di sini, petang tadi.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Bera Aun, 46, dari Rumah Panjang Minggu Kranggu, Krian di sini berseorangan ketika kejadian.
Balai Bomba dan Penyelamat Saratok menerima panggilan jam 5.07 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan kira-kira jam 5.30 petang.
Bagaimanapun operasi terpaksa ditangguhkan jam 6.05 petang berikutan cuaca gelap.
Difahamkan, operasi SAR akan disambung semula jam 7 pagi esok dengan pencarian bertumpu di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Sungai Krian, Saratok.

2 pelajar maut motosikal dirempuh kereta


ORANG ramai memerhatikan kemalangan yang berlaku berhampiran SMK Seri Inas, di Kuala Ketil, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
BALING: Dua pelajar sekolah maut, manakala seorang wanita parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Inas, di Kuala Ketil, pagi tadi.
Ketika nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, kedua-dua pelajar berusia 14 tahun itu dalam perjalanan ke SMK Seri Inas apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah PROTON Wira dipandu seorang lelaki di Jalan Kejau-Malau, tidak jauh dari sekolah berkenaan.
Difahamkan, pemandu kereta terbabit hilang kawalan lalu merempuh dua motosikal, masing-masing dinaiki dua mangsa dan seorang wanita.

KEADAAN motosikal selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran SMK Seri Inas, di Kuala Ketil, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
Jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi dan mendapati dua pelajar sekolah yang juga penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian, manakala wanita yang menunggang sebuah lagi motosikal yang dirempuh cedera parah.
Katanya, turut cedera parah ialah lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga pemandu kereta terbabit.
"Mayat dua pelajar terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut," katanya.

Budak main mercun bola cedera di muka, tangan



MUHAMMAD Hanif cedera di muka dan tangan akibat bermain mercun bola kini dirawat di Hospital Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, cedera di muka dan tangan akibat bermain mercun bola di rumahnya di Tasek Gelugor kira-kira jam 2 petang, semalam.
Ibu mangsa, Suraya Mad Desa, 40, berkata anaknya, Muhamad Hanif Mohd Rozaimi dikatakan terjumpa beberapa biji mercun bola ketika pulang sekolah, sebelum membakarnya di perkarangan rumah.
"Selepas terdengar bunyi dentuman saya dengar anak meraung kesakitan dan dalam keadaan panik saya bergegas mendapatkannya sebelum membawa Muhamad Hanif ke Hospital Kepala Batas.
"Bagaimanapun, dia dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan mengalami kecederaan sebanyak tiga peratus pada muka dan tangan, " katanya.

Gempa bumi lemah 2.6 Richter landa Ranau pagi ini


SELASA, 7 JULAI 2015 @ 11:16 AM
KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 2.6 pada skala Richter melanda Ranau, Sabah pada 9.26 pagi ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan, pusat gempa terletak di enam darjah utara dan 116.6 darjah timur, 12km barat laut dari Ranau.
"Gegaran dirasai di Ranau," kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia kini memantau perkembangan dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan. Pada 5 Jun lalu, Ranau digegarkan dengan gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter dengan meragut 18 nyawa pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu. - BERNAMA

Lebih 30 maut serangan terbaharu di utara Nigeria

LAGOS: Sekurang-kurangnya 30 terbunuh dalam serangan terbaharu seorang lelaki bersenjata tidak dikenali di Birnin-Magaji, Zamfara, barat laut Nigeria hari ini.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Muhammad Gusami, yang mengesahkan jumlah korban itu berkata serangan berlaku di perkampungan Kokeya dan Chigama.
Beliau berkata, lelaki bersenjata itu memasuki perkampungan Kokeya menggunakan motosikal dan membunuh dua penduduk serta membakar beberapa rumah dan ternakan penduduk.
Penyerang sama dikatakan muncul semula beberapa hari selepas itu di perkampungan jiran di Chigama dan membunuh lebih 30 orang yang mayat mereka masih ditemui di sekitar kawasan belukar.
Gusami berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Besar Birnin-Magaji.
Sementara itu, jurucakap polis Zamfara, Sanusi Amiru, berkata pasukan polis dan tentera sudah dikerah ke kawasan kejadian untuk menyiasat lebih lanjut.
Polis Negeri Yobe hari ini mengesahkan enam orang disahkan maut dalam satu serangan bom nekad di sebuah gereja di bandar komersial, Potiskum.
Mereka yang maut termasuk pengebom berani mati berkenaan, Toyin Gbadegesin, demikian menurut polis yang dipetik agensi berita Xinhua.
Penyerang meletupkan bom yang dipasang di badannya di Gereja Redeem di Jigawa, menyebabkan lima mati serta-merta di tempat kejadian. - AFP

Dua letupan gegar bandar Jos, Nigeria - Polis

"Saya mengesahkan terdapat dua letupan menimpa Jos petang ini. Kejadian pertama berlaku di sebuah tempat letak motosikal di Bauchi, manakala kejadian kedua di berhampiran masjid di Yantaya," kata jurucakap polis Negeri Plateau, Abuh Emmanuel.
Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada terdapat kehilangan nyawa dalam kejadian itu namun anggota polis sudah dikerah ke tempat kejadian. - AFP
ORANG ramai melihat keadaan bangunan yang musnah dalam serangan berani mati di Potiskum, Nigeria, semalam. - Foto AP

Geng curi lembu bunuh 37 penduduk di Nigeria


KANO, Nigeria: Geng bersenjata yang dipercayai pencuri lembu membunuh sekurang-kurangnya 37 orang di sebuah kampung dalam negeri Zamfara, di utara Nigeria.
"Kumpulan itu membunuh 37 orang di Kampung Cigama tidak lama selepas menyerang Kampung Kokeya di mana mereka bunuh dua orang," kata penghulu di daerah itu, Muhammad Bala Gusami mengenai kejadian itu pada Sabtu.
Gusami, berkata kira-kira 50 lelaki bersenjata terbabit dalam serangan itu dan mereka menembak sesuka hati.
Katanya, beberapa rumah penduduk turut dibakar dan sekawan lembu turut dicuri.
Negeri Zamfara sudah menyaksikan banyak kejadian serangan dan mencuri lembu, menyebabkan penduduk terpaksa menubuhkan pasukan pengawal kampung untuk mempertahankan diri daripada kumpulan perompak.
Bagaimanapun, pasukan pengawal kampung pula dikatakan membuat pembunuhan sembrono terhadap mereka yang dituduh perompak.
Sebagai tindak balas, geng bermotosikal akan menyerbu kampung-kampung bagi membalas dendam pembunuhan rakan mereka.
Pada Februari tahun lalu, 20 terbunuh dalam serangan sedemikian di beberapa kampung sekitar Cigama. - AFP

Tentera dikerah bantu padam kebakaran hutan di Kanada

SELASA, 7 JULAI 2015 @ 9:39 AM

VANCOUVER: Pihak berkuasa Kanada mengerahkan pasukan tentera untuk membantu bomba dalam memadam beberapa kebakaran hutan yang sehingga kini memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Kementerian Pertahan berkata, lebih 1,400 anggota tentera termasuk bahagian pemadam api sudah kini bersiap sedia untuk dihantar ke wilayah tengah Saskatchewan di mana lebih 13,000 penduduk dipindahkan dari rumah mereka.
Bandar pantai barat Vancouver kini dilanda kepulan asap tebal dan amaran sudah dikeluarkan berhubung beberapa kawasan hutan terbakar di wilayah British Columbia yang mungkin merebak ke Vancouver.
Orang ramai yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan agar berada di dalam rumah dan tempat tertutup bagi mengelak menyedut asap.
Sepanjang tahun ini, 565 kebakaran hutan dilaporkan, jumlah tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada 13,000 penduduk yang dipindahkan dari Saskatchewan, kira-kira 5,000 daripada mereka beralih ke wilayah berjiran, Alberta. - AFP




ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran hutan di Kanada. - Foto Reuters

Filipina Sahkan Kes Kedua MERS


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 5:16 PM

MANILA: Filipina pada Isnin mengesahkan kes kedua bagi virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) berlaku di negara itu selepas seorang lelaki menunjukkan simptom penyakit tersebut selepas tiba di Manila dari Dubai pada bulan lalu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Lyndon Lee-suy berkata, lelaki berusia 36 tahun itu dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu dan kini di bawah pemerhatian.
Tambahnya, usaha menjejaki individu yang berhubung dengannnya dilakukan bagi mengelakkan wabak itu tersebar.
Menurut jurucakap itu, lelaki berkenaan turut berkunjung ke Arab Saudi, dan menambah keadaannya kini bertambah baik.
Kes pertama MERS dikesan di Filipina pada Januari lalu apabila seorang jururawat warga tempatan bekerja di Arab Saudi sembuh daripada penyakit itu. - REUTERS

Penulis Blog Dipenjara 4 Minggu Hina Kristian, Muat Naik Imej Lucah


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 5:38 PM

SINGAPURA: Penulis blog, Amos Yee pada Isnin dijatuhkan hukuman penjara selama empat minggu selepas didapati bersalah kerana menghina agama kristian dan memuat naik imej lucah.
Remaja berusia 16 tahun itu telah direman lebih 50 hari dan sabitannya adalah bertarikh pada 2 Jun lalu, bermakna dia dibebaskan.
Yee didapati bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu pada 12 Mei lalu.
Sejak penahanannya pada Mac lalu, dia berkali-kali melanggar syarat ikat jamin dan tidak mahu bercakap dengan pegawai pemulihan.
Dia direman di Institut Kesihatan Menal sejak dua minggu lalu bagi pemeriksaan psikiatari bagi menilai keadaannya untuk Rawatan Perintah Wajib (MTO).
Mengikut undang-undang, sesiapa yang didapati bersalah mengeluarkan kenyataan dengan niat tidak sensitif terhadap perasaan agama tertentu boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Sesiapa yang didapati bersalah mengedarkan bahan lucah boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pada Ahad, seramai 500 orang berhimpun di Hong Lim Park bagi mendesak pembebasan Lee. – The Straits Times/Asia News Network

Tahanan Reman Dua Suspek Kes Dera Kanak-Kanak Disambung Tujuh Hari


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 2:01 PM
Mahkamah Majistret menyambung tempoh tahanan reman selama tujuh hari mulai Isnin terhadap ibu tiri kanak-kanak perempuan yang didera di Rantau Panjang. -fotoBERNAMA

PASIR MAS: Mahkamah Majistret Pasir Mas pada Isnin melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari terhadap dua suspek dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Perintah lanjutan tahanan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali bermula Isnin dan berakhir Ahad (12 Julai).
Lelaki berusia 39 tahun dan wanita berusia 25 tahun itu sebelum ini ditahan reman selama empat hari bermula 29 Jun dan berakhir 2 Julai lepas, dan disambung tiga hari serta berakhir semalam untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Kanak-kanak itu dilaporkan ditemui ibu kandungnya pada 24 Jun dalam keadaan wajahnya cengkung dan seluruh badannya lebam serta dipenuhi parut manakala tubuhnya membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang dan rusuk.
Pada hari sama, kanak-kanak itu dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kasanova Perdaya 20 Wanita Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 3:32 PM

KUALA LUMPUR: Seorang kasanova yang memperdaya kira-kira 20 wanita untuk menyerahkan wang dan barang kemas mereka berjaya ditahan polis.
Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai terlibat dalam 20 kes penipuan membabitkan kerugian mencecah RM155,000.
Memperkenalkan dirinya sebagai Aidid Iskandar, Afzan Iskandar dan Hafis, lelaki itu akan mendekati mangsa dengan kata-kata manis menerusi Facebook.
Bapa kepada tiga anak itu dikatakan menipu kira-kira 20 wanita berumur antara 28 dan 38 tahun dengan memperdayakan wang dan barang kemas mereka sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Osman Mansor berkata, mangsa biasanya akan terjerat dengan kata-kata manisnya dalam masa seminggu.
"Selepas berbual di Facebook beberapa kali, dia akan meminta nombor telefon wanita tersebut dan mengajak mereka keluar. Dia kemudiannya memberitahu niat sebenarnya adalah untuk menjalin hubungan dan akhirnya mendirikan rumah tangga," katanya.
Sharul berkata sebelum menghilangkan diri dengan barangan berharga milik mangsa, dia akan membawa wanita tersebut untuk bertemu 'saudaranya' di sebuah hotel.
"Setiap kali, mangsa akan meninggalkan beg mereka di dalam kereta manakala kedua-duanya memasuki hotel.
"Suspek akan meminjam telefon daripada mangsa untuk menghubungi saudaranya dengan mengatakan telefon bimbitnya kehabisan bateri.
"Dia kemudiannya melarikan diri," kata Sharul dalam satu sidang media pada Ahad.
Sharul berkata wanita tersebut hanya menyedari suspek melarikan diri selepas menunggunya beberapa jam.
"Bertindak atas laporan, kita menahan lelaki itu pada 30 Jun lalu kira-kira pukul 8 malam di Taman Cahaya Alam, Shah Alam. Dia mengaku terlibat dalam 16 kes di Brickfields dan tiga di Dang Wangi," katanya.
Suspek ditahan reman sehingga Sabtu.

Anak Pegawai TUDM Maut Jatuh Pangsapuri


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 4:15 PM

BUTTERWORTH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan pangsapuri Taman Air Tawar Indah di sini, Isnin.
Muhamad Adam Qhalish Mohd Hairul Anuar yang merupakan anak kepada pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Kejadian itu disedari ibunya selepas diberitahu jiran yang ternampak mayat kanak-kanak itu di kawasan bawah pangsapuri berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim  berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kanak-kanak itu dikatakan bermain seorang diri di dalam sebuah bilik yang terdapat susunan kotak di tepi tingkapnya.
"Dia dipercayai memanjat kotak itu sebelum terjatuh melalui tingkap bilik itu," katanya.
Abdul Rahman berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya sebelum dibawa pulang ke Klang, Selangor untuk dikebumikan.

Remaja Ugut Sebar Gambar Lucah Kenalan Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 5:38 PM

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan setelah dikatakan mengugut untuk menyebar gambar dan video lucah seorang remaja perempuan yang seusia dengannya di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata pelajar lelaki itu ditahan pada pukul 6.35 petang semalam susulan laporan polis yang dibuat remaja perempuan berkenaan pada Jumaat lepas.
Beliau berkata remaja perempuan itu yang merupakan pelajar tingkatan satu  sebuah sekolah swasta di Kelana Jaya, Petaling Jaya telah berkenalan dengan remaja lelaki itu melalui laman sosial WeChat sejak Mac lepas.
"Sejak itu mangsa sering berhubung melalui WeChat dan WhatsApp dengan suspek. Pada Mei lepas, suspek dikatakan memaksa pengadu (mangsa) untuk menghantar gambar lucah kepadanya.
"Pada pertengahan Jun lepas, suspek sekali lagi memaksa pengadu menghantar video dengan berkelakuan lucah. Suspek mengugut akan menyebarkan gambar dan video (yang dihantar sebelum ini) ke laman sosial apabila pengadu tidak lagi menghubungi dan melayannya selepas peristiwa itu," katanya dalam kenyataan Isnin.
Azmi berkata oleh kerana bimbangkan keselamatannya, pelajar perempuan itu telah membuat laporan polis.
Bertindak dari laporan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, katanya dan menambah suspek direman selama tiga hari.
Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah komputer riba.

Lima Penuntut Warga Nigeria Ditahan Terlibat Kes Penipuan Internet


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 9:51 AM
ACP Azmi Adam (tengah).

GEORGE TOWN: Lima penuntut Nigeria dan dua wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam jenayah penipuan internet dengan nilai mencecah RM2.4 juta, ditahan dalam beberapa serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur susulan laporan polis dibuat di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Azmi Adam berkata kelima-lima penuntut jurusan teknologi maklumat sebuah kolej swasta terkenal di ibu negara berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan di beberapa pangsapuri di Petaling Jaya, Cyberjaya, Damansara dan Kuala Lumpur pada 30 Jun lepas.

Susulan penahanan itu, polis menahan dua wanita tempatan yang masing-masing berusia 40 dan 55 tahun yang merupakan pemilik akaun bank yang digunakan sindiket berkenaan, katanya pada Isnin.

Beliau berkata polis turut merampas lima set komputer riba serta 20 telefon pintar, kad  pengeluaran automatik (ATM), kad sim, serta beberapa dokumen yang digunakan sindiket berkenaan untuk menipu orang ramai.

Azmi berkata polis melancarkan Ops Merpati itu selepas menerima laporan daripada seorang pemilik kilang ais di George Town yang mendakwa ditipu kumpulan berkenaan.

Beliau berkata lelaki berusia 62 tahun itu mendakwa menerima e-mel daripada sindiket berkenaan pada Mac lepas yang memaklumkan beliau terpilih menerima dana sebanyak RM15.9 juta daripada kerajaan Amerika Syarikat.

"Kandungan e-mel itu juga memaklumkan beliau merupakan seorang daripada 50 pemenang bertuah di seluruh dunia dan perlu mengikut arahan seterusnya jika tidak mahu nama disingkir daripada senarai pemenang.

"Mangsa yang terpengaruh dengan tawaran itu kemudian melakukan 51 transaksi kepada beberapa nombor akaun yang diberikan sindiket itu sebelum menyedari beliau ditipu dan membuat laporan polis," katanya.

Azmi berkata siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit menipu orang ramai di negeri ini melibatkan lebih RM2.4 juta dan polis juga mengesan beberapa transaksi lain yang mencecah lebih RM1 juta yang dimasukkan dari negara jiran.

Bau Gas Dalam Bank, Pekerja Sesak Nafas


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 4:27 PM

BUTTERWORTH: Empat orang pekerja wanita sebuah bank di Taman Selat di sini mengalami sesak nafas dan pedih mata dipercayai akibat terhidu gas di dalam bank itu pagi Isnin.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, M.Vijayan berkata pihak ambulans dari Hospital Seberang Jaya telah memberi rawatan kepada mereka.
Beliau berkata namun kebocoran gas didapati tidak berlaku di bank itu dan premis lain di sekitarnya.
"Kemungkinan kebocoran gas itu dari sumber luar iaitu premis agak jauh dari kawasan berkenaan dan angin membawanya hingga ke sini," katanya di tempat kejadian.
Seorang pekerja bank, Zuraida Ramli berkata ketika sedang bertugas, secara tiba-tiba beliau terbau gas dan matanya mulai pedih.
"Mula-mula kami ingatkan gas itu berpunca daripada penyaman udara, lalu kami tutupnya, tetapi bau itu masih ada dan beberapa lagi staf turut pedih mata dan merasa loya," katanya.

Kontroversi Mara: "Ia Di Luar Pengetahuan Saya" - Shafie Apdal


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 10:34 PM

BANGI: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dakwaan terdapat individu tidak berkaitan menandatangani perjanjian salah satu pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia adalah 'di luar pengetahuannya'.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertanggungjawab terhadap Mara itu berkata, kenyataan tersebut hanyalah satu dakwaan dan siasatan belum memutuskan bahawa ia betul.
"Ia di luar pengetahuan saya.
"Apa yang kita tahu perjanjian-perjanjian tersebut dilakukan oleh badan-badan Mara Inc. Sebarang transaksi yang dilakukan sebelum itu adalah di luar pengetahuan saya," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Penghayatan Wasatiyyah dan Ihya' Ramadan Mara di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan oleh Pengarah Eksekutif NOW, Rafizi Ramli bahawa terdapat dua invidu tidak berkaitan dengan Mara telah menandatangani perjanjian pembelian hartanah 746 Swanston Street di Australia.
Individu berkenaan adalah Erwan Azizi dan Izmir Abdul Hamid.
Mengenai dakwaan Rafizi bahawa urusniaga pembelian hartanah itu turut melibatkan individu dalam pimpinan Pemuda Umno, beliau berkata, ia hanya satu dakwaan sahaja.
"Saya tak perlu jawab soalan ini, ia hanya dakwaan sahaja.
"Kita tak boleh berpegang kepada tuduhan itu sama ada benar, tak benar, sehingga siasatan selesai.
"Kita tak boleh kata apa yang Rafizi kata itu betul sehingga siasatan. Takkan kenyataan Rafizi sudah konklusif, perlu ada siasatan dan sekarang ia berjalan lancar, berikan masa," katanya.
Beliau berkata, sebarang kemungkinan tindakan susulan terhadap Rafizi ataupun terhadap individu berkaitan Mara yang mungkin didapati terlibat dalam penyelewengan akan dilakukan selepas penemuan dan hasil siasatan selesai.

Kanak-Kanak Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Tingkat 9


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 10:41 AM
Gambar keluarga: Muhammad Adam Qhalish (duduk, kanan) dipangku bapanya.

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri kehilangan anak lelaki mereka berusia 3 tahun selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah apartment di Teluk Air Tawar.

Muhammad Adam Qhalish Hairul Anuar meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kanak-kanak ini dikatakan telah memanjat timbunan kotak di biliknya sebelum jatuh dari tingkap kira-kira 11:00 pagi Isnin.

Ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu berada di tempat kerja, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Teluk Air Tawar sementara ibu dan adiknya berada di bilik lain.

Seorang jiran yang menemui mangsa dalam keadaan dipenuhi darah segera memberitahu ibunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, polis menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ibu bapa kanak-kanak tersebut masih berada dalam keadaan terkejut dan enggan menemui media.

Pemuda Hancur Tangan Kiri Akibat Mercun Buatan Sendiri Meletup


Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 8:56 PM
Gambar hiasan.

PASIR MAS: Seorang lelaki berusia 27 tahun hancur tangan kirinya apabila mercun buatan sendiri yang dibuatnya, tiba-tiba meletup dalam kejadian di rumahnya di Kampung Galok di sini, Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa Muhammad Alif Abdullah dikatakan sedang membuat mercun buatan sendiri menggunakan belerang di biliknya sebelum mercun berkenaan secara tiba-tiba meletup.
Menurut seorang anggota keluarga yang enggan dikenali, Muhammad Alif kemudiannya dibawa oleh bapanya ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.  
"Saya tidak tahu tujuan dia buat mercun itu sebab sebelum ini dia tak pernah main mercun, ini satu pengajaran buat kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Isnin.
Mangsa kini dirawat di HUSM dan keadaannya dilaporkan stabil.

Maut lepas letupkan bunga api atas kepala

 Devon Staples
Devon Staples

CALAIS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki maut selepas membakar sebuah mercun yang diletakkan di atas kepalanya sendiri, semalam.
Menurut laporan AP, Devon Staples dan kawan-kawannya baru lepas menikmati alkohol sebelum melakukan aksi berkenaan.
Staples dikatakan meletakkan bunga api di atas kepala dan mahu menyalakannya, namun kawan-kawannya menyuruh dia berhenti melakukan aksi tersebut.
Jurucakap Keselamatan Awam, Stephen McCausland memberitahu, staples maut serta-merta selepas membakar bunga api tersebut.
Abang mangsa, Cody menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu kemalangan.
"Staples bukan jenis lelaki yang melakukan perkara bodoh. Dia jenis lelaki yang berpura-pura melakukan perkara bodoh untuk menghiburkan orang lain," katanya kepada wartawan.
Kematian Staples merupakan yang pertama disebabkan bunga api selepas undang-undang negeri membenarkan penggunaan bungapi pada 1 Januari, 2012.

Dilarang masuk kerana pakai 'legging'

Caitlin Bassett
Caitlin Bassett

MELBOURNE - AUSTRALIA. Seorang ahli sukan bola jaring dilarang masuk ke sebuah kelab menunggu eksklusif di sebuah lapangan terbang, bulan lepas.
Menurut laporan Dailymail, Caitlin Bassett, 27, memakai pakaian sukan ketika kejadian.
"Dilarang masuk ke Kelab Qantas kerana memakai 'legging'," kata Bassett dalam laman mikro Twitternya.
"Mereka jangkakan saya akan pakai apa dalam penerbangan empat jam ke Perth? Gaun menari?," katanya kecewa.
Bassett mendakwa dia hanya mahukan keselesaan dalam pemilihan pemakaiannya.
Difahamkan, Qantas memperkenalkan kod pakaian 'smart casual' pada April.
"Sejak April (2015), pelanggan yang memasuk Kelab Qantas domestik dan lounge di Adelaide, Brisbane, Canberra, Merlbourne, Perth dan Sydney sudah diingatkan supaya mematuhi kod tersebut," kata seorang jurucakap Qantas.
"Majoriti ahli kelab kami mematuhi kod tersebut, tetapi maklum balas mahukan kami memastikan kod tersebut dikenakan kepada semua pihak.
"Kod pakaian di lounge adalah sama seperti di restoran dan kelab," tambah jurucakap tersebut.
Singlet, kaki ayam, selipar getah dan baju sukan dianggap tidak mematuhi kod pakaian tersebut.