Search This Blog

Sunday, July 5, 2015

Tak sempat capai Nurhasyikin dalam buaian - Ibu

AHAD, 5 JULAI 2015 @ 3:42 PM
KOTA KINABALU: "Pada mulanya saya terfikir akan kehilangan Nurhasyikin buat selama-lamanya, namun Allah lebih berkuasa dan bersyukur bayi saya masih hidup."
Itu luahan Nurhayba Nasip, 25, ibu kepada kepada Nurhasyikin Jainudin, bayi berusia 18 bulan yang terselamat selepas diterbangkan ribut bersama buaiannya di Kampung Dungang Dua, Tuaran, malam kelmarin.
Ketika kejadian jam 12.15 malam itu, bayi terbabit ditemui selamat di kawasan sawah di kampung berkenaan selepas bumbung rumahnya bersama buaian yang diikat pada alang bumbung diterbangkan angin.
Menceritakan kejadian itu, Nurhayba ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas hari ini berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu diletakkannya dalam buaian seperti biasa sebelum ribut melanda kawasan kampung berkenaan.
"Tiba-tiba berlaku angin kencang yang menerbangkan bumbung rumah, saya cuba mengambil Nurhasyikin dalam buaian itu tetapi tidak sempat apabila ia turut diterbangkan bersama bumbung rumah.
"Kami kemudian bersama penduduk kampung mencari Nurhasyikin sebelum dia ditemui sedang menangis dalam kawasan sawah padi kira-kira setengah jam kemudian," katanya.
Beliau berkata, bayinya itu kemudian segera dibawa ke Hospital Tuaran untuk pemeriksaan sebelum disahkan patah paha dan dipindahkan ke HWKKS dengan keadaannya dilaporkan stabil.




NURHAYBA Nasip bersama bayinya, Nurhasyikin Jainudin yang terselamat selepas diterbangkan ribut bersama buaiannya di Kampung Dungang Dua, Tuaran, malam kelmarin. - Foto Malai Rosmah Tuah

Gempa 4.2 magnitud gegar Oregon



GEMPA sederhana 4.2 magnitud menggegarkan Oregon hari ini dengan pusat gegaran dilaporkan berhampiran Springfield dan Eugene.
SPRINGFIELD: Gempa sederhana 4.2 magnitud menggegarkan Oregon hari ini dengan pusat gegaran dilaporkan berhampiran Springfield dan Eugene.
Gegaran pada jam 8.42 pagi waktu tempatan itu bagaimanapun tidak mendatangkan kerosakan teruk kerana ia di bawah 5.5 magnitud, demikian menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Pegawai Bandaraya Springfield berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kerosakan kediaman penduduk atau kemudahan infrastruktur.
Pejabat Sheriff Lane County juga sedang menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan dan dilaporkan tiada kerosakan atau kecederaan teruk.
Jabatan Pengangkutan Oregon yang juga memantau visual di semua jambatan di sekitar Eugene-Springfield berkata tiada kerosakan membabitkan jalan raya dan jambatan. - AP

LPT ragut nyawa ustaz

LPT ragut nyawa ustaz
Keadaan kereta mangsa yang remuk menjadi viral di laman sosial. (Gambar kecil) Mohd Nor Shauqi A. Rahman
WARTAWAN SINAR HARIAN
DUNGUN - Seorang penceramah bebas, Mohd Nor Shauqi A. Rahman, 29, maut dalam satu nahas jalan raya di kilometer 352.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II, Bukit Besi menghala ke Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, mangsa bersama isteri, Siti Maryuni Mansur, 26, dan anak mereka, Safiyyah Maisarah, 2, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu Buruk, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kanan kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa pancit secara tiba-tiba apabila sampai di lokasi kejadian.

Menurutnya, ia menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan dan terbabas ke kiri dan melanggar penghadang jalan.

"Mangsa dan keluarga dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Kuala Terengganu tetapi berlaku insiden tidak disangka apabila tayar belakang kenderaan telah pancit.

"Akibat kemalangan itu, mangsa dihantar ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan.

"Bagaimanapun, isteri dan anak mangsa terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Punca kemalangan dipercayai kerana tayar pancit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) (AY Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Bayi Diterbang Angin Dalam Kejadian Ribut Di Tuaran



Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 11:02 PM

KOTA KINABALU: Seorang bayi Nurhasyikin Jainudin yang berusia 18 bulan dilapor diterbangkan angin dalam kejadian angin ribut di Kampung Dungang, Tuaran awal pagi Sabtu.
Pegawai Daerah Tuaran, Abdul Mohd Ibnu Abdul Kadir Baba berkata, kejadian  berlaku ketika buaian bayi itu yang diikat pada alang bumbung rumah diterbangkan angin bersama bumbung rumah tersebut.
"Ketika itu bayi tersebut sedang tidur di dalam buaian. Apabila bumbung rumah itu tercabut kerana diterbangkan angin, buaian dan bayi itu turut sama diterbangkan angin," katanya kepada Bernama.
Bayi itu kemudiannya ditemui dekat kawasan sawah padi berhampiran.
Abdul Mohd Ibnu berkata berkata bayi tersebut pada mulanya dirawat di Hospital Tuaran sebelum dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas kerana dipercayai patah paha.
"Dia berada dalam keadaan stabil," katanya.-- Bernama

Ranau Dilanda Gempa Bumi 3.4 Skala Richter



Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 10:56 PM

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.4 pada skala Richter melanda Ranau, Sabah pada 7.49 Sabtu malam.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan, pusat gempa adalah di enam darjah Utara dan 116.6 darjah Timur, 11 kilometer barat laut dari Ranau, menyebabkan gegaran di kawasan tersebut.
Kementerian itu berkata Jabatan Meteorologi Malaysia kini memantau perkembangan dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan.
Pada 5 Jun lepas, Ranau digegarkan dengan gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter dengan meragut 18 nyawa pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu.-- Bernama

Lebih 60 Gerai Bazar Raya Di Manjung Rosak Akibat Ribut


Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 8:00 AM
Sebahagian gerai Bazar Raya Mega Persalam yang rosak teruk akibat angin kuat dan ribut yang melanda Seri Manjung awal pagi Sabtu.

LUMUT: Lebih 60 gerai di Bazar Raya Mega Koperasi Peniaga-Peniaga Pasar Malam (Persalam) Seri Manjung, di sini, rosak akibat diterbangkan angin kencang serta ribut awal pagi Sabtu.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu berlaku ketika masih ada pengunjung yang datang untuk membeli barangan di bazar tersebut.
Seorang peniaga di bazar itu, Abdul Ghani Mohd Ali, 32, berkata beliau tidak menyangka keadaan menjadi bertambah buruk kerana pada awalnya ia hanya hujan renyai dengan angin bertiup perlahan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan mula berubah apabila angin mula bertiup kencang disertai hujan lebat.
"Keadaan kelam kabut pada waktu itu dan saya bergegas membawa barang jualan ke dalam van. Bagaimanapun, ia berlaku begitu pantas sehinggakan ada barang jualan yang tidak dapat diselamatkan.
"Bunyi angin dan ribut sangat kuat. Saya rasa seperti melayang-melayang.
Walaupun gerai saya diterbangkan angin, saya tetap bersyukur kerana selamat dan tiada yang cedera," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Persalam Manjung Berhad, Adenan Bakar berkata kejadian berlaku ketika sebahagian peniaga telah menutup gerai mereka.
"Kami sedang meneliti jumlah kerugian sebenar yang dialami peniaga sebelum memikirkan langkah seterusnya untuk membantu mereka yang terbabit dalam kejadian itu.
"Buat masa ini kami giat membersihkan tapak dan menggantikan khemah gerai tanpa mengenakan sebarang caj kepada peniaga. Keseluruhan kerugian buat masa ini dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta,"katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ada lebih daripada 100 gerai pelbagai jualan di bazar itu yang dibuka bersempena dengan bulan Ramadan sejak 18 Jun lepas.-- Bernama

26 Sehelai Sepinggang Akibat Kebakaran Kampung Malaysia



Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 2:23 PM
Kebakaran yang memusnahkan kediaman yang didiami empat keluarga di Kampung Malaysia, Jumaat malam.

PETALING JAYA: Sebuah kediaman yang didiami empat keluarga di penempatan setinggan terawal di ibu negara, Kampung Malaysia hangus dalam kebakaran mengakibatkan 26 orang kini tinggal sehelai sepinggang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam pada Jumaat itu, semua mangsa di Jalan 13/141 itu terselamat.
Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, tiga jentera dari Balai Bomba Bandar Tun Razak, Sungai Besi dan Jalan Hang Tuah berjaya mengawal api dalam masa 20 minit.
"Mangsa termasuk warga Indonesia berusia 45 tahun berstatus Penduduk Tetap kini ditempatkan di dewan oang ramai berdekatan.
"Keterangan mereka akan direkodkan, ketika ini mangsa masih dalam keadaan trauma," katanya pada Sabtu.
Menurut saksi, kebakaran berpunca daripada penyaman udara di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
"Kami sedang mengesan pemilih kediaman itu untuk membantu siasatan," katanya.

Empat Dihempap Pokok Ketika Hujan Lebat Di Alor Setar



Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 6:49 PM
Warga Myanmar yang menunggang motosikal cedera dihempap pokok Angsana yang tumbang ketika hujan lebat tengah hari Sabtu.

ALOR SETAR: Empat orang dihempap pokok, dua daripadanya cedera ringan, manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan dalam dua kejadian berasingan semasa hujan ribut di sekitar sini tengah hari Sabtu.
Kejadian kira-kira 1 tengah hari itu turut membabitkan dua lelaki Myanmar yang menunggang motosikal setelah pulang dari membeli barang di kedai berhampiran di Taman Rakyat, Mergong.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata penunggang motosikal itu cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, manakala pemboncengnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu seorang lelaki berumur 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun turut mengalami nasib yang sama di Lebuhraya Darulaman, Simpang Kuala kira-kira 1.20 tengah hari.
Lelaki tersebut tidak mengalami kecederaan manakala kanak-kanak itu mengalami kecederaan di muka dan mulut dan dihantar ke hospital.-- Bernama

Dera: Pasangan Ditahan Sebabkan Kematian Anak Angkat


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 10:43 PM

MIRI: Polis menahan sepasang suami isteri kerana dipercayai mendera anak angkat mereka hingga mengakibatkan kematian kanak-kanak berusia dua tahun itu.
Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan usia 30 tahun, manakala isterinya sekitar 20an disyaki mendera bayi tersebut sehingga cedera parah.
Bayi tersebut disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri pada pukul 12.30 malam, Sabtu.
Kes tersebut diketahui selepas pihak hospital membuat laporan polis.
Menurut laporan, pasangan tersebut membawa bayi lelaki itu ke hospital swasta di bandar Miri.
Bagaimanapun pihak hospital swasta itu memaklumkan kepada Hospital Miri mengenai kecederaan parah yang dialami bayi itu sebelum dihantar ke Hospital Miri dan dirawat di ICU.
Pasangan tersebut memberitahu pihak hospital bahawa mereka mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat pada 2014.
Mereka juga mempunyai anak kandung lelaki yang berusia lima tahun.
Bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian kanak-kanak itu.

25 Anggota Al-Qaeda, Al-Nusra Terbunuh


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 7:23 PM
Serangan di masjid yang mengorbankan anggota al-Qaeda dan al-Nusra.

SEKURANG-kurangnya 25 anggota al-Qaeda di Syria dan Barisan al-Nusra, termasuk seorang pemimpinnya terbunuh dalam letupan di sebuah masjid di barat wilayah Idlib.
Badan Pemantau Hak Asasi Kemanusiaan Syria yang berpangkalan di United Kingdom (UK) berkata, berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan akibat letupan di kota Ariha itu.
Kejadian itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di kawasan masjid untuk berbuka puasa, bagaimanapun setakat ini punca letupan masih belum diketahui.
Menurut badan pemantau itu, seorang anggota kanan kumpulan al-Nusra yang identitinya tidak dikenali dilaporkan terkorban dalam letupan yang berlaku di masjid Salem.
Ariha adalah antara kubu terakhir kerajaan di Idlib apabila ia dikepung kumpulan pemberontak pada Mei lalu.
Sebuah pakatan Islam, Jaish al-Fateh mengambil alih bandar tersebut selepas melakukan serangan.
Kumpulan pemberontak itu sebelum ini berjaya menawan beberapa bandar di wilayah tersebut termasuk Idlib dan Jisr al-Shughour.
Kejatuhan Ariha menyebabkan sebahagian besar wilayah Idlib yang berhampiran sempadan Turki berada di bawah kawalan pemberontak.
Lebih 230,000 orang dipercayai terbunuh di Syria sejak pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad pada Mac 2011.
Daripada 11.5 juta penduduk, lebih separuh penduduk negara itu telah melarikan diri.

Presiden Tunisia Isytihar Darurat Susulan Serangan Di Bandar Peranginan


Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 10:10 AM
Beji Caid Essebsi ketika mengumumkan perintah darurat di Tunisia.

TUNIS: Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi mengisytiharkan darurat, hanya seminggu selepas 38 pelancong warga Britain mahu dalam satu serangan di bandar peranginan di Sousse.
Undang-undang Sementara Darurat Tunisia memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggerakkan tentera dan polis bagi menangani mereka yang cuba mengadakan perhimpunan awam dan menahan mereka yang ingkar.
Pihak berkuasa sudah memperketatkan langkah keselamatan dengan mengerahkan lebih 1,400 anggota bersenjata di hotel dan kawasan pantai.

Serangan berdarah minggu lalu, iaitu tiga bulan selepas serangan di Muzium Bardo di Tunis, mengejutkan negara Utara Afrika itu yang sedang melaksanakan demokrasi selepas insiden "Arab Spring" pada 2011 lalu.

"Berikutan risiko pengganas dan dalam konteks keselamatan serantau kami mengisytiharkan perintah darurat negara.
"Kami akan terus menangani ancaman yang boleh membawa peperangan dalam negara dengan menggunakan semua tindakan yang sesuai," kata Essebsi dalam satu siaran televisyen.  
Seorang lelaki bersenjata Tunisia yang dilaporkan pernah berlatih di kem jihad di Libya, melepaskan tembakan ke arah pelancong asing yang kebanyakannya warga Britain di sebuah resort di Sousse pada 26 Jun lalu.

Kejadian pembunuhan itu menjejaskan imej industri pelancongan Tunisia dengan ribuan pelancong meninggalkan negara itu serta menyebabkan kehilangan dianggarkan AS$500 juta kepada sektor yang menyumbang pendapatan tujuh peratus kepada ekonomi Tunisia.

Pihak berkuasa sebelum ini juga bertindak menutup 80 masjid yang didakwa menyebarkan pengaruh ekstrem dan membantu merekrut anak muda menjadi militan.

Tunisia pernah mengisytiharkan darurat pada 2011 ketika kemuncak pemerintahan autokrat Presiden Zine el-Abidine Ben Ali yang mencetuskan pemberontakan rakyat.

Ranau terus pantau paras air sungai

Bekalan Air Terputus
Kerja-kerja pembersihan timbunan kayu balak yang dibawa banjir kilat memenuhi empangan loji rawatan air Bambangan di Sungai Liwegu. Kejadian itu menyebabkan Daerah Ranau terputus bekalan air bersih. - Foto Bernama

RANAU - Pihak berkuasa Ranau akan terus memantau paras air sungai bertujuan memberi amaran awal kepada penduduk yang tinggal di tepi sungai sekiranya paras air meningkat.

Pegawai Daerahnya Faimin Kamin berkata pihaknya menempatkan kumpulan pemantau sungai terdiri daripada anggota polis, Rela, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan radio amatur di tujuh stesen bermula dari Sungai Mesilau sehingga ke Sungai Marakau.

Beliau berkata pemantauan yang bermula semalam itu akan beroperasi 24jam, dengan setiap stesen mempunyai lima petugas secara berganti-ganti.

"Pemantauan ini akan berlanjutan sehingga Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca akan kembali normal," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan untuk mangsa gempa bumi Ranau daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin yang juga Anggota Parlimen Ranau.

Dalam perkembangan berkaitan, Faimin berkata mana-mana penduduk kampung yang tidak mempunyai bekalan air bersih boleh mendapat bekalan air di tiga lokasi penapisan air disediakan.

Lokasi itu masing-masing di pekan Ranau, Sungai Takurik dan Sungai Kanipir yang dibuka mulai 8 pagi hingga 11 malam, katanya. - Bernama

100 mangsa banjir lumpur dipindahkan

Banjir

KOTA KINABALU - Angin kencang dan hujan lebat sejak semalam menyebabkan 100 orang penduduk dari Kampung Mesilo, Kundasang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di balai raya KO Sinar (Desa Cattle) dalam kejadian terbaharu banjir lumpur, pada awal pagi tadi.
Ketua Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, kesemua mangsa dipindahkan setelah rumah mereka dilanda banjir lumpur dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi tadi.
"Pasukan bomba sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan mengarahkan penduduk Kampung Mesilo untuk berpindah ke pusat perlindungan itu sementara menunggu banjir dan paras air sungai kembali normal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, maklumat terkini banjir berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa. - Bernama

Bumbung kereta putus

Bumbung kereta putus
Kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Bukit Beruang semalam.

BUKIT BERUANG - Tiga beranak termasuk bayi perempuan nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh berhampiran lampu isyarat Taman Bunga Raya, Jalan Bukit Beruang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Rayneld Edan, 35, yang memandu Proton Wira dan turut dinaiki isterinya berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari arah Bukit Beruang menghala Lebuh Ayer Keroh.

Difahamkan, kedua-dua pasangan terbabit baru sahaja menjemput bayi mereka yang berumur 1 bulan 18 hari dari rumah saudara sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menurut sumber, kemalangan itu mengakibatkan bayi berkenaan mengalami kecederaan dalaman manakala bapanya parah dan ibunya bagaimanapun tidak cedera.

“Ketika kejadian itu berlaku, kereta yang dinaiki mangsa sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat sementara menunggu lampu hijau sebelum dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Nissan Sentra yang dinaiki dua pelajar kolej swasta hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan bumbung kereta dinaiki mangsa putus,” katanya.

Katanya, pemandu Nissan Sentra itu hanya mengalami cedera ringan dan kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Kominsioner, Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kaki putus dilanggar kereta

Kaki putus dilanggar kereta
IPOH – Tindakan seorang pejalan kaki melintas lebuh raya dalam keadaan mabuk membawa padah apabila kaki kanannya terputus selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 275 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara di sini kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 12.15 malam itu, mangsa yang berusia 43 dan berasal dari Star Park di sini mengalami kecederaan serius selepas kaki kanannya terputus akibat rempuhan kuat.

Menurutnya, mangsa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dilaporkan stabil.

“Kita menerima laporan daripada pengadu yang memandu kereta ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, dia terlanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas dari kanan ke kiri," katanya.

Wan Sharuddin berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa telah mabuk di rumah sebelum berjalan kaki ke tempat kejadian dan menyatakan ingin pergi ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari kehilangan kaki kanannya selepas tersedar di hospital dan doktor mengesahkan kecederaan dialaminya itu adalah akibat impak kuat ketika kejadian.

Terima enam jahitan, kaki tergelincir dalam lubang

Terima enam jahitan, kaki tergelincir dalam lubang
Mangsa menerima enam jahitan di kaki kiri selepas tergelincir di lubang kaki lima di sebuah bank di Seremban 2, di sini.

SEREMBAN – Seorang wanita menerima enam jahitan pada kaki kiri selepas tergelincir dalam sebuah lubang di kaki lima sebuah bank di Seremban 2, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, mangsa berusia 20-an itu berjalan kaki ke bank untuk urusan pengeluaran duit sebelum tergelincir ke dalam lubang sedalam dua kaki di hadapan pintu bank berkenaan.

Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin berkata, akibat kecederaan dialami, wanita yang juga pekerja kedai makan di Oakland itu tampil ke pejabatnya untuk membuat aduan.

“Lubang itu dipercayai dilakukan kontraktor untuk memasang kabel bawah tanah tetapi mereka tidak meletakkan sebarang kon atau tanda amaran di kawasan lubang.

“Mangsa yang tidak perasan lubang itu menyebabkan kakinya tergelincir sebelum dibantu orang ramai untuk mengeluarkan kakinya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar itu berasa sedih dan terkilan dengan insiden yang menimpa dirinya dan telah membuat laporan polis.

“Saya sudah menghubungi kontraktor tersebut untuk menanggung kos rawatan mangsa dan memberi pampasan kerana kemalangan berlaku disebabkan kecuaian kontraktor dan hasil perbincangan mereka berjanji akan bertanggungjawab,” katanya.

Kee Chin berkata, dia berharap kejadian itu tidak akan berulang dan pihak kontraktor lain perlu berhati-hati ketika melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Saya berharap pihak kontraktor dapat mengutamakan aspek keselamatan orang ramai kerana lokasi kejadian merupakan kawasan tumpuan orang ramai.

“Kita tidak mahu kejadian ini berulang kepada mangsa lain dan mengundang bahaya kepada orang ramai yang lalu-lalang di kaki lima tersebut,” katanya.

Pak Rani ditemui selamat

Pak Rani ditemui selamat
Anggota bomba dan penyelamat bersama penduduk kampung membantu mengangkat warga emas yang ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang kelmarin.

GERIK – Seorang warga emas yang dipercayai tidak pulang ke rumah sejak petang kelmarin ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 120 meter dari kawasan dia dilaporkan hilang di Kampung Perah, di sini, semalam.

Mangsa, Abd Rani Mat Piah, 66, dipercayai keluar dari rumah jam 7 malam kelmarin namun kehilangannya hanya disedari menantunya lewat malam hari sama.

Difahamkan, ia bukan kejadian pertama tetapi mangsa sudah empat kali tidak pulang ke rumah dipercayai akibat nyanyuk serta mempunyai masalah kesihatan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, anggotanya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada jam 7.30 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau bersama lima anggota dari BBP Gerik memulakan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan kampung berkenaan.

“Kami melakukan operasi mencari di sekitar Sungai Perak dan kebun getah iaitu kawasan yang didakwa mangsa telah hilang.

“Kira-kira dua jam kemudian, kami berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat di kawasan kebun getah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk mendapat rawatan lanjut.

Menurutnya, pihaknya turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan operasi tamat pada jam 10.10 pagi.

Pemilik feri, anak kapal didakwa membunuh

Pemilik feri, anak kapal didakwa membunuh
Pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang terperangkap dalam feri Kim Nirvana.

MANILA - FILIPINA. Polis Filipina telah memfailkan dakwaan membunuh terhadap pemilik dan anak kapal feri penumpang yang terbalik di selatan perairan negara itu, kata pegawai semalam.

Ketua polis wilayah, Asyer Dolina berkata, pertuduhan itu difailkan lewat petang kelmarin di Bandar Ormoc.

Feri kayu Kim Nirvana yang membawa 173 penumpang karam Khamis lalu, akibat dihempas ombak kuat ketika sedang belayar dari Ormoc menuju ke selatan Pulau Camotes.

Insiden itu mengorbankan puluhan nyawa dan hanya 141 penumpang berjaya diselamatkan.

"Siasatan awal polis dan temu bual dengan mangsa menunjukkan feri itu tiba-tiba mengubah haluannya, menyebabkan ia terbalik.

"Mereka (krew kapal) tidak berhati-hati, menunjukkan terdapat niat untuk membunuh. Mereka cuai dan bertindak dengan melulu," kata Dolina.

Katanya lagi, seramai 19 orang telah didakwa, termasuk pengendali feri, Joge Bong Zarco dan kapten, Warren Oliviero.

Di bawah undang-undang Filipina, membunuh boleh dihukum penjara sehingga 40 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah kematian susulan tragedi Kim Nirvana meningkat kepada 51 orang selepas pasukan penyelamat berjaya membetulkan posisi feri yang terbalik, lewat petang kelmarin. - AFP

Humban anak dari bangunan sebelum bunuh diri

Humban anak dari bangunan sebelum bunuh diri
Ketiga mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian

JIANGXI-CHINA. Seorang bapa bertindak kejam dengan menghumban dua anaknya yang masih kecil ke  tanah sebelum terjun bunuh diri di sebuah bangunan.
Memetik laporan dari portal Shanghaiist, dua anaknya, masing-masing berumur lima dan lapan tahun, meninggal dunia di tempat kejadian setelah dihumban dari tingkat 11 bangunan tersebut.
Seorang saksi yang tidak dinamakan berkata, lelaki tersebut menolak jatuh dua anaknya termasuk diri sendiri pada sekitar 9 pagi pada Rabu lalu.
Manakala seorang wanita yang tinggal di bangunan tersebut memberitahu lelaki tersebut mengheret dua anaknya masuk ke dalam lif bangunan tersebut pada sekitar waktu yang sama.
"Salah seorang anaknya bertanya kepada lelaki itu (bapanya) 'Ke mana kita mahu pergi?'," katanya.
Lelaki itu dikatakan bekerja sebagai pekerja binaan.
Baru-baru ini isterinya dilaporkan telah meninggalkan dia dan anak-anak mereka.

Syukur selamat semuanya

Alor Setar: Kanak-kanak perempuan tujuh tahun cedera di mulut dan muka selepas kereta dinaiki bersama bapanya ditimpa pokok di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, di sini, 1.20 petang, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman, berkata tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kanak-kanak itu kemudiannya dibawa kenderaan Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik (EMRS) ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi rawatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an, tidak mengalami kecederaan.
“Dalam satu lagi kejadian seorang lelaki warga Myanmar cedera sementara rakannya terselamat selepas motosikal dinaiki ditimpa dahan pokok patah di di Jalan Utama Taman Rakyat.
“Mangsa turut dihantar ke HSB untuk menerima rawatan dan bomba kemudian membersihkan kawasan terbabit,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:15 PM


FOTO ihsan pembaca Harian Metro
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62093#sthash.ztJp4SIO.dpuf

Astaghfirullah...kejam sungguh!

Miri: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan ayah angkatnya dan disahkan mati di Hospital Miri, di sini, tengah hari ini.
Mangsa, Bryan Yusuf, disahkan mati, pada 12.32 tengah hari, selepas menerima rawatan di hospital berkenaan sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit, berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan lebam pada badan, mata dan di kepala mangsa.
Menurutnya, terdapat 12 kesan lebam yang ditemui pada mangsa dipercayai didera.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kesan patah kaki kanan mangsa, kuman di dalam paru-paru. Malah, pendarahan dalam retina kedua-dua mata mangsa," katanya.
Menurutnya, polis sudah menahan ibu bapa angkat mangsa dan akan dibawa ke mahkamah untuk perintah reman hari ini.
"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:11 PM


FOTO The Atlantic
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62091#sthash.5qCyq7V9.dpuf

Retina dan otak Putri berdarah

Alor Setar: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian bayi perempuan, Putri Wafa Mohd Saifudin, empat bulan, yang koma selepas mengalami pendarahan di dalam otak dan mata disyaki didera.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata, sehingga ini, tiada tangkapan dilakukan dan kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001.
Hukuman diperuntukkan adalah denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurutnya, siasatan mendapati bapa mangsa baru tiga hari menghantar anaknya ke pusat jagaan itu dan mendakwa anaknya berada dalam keadaan baik ketika dihantar ke pusat jagaan itu pada Rabu lalu.
“Pusat jagaan ini juga sudah beroperasi tiga tahun lalu dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pemeriksaan dan ujian dijalankan mendapati bayi itu mengalami perdarahan pada kedua-dua mata (bahagian retina).
Selain itu, katanya, imbasan terhadap kepala mengesahkan bayi itu mengalami perdarahan otak.
“Ujian makmal lainnya adalah normal dan imbasan sinar-X tulang tiada menunjukkan tanda-tanda kecederaan pada tulang keseluruhan tubuh badan.
“Bayi berkenaan kini dirawat di wad rawatan rapi kanak-kanak dengan bantuan pernafasan dan di bawah penjagaan Pakar Perunding Kanak-Kanak.
“Secara keseluruhan keadaan bayi ini masih di tahap kritikal dan dalam penjagaan rapi pakar,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 1:44 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62083#sthash.zYr0BSgi.dpuf

‘Nenek rasis’ dapat setengah juta

Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini mengarahkan Ketua Menteri Lim Guan Eng, membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kepada Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid kerana menggelar beliau sebagai 'nenek rasis'.
Hakim Datuk Nordin Hasan, ketika membacakan keputusan juga mengarahkan Guan Eng membayar kos guaman sebanyak RM40,000 beserta faedah sebanyak lima peratus.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu turut diarah untuk menarik balik kenyataan terhadap Jahara, selain mengeluarkan injuksi menahannya daripada mengulangi kata-kata fitnah.
Jahara sebelum ini memfailkan saman terhadap Guan Eng, selepas beliau menggelarnya sebagai 'nenek rasis' dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),pada Disember 2013 lalu.
Guan Eng menggunakan gelaran'nenek rasis' itu apabila Jahara dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.
Sementara itu, Jahara berkata, keputusan mahkamah itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pemimpin, selain mengembalikan maruahnya sebagai wanita.
"Saya bersyukur kes saman malu ini selesai dan saya berharap ini menjadi satu pengajaran kepada semua pemimpin. Kita tidak seharusnya lemparkan tuduhan dan beri gelaran yang menjatuhkan maruah seseorang.
"Keputusan ini juga memberi keadilan dan membuktikan saya bukan seorang rasis,"katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Jahara berkata, Guan Eng yang memegang jawatan tertinggi di negeri itu sepatutnya membuka mata dan tidak melemparkan tuduhan atau gelaran yang menjatuhkan maruah sesiapa.
Ditanya keputusan Guan Eng untuk merayu terhadap keputusan itu, Jahara berkata, ia terserah kepada Guan Eng kerana itu hak beliau.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 1:28 PM


LIM (kanan) diarah membayar ganti rugi RM500,000 kepada Jahara. FOTO Mohd Fadli Hamzah/Zulaikha Zainuzman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61890#sthash.GEaWkPtI.dpuf

Dadah RM296 juta dalam 726 guni

Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah membabitkan warga India ditumpaskan selepas penemuan 726 guni serbuk putih dipercayai dadah jenis Ketamin di stor di Rawang, bernilai RM296 juta, semalam.
Serbuan 8 malam itu dilakukan hasil penahanan lelaki warga India berusia 36 tahun dipercayai antara dalang sindiket itu di Taman Sri Delima di sini pada 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya pada mulanya menemui satu beg plastik mengandungi kira-kira 10 kilogram (Kg) dadah selepas penahanan suspek warga India itu.
"Hasil soal siasat, kami melakukan serbuan di stor dan menemui 726 guni plastik dipercayai dadah jenis Ketamin dan merampas alat penimbang digital di stor terbabit.
"Ekoran serbuan itu, kami menahan lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dan kedua-dua suspek kini dalam tahanan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 2:36 PM


R Munusamy menunjukkan serbuk putih disyaki ketamin. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61897#sthash.8R0HnnMr.dpuf