Search This Blog

Sunday, June 28, 2015

Lelaki Myanmar mati ditikam


PUTRAJAYA 27 Jun– Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat ditikam dengan pisau di bahagian perut berhampiran rusuk kiri di sebuah rumah kongsi di tapak projek Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dengkil, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Aziz Ali berkata, dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa, Mya-kwnt yang cedera parah ditemui berlumuran darah di dalam rumah tersebut oleh rakan serumahnya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah ditikam oleh seseorang yang tinggal di kawasan yang sama bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini dan usaha mengesan suspek masih diteruskan.
“Semasa kejadian, rakan serumahnya memaklumkan mereka sedang makan berdua dan dia kemudiannya keluar sebelum terdengar jeritan yang kuat dari dalam rumah dan apabila masuk semula didapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun pada pukul 6.45 pagi ini disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Aziz berkata, laporan awal menyatakan mangsa bergaduh dengan rakan senegaranya sebelum ditemui dalam keadaan cedera parah di rumah kongsi itu.
“Setakat ini enam saksi telah diambil keterangan. Kita sukar mengesan suspek ekoran hampir separuh pekerja asing warga Myan­mar di situ telah melarikan diri termasuk suspek,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-myanmar-mati-ditikam-1.107806#sthash.PRbmvCrN.dpuf

Derita kanak-kanak mangsa dera ibu tiri


Badan penuh kesan luka, bongkok akibat patah tulang
ZAAIN ZIN  |  28 Jun 2015 1:04 AM


GAMBAR Nur Zuliana Zaara Zulkifli (kanan) bersama ibu tirinya.

KOTA BHARU 27 Jun - Wajahnya cengkung manakala seluruh badannya lebam dan dipenuhi parut. Kepalanya luka terkoyak manakala belakangnya pula membongkok, dipercayai kesan daripada patah tulang belakang, rusuk serta paha akibat tidak dirawat sempurna.
Itu keadaan fizikal Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5, setelah dipelihara bapa kandung dan ibu tirinya di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, Pasir Mas sejak dua tahun lalu.
Selain itu, sikap Nur Zuliana Zaara atau nama timangan Yaya juga bertukar menjadi pasif, pendiam dan antisosial, jauh berbeza berbanding perwatakan asalnya yang aktif.
“Ketika melihat keadaan Yaya yang serba daif, hancur luluh hati saya. Bayangkan, saya sendiri sudah tidak cam itu anak saya,” rintih ibu kandung kanak-kanak itu, Sana Abdul Malek ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Sana, 28, mendakwa, ketika mahu bercerai pada 2013, bekas suaminya meletakkan syarat mahu menjaga Nur Zuliana Zaara yang merupakan anak tunggal mereka.
Sejak itu katanya, dia hanya berpeluang bertemu Nur Zuliana Zaara sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
Kemudian, lelaki itu berkahwin lain dan sejak itu, dia tidak lagi dibenarkan bertemu anaknya.
“Apabila menelefon bertanyakan khabar, bekas suami kata Yaya tidak mahu bercakap atau berjumpa dengan saya. Yaya sekarang seronok sebab dapat ibu baru.
“Memandangkan kami masing-masing sudah berkahwin lain dan mempunyai kehidupan baharu, saya tidak mengesyaki apa-apa yang buruk. Lebih-lebih lagi bekas suami memberi jaminan Yaya kini dijaga dengan baik,” kata Sana.
Bagaimanapun kata Sana, Rabu lalu, ibu tiri mangsa yang berusia 20-an menghubunginya dan memberitahu pasangan itu tidak mahu lagi menjaga Nur Zuliana Zaara.
“Mereka mahu menyerahkan hak penjagaan sepenuhnya kepada saya. Ketika menyerahkan Yaya, bekas suami dan isterinya itu tidak bersemuka dengan saya. Mereka menggunakan jiran sebagai orang tengah.
“Hati saya mula tidak sedap sebaik sahaja melihat Yaya dalam keadaan lemah, berjalan bongkok dan kurus kering. Dia juga enggan bercakap,” katanya.
Sana berkata, semasa tiba di rumah, dia membuka baju dan terkejut melihat badan Yaya penuh dengan kesan lebam, parut dan luka di sana-sini.
“Kepalanya juga terkoyak. Apabila ditanya, dia cuma beritahu ‘Mummy’ cubit. Itu sahaja,” katanya yang segera membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Halilludin Rahim ketika dihubungi berkata, Nur Zuliana Zaara telah dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut dan setakat ini keadaan mangsa dilaporkan stabil walaupun masih trauma dan enggan bercakap dengan sesiapa.
“Polis kini sedang giat mengesan ibu tiri dan bapa kandung mangsa yang didapati telah meninggalkan rumah dan melarikan diri,” katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana dera.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/derita-kanak-kanak-mangsa-dera-ibu-tiri-1.107858#sthash.r8s86uFe.dpuf

Tangkapan Justo jadi pengajaran

Xavier Andre Justo

Xavier Andre Justo
KUALA LUMPUR 27 Jun – Kes tangkapan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini harus dijadikan pengajaran kepada semua portal dan blog yang mempunyai hasrat untuk menghasilkan sesuatu ‘berita’.
Satu komentar yang dikeluarkan Rakyat Post hari ini menyatakan, portal dan blog perlu belajar untuk lebih bertanggungjawab dalam mengesahkan sumber supaya tidak terlibat dengan maklumat yang tidak tepat.
“Sudah tiba masanya untuk golongan yang sering melaporkan berita-berita online mengenai negara ini berubah dan tampil sebagai wartawan sebenar kerana melalui cara itu sahaja mereka akan bersedia untuk mengamalkan integriti standard sebagai seorang wartawan.
“Dalam masa yang sama, tangkapan Xavier Andre Justo oleh polis Thailand itu juga harus digunakan sebagai pengajaran kepada syarikat-syarikat berita sama ada akhbar, televisyen atau online dalam mengesahkan sumber masing-masing,” menurut komentar itu.
PetroSaudi, syarikat antarabangsa industri minyak dan gas yang berpangkalan di Arab Saudi mendapat perhatian di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalankan dengan 1Malaysia Developmen Bhd. ( 1MDB).
Menurut komentar itu, 1MDB dan PetroSaudi mengesahkan bahawa Sarawak Report tidak pernah menghubungi kedua-dua syarikat tersebut walaupun sekali bagi mengesahkan dakwaan yang telah mereka lakukan sama ada sebelum, semasa mahu pun selepas laporan portal itu dikeluarkan.
Padahal, bertanya lanjut dan mengesahkan sumber merupakan tanggungjawab paling asas dalam bidang kewartawanan.
Kenyataan penuh komentar itu boleh dilayari melalui laman web http://www.therakyatpost.com/news/2015/06/27/apply-proper-standards-of-journalistic-integrity/
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tangkapan-justo-jadi-pengajaran-1.107867#sthash.JBezWtLM.dpuf

Peluk Islam pada bulan Ramadan


Seramai 20 pekerja asing merakam gambar kenangan selepas memeluk

SERAMAI 20 pekerja asing merakam gambar kenangan selepas memeluk agama Islam di sebuah masjid di Riyadh selepas selesai sunat tarawih, kelmarin. AGENSI
RIYADH 27 Jun – Seramai 20 orang pekerja asing yang berkhidmat di negara ini, kebanyakan warga Filipina mengambil keberkatan di bulan suci ini untuk memeluk agama Islam, di sini, kelmarin.
Menurut portal arabnews.com, semua mereka yang menjadi saudara baharu merupakan pekerja di Hospital Universiti Raja Abdul Azizi di sini .
Imam besar masjid di daerah Dubhat, Malaz, Sheikh Turky Qelaiwy mengumumkan perkara itu selepas solat sunat tarawih selepas semua mereka mengucap dua kalimah syahadah.
Mereka kemudian bergambar bersama bagi merakamkan detik-detik manis sebagai saudara baharu.
“Ini adalah masa untuk bergembira kerana kita menerima saudara baharu,” ujar Sheikh Turky.
Beliau berkata, pada peringkat awal, kemungkinan saudara baharu itu akan berdepan dengan masalah untuk mengikuti ajaran Islam, tetapi agama Islam adalah agama yang mudah.
“Jika tahun ini anda tidak boleh berpuasa kerana masalah tertentu seperti kesihatan yang tidak mengizinkan, anda boleh melakukannya tahun depan, tetapi sebagai seorang umat Islam, kita perlu mengamalkan cara hidup Islam,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/peluk-islam-pada-bulan-ramadan-1.107789#sthash.ZgJ0kOcq.dpuf