Search This Blog

Saturday, July 4, 2015

Lelaki Ejakulasi Dalam Botol Air Pekerja Hotel Ditahan


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 11:05 AM

PUCHONG: Anggota Polis Komuniti (CP) menahan seorang lelaki yang dipercayai telah melakukan marturbasi dan memasukkan air maninya dalam botol air kakitangan hotel seperti dalam sebuah rakaman video yang telah menjadi viral.

Pasukan penangkapan dan anggota polis Puchong Jaya menangkap lelaki berusia 29 tahun itu kira-kira pukul 11 malam Jumaat ketika dia meninggalkan sebuah restoran di sini di mana dia bekerja sebagai tukang masak.
"Siapa tahu ada benda yang tidak diingini telah ditambah ke dalam masakan!" kata pengasas CP Malaysia Kuan Chee Heng, yang mengetuai tangkapan itu.
Lelaki itu dikatakan telah melakukan masturbasi di lobi sebuah hotel di Puchong pada 22 April.

Dia dilihat berkeliaran di sekitar lobi, mengusap-usap kemaluannya sebelum mengambil botol air berwarna merah jambu dari kaunter pekerja untuk memasukkan air mani ke dalamnya sebaik sahaja berlakunya ejakulasi.

Dia kemudian menggoncangkan botol itu dan meletakkannya kembali ke tempat asal dan meninggalkan hotel itu.

Pemilik botol air yang merupakan kerani di situ mendapati air dari botol itu yang diminumnya 'memualkan'.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata kerani tersebut membuat laporan polis selepas kejadian itu.

Siasatan dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membawa Kuan dan pasukannya menangkap lelaki itu di luar restoran di Bandar Puteri Puchong.

Ketika lelaki itu mahu masuk ke dalam keretanya, dia didatangi oleh ahli-ahli CP, mendorongnya untuk cuba melarikan diri.

Dia tidak tahu bahawa pegawai polis telah menunggunya dan menangkapnya di tempat kejadian.

Kuan berkata suspek, yang belum berkahwin, mempunyai sejarah yang panjang dalam kesalahan seksual - telah ditangkap dua kali di Dang Wangi dan pusat beli-belah The Curve kerana bersembunyi di tandas untuk mengintip wanita.

"Nampaknya tabiat lamanya tidak pernah berubah. Saya bertanya kepadanya mengapa dia melakukannya di dalam botol itu. Anda tahu apa yang dia katakan? "I cannot tahan"," Kuan memberitahu The Star.

Suspek dibawa ke Balai Polis Puchong Jaya, awal pagi sabtu untuk siasatan lanjut.

Pekerja Binaan Warga Myanmar Maut Rod Besi Jatuh Atas Kepala


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 12:45 PM
- Gambar hiasan

PETALING JAYA: Seorang pekerja pembinaan warga Myanmar maut selepas satu batang besi terjatuh atas kepalanya di tapak pembinaan Twin Artz di Bukit Jalil pada Jumaat.

Lelaki yang dikenali sebagai Tun Nang, sedang bekerja apabila rod besi seberat antara 10 dan 15 kg jatuh dari bangunan itu kira-kira pukul 11.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata hentakan telah menyebabkan mangsa yang berusia 31 tahun itu pengsan.

"Dia digegaskan ke Pusat Perubatan Taman Desa tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke sana.

"Siasatan mendapati objek tersebut telah jatuh dari tingkat dua bangunan itu," kata beliau sambil menambah mangsa telah bekerja di tapak itu sejak enam bulan lalu.

Pemeriksaan polis mendapati mangsa mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Pada masa kejadian, terdapat beberapa pekerja lain berdekatan.

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dimaklumkan supaya siasatan terhadap kecuaian di tapak pembinaan dapat dilancarkan," kata beliau.

Mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Kes ini telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

26 Sehelai Sepinggang Akibat Kebakaran Kampung Malaysia


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 2:23 PM
Kebakaran yang memusnahkan kediaman yang didiami empat keluarga di Kampung Malaysia, Jumaat malam.

PETALING JAYA: Sebuah kediaman yang didiami empat keluarga di penempatan setinggan terawal di ibu negara, Kampung Malaysia hangus dalam kebakaran mengakibatkan 26 orang kini tinggal sehelai sepinggang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam pada Jumaat itu, semua mangsa di Jalan 13/141 itu terselamat.
Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, tiga jentera dari Balai Bomba Bandar Tun Razak, Sungai Besi dan Jalan Hang Tuah berjaya mengawal api dalam masa 20 minit.
"Mangsa termasuk warga Indonesia berusia 45 tahun berstatus Penduduk Tetap kini ditempatkan di dewan oang ramai berdekatan.
"Keterangan mereka akan direkodkan, ketika ini mangsa masih dalam keadaan trauma," katanya pada Sabtu.
Menurut saksi, kebakaran berpunca daripada penyaman udara di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
"Kami sedang mengesan pemilih kediaman itu untuk membantu siasatan," katanya.

Bumbung terbang ketika berbuka puasa

 Bumbung terbang ketika berbuka puasa
Keadaan kerosakan bumbung di sebuah rumah akibat ribut, semalam

GUAR CHEMPEDAK - Keasyikan lebih 20 keluarga yang sedang menjamu selera ketika berbuka puasa dikejutkan dengan kejadian ‘bumbung terbang’.

‎Kejadian kira-kira jam 8 malam itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat yang melanda Kampung Haji Md Khir dan Lorong Selamat, di sini, semalam.

‎Difahamkan, lapan rumah mengalami kerosakan bumbung, pendawaian elektrik dan perabot yang dianggarkan berjumlah ribuan ringgit.

‎Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati penduduk kampung sedang bergotong-royong membersihkan rumah mangsa.

‎Pada masa sama, ahli keluarga mangsa turut memindahkan pakaian ke rumah jiran terdekat sebagai tempat berteduh sementara waktu.

‎Seorang mangsa, Noor Hasmei Zain, 39, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas tanpa disedarinya.

‎“Masa itu saya sedang makan bersama anak-anak di ruang tamu. Selalunya kalau hujan lebat memang bumbung rumah ada sedikit tiris air.

‎“Tiba-tiba saya lihat ketirisan itu semakin teruk dan apabila lihat ke atas, rupanya bumbung rumah sudah hilang dibawa angin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

‎Beliau yang juga ibu tunggal menyewa di situ sejak setahun lalu bersama tiga anak yang masih bersekolah.

‎“Saya tidak sedar macam mana kejadian itu berlaku sebab ia terlalu cepat. Sebaik lihat bumbung tiada, saya segera bawa anak-anak lari selamatkan diri ke luar rumah.

‎“Habis buku-buku sekolah anak rosak, perkakasan elektrik dan pakaian dibasahi air hujan. Mujur baju raya anak sempat diselamatkan,” katanya.

‎Menurutnya, jumlah kerugian yang dialami dianggarkan bernilai lebih RM2,000.

‎“Kalau boleh saya harap mana-mana pihak yang berkaitan dapatlah bantu kami khususnya untuk membaiki bumbung rumah.

‎“Sebab pendapatan saya pun tidak tetap. Hanya bergantung kepada upah menjahit baju RM20 sehari, itu pun jika dapat siapkan dua helai baju sehari,” katanya.

‎Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Guar Chempedak Selatan, Mohd Nasir Jaafar dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 8.45 malam.

‎“Sebaik mendapat aduan berlaku ribut di kawasan itu, saya segera meninjau lokasi dan mendapati beberapa bumbung rumah tercabut.

‎“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku, cuma berlaku kerosakan pada bumbung rumah dan pendawaian elektrik,” katanya.

‎Mohd Nasir berkata, buat sementara waktu penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan kejadian dan membaiki semula bumbung rumah berkenaan jika ia masih digunakan.

‎“Kita pasang semula bumbung rumah itu kalau ia masih boleh digunakan sementara menunggu bantuan dari pihak berkaitan,” katanya.

Ibu bapa panik bayi dihanyut ke tengah laut

 Ibu bapa panik bayi dihanyut ke tengah laut
Melda Ilgin dihanyutkan ke tengah laut oleh ombak dan angin kuat ketika berkunjung ke pantai Canakkale, Turki.

CANAKKALE - TURKI. Seorang bayi berusia 10 bulan berjaya diselamatkan pasukan penyelamat selepas hanyut satu kilometer dari pantai ke tengah laut, lapor portal Metro.co.uk.‎

Menurut laporan tersebut, misi menyelamat itu dibuat secara dramatik hanya selepas ibu bapanya kehilangan anak mereka sebaik orang ramai melihat bayi itu dihanyutkan ombak ke tengah laut.

Menurut jurucakap pasukan penyelamat pantai Canakkale, Melda Ilgin, 10 bulan, dihanyutkan ke tengah laut dalam masa yang singkat berikutan angin kuat yang melanda pantai tersebut.

"Ilgin dihanyutkan ke arah kepulauan Greek. Ibu bapa Ilgin terlupa bahawa mereka telah meninggalkan bayi mereka di atas pelampung.

"Mereka tidak sedar keadaan Ilgin sehingga pengunjung lain melihat bayi tersebut dihanyutkan ombak ke tengah laut," katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, orang ramai cuba berenang untuk mendapatkan semula bayi tersebut, namun disebabkan ombak terlalu kuat, mereka terpaksa berpatah balik sebelum menghubungi pengawal pantai.

"Bayi tersebut berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat sejurus selepas orang ramai menghubungi pengawal pantai," katanya lagi.

Maut dihempap jejantas pejalan kaki

Bomba
Bomba

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap jejantas pejalan kaki yang dalam pembinaan di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.53 tengah hari.
Bagaimanapun, katanya apabila anggota bomba tiba di lokasi, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kita akan siasat punca bagaimana struktur jejantas yang sedang dibina itu boleh runtuh," katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama

Suami jerut leher sendiri selepas bunuh isteri

PDRM

MIRI - Sepasang suami isteri maut di kediaman pasangan itu di Desa Senadin Lorong 2D di sini, dipercayai membabitkan kes bunuh dan bunuh diri.

Pemangku Ketua Polis Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan kes itu berkata berdasarkan siasatan awal mendapati lelaki berusia 50 tahun itu telah membunuh isterinya berusia 39 tahun dengan menghentak kepala mangsa di lantai.

"Lelaki itu kemudian membunuh diri dengan menjerut leher sendiri menggunakan kabel. Motif pembunuhan masih disiasat," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada sebelah pagi ini, selepas lelaki terbabit menghantar dua anaknya ke sekolah.

"Tiada kesan pergelutan dan barang berharga juga tidak hilang," katanya.

Stanley berkata, lelaki itu yang bekerja di sebuah syarikat menjual kereta dan isterinya yang bekerja di sebuah syarikat swasta, meninggalkan seorang anak lelaki berusia 13 tahun dan seorang anak perempuan berusia 11 tahun. - Bernama

Berpantang maut sebelum ajal

Berpantang maut sebelum ajal
Keadaan Abu Mansor yang nyaris digilis tayar bas

MARANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang penunggang motosikal yang nyaris digilis tayar sebelah kiri sebuah bas dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rhu Rengeh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.45 pagi itu, mangsa, Abu Mansor Muda, 47, beralamat dari Kampung Kubang Ikan, Chendering, Kuala Terengganu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan pergelangan kaki.

Sebelum kejadian, pemandu bas berusia 44 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan dikatakan memberhentikan bas dipandunya selepas mengesyaki melanggar sesuatu.

Tindakan pantas lelaki terbabit memberhentikan bas dipandunya sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tersepit di bahagian hadapan sebelah kiri bas bersama motosikal ditungganginya.

Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa dan menghubungi anggota penyelamat sebelum polis dan sebuah ambulans JPAM Marang tiba di tempat kejadian.

Penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan itu segera
dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala polis sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit untuk membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, beliau mengesahkan menerima laporan tentang kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nyaris maut treler terbakar

Nyaris maut treler terbakar
Bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran treler terbabit.

GUNUNG SEMANGGOL - Seorang pemandu treler muatan barangan lusuh nyaris maut apabila lori yang dipandunya terbakar di Kilometer 194.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 40-an itu dikatakan masih sempat meneruskan perjalanan lebih satu kilometer sebelum menyedari kebakaran itu setelah dimaklumkan beberapa kenderaan yang memintasnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.16 malam sebelum bergerak ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, badan kenderaan terbabit sudah 60 peratus terbakar dan hasil kepantasan bomba api berjaya dipadamkan daripada terus merebak.

“Berdasarkan keterangan pemandu, dia tidak menyedari kebakaran itu dan terus memandu sehinggalah dimaklumkan beberapa pengguna jalan raya yang melihat api mula membakar belakang treler.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Anuar, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Bukit Merah menghala Kuala Kangsar sebelum melihat belakang sebuah treler terbakar.

"Saya bagi isyarat tapi pemandu treler itu tak sedar dan sebab bimbang, saya terus pintas sebelum beri isyarat supaya dia berhenti sebab api sudah marak.

"Treler itu mula berhenti di laluan kecemasan dan saya terus membuat panggilan kecemasan," katanya.

Jawi sita tabung derma di restoran

Jawi sita tabung derma di restoran
Tabung-tabung yang ditempatkan di sebuah restoran di Masjid India disita Jawi, menerusi operasi khas.

KUALA LUMPUR - Sejumlah 19 tabung derma disita Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi operasi khas membanteras aktiviti kutipan derma khairat tanpa kebenaran di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, 17 daripada tabung yang disita adalah hasil serbuan ke restoran-restoran di beberapa kawasan di pusat bandar.

Menurutnya, selebihnya aktiviti kutipan yang dilakukan dua remaja berusia 20-an dari sebuah yayasan yang melakukannya secara sambilan.

“Seramai 12 orang yang disyaki membabitkan pemilik restoran telah diberi surat perintah hadir untuk kita dapatkan keterangan dan maklumat berhubung tabung-tabung yang diletakkan di premis mereka.

“Manakala dua remaja ditahan kerana melakukan kutipan derma di Wilayah Persekutuan tanpa kebenaran.

“Satu aktiviti kutipan derma wakaf al-Quran juga kita kenal pasti sedang siasat. Aktiviti itu dilihat mencurigakan kerana tiada contoh al-Quran yang
dipamerkan,” katanya.

Jelas Wan Jaafar, aktiviti kutipan derma itu tidak dibenarkan apatah lagi institusi yang berpusat di luar Wilayah Persekutuan.

Katanya, kebanyakan kes kutipan secara rambang menggunakan dokumen palsu yang diubah suai menggunakan surat-surat idak berkaitan, termasuk meyakinkan orang ramai dengan gambar bersama pemimpin tertinggi negara.

“Kita ada saluran khas untuk dapatkan bantuan seperti Baitulmal di setiap negeri.

Malah di Wilayah Persekutuan, Maiwp sendiri telah beri bantuan sumbangan kepada masjidmasjid dan surau untuk aktiviti sepanjang Ramadan.

“Untuk tabung- tabung diletakkan di restoran, kita tahu mereka ada menerima bayaran membenarkan tabung-tabung ini ditempatkan di premis mereka.
Manakala bagi petugas kutipan secara rambang ada antaranya yang menerima gaji RM1,200 sebulan,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 84 akta 505, Pungutan Khairat Tanpa Kebenaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM1000 dan tidak lebih enam bulan penjara.

Sementara itu, dalam operasi sama, pegawai penguatkuasa berjaya mengesan empat individu yang tidak menghormati bulan puasa dengan menghisap rokok serta makan dan minum secara terbuka.

24 saman dikeluar dalam Ops Samseng

PDRM

LABUAN - Sebanyak 24 saman dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar sini malam tadi.
 
Ketua Polis Labuan, Superintendan Adzhar Othman berkata operasi itu bertujuan menangani samseng jalanan dan pengguna jalaj raya yang ingkar yang sering melakukan kesalahan jalan raya.
 
Beliau berkata 140 kenderaan di periksa dalam operasi itu.
 
Dua buah motosikal yang ditunggang dua remaja tanpa lesen dan melanggar peraturan jalan raya turut disita, katanya.
 
Turut ditahan ialah dua pendatang asing tanpa izin yang kemudiannya diserahkan kepada pihak imigresen. -Bernama

16 Pati ditahan Imigresen Johor

Imigresen Malaysia

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan seorang pemandu bas ekspres, dua lelaki tempatan dan 16 pendatang tanpa izin (Pati) warga Indonesia menerusi Ops Serkap di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat Kulaijaya, semalam.
 
Timbalan Penolong Pengarahnya, Gajendra Bahadur berkata kesemua mereka termasuk seorang kanak-kanak lelaki ditahan di Hentian Sebelah Kulaijaya, arah selatan, kerana menggunakan laluan tidak sah untuk pulang ke negara asal mereka.
 
"Pemandu bas, seorang warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) di Malaysia dan dua lelaki tempatan berkenaan ditahan kerana mengatur perjalanan pulang kesemua Pati itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata siasatan mendapati pemandu bas berusia 40-an itu membawa kesemua Pati dari Kuala Lumpur.
 
Beliau berkata dua lelaki tempatan berusia 30-an merupakan pemandu teksi eksekutif serta pemandu kereta Perodua Kenari menunggu mereka di hentian terbabit untuk dibawa ke rumah transit sebelum ke persisiran pantai di Pengerang, dekat Kota Tinggi.
 
Katanya Pati berusia enam dan 45 tahun itu dikenakan bayaran RM1,500 seorang untuk kos pengangkutan bas dari Kuala Lumpur dan seterusnya bot pancung ke Indonesia. -Bernama

16 Pati ditahan Imigresen Johor

Imigresen Malaysia

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan seorang pemandu bas ekspres, dua lelaki tempatan dan 16 pendatang tanpa izin (Pati) warga Indonesia menerusi Ops Serkap di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat Kulaijaya, semalam.
 
Timbalan Penolong Pengarahnya, Gajendra Bahadur berkata kesemua mereka termasuk seorang kanak-kanak lelaki ditahan di Hentian Sebelah Kulaijaya, arah selatan, kerana menggunakan laluan tidak sah untuk pulang ke negara asal mereka.
 
"Pemandu bas, seorang warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) di Malaysia dan dua lelaki tempatan berkenaan ditahan kerana mengatur perjalanan pulang kesemua Pati itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata siasatan mendapati pemandu bas berusia 40-an itu membawa kesemua Pati dari Kuala Lumpur.
 
Beliau berkata dua lelaki tempatan berusia 30-an merupakan pemandu teksi eksekutif serta pemandu kereta Perodua Kenari menunggu mereka di hentian terbabit untuk dibawa ke rumah transit sebelum ke persisiran pantai di Pengerang, dekat Kota Tinggi.
 
Katanya Pati berusia enam dan 45 tahun itu dikenakan bayaran RM1,500 seorang untuk kos pengangkutan bas dari Kuala Lumpur dan seterusnya bot pancung ke Indonesia. -Bernama

Feri karam, 36 maut

Feri karam, 36 maut
Mangsa feri Kim Nirvana yang karam di selatan perairan Filipina di bawa ke pelabuhan Ormoc.

MANILA - FILIPINA. Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh selepas sebuah feri yang membawa 173 penumpang terbalik di selatan perairan Filipina, semalam.

Menurut laporan Inquirer.net, Kapal Kim Nirvana karam akibat dihempas ombak kuat ketika sedang belayar dari Bandar Ormoc menuju ke selatan Pulau Camotes.

Pegawai pemantau bencana berkata, bot penyelamat menyelamatkan berpuluh-puluh mangsa yang berpaut pada badan kapal yang terbalik kira-kira 1 kilometer (km) dari pelabuhan Ormoc.

"Kumpulan penyelam kini sedang bertungkus lumus mencari mangsa sekiranya ada yang terselamat di sekitar kawasan perairan yang keruh," kata jurucakap pengurusan bencana, Ciriaco Tolibao.

Sementara itu, radio Manila melaporkan, 21 orang dilaporkan hilang namun angka rasmi masih belum dapat disahkan.

Pasukan pengawal pantai turut mengesahkan satu operasi menyelamatkan besar-besaran telah dilancarkan namun enggan memberikan maklumat lanjut.

Difahamkan, feri yang tidak diselenggara dengan baik sering menyebabkan kemalangan di kawasan perairan di negara itu.

Salah satu insiden paling diingati berlaku pada 1987, apabila feri Dona Paz merempuh sebuah kapal tangki minyak menyebabkan 4,300 terkorban.

Pekerja kilang maut 'ditumbuk' robot

Pekerja kilang maut 'ditumbuk' robot
Gambar hiasan

KASSEL - JERMAN. Seorang pekerja kilang terbunuh selepas robot yang sedang dipasang mengepit dadanya ke atas sekeping plat besi, semalam.
Menurut laporan Financial Times, pekerja berusia 21 tahun tersebut bersama dengan seorang lagi rakan sekerja semasa kejadian berlaku di kilang pemasangan kenderaan Volkswagen.
Jurucakap Volkswagen, Heiko Hillwig memberitahu bahawa kejadian tersebut disebabkan oleh kesilapan teknikal.
Robot tersebut mampu diprogram untuk melakukan pelbagai kerja, termasuk memegang bahagian-bahagian kenderaan dan memanipulasinya.
Bagaimanapun, robot selalunya dikawal jauh dari manusia dan operator akan diletakkan di dalam ruangan selamat.
Pegawai pendakwaraya sudah membuka kertas siasatan.

Tribunal bicara penjenayah MH17

New York: Malaysia akan membuat permohonan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menubuhkan tribunal antarabangsa yang disokong PBB bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan MH17 di Ukraine.
Menurut euronews.com, Presiden Majlis Keselamatan PBB untuk Julai, Gerard van Bohemen, mengesahkan hasrat Malaysia itu semalam.
Pesawat Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh Julai tahun lalu, bersama 298 penumpang dengan dua pertiga daripadanya rakyat Belanda.
Penubuhan tribunal itu adalah usaha kerajaan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine.
Sementara itu AP melaporkan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, berkata di Amsterdam, kerajaannya menyokong penubuhan tribunal antarabangsa itu kerana percaya ia langkah terbaik membawa mereka yang bertanggungjawab ke pengadilan.
Difahamkan, Duta Malaysia ke PBB, Ramlan Ibrahim, memberi majlis keselamatan bahawa resolusi sedang disediakan oleh lima negara yang menyiasat kejadian itu dan akan diletak di bawah Bab 7 Peruntukan PBB yang boleh menggunakan kuasa tentera.
Laporan siasatan oleh pasukan penyiasat antarabangsa akan diumumkan Oktober ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:18 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61943#sthash.5OP4KZec.dpuf

‘Susahnya hilang jari’

Padang Terap: “Saya menyesal bermain mercun kerana ia memberi kesan apabila bukan saja kehilangan dua jari tangan kiri, malah sehingga kini, saya gagal mendapat pekerjaan tetap dan hanya mampu melakukan kerja kampung bagi menyara kehidupan,”
Begitu kata Mohd Faizal Ibrahim, 21, yang kehilangan jari manis dan jari hantu akibat bermain mercun buatan sendiri kira-kira empat tahun lalu sehingga menyukarkan dirinya mencari pekerjaan.
Mohd Faizal berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8 pagi, iaitu pada hari pertama Aidilfitri di ruang tamu rumahnya ketika dia bersendirian, manakala ibunya, Norazah Aziz, 44, sedang memasak di dapur.
Katanya, pada pagi kejadian, dia pergi mengutip mercun yang tidak meletup di sekitar kawasan kampung dan membawa pulang ke rumah untuk diproses dijadikan mercun buatan sendiri yang bunyinya lebih kuat berbanding mercun biasa.
“Sebelum itu, ibu melarang saya bermain mercun kerana bimbang sesuatu buruk berlaku apatah lagi saya berusia 18 tahun dan baru habis sekolah.
“Saya berjalan kaki seorang diri mengutip mercun yang tidak meletup dan memasukkan belerang ke dalam bekas minuman yang digunting menyebabkan ia mampat lalu dimasukkan dawai yang dijadikan sebagai sumbu.
“Namun, ketika cuba memusing dawai beberapa kali menyebabkan ia panas dan apabila saya cuba meletakkannya pada belerang tiba-tiba ia meletup dengan kuat. Saya pada mulanya berasa kebas di bahagian tangan kiri dan tidak sedar tapak tangan hancur,” katanya ditemui di rumahnya, di Kampung Pong Manis, Kuala Nerang, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 9:10 AM



NORAZAH menunjukkan dua jari anaknya, Mohd Faizal cacat selepas terkena mercun empat tahun lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61807#sthash.ypprzH0f.dpuf

Pemandu teksi sapu berlagak samseng


Tidak cukup dengan ‘mencuri’ penumpang, pemandu teksi sapu berlagak samseng apabila cuba menikam seorang pemandu limosin yang menegur perbuatannya di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun dan beberapa rakan yang juga pemandu limosin cuba mengusir pemandu teksi sapu yang mengambil penumpang di kawasan itu.

Menurut sumber, mangsa menghampiri seorang pemandu teksi sapu dan menegurnya secara baik, namun dia diherdik suspek itu yang tidak berpuas hati dengan teguran itu.

“Suspek yang berang terus mengeluarkan pisau lipat dan mengacu serta cuba menikam mangsa.


“Dua rakan mangsa kemudian cuba meleraikan pertengkaran itu sebelum anggota polis yang melakukan rondaan menahan suspek terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62041#sthash.rgfqiT9E.dpuf

Pancing ulat tiket

Kuala Lumpur: Seramai 10 ulat tiket termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi di Pudu Sentral, di sini kelmarin.
Dalam operasi selama sejam berakhir jam 9.30 malam, kebanyakan ulat tiket berusia 25 dan 53 tahun itu sedang asyik mencari mangsa untuk mendapatkan keuntungan segera.
Bagaimanapun, kumpulan ulat tiket itu tidak menyedari perbuatan mereka itu diperhatikan anggota penguat kuasa SPAD yang bertindak menahan mereka.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam.
Menurutnya, kumpulan itu sering menjadikan stesen berkenaan tempat mengaut keuntungan terutama di musim perayaan dan hujung minggu.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Pihak SPAD juga akan mempercepatkan proses siasatan dan semua mereka akan didakwa di mahkamah,” katanya pada sidang media di Pudu Sentral, semalam.
Menurutnya, SPAD akan menjalankan operasi ini dari semasa ke semasa dan berdasarkan rekod, SPAD sudah menahan 215 ulat tiket sejak 2011.
Katanya, sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, SPAD akan mempertingkatkan pemantauan setiap masa tanpa henti untuk tempoh sebulan.
“Kami akan bekerja 24 jam untuk dua minggu sebelum dan dua minggu selepas hari raya nanti.
“Pemantauan ini akan diadakan di seluruh negara termasuk perkhidmatan teksi dan bas yang mengambil penumpang di luar terminal,” tegasnya.
Sementara itu, berhubung isu penggunaan aplikasi My Teksi dan Uber Teksi, Che Husni menegaskan pihaknya sentiasa memantau kegiatan pengambilan penumpang tanpa permit.
Katanya, SPAD hanya boleh mengambil tindakan terhadap kenderaan yang tidak mempunyai permit, tetapi penggunaan aplikasi itu terletak di bawah agensi penguatkuasaan lain.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:14 AM


ANGGOTA penguat kuasa SPAD menyiasat ulat tiket yang ditahan dalam operasi di Pudu Sentral.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62040#sthash.sPbDZldK.dpuf

Lari bertempiaran payung terbang

Kangar: Puluhan peniaga bertempiaran lari apabila ribut menerbangkan beberapa gerai makanan di Bazar Ramadan Kangar berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, keadaan di kawasan terbabit hujan lebat sebelum tiba-tiba berlaku ribut.
Peniaga nasi ayam Azri Muhaimin, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk menyediakan makanan untuk dijual kepada pengunjung yang datang ke bazar itu.
“Ketika itu hujan lebat dan tidak semena-mena saya ternampak beberapa payung gerai berterbangan ditiup angin.
“Situasi itu juga menyebabkan beberapa pengunjung dan peniaga bertempiaran lari menyelamatkan diri. Mujurlah tiada yang cedera dalam kejadian itu,” katanya.
Pengunjung bazar Jalil Mat Shah, 35, pula berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk membeli-belah juadah berbuka puasa.
“Kejadian berlaku kira-kira tiga hingga lima minit dan habis segala juadah yang dijual jatuh ke tanah manakala gerai makanan pula rosak,” katanya.
Beberapa peniaga yang tidak terjejas bagaimanapun masih meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.
Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis berkata, pihaknya sedang memantau sama ada berlaku sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian ribut itu.
“Buat masa ini, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku, sebaliknya ia banyak membabitkan kemusnahan harta benda dan pihak kami sedang memantau situasi ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:31 AM


TIANG khemah patah dilanda ribut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62058#sthash.Vx92EX23.dpuf

Rompak waktu berbuka

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah mengambil kesempatan waktu berbuka puasa untuk melakukan rompakan di sebuah bank di Sentul Raya di sini, bagi memastikan pengawal keselamatan bank terbabit tidak berada di lokasi itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa berusia 35 tahun ingin memasukkan wang ke dalam mesin deposit tunai sebelum didatangi seorang lelaki bersenjatakan parang yang memaksanya menyerahkan wang tunai berjumlah RM11,000.
Difahamkan, ketika kejadian pengawal keselamatan bank terbabit tiada di tempat kejadian kerana keluar berbuka puasa di luar kawasan bank berkenaan menyebabkan penjenayah terbabit mudah melakukan rompakan itu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pengawal keselamatan terbabit sepatutnya bertugas di bank terbabit, namun keluar ke restoran berhampiran untuk berbuka puasa.
Menurutnya, tindakannya itu mengundang padah apabila penjenayah mengambil peluang kerana kurangnya kawalan keselamatan di bank terbabit ketika itu.
“Kami sudah memanggil pengawal keselamatan dan wakil syarikat keselamatan terbabit untuk memberi penjelasan berkaitan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati pengawal keselamatan itu tidak terbabit dengan kejadian jenayah ini,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di sini, semalam.
Munusamy berkata, dalam kejadian terbabit, suspek bersenjatakan parang memakai topi keledar berpenutup gelap mengacukan parang kepada mangsa.
“Mangsa yang bekerja sebagai jurujual motosikal itu bagaimanapun tidak dicederakan penjenayah terbabit,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:17 AM


RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mengacukan parang kepada mangsa dalam kejadian di Sentul Raya, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62043#sthash.3tpY43F8.dpuf

Penangan ribut

Melaka: Sebahagian peniaga bazar Ramadan di Pantai Klebang, di sini, terkedu apabila khemah mereka ranap diterbangkan ribut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, hujan lebat yang kemudian disusuli ribut menyebabkan pelbagai khemah berukuran 6x6 meter diterbangkan hingga ada yang patah tiangnya.
Seorang mangsa, Kamis Bachik, 65, berkata, dia kerugian kira-kira RM100,000 berikutan khemahnya yang menempatkan peralatan alat solek musnah dalam kejadian itu manakala sebuah lagi khemah yang menempatkan pakaian raya juga turut rosak.
“Saya tinggal di Sungai Udang dan subuh tadi (semalam) memang hujan lebat, namun saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 7 pagi.
“Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 7 pagi tadi ketika saya melawat isteri di Hospital Melaka. Berikutan itu, saya berkejar ke sini dan terkejut melihat kerosakan teruk yang dialami di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.
Sementara itu, pekerja premis makanan segera yang membuka gerai jualan di situ, Akmal Henra, 24, berkata, dia hanya menyedari mengenai keadaan di situ selepas membaca mesej dalam kumpulan WhatsApp antara peniaga.
“Barang seperti pencuci mulut, aiskrim yang disimpan dalam peti sejuk beku semuanya rosak kerana kabel elektrik yang disambung terputus,” katanya.
Muhd Hakimi Norazli, 25, yang membuka perniagaan bundle seluar jean pula terpaksa menjemur semua pakaian selepas khemah miliknya diselak angin sehingga dibasahi hujan.
“Saya bersama dua lagi rakan yang tidur dalam khemah berasa amat takut dengan ribut yang tiba-tiba datang selepas hujan.
“Apa yang kami mampu lakukan hanyalah terus tinggal di bawah khemah kerana bimbang terkena tiang besi khemah lain yang berterbangan,” katanya yang menganggarkan nilai seluar jean dalam khemahnya sebanyak RM12,000.
Peniaga lain, Muhammad Zaki Masrap, 27, yang berniaga kerepek dan kuih raya pula terpaksa meminta kebenaran majikan di kilang untuk keluar membersihkan khemahnya yang turut terjejas.
“Apabila saya datang kira-kira jam 10 pagi, habis kuih-muih dalam keadaan tunggang-langgang, malah ada kerepek yang rosak gara-gara plastik besar terkoyak,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:32 AM

KAMIS menjemur baju Melayu yang basah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62061#sthash.Ij7ksAlh.dpuf

Henti cari mangsa karam

Manila: Pasukan mencari dan menyelamat semalam menamatkan operasi mencari mangsa feri karam di tengah Filipina yang meragut 45 nyawa.
Jurucakap pengawal pantai, Armand Balilo berkata, semua 187 penumpang dan anak kapal feri M/B Kim Nirvana yang karam kelmarin dikenal pasti.
Katanya, seramai 142 penumpang berjaya diselamatkan dan tiada lagi laporan mengenai mangsa yang hilang.
“Kami kini menunggu pengumuman rasmi bagi menamatkan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Sebuah kren terapung digunakan untuk menunda feri seberat 36 tan yang karam itu menuju ke pelabuhan Ormoc.
Feri diperbuat daripada kayu itu diapungkan semula supaya pihak berkuasa boleh menelitinya.
Kata Balilo, feri itu baru belayar dari pelabuhan Ormoc menuju ke bandar Pilar di kepulauan Camotes apabila ia dilambung ombak besar sebelum karam.
Katanya, kapten dan beberapa kru feri diselamatkan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Antara tumpuan siasatan adalah kecuaian manusia, membawa lebih muatan dan sudah tentu faktor cuaca,” jelasnya.
Pasukan penyiasat belum mengetahui punca feri membawa muatan bahan binaan dan beras itu karam.
Komander pengawal pantai serantau, Pedro Tinampay memberitahu, kemungkinan pergerakan kargo di dalam feri itu menyebabkan ia terbalik sebelum karam.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:39 AM


SEBUAH kren digunakan untuk mengangkat dan menunda feri M/B Kim Nirvana yang karam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62021#sthash.xYIfKlR0.dpuf