Search This Blog

Friday, July 3, 2015

Pasangan Warga Emas Maut Diserang Babi Hutan


Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2015 10:53 PM
- Gambar hiasan (sumber internet)

SEGAMAT: Pasangan warga emas telah diserang dan dibunuh oleh babi hutan ketika mereka sedang menoreh getah di ladang di Kuala Paya berhampiran Buloh Kasap di sini.

Mangsa, dikenali sebagai Loo See Sing, 66, dan isterinya Liow Mei Lan, 68, sedang menjalankan rutin biasa mereka pada awal pagi, tetapi tidak pulang pada masa yang sepatutnya.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata pemilik ladang pergi mencari pasangan itu pada tengah hari apabila mereka tidak pulang.

"Pasangan itu biasanya kembali dengan hasil mereka pada pukul 9 pagi tetapi kali ini, mereka tidak muncul, menyebabkan pemilik ladang mencari mereka.

"Kedua-dua ditemui dengan luka di seluruh tubuh badan, yang pada mulanya polis percaya mereka telah dirompak dan dibunuh," katanya.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmin berkata mereka disiasat kes di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan tetapi kemudian ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Kami sedang menyiasat kes tersebut sebagai kes pembunuhan berdasarkan tanda pada tubuh mereka apabila tiba-tiba seekor babi hutan muncul dan menyerang anggota kita.

"Pegawai-pegawai tidak mempunyai pilihan melainkan menembak haiwan itu dan mendapati terdapat kesan darah pada taring, yang konsisten dengan kecederaan mangsa," katanya.

Mohd Kamil mengesahkan bahawa mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

Tahanan Lolos Diberkas Setelah Tiga Hari Bersembunyi


Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2015 9:50 PM
- Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Setelah tiga hari bersembunyi, seorang tahanan yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Kuala Terengganu diberkas semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata tahanan berusia 28 tahun itu diberkas di rumah ibunya di Kampung Dusun, Kuala Ibai di sini kira-kira pukul 5.20 petang.

Beliau berkata suspek dicekup sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

"Serbuan dilakukan selepas kita menerima maklumat mengenai kehadiran suspek di rumah ibunya," katanya kepada Bernama.

Tahanan itu melarikan diri Isnin lalu ketika berada di lokap mahkamah berkenaan, dengan memanjat ruang antara jeriji dan bumbung lokap.

Dia dihadapkan ke mahkamah atas tiga kesalahan iaitu merompak secara berkumpulan, pecah rumah dan berkaitan dadah.
Rosli berkata tahanan itu kini sedang disiasat.

Pengawal Keselamatan, Dua Pegawai Akaun Disamun RM1.4 Juta


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 4:18 PM

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan kerugian lebih RM1.4 juta selepas wang tunai yang baharu dikeluarkan dari sebuah bank disamun di Phileo Damansara, Petaling Jaya, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian 4.20 petang itu, dua pegawai akaun dan seorang pengawal keselamatan syarikat itu dalam perjalanan ke pejabat syarikat berkenaan di bangunan itu dari sebuah bank di Damansara Height.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata kesemua mangsa berumur antara 29 dan 35 tahun disamun di tingkat dua, di tempat meletak kenderaan di bahagian bawah bangunan syarikat terbabit.
"Mangsa didatangi dua lelaki disyaki warga tempatan yang memakai penutup muka dan bercermin mata, bertopi baseball yang telah menolak pengawal keselamatan (pengadu) dengan mengacukan senjata menyerupai pistol di kepalanya.
"Seorang lagi suspek telah menghantuk kepala rakan pengadu ke dinding sebelum mengikat tangan pengadu dan rakannya dengan menggunakan sejenis wayar kabel serta merampas tiga beg komputer berisi wang syarikat sebanyak RM1.4 juta," katanya ketika dihubungi.
Azmi berkata suspek turut melarikan wang tunai milik mangsa berjumlah RM1,500 serta tiga telefon bimbit.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang tidak dikenal pasti.
Menurutnya terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian namun tidak menghala ke tempat kejadian dan buat masa ini tiada saksi yang tampil untuk membantu siasatan.

Buruh Maut Dirempuh Lori Kayu Getah


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 4:32 PM

KUALA LUMPUR: Seorang buruh maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh lori membawa muatan kayu getah dalam kemalangan yang turut membabitkan tiga kenderaan lain di KM 28 Jalan Kuala Lumpur-Seremban di Semenyih, Selangor, pagi Jumaat.
Dalam kejadian pada 9.04 pagi itu, P. Ravi, 25, yang menunggang motosikal Honda Wave maut di tempat kejadian apabila pemandu lori yang dalam perjalanan dari Kajang, gagal mengawal lorinya lalu melanggar pembahagi jalan dan merempuh belakang motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Willey Richard berkata muatan kayu getah itu turut menimpa tiga kereta lain, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987, katanya.

Murid Hilang Sejak Dua Minggu Lalu


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 10:13 AM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang ibu merayu orang ramai untuk membantu mengesan anak perempuannya A. Jennifer, 12, yang hilang selepas tidak pulang dari sekolah di Kampung Pandan Dalam di sini sejak 19 Jun lalu.
K.Sakunthala, 46, berkata anaknya juga tidak menghadiri kelas tambahan selepas sekolah seperti yang diberitahu kepada ibunya.
"Ketika saya menghantarnya ke sekolah pada jam 6.30 pagi, dia memaklumkan dia mempunyai kelas tambahan dan akan pulang pada jam 3.30 petang," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan ugutan atau meminta wang tebusan.

Sakunthala meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar  talian 014-9660716.

Jenifer dilapor hilang selepas keluar dari sekolahnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata usaha mencari murid tersebut turut dibuat dengan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan sekolahnya.

Tiga Maut Termasuk Dua Wanita Dalam Kemalangan Berasingan


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 3:15 PM
Keadaan sebuah lori kontena membawa muatan minuman yang remuk setelah terhumban pada ketinggian hampir enam meter di Kilometer 266.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran persimpangan susur masuk Tol Jelapang awal pagi Khamis. Kejadian pada 3.50 pagi itu menyebabkan mangsa, lelaki berusia 35 tahun berasal dari Melaka mengalami kecederaan di beberapa anggota badan. Lori tersebut dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menghala ke Pulau Pinang terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu terjatuh ke tebing jalan.

IPOH: Tiga orang termasuk dua wanita terbunuh, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan berasingan di Batu Gajah, Perak Tengah dan Tapah pada Khamis.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Perak Supt Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian pada pukul 7.15 malam, mangsa Noraini Ahmad Shah, 50, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang, tiga jam selepas dimasukkan ke hospital itu.
Mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lagi motosikal lain ketika membuat pusingan U di Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Perak Tengah, katanya ketika dihubungi, Jumaat.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang melanggar mangsa, Mohd Azzeen Ameera, 18, mengalami cedera parah dan dirawat di hospital yang sama.
Sementara itu, dalam kejadian di kilometer 337 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah, seorang pemandu lori, Mohd Saifuddin Nadarajah Abdullah, 47, berasal dari Seremban meninggal dunia selepas dirempuh oleh sebuah kereta lain ketika berhenti di lorong kecemasan pada pukul 8.10 malam.
Wan Jamil berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan melanggar sebuah lori pikap di hadapannya menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke lorong kecemasan.
Katanya, ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu menuju ke utara.
"Mangsa dikatakan turun dari kenderaannya lalu dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang, manakala pemandu lori pikap hanya mengalami cedera ringan," katanya.
Katanya, dalam satu lagi kejadian di persimpangan empat lampu isyarat pekan Batu Gajah, seorang wanita meninggal dunia, manakala anaknya cedera parah selepas dirempuh treler ketika mangsa membuat pusingan U di jalan berkenaan.
Mangsa Siti Fatihah Omar, 38, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, manakala anaknya Noraeliana Shamsuddin, 9, yang cedera parah dirawat di hospital yang sama.
Pemandu lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.

Polis Tahan Buruh Binaan, Rampas Dadah


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 2:38 PM

MELAKA: Polis menahan seorang buruh binaan dan merampas pelbagai dadah bernilai RM190,000 dalam serbuan di sebuah apartment di Batang Tiga, Klebang di sini, petang Khamis.
Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata hasil pemeriksaan di apartment itu, polis menjumpai dua beg dan satu kotak mengandungi 21 paket disyaki heroin seberat 9.33 kilogram; 15 paket disyaki syabu seberat 200 gram; dan 500 pil disyaki erimin 5.
"Polis turut merampas wang tunai RM9,657 dan sebuah kereta Perodua Myvi disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.
Beliau berkata dadah tersebut disyaki diambil dari Lembah Klang dan aktiviti pengedaran dilakukan lelaki itu dipercayai sejak enam bulan lepas di sekitar Sungai Udang, Batang Tiga dan Krubong di sini.
Katanya serbuan dan tangkapan terhadap lelaki berusia 25 tahun itu dibuat hasil maklumat orang awam dan risikan selama tiga minggu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Melaka.
Chuah berkata lelaki itu mempunyai empat kesalahan lampau melibatkan curi, rompakan berkumpulan, rompakan bersenjata dan gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan rampasan dadah ini merupakan yang terbesar pada tahun ini di Melaka," katanya.

Pati Warga China Rempuh Palang Pemeriksaan Imigresen


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 4:24 PM

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan seorang lelaki tempatan dan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ketika cuba meloloskan diri semasa pemeriksaan di laluan Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam, petang Khamis.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata lelaki tempatan berumur 46 tahun daripada Kubang Pasu itu dipercayai mengambil upah menjadi tekong menyeludup keluar PATI berumur 48 tahun itu.
"Pada 3.20 petang semalam, lelaki tempatan menaiki Proton Saga telah memasuki lorong kereta ke Thailand di Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam manakala warga China duduk di bahagian belakang. Kedua-duanya gagal menunjukkannya sebarang dokumen apabila diminta.
"Pemandu telah merempuh palang pemeriksaan dan memecut masuk ke arah Thailand tetapi berjaya ditahan di kawasan kompleks bebas cukai manakala warga China itu ditahan ketika bersembunyi di dalam kompleks berkenaan 20 minit kemudian," katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, warga China yang ditahan itu turut dikesan memiliki kerakyatan Taiwan dan cop dalam pasportnya dipercayai palsu.
Lelaki warga tempatan yang ditahan telah dihantar ke lokap Imigresen di Jitra manakala warga China terbabit dihantar ke lokap Imigresen Alor Setar.
Mohamad Yusri berkata lelaki tempatan itu akan disiasat di bawah Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 sementara warga China itu pula disiasat mengikut Seksyen 12 (1)(b) Akta Pasport dan Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen.

Lelaki Iran Maut Dibelasah


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 5:41 PM

GEORGE TOWN: Seorang lelaki rakyat Iran maut selepas sehari dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat dipukul sekumpulan lelaki di Jalan Kebun Bunga, di sini.
Asadollah Nabatikar, 52, yang dimasukkan ke HPP pada Rabu lepas kerana cedera parah di kepala dan dada, disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang semalam di Unit Rawatan Rapi Am (GICU) hospital itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata lelaki itu ditemui dalam keadaan cedera parah di pondok rehat di kawasan kebun bunga itu oleh orang awam yang kemudian menghubungi ambulans.
"Lelaki itu mulanya dirawat di wad biasa dan dipindah di GICU kira-kira pukul 9.30 pagi semalam selepas keadaannya bertambah teruk," katanya.
Mior Faridalatrash berkata lelaki yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu dipercayai tinggal di negara ini sejak beberapa tahun lepas dan bekerja sendiri.
Asadollah dipercayai disamun dan dipukul sekumpulan lelaki di kawasan kebun bunga berkenaan pada Rabu dan hasil siasatan polis menemui kesan tompokan darah mangsa di kawasan itu, katanya.
Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu dan pada masa sama meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tiada Dana Diberikan Kepada PM - 1MDB


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 12:30 PM

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menegaskan bahawa syarikat pelaburan strategik kerajaan itu tidak pernah memberikan sebarang dana kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Syarikat tersebut menerusi satu kenyataan media menjelaskan mengenai perkara itu bagi mengulas laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Jumaat yang mendakwa dana hampir AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

"Merujuk kepada laporan berita yang disiarkan awal pagi Jumaat, 1MDB ingin menjelaskan bahawa syarikat tersebut tidak pernah memberikan apa-apa dana kepada Perdana Menteri.

"Tindakan menyebarkan laporan tidak tepat itu adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan satu percubaan untuk melemahkan syarikat ini," demikian menurut kenyataan tersebut.
 
Terdahulu, Sarawak Report mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB menerusi pendedahan maklumat yang dibocorkan oleh bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Justo yang kini ditahan di Thailand.

Laporan Sarawak Report yang turut diubah itu digunakan untuk mengelirukan orang ramai mengenai isu 1MDB turut dipetik akhbar The Edge.

"Kenyataan baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya mengenai kebenaran beberapa dokumen ‘bocor’ oleh media tertentu, dan blog Sarawak Report," menurut kenyataan itu.

Menurut 1MDB, berdasarkan laporan akhbar, dokumen yang dibocorkan itu telah diubah dan digunakan Justo untuk memeras ugut bekas majikannya.

"Kami terkejut bahawa dokumen seperti ini, di mana kewujudan dan kesahihannya belum disahkan secara terbuka, terus digunakan sebagai asas untuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB," katanya.

Menurut 1MBD, mereka telah memberi kerjasama penuh terhadap Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara yang memulakan siasatan terhadap syarikat itu.

"Pihak berkuasa mempunyai semua maklumat yang berkaitan, dan IMDB meminta semua pihak menunggu hasil penemuan mereka sebelum membuat dakwaan lanjut dan penghakiman," katanya.

38 Maut Feri Bawa 200 Penumpang Karam


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 11:18 AM
Seorang penumpang ditenangkan pasukan penyelamat selepas isteri dan dua anaknya masih belum dijumpai.

MANILA: Sekurang-kurangnya 38 orang terkorban selepas sebuah feri penumpang dinaiki hampir 200 orang, karam di laut yang bergelora di tengah Filipina, pada Khamis.

Feri kayu Kim Nirvana itu dilapor sedang belayar dari bandar Ormoc menuju ke Pulau Camotes sebelum karam akibat bertembung dengan ombak besar.

Jurucakap Pejabat Pengurusan dan Pengawalan Bencana Daerah, Ciriaco Tolibao berkata, sejumlah bot menyelamatkan berpuluh-puluh penumpang feri yang berpaut pada kapal yang terbalik itu, kira-kira satu kilometer dari pelabuhan Ormoc di Pulau Leyte.

Katanya, pasukan penyelam mula mencari mangsa terselamat dari segenap badan feri itu.

Sebanyak 118 mang­sa terselamat dengan ada diantaranya dibawa ke hospital, manakala penumpang yang tidak mengalami kecederaan terus pulang ke rumah.

Tolibao bagaimanapun tidak dapat menjelaskan jumlah mangsa yang hilang, namun laporan dari radio di Manila mendakwa sebanyak 33 orang penumpang feri masih gagal dikesan.

Beliau berkata, feri yang membawa 189 penumpang dan 16 kru itu terbalik selepas 30 minit meninggalkan pelabuhan setelah bertembung dengan ombak besar.

“Kami sedang memeriksa kapal itu bagi mencari lebih banyak mangsa terselamat yang mungkin terperangkap di dalam badan feri tersebut.

“Kami berharap dapat menamatkan operasi menyelamat sebelum gelap dan hujan turun semula," tambah Tolibao.

Dua Lagi Wartawan Dibunuh


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 10:21 AM

OAXACA, Mexico: Seorang wartawan ditembak mati selepas meninggalkan kawasan stesen radio pada Khamis manakala seorang lagi dibunuh di timur negara berkenaan.
Filadelfo Sanchez Sarmiento dipercayai dibunuh oleh dua lelaki di Miahuatlan, selatan Oaxaca selepas selesai mengacarakan rancangan radio pagi di stesen 103.3 FM La Favorita.
Pihak berkuasa kini melancarkan operasi untuk menangkap kedua-dua suspek tersebut.
Pengarah Kanan Program Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan Amerika yang berpusat di New York, Carlos Lauria berkata pihak berkuasa Mexico perlu menyiasat kes pembunuhan ini dengan teliti dan mewujudkan motif termasuk apa-apa kaitan dengan bidang kewartawanan serta membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Jenayah ini tidak boleh dibenarkan menjadi sebahagian antara puluhan kes pembunuhan wartawan yang tidak dapat diselesaikan yang juga mempunyai rekod terburuk di dunia.
Filadelfo merupakan wartawan yang ketiga dibunuh di Oaxaca sejak April lalu.
Terdapat kes lain di mana seorang penulis blog dibunuh di timur Veracruz tetapi tiada butiran mengenai kematiannya.
Wakil Suruhanjaya bagi Perlindungan dan Perhatian Wartawan, berkata Juan Mendoza Delgado yang ditemui mati pada Rabu telah diisytiharkan sebagai dibunuh.
Mendoza Delgado merupakan pengarah sebuah laman web yang dipanggil "Penulisan yang benar" dan dia juga merupakan bekas wartawan jenayah di sebuah akhbar tempatan.
Dia merupakan wartawan yang ke-13 dibunuh di Veracruz sejak 2010.
Mexico menjadi antara salah satu tempat berbahaya bagi golongan wartawan yang kini berperang mengenai pengedaran dadah yang telah mengorbankan puluhan ribu orang sejak 2006.
Lebih daripada 80 pekerja media terbunuh manakala 17 lagi dilaporkan hilang dalam tempoh sedekad lalu.

Feri Terbalik Di Perairan Filipina


Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2015 9:10 PM
-foto AP

MANILA: Sebuah feri dengan 189 orang di atas kapal terbalik dalam cuaca buruk di Filipina Tengah pada Khamis, tidak lama selepas meninggalkan pelabuhan, lapor CNN.

Sekurang-kurangnya 36 orang telah meninggal dunia, 118 selamat dan 19 lagi dilapor masih hilang, menurut  penjaga pantai.

Kim Nirvana dari bandar tengah Ormoc sedang menujuk ke pulau Camotes apabila ia terbalik, menurut pejabat pengawal pantai di Manila.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Sekurang-kurangnya tujuh bot penyelamat digunakan untuk menyelamatkan berpuluh-puluh mangsa yang berpaut pada badan kapal yang terbalik kira-kira 1km dari pelabuhan Ormoc.

Ketua Palang Merah Filipina Richard Gordon memberitahu CNN bahawa kapal tersebut mampu membawa hingga 193 penumpang.

Dia pasti bahawa kapal tersebut tidak membawa muatan berlebih.

"Angin begitu kencang dan gelombang laut begitu deras."

Kim Nirvana ini adalah kapal penumpang yang diperbuat daripada kayu dengan enjin kecil .

Penumpangnya terdiri daripada orang-orang kebanyakan seperti petani atau nelayan. Mereka biasa menyeberang pulau-pulau kecil ini untuk jual beli.

Menggigil terlalu ngeri

Melaka: “Saya hanya mampu menjerit sebaik melihatnya diseret lori. Tidak dapat dibayangkan azab yang ditanggung mangsa ketika itu hingga menyebabkan badan saya menggigil,” kata Khairul, 23, saksi kemalangan maut yang meragut nyawa seorang remaja lelaki dalam kemalangan di Jambatan Jalan Tanjung Minyak, di sini, jam 5.30, petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Syukri Hakim Sharuddin, 19, yang juga pelajar tahun akhir Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Menurut Khairul, semasa kejadian, dia baru berjumpa rakannya dan dalam perjalanan untuk membeli juadah berbuka di pasar Ramadan berhampiran.
“Ketika kejadian, saya sedang berada di simpang sebelum meneruskan perjalanan dan sebaik menoleh ke kanan untuk melihat kenderaan lain, saya ternampak lori itu menghimpit sebelah kiri jalan sebelum terlanggar mangsa yang menunggang motosikal.
“Bagaimanapun, lori berkenaan tidak berhenti dan meneruskan perjalanan seperti biasa mungkin pemandu lori itu tidak sedar dia mengheret mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:22 AM


JPAM mengangkat mangsa yang maut digilis di Jambatan Jalan Tanjung Minyak, Tanjung Minyak, Melaka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61739#sthash.tj1uYLR2.dpuf

Bahana nak cepat kaya

Kuala Lumpur: Idamkan gelaran jutawan segera menyebabkan seorang suri rumah menjadi mangsa penipuan ‘skim kelentong’ membabitkan kerugian lebih RM700,000.
Lebih memburukkan keadaan apabila mangsa turut diugut bunuh oleh kumpulan ejen pelaburan skim itu sekiranya membuat laporan polis.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Revathy, 40, berkata, dia mula terjebak dengan skim cepat kaya itu selepas diperkenalkan rakannya melalui laman sosial Facebook Mei lalu.
Menurutnya, ejen skim cepat kaya itu kemudian bertemu dengannya dan memberikan penjelasan berhubung pelaburan itu.
“Ejen itu berjanji memberikan pulangan berlipat ganda jika saya melabur di dalam sebuah syarikat skim pelaburan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:17 AM


REVATHY menunjukkan laporan polis yang dibuat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61737#sthash.vg5UOiTZ.dpuf

Amuk pasal nyamuk

Georgetown: Mahu halau nyamuk, namun dihalang lelaki amuk. Itu yang berlaku terhadap beberapa kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut apabila nyaris ditetak seorang lelaki di sebuah flat di Ayer Itam, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati dengan kerja semburan nyamuk (fogging) yang dilakukan kakitangan pejabat kesihatan terbabit sebelum dia mengambil parang dan mengacukan kepada mereka.
Aksi lelaki terbabit yang mengamuk memegang parang dan mengugut mahu menetak seorang inspektor kesihatan berjaya dirakam dan menjadi viral di media sosial.
Dalam video berdurasi 37 saat itu, dia yang dilihat bersinglet serta berseluar hitam memegang parang sambil menjerit memarahi kakitangan kesihatan kerana mendakwa mereka melakukan semburan asap tanpa memberikan notis.
Dia turut mempersoalkan tindakan itu dengan mengatakan semburan terbabit akan membahayakan nyawa mereka sekeluarga terutama anaknya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:25 AM


LELAKI terbabit mengancam inspektor kesihatan dengan parang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61741#sthash.GI3GULn2.dpuf

Tercampak ke parit


Batu Pahat: Seorang pekerja ladang maut apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah van di Jalan Kampung Parit Tengah, Rengit, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Mohamad Nazrin Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia selepas parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila van yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Bandar Rengit ke Rejo Sari bertembung motosikal mangsa.

Katanya, hentaman kuat mengakibatkan mangsa tercampak ke parit berhampiran lokasi kejadian.

“Mangsa tercampak ke parit dan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:03 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61579#sthash.wF76m5ah.dpuf

Harap bahagia azab menjelma

Oleh Mohd Sabran Md Sani

sab@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Saya beli teksi terpakai supaya isteri kembali ke pangkuan dan membuktikan kepada keluarga mentua yang saya masih mampu menyara isteri dan anak-anak, tetapi tidak sangka teksi itu jugalah membuat hidup saya porak-peranda dan diburu enam along kerana gagal melunaskan bunga pinjaman,” kata seorang lelaki dikenali sebagai Imran, 49, mangsa pinjaman ceti haram.

Ketika ditemui di rumahnya, semalam, Imran berkata, tindakannya meminjam wang daripada enam ceti haram berjumlah kira-kira RM7,000 bagi membaiki kerosakan teksi terpakai miliknya mengakibatkan hidupnya terbeban.

“Semuanya bermula setahun lalu apabila saya membeli sebuah teksi terpakai menggunakan duit dipinjam adik tiri untuk menyara kehidupan saya, sekali gus membina semula keluarga selepas berlaku keretakan rumah tangga hampir empat tahun.


“Harapan saya kereta itu menjadi milik saya dan dapat pertahankannya, tetapi saya gagal kerana ia rosak selepas tiga bulan menggunakannya,” katanya.

Menurutnya, bagi membaiki kerosakan kenderaan terbabit dia terpaksa meminta kebenaran ibunya untuk menjual barang kemas termasuk cincin dan gelang tangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 7:25 AM

IMRAN menunjukkan resit hutang harian dan bulanan yang dibayar kepada enam along sejak dua bulan lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61494#sthash.aTyKDbzT.dpuf

Tak sempat jual mercun


Kuantan: Niat dua individu dipercayai suami isteri mencari wang lebih dengan menjual mercun di sekitar daerah ini mengundang padah apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan di Kilometer 19, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berhampiran Gebeng dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu disedari anggota dari Balai Polis Gebeng yang melakukan sekatan jalan sebelum melihat pasangan berusia 32 dan 42 tahun itu menaiki sebuah Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya kemudian meminta pemandu kenderaan itu berhenti di tepi jalan untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mercun pelbagai jenis yang disorok di tempat duduk belakang dipercayai mahu dijual di sekitar daerah ini sempena musim perayaan kali ini.

“Antara mercun dirampas ialah mercun bola, ketupat, Tomahawk, Thunder dan mancis, namun jumlah keseluruhan barang dirampas itu masih dalam siasatan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pasangan terbabit masing-masing berasal dari Kampung Bharu, Kuala Besut, Terengganu dan Perkampungan Cenderawasih di sini, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kemungkinan kedua-dua suspek baru mengambil bekalan daripada pembekal di Terengganu sebelum pulang ke daerah ini untuk dijual kepada orang ramai.

“Polis turut merampas kenderaan digunakan bagi siasatan lanjut selain mengenal pasti pembekal mercun berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61588#sthash.dLJgGBoH.dpuf

Berbuka ‘makan’ penumbuk

 Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

azimfitri@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seorang suri rumah berbuka puasa dengan ‘penumbuk’ apabila dibelasah suaminya yang mengamuk secara mendadak.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa berusia 45 tahun dipukul suaminya di kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini.

Lebih memilukan apabila kejadian berlaku ketika mangsa dan seorang anaknya menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama.

Sumber berkata, mangsa pada mulanya hanya berseloroh bertanyakan hutang suaminya berjumlah RM2,000 yang belum dilunaskan.

“Bagaimanapun suspek tidak berpuas hati dan terus memaki hamun mangsa.

“Tidak cukup dengan itu, suspek melepaskan tumbukan tepat mengenai bibir mangsa yang ketakutan,” katanya.

Bagaimanapun, tindakan ganas suspek sempat dihalang anak mangsa yang turut menyaksikan kejadian itu.

“Tindakan suspek dileraikan anak lelaki mangsa berusia 17 tahun. Suspek segera meninggalkan rumah itu.

“Mangsa segera dibawa ke klinik bagi menerima rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini,” katanya.

Difahamkan suami mangsa kerap meminjam wang daripada isterinya dengan memberi alasan kesempitan wang selain berjanji membayar semula apabila mendapat gaji.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:08 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61587#sthash.7eB4vKKl.dpuf

Pemandu teksi berang makanan habis dibelasah anak


Kuala Lumpur: Tindakan seorang pemandu teksi memarahi isterinya mengundang padah apabila dia dibelasah anak lelakinya menggunakan topi keledar di rumahnya.

Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, mangsa turut ditumbuk di muka sejurus pulang ke rumah di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini.

Sumber berkata, suspek yang kepenatan dikatakan berang selepas mendapati juadah makan malam di dapur habis dimakan.

“Berikutan itu mangsa dikatakan memarahi isterinya kerana tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Bagaimanapun anak lelaki mangsa dikatakan berang melihat ibunya diherdik bapanya. Suspek kemudia menumbuk muka bapanya bertubi-tubi,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 20-an itu turut memukul kepala mangsa berulang kali menggunakan topi keledar.

“Susulan kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir dan telinganya akibat dipukul berulang kali.

“Difahamkan suspek terus menghilangkan diri sebaik memukul bapanya kerana bimbang ditahan polis sejurus kejadian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pantai di sini.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:08 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61586#sthash.1xFWlWuK.dpuf

Ajal ketika layan kerenah anak

Segamat: Seorang guru Sekolah Agama Felda Moakil di sini meninggal dunia manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun patah kaki kanan selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Genuang, Segamat di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Jamaluddin Abdullah, 43, bersama anaknya Mohd Faqih Helmi dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan di Paya Pulai ke rumahnya di Taman Bukit Indah, Bukit Siput di sini.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berumur 30-an dari arah Labis ke Segamat hilang kawalan dan melanggar motosikal ditunggang dua beranak itu.
“Akibat rempuhan itu, dua beranak terbabit tercampak enam meter dan mangsa yang maut di tempat kejadian parah di kepala manakala anaknya patah kaki kanan dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) dengan ambulans,” katanya.
Menurutnya, pemandu kereta hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, isteri mangsa Mahfuzah Mohamad, 40, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) HDS berkata, dia terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa suaminya itu.
“Sebelum kejadian, suami ada beritahu mahu ke bazar Ramadan Paya Pulai bersama anak bongsu untuk membeli juadah berbuka.
“Malah itulah rutinnya yang gemar melayani kerenah anak bongsunya berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Menurut Mahfuzah, dia reda dengan kejadian itu dan akan membesarkan dua lagi anak Mohd Khairul Ikhwan,11, dan Mohd Izuddin Afiq, 14.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Besar di sini, jam 11 pagi semalam yang hadiri 200 kenalan termasuk rakan setugas arwah.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:03 AM


KENDERAAN yang merempuh Jamaluddin remuk di bahagian sisi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61581#sthash.4514yzpB.dpuf

Korban nahas Hercules 142

Medan: Jumlah kematian akibat nahas pesawat tentera di Indonesia, kelmarin mencecah 142 orang apabila beberapa penduduk kawasan kediaman tempat kapal terbang itu terhempas juga disahkan terbunuh.
Mayat ditemui di celah runtuhan rumah di Medan, tempat pesawat Hercules C-130 itu terhempas sejurus berlepas, Selasa lalu, kata jurucakap polis Sumatera Utara Mejar A Tarigan kepada TVOne.
Menurut tentera, pesawat itu membawa 122 orang termasuk anggota tentera dan keluarga mereka. Pihak berkuasa tidak menjangka ada penumpang yang terselamat.
Pada awalnya, tentera udara melaporkan 12 anak kapal di dalam pesawat itu tanpa menyebut jumlah penumpang dibawanya.
Namun, jumlah mangsa di dalam pesawat itu kemudian meningkat, menimbulkan tanda tanya sama ada kapal terbang itu menerima penumpang berbayar.
Amalan menumpang pesawat tentera untuk sampai ke lokasi terpencil biasa dilakukan di Indonesia, namun ada usaha untuk mengekangnya.
Pesawat malang itu terbang dari Jakarta dan berhenti di dua lokasi sebelum tiba di Medan.
Ketua tentera udara Agus Supriatna berkata, pesawat itu hanya dibenarkan membawa tentera yang mendapat kebenaran dan keluarga mereka.
Sehubungan itu, dia akan menyiasat dakwaan terdapat penumpang yang berbayar.
Salinan senarai penumpang diperoleh Associated Press menunjukkan ada 32 penumpang tanpa dinyatakan jawatan mereka.
Selebihnya dipercayai anggota tentera atau keluarga mereka.
Sementara itu, anggota keluarga mangsa berkumpul di Hospital Adam Malik untuk menerima mayat saudara masing-masing.
Lebih 100 keranda disediakan di hospital itu.
Beberapa wanita kedengaran menangis dan memanggil nama orang tersayang yang terkorban dalam nahas itu.
Sekumpulan pelajar sekolah Katolik di Medan juga menjerit menangis selepas beg mayat yang dibuka menunjukkan mayat rakan sekelas mereka Esther Lina Josephine, 17.
Mayat Esther yang lebam teruk dilihat memeluk mayat adik perempuannya berusia 14 tahun.
Pengetua sekolah Tarcisia Hermas berkata: “Nampak seperti dia mahu melindungi adiknya. Kami kehilangan dua pelajar baik, bijak dan kreatif.”
Katanya, dua beradik itu mengambil kesempatan cuti sekolah untuk melawat ibu bapa mereka di Natuna, tempat ayahnya bertugas sebagai tentera.
Jurucakap hospital Sairi M Saragih berkata, lebih 60 mayat sudah dikenal pasti.
Pesawat itu terhempas hanya dua minit sejurus berlepas dari pangkalan tentera udara Soewondo di Medan untuk menuju ke Natuna.
Menurut saksi, pesawat itu dilihat terbang rendah dalam keadaan terbakar dan berasap sebelum terhempas.
Juruterbang dilapor memaklumkan kepada menara kawalan mengenai hasratnya untuk berpatah balik selepas menyedari enjin pesawat itu bermasalah.
Nahas berlaku ketika pesawat itu cuba berpatah balik ke lapangan terbang.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 6:57 AM

SEORANG wanita menangis ketika berdiri berhampiran beg mayat yang disusun di hospital.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61477#sthash.Lo6aaC6C.dpuf