Search This Blog

Saturday, June 27, 2015

Guru Tuisyen Bunuh Diri Selepas Ditipu Lelaki


Diterbitkan: Sabtu, 27 Jun 2015 10:33 AM

Wai Hong menunjukkan gambar kakaknya, mendiang Wai Yi pada sidang media.

PETALING JAYA: Seorang guru tuisyen berusia 32 tahun membunuh diri selepas ditipu sebanyak RM75,000 oleh seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya.
Liew Wai Yi ditemui mati pada Ahad lalu di tempat letak kereta dipercayai jatuh dari sebuah bangunan di Seri Kembangan.
Menurut adik perempuannya, Wai Hong, keluarganya kemudiannya menemui pesanan teks di dalam telefonnya yang menggambarkan bahawa Lie kemungkinan merupakan mangsa penipuan seorang lelaki.
Wai Hong berkata, kakaknya mengenali seorang lelaki bernama Aslam Roger Lloris Mustaafa secara dalam talian sejak awal Februari lalu menerusi aplikasi WeChat danWhatsApp, tetapi keluarganya percaya nama dan gambar profil lelaki itu adalah palsu.
'Aslam' menerusi mesej tersebut mendakwa dia mengalami sakit jantung dan memerlukan wang untuk menjalani pembedahan di Singapura, dan berdasarkan pemeriksaan mendapati Wai Yi mula memasukkan wang kepadanya melalui ATM sejak 9 Februari lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 14 transaksi dibuat terhadap akauan bank Hong Leong Bank yang sama, di mana yang terakhir pada 29 April, dengan jumlah antara RM400 sehingga RM11,000.
Keluarganya percaya Wai Yi telah membuat pinjaman untuk memberikan wang kepada lelaki itu kerana pendapatannya sebagai guru tuisyen tidak cukup untuk mendapat sejumlah RM75,000 dalam hanya tiga bulan.
Pada sidang media di Biro Aduan MCA pada Jumaat, Wai Hong mendedahkan beberapa mesej antara mendiang dan 'Aslam' seperti "tiga bulan awak dapat 75k (RM75,000) untuk saya, saya mahu belajar daripada awak", "ibu bapa saya akan bunuh saya dan tidak akan maafkan saya sekiranya mereka tahu saya pinjamkan wang kepada orang yang tidak pernah berjumpa" dan "saya akan mati tak lama lagi. Sila lihat berita mengenai saya di TV atau akhbar".
Wai Hong berkata, kakaknya berkelakuan aneh kira-kira seminggu sebelum kematiannya tetapi tidak pernah menceritakan masalah kepada sesiapa.
Ketua biro, Datuk Seri Michael Chong berkata, pasukannya kini menumpukan terhadap suspek dari Subang Jaya, dan dia akan dijejaki polis tidak lama lagi.
Polis daerah Serdang mengesahkan mereka sedang menyiasat kes berkenaan.

Nyaris maut gara-gara makan rambut sendiri

Nyaris maut gara-gara makan rambut sendiri
Gumpalan rambut.

MUMBAI - INDIA. Seorang remaja nyaris maut akibat terlalu banyak memakan rambutnya sendiri. Kavita Kumari, 15, disahkan kronik dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian perut sebelum doktor menemui gumpalan rambut sepanjang 15 kaki di dalam ususnya.
 
Menyifatkan ia sebagai satu penyakit yang amat jarang ditemui, Kavita yang disahkan menghidap Sindrom Rapunzel dikatakan ketagih untuk mengunyah gumpalan rambut.
 
Memetik laporan dari portal Metro.co.uk, jurucakap sebuah pusat perubatan di India berkata, Kavita bukan sahaja memakan gumpalan rambutnya sendiri, malah dia turut memakan gumpalan rambut yang dijumpainya.
 
“Berdasarkan hasil pembedahan, kami andaikan bahawa dia memakan terlalu banyak gumpalan rambut sehingga dia menghadapi kesukaran untuk meminum air.
 
“Tabiatnya sukar dikawal sehingga dia dilaporkan menarik rambut rakan sekelasnya untuk memakan gumpalan rambut,” katanya.
 
Kavita kini dilaporkan dalam proses penyembuhan selepas pembedahan dan bakal dirujuk ke pakar psikologi untuk membantunya menangani masalah tersebut.

Dakwa China dalang godam data AS

James Clapper
James Clapper

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Ketua Perisikan Amerika Syarikat (AS), James Clapper hari ini mendakwa negara China adalah suspek utama dalam kejadian godam besar-besaran yang melibatkan berjuta-juta rekod rakyat AS.

"Kerajaan AS akan terus menyiasat," kata Clapper dalam sebuah konferansi di Washington.

Menurut laporan BBC, dakwaan tersebut keluar sesi dialog peringkat tertinggi antara AS dan China  yang berlangsung selama tiga hari.

Pada 5 Jun lepas, Jabatan Pengurusan Personel (OPM) berkata, lebih empat juta rekod pekerja, pesara, kontraktor dan pemohon kerja telah digodam.

Beberapa laporan lain mengatakan 14 juta dan lebih rekod telah digodam, tapi ianya masih belum disahkan.

Pada Mac 2014, sebuah cubaan godam terhadap jaringan OPM telah berjaya dihalang daripada berlaku.

AS juga menyalahkan China dalam kejadian tersebut.

Abang selamatkan adik tercekik syiling

Abang selamatkan adik tercekik syiling
(Kanan) Star Tyack dan abangnya, Ty Rees

GLOUCESTER - ENGLAND. Tindakan pantas seorang abang berjaya menyelamatkan adiknya daripada maut akibat tercekik wang syiling, Selasa lepas.

Media tempatan, Gloucester Citizen memberitahu, Ty Rees, 12, menampar leher adiknya, Star Tyack selepas kanak-kanak perempuan berumur dua tahun tersebut tidak mampu bernafas dan mengeluarkan bunyi.

Rees kemudian menjerit memanggil ibunya, Marie dan teman lelaki ibunya untuk datang membantu.

Teman lelaki ibu Rees, Kevin Blackburn bertindak menampar belakang Tyack yang kemudian memuntahkan tiga keping syiling.

Ketika kejadian, Rees sedang menonton televisyen.

Bercakap kepada media, Marie menyifatkan anak lelakinya tersebut sebagai adiwira.

"Rees tenang dan tahu apa yang sepatutnya beliau lakukan," kata beliau.

"Mata Tyack tersembul dan beliau mengeluarkan bunyi seperti dicekik, saya tidak mahu melalui keadaan itu lagi," kata wanita tersebut yang menghantar Rees ke sebuah kursus pertolongan cemas, beberapa tahun lalu.

"Bersyukur kerana Rees lebih matang dari umurnya," akhiri beliau.

Lapan maut, 25 cedera di Iraq

Lapan maut, 25 cedera di Iraq
Sebahagian orang awam melihat sisa letupan selepas sebuah tempat letak kereta di Dataran Beirut dibom, Rabu lalu. - Foto AFP

BAGHDAD - IRAQ .  Sekurang-kurangnya lapan maut manakala 25 yang lain cedera dalam lima letupan bom berasingan dan kejadian tembakan di sekitar ibu negara, Iraq, kelmarin.
 
Sumber polis memberitahu, dua orang awam terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan bom di kejiranan Sha'ab di utara Baghdad.
 
Di kejiranan Baiyaa, sebutir bom meletup berhampiran pusat pameran kereta meragut satu nyawa dan mencederakan tujuh lagi. Manakala di al-Mahmoudiyah, bom yang diletupkan di sekitar kejiranan itu membunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan dua pejalan kaki.
 
Dua orang juga dilaporkan maut dan lima lagi cedera apabila bom yang diletakkan di dalam tong sampah di kawasan perindustrian Bismayah, meletup.
 
Sementara itu, seorang orang awam meninggal dunia selepas ditembak ketika memandu di kejiranan al-Baladiyat di timur Baghdad. Sebutir bom yang meletup berdekatan kolam ikan di bandar Madain turut mengorbankan satu nyawa dan mencederakan tiga yang lain.
 
Setakat ini, tiada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan. Bagaimanapun, pegawai Iraq mendakwa ia dilakukan kumpulan militan IS. - Press TV

Lepas bunuh, lelaki menyamar jadi kekasih

Lepas bunuh, lelaki menyamar jadi kekasih
Lee dan Sunny Kim

BUSAN - KOREA SELATAN . Seorang lelaki menyamar menjadi teman wanitanya lebih dari dua minggu selepas membunuh gadis tersebut, lapor portal Metro.co.uk, semalam.
 
Menurut laporan, lelaki itu membunuh teman wanitanya selepas gadis itu meminta untuk mengakhiri perhubungan pasangan terbabit.
 
Lee, 24 mengaku membunuh Sunny Kim, 26, selepas dua minggu gadis tersebut dilaporkan hilang.
Sejak Kim dilaporkan hilang, Lee dikatakan menyamar sebagai Kim dan membalas setiap pesanan yang dihantar menerusi telefon bimbit mangsa.
 
Kakak mangsa yang tidak mahu dinamakan berkata, Lee mungkin meneliti perbualan terdahulu antara dia dan adiknya.
 
 “Cara dia membalas mesej saya (dengan menggunakan telefon bimbit mangsa) sama seperti cara Kim membalas mesej saya.
 
 “Mungkin dia sudah ‘selongkar’ mesej perbualan kami dan meniru cara Kim membalas teks pesanan ringkas,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal tersebut.
 
Kakaknya turut menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mengejutkan.
 
Pada hari Kim dibunuh, Lee juga dikatakan menyamar sebagai Kim untuk menolak tawaran kerja yang ditawarkan kepada Kim.
 
“Dia (Lee) memberitahu syarikat terbabit bahawa Kim tidak akan menerima tawaran pekerjaan itu kerana Kim bakal pulang ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran,” katanya lagi.
 
Lee menyerah diri ke balai polis dengan pergelangan tangan yang berdarah akibat dihiris. Dia turut membuat pengakuan bahawa dia telah membunuh teman wanitanya.
 
Dua hari kemudian, mayat Kim ditemui pihak berkuasa ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen.
 
Mayat tersebut dilaporkan ditemui di bukit yang terletak berhampiran dengan kediaman Kim.
 
 Sebelum ini, Lee dikatakan pernah memukul dan mengasari Kim.

Nyaris buta terkena semburan bisa ular tedung




BETONG – Seorang anggota bomba tidak pernah terfikir akan cedera dan nyaris buta akibat terkena semburan bisa ular tedung ketika sedang bertugas menangkap reptilia itu di Taman Teo Zee Hin di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa, Prangka Gudan, 32, dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong di sini dilaporkan cedera pada bahagian mata kanannya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan (gambar) berkata, sebelum kejadian, tiga anggota bomba termasuk Prangka bergegas ke taman perumahan itu selepas menerima panggilan melaporkan kehadiran reptilia berbisa dipercayai dari spesies Naja Sumatrana pada pukul 10 malam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3eDX4eJeq 
Hakcipta terpelihara 

Didakwa memandu semasa mabuk



Anggota polis mengiringi Norman (kiri) yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar kereta peronda polis di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur, Jalan Duta semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sebuah kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar sebuah kereta peronda polis pada Isnin lalu.
Tertuduh, Lua Norman, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zura Syazween Hamizan.
Mengikut pertuduhan, Norman yang merupakan pelajar Kolej SEGI, Kota Damansara didakwa memandu kereta Volkswagen Polo 1.2 di bawah pengaruh alkohol di mana kandungan alkohol di dalam badan didapati 111 mikrogram (mg) per 100 mililiter (ml) nafas iaitu lebih 76mg per 100ml nafas daripada had yang ditetapkan iaitu 35mg per 100ml nafas.
Ekoran keadaan itu, tertuduh didakwa gagal mengawal kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan kecederaan terhadap anggota peronda polis Nor Alhayari Buyong, 58, dan Zainal Abu Bee Din, 50.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pudu dari arah Jalan Pudu menghala ke pusat bandar raya pada pukul 8.55 pagi, 22 Jun lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3eDWs2RQx 
Hakcipta terpelihara 

Guru agama tidak sempat berbuka puasa




BACHOK – Hasrat seorang guru sekolah rendah untuk berbuka puasa dengan colek nanas kegemarannya bersama isteri dan anak-anaknya tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di Kampung Sungai Gali, Kandis di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.10 malam itu, mangsa, Sukri Hassan (gambar), 57, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang Mohamad Rosaddie Mat Ali, 22, ketika mangsa membuat pusingan U di jalan berkenaan yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Akibat rempuhan itu, Sukri dan Mohamad Rosaddie dikatakan terpelanting ke bahu jalan.
Guru Pendidikan Islam itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala Mohamad Rosaddie disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada pukul 11.30 pagi semalam.
Isteri Sukri, Juariah Ramli, 51, berkata, arwah suaminya keluar dari rumah pada pukul 6.15 petang untuk bersiar-siar di sekitar Pantai Sungai Gali di sini selepas membantunya menyiapkan hidangan tersebut.
“Arwah sempat menyiapkan colek nanas itu dan berhasrat untuk menikmatinya sebagai juadah pencuci mulut selepas berbuka.
“Semasa menunggu waktu berbuka, kami sekeluarga dikejutkan dengan be­rita kejadian itu kira-kira pukul 7.15 petang,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3eDWi33mn 
Hakcipta terpelihara 

Perompak gagal larikan wang RM20,000 dalam peti besi



Shariza (kiri) dan pembantunya, Hasmimaziza Abdul Hamid memeriksa barangan yang berselerak setelah kedai minyak wanginya di Jalan Langgar, Alor Setar dipecah masuk penyamun semalam.


ALOR SETAR – Seorang pengurus premis menjual minyak wangi bernasib baik tidak mengalami kerugian besar apabila kedainya di Jalan Langgar di sini dipecah masuk perompak semalam.
Ini kerana penjenayah terbabit ‘terlepas pandang’ sebuah peti besi di dalam premis itu yang mengandungi wang tunai sejumlah RM20,000.
Pengurus MJ Rehab Perfumes, Shariza Nadzri, 35, berkata, dia menyedari kejadian tersebut sebaik mahu membuka kedai pada pukul 10 pagi semalam.
“Saya terkejut melihat barang-barang di dalam kedai berselerak terutama di kaunter pembayaran sebelum mendapati sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan wang tunai RM500 hilang,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini semalam.
Shariza menceritakan, ketika itu hatinya berdebar-debar kerana teringatkan wang hasil jualan berjumlah RM20,000 yang disimpan di dalam peti besi tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3eDWWhcxB 
Hakcipta terpelihara 

Penjahat Bukit Jelutong tersungkur



Anggota polis mengusung mayat penjenayah yang mati ditembak di Jalan Jingga, Bandar Nusa Rhu di Bukit Jelutong semalam.


SHAH ALAM – Niat tiga penjenayah untuk menceroboh sebuah rumah ahli perniagaan di Jalan Pulau Angsa U10, Bandar Nusa Rhu, Bukit Jelutong, Shah Alam di sini semalam berakhir dengan ketiga-tiga penjahat itu mati ditembak oleh polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 2 pagi itu, pemilik rumah terbabit terjaga daripada tidur selepas terdengar alat penggera berbunyi.
Menurut beliau, ahli perniagaan yang memeriksa punca bunyi itu ternampak kelibat sekumpulan penjenayah sedang memanjat pagar rumahnya sebelum mangsa menghubungi polis.
“Polis yang menghantar pasukannya ke lokasi kejadian terserempak dengan tiga lelaki yang sedang melarikan diri di Jalan Jingga di kawasan tersebut.
“Polis cuba menahan ketiga-tiga lelaki itu namun dua daripada suspek mengeluarkan parang dan sejenis senjata menyerupai pistol cuba menyerang polis,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Adnan, bagi mempertahankan diri, polis bertindak menembak ketiga-tiga lelaki itu dan mereka disahkan mati di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3eDWN3vLI 
Hakcipta terpelihara 

PBB didesak tubuh tribunal siasat tragedi MH17


REUTERS - SERPIHAN pesawat MH17 yang jatuh di perkampungan Rozsypne, wilayah Donetsk, Ukraine tahun lalu.


NEW YORK – Belanda, Malaysia dan tiga lagi negara mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan satu tribunal bagi mencari pi­hak yang bertanggungjawap me­nembak jatuh pesawat Pe­nerbangan Malaysia (MAS), MH17 di Ukraine tahun lalu, kata seorang diplomat kanan kelmarin.
Malaysia dijangka menge­mu­­kakan satu draf resolusi ke­pada Majlis Keselamatan PBB bulan depan bagi pembentukan tribunal tersebut, ujar diplomat itu yang nama­nya enggan disiarkan.
“Mereka akan mencari persetujuan untuk menubuhkan sebuah tribunal PBB yang akan mencari pihak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Rusia akan menyokong penubuhan tribunal khas tersebut selepas PBB mendakwa jenayah itu sebagai serius,” kata diplomat itu.
Kesemua 298 penumpang dan kru pesawat MH17 yang majoritinya warga Belanda ter­bunuh apabila pesawat ter­sebut ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu.
Kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine di­per­cayai telah menggunakan pelu­ru berpandu yang dibekalkan Rusia bagi me­nem­bak jatuh pesawat tersebut.
Akibat kemarahan dunia, Majlis Keselamatan PBB tahun lalu telah menetapkan penjenayah kes tersebut akan dibawa ke muka pengadilan.
Australia, Belgium, Malay­sia, Belanda dan Ukraine yang menganggotai Pasukan Penyia­satan Bersama telah mem­buat pertemuan minggu lalu di New York bagi membincangkan cadangan membawa kes tersebut ke mahkamah an­tarabangsa.
Menurut diplomat itu, negara-negara tersebut sedar akan keperluan untuk mengelakkan kuasa veto Rusia.
Pesawat Boeing 777 berke­naan dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh dengan bangkai pesawat itu bertaburan di Donetsk, Ukraine. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3eDVLIFOH 
Hakcipta terpelihara 

Mahkamah Agung AS benarkan perkahwinan songsang


WASHINGTON – Mahkamah Agung memutuskan semalam bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat (AS) memberikan hak kepada pasangan sejenis untuk berkahwin dalam kemenangan bersejarah untuk gerakan hak gay dan lesbian di AS.
Mahkamah berkenaan membuat keputusan 5-4 bahawa Perlembagaan AS menjamin perkahwinan sejenis sebagai saksama di bawah undang-undang negara. Keputusan tersebut bermakna perkahwinan gay adalah sah di semua 50 negeri di AS.
Hakim Anthony Ken­nedy yang menulis bagi pihak mahkamah berkenaan menyatakan, keputusan itu memberi harapan kepada pasangan gay dan lesbian yang ingin berkahwin agar mereka tidak perlu menjalani kehidupan penuh sepi tanpa institusi rumahtangga.
Mereka katanya, meminta hak saksama di sisi undang-undang dan Perlembagaan AS memberikan hak tersebut.
Dalam pendapat berbeza, Hakim Antonin Scalia menegaskan bahawa keputusan itu me­rupakan satu ancaman ke atas demokrasi AS.
Pada masa ini, terdapat 13 ne­geri di AS yang mengharamkan perkahwinan gay dan lesbian.
Keputusan Mahkamah Perlembagaan itu adalah yang paling penting di AS sejak keputusan pada 1967 yang membubarkan larangan perkahwinan berlainan bangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Barack Obama memuji Mahkamah Agung kerana menjadikan perkahwinan sejenis sah di seluruh negara dalam keputusan yang dianggap sebagai kemenangan terbaharu untuk White House.
“Hari ini merupakan langkah besar dalam perjuangan kita ke arah kesaksamaan. Pasangan gay dan lesbian kini berhak untuk berkahwin seperti sesiapa sahaja,” kata Obama dalam mesej di akaun Twitternya.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3eDUvdHDQ 
Hakcipta terpelihara 

Tunisia, Kuwait diserang pengganas


BEBERAPA anggota polis mengawal orang ramai yang cuba menyerang seorang suspek (tengah) dalam serangan di sebuah hotel di Sousse, Tunisia.


TUNIS – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh termasuk seorang lelaki bersenjata dalam serangan di sebuah hotel di resort tepi pantai Sousse, Tunisia, demikian menurut seorang pegawai kementerian dalam negeri Tunisia semalam.
Sumber keselamatan dan stesen radio tempatan menyatakan, serangan berlaku di Hotel Imperial Marhaba.
Menurut sumber keselamatan di tempat kejadian, mayat seorang lelaki bersenjatakan raifal Kalashnikov dilihat terbaring selepas dia ditembak mati pasukan polis.
Seorang wanita Ireland, Elizabeth O’Brien yang bercuti bersama dua anak lelakinya di resort Sousse berkata, dia sempat menarik tangan anak-anaknya sebelum lari menyelamatkan diri sebaik mereka terdengar bunyi tembakan dari salah sebuah hotel berkenaan.
“Kami berada di pantai, anak-anak saya sedang berenang di laut dan saya baru naik ke pantai. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Apabila saya mendongak dan kira-kira 500 meter di hadapan, saya menyaksikan sebuah belon udara panas runtuh. Saya kemudian melihat dua individu yang mahu menaiki belon itu berlari ke arah saya,” ujar O’Brien kepada stesen radio RTE.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap kementerian dalam negeri, Mohammed Ali Aroui berkata, seorang lelaki bersenjata masuk melalui pintu belakang hotel berkenaan dan melepaskan tembakan.
“Angka kematian ialah 27 termasuk pelancong,” katanya tanpa mendedahkan kerakyatan mangsa.
Menurut jurucakap berkenaan, seramai 12 lagi mangsa dilaporkan masih dirawat di hospital akibat kecederaan.
“Ia serangan pengganas yang disasarkan ke atas Hotel Marhaba di daerah Pelabuhan El Kantaoui,” kata Mohammed Ali.
“Penyerang telah dibunuh,” tambahnya tanpa mengetepikan kemungkinan terdapat lebih daripada seorang penyerang.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Perancis memberitahu bahawa penyerang dikenali sebagai Yassin Salhi. Dia dipantau oleh perkhidmatan keselamatan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak memiliki rekod jenayah.
Bandar Sousse yang terletak 150 kilometer dari ibu kota Tunisia, Tunis merupakan antara resort paling popular di negara itu terutama dalam kalangan pelancong dari Eropah dan Afrika Utara.
Setakat ini, belum ada maklumat jelas tentang kerakyatan mangsa yang terbunuh namun, beradasarkan bulan Ramadan, mereka yang berada di pantai biasanya pelancong asing.
Keganasan terbaharu itu berlaku pada hari sekurang-kurangnya 25 orang di sebuah masjid Syiah di Kuwait terbunuh dalam serangan pengebom berani mati, manakala seorang militan lain disyaki melancarkan serangan di sebuah kilang gas di timur Perancis. Serangan di Kuwait itu juga telah menyebabkan lebih 202 orang cedera. - Tunisia berada dalam keadaan berjaga-jaga tertinggi sejak Mac lalu selepas beberapa militan bersenjata menyerang Muzium Bardo di Tunis dan membunuh sekumpulan pelancong asing dalam serangan paling buruk dalam tempoh satu dekad di negara Afrika Utara itu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3eDTza4a2 
Hakcipta terpelihara 

Bunuh: Juruelektrik 
ke tali gantung

Disabitkan kesalahan membunuh seorang lelaki 5 tahun lalu

K. Selamparasa n dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi

K. Selamparasa n dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi, Ipoh, semalam.
IPOH 26 Jun - Seorang juruelektrik dilihat terpinga-pinga dan hanya mampu menggelengkan kepala selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki, lima tahun lalu.
K. Selamparasan, 25, menunjukkan reaksi demikian di penghujung keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin manakala nasib menyebelahi rakan lelaki itu, R. Ganesa, 30, apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan kerana didapati tidak terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Seorang lagi tertuduh, R. Meganaathan, 25, yang merupakan adik kepada Ganesa meninggal dunia pada 14 Disember 2011 ketika kes masih dalam perbicaraan.
Ganesa yang bekerja sebagai jurukimpal diwakili peguam Charan Singh.
Noorin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Selamparasan setelah mendapati peguam bela, Ma­hinderjit Singh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Terdahulu, ketika membacakan keputusannya selama hampir dua jam, Noorin berkata, tertuduh dalam pembelaannya telah memberikan keterangan secara tidak konsisten selain berbeza dengan apa yang diberitahu oleh saksi-saksi pendakwaan.
“Meskipun berlaku beberapa percanggahan, namun saya dapati keterangan saksi ketujuh, kesembilan dan ke-10 yang berada di tempat kejadian sangat konsisten tentang penglibatan Meganaathan dan Selamparasan yang telah menetak mangsa, Abdul Rashid Ramesh Abdullah dekat parit serta mengejarnya ke kawasan semak.
“Pada masa itu mereka turut melihat kedua-dua tertuduh masih memegang parang selepas keluar dari semak berkenaan manakala Ganesa pula tidak memegang sebarang senjata.
“Ketiga-tiga saksi itu juga mendengar Ganesa berteriak ‘lepaskan, lepaskan, jangan tetak,’ kepada kedua-dua tertuduh sebaik sahaja mereka sampai di kawasan semak tersebut. Ini jelas menunjukkan Ganesa tidak terlibat dan tidak berniat melakukan perbuatan berkenaan,” kata beliau.
Menurut Noorin, selepas 10 minit ketiga-tiga tertuduh beredar, saksi tersebut yang telah pergi ke kawasan semak berkenaan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. Mohammad Shafie Othman mendapati mangsa telah mati akibat pendarahan berlebihan daripada empat luka tetakan iaitu di bahagian atas tepi kepala sebelah kiri, pangkal lengan kanan, siku kiri dan pergelangan tangan kiri selain dua luka hirisan,” kata Noorin.
Selamparasan, Ganesa dan Meganaathan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 12 November 2010 atas tuduhan membunuh Abdul Rashid Ramesh, 31, dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi setelah masing-masing mengaku tidak bersalah.
Mereka bertiga didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di tepi parit hadapan kedai Perniagaan OM Interprise, No.5, Jalan Klebang Ria 3, Taman Klebang Ria, Chemor dekat sini di antara pukul 10.30 malam dan 11 malam, 21 Oktober 2010.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bunuh-juruelektrik-8232-ke-tali-gantung-1.107654#sthash.oxkf9ykt.dpuf

2 maut, 1 parah kemalangan 3 kenderaan


Keadaan teksi yang remuk setelah hilang kawalan dan memasuki laluan
Keadaan teksi yang remuk setelah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah motosikal dan sebuah Perodua Myvi di Kilometer 46, Jalan Batu Pahat - Mersing berdekatan Sri Lalang, Kluang, kelmarin.
KLUANG 26 Jun - Seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu teksi maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 46, Jalan Batu Pahat-Mersing berdekatan Sri Lalang di sini semalam.
Kejadian pukul 5.20 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah teksi Proton Saga yang dipandu Zainuddin Md. Rais, 70, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal yang dinaiki Ramlan Kassan, 46, dan anaknya, Mohammad Syawal berusia 19 tahun.
Zainuddin dan Ramlan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohammad Syawal mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohammad Laham berkata, motosikal yang dinaiki dua anak-beranak itu dalam perjalanan ke rumah mereka di bandar ini tidak sempat mengelak teksi tersebut.
“Motosikal Yamaha Lagenda yang dinaiki mereka merempuh bahagian kiri teksi tersebut sebelum sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Sri Lalang melanggar pula bahagian belakang motosikal itu,” katanya di sini hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat sementara Mohammad Syawal turut menerima rawatan di hospital sama.
Mohammad memberitahu, Perodua Myvi yang dinaiki tiga sekeluarga remuk di bahagian hadapan, namun hanya seorang daripada penumpangnya mengalami cedera ringan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu teksi. Namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/2-maut-1-parah-kemalangan-3-kenderaan-1.107656#sthash.vH0nceKu.dpuf

Seorang lelaki ditahan, 120 kg syabu dirampas malam ini


KUALA LUMPUR 26 Jun - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 120 kilogram dadah jenis syabu di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, di sini malam ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 24 tahun itu dibuat Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.
"Syabas lagi STING @PDRMsia tadi tangkap satu lelaki 24 tahun dan rampas 120 kg Syabu di Mutiara Complex, Jln Ipoh, KL. Go PDRM Go," katanya dalam catatan terbaharu akaun Twitter miliknya.- BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/seorang-lelaki-ditahan-120-kg-syabu-dirampas-malam-ini-1.107347#sthash.lFp3fWmB.dpuf

Polis Melaka tahan Ketua Geng Acid Super Tangga Batu


27 Jun 2015 12:42 AM

MELAKA 26 Jun – Polis negeri ini menahan lima lelaki warga tempatan anggota ‘Geng Acid Super Tangga Batu’ yang dipercayai terlibat dalam jenayah samun dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superitenden Razali Bakar berkata, kesemua mereka ditahan di sebuah rumah di Bukit Rambai di sini hasil risikan pihak polis kira-kira sebulan lepas.
Beliau berkata, ketika ditahan kira-kira pukul tiga pagi itu kesemua mereka yang berusia 21 hingga 26 tahun sedang berehat di dalam rumah yang dipercayai dijadikan markas operasi mereka.
“Ketika ditahan, kesemua mereka baru pulang dari menyamun di sekitar Melaka Tengah kira-kira pukul 3 pagi.
“Antara barang yang dirampas adalah tas ta­ngan, dompet, telefon bimbit, sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing dan senjata tajam yang digunakan untuk mengugut mang­sa,” katanya ketika sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal kesemua yang ditahan mengaku melakukan lebih 20 kes ragut di sekitar Melaka Tengah secara berkumpulan.
Bagaimanapun, Razali berkata hanya enam kes berjaya diselesaikan berdasarkan barang kes yang ditemui semula.
Katanya, modus ope­randi kumpulan itu ialah bergerak menggunakan tiga hingga lima motosikal de­ngan seorang daripada mereka akan menjadi pemantau sebelum anggota lain me­lakukan aktiviti ragut.
“Kesemua mereka positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau seperti dadah, samun dan curi dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Ke­seksaan,” katanya.
Beliau berkata, tiga lagi suspek termasuk ketua kumpulan itu sedang diburu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-melaka-tahan-ketua-geng-acid-super-tangga-batu-1.107432#sthash.VH56I3NH.dpuf

Tiga kontinjen PDRM lupus dadah RM2.5j

Mohd. Dzuraidi Ibrahim (tiga dari kanan) melihat kotak berisi

Mohd. Dzuraidi Ibrahim (tiga dari kanan) melihat kotak berisi dadah yang akan dilupuskan sambil diperhatikan Pengurus Perniagaan Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., Zainal Abidin Abd. Samad (kanan) di Kamunting, Taiping, semalam.
TAIPING 26 Jun - Pelbagai jenis barang kes dadah yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta dilupuskan sempena Hari Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Antarabangsa hari ini.
Proses pelupusan tersebut melibatkan tiga kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.
Timbalan Pengarah (Perlu­cut­hakan Harta/Perundangan/Taha­nan), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, Perak mencatatkan anggaran nilai dadah tertinggi iaitu sebanyak RM1.8 juta.
Katanya, sebanyak 13 daerah dalam kontinjen Perak terlibat de­ngan pelupusan barang kes itu, yang merangkumi sejumlah 3,122 kertas siasatan atau kes dari tahun 2005 hingga 2014.
“Kontinjen Pulau Pinang pula melibatkan lima daerah dengan anggaran nilai dadah sebanyak RM627,137. Jumlah itu merangkumi 1,027 kertas siasatan bagi kes dari tahun 2000 hingga 2011.
“Bagi Kontinjen Sarawak, sebanyak empat daerah terlibat dengan anggaran rampasan dadah bernilai RM17,015 yang melibatkan sejumlah 557 kertas siasatan dari tahun 2007 hingga 2013.
“Semua dadah tersebut dilupuskan setelah kes yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 selesai dibicarakan di mahkamah, dengan tempoh rayuan bagi kes telah tamat dan semua barang kes telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri program pelupusan barang kes dadah bagi kontinjen Perak di premis Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., Kamunting dekat sini.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Dzuraidi, seramai 76,874 orang te­lah ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik dari Januari hingga Mei tahun ini.
Katanya, jumlah tangkapan itu menurun sebanyak tiga peratus berbanding 79,103 orang yang ditangkap bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun kata Dzuraidi, tangkapan di bawah kategori bekalan telah meningkat sebanyak 16 peratus manakala kategori memiliki pula meningkat sebanyak 12 peratus.
“Sebanyak 9.39 tan, 2.04 juta biji pil dan 49,127 liter pelbagai jenis dadah serta 35 pokok ganja berjaya dirampas dengan anggaran nilai RM128.04 juta.
“JSJN juga berjaya membongkar sebanyak 17 makmal memproses dadah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini. Bagi kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 seramai 427 orang telah diambil tindakan pencegahan,” jelas beliau.
Tambah Mohd. Dzuraidi, JSJN turut menyita pelbagai jenis harta bernilai RM35.37 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-kontinjen-pdrm-lupus-dadah-rm2-5j-1.107435#sthash.JeHhhI2e.dpuf