Search This Blog

Wednesday, July 1, 2015

Bakar Rumah Bekas Teman Wanita Selepas Pinangan Ditolak


Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 9:53 PM
Gambar hiasan.

KEMAMAN: Gara-gara pinangan ditolak, seorang pemuda dipercayai bertindak liar dengan membakar sebahagian rumah bekas teman wanitanya di Taman Zamina Indah Geliga, Kemaman pada awal pagi Ahad.

Insiden itu hanya disedari kira-kira pukul 9 pagi ini selepas pengadu yang juga bapa kepada wanita berkenaan mendapati bahagian bumbung rumahnya telah  terbakar.

Ketika kejadian, penghuni kediaman tersebut tiada di rumah kerana sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Kuantan dan sebaik pulang, mereka terkejut melihat sebahagian bumbung rumah mereka hangus serta terdapat kesan terbakar pada barangan di dalam rumah.

Malah sebelum itu, anak gadisnya yang berusia 19 tahun telah menerima ugutan pukul melalui panggilan telefon daripada suspek sekiranya wanita itu enggan menemui suspek.

Insiden yang sama telah berlaku pada Jumaat, yang mana sebelum ini pengadu yang berusia 57 tahun itu mendapati beberapa helai pakaian dalam bakul plastik yang diletakkan di bahagian luar rumah mempunyai kesan terbakar.

Pengadu yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat itu mengesyaki perbuatan khianat itu dilakukan oleh bekas teman lelaki anaknya kerana sebelum kejadian beliau turut menerima ugutan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek.

Difahamkan sebelum ini, suspek telah datang ke rumah keluarga berkenaan dan rentetan itu tercetusnya pergaduhan dengan teman wanitanya ketika keluarga berkenaan tiada di rumah.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi Bernama mengesahkan laporan berkenaan.

Katanya pihak polis telah mengenal pasti suspek yang berasal dari Kampung  Alor Lintang, Besut dan gerakan memburu suspek kini sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Pegawai Zon 2, Bomba dan Penyelamat Terengganu Azmi Abdul Rahim, berkata pihaknya bersama sepasukan pakar forensik bomba masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengetahui punca sebenar dan nilai kerugian.

Kumpulan Pengganas Rancang Curi Dan Culik Untuk Biayai Aktiviti


Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 10:52 AM
Murad Halimmuddin Hassan (kiri) dijatuhkan hukuman 18 tahun penjara kerana menggalakkan aktiviti keganasan di Malaysia dan menyokong pergerakan pengganas.

KUALA LUMPUR: Pada siang hari, Murad Halimmuddin Hassan merupakan pemilik sebuah kedai perkakasan, sebaliknya lain pekerjaan yang dilakukan pada sebelah malam.

Murad merupakan seorang perancang licik dalam melakukan serangan berbahaya kepada rakyat Malaysia bagi membiayai aktiviti keganasan.

Bapa kepada tujuh orang anak ini memulakan misi keganasannya dengan keluar Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam dan kemudian terbang ke Istanbul dari Bangkok pada 31 Ogos tahun lepas.

Kemudian dia menyelinap ke Syria pada bulan September melalui sempadan Turki-Syria dengan bantuan seorang lagi rakyat Malaysia, Abu Nour.

Di Syria, dia menyertai kumpulan militan Ajmad As-Syams sebelum sertai pergerakan tentara pengganas Negara Islam.

Ketika di sana, lelaki berusia 49 tahun yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 2001 kerana cuba mencuri senjata api dari balai polis di Kedah itu telah dilengkapi dengan senjata untuk memerangi kerajaan Bashar Al-Assad di Syria.

Tiga bulan kemudian, Murad kembali ke Malaysia melalui laluan yang sama dan memulakan misi keganasan sendiri di negara ini.

Ketika bermesyuarat pada 30 Januari lalu, sekumpulan individu, termasuk anaknya Abu Daud Murad Halimmuddin, 25, berjanji untuk mencari sekurang-kurangnya 20 anggota lain berikutan cadangan Murad untuk melancarkan misi jihad di Malaysia.

Mereka dilaporkan telah mensasarkan pusat kerajaan termasuk balai polis dan kem-kem tentera serta tempat tumpuan utama dan merancang untuk menculik beberapa individu berprofil tinggi sebagai tebusan untuk ditukar dengan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).

Mereka juga berbincang untuk melakukan satu rompakan di Kem Tentera Hobart di Gurun dan sebuah kem di Bukit Pinang, Alor Setar untuk mendapatkan senjata.

Seorang ahli perniagaan, Abu Daud telah menubuhkan satu kumpulan di aplikasiWhatsApp dikenali "Fisabilillah" untuk memudahkan perancangan dan  pergerakan mereka dalam merekrut 20 orang lain.

Beberapa kali mesyuarat diadakan di lokasi-lokasi lain di seluruh negara, termasuk Casmaria Apartment di Batu Caves pada Februari dan Banjaria Court di Gombak pada 13 Mac lalu.

Abu Daud memberitahu kepada beberapa ahli kumpulan itu supaya pergi ke Pendang, Kedah bertemu dengan bapanya untuk mendapatkan nasihat mengenai langkah seterusnya.

Ketika pertemuan di Pendang, Murad mencadangkan supaya mereka merompak sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai dalam perjalanan turun dari Genting Highlands untuk membiayai misi mereka.

Mesyuarat seterusnya dijadual berlangsung di sebuah hotel di sini pada 5 April, tetapi Murad tidak dapat hadir kerana  tidak sihat.

Ketika mesyuarat tersebut, Bahagian Keganasan Kaunter Cawangan Khas Bukit Aman (E8) telah menahan 12 orang  kira-kira pukul 9.30 malam.

Pada 30 April, enam daripada mereka telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan tuduhan menggalakkan aktiviti keganasan.

Manakala turut didakwa ialah Abu Daud, dua orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Nor Azmi Jalani, 28 dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, 29, seorang pendawai dari Jawa Tengah  Indonesia, Ali Saifuddin, 28, serta Hadharami Hashim, 38, pembantu tahfiz dari Sik, Kedah.

Bayi Perempuan Ditinggalkan Di Masjid


Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 11:45 PM

GEORGE TOWN: Bayi perempuan yang masih bertali pusat  dan berbalut tuala ditemui di tepi tangga Masjid Sungai Gelugor, di sini Isnin.

Bayi itu ditemui oleh orang ramai yang baru selesai menunaikan solat  Maghrib di masjid berkenaan kira-kira 8 malam.

Seorang saksi, Mohammad Hafiz Mohammad Zaidi, 26, berkata jemaah lelaki dimaklumkan mengenai bayi itu oleh seorang jemaah wanita yang terdengar bunyi tangisan bayi.

"Selepas solat Maghrib, saya ke tandas dan seorang makcik bertanya kepada saya ada jemaah perempuan solat di bahagian lelaki ke, kerana dengar bunyi tangisan bayi di tangga masjid.

"Sebaik dimaklumkan, kami terus ke bahagian tangga dan mendapati bayi perempuan sedang menangis. Saya terus beritahu imam dan jemaah lain," katanya.

Mohammad Hafiz berkata seorang daripada jemaah terus mengambil bayi itu dan melihat ada lampin pakai buang serta beberapa helai baju bayi dalam sebuah beg berhampirannya.

"Ada jemaah lelaki yang nampak seorang wanita menghampiri tangga masjid sebelum tergesa-gesa keluar, tapi dia tidak sangka wanita itu meninggalkan bayi berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan berkata bayi itu dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan masjid itu untuk siasatan lanjut.

"Saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Seorang Terbunuh, Dua Cedera Dalam Kemalangan Awal Pagi


Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 1:20 PM

PONTIAN: Seorang terbunuh manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta Proton Satria dan Honda Accord di sini, awal pagi Selasa.

Tan Wei Sheng, 18, yang berada di dalam kereta biru jenis Honda, mati di tempat dalam kemalangan di Jalan Kukup, Permas Kelapa kira-kira pukul 6:50 pagi Selasa.

Seorang lagi penumpang wanita yang tidak dapat dikenal pasti turut berada dalam kereta Honda dan Ruazhar Razali, 36, menaiki Satria kelabu.

Mangsa-mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan.

Pelajar 15 Tahun Mangsa Pertama Mercun Di Kelantan


Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 2:51 PM

KOTA BAHARU: Seorang pelajar berumur 15 tahun dipercayai menjadi mangsa pertama bermain mercun di Kelantan sempena sambutan hari raya tahun ini.
Empat jari Muhammad Rizaimie Zamri hancur terkena mercun buatan sendiri di di Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, Tumpat pada Selasa malam.
Dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Ibunya Che Rosmaini Che Sulaiman, 38, berkata kejadian berlaku selepas anaknya keluar rumah selepas berbuka puasa kira-kira pukul 8 malam.
"Tidak lama kemudian saya mendengar bunyi dentuman kuat. Pada mulanya saya tidak menyangka bunyi itu adalah bunyi mercun yang anak saya main bersama kawan-kawannya.
"Saya kemudiannya bergegas keluar rumah dan mendapati anak saya sudah dibawa abang saya dengan kereta ke hospital," katanya kepada pemberita ketika melawat anaknya di hospital.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Ab Aziz Abdullah berkata mangsa tidak dapat menulis yang menyukarkan pembelajarannya.

Remaja Maut Jatuh Motosikal


Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 4:06 PM

TANGKAK: Seorang remaja meninggal dunia selepas terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya di Kilometer 37 Jalan Sagil-Parit Kassan di sini, Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohd Salleh Abd Razak berkata dalam kejadian kira-kira pada pukul 7.20 malam itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Az-Zahris Mohd Sukri, 14, yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Termil, Sagil di sini.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan dan dia terjatuh.
Mangsa yang cedera pada kepala dibantu orang awam dibawa ke tepi bahu jalan sebelum di hantar ke hospital oleh ambulans tetapi mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tangkak akibat kecederaan parah pada badan dan anggota badan," katanya di sini, Rabu.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Nahas Hercules: 141 Mayat Telah Ditemui


Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 11:09 AM

MEDAN, Indonesia: Jumlah kematian akibat nahas pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) yang terhempas di Medan, Sumatera Utara telah meningkat kepada 141 orang.
"Kami telah menerima 141 mayat," kata pegawai polis di hospital Agustinus Tarigan kepada AFP.
Pesawat Hercules A-130 itu terhempas di Jalan Jamin Ginting, Medan dan merempuh beberapa bangunan rumah kedai dan pusat rawatan tradisional.
Pesawat yang membawa 113 penumpang termasuk 12 anggota tentera itu berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo menuju ke Kepulauan Riau sebelum terhempas kira-kira dua minit sebaik berlepas.
Medan merupakan penempatan padat penduduk yang mencecah seramai 2 juta orang.
Pasukan mencari dan penyelamat masih meneruskan usaha membawa keluar mayat dengan menggunakan pelbagai jentera.
Kemalangan udara kembali menggemparkan Indonesia selepas pesawat AirAsia yang membawa 162 penumpang terhempas di lautan Jawa kira-kira enam bulan lalu.

Maut jatuh pangsapuri

Maut jatuh pangsapuri
Mangsa ditemui berlumuran darah oleh penduduk di Taman Iping, Batu Maung

BALIK PULAU - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Taman Iping, Batu Maung, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa, Goh Keon Choon ditemui berlumuran darah di bahagian bawah pangsapuri oleh penduduk kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian.

Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan mangsa yang berusia 52 tahun itu tidak lagi bernyawa.

“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Fah Hin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

36 gadis pelayan pelanggan ditahan

36 gadis pelayan pelanggan ditahan
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menahan 36 wanita warga asing yang dipercayai berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus di sini malam kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 7.30 malam itu, 33 yang ditahan adalah wanita warga China dan selebihnya warga Vietnam.

Serbuan yang dilakukan Bahagian Perjudian,K ongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu turut menahan tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga GRO berkenaan.

Difahamkan, pasukan serbuan terpaksa membuat intipan dan penyamaran terlebih dahulu sebelum menyerbu pusat hiburan yang terletak di tingkat lima bangunan One Stop Midlands berikutan terdapat puluhan tonto yang mengawasi pusat hiburan itu.

Ketika serbuan dilakukan kesemua GRO berkenaan dikatakan cuba melarikan diri namun gagal berbuat demikian selepas pasukan serbuan terlebih dahulu mengepung pusat hiburan berkenaan.

Difahamkan, ada di antara mereka yang cuba melarikan diri melalui beberapa lorong tikus yang terdapat di pusat hiburan berkenaan namun usaha mereka itu turut gagal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, hasil pemeriksaan dibuat mendapati kesemua wanita warga asing berkenaan didapati telah menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan berkhidmat sebagai GRO.

“Kesemua mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja yang tidak memiliki pas yang sah,” katanya.

Parah ditetak lima lelaki

Parah ditetak lima lelaki
Mangsa yang parah dibawa ke HPP untuk menerima rawatan lanjut.

GEORGETOWN - Seorang remaja lelaki parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di Kampung Jawa, Datuk Keramat, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.35 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an yang sedang menunggang motosikal dikatakan dirempuh dengan sebuah kereta yang dinaiki kumpulan berkenaan dari arah belakang.
Difahamkan, kumpulan terbabit terus menetak mangsa yang ketika itu terbaring di atas jalan raya.
Menurut sumber, mangsa dikatakan cuba bangun untuk menyelamatkan diri namun diserang bertubi-tubi oleh kumpulan berkenaan.
“Mangsa yang berlumuran darah nekad melawan kumpulan terbabit biarpun mengalami kecederaan.
“Akhirnya dia berjaya melarikan diri dari kumpulan terbabit dengan berlari ke arah kawasan perumahan berhampiran dan kebetulan bertemu dengan anggota polis yang sedang bertugas di kawasan perumahan itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh anggota polis berkenaan dan kumpulan lelaki terbabit melarikan diri selepas mendapati mangsa diselamatkan oleh anggota polis.
Difahamkan akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian hadapan kepala, kedua-dua belah lengan dan bahagian lutut kanan selain patah tulang tangan dipercayai akibat ditetak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan kumpulan lelaki berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Isteri meraung dihempap batu

Isteri meraung dihempap batu
Syazwan menemani isterinya ke HTF untuk mendapat rawatan di unit kecemasan.

PADANG BESAR - Seorang wanita nyaris maut apabila batu seberat setengah tan menghempap bahagian pinggul dan belakangnya ketika mangsa sedang mengorek tanah berhampiran rumahnya di Kampung Jalan Gua Berangin, di Chuping kelmarin.
Lebih setengah jam Adila Najwa Samsudin, 18, meraung kesakitan dalam keadaan membongkok menahan bongkah batu yang menimpanya sehinggakan tulang pinggul dan tulang belakangnya patah. Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Menurut suami mangsa, Muhammad Syazwan Omar, 21, ketika kejadian jam 1.20 petang itu, isterinya sedang mengorek dan mengambil tanah berhampiran rumah mereka untuk menanam pokok bunga.
“Saya sedang bersembang dengan seorang jiran Mohd Fazli Suhaimi, 17, tidak jauh dari tempat isteri saya mengorek tanah. Tiba-tiba saya terdengar dia menjerit meminta tolong.
“Kami nampak dia sudah pun terbongkok apabila batu itu terkena pinggul dan belakangnya. Saya dan Fazli bergegas mencari kayu untuk menolak batu itu tapi gagal sehinggalah saya menyuruh Fazli meminta jiran menghubungi bomba.
“Ketika Fazli ke rumah berdekatan bagi mendapatkan bantuan, seorang lagi jiran yang baru pulang dari bekerja melalui kawasan itu, membantu kami mengangkat batu itu dengan kayu,” katanya.
Muhammad Syazwan memberitahu  mereka mengambil masa hampir setengah jam bagi mengalih batu yang menimpa isterinya.
“Isteri saya meraung kesakitan kerana ketika kejadian dia dalam keadaan duduk sambil mengunjurkan kaki, saya sendiri panik apabila melihat batu menghempap belakangnya tapi mujurlah dia masih hidup,” ujarnya.
Bapa mangsa Samsudin Bakar, 58, berkata ketika kejadian dia keluar bekerja dan hanya mengetahui kejadian itu setelah dihubungi menantunya.
Katanya, batu itu sebelum ini masih melekat dalam tanah dan tidak menyangka ia akan terjatuh menimpa anaknya.
Sementara itu, jurucakap bomba Kangar berkata pihaknya  menerima laporan pada pukul 13.25 petang, apabila tiba di lokasi mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

Siti Nur Zulaikha semakin pulih akibat kemalangan

Siti Nur Zulaikha semakin pulih
Keadaan Siti Nur Zulaikha yang terlantar ketika disiarkan akhbar ini pada 16 Mac lalu.

SUNGAI PETANI – Keadaan seorang pelajar kolej komuniti di sini, yang parah akibat terbabit dalam kemalangan 31 Januari lalu, kini beransur pulih.

Ibu mangsa, Sharipah Man, 49, dari Taman Ria berkata, anaknya, Siti Nur Zulaikha Najumuddin, 20, yang terlibat kemalangan motosikal bersama rakannya di Padang Temusu, Sungai Petani sehingga menyebabkan dia terlantar kini dalam proses penyembuhan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, Siti Nur Zulaikha patah kaki kanan dan tangan kiri selain berhadapan masalah tulang rusuk serta gangguan saraf sehingga menyebabkan mata kanannya tidak dapat dibuka.

“Namun kini, Alhamdulillah, keadaannya positif dan dalam proses untuk sembuh. 

"Bagaimanapun, pembelajarannya di Kolej Komuniti dalam bidang automotif masih lagi ditangguhkan buat kali kedua,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan daripada Econsave Bandar Puteri Jaya bersama 100 penerima lain.

Sharipah berkata, anaknya kini sudah boleh duduk dan bersembang berbanding sebelum ini yang hanya mampu terlantar sahaja.

Dia turut berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana memberi bantuan bulanan bagi membeli keperluan anak termasuk lampin pakai buang.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah Sharipah yang hilang punca pendapatan selepas anaknya kemalangan, menyebabkan perbelanjaan seharian terganggu selain wang simpanan habis digunakan untuk membiayai perubatan anaknya.

Sharipah yang berstatus ibu tunggal juga terpaksa menanggung perbelanjaan persekolahan seorang lagi anak, Siti Nur Lisa, 13.

Ramadan terakhir bersama isteri

Ramadan terakhir bersama isteri
Mohd Kamal menunjukkan gambar arwah isterinya.
WARTAWAN SINAR HARIAN 30 Jun 2015
PENAGA - "Ramadan ini merupakan yang terakhir saya menyambut bersamanya. Masa terasa begitu pantas. Kadangkala seolah-olah kehadirannya masih ada di sisi saya," Luah suami kepada mangsa kemalangan maut, Nor Azura Mohd Azhar di Pasir Gebu, Sabtu lalu.
Mohd Kamal Mohamad, 37, berkata, dia tidak menyangka peristiwa kemalangan itu bakal merubah nasib mereka sekeluarga.
"Pada pagi itu, kira-kira jam 8.30 pagi, saya mendapat panggilan daripada seseorang memaklumkan keadaan arwah isteri yang hanya tinggal 50-50 akibat kemalangan tersebut.
"Saya terus bergegas ke tempat kejadian kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap isteri," katanya ketika menceritakan saat-saat mendapat perkhabaran mengenai kemalangan yang menimpa arwah isterinya.
Ketika kejadian, Nor Azura maut setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh tiang telefon di hadapan sebuah sekolah di Pasir Gebu.
Hasil perkongsian Mohd Kamal bersama isterinya, Nor Azura Mohd Azhar mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Amirul Hakimi Mohd Kamal, 7, dan Amir Hafizi Mohd Kamal, 4.
Kini, sudah seminggu kehidupan mereka sekeluarga tanpa seorang isteri dan juga seorang ibu.
“Kalau nak kenangkan kembali, sukar juga kehidupan yang bakal saya tempuhi ini. Bayangkan selama ini segala hal berkaitan anak-anak dan hal rumah arwah isteri yang uruskan.
“Kini, sayalah ibu dan saya juga ayah kepada anak-anak. Alhamdulillah, anak saya terutamanya yang sulung seperti sudah dapat menerima kenyataan bahawa ibu mereka sudah tiada lagi,” katanya.
Bagaimanapun, kudratnya akan digagahi sedaya upaya untuk membesarkan anak-anak dengan sendiri.
"Walaupun agak sukar tapi saya tekad saya perlu kuat untuk besarkan anak-anak.
“Yang pastinya Ramadan ini akan kekal dalam ingatan penuh peristiwa yang amat bererti bagi kami sekeluarga,” katanya.

Tidak sangka berlaku penderaan

Tidak sangka berlaku penderaan
Rumah sewa pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan Nur Zuliana Zaara.

RANTAU PANJANG – Penduduk tidak menyangka pasangan suami isteri yang menyewa di rumah kedai dekat Kampung Bagus, di sini, dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes penderaan kanak-kanak berusia 5 tahun.

Jiran, Sabariah Mat Kassim, 67, berkata, tiada sebarang tanda, bunyi bising atau jeritan kanak-kanak kedengaran sepanjang enam bulan mereka menyewa di rumah berkenaan.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu kelihatan mesra seperti pasangan suami isteri lain.

“Kami jarang sekali nampak mereka berada di kampung ini kerana mereka banyak menghabiskan masa di Kampung Kubang Rambutan,” katanya.

Sementara itu, jiran, Mohd Yusuf Awang Kechik, 63, berkata, masyarakat tidak wajar meletakkan kesalahan itu kepada jiran tetangga kerana sebelum ini, tiada sebarang petanda berlakunya kes penderaan.

Menurutnya, sekiranya terdengar sebarang jeritan atau tangisan, mereka pasti menghubungi pihak polis dengan segera.

“Saya sendiri terkejut dengan kejadian yang menimpa Yaya kerana dia jarang keluar atau bermain di sekitar rumah.

“Sepertimana rumah-rumah yang lain, rumahnya juga sentiasa tertutup, jadi agak sukar untuk mengetahui sama ada berlaku sebarang kes penderaan anak di sini,” katanya.

Sementara itu, rakan niaga bapa kanak-kanak berkenaan, E Chuan berkata, dia mengenali lelaki itu sebagai seorang bapa yang baik dan mudah mesra, namun tidak mengenali secara lebih dekat isteri baharunya.

“Dia tak pernah cerita pasal hal keluarga kerana semua urusan anak-anak diserahkan kepada isterinya,” katanya.

Pada 29 Jun lalu, sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Mas bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun.

Kanak-kanak malang itu yang mesra dipanggil Yayadipercayai berada di bawah jagaan bapa kandung dan ibu tiri, selepas suspek berpisah dengan bekas isterinya pada 2013 lalu.

Yaya  mengalami kecederaan serius termasuk patah 13 tulang rusuk, tulang belakang, bahu kanan selain tulang pinggulnya berubah kedudukan.  

Mangsa juga mengalami radang paru-paru, lebam di dada dan perut dan bahagian belakang, selain masih trauma dengan kejadian menimpanya.

Warga emas dipukau rugi RM20,000

Warga emas dipukau rugi RM20,000
Zaidah menunjukkan isi sampul surat yang diberikan dua lelaki yang didakwa memukaunya di Kuala Besut, kelmarin.

KUALA BESUT - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM20,000 dipercayai dipukau selepas didatangi dua lelaki yang bertanyakan rumah seseorang dalam kejadian berhampiran sebuah bank di bandar Baru Kuala Besut di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa, Zaidah Dollar, 57, mendakwa menyerahkan barang kemas miliknya kepada suspek tanpa disedari.

Menurutnya, sebelum kejadian dia duduk di bangku sebuah kedai makan yang tidak beroperasi setelah selesai membeli belah di Pasar Tani Kuala Besut.

“Makcik duduk di situ sementara menunggu kawan datang ambil makcik untuk tumpang balik ke rumah.

“Tiba-tiba datang dua lelaki menghampiri makcik dan seorang daripada mereka berpura-pura bertanyakan rumah Ustaz Nazir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Jejawi (Beris Cawat) di sini.

Zaidah berkata lagi, selepas memberitahu tidak mengenali  ustaz terbabit, suspek kemudian menawarkan batu permata kepadanya kononnya sebagai batu azimat.

Katanya, dia berkeras menolak pemberian itu namun akhirnya lelaki terbabit memasukkan batu itu ke dalam sampul surat sebelum dihulurkan kepadanya.

Zaidah terpaksa mengambil surat berkenaan dan tidak lama kemudian dia dapati dua lelaki terbabit beredar meninggalkannya.

“Makcik kemudian pulang ke rumah dan belum menyedari apa yang berlaku. Makcik sedar barang kemas makcik hilang kira-kira jam 11.30 pagi selepas makcik buka isi di dalam sampul surat berkenaan.

“Makcik dapati batu permata yang ditunjukkan lelaki terbabit tidak ada dalam sampul itu sebaliknya ada beberapa biji batu kerikil, pasir, potongan kayu kecil dan tisu.

“Selepas itu baru makcik sedar dua gelang tangan dan dua cincin emas makcik bernilai kira-kira RM20,000 yang dipakai ketika ke pasar tani tadi sudah tidak ada,” katanya.

Zaidah hairan bagaimana dia tidak sedar langsung bila dia tanggalkan barang kemas tersebut dari tangannya kerana jari yang dipakainya agak ketat, malah gelang emasnya juga tidak mudah dibuka.

Peniaga makanan itu kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut untuk tindakan selanjutnya.

Dia sama sekali tidak menyangka lelaki yang berperwatakan baik dan warak itu rupa-rupanya penjenayah yang dikatakan sering menjalankan aktiviti seperti itu.

Kata Zaidah, salah seorang lelaki terbabit berbadan agak gempal berusia lingkungan 43 tahun dan ada janggut sedikit serta memakai baju kemeja.

“Manakala rakannya mungkin berusia sekitar 37 tahun, berbadan tinggi dan kulit agak gelap sedikit dengan wajah seakan berketurunan kacukan Pakistan.

Mereka bercakap loghat Utara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dan pada masa sama usaha memburu suspek sedang dijalankan.

“Beliau tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang sama melakukan jenayah tersebut terhadap mangsa sebelum ini di Besut beberapa bulan lalu, berdasarkan modus operandi yang dilakukan namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Kes Penipuan.

Mayat melekat pada pukat

Mayat melekat pada pukat
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pengkalan Kuala Kurau bekerjasama dengan polis menaikkan mayat seorang nelayan dipercayai warga Thai ditemui terdampar di perairan Sungai Burong, Tanjung Piandang, semalam.

TANJUNG PIANDANG - Sekumpulan nelayan yang sedang menangkap ikan di perairan Sungai Burong, di sini digemparkan dengan penemuan mayat seorang warga asing dipercayai lemas sejak empat hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Ridzuan Bachik berkata, lebih kurang jam 9 pagi semalam, mayat seorang lelaki yang tidak diketahui identiti ditemui terlekat pada pukat nelayan terbabit.
Menurutnya, kumpulan nelayan terbabit segera membuat laporan di balai polis berhampiran dan mayat mangsa lemas yang dibawa naik ke jeti, dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
“Berikutan penemuan mayat itu, pihak kami segera mengesan sebarang laporan melibatkan kehilangan orang di laut dan mengenal pasti satu laporan kehilangan nelayan di Bagan Panchor, Taiping pada empat hari lalu.
“Berdasarkan laporan polis diterima, pada 25 Jun lalu lebih kurang jam 4 pagi, seorang nelayan warga Thailand bersama dua rakan senegara sedang menangkap ikan di perairan Bagan Panchor sebelum bot dinaiki mereka terbalik secara tiba-tiba.
“Dalam kejadian bot terbalik itu, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan hutan paya berdekatan, manakala mangsa yang berusia 41 tahun gagal ditemui,” katanya sewaktu dihubungi media di sini semalam.
Mohd Ridzuan berkata, mangsa, Manop Chansi,41, cuba dijejaki kedua-dua rakannya yang masih hidup namun gagal.
Menurutnya, kedua-dua mangsa terselamat itu kemudiannya menghubungi majikan mereka dan memaklumkan kejadian bot terbalik serta kehilangan rakan mereka.
“Pihak majikan segera membuat laporan polis terhadap kehilangan mangsa dan hasil siasatan awal ke lokasi kejadian menemui bot yang terbalik, namun kelibat mangsa gagal dikesan.
“Justeru, apabila dimaklumkan penemuan mayat lelaki di perairan Sungai Burong, pihak kami cuba menghubungkan persamaan dengan identiti mangsa hilang tempoh hari.
“Polis memanggil kedua-dua rakan mangsa yang terselamat untuk mengecam identiti mangsa lemas yang ditemui semalam dan identitinya disahkan rakan mereka,”katanya.
Mohd Ridzuan berkata, mangsa dikenal pasti bekerja secara sah sebagai nelayan di negara ini berdasarkan pasport dan permit kerja yang ditunjukkan majikan.
Menurutnya, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Niat bantu bertukar tragedi

Niat bantu bertukar tragedi
Kereta Toyota Lexus dipandu seorang lelaki berusia 20an terbalik selepas merempuh Viva dan Exora ketika cubaan mengelak MyVi yang terlebih dahulu terbabas di lorong laju.

MARAN - Niat dua keluarga untuk membantu mangsa kereta terbabas bertukar tragedi apabila masing-masing kehilangan seorang anak dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 149.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, dua kanak-kanak, Nur Damia Batrisha Paizo, 5, dan Muhammad Akmal Nuraidi, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Bapa kepada Nur Damia, Paizo Yusof, 28, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga termasuk isteri dan dua anak serta dua adik ipar yang menaiki kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari pengebumian nenek isterinya di Raub.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia bertindak memberhentikan kereta di lorong kecemasan sebaik melihat Perodua Myvi di hadapannya terbabas ke kanan lebuh raya selepas melanggar belakang sebuah treler.

"Dalam masa yang sama sebuah kereta jenis Proton Exora di belakang kereta saya turut bertindak sedemikian kerana mahu membantu mangsa," katanya yang merupakan seorang anggota tentera.


Kereta dirempuh tiba-tiba

Difahamkan sebelum kejadian, pada awalnya tiga kenderaan ini berada di lorong perlahan dan secara tiba-tiba MyVi melanggar belakang treler di depannya sebelum terbabas ke lorong laju dan merempuh pembahagi jalan.

Paizo berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan pemandu Exora segera berhenti di tepi jalan.

"Saya keluar kereta sementara isteri dan anak termasuk anak yang bongsu berusia tiga tahun serta dua ipar berada dalam kereta.

“Ketika sedang membantu mangsa terbabas dalam tempoh kurang lima minit, secara tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Lexus dan cuba mengelak MyVi berkenaan,” katanya.

Paizo berkata, Lexus yang mengelak ke arah kiri jalan terbabas merempuh belakang keretanya (Viva) sebelum turut merempuh belakang Exora.

Menurutnya, anaknya yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia sementara ahli keluarga lain mengalami kecederaan dan tersepit.

“Saya memang tidak menyangka kehilangan anak sulung dalam kemalangan sebegini kerana saya berhenti dengan niat membantu orang lain.

“Dia yang sangat manja dengan saya dan menjadi penyeri kami sekeluarga kerana dia petah bercakap serta periang,” katanya sugul.


Maut akibat rempuhan kuat

Sementara itu, Mohd Syukor Abdullah, 24, iaitu bapa saudara kanak-kanak Muhammad Akmal berkata, mereka anak-beranak dalam perjalanan dari Bangi ke Kuala Krai untuk menziarahi nenek yang sedang tenat.

Katanya, dia keluar dari kereta membawa lampu suluh untuk memberi isyarat kepada kenderaan lain selepas MyVi terbabit terbabas dan masih di lorong laju.     

“Anak saudara saya (mangsa) keluar dari kereta dan duduk dekat tepi longkang mungkin kerana hendak lihat apa yang berlaku sementara yang lain ada di dalam kereta.

“Rempuhan kuat Lexus ke Viva terus mengenai Exora dan ke arah anak saudara sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, ASP Mohd Rizal Mat Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan kedua mayat kanak-kanak terbabit di hantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

"Tiga mangsa dalam kereta Viva yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh," katanya.

Tunisia buat tangkapan pertama

Tunisia buat tangkapan pertama
Pelancong mengambil bahagian dalam perhimpunan perpaduan anjuran industri pelancongan Tunisia. - Foto AFP
1 Julai 2015
PORT EL KANTAOUI - TUNISIA. Tunisia, kelmarin memaklumkan telah membuat tangkapan pertama susulan insiden serangan berdarah di sebuah pusat peranginan terkemuka di negara itu yang turut meragut 38 nyawa.
Menteri Dalam Negeri Tunisia, Najem Gharsalli berkata, pihak berkuasa menahan beberapa orang didakwa anggota rangkaian yang bertanggungjawab mendalangi serangan di Port El Kantaoui.
"Saya berikrar kepada mangsa untuk mengheret dalang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Sesiapa yang memberi sebarang bantuan logistik atau kewangan kepada penyerang juga akan ditahan," katanya.
Jumaat lalu, pihak berkuasa mengenal pasti suspek Seifeddine Rezgui, 23, sebagai penyerang bersenjata yang melepaskan tembakan rambang di hotel lima bintang, Riu Imperial Marhaba berhampiran Sousse di selatan Tunis. - AFP  

Wanita terbunuh jatuh 'bungee jump'

Wanita terbunuh jatuh 'bungee jump'
Wanita terbunuh jatuh 'bungee jump'

AUDINTCTHUN - PERANCIS. Seorang wanita terbunuh manakala teman lelakinya cedera parah selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti terjunan "bungee jump"
Wanita yang berusia 28 tahun yang masih belum dikenalpasti identitinya terbunuh dalam insiden mengerikan di Audincthun, dekat St Omer, Pas de Calais manakala teman lelakinya mengalami kecederaan serius dan kini sedang dirawat di Hopsital Universiti Kolej di Lille.

Menurut sumber memberitahu akhbar Le Parisien, pasangan itu menaiki kren yang berketinggian 65 meter untuk melakukan terjunan 'bungee jump'.

Semasa melakukan terjunam, kira-kira 12 meter dari bawah tanah, alat permainan itu tidak berfungsi dan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke tanah.

Wanita itu disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang manakala teman lelakinya dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Pendakwa raya Sebastien Pieve berkata, pihaknya percaya terdapat masalah ketika memasang tali pada pasangan tersebut.

"Kami akan meneliti sama ada insiden ini adalah disebabkan kecuaian manusia, masalah peralatan atau kedua-duanya sekali," katanya dipetik Mirror.uk

Dalam pada itu, pengurus permainan itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

Pihak berkuasa kini menutup permainan tersebut yang telah beroperasi dua tahun lalu buat sementara waktu.

Suami tikam isteri 24 kali selepas minta cerai

John Barron
John Barron

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kejam! Seorang suami bertindak menikam isterinya sebanyak 24 kali selepas wanita itu meminta cerai daripadanya.

John Barron, 34, menyerang isterinya, Susan menggunakan dua bilah pisau dapur dengan menikam leher, badan, lengan dan kakinya sambil disaksikan oleh anak lelakinya.

Walaupun polis tiba di rumah pasangan berkenaan di Washington, lelaki berkenaan terus meneruskan tikamannya di hadapan pegawai polis.

Memetik laporan Newcastle Chronicle, lelaki berkenaan kini dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun selepas didapati bersalah.

Susan yang terselamat berkata kepada mahkamah, serangan oleh suaminya itu memberi kesan trauma kepada dirinya dan anaknya, David Quinn.

"Saya ingat saya akan mati dan kejadian ini memberi impak kepada saya dan anak," katanya dipetik Mirror.co. uk

Lelaki berkerusi roda rompak bank

Lelaki berkerusi roda rompak bank
Gambar lelaki berkerusi roda yang merompak bank

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Polis sedang memburu seorang lelaki berkerusi roda yang berjaya melarikan diri selepas merompak sebuah bank di bandaraya New York.

Insiden rompakan tersebut berlaku di Santander bank di Queens pada jam 2 petang waktu tempatan, Isnin.

Polis berkata, lelaki berusia lewat 20an yang memakai jaket berwarna kelabu dan berkerusi roda dilihat memasuki bank berkenaan dan kemudian menyerahkan nota ugutan kepada pegawai bank berkenaan.

Menurut laporan AP, selepas menerima wang $1,200 (RM 4527) lelaki berkenaan melarikan diri dengan kerusi roda ke Barat Broadway.

Lagi skandal pengintipan NSA didedah WikiLeaks

Lagi skandal pengintipan NSA didedah WikiLeaks
Moscovici (kiri) dan Baroin menjadi turut menjadi sasaran dalam skandal pengintipan NSA.

PARIS - PERANCIS . Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) didakwa melakukan pengintipan ke atas dua menteri kewangan Perancis dan turut mengumpulkan maklumat berkaitan kontrak eksport, perdagangan serta bajet.
 
Menteri yang menjadi sasaran NSA adalah Francois Baroin dan Pierre Moscovici yang berkhidmat pada 2011 hingga 2014.
 
Skandal pengintipan itu didedahkan WikiLeaks kira-kira seminggu selepas laman pembocor maklumat tersebut mendakwa agensi tersebut mengintip tiga presiden Perancis sejak 2006 hingga Mei 2012.
 
Menurut laporan itu, salah satu dokumen bertarikh dari 2002 dan diperbaharui pada 2012 menunjukkan NSA meminta perkhidmatan risikan dari Australia, Britain, Kanada, New Zealand untuk mendapatkan kesemua maklumat itu.
 
Difahamkan, maklumat kontrak eksport bernilai lebih AS$200 juta (RM755 juta) yang diperoleh itu melibatkan pelbagai sektor termasuk syarikat telekomunikasi, elektrik, tenaga nuklear, pengangkutan dan kesihatan. - AFP

Gelandangan paling banyak mati

Karachi: Hampir dua pertiga mangsa gelombang haba yang melanda selatan Pakistan minggu lalu adalah gelandangan, kata menteri kesihatan tempatan semalam, dalam pada jumlah kematian menjangkau 1,200 di Karachi.
Karachi yang mempunyai 20 juta penduduk kurang kawasan hijau atau kemudahan untuk membantu penduduk menangani cuaca panas yang melampau.
Sehubungan itu, mereka yang menjadikan jalanan sebagai tempat tinggal tidak mempunyai tempat berlindung daripada cuaca panas atau air yang mencukupi seterusnya mengakibatkan golongan itu paling terkesan.
Menteri berkenaan, Jam Mehtab Dahar berkata: “Kira-kira 60 hingga 65 peratus mangsa adalah penagih dadah dan pengemis. Golongan gelandangan.
“Baki 35 hingga 40 peratus kebanyakannya membabitkan wanita tua yang meninggal dunia di rumah dan tidak terdedah secara langsung kepada cuaca panas seperti golongan gelandangan.”
Kata-katanya secara tidak langsung menggambarkan faktor terputus bekalan elektrik turut memainkan peranan apabila menghalang orang ramai menggunakan kipas atau pendingin udara.
Pegawai kanan kesihatan Zafar Ejaz berkata, setakat semalam 1,229 dilaporkan maut berdasarkan rekod hospital di bandar itu.
Selepas mencapai suhu paling tinggi iaitu 45 darjah Celsius pada hujung minggu 20 hingga 21 Jun lalu, suhu turun sekitar 30-an minggu lalu selepas perubahan angin membawa udara laut ke kawasan berkenaan.
Undang-undang Pakistan melarang orang Islam makan atau minum di tempat awam sepanjang Ramadan, namun segelintir ulama menggesa orang ramai tidak berpuasa jika boleh mengancam kesihatan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 7:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61011#sthash.YmiG7lfS.dpuf

Kena juga

London: Pendakwa Britain semalam memfailkan 22 tuduhan penderaan seksual terhadap seorang ahli politik berusia 86 tahun yang kini menghidap penyakit Alzheimer kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengadakan seks dengan budak lelaki sepanjang tempoh 25 tahun.
Pendakwaan bersejarah terhadap Lord Greville Janner - bekas ahli parlimen dan anggota House of Lords - dianggap kejayaan bagi pihak yang giat berkempen supaya tindakan lebih tegas dikenakan dalam kes penderaan kanak-kanak.
Perkhidmatan Pendakwaan Crown (CPS) sebelum ini enggan mendakwa Janner kerana penyakitnya yang dianggap menyebabkannya tidak layak untuk dibicarakan.
Namun, selepas berdepan kritikan hebat, pengarah pendakwaan awam, Alison Saunders mengumumkan tuduhan itu diteruskan membabitkan sembilan mangsa - yang hampir semuanya berusia 16 tahun ke bawah ketika kejadian - bagi kejadian antara 1963 hingga 1988 itu.
Keluarga Janner menafikan sekeras-kerasnya yang dia menggunakan kuasanya sebagai ahli parlimen Parti Buruh di Leicester - jawatan dipegangnya antara 1970 hingga 1997 - untuk melakukan penderaan seksual terhadap budak lelaki terbabit di rumah kebajikan kanak-kanak di situ.
Pendakwa mengakui Janner berkemungkinan besar diisytiharkan tidak layak dibicarakan seterusnya bererti dia tidak akan disabitkan atas kesalahan itu.
Namun, tuduhan dikenakan memberi peluang untuk mangsa terbabit bersuara di mahkamah.
Liz Dux, yang mewakili seorang daripada mangsa berkata pihaknya gembira dengan keputusan itu.
“Anak guam kami sekian lama menunggu detik ini, supaya tuduhan serius ini dibawa ke muka pengadilan.
“Selama ini mereka kecewa dengan sistem keadilan jenayah, tetapi keputusan ini memberikan mereka sedikit harapan untuk mendapatkan pengadilan,”katanya.
Tuduhan membabitkan Janner mencetuskan spekulasi tahun lalu mengenai rangkaian fidofilia di parlimen menyebabkan Perdana Menteri David Cameron mengarahkan siasatan terhadap isu berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 7:16 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61012#sthash.sgMskXZZ.dpuf

‘Langkah mayat kami’

Tunisia: Seorang pelancong yang terselamat dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di Tunisia Jumaat lalu mendedahkan usaha berani pekerja hotel tempatan membentuk rantaian manusia di pantai untuk melindungi warga asing di situ daripada ditembak suspek.
Menceritakan detik cemas itu, John Yeoman, 46, berkata pekerja Muslim di Hotel Bellevue memberitahu lelaki bersenjata itu supaya perlu membunuh mereka terlebih dulu jika ingin mengapa-apakan pelancong berkenaan.
Dalam imej yang dimuat naik ke Internet, puluhan lelaki tempatan dilihat bertindak membentuk rantaian manusia bagi melindungi pelancong asing daripada menjadi mangsa tembakan suspek yang yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai Seifeddine Rezgui.
“Lelaki itu memang mengumumkan dia menyasarkan pelancong Barat. Namun pekerja hotel berkenaan menjerit: ‘Langkah mayat kami dulu, tetapi kami Muslim!’
“Mereka begitu berani. Mereka benar-benar orang yang baik,” kata Yeoman.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Najem Gharsalli berkata, semalam, pihak berkuasa sudah membuat beberapa penahanan berhubung kejadian itu.
“Kumpulan pertama sudah ditahan membabitkan sejumlah orang ramai.
“Mereka dipercayai anggota rangkaian yang bertanggungjawab atas serangan pengganas itu,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 7:21 AM


RAKAMAN yang dimuat naik ke Internet menunjukkan suspek meninggalkan kumpulan orang yang membentuk rantaian manusia bagi melindungi pelancong.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61016#sthash.qROvyQip.dpuf